Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, May 25, 2015

Belajar Dari Hajar



Buat kamu yang dilanda ujian..

Dengarilah, sayang..

Tatkala Hajar ditinggalkan di sebuah tanah gersang bersama anaknya Ismail, Ibrahim kelihatan tidak tegar.. Bagaimanakah tegar hati seorang suami meninggalkan kecintaannya di tanah gersang yang tiada manusia ditambah lagi dengan terik mentari yang tak tertahan dek tubuh badan.

Hajar tahu akan kegusaran suaminya lalu Hajar bertanya, “Wahai kekanda, adakah ini perintah dari Allah?”

“Ya.” Jawab Ibrahim.

“Jika begitu, janganlah kau gusar, Allah pasti tidak akan meninggalkan kami sendiri.”

Lalu Hajar diitnggalkan di tanah gersang kota Makkah. Di bawah teriknya mentari, Ismail yang masih bayi menangis sekuat hati. Hajar meletakkannya ke bumi, lalu dia mula berlari-lari dari Safa ke Marwa tanpa henti.

Sesekali matanya mengecil melihat kejauhan, mana tahu ada mata air yang tak kelihatan? Sesekali matanya mengerling pada anak yang ditinggalkan, masihkah dahaga si kecil yang kepenatan? Sesekali dia menjengah jauh ke ufuk sana, mana tahu ada yang sudi meringankan beban.

Hajar berlari dan berlari sehinggalah sempurna 7 kali, antara percaya dengan tidak, sayup-sayup kelihatan mata air berkilau berhampiran anaknya Ismail. Dengan langkah yang begitu longlai dia bersegera menuju ke arah anaknya, kedua-dua kakinya seolah-olah tidak sabar sehingga acapkali dia tersungkur rebah ke tanah. Namun jiwanya tiada lagi resah, di dadanya terbit debar tidak sabar-sabar memastikan akan kewujudan mata air yang bersinar.

Hajar tidak pernah mempersoalkan mengapa Allah tidak timbulkan mata air di sepanjang laluannya antara Safa dan Marwa, malah dia tidak pernah merasakan bahawa perbuatan itu hanya sia-sia. Begitu istimewa Hajar menunjukkan adab orang-orang yang beriman, yang manusia itu tugasnya cuma berusaha, selanjutnya terpulanglah kepada Yang Esa.

Hajar tidak pernah membentak suruhan Allah tatkala ditinggalkan di tanah gersang tanpa manusia, betapa Hajar mengajar sebuah erti percaya yang tidak berbelah bahaginya kepada Pemberi Bahagia. 

Dan akhirnya Hajar wanita budiman itu diberi pertolongan oleh Yang Maha Kuasa. Siapa sangka akan timbulnya mata air begitu hampir dengan anaknya Ismail, malah pasti tidak terfikir pun oleh Hajar bahawa mata air itu membawa beribu keberkatan sehingga kini.

Dan Allah ‘menilai’ kesusahan Hajar berlari antara Safa dan Marwa sehingga perbuatan itu diabdikan dalam umrah dan Haji, diberi nama Sa’i.

Begitulah Allah menghiburkan hati orang-orang yang beriman. Dalam setiap ujian terkandung seribu macam hikmah yang tak terjangkau dek akal manusia seperti kita. Dalam pada kereta rosak mungkin Allah mahu menyelamatkan kita dari kemalangan yang tak terduga. Dalam pada dilanda sakit, Allah mahu menghapuskan dosa yang berbukit-bukit.

Ah, begitu baiknya Allah, cuma kita yang sering bersangka yang tidak-tidak. Kawan, teruslah berpegang pada taliNya, teruslah yakin pada janjiNya ; Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Al-Baqarah : 286). Teruslah bergerak penuh cinta, dan teruslah bersangka baik pada Yang Maha Kuasa.

Satu hari kita pasti tersenyum dan jatuh cinta bila Allah lihatkan perancanganNya yang rapi buat kita!

kau rasa penat dengan dunia? rilekslah, kawan! ini dunia kot, bukan sorgaa. ;)

Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.(Hadith Qudsi)

wallahu’alam. @-;—  > ini bunga ros, jangan sedih lagi yaa :D

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .