Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, April 17, 2015

Belajar Dari Yunus



Lelaki itu melangkah marah. 

Bertahun sudah dia menjalankan tugas dakwah yang berat, namun yang dia terima cumalah cercaan semata. Dia pergi meninggalkan negerinya dengan harapan Allah menurunkan azab kepada kaumnya seperti yang berlaku pada kaum Nuh, ‘Ad dan Tsamud.

Tapi lelaki itu yang bernama Yunus pergi sebelum diarahkan pergi. Dia pergi kerana kurang kesabarannya lalu Allah Yang Maha Pengasih bertindak mengajarnya sesuatu.

Yunus menumpang sebuah kapal, ribut menjelma, badai menggulung dengan sungguh mengerikan, hingga mereka yang berada di dalam kapal percaya seseorang harus dikorbankan, apatah lagi kapal tersebut dirasa sudah melebihi muatan. Undi pun dicabut, nama Yunus yang terplih, tidak puas hati, undi dicabut lagi buat kali kedua dan ketiga, tetap yang tertera adalah nama Yunus a.s.

Sang Nakhoda berasa tidak tega, Yunus kelihatannya seperti orang yang baik-baik, namun kerana sudah tiga kali undian dibuat dan tetap nama Yunus juga tertera, sang nakhoda tiada pilihan, seolah-olah Yunuslah yang diminta penguasa lautan. 

Takdir Allah pun menjelma, seekor ikan membuka mulutnya luas, menyambut ketibaan Yunus ke dalam lautan dan pergi ke dasar laut yang paling dalam. Malah ada riwayat yang mengatakan bahawa ikan yang menelan yunus telah ditelah oleh ikan yang lainnya dan pergi ke dasar lautan. Hiduplah Yunus dalam sebuah kelam yang kelam, dan kelam dan kelam…

Kata seorang ilmuwan, “Allah menciptakan manusia dengan menggariskan padanya bahawa membuat kesalahan adalah perkara yang mungkin, tapi dengan kasih sayangNya, Allah juga membukakan pintu taubat agar menjadi sebuah tempat bersimpuh dan sandaran berteduh, menjadi sebuah mahligai syahdu bagi manusia bermesra, meminta dan beroleh kurnia.”

Demikian lah yang berlaku kepada Yunus a.s. Dalam sebuah kegelapan yang dalam, Yunus merintih, dan menangisi kelemahannya. Kata Yunus :

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha suci Engkau, sungguh aku termasuk orang yang berbuat aniaya (Al-Anbiya : 87)

Begitulah doa Yunus, begitu merendah diri, tidak pula Yunus membentak-bentak, tidak pula ditanya mengapa dia ditelan, tidak juga minta disegerakan keluar dari kegelapan perut ikan. Yunus cuma mengakui kelemahan diri. Dia mengakui keterlanjurannya. Sungguh! aku termasuk dalam golongan yang berbuat aniaya. 

Dan demikian selepas itu, Allah Yang Maha Mendengar menjawab doa Yunus. Yunus bukan sahaja dikeluarkan dari perut ikan, malah dia tidak perlu berenang kerana terus ‘dimuntah’kan keluar di persisiran pantai dan di sana terdapat sebatang pohon yang berbuah, lalu tatkala Yunus kembali sedar, dapat pula dia mengisi perutnya dan terus berasa bugar.

Yunus berjanji untuk tidak berputus asa, lalu kembali lah dia ke negerinya dan betapa Yunus terkejut, tatkala dia tiba di negerinya, seluruh kaumnya telah pun beriman kepada Allah. 

Begitulah berkat kekuatan doa Yunus,bukan sahaja dirinya dikeluarkan dari kegelapan, malah kaumnya juga turut diberikan hidayah. Allah telah memakbulkan doa Yunus tepat tatkala dia merasa berdosa di hadapan Allah. Dakwahnya berjaya, ketika dia merasa tidak berdaya.

Begitulah hebatnya Allah merancang perjalanan hidup manusia, terkadang tak mampu terjangkau dek akal kita, percaya, itu kuncinya.

Bukankah begitu selayaknya adab seorang hamba kepada Pencipta?

:)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .