Di sebuah kampung yang permai, tinggal seorang lelaki tua bersama anaknya. Lelaki tua itu memiliki seekor kuda yang cantik.
Suatu hari, kuda itu hilang entah ke mana, orang-orang kampung mula menunjukkan simpati --
"Kasihan, kuda kesayangannya hilang."
"Kasihan, berat dugaannya."
Si anak pun jadi terikut sama, kata si anak, "ayah, apalah malang nasib kita, kuda kesayangan yang cantik hilang entah ke mana, bagaimana pula mahu dicari gantinya?"
Namun lelaki tua itu tetap sahaja tersenyum. Katanya, "tak apa, mesti ada hikmahnya."
Hari berganti hari, minggu berganti minggu --
Tiba-tiba kuda kesayangan lelaki tua itu pulang kembali ke rumah setelah sesat di hutan, bukan itu sahaja, ia diiringi beberapa ekor lagi kuda liar bersama!
Seronoklah hati si anak. "Wah ayah, beruntunglah kita, dapat banyak kuda sekaligus." Kata si anak girang.
Lelaki tua itu membalas tenang, "belum tentu lagi beruntung, tapi pasti ada hikmahnya."
Lalu, setiap petang si anak pasti bersiar-siar bersama kuda-kudanya, hinggalah suatu hari si anak jatuh dari tunggangan sehingga tangannya patah.
Sambil menangis, si anak berkata, "aduhai ayah! Apalah malang nasib kita, baru sahaja mendapat kegembiraan kini musibah pula menimpa, bagaimanalah aku mahu bekerja mencari nafkah?"
Lelaki tua itu seperti biasa tetap sahaja melemparkan senyum manis, "tak apa, pasti ada hikmahnya."
Beberapa minggu kemudian, kampung mereka diserang lanun, lanun-lanun itu menceroboh setiap sudut kampung, mahu merekrut pemuda-pemuda yang ada untuk dijadikan sebagai ahli kumpulan mereka.
Lalu beraturlah anak-anak muda yang ada di hadapan ketua lanun, termasuk anak lelaki tua itu. Ketua lanun memeriksa seorang demi seorang sehingga tiba pada pemuda yang tangannya patah lalu ketua lanun berteriak--
"Kamu! Tidak perlu masuk ke kumpulan kami! Apalah gunanya kami menerima ahli yang patah tangannya, memegang senapang pun belum tentu berdaya!"
Perlahan-lahan, hati pemuda itu berbisik, "benar, setiap yang berlaku ada hikmahnya"
:) teruslah bersangka baik dengan Allah Yang Maha Baik. Meski segalanya tampak berselerakan, meski segalanya tak kau faham setiap keadaan -- percaya. Teruskan percaya.
Suatu hari kelak, pasti kau terlihat hikmahnya, sambil tersenyum pasti kau berkata -- Tuhan, terima kasih, kerana dahulu tak semua doaku Kau terima.
Wahai diri! Berlagaklah laksana seorang hamba.
...komputer saya rosak, aktiviti menulis jadi terhad. Takpe, mesti ada hikmahnya, kan? Hajat doa :)
1 comment:
bersangka baik..inshaAllah :)
Post a Comment