Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, May 31, 2015

Allah Bersama Orang Yang Sabar


"Aku penat!" Teriaknya perlahan. 

Aku memandang wajahnya, terlihat beberapa titis air jernih mulai turun dari kelopak matanya yang lesu. Angin sepoi-sepoi bahasa mula menyengetkan lipatan tudungnya. Dia tak peduli. 

"Kenapa?" Aku bertanya, meski aku sudah tahu.

"Aku penat. Penat mahu jaga hati manusia. Sedangkan tak ada siapa yang jaga hati aku. Aku penat. Penat dinilai begitu begini. Aku penat. Penat mengajak manusia ke arah kebaikan tapi yang mereka mahu cuma kemusnahan. Aku penat. Penat dengan semuanya." Bergetar suaranya, sambil tangannya yang halus mengesat air jernih yang semakin galak turun. Hidungnya merah, namun dia tetap kelihatan ayu di pandangan mataku.

"Tapi.. Allah kan ada?" Spontan ayat itu meluncur laju dari mulutku tanpa sempat aku tahan.

"Kau terlalu cliche. Aku sudah terlalu bosan mendengar kata begitu." 

Aku terhenyak ke alam realiti. Sedar akan kesilapan diri, otakku ligat menyemak semula subjek psikologi yang pernah aku belajar di semester dua pengajian. Tatkala hati manusia sedang memberontak, tak ada gunanya dicurahkan nasihat beribu, pasti ditolak.

Lalu aku diam, merenungnya dalam-dalam. Aku kelu, aku kira dia seorang wanita hebat tanpa aku sedar hatinya menanggung sebuah seksaan berat.

"Kenapa kau diam? Kau pun setuju dengan aku? Penat dengan semua yang berlaku?" Dia memecah hening.

Aku tersenyum, memeluk bahunya erat. "A ah aku setuju. Dunia memang memenatkan. Cuma aku terfikir kalaulah dahulu Rasulullah mengeluh penat dan berhenti dari menyeru manusia ke arah kebaikan, di manalah kita sekarang ini? Kalaulah Imam Syafie mengeluh penat merantau mencari ilmu, apalah rujukan kita hari ini?" 

"Kau terlalu memandang mundur ke belakang. Kita hidup di zaman ini, cabarannya berbeza." Matanya merenung jauh ke hadapan.

"Lalu bagaimana jika tentera Al-Qassam di Palestin mengadu penat dan membiarkan sahaja Israel bermaharajalela? Bagaimana jika mujahidin Syria mengeluh penat dan membiarkan sahaja Basyar membunuh semua rakyat yang tak berdosa? Aku rasa mereka jauh lebih penat dari kita. Apalagi dengan dunia yang seolah diam membisu"

Kali ini dia diam, kataku tidak dibalas. Dia termenung, nafasnya dihela perlahan. Aku mengambil sekeping kertas dalam beg tanganku dan menulis ;

Sahabat, dunia ini memang lelah, kau beruntung kerana Allah mengingatkan yang kau sekarang berada di dunia, bukan di syurga. Tidakkah kau belajar dari alam? Kau suka melihat pelangi, tapi bagaimana mungkin kau mampu melihat pelangi yang bersinar cantik tanpa perlu kau menadah hujan sebelumnya? 

Sahabat, aku tinggalkan kau sendiri, aku kira kau perlukan waktu untuk diri, untuk berdua-duaan -- cukup antara kau dengan Tuhan. 

Lalu tangannya ku ambil, nota diberi, aku memeluknya perlahan sebelum kaki melangkah pergi.

Sahabat, aku harap kau thabat di jalan ini. Aku tak mungkin selalu di sisi, tapi aku tahu Allah tak pernah melepaskan kau pergi.....

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat; sesung-guhnya Allah adalah beserta  orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 153)


Salam cinta.

Mastura Mohd Yusuf,
Johor Bahru. 

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .