Laju jari-jemari Faiz menari di papan kekunci laptopnya. Assignment Ulum Al-Quran yang baru diberi oleh Ustaz Zamri tadi telah dimulakannya.
“Oi Faiz! Kau buat apa tu?” Kedengaran suara Hamdi, merangkap teman sebilik dan juga sekelasnya melaung dari muka pintu.
Faiz menoleh sekilas.
“Assignment” Jawabnya ringkas.
“Assignment Ustaz Zamri tu ke?” Hamdi melangkah masuk, meletakkan dirinya di sisi Faiz.
“Ha ah”
Terbeliak mata Hamdi melihat Faiz telah siap menaip satu muka surat penuh.
“Fulamak! Skema la kau. Awal betul buat, kan kena hantar minggu depan. Enjoy la beb!” Bahu Faiz ditepuk kasar.
Faiz menghela nafas berat. Hamdi memang terkenal dengan sikap sambil lewanya.
“Aku banyak kerja lain lagi nak kena buat. Lagi pun, program-program dakwah dan tarbiyyah banyak minggu ni.Aku tak nak sebab program-program tu amanah aku sebagai mahasiswa terabai. Nanti jadi fitnah pada Islam” Faiz cuba menjawab setenang mungkin.
Hamdi tergelak. Tubuhnya dihempas ke atas katil.
“Apa la kau ni Faiz,asal aku cakap je kau mula lah nak berceramah. Kau ni asyik program sana program sini, macam tak ada life! Ha, tadi Ayu kirim salam kat kau. Kesian la budak tu, kau buat tak layan je. Kau jangan jual mahal sangat Faiz.”
Faiz tergamam. Ayu. Nama itu tidak asing lagi buat dirinya, semenjak dirinya di semester satu lagi Ayu telah cuba mendekati. Bukan Ayu sahaja malahan beberapa wanita lain lagi. Namun, Ayu yang paling ketara.
Faiz menghela nafas berat. Di manakah dia pewaris Ummahatul Mukminin?
“Woi! Kau berangan apa lagi tu? Ha lagi satu Ayu pesan, balas surat ni.”
Hamdi bangun dan meletakkan sekeping kertas di sebelah laptop Acer Aspire 4530 Amir lantas berlalu ke bilik air.
Faiz diam merenung kertas putih itu. Hatinya masih berbelah bahagi.
Perlu ke aku baca surat ni?
Perlahan-lahan tangannya mencapai kertas putih itu dan dibuka lipatannya. Faiz menelan air liur. Tulisan tangan yang kemas di atas kertas itu dibaca.
Assalamualaikum..
Maaf andai surat ini mengganggu ketenangan Iz. Dah lama Ayu perhatikan Iz,makin lama hati Ayu makin terpaut pada Iz. Iz je yang jual mahal. Harap Iz balas surat Ayu ni. Ayu tunggu…
Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.
“Astarghfirullah.” Spontan, istighfar itu meluncur laju daripada mulut Faiz. Dadanya senak. Lantas kertas itu digumpal-gumpal menjadi sebentuk bola dan dicampakkannya ke dalam tong sampah.
Faiz bungkam.
Ya Allah, apa lagi yang perlu aku lakukan? Bukankah Hawa itu tercipta daripada tulang rusuk lelaki yang bengkok. Andai kekerasan yang digunakan, maka akan patahlah tulang itu.
Faiz baring di atas katilnya yang berwarna biru. Kedua-dua tangannya disilangkan di atas dahi. Panorama biliknya yang sederhana besar pada petang itu seolah-olah membungkamkan lagi hatinya.
+ Jadi, aku harus membimbing dia?
- Jangan! Nanti lain jadinya.
+ Jadi apa tindakan terbaik? Carikan dia seorang pembimbing daripada kalangan muslimah!
- Tapi siapa pula?
“Arghh!” Spontan, Faiz menjerit kecil. Tersedar akan keterlanjurannya, Faiz beristighfar. Ditukar pula posisi daripada baring ke duduk.
Hatinya yang berkecamuk diulit dengan zikrullah. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’.
Aku tidak perlu mengikut nafsu syaitan!
* * *
“Faiz!”
Laungan suara daripada belakang membuatkan pergerakan kaki Faiz yang baru keluar dari kelas terhenti. Faiz menoleh.
“MasyaAllah, akhi! Lama tak nampak?” Faiz mengukir senyuman apabila melihat sekujur tubuh Uwais yang tegap,senior yang dikenalinya semenjak sesi taa’ruf di kolejnya, seorang yang banyak benar membantunya daripada sudut rohani dan jasmani.
“Ha, tu lah enta, sibuk mengalahkan Perdana Menteri sampai tak sempat nak menjenguk ana di bilik. Kat masjid pun boleh tak perasan ana.”
Uwais menggeleng-geleng kepala.Tangan dihulur dan Faiz menyambut.
“Allah… ‘afwan, ana bukan sengaja tak perasan tapi enta tu kecik sangat.”
Uwais tergelak.
“Ha, dah alang-alang jumpa ni, marilah minum sama-sama. Enta ada kelas lagi ke lepas ni?”
“Alhamdulillah, tak ada dah. Bolehlah nak duduk berbual dengan enta. Lama betul tak berbual.”
“Jomlah”
* * *
“Enta apa khabar? Dah makin cengkung ana tengok. Ada masalah ke?” Uwais memulakan pertanyaan. Teh O ais yang berada di depan mata di hirup sedikit.
Faiz melepaskan satu keluhan berat.
“Ana nak cakap pun, malu..”
“Sejak bila pula enta pandai nak malu-malu dengan ana ni?”
“Macam ni..”
Faiz menarik nafas panjang. Uwais menanti tenang.
“Ana sering diganggu.”
“Dengan makhluk halus?” Uwais bertanya seraya menghirup Teh O ais di hadapan matanya.
“Bukan. Dengan muslimah!”
Hampir-hampir sahaja air Teh O ais tersembur daripada mulut Uwais. Uwais tersedak-sedak akibat air yang tidak ditelan secara sempurna.
“Ana dah agak, enta mesti gelakkan ana” Faiz menunduk malu.
“Bukan, enta jangan salah faham, ana terkejut aje. Wah, bertuahlah enta ye.” Uwais tersengih.
Faiz mencebik.
“Kalau enta rasa apa yang ana rasa, baru enta tau bertuah tak bertuahnya ana ni” Faiz membalas separuh hati.
Uwais tergelak.
“Enta dah berterus terang?”
Angguk.
“Banyak kali. Tapi seolah-olah tak bermakna langsung penerangan ana”
“Sabarlah Faiz, Allah sedang berbicara dengan enta. Dia tahu enta mampu hadapi ujian ni, sebab tu Dia tak turunkan kat ana. Apa-apa pun, enta berserahlah kepada Allah. Hidup di dunia ni memang banyak dugaannya. Berdoalah agar enta terhindar daripada fitnah dunia. Teringat ana pada sabda Rasululullah s.a.w bahawa wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar syaitan akan menghiasinya.Jadi andai enta dah berusaha, maka bertawakallah. Kalau enta perlu pertolongan, cari sahaja ana.”
Faiz tersengih.
“Ha, yang enta tersengih-sengih ni kenapa?”
“Muka enta waktu serius kelakar juga ya”
“Faiz!”
* * *
Eh, tu macam Hamdi.
Berkerut-kerut kening Faiz untuk memastikan insan yang hanya jauh beberapa meter di hadapannya itu benar-benar sahabatnya.
Sah!
Faiz beristighfar di dalam hati. Kakinya mula dihayun menuju ke tempat di mana Hamdi sedang rancak berbual dengan seorang muslimah. Sakit benar hatinya melihat Hamdi bergelak-ketawa dengan yang bukan ajnabi, bukan kerana cemburu tetapi kerana rasa kasih yang teramat sangat pada Pencipta Sekalian Manusia. Rasa cinta pada Allah yang mengurniakan cinta.
Hanya beberapa meter sahaja lagi untuk sampai kepada Hamdi, Faiz mematikan langkah. Tiba-tiba dia teringat pesanan Ustaz Hamzah pada seminar ‘Mencari Seorang Da’ie’ minggu lepas.
Manusia mana yang suka didekati secara kasar? Begitu juga mad’u kita. Kadang-kadang kita fikir menegur mad’u di khalayak ramai merupakan sesuatu yang hebat. Setelah menghentam mad’u dengan segala perkataan yang terbuku di dalam hati, kita akan melangkah pergi dengan gah tanpa kita sedari ada air muka yang telah kita kotori, ada hati yang telah kita lukai. Itu salah. Pertama sekali dalam berdakwah antum haruslah mendekati mad’u dan selepas itu peganglah hatinya dengan berhikmah. Jangan buat mereka berdendam pada kita.
Faiz melihat sekeliling. Ramai. Kakinya dihayun kembali menuju ke asrama.
* * *
‘Kreek’
Bunyi pintu bilik yang terbuka membuat Faiz berhenti daripada menyusun buku-bukunya pada rak buku. Berdebar hati Faiz melihat sekujur tubuh Hamdi masuk dengan muka kepenatan.
“Baru balik Di?” Faiz bertanya ramah.
“Ha ah. Discussion tadi”
Hamdi mencampakkan begnya di atas katil dan duduk di kerusi yang berada berdekatan meja belajar Faiz. Matanya meliar.
“Kau buat apa ni Iz?Bersepah semua”
“Aku nak kemas sikit buku-buku ni. Dah nak bersawang rak buku aku ni”
Senyum.
“Erm, Di aku nak cakap sikit boleh?” Faiz berbelah bahagi.
“Sejak bila kalau nak bercakap kena minta izin daripada aku?” Hamdi berseloroh.
Faiz bangun daripada posisinya yang sedang bersila di atas lantai dan mengambil kerusi lantas diletakkan di hadapan Hamdi lalu dilabuhkan punggungnya dengan selesa.
“Di..”
“Apa dia? Cakaplah.”
Faiz memandang mata Hamdi. Kelakuan mad’u ketika dia sedang bercakap harus diambil kira kerana segala kelakuannya merupakan satu komunikasi bukan verbal yang harus difahami oleh seorang da’ie.
Faiz menarik nafas panjang.
“Macam ni Di, aku nak tanyalah…” Faiz mencapai buku yang baru sahaja di bacanya. Satu bab di buka dan tertera tajuk batas-batas pergaulan dalam Islam.
“Ni ha, aku tak berapa faham ayat dia. Putar-belit. Antara lelaki dan perempuan apa batas-batas dia?” Jari telunjuk Faiz menunjuk ke arah tajuk yang tertera.
“Bak sini buku tu”
Faiz menghulur.
“La.. kacang je, apa yang kau tak faham. Lelaki kena tundukkan pandangan apabila berhadapan dengan wanita yang bukan muhrim, begitu juga dengan wanita. Kedua-duanya harus menundukkan pandangan untuk mengelak fitnah dan penyakit di dalam hati.” Lancar Hamdi menerangkan.
“Jadi kalau ada discussion?”
“Bincang yang penting-pentinglah, tapi janganlah berdua sahaja nanti syaitan pula jadi yang ketiga. Yang perempuan tak boleh melunak-lunakkan suara, lelaki kena pandailah kawal diri.”
“Kalau berbual berdua di khalayak ramai?”
Hamdi mendengus.
“Tak boleh juga. Lagi bahaya sebab nanti bakal menimbulkan fitnah. Ala, pasangan kekasih kalau di khalayak ramai pun tak malu nak buat maksiat! Kalau lelaki perempuan dalam satu kumpulan nak bergurau senda pun kena juga berpada, jangan sampai menyumbang kepada pergaulan bebas.”
“Di..” Faiz memanggil perlahan.
“Apa lagi kau nak tanya?”
“Tadi, aku ternampak kau bergelak-ketawa berdua dengan seorang muslimah” Faiz menembak tepat pada sasaran.
Hamdi diam, baru tersedar jawapannya tadi itu bakal memakan dirinya sendiri. Dalam tidak sedar, mindanya memikirkan kebenaran kata-katanya sendiri!
* * *
Sudah tersebar fitnah itu. Fitnah yang mengatakan bahawa Faiz sering keluar dating bersama Ayu. Fitnah yang disertakan dengan gambar-gambar super impose Ayu dan Faiz benar-benar menggigit sanubari Faiz.
Faiz bungkam. Mindanya masih memikirkan tentang kejadian sebentar tadi.
Eh kenapa semua orang tengok aku ni
Faiz bingung memikirkan mengapa setiap langkahan kakinya di sertai dengan mata-mata yang tajam melihat.
“Eleh, nampak je alim. Pura-puralah tu”
Telinga Faiz menangkap suara seseorang namun kepalanya tidak berani menoleh.
“MasyaAllah, Faiz” Bahunya ditepuk seseorang. Faiz menoleh, dan terasa ingin dipeluk sahaja batang tubuh Uwais di hadapannya.
“Uwais, tolong ana, ana tak tahu kenapa hari ni semua orang macam nak telan ana”
“Ikut ana”
Faiz mengekori langkah Uwais yang akhirnya tiba di sebuah kelas kosong. Uwais membuka beg laptopnya dan mencari rangkaian internet. Emailnya dibuka.
“Faiz” Uwais memanggil.
“Ya”
“Mari sini sekejap.”
Faiz melangkahkan kakinya merapati Uwais. Uwais menghalang Faiz daripada melihat ke arah laptopnya.
“Nanti. Ana harap enta bersabar banyak-banyak. Ini ujian Allah”
“Kenapa ni?” Faiz gelisah.
“Ni...” Uwais menunjukkan emailnya.
Faiz hampir-hampir rebah melihat semua gambarnya bersama Ayu. Jijik.
* * *
Hamdi mundar-mandir di dalam bilik. Sesekali matanya menjeling tubuh Faiz yang asyik berselubung di atas katil. Sudah dua minggu Faiz begitu, rutin hidupnya yang selalu sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah kini bertukar 360 darjah!
Faiz hanya pergi ke kelas dan kemudian balik ke bilik. Wajahnya pula semakin cengkung dek kerana kurang makan.
Hamdi mendengus. Hidupnya mula terasa bosan tanpa ceramah percuma dan teguran daripada Faiz. Matanya menjeling lagi tubuh Faiz yang semakin tidak terurus.
Ni tak boleh jadi!
Pantas kakinya dihayun dan berdiri di sebelah katil Faiz.
“Faiz” Hamdi memanggil. Tegas.
Diam.
“Faiz!" Suaranya ditinggikan sedikit.
Diam.
Hamdi berang. Pantas tangannya memegang bahu Faiz dan mendudukkannya.
“Kau nak apa ni Di....” Faiz bersuara lesu.
“Kau tanya aku nak apa? Kau ni dah kenapa Faiz? Mana Faiz yang dulu?” Hamdi membetulkan posisinya agar duduk berhadapan dengan Faiz. Faiz harus disedarkan!
“Kau tak nampak ke, satu universiti dah tak suka kat aku. Nama aku dah busuk Di, aku malu..” Faiz mula mengalirkan air mata. Wajahnya yang mula cengkung ditambah pula dengan deraian air mata dan rambut yang agak kusut benar-benar menyentuh sanubari Hamdi.
“Faiz, kau lupa ke maksud nama kau apa? Pemenang. Seorang pemenang tak boleh cepat mengalah macam ni. Seorang pemenang akan bertungkus-lumus mengalahkan lawan. Kau nak biar nama kau busuk sampai bila? Kalau kau sendiri tak bangkit, siapa lagi nak perbaiki keadaan? Bukankah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasibnya sendiri?”
“Tapi aku tak tahu nak buat apa..”
