Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, May 10, 2015

Selamat hari ibu



Masa saya kecik, saya selalu tanya mak, "mak kenapa mak makan banyak vitamin?"

Mak akan jawab, "sebab mak tak boleh sakit. Mak nak jaga awak, jaga abah." 

Dan memang mak jarang sakit. Mak jarang demam. Walaupun mak demam, mak mesti buat-buat tak demam. Baju tetap bergosok, rumah tetap berkemas, saya dan adik-beradik tetap ke sekolah.
Mak wanita bekerjaya, dan saya tahu betapa emak penat di pejabat, tapi balik rumah mak tak pernah nampak lesu. Singsing lengan dan siapkan semua kerja. Saya juga tahu betapa emak sering kali terlelap ketika melakukan kerja-kerja yang ada.

Bila dah besar dan bekerja, saya jadi terfikir-fikir bagaimana seorang emak itu mendapat 'superpower' menguruskan anak-anak dan sebagainya, lalu saya bertanya lagi, "emak, macam mana mak kuat? Wawa balik kerja je mesti penat. Macam mana mak dulu tak penat?"

Dan emak akan selalu membalas dengan senyuman, "sebab emak ialah emak."

Emak tak pernah menunjukkan rasa risau, tak pernah menangis hingga saya fikir emak tak punya perasaan. Namun ketika saya berumur 6 tahun, saya dilanggar sebuah motor dan tertarik sepanjang jalan di hadapan mata emak, dalam sayup-sayup mata yang hampir tertutup saya mendengar emak menjerit,

"WAWA!!" Tika itu saya sedar rupanya selama ini segala ketakutan emak pendam sendiri. Segala resah emak telan, buat-buat tak peduli. Tapi hari itu emak tak dapat menahan diri, saya tak sedarkan diri dan emak sentiasa di sisi. Emak menangis. Emak gementar. Doa mak tak putus-putus hingga saya kembali sedar. Emak, maafkan wawa ya, selalu susahkan mak.

Tempoh hari, saya mendapat sengatan lebah. Lebam, demam dan sakit seluruh badan. Seharusnya saya memandu kereta pulang ke JB, tapi dengan keadaan yang tak mengizinkan, emak - seorang wanita berumur mengambil alih tugasan. Emak tak merungut malah membiarkan saya tidur berehatan. Emak, maafkan wawa ya, selalu susahkan mak. 

Entah. Saya kurang mengerti di mana kalian yang bergelar emak mendapat sebuah tenaga luar biasa. Saya juga kurang mengerti adakah kalian tidak diberikan perasaan penat?. Saya benar-benar tidak mengerti bagaimana seorang emak itu yang dahulunya cumalah anak kecil yang berlari-lari lalu membesar dan memperjudikan nasib pada lelaki yang tak dikenali mampu menjadi begitu kuat.

Namun saya begitu mengerti, pada setiap titik peluh yang mengalir, pada setiap air mata yang ditahan, pada setiap kelelahan yang tak terkeluarkan, pada setiap untaian doa yang dititipkan, Allah akan ganjari syurga. Syurga yang tiada istilah penat. Tiada rasa gelisah.

Selamat hari ibu buat seluruh ibu di dunia.

Emak, terima kasih kerana menjadi sebuah madrasah yang baik untuk kami adik-beradik. Moga Allah perlihatkan rumah emak di dalam syurga, hingga setiap kelelahan tidak lagi dirasakan.

Emak, can u be by my side.. Forever?

Sayang emak, sampai syurga :')

****

Nota kaki :

Ada perbezaan pendapat ulama' dalam perayaan hari ibu, ada yang meletakkan hukumnya sebagai haram dengan berdalilkan perayaan ini tiada dalam ajaran Islam dan mengikut budaya orang kafir, 

Namun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang bersifat pertengahan, tidak berat dan tidak ringan. Para ulama' yang mengharuskan sambutan ini termasuklah syeikh yusuf al-qaradhawi (ketua ulama' sedunia) Dr Muhammad Bakar Ismail (prof tafsir di universiti Al-Azhar), dan Dr Abdul Fattah (ulama' Al-Azhar) dengan rumusan dalil keharusan mereka adalah :

1) sambutan ini adalah semata-mata penghormatan TAMBAHAN. Penghormatan kepada ibu tidak berkurang pada hari-hari yang lainnya.

2) Perayaan ini bukan upacara keagamaan. 

Muliakanlah persamaan, raikanlah perbezaan. :)

"Pendapatku benar, tetapi mungkin juga salah. Pendapat orang lain salah, tetapi mungkin juga benar" - Al Imam As Syafie.

Wallahu'alam.

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .