“Huh! Penat-penat je aku buat amal ibadat, tak dapat apa pun..”
“Ala.. kenapa orang lain ada keluarga kaya, mewah, bahagia.. Aku ni apa yang ada?”
Duhai saudara-saudaraku, pernahkah ayat-ayat di atas terlintas di benak fikiran kita?
Seringkali kah kita menjadi manusia yang kufur nikmat?
Selalukah kita menjadi hambaNya yang tidak tahu bersyukur?
Seringkah kita menjadi insane yang dahagakan pujian dan sanjungan?
Marilah kita bersama-sama menghayati kisah uwais Al-Qorni, seorang hambaNya yang tidak penah mengharapkan pujian, seorang insan yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit…
***
Uwais adalah seorang pemuda yang menetap di Yaman, selama hayatnya, dia tidak pernah bertemu dengan Rasulullah kerana Rasulullah menetap di mekah. Perjalanan dari Yaman ke Mekah mengambil masa 1 tahun (pergi dan balik) sedang uwais adalah seorang anak yang taat pada ibunya.
Seorang ibu yang lumpuh, masakan sanggup seorang anak yang taat seperti uwais tegar untuk meninggalkan ibunya bersama orang lain semata-mata untuk pergi ke Mekah.
Biarpun begitu, cinta uwais kepada Rasulullah tidak pernah berkurang malahan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Apatah lagi, sahabat-sahabatnya yang baru pulang dari Mekah sentiasa menceritakan kewibawaan dan keperibadian Rasulullah, rindu dan cinta uwais kepada Rasululullah sudah tidak terbendung lagi. Bahkan, ada yang mengatakan bahawa uwais mematahkan giginya sebaik mendengar berita tentang gigi Rasulullah yang patah dalam peperangan uhud.
Pada suatu hari, uwais telah pergi menyatakan hajatnya kepada ibunya yang tercinta..
“Wahai ibuku, bolehkah saya pergi ke Mekah untuk bertemu dengan Rasulullah?”
“Boleh anakku tapi dengan syarat, kau harus pulang sebaik sahaja tiba di Mekah.”
Hati uwais berbunga riang. Masakan tidak, hajatnya untuk bertemu dengan insan yang selama ini dirindui bakal termakbul. uwais meninggalkan bekalan untuk ibunya yang bakal ditinggalkan sengan jirannya selama setahun.
Namun, takdir Allah penentu segalanya. uwais selamat tiba di Mekah, apabila dia tiba di rumah Rasulullah, salam diberi dan kelihatan Aishah membuka pintu.
“Wahai isteri nabi, bolehkah saya bertemu dengan Rasulullah”
“Maafkanku saudaraku kerana Rasulullah sekarang ini berada di medan perang”
Bolehkah kita bayangkan bagaimana perasaan uwais pada ketika itu? Bertahun lamanya dia memendam rasa kepada Rasulullah namun tidak dapat bertemunya. uwais tidak mampu berbuat apa-apa melainkan bersyukur dan redha serta percaya Allah telah mengaturkan yang terbaik buat dirinya… uwais akur, dia harus segera pulang ke Yaman kerana itu adalah amanah yang diberi oleh seorang ibu yang lumpuh…
“Tidak mengapa, nanti sampaikan salam saya kepada baginda”
Ucap uwais sebelum berlalu pergi….
Setelah perang selesai (beberapa bulan selepas kedatangan Quwais), Rasulullah telah pulang ke rumah Aishah dan baginda mengatakan (lebih kurang) :
“Aku terbau Yaman”
Lantas Aishah teringat pada Quwais dan membalas “Benar Ya Rasulullah. Seorang pemuda dari Yaman telah datang dan berkirim salam padamu”
Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, pada suatu hari ibu uwais menyatakan hajatnya ingin menunaikan haji. Mendengarkan itu, lantas uwais membeli seekor anak lembu (berat lebih kurang 20 kg) uwais membuat kandang anak lembu itu di atas bukit. Pada setiap petang dia akan mendukung anak lembu itu turun bukit untuk makan rumput dan selepas itu dia akan mengangkat anak lembu itu kembali ke kandangnya di atas bukit. Perkara itu dilakukannya setiap hari sehingga berat anak lembu itu mencecah 100kg(lebih kurang).
Orang yang melihat uwais mengatakannya gila namun uwais tidak menghiraukannya kerana dia mempunyai matlamat yang satu iaitu mahu mendukung ibunya dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan haji!
Di Mekah, uwais dan ibunya berdoa di hadapan kaabah dan sebaik berdoa ibunya bertanya:
“Wahai anakku, apakah yang dikau doakan”
“Ibu, saya mendoakan kesejahteraan ibu, agar Allah menempatkan ibu di kalangan orang-orang yang soleh, agar ibu mendapat rahmatNya,” Semua yang didoakan adalah untuk ibunya.
“Apakah yang engkau doa untuk dirimu?” ibunya bertanya
“Tidak ada apa-apa, cukuplah andai ibu meredhai saya..”
“Wahai uwais, andai engkau mahu aku meredhaimu, berdoalah untuk dirimu..”
Dan selepas itu barulah uwais berdoa untuk dirinya…
Pada saat kewafatan Rasulullah, Rasulullah telah berwasiat agar jubahnya diberikan kepada uwais Al-Qorni. Rasulullah juga berkata (lebih kurang), “Andai engkau bertemu dengan uwais, minta padanya agar mendoakan engkau kerana doanya tiada hijab kepada Allah” Sahabat bingung. Mereka tidak pernah bertemu dengan uwais, namun begitu Rasulullah telah menyatakan tanda-tanda yang ada pada diri uwais termasuklah giginya yang patah.
Justeru itu, setiap rombongan dari Yaman akan ditanya oleh para sahabat adakah mereka mengenali uwais Al-Qorni. Namun hampa. Sehinggalah pada suatu hari, ada seorang pemuda yang menyatakan bahawa dirinya mengenali uwais dan Umar pun berangkat ke Yaman.
Umar melihat seorang pemuda sedang duduk di bawah sepohon pokok, bajunya lusuh, rupanya tidaklah begitu kacak, jika boleh dikatakan mengikut istilah hari ini ‘tiada siapa yang mahu menjadikan menantu’. Lantas, umar bertanya,
“Wahai saudara, siapakah kamu?”
“Aku adalah hamba Allah”
“Aku juga adalah hamba Allah. Siapakah nama sebenarmu?”
“Namaku uwais Al-Qorni”
Umar gembira, ada tanda-tanda yang dinyatakan Rasullah mengenai uwais pada diri pemuda tersebut dan Umar pun memberi jubah Rasulullah kepada uwais. Selepas itu, uwais menangis dan memeluk jubah Rasulullah seerat mungkin.
Selepas beberapa tahun, uwais pun meninggal dunia. Pada waktu dia meninggal dunia, kelihatan ramai orang berpusu-pusu datang untuk menguruskan mayatnya sehingga para sahabat tidak sempat untuk menguruskan mayat uwais. Bahkan jiran-jirannya merasa pelik kerana uwais bukanlah seorang yang terkenal. Sebaik mayat uwais dikebumikan, para sahabat pun mula bergerak pulang tetapi teringat bahawa kubur uwais belum diletakkan tanda dan sahabat pun berpatah balik… tetapi..
Sebaik tiba di tempat pengebumian uwais, tidak kelihatan seperti adanya kubur di situ. Barulah sahabat faham, yang menguruskan mayat uwais adalah penduduk langit dan uwais mengekalkan fitrahnya yang tidak mahu dikenali oleh manusia biarpun dunia sudah ditinggalkan….
***
Lihatlah saudara-saudaraku, betapa uwais amat menjaga hubungannya dengan Allah dan ibunya. Betapa rendah hatinya sehingga tidak mahu dikenali oleh sesiapapun, cukup hanya Allah yang mengenalinya… Contohilah uwais, ana akui, amat sukar untuk menjaga hati, mintalah pertolongan daripadaNya, Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati-hati kita. Mintalah padanya agar iman sentiasa mendiami hati kita…
Salam Mujahidin wa Mujahidah…
Wallahu’alam.. =)
No comments:
Post a Comment