“Tu alasan,Faiz. Allah dah janji, setiap masalah ada jalan penyelasaiannya. Kau lagi arif daripada aku. Bangkitlah Faiz, kau tak boleh terus macam ni, kau penggerak ummah! Kalau kau lemah, apa jadi kat ummah? Faiz, kalau kau tak kesian kat diri kau sendiri, kesianlah kat ummah yang dah semakin parah. Aku rindu pada Faiz yang tidak pernah tinggal untuk solat berjemaah di masjid hatta sakit sekali pun!”
Faiz tidak menjawab. Terhenggut-henggut badannya menahan tangis yang semakin menderas. Hamdi menepuk-nepuk bahu Faiz. Matanya turut digenangi air, memikirkan beban yang dipikul Faiz. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.
“Tinggalkan aku sendiri, Di...”
Hamdi akur, kakinya mula melangkah keluar bilik. Air matanya tumpah jua, terbayang kembali bagaimana sikapnya terhadap wanita, terasa hina kerana biar pun dirinya yang terlibat dalam pergaulan bebas, Allah memilih Faiz untuk ditunjukkan kasih sayangNya.Hidayah Allah seolah-olah telah meresap dalam hatinya.
Faiz, semoga kau tabah dan sabar. Aku rindu Faiz yang dulu... Aku janji lepas ni aku akan teman kau menjadi penggerak ummah!
* * *
Hamdi membuka pintu bilik perlahan-lahan, bimbang akan mengganggu Faiz dan sebaik sahaja pintu bilik terbuka, kornea mata Hamdi menangkap imej Faiz yang sedang khusyuk berdoa sambil menangis. Hamdi membiarkan. Tubuhnya dicampak ke atas katil. Matanya dipejamkan.
“Di..”
Oh Allah, rindunya aku pada suara itu yang sentiasa menasihatiku.
“Di...”
Ya Allah, ubatilah rinduku ini..
“Di!”
Hamdi membuka matanya. Terpinga-pinga dia sebentar tatkala melihat batang tubuh Faiz berdiri tegak di sebelah katilnya. Matanya digosok-gosok seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Faiz tersenyum.
“Kenapa Di?” Faiz kehairanan melihat Hamdi yang tidak keruan.
“Er, takde, aku ingat aku berangan tadi dengar suara kau”
Faiz tergelak kecil dan melangkah ke lockernya. Sehelai jubah baru berwarna hijau lembut diambil dan disarung ke tubuhnya. Rambutnya disisir rapi.
“Kau nak ke mana ni?” Hamdi bertanya cemas.
“Aku nak jumpa Uwais.”
“Buat apa?”
“Di, aku pemenang!” Faiz menjawab ringkas dan berlalu meninggalkan Hamdi yang terpinga-pinga.
* * *
“Em, lamanya.” Faiz mengeluh, sesekali jam ditangannya dikerling. Raut kegelisahan jelas terpamer di wajahnya.
“Sabarlah Faiz, berzikir dahulu, selepas ni kita tidak tahu apa yang akan berlaku.” Uwais di sebelah menasihati.
Pertemuan antara Ayu dan Faiz di wakaf yang terletak di Taman Ilmu yang sengaja diatur oleh Uwais untuk menyelesaikan segala-galanya jelas mengundang kegelisahan buat diri Faiz. Uwais tenang. Jam casio di tangan di kerling sekilas.
“Hm, janji pukul 2 ni dah 2.30. Dia datang ke tak ni” Faiz mengeluh lagi.
“Faiz, duduklah, apa-apa pun ingatlah kita nak selesaikan masalah dengan cara berhikmah.”
Faiz akur dan mengambil tempat di sebelah Uwais. Hatinya mengalunkan zikir.
“Ha tu dia” Uwais menyenggol siku Faiz.
Faiz gelisah.
“Assalamualaikum” Ayu memulakan kalam, wajahnya kelihatan berseri.
“Waalaikumsalam” Serentak Uwais dan Faiz menjawab.
“Ada apa panggil Ayu ke sini?” Ayu bertanya tanpa menampakkan walau sedikit pun rasa bersalah.
“Beginilah ukhti, ana tak pandai nak berkias-kias, ana cuma nak penjelasan daripada enti tentang penyebaran gambar palsu ana dan enti” Faiz bersuara. Tegas.
Wajah Ayu berubah cemas.
“Mana Ayu tahu apa-apa”
“Ukhti, Allah lebih tahu apa yang enti lakukan. Takutlah pada Allah.”
Mata Ayu mula digenangi air mata. Faiz menundukkan pandangan, tidak tegar dia melihat air mata wanita yang mampu melumpuhkan iman lelaki.
“Ayu... Ayu terlalu sayangkan Faiz!” Akhirnya Ayu bersuara,jujur..
“Ana hargai rasa sayang pemberian Allah tu, rasa sayang yang suci tidak harus enti kotori dengan fitnah mainan syaitan. Rasa sayang yang suci tidak harus membutakan mata enti daripada melihat kebenaran dan kebatilan dan rasa sayang yang suci tidak harus membuatkan enti tunduk pada tuntutan nafsu.Bukan begini caranya enti menyalurkan rasa sayang tu, yang mana tindakan enti telah membusukkan nama ana...”
Ayu menangis.
“Maafkan Ayu, Ayu tak sangka jadi begini...”
“Enti, berginilah. Ana tidak mahu panjang-panjangkan kes ni, Ana cuma nak enti bersihkan kembali nama ana. Ana berjuang di jalan Allah,susah untuk ana berhadapan dengan mad’u yang mencerca ana atas maksiat yang tidak pernah ana lakukan. Mad’u ana yang dahulu pun sudah semakin jauh daripada ana dan Islam. Ana harap enti fikir-fikirkanlah.Jika enti tak mahu, ana terpaksa bawa kes ni kepada pihak atasan. Perbualan kita telah pun sahabat ana rekod melalui handphonenya.”
Ayu memandang Uwais. Uwais mengangguk.
“Jadilah mawar berduri yang berkembang mekar mengharungi arus dunia yang semakin kejam.Katakanlah yang benar walau pahit.”
Faiz mematikan ayatnya dan melangkah pergi bersama Uwais.
* * *
“Faiz! Tahniah, Ayu dah buat pengakuan. Memo-memo dah ditampal menyatakan kemaafan pada kau”
Hamdi tersenyum girang menyatakan berita itu kepada Faiz yang sedang duduk berteleku di meja belajarnya. Bagaikan masih kelihatan memo yang dibacanya di papan-papan notis menyatakan maaf pada Faiz.
Faiz tersenyum.
“Alhamdulillah, lapang dada ana... Syukur ya Allah.” Sebak dada Faiz memikirkan pertolongan daripada Allah yang tidak pernah berhenti.
“Di, syukran....” Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah menyedarkannya.
Hamdi membalas pelukan itu.
“Uhibbuka fillah” Faiz bersuara sebak.
“Uhibbuka fillah aidhon”
Faiz melepaskan pelukan, dilihatnya mata Hamdi dipenuhi air.
“Eh, Di kau menangis?”
“Mana ada, mata aku masuk habuk.” Hamdi mengesat matanya yang memerah.
“Eleh sudahlah. Ada hikmahnya Allah turunkan ujian ni, dapat aku tengok air mata kau.” Faiz masih mahu mengusik.
Sejenak, mindanya teringatkan Uwais. Lantas, handphonenya dicapai dan dia mula menaip.
Salam ya akhi, syukran atas segalanya. Hanya Allah yang dapat membalas jasamu.
“Faiz” Hamdi memanggil, perlahan.
“Ya”
“Aku.. Aku nak jadi penggerak ummah juga”
Faiz terpana.
“Boleh sahabatku...”
Sekali lagi, Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, seerat janji yang dipatri, seutuh ikatan yang dibina...
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Saturday, May 30, 2009
Kau Penggerak Ummah!
Labels:
Koleksi cerpenku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Alhamdulillah, kisah ni banyak menyedarkan ana...semoga masih banyak kisah berunsur dakwah dapat dihasilkan..Tahniah atas kisah yang penuh kesedaran nie...
Alhamdulillah..
Segala puji padaNya yang telah menyedarkan enti...
Salam juang... :)
Post a Comment