Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, April 20, 2016

Niat


~Apa kau cari yang sebetul-betulnya,
Lama mana begini,
Bertelanjang jiwanya~

"Masss dah perbaharui niat ke belummm?" Terdengar-dengar suara teman sebilik berteriak memberi peringatan.

"Aaaa. Kejap!" Saya membetulkan tudung sedikit lagi di hadapan cermin, segera berlari-lari anak mendapatkannya yang sudah siap menunggu di hadapan pintu utama. 

Kami tersengih. "Sahaja aku pergi ke kelas kerana Allah Ta'ala." Serentak ayat itu meluncur laju. 

Teringat-ingat pesan murabbi tercinta ketika di bulatan cinta, katanya -- kata ibnu qayyyum al jauziyah, cinta itu mampu hilang bersama hilangnya sebab. Jika sebab kita mencintai rakan kerana dia boleh bantu kita buat assignment, kelak bila dia sudah tak mampu membantu, hilanglah cinta itu. Begitu juga, jika sebab kecintaan kita menuntut ilmu kerana inginkan sijil semata, kelak bila keinginan itu sudah samar-samar kerana susahnya sesuatu subjek yang diambil, maka hilanglah cinta kepada ilmu itu. 

"Massss keluar rumah kaki kiri, sarung kasut kaki kanan." Berceloteh lagi mulut si dia melihat langkahan kaki yang salah dari saya. 

"Ops sori." Saya melangkah semula ke belakang, keluar rumah dengan kaki kiri dan sarung kasut dengan kaki kanan. 

Ya, itulah yang akan kami lalui setiap hari ketika saya masih lagi seorang gadis polos berusia 18 tahun dan bergelar pelajar Asasi. 

Perbaharui niat, kerana bagi kami 'sebab' adalah benar-benar penting. Subjek yang diambil bukannya sedikit, tidak campur subjek-subjek hafazan dan usrah wajib universiti, bukan sedikit yang telah mengundur diri--Lalu andai sebab yang tercipta rapuh, kami khuatir kelak kami yang roboh. 

Carilah sebab yang teguh dalam setiap apa pun yang kita lakukan, dan sebab yang teguh itu selamanya terletak pada Tuhan. 'Sebab' atau niat, ia nampak enteng namun hakikatnya ia begitu penting. 

Tuntut ilmu kerana Allah -- nanti bila rasa malas  terus teringat Allah tak suka.

Pergi kerja kerana Allah -- rasa nak curi tulang terus teringat Allah tak redha, tak jadi lakukan. 

Beradab sesama manusia kerana Allah -- bila rasa nak berbicara dengan tiada adab dan tidak menghormati sesamanya, terus rasa Allah tak suka begini, maka automatik kita mahu bicara sebaiknya. 

Menyayangi sesama saudara kerana Allah -- kelak walaupun dideritai pedih, masih tetap mampu menahan jerih.

Carilah sebab apa sekali pun yang kau suka -- asalkan ia menjadi asbab untuk kau terus bergerak meski terluka.

Carilah sebab kukuh dalam setiap perkara yang kau laku -- kelak andai kau rebah, kau masih punya sesuatu untuk kau kembali berdiri teguh.

Dan tak kira apa pun sebab yang kau cipta, di pengakhiran sebuah cerita, yang tinggal cumalah kau -- dengan TuhanMu. 

Niat itu seperti surat.
Salah tulis alamat -- akan sampai salah tempat.

"Kalau hidup cuma sekadar hidup, kera di rimba juga hidup. Kalau kerja cuma sekadar kerja, kerbau di sawah juga bekerja" -Hamka

Salam cinta :)

~Kau selongkar bumi langit petala,
Sedang jawabnya lama kau ada,
Maka perlu apa kau bongkar gali,
Kalau cuma diletak tepi~

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .