Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, January 7, 2016

Hati sang tikus


Pada suatu ketika dahulu, ada seekor tikus yang tinggal di rumah seorang ahli sihir. 

Tikus ini selalu dibuli oleh kucing yang ada di rumah itu. Lama-lama tikus jadi bosan. "Ini tak boleh jadi" getus hatinya. Lalu pergilah si tikus kepada ahli sihir dan berkata :

"Wahai ahli sihir, jadikanlah aku seekor kucing yang lebih besar kerana aku tidak tahan dibuli lagi."

"Baiklah" kata ahli sihir. 

Cing! Bertukarlah si tikus menjadi seekor kucing yang bertubuh besar. Si tikus gembira, dikejarnya kucing yang dahulu membulinya sehingga hatinya puas. 

Setelah itu, dia berjalan pula ke luar rumah dan berjumpa dengan seekor anjing yang garang. Anjing itu mengejarnya. Si tikus bertempiaran lari -- berjumpa lagi dengan ahli sihir.

"Wahai ahli sihir! Tukarkan aku menjadi seekor anjing yang besar, aku tidak tahan dibuli lagi."

"Baiklah" ahli sihir bersetuju.

Cing! Bertukarlah si tikus menjadi seekor anjing pula.

Dan seperti sebelumnya, dia membalas dendam pada anjing yang mengejarnya sebelum ini. Si tikus gembira. Dia bernyanyi-nyanyi sambil berjalan. Tiba-tiba dia bertemu dengan sekumpulan budak nakal, mereka membaling batu ke arah si tikus. 

Bertempiaranlah lagi si tikus berlari. Ahli sihir ditemui.

"Wahai ahli sihir, jadikanlah aku..."

"Sudah! Sudah!" Belum sempat si tikus menghabiskan ayatnya, ahli sihir sudah memotong kata. Sambung ahli sihir lagi :

"Aku boleh mengubah engkau menjadi apa-apa pun, tapi tiada gunanya kalau hati kau masih lagi hati seekor tikus."

Cerita inilah yang meniti di bibir emak suatu ketika dahulu, ketika saya masih lagi tidak mengerti apa.

Adohai! 

Di jalan dakwah ini, kita tak boleh jadi seperti tikus. Selalu bersangka-sangka kalau kita jadi 'orang besar' seperti si polan, barulah agaknya kita boleh melangkah hebat. 

Walhal, selama ini baru sahaja 'dicubit' sedikit kita sudah merajuk mahu meninggalkan jalan ini.
Baru sahaja diberi ujian oleh Yang Esa, kita sudah lembik, tak sabar nak tinggalkan jalan ini.
Baru sahaja ditegur sedikit, kita tak boleh terima, terus mahu tinggalkan jalan ini.
Baru sahaja ada perbezaan pendapat, kita sudah meluat, malas mahu peduli pada jalan ini.

Adohai! Kalaulah di dunia ini keseronakan yang kau cari semata, kau sudah tersalah tempat. Ini bukan temptnya. Dunia ini memang tempat untuk kau merasa sakit kecewa, dan ketahuilah--

Sesungguhnya jalan ini bukan untuk orang yang manja.

Salam cinta :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .