Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, May 14, 2014

Abah Hilang


"Eh mana abah?"

Kapal terbang kami dari Beijing baru sahaja mendarat di lapangan terbang KLIA2. Saya dan emak menunggu bagasi dan abah yang dibantu oleh petugas AirAsia ditolak menggunakan kerusi roda dan diletakkan di ruang menunggu.

Tapi, lepas semua bagasi telah diambil, kami tercari-cari di mana abah. Tidak terlihat kelibatnya di ruang menunggu.

Emak mula panik.


Kami melangkah menuju ke kaunter pertanyaan lalu kami diarahkan pergi ke kaunter AirAsia. Bertungkus lumus kami menolak beg ke sana-sini.

Petugas AirAsia juga kelihatan bingung.

"Takpe, awak dengan makcik tunggu sini. Biar kami cari pakcik."

Kami akur, kembali ke ruang menunggu.

5 minit, 10 minit, 30 minit, 1 jam.. Petugas tersebut masih belum lagi muncul.

Sekejap sekejap saya lihat jam di tangan. Saya buntu. Abah sudah menghidap penyakit tua. Fikirannya sudah tidak berapa ingat. Jalannya kerap kali jatuh menyembah bumi. Mulutnya pula sudah tidak petah lagi bertanya itu ini. Bagaimana jika abah terjatuh di pertengahan jalan? Bagaimana jika abah tak tahu ke mana arah tujunya? KLIA2 tu besar dan ramai manusia. Ah, bagaimana keadaan abah?

Selepas 1 jam, petugas AirAsia muncul di hadapan kami.

"Cik, kami dah cari dah, dah 3 kali pusing airport tapi tak jumpa."

Satu keluhan saya lepaskan. "Tadi memang letak sini ke?"

"A ah tadi ada sini."

"Agaknya dia ingat kitorang tinggalkan dia kot." Saya membuat andaian.

"Macam mana ye.."

"Dekat tempat parking dah cari juga ye?" Tanya saya. Meski dalam hati saya tidak berharap begitu. Lebih susah jika abah ke tempat parking. bertingkat-tingkat dan sukar dicari.

"Belum. Saya pergi cari sekarang." Ujarnya lalu berlalu pergi.

Saya duduk kembali di sebelah emak.

"Mana lah abah pergi ni...Mak takut abah jatuh, orang bawa abah pergi hospital pulak.." Emak mula bersuara lemah.

Ah, tak boleh jadi ni. "Mak, biar wawa pergi cari. Mak tunggu sini je eh." Lalu saya bangun, beg digalas di bahu.

"Bismillah. Allahumma yasir wala tu'asir rabbi tamim bikhair, birahmatikaya Arhamanrahimin.." Saya melangkah. Dalam hati tak putus berdoa, "Allah mudahkan jangan Kau susahkan. Allah mudahkan aku bertemu ayahku."

Setiap langkah saya diiringi doa itu. Saya percaya Allah Maha Mendengar dan tak pernah mengecewa. Kaki mula saya atur ke bahagian Mall, mata melilau mencari. Hampa.

Lalu saya bergerak lagi, mata ke kanan ke kiri. Hati tak putus berdoa.

Tiba-tiba, sedang kaki dihayun, saya terlihat kelibat abah. betul-betul di hadapan saya. Hanya lebih kurang 10 meter jaraknya dengan saya. Abah kelihatan bingung sambil memegang tongkat. Tidak hiraukan lagi keadaan diri saya pada ketika itu, tidak hiraukan lagi mata-mata yang memandang, saya berlari sekuat hati.

"Abah!"

Abah menoleh. Matanya kelihatan resah. Ada gusar di wajahnya. Pasti abah penat. Abah sudah berjalan hingga ke tingkat atas. "Mana mak?" Itu soalan pertama yang meluncur keluar dari mulut tuanya.

"Abah pergi mana?" Soalannya saya balas dengan soalan. Soalan saya juga tidak berjawab. Abah memegang bahu saya dan menuju ke ruang menunggu di mana emak berada.

Peristiwa ini benar-benar memberi saya sebuah pengajaran.

Benarlah Allah Maha Mendengar, benarlah firmanNya :

Berdoalah padaKu, nescaya Aku perkenankan (surah Al-Ghafir : 60)

ya Allah, dalam hati saya bercampur baur perasaan. Allah tak pernah mengecewa, hanya kita sebagai hamba selalu benar tak yakin padaNya. Pada Allah yang paling menepati janji. Kita lebih banyak bergantung pada manusia, sedangkan Allah tidak pernah walau sekali memungkiri janjiNya.

Siapa yang menggerakkan kaki abah untuk turun ke tingkat bawah di tempat saya sedang mencarinya sedangkan abah tak ingat jalan, abah mudah bingung di tempat yang ramai orang. Siapa pula yang menggerakkan kaki saya agar pergi ke tempat di mana abah berada, sedangkan petugas AirAsia telah pusing KLIA2 sebanyak tiga kali?

Allah. Allahlah yang mengatur segalanya. Dia tak pernah mengecewa, selalu memberi bahagia, pada hambaNya yang percaya..

Lalu hati ini bertambah cinta pada pencipta. Allahku, terima kasih kerana sering membantu tatkala aku menjadi buntu. Allahku, terima kasih kerana sering menemani tatkala dunia ku rasakan sepi. Allahku, terima kasih kerana selalu memberi bahagia tatkala jalan yang ku lalui dirasakan duka..

Melihat dunia dari jendela akhirat, ia benar-benar sesuatu yang ajaib.

ayuh, cubalah!

salam cinta.

Wassalam.


Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .