Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, February 2, 2009

Pesanan Luqman dan Pesanan Ana


Pesanan Luqman

Hai anak-anakku!
Janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya syirik itu satu penganiayaan yang besar. Allah mewajibkan manusia taat kepada ibu bapa. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita lemah dan bertambah lemah serta menyusuinya selama dua tahun. Oleh itu, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa. Kepada Allah SWT tempat kembali.

Sekiranya kedua ibu bapamu memaksa engkau menyukutukan Allah SWT maka janganlah kamu taati. Tetapi layani mereka dengan sebaiknya dalam urusan dunia.

Hai anakku!

Sesungguhnya jika ada kebaikan walau sebesar biji sawi, biarpun di dalam batu atau di langit mahupun di bumi, nescaya akan diperlihatkan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui.

Hai anakku!

Dirikanlah solat dan suruhlah manusia berbuat kebajikan. Laranglah perbuatan mungkar serta bersabar di atas sesuatu musibah yang menimpamu. Sesungguhnya berlaku sesuatu adalah dalam urusan Allah SWT. Janganlah engkau memalingkan pipimu daripada manusia kerana sombong dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. Berlaku sederhanalah dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu dalam berbicara. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (surah luqman:19)

Beri Tauladan

Pemuda-pemudi Islam yang bersungguh-sungguh menyeru kebenaran
Ketahuilah! Sesungguhnya tauladan yang baik yang lahir dari peribadi sahabat Rasulullah SAW dan orang-orang yang mencontohi mereka sesudah itu, telah memudahkan Islam tersebar ke rantau dan Negara-negara jauh sama ada di timur mahupun barat.

Islam juga tersebar luas melalui pedagang dan pendakwah yang jujur. Mereka telah memberikan gambaran yang hakiki mengenai Islam dalam tingkah laku mereka. Mereka telah menunjukkan bicara manis dan nasihat berguna. Disebabkan yang demikian, datanglah berbondong-bondong orang ramai memeluk Islam. Akhlak mulia serta contoh yang baik telah menimbulkan kesan yang besar di hati manusia di serata pelosok dunia. Dengannya, manusia terpimpin kepada iman dan Islam.

Begitu juga dengan generasi Islam hari ini diharapkan member contoh tauladan yang baik. Tauladan yang dimaksudkan mesti mithali, yang boleh menarik pandangan dan memikat jiwa orang ramai. Jauhi sama sekali segala kelakuan buruk serta perkataan yang bertentangan dengan tingkah laku mulia. Juga sama sekali tidak menyuruh kepada perkara yang tidak kita sendiri lakukan. Dengan lain perkataan kebaikan yang kita serukan kepada orang lain terlebih dahulu sama-sama kita lakukan. Manusia seluruhnya juga cenderung kepada sikap lemah-lembut dan kejujuran. Akhlak mulia yang menarik akan mudah dicontohi. Ini akan menjamin kesejahteraan hidup insan sepertimana generasi terdahulu

Renungi dengan mendalam bait-bait syair berikut, agar diri kalian bangun dari kelekaan!

Masa pasti menyusur pergi,
Masa dahulu menjadi saksi,
Sehari berlalu pergi,
Ke atas kamu dia menyaksi.

Jika semalam kau kesali,
Kerana hina diri sendiri,
Hari ini berbuatlah bakti,
Agar menjadi orang terpuji,

Usah ditangguh amal bakti
Ke hari yang belum dikenal pasti,
Mungkin masa menjengah kembali,
Kamu pula telah kembali.

Dipetik daripada buku : Anak-Anakku bangunlah, karangan Ummu Anas.

Pesanan ikhlas daripada ana yg dhoif...

Andai semalam kalian terleka, maka hari ini bangkitlah!
Andai semalam kalian menangis, maka hari ini senyumlah!
Jika semalam kalian terlena, maka hari ini sedarlah!
Jika semalam kalian tersungkur, maka hari ini bangunlah!
Dan andai semalam kalian lemah, maka hari ini BERJUANGLAH!!!

Manusia tidak mungkin akan lepas dari kesilapan, kerana fitrahnya kita bukanlah maksum. Namun, harus diingati bahawa seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang sebanyak 2 kali... Berjuanglah, sejarah tidak dapat diubah tapi masa depan masih boleh dicorak... La tahzan, la taghdab, Allahu ma'ana (Jangan bersedih, jangan marah, Allah bersama-sama kita).. =)

Pesanan ulama' terkemuka, Mustafa Mayhur ;
Tarbiah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiah...

wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .