Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani.
Aduhai, siapalah yang tidak mengenali nama tokoh besar ini? beliau adalah penulis kitab tersohor Fathul Bari, sebuah penjelasan berkaitan Sahih Al-Bukhari yang diakui oleh para ulama’ akan tiada tolok bandingnya sehingga ke hari ini.
Usianya yang semakin lanjut tidak pernah melunturkan keinginan rakyat Mesir pada ketika itu untuk mengekalkannya sebagai Mufti dan Qadhi. Maka, untuk kemudahan dan keselesaannya, Raja Mesir pada ketika itu menyediakan sebuah kenderaan mewah buatnya, meskipun beliau menolak.
Suatu ketika, kereta yang dinaiki oleh Imam Ibnu Hajar melalui sebuah pasar. Tiba-tiba kereta itu berhenti secara mendadak. Brek telah ditekan secara mengejut oleh pemandunya. Di hadapan kereta tersebut, kelihatan seorang yahudi mendepangkan tangannya, menghalang kereta yang dinaiki oleh Imam tersohor tersebut dari terus bergerak.
Imam Ibnu Hajar pun keluar dari keretanya, dengan berpakaian serba putih, kemas dan cantik, berbeza dengan si yahudi yang berpakaian compang-camping, buruk dan berbau hapak.
“Wahai tokoh Islam!” Ujar si yahudi lantang. “Benarkah Nabimu bersabda bahawa dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir?” Rupa-rupanya si yahudi itu menghafal Hadith baginda Rasul yang mulia.
Imam Ibnu Hajar mengangguk-angguk, dengan senyuman yang manis beliau membalas, “Benar. Begitulah sabda Rasulullah s.a.w”
“Heh. Jika begitu, akulah mukmin dan engkaulah kafir!” kata si yahudi lagi, megah.
“Mengapa kau katakan begitu wahai saudara?” Tanya ibnu hajar sambil melontarkan sebuah senyuman.
“Cuba kau lihat, aku ini hidup susah, miskin, bajuku bercompang-camping dan lusuh, aku sungguh merasa terpenjara akibat kemiskinan aku dan dengan demikian terbuktilah bahawa aku adalah mukmin, sedang kau hidup mewah, tampil megah, berkereta indah. Kehidupan kau begitu bahagia seolah-olah kau berada di syurga, maka dengan demikian terbuktilah bahawa engkau sebenarnya kafir.” Balas si yahudi yakin.
Imam Ibnu Hajar mendengar dengan baik sambil mengangguk-angguk sebelum berkata, “Mahukah engkau mendengarkan penjelasanku akan makna hadith tersebut?”
“Ya.”
Imam Ibnu Hajar menyambung kata, “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin kerana segala kemewahan yang dinikmati di dunia ini sungguh tidak ada apa-apa maknanya di sisi mereka berbanding dengan nikmat yang dijanjikan Allah di syurga sana. Maka dengan itu, dunia ini masih menahan langkah kami dengan jarak dan waktu, masih menguji keimanan kami dengan rasa takut, lapar, lelah, kekurangan, kehilangan, kesempitan dan kesedihan. Walau bagaimanapun, di syurga nanti tiada lagi segala derita. Hanya nikmat yang akan dikecapi tanpa putus dan bosan. Sungguh, meskipun kau melihat kami tampak megah dan mewah, jiwa kami sedang terpenjara kerana menanti sebuah nikmat yang lebih hebat.”
Imam Ibnu Hajar berhenti sebentar sebelum menyambung, “Adapun engkau, meski kau katakan hidupmu di dunia ini penuh kepayahan dan penderitaan, semua kepedihan dan kepayahan itu tidak ada tolok bandingnya dengan seksaan di neraka kelak. Pada saat kau di dunia kau masih boleh bernafas, makan bila lapar, memiliki anak dan isteri. Dunia yang kau rasakan seperti neraka ini hakikatnya adalah syurga buatmu. Kau masih boleh tersenyum, berjalan dan berlari. Betapa ‘syurga’nya itu berbanding sebuah seksaan abadi di neraka nanti. Api yang menghangus, air yang mendidih, dan makanan berupa darah dan nanah”
Yahudi itu terpana. Lantas dia menunduk, beberapa ketika kemudian dia mengangkat kepalanya dengan mata berkaca-kaca lalu mengucapkan “Asyhadu Allaa Ilaaha Ilallah, Wa asyhadu anna Muhammadur Rasulullah.”
Imam Ibnu Hajar lantas memeluknya tanpa mempedulikan bau hapak yang menyelubungi atau betapa kotornya baju si yahudi itu. Mereka berpelukan erat. Si yahudi itu di bawa ke rumah Imam Ibnu Hajar, dididik dan akhirnya menjadi salah seorang muridnya yang utama.
Dan sungguh, bagi setiap orang yang soleh itu, kata-katanya ibarat air dingin yang menyusupi tekak yang kontang. Ia tenang. Ia damai. Ia membahagiakan.
Adakah Islam melarang umatnya bercantik-cantik? Bahkan tidak. Malah Allah itu cantik dan suka pada kecantikan. Adakah Islam melarang umatnya menjadi kaya? Bahkan tidak. Saidina Uthman bin Affan adalah sahabat Nabi yang kaya, malah dengan kekayaannya mampu menyumbang kepada pembangunan Islam. Asal sahaja, hati kau meyakini bahawa ada nikmat yang lebih indah, di syurga nanti. Dengan syarat ; kau patuh pada pemilik syurga itu sendiri.
Berhentilah menilai manusia. Kita tak tahu hati siapa yang lebih dekat dengan Dia-Pencipta seisi manusia.
Psst.. Jom miliki hati mukmin!
Wallahu’alam :)
No comments:
Post a Comment