Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, July 31, 2010

Antara Dua Jalan


“Nak lalu jalan mana ni?” Ana dan sahibah berhenti di permulaan jalan yang berpecah kepada dua bahagian.

Kepala ligat berfikir, yang mana satu jalan yang dekat untuk tiba ke destinasi. Manusia yang berpusu-pusu menempuh jalan tidak kami hiraukan.

“Er, yang mana dekat eh?” Ana bertanya.

“Ikut Mas lah.” Sahibah menjawab.

Masa semakin suntuk. Kita sudah tidak ada masa untuk buang masa. Kami akan lewat ke kelas jika kami terus berdiri di situ tanpa ada keputusan yang nyata.

“Em, Ikut kananlah.” Akhirnya ana bersuara. Jalan dipilih, menuju ke destinasi itu –kelas.

Hidup Ini


Situasi yang ana lalui itu sebenarnya adalah satu situasi sebenar dalam kehidupan ini. Memilih antara dua jalan – Hitam dan Putih benar-benar sesuatu yang sukar jika hidup kita tidak berpaksikan iman, jika taqwa bukan lagi penyeri jiwa, jika Allah tidak lagi diletakkan di tempat yang utama.

“Ahh!! Stresnya!”

Satu ayat yang mungkin sama, yang terlahir dari dua insan yang berbeza, sudah pasti natijahnya adalah tidak serupa. Insan pertama mungkin akan menyesakkan hati dan jiwa dengan hiburan yang sementara. Dia sangka dia gembira. Bersosial, berdusta, bergaul dengan ahli maksiat... Hakikatnya, hatinya kekosongan, imannya derita, jiwanya mencari secebis taqwa.. Batin meronta, menjerit minta difahami agar carilah Allah – cinta yang kekal abadi.

Satu insan yang lain yang juga mengalami masalah yang sama, bertafakur, berserah diri kepada Allah, berlapang dada dan semakin dekat dengan Allah.. Hati dirasakan tenang, iman dirasakan subur. Benarlah ;


Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra’d :28)


Sahabat, mari kita merenung ke dalam diri... Ana pasti tidak ada satu orang pun yang tidak punya masalah sendiri. Tapi, bagaimana kita menghadapi masalah itu, dengan jalan yang baik atau tidak.

“Ahhhhhhhh”

Mereka menjerit di sana sini. Situasi semakin hampir dengan peperiksaan membuatkan ramai pelajar stres. Menjerit sana sini, seolah-olah mampu melepaskan tekanan di dalam diri.

Dusta! Itu semua dusta.

Menjerit di sana sini itu memanggil syaitan. Cuba duduk dan bertafakur. Duduk dan beriman sebentar. Lazimkan zikrullah, kerana itulah asbab penenang hati yang sebenar...

Antara Hitam dan Putih


Jika ana bertanya, antara dua jalan, yang gelap dan yang terang, yang mana satu akan dipilih untuk dilalui?

Ana pasti- ramai yang memilih jalan yang terang. Siapa yang mahu melalui jalan yang gelap dan tidak tentu selamat.? Begitulah kehidupan...

Kita sering diberi pilihan untuk memilih jalan yang gelap atau yang terang. Manusia yang celik hatinya akan mampu melihat sudut-sudut terang sesuatu jalan dan seterusnya meneruskan langkah dengan tegar dan selamat.

Tetapi... Manusia yang buta hatinya, tidak mampu membezakan jalan yang terang dan jalan yang gelap. Yang terang itu dirasakan gelap, yang gelap itu dirasakan terang. Ingatlah peringatan Allah ;

Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (Al-Israa :72)


Bagaimana hati boleh menjadi buta?

Maksiat itu adalah kegelapan ; cuba bayangkan sebuah cermin di hadapan kita. Andai cermin itu bersih dan jernih, kita akan dapat melihat wajah kita dengan mudah, “Eh ada jerawatlah.” Lantas kita cepat-cepat pakai krim itu dan ini untuk membersihkan jerawat. Tapi cuba bayangkan… Andai cermin yang digunakan itu kelam dan gelap, jangan kata jerawat bahkan mungkin wajah kita pn samar-samar sahaja kita nampak.

Begitulah hati.... Andai hati itu jernih dan bersih, kita akan dapat merasa andai ada ‘jerawat’ yang hinggap di dalam hati, lantas kita akan bersihkan dengan zikrullah dan ibadat yang lain. Tapi andai kita biarkan satu demi satu ‘jerawat’ hinggap tanpa ada proses pembersihan... Lama kelamaan, kita tidak akan dapat merasa ‘kekotoran’ yang ada. Kita sudah biasa dengan semua itu. Maka, segala nasihat yang diberi pun menjadi susah untuk meresap ke dalam hati yang terhijab dengan segala kekotoran yang kita tidak mahu bersihkan.

Begitulah hati menjadi buta...

Sahabat sekalian... Ketahuilah, fitrahnya manusia itu suci dan bersih. Begitu juga dengan hati. Maka, andai hati merasa tidak tenang, gundah gulana, bermakna hati mahu pulang ke fitrahnya yang suci.. Bawalah ia... Bawalah hatimu kembali ke fitrahnya.....

Antara Dua Jalan


Allah tidak memaksa kita untuk mematuhiNya, bahkan Allah tidak akan berkurang atau bertambah sama ada kita mematuhiNya atau pun tidak. Hakikatnya, segala arahan dan perintah dari Allah merupakan tanda-tanda kasih sayangNya yang tidak berbelah bahagi.

Sama sahaja situasinya ketika kita melawan cakap ibu yang menasihati. Hakikatnya, arahan ibu itu adalah sebagai tanda kasih sayangnya kepada kita. Jangan main api. Jangan balik lewat. Semua itu baik untuk kita, tapi kita yang terlalu eg o untuk mengakuinya...

Allah mengurniakan akal untuk kita menilai, Dia kurniakan hati untuk kita meneliti. DikurniakanNya juga deria agar kita dapat merasa, yang mana satu yang benar dengan hakikat yang sebenar dan yang mana satu yang palsu serta menipu.

Antara dua jalan itu – murka atau redhaNya.. Kita berhak memilih. Mahu tinggal selesa di dunia yang sementara atau mahu tinggal selesa selamanya di syurga sana.

Pilihan di tangan kita. Lihatlah dunia dari jendela akhirat..

Ingat lah pada satu ayat di dalam kitab suci AL-Quran ;

Dia mengatakan: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini". (AL-Fajr :24)


Semoga kita sahabat, bukanlah dari golongan yang berkata itu... Ameen!

Jangan gadaikan tawaran menjadi bidadari syurgaNya, semata-mata untuk menjadi bidadari dunia yang pasti akan pudar sinarnya...

Wallahu’alam :)

Read More......

Sunday, July 25, 2010

Wujudkan Malu Dalam Hatimu


Semakin jauh kaki melangkah,
Aku menjadi semakin bingung.
Penasaran melihat dunia yang semakin memeningkan.
Ku toleh ke kiri,
Ku melihat kemaksiatan,
Ku toleh ke kanan,
Oh! Di sana ada kemungkaran.

Aku diam membisu,
Jantung berdegup laju,
Hati seakan-akan ingin pecah berderai,
Aku kembali terfikir….
Hilangkah sudah rasa malu di dalam diri?

Minda berputar ligat,
Menjelajah ke beribu tahun yang lampau,
Pada saat Islam di puncak tertinggi,
Wanita-wanita sopan semua,
Lelaki-lelaki beradap segala,
Tolong-menolong menjadi tunggak kekuatan,
Mementingkan diri dijauhi,
Dengki mendengki bukanlah satu tradisi,
Allah menjadi matlamat diri,
Rasululullah sentiasa dirindui,
Solat malam menjadi syarat asasi,
Oh! Aku menjadi semakin malu....

Melihat dunia kini,
Wanita berpakaian seksi,
Lelaki tidak lagi menghormati,
Tolong-menolong dipandang enteng,
Kau hal kau dan aku hal aku menjadi motto diri,
Dengki mendengki adalah satu tradisi,
Allah tidak lagi disayangi,
Rasulullah langsung tidak diingati,
Solat malam tidak lagi menjadi pengetahuan diri,
Oh! Aku semakin malu....

Sahabat-sahabatku,
Ingatlah!
Dunia ini hanyalah tempat persinggahan,
Semailah kebajikan yang boleh menguntungkanmu di akhirat kelak,
Tinggalkan apa yang menghalangi akhirat kamu,
Jangan sakiti insan lain,
Kerana mereka juga punya hak ke atas diri kita,
Dekati Allah kerana bukankah Dia telah berfirman,
‘Jika hambaKu mendekatiku secara berjalan maka aku akan datang kepadanya berlari’
Sayangnya Allah pada kita,
Cuma kita yang tidak tahu menilai diri,
Kelak, kita yang akan rugi..

Sahabat,
Wujudkan rasa malu dalam diri kerana itulah hakikat iman.
Tanpa benteng malu itu, punahlah semua......

Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu (HR Bukhari)

Read More......

Sunday, July 18, 2010

Bersyukurlah Dengan Apa Yang Ada


Wanita buta itu masih tabah berjalan. Menaiki komuter yang semakin sesak dengan manusia. Terkadang ana terlupa bahawa dia adalah seorang yang cacat penglihatannya. Perilakunya benar-benar menyedarkan ana yang kian terlupa.

“Mak cik, nanti sampai Seremban, ada orang datang ambil?” Ana cuba bertanya, gusar juga melihatnya. Hakikatnya ana kurang percaya pada kemampuannya.

“Ada. Nanti ada saudara makcik datang ambil.” Katanya sambil membetulkan gendongan anaknya. Mengeluarkan tongkat yang menjadi pengganti matanya dan mahu meneruskan perjalanan.

“Mari mak cik, saya tolong.”

“Mak cik dah biasa nak.. Terima kasih” Dia tersenyum manis, tetapi masih membenarkan ana menolong sekadarnya.

Perilakunya sekali lagi menyedarkan ana. Subhanallah, betapa selama ini Allah telah memudahkan urusan mak cik itu, sehingga dia bisa bernafas sehingga kini biarpun matanya tidak dapat melihat dunia. Betapa ana terlupa bahawa Allah mengawasi mak cik tersebut sehingga terdetik di hati ana akan ketidakpercayaan ana pada kemampuan makcik itu- atas bantuan Allah.

Astarghfirullah..

Manusia, Berkuasakah Kamu?


Lewat kebelakangan ini, manusia semakin terlupa bahawa apa yang berlaku semuanya adalah atas izin Allah.

“Oh, Alhamdulillah aku dapt result cemerlang. Ni semua berkat aku rajin study la ni.” Bicara seorang mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang bagi akhir semester.

“Cis, kenapa result aku sikit je? Ni mesti lecturer kedekut nak bagi markah.” Rungut yang lainnya, tidak berpuas hati dengan keputusan yang terlakar di kertas putih itu.

Wahai manusia! Ingatlah...

Apa yang berlaku ke atas kamu adalah hasil dari nikmat Allah. Kamu berjaya dalam hidup maka itu adalah ujian. Kamu gagal dalam kehidupan, maka itu juga adalah ujian. Dan ingatlah sesungguhnya ujian nikmat itu adalah lebih berat.

“Mengapa begitu ya ukht?”

Mari kita renungi, ramai manusia yang mencari Allah ketika ditimpakan ujian susah, sakit, menderita. Hati akan merintih, mulut akan berbicara, “Allah..Allah...” Tangan segera diangkat, “Ya Allah bantulah hambaMu.”

Tapi, berapa ramai yang ditimpakan ujian nikmat akan ingat pada Allah? Akan bersyukur tatkala dunia dalam genggamannya, dan juga ingat pada yang berada di bawah? Ramai manusia senang.... tetapi sedikit sahaja yang menyedari itu semua dari Allah.

Sahabat, berkuasakah kita..?

Berkuasakah kita sahabat?

Kita berbangga dengan kehidupan kita, sedangkan kita lupa bahawa jantung yang berdegup itu adalah atas izin Allah. Kita berbangga dapat melihat itu dan ini, sedangkan kita terlupa bahawa mata itu berfungsi atas izin Allah. Kita berbangga mampu bekerja sehingga dapat mengumpul wang yang banyak, sedangkan kita terlupa bahawa anggota badan yang berfungsi akan berhenti jika diperintahkan Allah, kita berbangga punya selera makan yang baik sedangkan kita terlupa bahawa sekali Allah timpakan sakit, nasi pun kita tidak lalu makan.

Berkuasakah kita sahabat?

Berkuasakah kita sehingga kita mendabik dada, memandang hina mereka yang berada di bawah sehingga kita terlupa hakikatnya kita bukanlah berada di tempat yang tertinggi kerana di atas kita masih ada Allah yang mengizinkan segala sesuatu untuk berlaku.

Apabila kita telah berusaha, keputusannya adalah hak milik Allah. Baik atau buruk terpulang kepadaNya. Tetapi ingatlah, kita ada doa untuk meminta yang terbaik dan selepas itu berlapang dadalah...

Jangan Memandang Rendah


“Saya dulu pelajar nakal, sehingga cikgu berani bertaruh akan potong jari jika saya dapat 8A dalam PMR” Bicara seorang pelajar yang berjaya mencatatkan keputusan semua A dalam sijil PMR nya.

Manusia seringkali memandang rendah insan lain, menutup semua pintu perubahan, menghina, mencaci sedangkan Allah itu sendiri tidak pernah menutup peluang taubat untuk hambaNya.

Ingatkah kita pada kisah seorang pemuda yang telah membunuh 99 orang? Dia berjalan dan berjalan sehingga bertemu dengan seorang yang alim, lantas dia bertanya ; “Aku telah membunuh 99 orang, adakah peluang untuk aku bertaubat?” Orang alim itu terus sahaja menghukum, “Tidak!” Si pemuda berang dan membunuh orang alim tersebut dan genaplah jumlah 100 orang yang telah dibunuhnya. Dia berjalan lagi sehingga berjumpa orang alim yang lain. Soalan yang sama di ajukan, “Aku telah membunuh 100 orang, adakah peluang untuk aku bertaubat?” Orang alim itu tenang menjawab, “Ada” Segera disuruhnya pemuda itu pergi ke satu perkampungan untuk mencari kebaikan. Dalam perjalanan, pemuda itu telah meninggal dunia, 2 malaikat bergaduh untuk menentukan pemuda itu perlu di masukkan ke syurga atau neraka, sehinggalah Allah menurunkan perintah. Ukurlah jarak pemuda itu antara kampung yang ingin dituju dengan jarak pemuda dengan kawasan sebelumnya. Ternyata, pemuda itu lebih dekat dengan perkampungan yang ingin dituju, maka tenanglah dia di dalam syurga dengan rahmat Allah....

Lihat sahabat, betapa Allah sendiri tidak pernah menutup peluang-peluang taubat untuk hambaNya. Siapa pula kita untuk menentukan nasib seseorang?

Letakkan Allah di Tempat Pertama


Ada orang yang hidupnya mewah tetapi hatinya tidak tenang. Ada yang hidupnya sederhana, tetapi kehidupannya tenang sahaja. Gembira.

Ada orang yang tidak boleh tengok orang lain lebih darinya. Jika jiran sebelah beli peti ais baru, dia juga mahu peti ais baru. Andai teman ada gelang sampai ke lengan, dia juga mahu begitu.

Mengapa semua itu berlaku?


Apabila manusia tidak meletakkan Allah di tempat pertama dalam hatinya, maka pelbagai perasaan yang mercuni hati akan berleluasa. Takut akan kehilangan harta, takut rumah dimasuki pencuri, takut bisnes muflis, dan pelbagai lagi perkara duniawi yang dipahat di dalam hati. Sedangkan, rezeki itu adalah milik Allah dan hanya Dia yang berhak menentukan kepada siapa mahu diberi rezeki itu...

Ingatlah ;


Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. (Ar-Rad : 28)


Maka sahabat, murnikan kembali niat kita. Bersyukurlah dengan apa yang ada… Nafsu tidak akan pernah puas. Sifat nafsu adalah semakin kita beri, semakin ia lapar.

Lihat sahaja situasi di bulan Ramadhan. Nampak itu, nampak ini semua mahu dibelinya dan pengakhirannya makanan yang dibeli terbiar tidak berusik.

Bersyukurlah….

Kadang-kadang, apabila kita sedang menangis kerana tidak memiliki sepasang kasut, ada insan lain yang sedang menangis kerana tidak memiliki sepasang kaki.

Buka mata, buka hati dan bersyukurlah dengan apa yang ada…

Wallahu’alam.

Read More......

Sunday, July 11, 2010

Kahwin, Apa Tu?


“Mastura, why don’t you marry at early age?” Soalan ‘cepu mas’ dari gadis Nigeria itu mengundang rasa geli hati di dalam hati, apatah lagi tatkala mata terpandang wajah teman-teman sekelas yang lain yang tidak sabar menanti jawapan.

Ana tersenyum, antara lucu dan serius. Hawwa – gadis itu telah pun berkahwin ketika usianya masih lagi 17 tahun, pasti pelik baginya kerana ana sudah pun 20 tahun :)

“Em.. Because nobody wants to marry me!” Ana berseloroh, mengundang tawa rakan sekelas yang lain.

Saat ini, pada ketika ini, ketika kecoh mereka mahu berkahwin, ketika pertanyaan demi pertanyaan menjengah ke telinga, ana kembali teringat perbualan bersama hawwa pada pagi itu.


Beginilah.. Inilah jawapan ana untuk pertanyaan serius antum , “Kenapa tidak kahwin ketika masih belajar?.” Ini adalah jawapan ana, pendapat ana dan ana menerima pendapat antum sekalian, insyaAllah.

Perkahwinan- Apakah semudah yang disangka?


“Kenapa nak kahwin?”

“Kami nak elak maksiat.”

Jawapan yang biasa ana dengari. Mengelak maksiat, adakah semudah mengikat ikatan suci itu? Perkahwinan bukanlah semudah mainan di bibir, bukan juga satu tradisi yang perlu menjadi ikutan.

“Eh, dia boleh kahwin masa belajar, ok je?” Bicara seorang siswi, amat yakin.

“Kenapa nak kahwin?”

“Nak elak maksiat, nak elak zina.”

Aduh! Andai itulah jawapannya, maka lupakanlah dahulu soal perkahwinan dan kembalilah membelek kitab-kitab agama. Definisi perkahwinan itu sendiri bukanlah semata-mata untuk mengelak maksiat dan zina. Jika itulah asbabnya, maka apakah beza perkahwinan kita dengan perkahwinan mereka yang terpaksa berkahwin kerana ditangkap basah?

Sama. Untuk mengelak maksiat dan zina yang mungkin akan berlaku lagi.

Andai diri belum membuat persiapan yang cukup, tidak mustahil kemaksiatan itu akan berlaku lagi setelah berkahwin. Isteri yang tidak ikut cakap suami, suami yang sudah semakin bosan dengan isteri, semua itu akan menggoyahkan bahtera rumahtangga, dan bahtera akan menjadi semakin goyah kerana nakhodanya yang tidak cukup ilmu mengemudi.
Sekali lagi, apakah perkahwinan itu sekadar mahu mengelakkan maksiat dan zina? Jika itulah matlamat sesebuah perkahwinan, maka setelah matlamat itu dicapai, tiada lagi manisnya perkahwinan itu. Tiada lagi matlamat yang mahu dikecapi.

Setahun dua, manisnya masih terasa. Setelah 5 tahun berlalu, sudah beranak-pinak, masalah pun semakin bertambah, masihkah ada manisnya jika matlamat pada awal perkahwinan itu adalah semata-mata untuk mengelakkan zina?

Kahwin, apa tu?


“Enti bagi tak kalau anak enti nak kahwin masa belajar?” Teman itu bertanya. Serius.

“Em, terpulang,” Ana menjawab santai.

“Maksudnya?”

“Ana tengok dulu pasangannya macam mana. Ramai anak muda ni nak kahwin sebab ikut-ikutan dan mengikut perasaan, lepas tu baru menyesal. Ana tengok juga anak ana, kalau basuh pinggan pun masih malas, memang ana tak bagi kahwin lagi, dan yang pasti kalau dia cakap nak kahwin sebab nak elak zina, ana memang tak bagi, melainkan dia faham, perkahwinan itu kerana mengikut sunnah, ingin melengkapkan agama, sudah bersedia untuk saling bertoleransi, sudah tahu cara mendidik anak yang terbaik. Semua itu perlu.” Ana menerangkan, jujur.

Benar, semua pasangan mendengar khutbah nikah, tetapi berapa peratuskah yang melaksanakan apa yang diperdengarkan?

Nilai kembali berapa banyak kes cerai yang difailkan di mahkamah syariah? Apabila toleransi tidak lagi menjadi kekuatan diri, apabila keimanan tidak lagi membentengi diri, apabila kesabaran sudah pun hilang dikikis masalah yang menimbun tingginya, apabila perbincangan tidak lagi dijadikan medan muhasabah, terjadilah perkara yang paling tidak disukai Allah, Na’uzubillah...

Apabila suami sudah malas mendengar perihal agama, dan isteri semakin berubah sedikit demi sedikit sehingga menjadi amat berbeza ketika di awal perkahwinan, maka terjadilah lagi pertempuran, Na’uzubillah...

Perkahwinan itu sungguh nampak indah di pandangan mata, namun andai tidak tahu lagi cara mengendalikannya, keindahan itu bakal berubah menjadi satu medan pertempuran yang maha dahsyat!

Dan ingatlah,berkahwin dengan seseorang bererti kita ‘berkahwin’ dengan keluarganya juga. Bukan sekadar 1 hati yang perlu dijaga tetapi banyak yang perlu diteliti...
Kahwin – Bukan sekadar mahu mengelak zina. Jika zina pun sudah tidak mampu untuk dielakkan, maka ketahuilah, cabaran selepas perkahwinan lebih hebat daripada itu!

Anak-Anak Menjadi Mangsa


Ana semakin gusar, apabila setiap hari, di hadapan mata ana dibentangkan masalah-masalah sosial yang semakin berleluasa. Semua itu bukanlah yang datangnya dari keluarga bermasalah yang seperti kita semua sangkakan. Tidak. Bahkan ada yang hadirnya dari keluarga yang penuh Islami, yang dikawal ketat oleh kedua ibu bapa.
Benar, hidayah itu milik Allah. Tetapi ingatkah kita bahawa Allah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasibnya sendiri.

Tawakal itu haruslah seiringan dengan usaha.

Na’uzubillah... Ana benar-benar takut memikirkan perihal ini, apatah lagi mengenangkan kekurangan diri di sana sini. Memikirkan dosa-dosa yang menimbun tinggi, ditambah pula dengan ilmu yang kosong di dada. Ana belum berpengalam memiliki anak, namun ana punya adik yang perlu juga dididik.

Saban hari ana berikhtiar, mencuba mencari maklumat mengapa remaja kini bermasalah meskipun berasal dari keluarga yang Islami dan ana mendapat satu konklusi – Hasil didikan yang tidak wajar.

Ada yang terlalu mengongkong, ada yang salah mendidik, ada yang tidak mendidik secara berterusan, ada yang malas menjawab pertanyaan anak ketika kecil.

Saidina Ali telah pun memberi tips : curahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak pada 7 tahun pertama umurnya, 7 tahun berikutnya didiklah dengas tegas – ajarkan apa yang boleh dan tidak, dan 7 tahun seterusnya didiklah dia seperti seorang kawan.

Berapa ramai pula antara kita yang mengamalkannya? Lantaran kekurangan ilmu, mungkin juga anak-anak menjadi mangsa.

Na’uzubillah.. Ana takut, benar-benar takut. Andai ana berkahwin, mampukah ana melahirkan para mujahidin dan mujahidah yang berjuang di jalanNya? Apakah dosa-dosa ana semakin menimbun dan pahala semakin berkurang? Apakah lantaran dosa, anak-anak akan terhijab dari mempelajari sesuatu? Sudah cukupkah ilmu di dada?Subhanallah... Ana masih memerlukan ilmu, masih menagih walau setitis ilmuNya. Ana masih mahu mengecapi redha Ilahi, masih mencari cintaNya untuk disemat kemas di dalam hati yang gersang...

Ana tidak mahu, anak-anak ana menjadi mangsa lantaran dosa dan kekurangan ilmu yang ada pada ana. Justeru, biarlah ana melengkapkan diri dahulu. Moga itu menjadi usaha yang akan dinilaiNya..

Sabar, ya mak?


“Mak, tengah buat apa tu?” Saja ana memulakan perbualan di telefon. Rindu benar pada umi tercinta.

“Tengah duduk-duduk” Umi menjawab tenang.

“Mak, bila pencen eh?” Ana teringat untuk bertanya, tidak sabar menunggu umi pencen, dapat selalu bersama umi di rumah nanti :)

“Bulan 9 ni. Kenapa? Nak kahwin?”

Ana terkedu. Sekali lagi soalan perkahwinan itu ditimbulkan oleh umi tercinta.
Sabar, ya mak... Anakanda mahu lengkapkan diri, siap sediakan mental dan fizikal dahulu. Andai sudah tiba waktu itu, maka berbahagialah kita. Namun andai tidak, ketahuilah... Mungkin Allah telah menetapkan suami yang terbaik buat anakanda di ‘sana’ kelak.

Moga akhirat juga menjadi matlamat kita... Ameen.

Wallahu’alam.....

Read More......

Tuesday, July 6, 2010

Berpesan-Pesanlah


“Eh, makanan kau dah sampai.” Bicara salah seorang daripada adik-adik yang tinggal serumah bersama ana di KUIS tercinta ini, memanggil temannya untuk mengambil makanan yang ditempah.

“Nanti! Nanti! Aku nak solat dulu, kang mak aku marah tu.” Bicara yang lainnya sambil menjeling ke arah ana dan tersengih-sengih.

Ana tersenyum.

Teringat kembali kata-kata yang biasa ana lontarkan.

“Dah solat?”

“Belum.” Katanya sambil menghadap komputer.

“Em, kalau tengah buat assignment, lepas tu meninggal tak sempat solat macam mana?”
Dia tersengih-sengih.

“Kejap kak, lagi sikit je, lepas ni terus solat.”

“Akak jom makan!”

“Dah solat?”

“Belum.”

“Nanti kalau tengah makan, tercekik, meninggal tak sempat solat macam mana?”

“Yelah, yelah.” Dia tersengih memahami maksud ana.

Berpesan-pesanan


Sungguh, ana bukanlah seorang manusia yang sempurna bahkan ana mempunyai beribu kekurangan, dan memerlukan para sahibah untuk menegur dan membetulkan kesilapan ana.

Justeru, peranan seorang sahabat kepada sahabat yang lainnya adalah saling melengkapi, jika ada kekurangan, tutupilah, jika ada kecacatan, rawatlah.

Terkadang kita diuji dengan sahabat yang kurang memahami Islam, tetapi itu tidak bermakna kita harus meninggalkannya. Sebagai seorang khalifah yang telah diberi petunjuk dan hidayah dari Allah, kita harus membimbing sahabat kita, berpesan-pesan agar sama-sama menjadi manusia yang dikasihiNya.

Seorang sahabat yang membiar sahabatnya terus-terusan leka dengan dunia dan nafsu bukanlah sahabat dalam erti kata yang sebenar. Seorang sahabat, pasti tidak sanggup melihat sahabatnya yang lain berada dalam kemurkaan Allah, dan ingatlah! Andai kita tidak menegur, satu hari, di hari pengadilan yang seadil-adilnya, sahabat kita boleh mendakwa kita ;

“Aku dulu kawan dengan dia, tapi kenapa dia tak tegur pun aku?”


Mungkin akibat dari perbuatan kita yang ‘mementingkan diri’ di dunia bakal menjadi penghalang kita memasuki syurgaNya. Na’uzubillah..

Mendapat hidayah,dan menjadi baik hakikatnya adalah ujian juga buat kita. Adakah kita mahu menjadi baik seorang diri atau kita mahu orang lain menjadi baik juga agar sama-sama boleh berpimpin tangan memasuki syurgaNya..

Contohilah Rasulullah, saban waktu baginda berfikir bagaimana mahu semua manusia memasuki Islam dan bagaimana mahu membuat semua orang masuk syurga, sehingga ketika tidur pun baginda menangis. Subhanallah!

Nilai kembali diri kita, kita mampu tidur nyenyak sedangkan di luar sana kemungkaran bermaharajalela. Kita mampu tertawa riang sedang sahabat lemas dengan nafsu. Kita tegar menunaikan solat sedang sahabat masih di dalam lena yang panjang.

Siapa kita di hadapanNya?

Ibu Bapa


Ana bertambah sedih, apabila ibu bapa tidak memainkan peranannya.Peranan apa? Peranan menegur anak-anak, terutamanya tentang solat.

“Biarlah dia tidur, dia penat tu..” Ujar si Ibu yang baru sahaja menunaikan solat subuh sedang anaknya masih berdengkur.

Hakikatnya, ibu bapa yang tidak menegur anak-anak yang tidak mahu menunaikan solat bukanlah tanda sayang kepada mereka bahkan itu adalah tanda kebencian yang nyata!

“Mengapa begitu ukhti?”

Ibu bapa yang tidak mahu menegur anak-anak mereka, ibarat memimpin tangan-tangan anak-anak mereka menuju ke neraka. Melawan perintah Allah, apatah lagi pada urusan sepenting solat benar-benar mengundang kemurkaan Allah.

“Ala, dah besar takkan nak kena ingatkan lagi.”

Proses berpesan-pesanan, dan tegur-menrgur bukanlah satu proses yang perlu dilakukan hanya ketika anak-anak kecil bahkan perlu berterusan sehingga ke tiang lahad kerana manusia itu mudah lupa, manusia mudah lalai, itulah gunanya berpesan-pesanan.

Hakikatnya, anak-anak yang lebih gemar tidur dan melakukan perkara lain daripada menunaikan solat adalah hasil daripada anak-anak yang tidak dididik, ditegur dan diperingatkan semenjak kecil. Maka tebuslah kesilapan lalu dengan mengingatkan mereka saban waktu. Tegur mana yang salah, kerana mungkin kamu telah melakukan kesilapan suatu ketika dahulu..

Jangan nanti, kelak di padang mahsyar, anak-anak akan mencari ibu bapa yang tidak menegur mereka ;


“Ibu.. Ibu.. Kenapa ibu tidak menegur saya tidak menunaikan solat? Ayah.. Ayah.. Kenapa ayah tidak menyuruh saya agar menutup aurat? Ibu.. Ayah.. Mari, mari kita terjun ke dalam neraka yang panas membakar!”


Na’uzubillah...

Adik-Beradik


Mungkin ada di kalangan sahabat yang bertuah kerana diberi hidayah oleh Allah sedang seisi keluarga masih berada dalam kesesatan.

Galaslah amanah itu sahabat! Galaslah amanah yang diberi Allah itu! Tegurlah keluargamu di mana yang salah. Kuatkan hatimu, teguhkan aqidahmu.

Ana sedar, bukan mudah berdiri memegang syariat berseorangan tapi ingatlah Allah sentiasa bersama, tegurlah keluarga dengan cara yang paling berhikmah, ana pasti kalian yang lebih memahami sifat setiap ahli keluarga. Dalam masa yang sama, terus memantapkan iman kalian..

“Ana dah cuba ukhti, tapi susah.. Mereka tak mahu dengar cakap.”

Maka, tunjukkanlah qudwah hasanah (ikutan yang baik). Cakaplah dengan sopan, buatlah perkara-perkara kebaikan. Ana yakin, insyaAllah, suatu hari nanti hati mereka akan terbuka melihat kebaikan-kebaikan yang ditonjolkan.

Lihat sahaja bagaimana mulianya Akhlak Rasulullah s.a.w ketika menjalankan dakwah. Akhlak yang mempesona itulah yang banyak menawan hati-hati masyarakat Arab pada ketika itu untuk memeluk Islam kerana hakikatnya hati kita fitrahnya suci dan bersih dan suka kepada perkara-perkara kebaikan.

Jangan berputus asa, tugas dakwah itu bukanlah mengambil masa seminggu dua, bahkan mungkin bertahun-tahun lamanya. Andai sudah ditegur tapi masih tiada perubahan, ingatlah;

Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang (An-Nahl : 82)


Manusia hanyalah sebagai pemberi peringatan, sedang Allahlah yang memberi hidayah. Allah tidak melihat kepada keputusan, tetapi Allah melihat pada usaha yang kita lakukan untuk membawa mereka pulang ke pangkuanNya.

Berdoalah dan teruslah berdoa untuk mereka. Jangan nanti adik-beradik kita menarik kita ke dalam neraka,

“Adik..Adik.. Kenapa tak tegur akak dulu, kenapa biar akak lalai? Mari dik, mari kita bersama masuk ke neraka yang panas membakar!”


Na’uzubillah..

Semoga Kita Terus Bersama


“Akak!!” Suara adik serumah ana itu memanggil ana yang sedang khusyuk menghadap laptop.

“Kenapa?” Ana bertanya ringkas.

“Tengok ni.. Tengok dia ni nak meninggal sambil dengar earphone.” Ujarnya sambil menunjuk ke arah temannya yang sedang mendengar lagu menggunakan earphone dan masih belum menunaikan solat Asar.

Ana tersenyum. Berbesar hati kerana dia sudah mula menunaikan tugasnya sebagai seorang khalifah.

Teruslah berpesan-pesanan dan tegur-menegur dengan penuh berhikmah..

Moga di ‘sana’ nanti, kita masih bersama..

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf : 67)


Wallahu’alam.

Read More......

Thursday, July 1, 2010

Belajarlah Kerana Allah Semata..


“Adoi.. macam mana ni,tak hafal lagi.” Katanya sambil membelek-belek nota. Bulat matanya menahan ngantuk, ana mengerling jam di sisi. Sudah lewat malam.

“Jangan hafal, tapi faham.”Tiba-tiba ana bersuara.

Diam.

Jangan hafal, fahamlah..

“Kakak” Adik ana mengusik-usik burung kakak tua yang berwarna putih bersih, disertakan dengan jambul berwarna kuning itu

“Kakak. Kakak.”

Kakak tua itu mengikut kembali, tanpa memahami apa yang disebutkannya.
Seseorang yang hanya menghafal mata pelajaran tanpa memahaminya samalah seperti seekor burung kakak tua yang belajar bercakap dengan menghafal. Jika dilanjutkan pertanyaan, pasti tiada jawapan yang dapat diberi. Justeru, ramai pelajar yang lahir pada generasi ini adalah pelajar yang cemerlang teori semata-mata.

“Isk..isk!” Teresak-esak Haikal menangis setelah pulang dari sekolah.

“Kenapa ni sayang?” Ibunya ramah bertanya.

“Cikgu tipu.” Jawabnya.

“Tipu apa?”

“Semalam, cikgu cakap 1+1 =2, harini cikgu cakap 3-1 = 2 pula!”

Nah! Natijah dari menghafal, kita tidak akan bisa berfikir di luar kotak. Tahap pengetahuan kita hanyalah setakat apa yang dihafal itu. Justeru, kita digalakkan agar MENGKAJI dan MEMAHAMI Al-Quran, bukan sekadar menghafalnya semata-mata.

Akibat daripada semakin ramai manusia yang hanya menghafal Al-Quran, dunia menjadi semakin parah. Para cendekiawan agama yang rata-rata menghafal Al-Quran menjadi semakin lemah. Al-Quran dihafal, tidak langsung difahami.

Maksiat berleluasa.

Siapa mahu dijadikan contoh?

Inilah natijah daripada menghafal tanpa memahami.

Hafal, Salahkah?


“Alah enti.. dah ini je lah caranya untuk kami score. Hafal, lecehlah nak faham-faham ni.”

Menjadi pelajar cemerlang dalam menghafal bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan, bukan susah untuk memahami. Baca dan soal kembali kepada diri tentang apa yang telah dibaca. Kemudian, cuba buat ayat sendiri berdasarkan topik. Andai kita faham, kita tidak akan gentar dengan soalan yang bakal diberi, berilah soalan berupa bagaimana sekalipun, pasti kita mampu menjawabnya kerana kita telah faham keseluruhan topik itu dan mampu membina ayat sendiri.

“Isk..isk..kenapalah ibu ni tak memahami aku?” Esaknya perlahan. Berang dengan ibu yang tidak memahami keperluannya sebagai seorang anak.

Ya, kita pasti marah andai manusia lain tidak memahami diri kita, sedangkan kita sendiri tidak memahami sesuatu yang amat berharga. Ilmu.

Percayalah, andai kita hanya menghafal, satu hari nanti ilmu itu akan luput dari ingatan. Ini adalah sesuatu yang amat merugikan lantaran ilmu itu hakikatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari bahkan harus dipelihara sebaiknya!

Lihat kisah imam syafie yang mengembara ke serata pelusuk dunia demi mencari ilmu, menghadamnya di dalam diri dan seterusnya menyelesaikan pelbagai masalah.Betapa dia amat menghargai ilmu sehingga dikatakan biliknya penuh dengan buku tanpa ada ruang lagi untuk beliau tidur.

Sedang kita?

Ilmu diberi, dipandang sebelah mata.

Study Smart, Dont study Hard


Dia tersengguk-sengguk sewaktu solat, matanya seolah-olah bengkak.

“Kenapa?” Ana bertanya gusar.

“Semalam tidur lewat.”

“Pukul berapa?”

“Pukul 2”

“Buat apa?” Ana bertanya hairan. Jam 2 pagi seharusnya badan sudah direhatkan, tenaga harus dicaj semula untuk kegunaan hari esok.

“Belajar.”

Ana menggeleng perlahan. “Jangan study hard, study smart. Kalau study hard nanti sakit kepala”

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian, benar, setiap insan mempunyai cara belajar yang tersendiri. Kita tidak perlu meniru cara belajar insan lain kerana setiap manusia mempunyai personaliti yang berbeza. Ada yang cergas di tengah malam, ada yang cergas di siang hari, ada yang tidak boleh membaca di kala subuh.

Ada yang suka mendengar, ada yang suka membaca berseorangan, ada yang suka membaca secara kuat. Hebatnya Allah yang mencipta manusia berbeza-beza personaliti agar kita mampu saling melengkapi.

Bagaimana kita mahu belajar, terpulang kepada diri kita sendiri, tetapi ada satu yang pasti, badan kita memerlukan rehat. Jangan diseksa fizikal dan mental menghadap buku seharian sehingga badan lesu. Jangan dipaksa mental untuk menelaah pelajaran di kala dinihari andai kita sedar bahawa itu bukan waktu belajar kita.

Ana tidak melihat meniru gaya belajar orang lain atau ‘menyeksa’ diri menghadap buku seharian sebagai sesuatu yang sihat. Badan yang tidak mendapat cukup rehat akan menyebabkan kecelaruan emosi. Kita akan mula merasa tekanan, dan menjadi pemarah. Kenalilah diri kita sendiri. Wujudkan jadual waktu untuk diri kita namun pastikan ada ruang waktu untuk bersantai, beriadah dan ada cukup waktu untuk tidur.

Hormati Guru


‘Tit..Tit..’

Tangannya laju menekan kekunci telefon bimbitnya, seronok benar dia bermain mesej bersama temannya. Ana mendengus, terasa sedikit marah di dalam hati. Seorang pensyarah yang berdiri di depan sambil mengajar tidak diendahkannya.


Tidakkah dia mengetahui bahwa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya? (Al-Alaq : 96)


Ana kembali teringat memori suatu ketika dahulu...

“Kamu semua tahu tak, seorang muslim ada hak ke atas seorang muslim yang lain.” Ustazah memulakan bicara. Mata-mata yang memandangnya meminta jawapan dipandangnya sekilas.

“Contohnya, bila saudara kita bersin kita mendoakan, sakit diziarahi, jumpa beri salam..” Ustazah menarik nafas.

“Dan tidak buat kerja lain sewaktu guru sedang mengajar juga adalah hak seorang muslim kepada yang lain. Hak seorang guru. Kalau kamu main handphone ke, berbual ke, nanti waktu hari akhirat, saya boleh tuntut hak saya.”

Semua diam. Ustazah senyum dan memulakan pengajaran. Mesejnya sampai!

Kini, ana semakin gusar melihat para pelajar yang langsung tidak menghormati guru walaupun dengan sekecil-kecil kesalahan. Berbual, bermain handphone seolah-olah perkara biasa. Jika punya urusan penting, balaslah mesej itu sekadarnya. Jika tidak, abaikan dahulu. Hormati guru yang sedang mencurahkan ilmu di hadapan.

Kita mungkin tidak sedar, kesalahan yang kita rasa amat kecil mampu membuatkan seorang guru berkecil hati. Guru yang berkecil hati akan menyebabkan ilmu yang diberi tidak sampai kepada kita, seolah-olah ada satu penghadang di hadapan kita untuk ilmu itu sampai. Maka, kita tidak lagi mudah faham bahkan mungkin akan gagal di dalam peperiksaan!

Imam As-Syafie pada suatu ketika dahulu, membuka bukunya berhati-hati di hadapan guru kerana bimbang bunyi selakan muka surat bukunya mengganggu konsentrasi gurunya. Bahkan, ketika tidur beliau mengelakkan kakinya menghadap rumah gurunya!

Subhanallah, betapa beliau amat menghormati guru, sedang kita memandang guru tanpa lagi rasa hormat!

Belajarlah, kerana Allah semata


Ilmu yang dipelajari, di langit dan di bumi, semuanya adalah milik Allah.

Mari kita menilai diri... Andai kita sedar akan hakikat itu, maka kita tidak akan menyalah guna ilmu yang dipelajari.Jika kita sedar akan semua itu, maka semakin kita belajar, semakin kita berasa dekat dengan Allah. Jika kita sedar akan semua itu, maka kita tidak akan berlagak dengan ilmu yang kita ada, kita tidak akan menjadi kedekut ilmu atau memandang rendah insan lain yang diuji tanpa ilmu.

Dan ingatlah Allah telah memberi peringatan;

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan (Al-Alaq :1)


Renung-renungkan, dan fikir-fikirkan..

Wallahu’alam.

p/s: maaf atas kelewatan mengemaskini entri. Internet bermasalah + agak sibuk kebelakangan ni Doakan semuanya baik, uhibbukum fillah :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .