Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, May 15, 2010

Tiada Istilah Penat Bagi Seorang Khalifah


"Ya Allah penatnya." Ana mengurut-urut tengkuk, menjana sedikit 'tenaga' kepada urat-urat yang kian letih.

Sejenak, ana tersedar.

"Astarghfirullah.. tak baik cakap penat." Menyesal sungguh kerana perkataan penat itu lahirnya dari mulut ana sendiri.

Itulah Khalifah

"Kesian Kak Sah.. mesti penat." Ana memandang wajahnya penuh kasih. Pasti kakanda ana yang seorang itu penat kerana terpaksa berulang-alik ke sana ke mari. Terima kasih ya Allah atas ukhwah yang indah ini.

"Mas.. tak ada istilah penat bagi seorang khalifah." Bisiknya perlahan, bersama pelukan yang kian erat.

Ana terpempam. Subhanallah.. Sungguh, seorang khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi tidak seharusnya berasa penat dengan amanah yang tergalas di bahu tetapi seharusnya sentiasa merasa bertanggungjawab di atas setiap perkara yang ingin dilakukan.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah : 30)


Allah s.w.t tahu bahawa kita mampu untuk menggalas tugas sebagai seorang khalifah. Justeru DIA memberikan amanah itu kepada kita. Ketika malaikat berkata ; Mengapa hendak dicipta manusia yang hanya akan merosakkan bumi, sedangkan kami ini sentiasa bertasbih kepadaMu..

Allah membalas ; Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.

Justeru itu, setiap manusia itu Allah ciptakan dengan fitrahnya yang suci bersih, yang suka pada kebaikan. Hati manusia ketika mula-mula lahir umpama gelas kaca yang jernih, sesuai dengan fitrahnya yang telus.

Tapi! Para khalifah yang diberi amanah ini cepat benar merasa penat, letih dengan ujian duniawi. Ketika diri merasa 'cubitan kasih sayang Allah' cepat benar hati berpaling tadah, sedangkan itu adalah salah satu cara Allah mendidik kita.

Imbas Kembali

'zapp!'

Satu libasan rotan tepat singgah di betis Munirah akibat pulang lewat walaupun setelah berkali-kali ditegah.

"Kamu tahu kenapa mak rotan kamu?" Tegas pertanyaan Puan Aliyah. Sungguh, ketika menghukum, orang yang dihukum perlu tahu mengapa mereka dihukum. Jika tidak, tiada pengajaran yang dapat diberi melainkan orang yang dihukum hanya akan merasa benci dan dendam terhadap pemberi hukuman.

"T..Tahu.." Bisik Munirah perlahan, sambil digenangi air mata.

"Kenapa?"

"Munirah pulang lewat."

Akhirnya Munirah menerima pengajaran hasil didikan ibunya itu bahawa pulang lewat sebenarnya amat tidak manis. Secara khususnya, Munirah itu adalah ana, kamu, dan kalian beberapa tahun yang dulu, ketika hingus masih lagi meleleh dari hidung kita.

Begitu juga hal nya dengan Allah, dugaan dan ujian yang diberikan-Nya adalah salah satu bentuk pengajaran secara halus dari-Nya untuk kita agar kita lebih kuat menghadapi hari esok.

Langit itu tidak selalunya cerah. Justeru, Allah Yang Maha Mengetahui mempersiapkan diri kita agar tidak tersungkur teruk kemudian hari. Itu tanda kasih sayang-Nya! Itu tanda cinta-Nya! Sedang kita tidak mengetahui....

Pengalaman

"Ya Allah.. Mengapa begini jadinya."

Ana menangis teresak-esak mengenangkan apa yang berlaku di hadapan mata. Kemungkaran di sana-sini, sedang diri terpaksa melakukan sesuatu yang tidak syara'. Ana menentang, namun apa sahajalah yang mampu ana lakukan.

Tangisan itu berlangsung setiap hari. 7 kali seminggu. 30 kali sebulan. Sehingga... Ana ditimpa sakit. Ulak-alik ke hospital dan klinik menjadi satu rutin.

Subhanallah. Sungguh, amat halus pengajaran yang Allah ingin berikan. Satu pengajaran yang memantapkan jiwa ana, satu pengajaran yang menguatkan kaki ana untuk melangkah saat ini.. Satu pengajaran yang mematangkan cara ana dalam berdakwah.

Satu pengajaran.. yang ana tidak dapat lihat suatu ketika dahulu.

Tapi kita harus ingat. Dugaan dan ujian itulah yang membuatkan kita terus mampu untuk hidup sehingga saat ini. Dugaan dan ujian itulah yang mensucikan hati kita, menghapuskan dosa serta menguatkan pergantungan kepada Allah, bagi yang menyedari..

Jangan menyalahkan Allah, tetapi carilah Allah ketika susah dan jua senang.

Ana pasti, para pembaca juga ada pengalaman yang tersendiri. Jika dapat dikongsi, subhanallah alangkah baiknya.. :) Jika ada yang mahu berkongsi, tinggalkan sahaja di ruangan komen. insyaAllah..

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya (Al-Baqarah :286)


Tiada Istilah Penat Bagi Seorang Khalifah


Oleh itu, ketika ujian menimpa, ketika kerja banyak menimbun. Ketika teman membuat onar, gariskan senyuman di wajahmu. Itu adalah tanda kasih-Nya Allah kepada kita.

Tiada istilah penat bagi seorang khalifah yang menggalas amanah besar untuk mentadbir dunia kerana jika khalifah penat, siapa pula yang mahu mentadbir dunia? Justeru itu, berlakulah pelbagai kerosakan di muka bumi ini.

Bumi menangis, manusia ketawa.. Bumi marah, manusia derita....

Jika kita sudah mahu merungut.. Ingatlah kembali perjuangan saudara-saudara kita di Palestin sana. Mereka berjuang siang dan malam namun semangat mereka tetap menggunung. Besar dugaan buat mereka, sehingga dikatakan di Gaza kini, mereka terpaksa makan rumput demi mengalas perut. Tidak letihkah mereka? Adakah mereka itu bukan manusia seperti kita?

Renung-renungkanlah saudaraku...

Kini, kita hidup di dalam zon yang TERLALU selesa, sehingga merungut itu dan ini jika sesuatu perkara itu tidak memuaskan hati kita. Kita berasa letih hanya dengan sedikit cubitan kasih sayang Allah kepada kita, sedangkan peringatan itu adalah untuk kebaikan diri kita juga.

Andai benar badan terasa letih, berehatlah sekadarnya. Lakukan solat... Itu terapi terbaik untuk badan yang letih. Itu vitamin terbaik untuk tubuh yang lemah. Itu bijirin terbaik untuk makanan jiwa!

Moga kita akan terus melangkah dan melangkah, menuju Allah yang satu!

Wallahu'alam..

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .