"Mastura, tak pernah ke rasa rindu? Rindu dengan kenangan-kenangan dulu, rindu nak kembali pada masa lalu?"
Senyum.
Ah, rindu. Siapa yang tak pernah merasakannya, pada saat terbentang sebuah layar di birai mata, menayangkan satu persatu kenangan yang ada-- lalu kadangkala kita ketawa, kadangkala menangis duka. Rindu itu, siapa yang tiada?
Aku juga begitu. Rindu pada gelak tawa ketika kecil dahulu, rindu pada lumba lari dengan teman teman di sisi, yang tak pernah tahu erti mengambil kesempatan pada diri, rindu pada luka darah di lutut dek jatuh tatkala berkejaran, dan rindu pada sebuah pertengkaran -- kerana pensel warna kawan lebih jumlahnya dari yang aku sangkakan.
Ya. Aku juga begitu, rindu pada kerisauan yang tertancap cuma pada keputusan peperiksaan. Rindu mencuba-cuba mencabar peraturan sekolah yang disediakan, rindu bergurau senda di surau yang ada walhal arahan diberi agar mendengar ceramah cuma, rindu pada kelas prep di malam hari, berlarian ke dewan selera berharap pada ayam masak merah, namun yang terhidang cuma ikan jaket sahaja. Rindu berlarian beratur di public phone menelefon bonda tercinta, bercerita hari ini apa kisahnya.
Rindu. Pada seorang gadis polos dahulu, yang bergelar aku.
Namun seberapa dalam rindu itu, seberapa banyak aku berusaha ingin kembali, kata Imam Al-Ghazali -- masa lalu adalah perkara yang terjauh sekali. Bukannya bulan, bukannya bintang.
Kerana hatta bulan dan bintang, kau bisa menjejakinya, tapi masa lalu? Tidak walau sekali.
Lalu berbuatlah sehabis baik pada hari ini, agar kelak bila kau tiba pada keesokan hari, kau tidak menyesali diri -- kalaulah aku begini, kalaulah aku begitu.
Dan -- meski kau tetap terasa menyesal, tarik nafas, behenti sebentar, tak guna kau sesali perkara yang telah berlalu pergi, lihatlah pengajaran yang kau pelajari, lihatlah ia menjadikan kau kini -- lebih matang, lebih berdikari, dan mungkin lebih menghargai.
Yes, terrible things happen, but sometimes, those terrible things -- they save you.
Pandang terus ke hadapan, berusaha sebaik mungkin, tebus kesilapan dahulu -- moga sahaja, kelak yang terpampang di layar kenangan adalah sebuah kepuasan seorang manusia -- bernama kamu.
Salam cinta :)
No comments:
Post a Comment