Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, April 13, 2015

Julaibib


Julaibib. Namanya tidak begitu megah. Namanya jarang didengar. Lahirnya pula tanpa dia tahu siapa ayah dan ibunya. Begitu juga, dia langsung tidak mengetahui siapa ayah, siapa ibunya.

Begitu pula, tiada siapa yang tahu akan nasab keturunan Julaibib. Bagi masyarakat Yathrib pada ketika itu, tidak diketahui dari mana asal-usulnya adalah satu kecelakaan yang tak mungkin terampun.

Julaibib adalah insan tersisih, terbuang. Tiada siapa yang mahu menghampiri dirinya, sudahlah tidak diketahui asal usulnya, fizikalnya pula begitu menjelekkan di mata masyarakat. Dia pendek, bongkok, hitam dan juga fakir. Pakaiannya lusuh, tidur berbantalkan lengan sehingga seorang pemimpin Bani Aslam berkata, “Jangan biarkan julaibib menghampiri kalian!” 

Begitulah nasib Julaibib. 

Namun, ketetapan Allah sungguh yang paling indah, jika Allah menghendaki kebaikan maka tiada siapa yang mampu menghalangnya, begitu juga apabila Allah menimpakan keburukan tiada siapa yang dapat melawannya. Julaibib mendapat hidayah dan selalu menjadi manusia yang berada di saf paling hadapan ketika solat dan juga jihad. Meski tiada seorang manusia pun yang sedar akan kewujudan Julaibib, namun tidak bagi seorang Rasul.

Suatu hari, Rasulullah s.a.w datang menemui Julaibib, “Wahai Julaibib, tidakkah engkau ingin menikah?” 

Julaibib termenung, “Siapalah yang mahu menikahkan puterinya kepadaku, ya Rasulullah?” Julaibib cuba mengukir senyum. Tiada riak menyesal mahu pun berduka, melainkan air wajahnya tenang, redha dengan apa yang telah Allah tetapkan.

Rasulullah juga tersenyum, dan keesokkan harinya baginda tetap bertanya persoalan yang sama, “ Wahai Julaibib, tidakkah engkau ingin menikah?”

Julaibib tetap memberi jawapan yang sama sehingga persoalan itu berlegar lagi selama tiga hari berturut-turut. Dan, ketika hari ketiga itulah Rasulullah memimpin tangan Julaibib dan dibawa ke rumah seorang pemimpin Ansar. 

“Aku ingin… meminang puteri kalian.” Rasulullah membuka bicara.

“Alangkah bahagianya kami! sudah tentu ia menjadi cahaya yang mengyingkirkan kegelapan dalam rumah kami, ya Rasulullah.” Sahut pemimpin ansar tersebut, menyangka Rasulllah akan menjadi menantunya.

“Tapi, bukan untukku.” Rasulullah menyambung bicara. Berkerut-kerut wajah si pemimpin Ansar, “Aku ingin meminang puterimu untuk Julaibib.”

“Julaibib?” Si pemimpin Ansar nyaris sahaja memekik. 

“Ya. Untuk Julaibib.”

“Ya Rasulullah, aku harus meminta pandangan isteriku berkenaan ini.” 

Lalu pemimpin Ansar itu pun berbincang dengan isterinya dan pastinya si isteri langsung tidak bersetuju. Ketegangan berlaku, namun ia tidak lama kerana di sebalik tirai yang ada, si gadis mendengar segalanya.

“Siapakah yang meminta?” tanya si gadis yang jelita. 

Ibu dan ayahnya menjelaskan segalanya. Si gadis membalas tenang, “Apakah kalian hendak menolah permintaan Rasulullah? Bawa aku kepadanya, demi Allah, jika Rasulullah lah yang meminta maka sungguh ia tidak akan membawa kehancuran dan kerugian buatku.”

Rasululullah begitu terharu dengan ketaatan si gadis yang solehah, lalu Rasulullah membacakan doa “Ya Allah, limpahkanlah kebaikan ke atas mereka, dalam kelimpahan yang penuh berkah, jangan KAU jadikan hidupnya payah dan bermasalah.”

Tidak mudah menjadi seperti Julaibib. Hidupnya penuh dengan pilihan yang terbatas, namun hatinya tetap syukur, taat dan redha kepada yang Esa. Julaibib sedar, ketidak sukaan kita kepada sesuatu hanyalah cabang-cabang kebodohan dan keterbatasan akal seorang manusia.

Begitu, tidak mudah menjadi seperti si gadis jelita yang setuju menjadi isteri Julaibib yang kekurangan segalanya. Dalam ketaatan, dia tidak pernah merisaukan kemampuannya kerana dia yakin Allah akan membuka jalan keluar pada setiap kesukarannya. 

Saat Julaibib syahid, Rasulullah sengaja bertanya kepada para sahabat dengan satu soalan, “Apakah kalian kehilangan seseorang?”

“Tidak, ya Rasulullah.” Jawab para sahabat. Ternyata kewujudan Julaibib tidak kelihatan penting dalam kalangan manusia.

“Apakah kalian kehilangan seseorang?” Rasulullah bertanya lagi.

“Tidak, ya Rasulullah.” Sahabat membalas, tetapi kali ini dengan sedikit keraguan. 

Rasulullah menghela nafas, “Tapi aku kehilangan Julaibib.” Para sahabat tersedar lalu mencari mayat Julaibib.

Mayat Julaibib ditemui dalam keadaan yang penuh luka, Rasulullah mengkafankan sendiri mayat Julaibib dan mensolatkannya secara peribadi. Ketika tiba saat untuk dikebumikan, Rasulullah menyambut mayat Julaibib, diletakkan ke tanah, dan pada ketika itulah satu kalimah disebutkan, yang menggetarkan hati seisi yang ada ;

“Ya Allah, dia adalah bahagian dari diriku, dan aku adalah bahagian dari dirinya.”

Ya. pada kalimat itu, tidakkah terbit rasa cemburu?

Ah, Julaibib, tanyakan pada Tuhan siapa aku disisiNya..?

:’)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .