Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, March 29, 2010

Ana Sayang Mereka..

Ana mahu terbang tinggi bersama sahabat-sahabat


Ada orang berkawan tatkala suka,
Ada yang bersama ketika susah,
Dan aku... Berasa sangat bertuah,
Kerana dikurniakan kawan tatkala suka dan susah..


Ini bukan sebuah tazkirah. Bukan jua sebuah cerpen. Cuma, sekadar luahan hati jua ekspresi sayang kepada sahabat seperjuangan..

"Mas, kenapa nak pergi..." Satu-satu wajah sahibah ana tatap penuh sayu. Perasaan sayang yang menjalar sekian lama membuatkan kaki ana berat untuk melangkah pergi. Terkenang semula segala onak dan duri yang pernah dilalui bersama.

Mereka menghulur tangan tatkala ana jatuh.
Mereka mengesat air mata duka ana.
Mereka menggenggam erat tangan ana tatkala ana mahu tersungkur lemah.

Sungguh, ana terlalu mencintai mereka.

Hadiah daripada kawan-kawan... Terima kasih semua

Rakan-rakan sekelas perempuan sudah berkumpul di bawah tatkala ana memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Mereka melihat dengan air mata yang berlinangan, sekaligus merobek-robek hati ana melihat wajah duka terpamer pada insan yang ana kasihi.

Satu-satu sahibah ana dakap penuh erat. Mencium penuh mesra, mungkin itulah kali terakhir kami bertemu kerana ana perlu meneruskan perjuangan di tempat yang lain... Air mata tidak putus-putus membasahi pipi, jiwa bergetar....

"Nanti siapa nak cubit pipi kite lagi?"
"Siapa nak garis muka ainul lagi?"
"Mas, janganlah balik..."
"Mas, lupa kat Muna eh?"

Suara-suara itu menerjah ke gegendang telinga ana, membiarkan kelopak mata ana semakin digenangi air..

Syabab turut menyertai


Ketika bersalam-salaman di perkarangan asrama puteri, kelihatan teman-teman sekelas berjantina lelaki turun satu demi satu, menanti ana di luar asrama. Ana semakin terharu....

Ana dan mereka tidaklah selalu berbual, bahkan hanya berbicara ketika punya urusan penting.

Tapi benarlah, hati yang berukhwah kerana Allah sungguh-sungguh amat ajaib. Kami baru sahaja pulang dari Program Jejak Budaya di Kampung Lonek selama 3 hari 2 malam. Ana pasti sahabat-sahabat sekelas ana pasti berasa penat, tetapi mereka sanggup juga turun ke bawah untuk menghantar ana pulang...

Kenangan di Kampung Lonek

Ana tidak mampu lagi menahan sebak. Terima kasih duhai sahabatku...

Berat Hati


"Dah, Mas..pergilah. Pergi" Ayunni berkata, menangis,sambil menjauhkan diri dari ana. Ana tidak sanggup lagi melihat semua itu.

Tangan didepangkan. Ana mendakap lagi satu-satu sahibah penuh erat..

Kaki melangkah pergi, tapi hati tetap tertinggal di situ...

Salam kwn2, thx.. syg kamu kerana Allah


Ana menaip SMS itu ketika diri sudah pun berada di dalam kereta. Rasa rindu tidak terperi. Seorang sahibah membalas.

Rindu..tadi tengok gambar kat lonek.


Allah...Allah...

Satu-satu kenangan ketika Program Jejak Budaya menerjah ruangan kepala.

Main boling kelapa, Tarik upih, tangkap ikan guna tangan, persembahan dan banyak lagi...

Betapa ana merindui detik itu..

Sahabatku.. Setiap apa yang berlaku pasti punya hikmahnya.. Teruskan perjuangan! Biarpun kita jauh, moga kita tidak terputus hubungan..

Ya Allah, Sungguh, aku mencintai mereka kerana-Mu....

Duhai hati,
Bersabarlah..
Mungkin ini caranya Allah mentarbiyyahmu..

Wallahu'alam

Read More......

Saturday, March 20, 2010

Musibah Itu Dari Allah..



Terkadang kita menangis kerana
tidak memiliki sepasang kasut,
Tanpa kita sedar,
Ada insan yang menangis kerana...
TIDAK MEMILIKI SEPASANG KAKI...


Sudah lama ana tidak menaip... Entahlah, ana seolah-olah buntu dan kehilangan idea, mungkin lantaran dosa yang semakin menggunung tinggi.

Kepada yang membaca, doakan agar Allah sentiasa memegang hati ana...

Musibah itu dari Allah. Status yahoo messenger seorang sahabat seolah-olah menyentap tangkai jantung ana.. Ana semakin lupa bahawa musibah yang datang juga adalah dari Allah, di mana pada hujung musibah itu ada hikmah dan kegembiraan, jika kita terus bersabar, berusaha dan bertawakal kepada Allah - Tuhan semesta alam..

Istikharah

"Beristikharahlah, itulah jalan terbaik dalam membuat keputusan"

Kita biasa mendengar ayat ini lahir dari bibir teman, ibu, bapa atau siapa sahaja tatkala kita meminta sesuatu pandangan. Beristikharah, mungkinkah itu jalan terbaik?

"Enti, ana dah istikharah tetapi mengapa jalan yang dilalui masih sukar?"

Ana jua pernah terfikir begitu... Ana jua pernah beristikharah, namun setelah keputusan itu dibuat, ana semakin bingung. Seolah-olah masalah yang terbentang di hadapan mata merupakan simpulan tali mati, yang tidak mungkin akan terbuka.

Tetapi mengapa? Bukankah Allah adalah Maha Mengetahui Segala Sesuatu??

Ana bertanya kepada seorang sahabat.

"Enti tahu tak.. dulu ada sekali tu, Nabi nak kahwin, dia buat istikharah, jawapannya kahwin..(kahwin dengan anak angkat/sepupu ana tidak pasti). Lepas kahwin, istikharah lagi, kena cerai pula.. Nabi pun ceraikan. Hal ni bukan nak tunjuk Allah itu zalim atau tidak tahu, tapi hikmahnya adalah nak tunjukkan pada umat yang kita boleh kahwin dengan (anak angkat/sepupu)"

Ana terdiam, benarlah.. setiap aturan Allah itu pasti ada hikmahnya, cuma kita yang perlu bersabar..

"Tapi ana ni bagaimana pula? dulu... istikharah rasa nak buat keputusan ni, dah buat. lepastu rasa menyesal pula." Ana menyoal.

"Istikharah ni kena buat secara berterusan... Enti buatlah lagi.. Pasti ada hikmahNya kenapa dulu rasa nak buat keputusan tu"

Ya. Istikharah perlu dibuat secara berterusan sebagai bukti kita tidak berputus asa, jangan berputus asa sahabat! Jangan sesekali berputus asa kepada Allah, sedang Allah tidak pernah meninggalkanmu walau sesaaat.

Beristikharah, berikhtiar, bersabar dan bertawakal


Beristikharah sahaja tidak cukup. Selepas istikharah lakukanlah sedikit perbincangan bersama teman-teman yang boleh dipercayai atau keluarga sebagai salah satu langkah berikhtiar. Selepas itu bersabar dan bertawakallah kepada Allah..

Benar musibah itu dari Allah.. Tetapi andai kamu membandingkannya dengan nikmat yang Allah beri, pasti nikmat itu lebih banyak dan tidak terkira...

Jangan khuatir kerana Allah pasti akan memudahkan jalanmu... Biarpun sukar.. Biar payah....

YOU ARE NEVER ALONE!

Sahabat, jangan hilangkan senyuman di wajahmu, jangan sahabat... Ingatlah... mahar untuk ke syurga itu bukanlah rendah, tetapi perlu dibayar dengan peluh dan air matamu...

Jangan bersedih kerana setiap musibah yang melanda, Allah menghitung kepayahanmu dan akhirnya akan diganti dengan pahala yang bakal membawamu ke syurgaNya..insyaAllah.. Jadi sahabat, tidak sukakah kamu andai ditawarkan syurga?? :)


Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (An-Nur :19)


Sekadar sedikit catatan sebagai satu perkongsian... Moga sama-sama beroleh manfaat. Jumpa lagi..

Wallahu'alam

Jangan menangis wahai mata hati..
Menangislah andai cintamu
Ditolak ILAHI...


Read More......

Wednesday, March 10, 2010

Kamu Sedang Bersedih?


Ketika bibirmu tersenyum,
Hatimu pula bagaimana?


Ana tidak tahu mahu menaip apa, sejujurnya, ana dirundung kesedihan. Mungkin ini semua adalah ujian dari Allah. Tapi ana sedar, sesedih mana ana sekali pun, pasti ada sahabat yang lebih sedih dari ana, kan?

Mereka kata.... Ana benar-benar pandai menyembunyikan kesedihan, ketawa tatkala hati terluka, tersenyum tatkala mata dipenuhi air. Entah, ana tidak tahu.

"Mas kena share problem dengan orang lain, kalau tak nanti makin teruk."

Ana sendiri tidak tahu mengapa ana begini, menyembunyikan hati yang luka. Ana tidak tahu mengapa, mungkin ana tidak tegar melihat duka itu beralih jua ke arahmu sahabat, tetapi ana sentiasa tahu bahawa ana ada Allah di sisi. Seorang 'teman' yang begitu setia menemani hari-hari ana... Justeru sahabat, maafkan ana andai kalian terasa dengan 'kesenyapan' ini.

Sedih Itu Lumrah


Tunjukkan pada ana satu manusia yang tidak pernah merasa sedih dalam hidupnya. Lihatkan pada ana, satu manusia yang tidak langsung pernah menangis. Hakikatnya, kita sudah menangis sejurus selepas kita keluar dari rahim ibu....

Hati yang tidak dibasahkan dengan air mata bakal menjadi kering kontang dan tidak lagi basah mengingati Allah. Hati yang selalu menerima ujian dari-Nya, bakal menjadi sangat tabah sehingga mampu tersenyum tatkala ujian menimpa pada masa akan datang, maka doakan agar ana menjadi seorang hamba yang sabar,tabah serta menyedari hakikat bahawa ana ini hanyalah seorang hamba, yang dahulunya tercipta dari setitis air yang hina...

Ana pengkagum manusia itu...
Tetap tersenyum biarpun dihina,
Tetap berlembut biarpun dikasari,
Tetap bersabar biar sebenar mana ujian menghampiri..

Ana pengkagum manusia itu...
Tutur katanya berhemah,
Menghilangkan air di mata yang sedang basah,
Melembutkan hati yang sedang gelisah..

Ana pengkagum manusia itu...
Tidak pernah mengeluh malah sentiasa merendah diri,
Katanya "Salahkah andai aku ingin menjadi seorang hamba yang mensyukuri?"
Kaki bengkak tangis mengiasi,
Kepada Allah mengabdi diri...

Ana pengkagum manusia itu...
Berjiwa kebal, berhati kental,
Tetap bersabar biarpun derita..

Ana ingin menjadi sepertinya... Layakkah ana, menjadi seperti sebentuk figur itu... Rasulullah, ku merinduimu...

Kepada para sahabat yang juga sedang bersedih; Mari kita renung kembali ayat ini..


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Al-Baqarah : 286)


Sesungguhnya Allah itu sangat baik dan tidak pernah menzalimi kita, bahkan kita yang sering menzalimi diri kita sendiri sama ada sedar atau pun tidak..

Jadi mari kita kembali merenung ke dalam diri, menilai sekeping hati insani yang dikurniakan Ilahi.. Jika dipenuhi debu kekotoran, maka air mata pergantungan kepada Allah lah pembersihnya.

Jika insan lain melukakanmu, maka berilah kemaafan, kerana itu adalah sebaik-baik balasan.. Maafkanlah, sedangkan Nabi ampunkan umat :)

Menangislah... andai itu mampu menenagkanmu, tetapi ketahulah,menangis kepada Allah adalah sebaik-baik tangisan..

ya Allah! tabahkan..sabarkan..lembutkan hati-hati kami, agar kami bisa tenang menghadapMU nanti...

Wallahu'alam :)

Tika air mata itu jatuh berderai,
Biarlah hanya Allah yang mengetahui,
Biarlah DIA yang memujuk lara hatimu,
Juga tangis sendumu...

Read More......

Friday, March 5, 2010

Busana Muslimah


Wanita..
Anggunmu cantik menyerlah,
Tetapi untuk siapa kecantikan itu diserah?


Ana melihat wanita-wanita itu. Cantik sungguh ciptaan-ciptaan Allah itu melintasi jalan. Subhanallah! Namun, dalam masa yang sama, ana menahan satu rasa di dalam hati. Sedih bercampur marah pada diri sendiri, memikirkan seorang ana yang gagal memimpin tangan saudara sendiri.... Berjalan beriringan menaiki bahtera itu, menuju redha-Nya yang satu!

Kepala mereka cantik bertudung, amat menyukakan hati ana. Tetapi, kaki yang disarung seluar jeans ketat, tidak berstokin serta wajah yang dipenuhi make-up membuatkan ana berasa amat bersalah.

Saudaraku, maafkan diri ini kerana tidak mampu memimpin tanganmu....

Apa itu Aurat?


Mungkin ramai antara kita yang masih tidak mengetahui apa itu aurat. Untuk lebih spesifik lagi- aurat wanita.

Allah menyeru agar wanita menutupi aurat mereka, bukan menutupi urat. Maka... aurat wanita dengan lelaki yang bukan mahram menurut jumhur ulama' adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tudung yang dipakai juga haruslah tidak nipis sehingga menampakkan bentuk tengkuk, tudung tidak di pin di belakang sehingga menampakkan bonggol-bonggol rambut, pakaian haruslah tidak mengikut bentuk badan dan secara ringkasnya ;

- Telah berkata Aisyah RA “Sesungguhnya Asma’binti Abu Bakar menemui Nabi SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”

-Tidak nipis dan tidak bertudung dengan sanggul terlalu besar di belakang kepala seperti bonggol unta dan atas dari paras telinga... Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabda Baginda yang bermaksud :“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah, kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh” (Riwayat Muslim)

- Pakaian yang longgar sehingga menutupi bahagian-bahagian yang mampu menggiurkan nafsu lelaki seperti dada dan punggung.

- Warna pakaian tidak terlalu terang dan garang sehingga menarik perhatian lelaki untuk memandangnya.

- Tidak memakai bau-bauan yang keterlaluan, sehingga boleh dihidu oleh lelaki ajnabi. “Wanita apabila memakai wangi-wangian, kemudian berjalan melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini ( iaitu pelacur ). ” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

- Tidak menyerupai pakaian lelaki. “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki” (Riwayat Bukhari)

- Tidak menyerupai pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.

- Pakaian itu bukanlah untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Busana Muslimah


Pelbagai trend baju dan tudung telah pun diperkenalkan seiring dengan peredaran semasa, perkara ini seharusnya menggembirakan ana, kerana disebabkan oleh pereka-pereka fesyen yang kreatif ini, ramai di kalangan wanita Islam yang telah mengenakan tudung kepala.

Namun, trend yang tidak menepati syara' kembali menukar senyuman ana menjadi suram. Benar, fitrah wanita itu suka akan kecantikan, bahkan wanita itu sendiri merupakan kecantikan kepada dunia. Tapi, sebaik-baik kecantikan adalah yang tertutup rapi. Bahkan firman-firman Allah yang turun adalah sebagai satu pendinding untuk wanita melindungi diri. Cuma kita yang masih tidak menyedari.

Tidak, ana tidak menghalang wanita-wanita Islam mengenakan fesyen apa sekali pun, asal sahaja ia tidak bercanggah dengan syara' maka ana akan mampu tersenyum megah kerana itulah identiti muslimah sebenar- syara' didahulukan. Dan ana tahu bahawa Rasulullah tersenyum sama di sana........

Sebagai seorang Muslimah yang beridentitikan Islam, kita harus sentiasa sedar agar busana muslimah yang dikenakan tidak mengheret kita ke dalam api neraka. Wanita kafir, apabila berpakaian akan berfikir bagaimanakah pandangan manusia terhadap aku, tetapi Muslimah Islam, apabila memakai pakaian akan berfikir BAGAIMANAKAH PANDANGAN ALLAH TERHADAP AKU?

Ingatlah, andai wanita itu menutup aurat dengan sempurna, bermakna ia telah menjaga maruah dirinya, serta maruah seluruh muslimah yang lain.

Nota ringkas ini dicipta kerana ana sayang kalian.... Terlalu sayang kerana Allah...


“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )



Wanita itu...
Terkadang ana terfikir,
Sudahkah ana memberikan hak mereka kepada mereka,
Iaitu mengingatkan tatkala mereka lupa.


Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, March 3, 2010

Mari Memiliki Hati

Rasulullah dahulu lebih sibuk kan sahabat?

Kesibukan melanda...

Membuatkan ana sedikit ralat untuk menarikan jari-jemari ana di atas papan kekunci laptop tersayang. Benarlah.. Jika kita benar-benar menggunakan masa, maka tiada istilah istirahat bagi seorang penegak agama-Nya.

Atas kesulitan ini, ana pohon berjuta kemaafan.

Cuma, hari ini ana merasa sedikit sedih kerana ramai di antara kita yang tidak lagi memiliki sekeping hati insani...

Laporan Akhbar


Ana menilik akhbar itu. Setiap hurufnya dibaca. Hati menjadi pilu, jiwa membara. Justeru, ana tidak tahu apakah jenis perasaan yang menyelubungi diri ana tatkala itu. Mungkin sedih bercampur marah. Membaca dua tajuk itu cukup memilukan...

Rumah dirompak dan isteri dirogol.
Kanak-kanak berusia 15 tahun dirogol 15 lelaki.


Allah....

Seseorang yang memiliki hati dan jiwa insani tidak mungkin tegar melakukan perkara itu, ana tidak tahu apakah yang merasuk sekeping hati itu.

Di mana silapnya?




Ana buntu memikirkan. Entahlah... Dunia semakin maju tetapi manusia semakin mundur dan hilang harga diri.

Adakah kemajuan itu harus dibayar dengan agama dan harga diri??

Sahabat.. Lihat insan di sekelilingmu.. Betapa ramai manusia yang perlukan kamu untuk dibawa bersama menaiki bahtera penyelamat.

Mari kembali memiliki hati!

Ayuh! Jangan berlengah lagi... Dunia kini kian parah, bumi kian terluka, manusia kini semakin terhina.....

“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!” - Imam Al-Ghazali


Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .