Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, December 23, 2012

Lupakan.


“Mas ingat tak akak kata kalau tak maafkan dan lupakan kesalahan orang hati jadi tak tenang?” Kakak sebilik tiba-tiba bersuara, mengingatkan saya perihal perbualan selepas solat Subuh tadi.

“A ah, kenapa kak?” Berkerut dahi saya cuba memahami apa yang cuba disampaikan.

"Mas, tadi akak dengar tazkirah kat ikim, ada ustazah tu kata, satu hari dia rasa sesak sangat dada, lepas tu dia buka Al-Quran, terus terbuka surah Taha, lepastu dia rasa mcm Allah bercakap dengan dia.

"Cakap apa kak?"



“Ustazah tu cerita dalam cara yang mudahlah, dia kata… dia rasa Allah tengah cakap, kenapa kau ni tak sabar, kau sabarlah, bangun sebelum fajar, lepas tu banyakkan berzikir… kenapa kau nak fikir orang lain punya kelebihan, sedangkan Aku tengah uji mereka, itu urusan Aku…kau buat urusan kau jelah..”

Saya diam mendengar. Seronok diberi simbahan nasihat dengan cara yang santai.

Melupakan

“Entahlah Mas, kenapa ye kita susah sangat nak lupakan apa orang cakap kat kita, apa orang buat kat kita, kadang-kadang kita maafkan, tapi kita tak boleh nak lupakan.”

“Itulah salah satu tanda hati tak tenteram.” Saya cuba balas seringkas mungkin.

Akak tersebut diam. “Betulkan Mas, bila kita masih terfikir, hati kita tak ada ketenangan.”

Saya mengangguk. Menyetujui kata-katanya. “Dan ilmu pun susah nak masuk.” Ayatnya saya sambung sedikit.

Melihat kerutan di wajahnya, saya menyambung kata, “Dulu, sebelum mula kelas, pensyarah suruh kitorang bersihkan hati.”

“Biasalah..manusia, memang suka ingat benda-benda yang orang buat kat dia, tapi bila kita dah boleh lupakan, di situlah kita dapat ketenteraman..kalau tak, hati kita kotor, tak tenteram, ilmu pun susah nak masuk.”

Akak yang solehah itu mengangguk-angguk. Bila saya sudah dewasa nanti, ingin saya jadi sepertinya, sentiasa meraikan pendapat dan nasihat orang lain walaupun orang yang lebih muda daripadanya…

“Tapi, macam mana nak lupakan, Mas?”
“Kalau rasa nak teringat kejahatan dia, ingat balik semua kebaikan yang pernah dia lakukan.”

Kami diam. Masanya untuk muhasabah dan refleksi diri masing-masing.

Sehelai Kertas Putih

Semua orang tahu analogi kertas putih..

Kawasan putih yang banyak selalu dilupakan apabila ada satu titik sahaja noda hitam. Namun, teori tak semudah praktikalnya.

Manusia biasa, susah melupakan kerana itu kita semua diseru agar menjaga hubungan sesama insan. Hati yang rajuk sukar untuk dipujuk.

Tapi… kita kan khalifah Allah, jom berusaha jadi manusia yang luar biasa. Jom ingat balik kesusahan dan kepayahan Rasul yang mulia. Jom teladani bagaimana kekasaran dibalas kelembutan dan kejahatan di balas kebaikan.

“Ahhh itu Rasulullah…”

Ya, tapi Rasul itu juga manusia biasa, bezanya baginda adalah baginda mempunyai jiwa yang LUAR BIASA.

Kalau kita taknak contohi Rasul, siapa lagi yang kita mahu contohi?

Serulah Kepada Kebaikan

“Last sekali ustazah tu kata… kalau nak buat baik, ajaklah semua, keluarga, kawan-kawan, takkan nak jadi baik sorang je.”

Saya senyum. “Kak, kalau bangun tahajud, jangan lupa kejut ya.”

Senyuman saya dibalas. Entah, bagai ada satu renjatan elektrik masuk senyap ke dalam hati. Mengenang dosa yang menggunung tinggi.

“Akak…”

“Hm?”

“Ustazah tu rasa Allah tengah bercakap dengan dia, kita rasa, Allah tengah beri pesanan kat akak, sebab tu akak terdengar tazkirah tu.”

Dia senyum lagi, “Hidayah tu kan Mas… kalau tak cari kita tak dapat, kalau dah dapat, jangan dilepas.”

:’)

Bilakah saatnya kita akan dipanggil Ilahi, entah tiada siapa yang pasti. Hanya yang kita mampu… teruslah bermunajat dan berjalan dalam cintaNya….

Mari mencari dan mengejar terus kasih Ilahi, sayangnya Dia tidak bertepi, kasihnya Dia tiada berhenti……

Wallahu’alam

Read More......

Saturday, December 15, 2012

Ilmu


Assalamualaikum tuan-tuan dan puan-puan sekalian ;)

Maaf lama tak update blog. Jadi hari ni mari kita saksikan entri bergambar. Walaupun gambarnya tak cantik, ops jangan salah faham saya tak ikhlas lukis tapi kebenarannya memang saya tak pandai lukis T_T.

Cerita bermula... Seorang remaja mengeluh, "Asyik-asyik dengar ceramah, asyk-asyik dengar motivasi. Benda yang sama je, bosan bosan. cukup cukup sudahh."

Lalu si ibu tersenyum dan berkata, "Duhai anakku, ilmu itu umpama air, hati pula umpama gelas..."

Si anak diam, ibu pun menyambung...

"Cuba bayangkan dalam satu jug air ada air yang banyak..."



"Jika kita tuang ke dalam gelas yang kosong, maka air akan memenuhi gelas..."



"Tapi jika kita tuang ke dalam gelas yang sudah berisi air....



, mungkin air itu akan terisi sedikit sahaja, yang lainnya tumpah keluar...."



Si anak mengerutkan dahi,"Maksud ibu?"

"Begitulah kehidupan anakku.... Jika kita pergi ke majlis ilmu dengan hati yang sudah penuh,yang kita rasa kita dah tahu semua ilmu, maka ilmu yang dicurahkan nanti akan terkeluar dari hati maka kita menjadi bosan... Jadi, kosongkanlah hati ketika pergi ke majlis ilmu, agar ilmu yang diberikan boleh masuk terus ke dalam hati.."

Si ibu tersenyum, "Jika kita sudah tahu sesuatu ilmu, anggaplah ia sebagai penguat ingatan kita. Mungkin ada bab yang kita terlupa."

Si anak tersengih, "Terima kasih ibu..." Si ibu dipeluk erat, terasa bertuah dilahirkan dari rahim seorang wanita solehah....

Wallahu'alam :)

Read More......

Thursday, December 6, 2012

Rendah Diri?



"kita ni hakikatnya ibarat baju, baju yang tak ada nilai.. yang bagi nilai pada kita adalah roh dalam badan ni..." Suara lecturer di hadapan menusuk ke kalbu.

Sejenak, kami tertanya-tanya, apa yang cuba disampaikan?

"Kamu.." Tangannya mengarah ke seorang pelajar, memberi maksud agar bersedia menjawab soalan yang bakal ditujukan..

"Kalau jual daging kamu kat pasar, berapa harga dia?"

Pelajar tersebut tercengang-cengang. "Aaaa.."

"Kalau daging lembu berapa ringgit? katalah RM15... kalau kamu jual daging manusia, pergi pasar dan jerit.. daging manusia! daging manusia! agak-agak berapa nilainya?"

Soalan yang lama belum dijawab, diberi lagi soalan yang baru. Aduh. Betul-betul menguji minda ni..

kami tersengih-sengih. Masakan ada orang mahu membeli daging manusia?

"Tak ada nilai kan?" Pensyarah yang baik hati tersenyum.

Kami mengangguk.

"Jadi apa yang kita banggakan dengan diri kita ni?"

Kami menunduk... ya, apa yang kita banggakan?

Merendah Diri

Ramaii orang sangka dia dah cukup merendah diri, tapi hakikat yang sebenarnya semua orang sudah meluat dengan gelagatnya.

"Result aku biasa je, ala 3.9 jeee.."

"Aku tak kaya pun, cuma mak akulah masukkan duit rm1000 sebulan, aku tak minta pun."

Nah,

itu bukan rendah diri, itu bentuk bangga diri dalam bentuk rendah diri(hehe pening kan?"

kadang-kadang, kita perlu perhatikan ayat kita.. kalau dah tak tau nak cakap apa, cukuplah sekadar Alhamdulillah...

saya ada satu cerita :

satu hari, roomate saya tengah gosok baju. Baju dia sungguh cantik-cantik semuanya, saya pun tegur, "Kak, cantiknya baju akak."

Dia tersenyum.

"Baju akak semuaa cantik-cantik."

"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah sahaja. ok? SAHAJA." sambil tersengih dia berbicara.

Tersentak saya sebentar, dalam gurau ada input yang cuba disampaikan. Dalam tenang, dia merendah diri....

Mencari Salah Manusia

Waktu saya ke kelas berikutnya -aqidah dan akhlak islamiyyah, ustaz yang tenang di hadapan bersuara..

"Kita sebenarnya tidak merendah diri selagi mana kita merasakan ada orang yang lagi teruk dari kita (dalam berbuat dosa)"

Sekali lagi, macam loading maklumat tu nak masuk dalam minda -,-"

"Kalau kita datang kelas lambat, dalam hati kita kata..ala aku baru datang kelas lambat, ada orang tu langsung tak datang! itu maknanya awak belum rendah diri lagi.." Mujur ustaz yang soleh seperti memahami kami yang blur sekejap dan menerangkan maksud kata-katanya.

Ya, kita selalu kan bila dah buat salah, cuba pujuk hati sendiri dengan cari salah orang lain...

itu bukan rendah diri, itu namanya kita rasa diri kita bagus. Bila kita rasa diri kita bagus, mulalah kita akan cari salah orang lain... itu salah, ini salah.. sedangkan kita tak cuba bertanya dan memahami.... kita terlupa bahawa setiap orang pasti ada masalah mereka sendiri...

Maka, marilah tanya pada diri kita sendiri :

Sudah rendah dirikah kita, apa yang kita banggakan sangat dengan diri kita ini yang hakikatnya tidak bernilai?

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri". [Surah Luqman, ayat 18].

wallahu'alam

Read More......

Thursday, November 29, 2012

Luput.


“GAZA DISERANG!”

“TENTERA BASYAR MENYEMBELIH RAKYAT SYRIA”

Satu demi satu berita mengenai pertumpahan darah saudara sendiri dibaca. Tidak sedar, ada titis jernih di wajah mulus remaja berusia 15 tahun itu. Hujan lebat di luar, bersama dentuman guruh dan petir seolah-olah tidak didengarinya.


Gang!

Dentuman semakin kuat. Jabir tersentak. “Astarghfirullah…”

Kerusi ditarik sedikit, dan kakinya melangkah ke arah tingkap. Langsir biliknya melayang-layang mengikut arah angin yang kencang. Jabir menghulurkan tangan, menutup tingkap biliknya rapat-rapat. Serapat rindunya kepada saudara di sana…


***
“Jabir! Jabir!” Termengah-mengah Yusri berlari-lari anak mendapatkan Jabir yang telah jauh di hadapan.

Jabir menghentikan langkah, berpusing ke belakang. Melihat Yusri yang kelelahan, Jabir mengoyak senyum.

“Kau kenapa Yus? Rindu sangat ke kat aku?”

Yusri mencebik.

“Lepas sekolah kau nak pergi mana?” Soalan dibalas solan.

“Tak pergi mana-mana. Balik rumah terus. Kenapa?”

“Jom lepak mcD, lama dah tak pergi.”

Jabir menjegil mata. Teringat berita-berita sedih yang dibacanya semalam. “Aku tak mahu!”

“Eh, bukan kau suka ke makan mcD.?”

“Dulu..sekarang aku boikot.”

“Kah kah kah… boikot?” Kuat ketawa Yusri sehingga mata-mata yang lain memandang pelik.

Jabir panas hati. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tidak dapat lagi menyejukkan hatinya.

“Apa yang kelakar?” Serius.

“Apa yang kau dapat kalau boikot? Kau ingat diorang boleh bankcrupt ke?” Soalan yusri seperti mencurah petrol ke dalam api yang marak.

Jabir mendengus.

“Kau kenal Nabi Ibrahim?”

Yusri mengangguk.

“Kau tahu dulu baginda nak kena bakar hidup-hidup?”

“Kau dah kenapa, mestilah aku tahu.. kan ustazah sofia baru je cerita tadi!” Yusri mula berang.

“Kau tahu masa api tu marak menyala, ada burung kecil ambil air guna paruh, letak kat api tu?”

Kali ini, Yusri diam. Perlahan dia menggeleng.

“Tulah kau, masa kelas kau tidur. Tak dengar ustazah cerita habis.”

Pelepak!

Tangkas tangan Yusri yang gebu menghinggap ke bahu Jabir. “Kau nak cerita, cerita jelah.”

“Okay okay sorry. Masa Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup, ada burung kecil yang isi air kat paruh dan berulang-alik siram air ke arah api tu, kau rasalah, bermanfaat ke burung tu buat macam tu? Air setitik setitik boleh ke padam kan api yang marak menyala.”

“Of course not.”

“Speaking pula kau. Habis kau rasa kenapa burung tu buat kerja tak bermanfaat macam tu?”

“Eh mana aku tahu. Kau tanyalah burung tu.”

Jabir menggeleng, “Burung tu kata, AKU LEBIH TAKUT KEPADA ALLAH, KERANA ALLAH AKAN MENYOAL AKU NANTI , apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak..”

Yusri tersentak.

Jabir senyum. “Jadi sekarang ni, bila kau tanya, kenapa aku nak boikot mcD, bukan bankcrupt pun diorang tu… aku nak cakap dengan kau, aku lebih takut kepada Allah, kerana Allah akan menyoal aku nanti.. apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tak akan tanya, sama ada aku berjaya menghentikan musuh-musuh Islam daripada menyerang saudara-saudara aku atau pun tidak.”

Yusri masih lagi membatu.

“Eh Yus, aku balik dulu lah.. nak hujan ni. Kau okay kan?”

Perlahan, Yusri mengangguk. Jabir meneruskan langkah pulang ke rumah, tanpa diketahui…. Air mata yusri jatuh setitik demi setitik.

Laksana gerimis yang baru menjengah.

***
“Umi…”

“Ya sayang.” Puan Aisyah yang sedang melipat kain menoleh sedikit kepada anak tunggal kesayangannya.

“Jabir nak ke Palestin, Jabir nak ke Syria.” Serius Jabir menutur kata.

Puan Aisyah tersenyum,sudah dijangka ayat itu keluar dari mulut Jabir “Kenapa sayang?”

“Jabir nak tolong saudara-saudara Jabir di sana.” Jabir menggenggam penumbuk.

“Jabir pasti itu yang terbaik buat Jabir?”

“Maksud Umi?” Berkerut dahi Jabir cuba memahami persoalan daripada umi tercinta.

“Jabir tahu pegang senjata? Jabir ada ilmu perang? Jabir rasa.. bila Jabir ke sana, Jabir akan memberi bantuan atau mereka yang harus membantu Jabir?”

Kali ini Jabir senyap. Lama. Pantas dia terduduk. “Betul Umi, Jabir tak ada semua ilmu tu.” Matanya berkaca lagi. Titis jernih yang bertakung menanti saat untuk tumpah.

Menyedari hal itu, Puan Aisyah segera bangkit dari tempatnya, dan bergerak ke arah Jabir. Rambut halus Jabir diusapnya lembut.. “Jabir, jabir rasa, dari Malaysia, tak boleh ke tolong saudara di sana?”

“Bagaimana Umi?” Jabir memandang wajah Puan Aisyah. Kosong.

“Jabir… Jabir tahu kenapa umi beri nama Jabir, Jabir?”

Jabir menggeleng. Baru dia sedar, selama ini tidak pernah dia bertanya perihal namanya kepada sesiapa pun.

“Umi ambil sempena nama Abu Musa Jabir Ibn Hayyan atau dikenali sebagai Jabir Ibn Hayyan. Beliau seorang pakar dalam bidang kimia. Banyak sangat sumbangannya dalam bidang Kimia sehingga diiktiraf oleh negara eropah.”

Ubun-ubun Jabir dikucup lembut.


“Sayang, dengan ilmu manusia mampu berubah dari hina kepada mulia. Dengan kemuliaan itu manusia mampu memuliakan Agama. Apabila Agama dimuliakan, orang akan hormat dan dengan kehormatan itulah Islam akan kembali gah di persada dunia…”

Jabir tersenyum sedikit, terhibur mendengar cerita tokoh kimia itu yang sedang dipinjam namanya kini.

“Jadi umi, Jabir kena belajar sungguh-sungguh dan martabatkan Islam di mata dunia?”

Puan Aisyah tersenyum senang dan mengangguk.

“Terima kasih umi…..” Jabir memeluk Puan Aisyah erat-erat. Terasa beruntung dilahirkan daripada rahim seorang wanita yang solehah.

***
G….A….Z….A

Jabir tersenyum. Terasa puas menconteng pasir dengan ranting pokok… Namun, sekejap sahaja, ombak datang dan merosakkan tulisan yang ada. Jabir mendengus.

S…Y…R…I…A

Ditulisnya perkataan lain pula.

Ombak masih berdegil. Kali ini tulisan itu hancur juga. Jabir membaling ranting kayu di tangannya. Dia duduk menghadap laut. Langit yang memerah petanda senja mula menjengah dan angin yang bertiup lembut mendamaikan hatinya.

Melihat tulisan-tulisan yang sudah luput itu, Jabir kembali berfikir..

Begitukah kelak akan lenyapnya nama-nama itu dari hati-hati manusia?

Jabir sengih. Entah. Manusia, memang sukar untuk dimengerti.....

Read More......

Friday, November 23, 2012

Gaza Menangis


Hari ini..
Gaza menangis lagi,
Dalam kelam malam,
Dalam bingit suara bom di sana-sini,
Dalam runtuhan rumah-rumah rakyat,
Dalam timbunan mayat si kecil yang tidak berdosa,
Bumi Gaza itu merintih,
Menangis,
Namun.. siapakah yang mendengar?

Hari ini...
Si anak kecil itu kebingungan,
Di mana ibuku,
Di mana ayahku,
Teman-teman sepermainanku,
Kakak, abangku,
Ah, di mana mereka?

Hari ini...
Si ibu merintih,
Anak yang dikandung selama sembilan bulan,
Pergi dalam sekelip mata,
Dalam tangan kejam para zionis laknatullah!

Hari ini...
Si bapa tercalar maruahnya,
Anak perempuannya dirogol,
Isterinya disepak terajang,
Sedang dia,
Lemah tak berdaya,
Dipukul sehingga berdarah,
Menjerit batinnya,
Tak siapa yang sedar....

Ah,
Bilakah kecelaruan ini akan berakhir?
Hari berganti hari,
Tahun berganti tahun,
Bilangan para syuhada pun semakin meningkat,
Tapi Gaza,
Masih lagi menjadi penjara terbesar dunia...

Kita masih di sini,
Melihat tanpa erti,
Ah,
Apalah yang bisa diperbuat kini?
Berperang? Tiada berdaya diri ini.

Maka angkatlah tanganmu berdoa,
Buat saudara di sana,
Boikotlah semampumu,
Agar memberi ancaman kepada si penipu itu,
Dermalah seikhlas mungkin,
Agar bahagia tersebar di hati para mukminin....

Jom.

:')

pray for gaza. palestine is ours!

Read More......

Monday, November 5, 2012

Ilmu Dunia?




"Mak, kenapa garis kat tangan wa ni putus-putus, garis kat tangan mak tak putus pun?" Suatu ketika dahulu, si kecil Mastura bertanya pada ibunya.

"Oh, garis putus-putus ni tanda budak suka ponteng sekolah. Mak dulu tak suka ponteng." Jawab emak, selamba.

"Oh.. kalau wawa rajin pergi sekolah, garis ni tak putus lagi?"

"A ah."

"Lepasni nak pergi sekolah hari-harilah!" Si kecil Mastura gembira, walaupun tertipu. :')


Sekolah
"Sapelahhhhhh yang cipta sekolah kan?"Seorang pelajar merungut.

"Ha, tau takpe. dahlah ada exam. ish semak semak." Rakannya menambah perisa dalam rungutan.

Tanpa sedar, sekolah formal yang kita pergi dari tadika sampailah ke universiti, itu hanyalah salah satu bab daripada cerita kehidupan.

Kita akan bersekolah, sampai tua, sampai ke liang lahad sekalipun... Antara sedar dan tidak, kita hakikatnya sedang menjengah ke dalam satu sekolah kehidupan. Di sekolah inilah kita mengenal erti jahat lawannya baik, hitam lawannya putih, benci lawannya sayang, dan banyakkk lagi.

Maka, saat 'peperiksaan' tiba... Penggubal kertas soalan(baca : Allah) akan menguji, apa yang kita belajar. Adakah kita benar-benar mengenal warna putih dan hitam (baca : pahala dan dosa) atau adakah kita benar-benar tahu apa itu benci, apa itu sayang?

Ketika peperiksaan ini ramai yang tersungkur. Gagal. Purata nilai gred 1.0, dan tak mahu belajar lagi untuk dapat nilai gred 4.0. Yang mendapat nilai gred 4.0 pada peperiksaan pertama pula, mungkin gagal untuk peperiksaan kedua. Lantas manusia berkata "Ahhh dunia ini tak adilll. tak adil. Tuhan tak adil! kenapa orang lain senang, aku susah?!"

Dan, itu perkara lumrah bagi manusia biasa yang sentiasa punya dosa... sama seperti ketika kita di sekolah formal. kadangkala kita gagal periksa, dan kadangkala kita tak puas hati dengan cikgu, "Ala.. cikgu tu tak adil, bagi markah lebih kat anak murid kesayangan jeeee."

Maka... ketika peperiksaan penting dan besar menghampiri (UPSR, PMR, SPM) murid-murid akan penuhh di bilik guru, minta ampun, minta berkat. harap-harap keputusan akhirnya nanti A. lulus cemerlang!

Di sekolah kehidupan... apa yang diharapkan adalah keputusan yang lulus cemerlang dalam piawaian Allah ketika hari Akhir nanti... gagal, jatuh, kecewa, berbuat dosa, itu semua adalah salah satu bab dalam sekolah kehidupan... Asalkan kita mahu BELAJAR, insaf, mohon ampun.. maka kembalilah kita kepada fitrah

ahhh Mastura, apakah yang anda merepek ini?! Di manakah titik persoalannya?

eheh. sabar. mari baca lagi.

Guru

Guru? Siapa guru? semua orang boleh jadi guru (cikgulah jangan skema sangat -.-").

Mak boleh jadi cikgu, kawan boleh jadi cikgu, bahkan pak mat pekerja warung bawah rumah pun boleh jadi cikgu. tapi sekarang ni saya nak cakap pasal cikgu di sekolah-sekolah kita.

ya ya. cikgu yang selalu ajar kita matematik, sains dan sebagainya, yang kadang-kadang bila kita tertidur dia datang meja kita dan ketuk kuat-kuat. oh mengapa pula cerita pengalaman sendiri di sini.

Suatu hari, ada seorang cikgu di sekolah saya bertanya kepada seorang murid lelaki, "Kenapa markah biologi awak ni rendah sangat?"

"Ala cikguuu duniawii je semua ni" bentak pelajar tersebut.

Guru itu diam. saya tak pasti sama ada hatinya terguris atau tidak. Tapi, saya kira kalau saya yang menjadi guru tersebut, pastilah hati saya menangis.

Hakikatnya.. tiada istilah ilmu duniawi semata-mata. Semua ilmu itu adalah milik Allah. Kenapa tak mahu belajar ilmu dunia? Bukankah kita hidup di dunia? Bukankah dengan ilmu dunia itu kita dapat berbakti untuk kepentingan akhirat?

Ada pelajar yang tegar tidur dalam kelas matematik tambahan, biologi, kimia, sains dan sebagainya... dan senyap-senyap pergi belajar Agama dengan para ustaz/ah atau sibuk 'berpersatuan Islamik' sehingga ponteng dan tak fokus di sekolah atau universiti.

Saya tak kata salah untuk belajar Agama, tapi seorang Muslim tahu mengutamakan apa yang lebih utama untuk kehidupannya, demi kebahagiaan di dunia juga di akhirat. Nak belajar Agama tapi menyakiti hati guru yang lain itu bukan sifat pelajar Muslim. Nak belajar Agama tapi mengabaikan amanah yang lebih utama, itu bukan sifat pelajar Muslim. Jika anda berbuat begitu, anda bukannya menyelamatkan Agama, tetapi anda sedang menabur fitnah kepada Agama.

"Eeee. tengok tu dia tu, nampak alim, tapi..dalam kelas, mak aiii tidoo je manjang!"

"tengok tu dia tu, pergi masjid tak tinggal, tapi... belajar pemalas!"

"tengok tu dia tu, pakai tudung labuh.. tapi dengan cikgu kurang ajar."

Ayuh semua. Lihat sesuatu dengan skop yang lebih besar. Dalam kehidupan kita, ada perkara utama yang kita perlu utamakan. Terkadang, kita perlu korbankan sesuatu yang kita MAHU, untuk sesuatu yang kita PERLU.

Islamik?

"Wa, Islamik tak islamik tu.. tak adil kalau kita hanya pandang dia suka nasihatkan orang atau dari pakaian dia, atau kita nampak dia macam baik suka pergi program Agama. Tapi Islamik tak islamik tu, pada abang adi, apabila dia memajukan diri dia, pada dunia dia hebat dan mampu bagi manfaat kat orang lain, dan untuk akhirat pun dia hebat, kuat Agamanya... Bagi abang adi, itu baru Islamik." suatu saat, abang saya menegur.

Saya tersedar. ya tak ya.. betul juga...

Lantas teringat pada pesan Nabi :


Rasulullah s.a.w bersabda : keutamaan seorang yang berilmu atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaankanku atas seorang yang paling rendah antara kalian... (HR Tirmidzi)

Kenapa orang berilmu lebih tinggi maqamnya?

Kerana dengan ilmu, dia mampu beri manfaat kepada orang lain.
Kerana dengan ilmu, dia mampu menyebarkan bahagia.
Kerana dengan ilmu, dia dapat membaja untuk kepentingan akhirat.

Nah... bertebaranlah di muka bumi mencari ilmuNya. Sungguh Islam dahagakan mereka seperti ibnu sina, juga seperti al-khawarizmi.

Di hospital, kita perlukan doktor dan jururawat Muslim.
Di sekolah, kita perlukan guru Muslim.
Di pusat membeli-belah, kita perlukan peniaga Muslim.

Belajarlah kursus apa sekali pun, tapi sematkan dalam diri bahawa kita orang Islam, belajar kerana Allah dan berilah manfaat kepada manusia sejagat.

Jom jom jom cinta ilmu, dan jangan bertindak tidak adil kepada ilmu!

p/s : untuk adik-adik yang nak ambil SPM, good luck, strive for the best!

Wallahu'alam

Read More......

Friday, October 26, 2012

[Kisah Benar] Aku Bukan Malaikat

[kisah benar seorang hamba Allah yang telah saya olah semula, setelah mendapat keizinan darinya... moga diambil iktibar]

Assalamualaikum.

Sungguh klise pembuka bicara kita. Umat Islam gemar memberi salam, kononnya mendoakan sejahtera ke atas kamu, sebaliknya merekalah yang telah merobek-robek kesejahteraan hidupku, dan membuat aku jatuh terpelusuk jauh ke pusat bumi.

Aku.... aku adalah manusia biasa. Tiada apa-apa. Tapi, semua orang memandangku sebagai sempurna. Ada rupa, ada harta, ada kepandaian, malah dicintai Tuhan. Itu kata mereka. Itu tanggapan mereka pada aku... Sedangkan aku tahu, di sisi Tuhan aku adalah manusia yang paling hina...

Kalaulah mereka tahu segala keaibanku yang Allah tutupkan, pasti mereka menjauhiku, memandang jelek kepadaku, malah tidak mahu lagi berkawan denganku.

Oleh sebab itu, aku diamkan. Aku jadi seorang yang murung. Aku tidak ada siapa yang boleh aku bicarakan permasalahan hidupku. Semua memandangku sempurna. Tiada lagi pandangan insani. Aku jadi takut. Aku takut andai mereka nampak kecacatan diriku. Bukan aku takut mereka akan menghinaku, tapi aku bimbang nama Islam ditarik sama.

Maka berjalanlah aku dalam daerah sepi. Terkadang aku termenung sendiri. Puas aku mengoyak senyum di hadapan mereka. Puas aku berpura-pura bahagia, sedangkan jauh di sudut hatiku hanya Allah yang tahu... mereka lupa, tiada manusia yang tak punya masalah. Tiada manusia yang tak punya dosa.

Mujur imanku masih utuh, di tikar sejadahlah air mataku meluncur laju. Tuhan... apakah ini ujianMu padaku? Tuhan... di manakah tempat untuk aku meluah segala selainMu? Aku jadi buntu.

Aku jadi bosan melihat mereka... Berpesan-pesan dengan kebaikan, menghantar mesej panjang berjela sedang aku amat bosan dengan 'bahasa-bahasa klasik' yang mereka kirimkan. Tidakkah mereka tahu, untuk berdakwah perlu 'masuk' ke dalam tingkahlaku orang yang hendak didakwah, selagi mana kita tidak melanggar syariat.

Aku kembali termenung....

Aku jadi rindu pada sahabat-sahabat yang jauh... Mereka kelihatan biasa-biasa, tapi mereka selalu memahamiku, mendengar setiap permasalahanku tanpa menghukum aku. Mereka tidak memandang aku dengan pandangan yang pelik... Allah, sungguh aku rindu pada mereka. Mereka tidak meletakkan hukum yang berat-berat ke atas aku, malah mereka selalu menyenangkan dan memberi khabar gembira...

Aku jadi keliru, bukankah Islam itu seharunya memberi khabar gembira kepada manusia? Justeru kenapa aku selalu merasakan derita dengan hukuman-hukuman berat mereka?

Tetapi aku masih di sini. Tetap di sini. Dikelilingi manusia-manusia malaikat, sedang aku hanya ingin terbang di dunia sebagai manusia biasa. Yang akhirnya menjadikan manusia lain luar biasa, lebih baik dari aku yang biasa. Aku bukan malaikat yang tak punya dosa, aku masih ada sekeping hati yang mereka terlupa....

Sehingga, aku jadi pemarah. Aku jadi pentingkan diri sendiri. Aku jadi anti-sosial. Mereka yang mendidikku begitu. Mereka menekanku, menekan jiwaku hingga ia jadi memberontak. Malah aku tidak hirau lagi apa tanggapan mereka padaku.

Aku harap, iman aku akan tetap utuh sehingga ke akhirnya. Jika tidak, akan aku dakwa mereka semua, kerana mengheret aku ke lembah kehinaan dalam diam...

Aku,
Manusia biasa.

~Moga diambil Iktibar sahabat... :')

Read More......

Monday, October 22, 2012

Tokoh Wanita : Ummu Imarah

Dikau mengingatkanku perihal Ummu 'Imarah

"Kami redha sekiranya anak kami keluar pada waktu pagi dalam keadaan hidup dan pulang pada waktu petang dalam bentuk jenazah."

"Apabila anak kami keluar pada waktu pagi, kami tak berharap dia akan pulang pada waktu petang." Luahan-luahan hati ibu-ibu yang duduk dalam keadaan peperangan sedang seisi dunia masih duduk di hadapan televisyen dan di panggung-panggung wayang, gelak berdekah-dekah dengan aksi lucu di skrin hadapan mereka.

Nun jauh di sana...

Si ibu yang malang khususnya di Syria dan Palestin sedang membalut luka di tubuh anak mereka, atau sudah tidak kuasa lagi menangis menghadapi kehilangan sang anak. Seorang demi seorang.


"Ada anak kecil di sini! Ada anak kecil di sini!" Seorang lelaki menjerit meminta belas, namun senapang yang tidak bermata tidak pernah kenal erti belas. Lantas peluru menembusi dada si anak kecil, dan kemudiannya sebutir lagi menembusi dada si ayah.

Tinggallah si ibu bersendirian dalam ketakutan. Langit yang diterangi cahaya matahari seolah-olah langsung tidak memberinya harapan. Tulang belakang keluarga telah pun pergi, permata hati pula menuruti.

Lantas para wanita ini bangkit. Mengikat kepala dengan kain bertulis kalimah jihad. Memegang senjata, menghunus pedang tanpa menghiraukan statusnya sendiri. Yang penting, maruah harus dijaga!

Mereka berperang tanpa gerun, mengingatkan saya tentang seorang tokoh wanita. Namanya...

Ummu 'Imarah

Ummu 'Imarah atau nama sebenarnya Nusaibah binti Ka'ab adalah pejuang wanita yang pertama. Beliau aktif mengikuti peperangan yang diikuti Nabi.

"Dahaga...Dahaga... Air.. Air.." Pada saat tentera Muslimin dahaga di medan peperangan Uhud, dan Nusaibah mendengar, "Sebentar!Sebentar!" Cepat-cepat beliau mengambil air dan menghulurkan kepada mereka yang dahaga.

"Sakit.. sakit..."Tentera yang lain pula mengerang kesakitan.

"Sebentar! Sebentar!" Bergegas pula beliau merawat tentera yang cedera.

Suatu saat, dirinya diuji. Yang cedera bukanlah tentera yang tidak dikenali. Tetapi anaknya sendiri. Nusaibah tidak kuasa menangisi sebuah ujian Ilahi. Lantas dia bangkit berdiri, membalut luka yang wujud pada anak yang dikasihi. Katanya, "Bangun, wahai anakku!"

Mendengar semangat yang keluar dari mulut ibu tercinta, si anak bangkit berdiri dan terus sahaja mara melawan musuh yang dilaknat Ilahi.

Terharu perasaan Baginda Rasul Yang Mulia, lalu baginda berkata, "Wahai Ummu 'Imarah... siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?"

Tidak lama kemudian...

Tibalah waktunya, ketika Allah menguji dan dicampakkanNya rasa takut dan gerun di dalam hati para tentera Muslim, tiada lagi keyakinan mereka terhadap Ilahi. Mereka pun lari meninggalkan medan peperangan, yang tinggal hanya sekitar 100 orang....

Dan, Nusaibah salah seorangnya!

Beliau memakai baju perang dan menghunuskan pedang. Berlawan tanpa lelah. Bertempur tanpa gerun. Pantang mengalah sebelum kalah! Biar nyawanya terancam, asalkan Rasul berada dalam keadaan aman.

Kehebatan beliau berperang sehingga membuatkan Rasulullah bersabda : Aku tidak menoleh ke kiri dan kanan kecuali melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku.

Ummu 'Imarah, Ummu 'Imarah...
Malunya kami..
Bukannya disuruh mengangkat senjata di medan perang,
Disuruh mengangkat selimut tatkala subuh,
Pun masih berat dirasa....

Wallahu'alam.

Read More......

Monday, October 15, 2012

Maafkan akak, dik...


"bayangkan kematian yang menjelma.. Kita dikubur berseorangan.." suara ketua fasilitator kuat kedengaran, diikuti muzik yang menggerunkan.

"arghh arghh sakit.. Panas! Tolong! Tolong!" suara menyeramkan itu kedengaran lagi, membingitkan suasana malam yang suram. Adik-adik peserta program yang memejamkan mata mula menangis teresak-esak.

Saya dan sahibah yang lain memerhatikan mereka dari belakang.


Cerita 1 : tangisan seorang adik

Tiba-tiba, salah seorang peserta wanita duduk mencangkung, kedua tangannya yang mulus dilekatkan ke telinga rapat-rapat. Melihatnya, kami jadi gusar. Lantas, kami mendekatinya.

"dik, dik.." saya mengusap bahunya perlahan.

Dia menggeleng sambil tangannya masih utuh melekat di telinga. Lantas, kami membawanya jauh sedikit dari kelompok rakan-rakannya.

"dik?" saya cuba menarik perhatiannya lagi. "dik, sudah dik.."

Perlahan, dia melepaskan tangan yang menutup kedua-dua telinganya. Matanya basah kemerahan. Dia masih tersedu sedan menahan tangis yang kian lebat. Melihatnya, dada saya memanas, lantas mata turut digenangi air.

"kak, saya takut kak. Saya takut" dalam esak dia bersuara.

Saya memeluknya erat. "baca ayat kursi dik"

Sejurus selepas saya mengatakan ayat itu, tangisnya pecah. Esakannya semakin kuat. "s..ssaa..saya tak tahu kak!"

Mendengarkan itu, hati saya bertambah hiba. Pelukan dikuatkan, lantas saya berselawat dan meniup sedikit ke telinganya. Tangisnya beransur reda. Tapi gelodak di hati saya masih lagi belum reda,sereda tangisannya. Ada rasa yang berbaur, ada hiba yang bertamu.

Maafkan akak dik....

Cerita 2 : Pengalaman Ikhlas seorang adik

Seorang remaja lelaki tampil ke hadapan ketika sesi perkongsian pengalaman.

"dulu saya anak yang nakal. Saya selalu lawan cakap mak. Apa yang mak suruh itulah yang saya tak buat. Sedangkan saya lah yang mak harapkan selepas kematian ayah." katanya terhenti, memberi ruang tangisan untuk mengalir pergi.

"saya dapat tawaran ke luar negara, mak suruh pergi tapi saya melawan, saya taknak pergi. Mak sedih sangat. Mak jatuh sakit." saya kira, dia tak berkuasa lagi menahan tangis. Air matanya jatuh berjujuran. Tangannya diangkat sedikit mengesat titis air jernih yang bersisa.

Dia menyerahkan microphone kepada fasilitator yang berhampiran dengannya. Dia terduduk. Tidak lagi mampu berkata apa-apa. Walau sepatah. Yang kami dengar pada ketika itu hanyalah suara tangisannya. Badannya bergetar menahan hiba.

"kawan-kawan dia tolong ke depan." fasilatator lelaki memberi arahan. Dua orang remaja lelaki kemudiannya tampil ke hadapan dan memeluk rakan mereka yang sedang dilanda tangis hebat.

Melihat itu, mata kami bergenang. Ah, jiwa remaja sememangnya suka memberontak jika ditekan.

Maafkan akak, dik....

Cerita 3 : patahnya hati seorang adik

"ahh kau ni memang jantan tak guna! B**i" berkali-kali jeritan itu saya dan sahibah dengar. Suaranya seakan-akan berhampiran dengan rumah kami. Justeru kami memberanikan diri menyiasat di tangga berhampiran rumah kami.

Seorang adik perempuan duduk di sudut tangga, sambil suaranya tidak lagi berhenti menjerit. Mungkin tidak perasan dengan kedatangan kami.

"Assalamualaikum." kami memulaan perbualan. Dia menoleh, bereaksi terkejut dengan kehadiran kami.

"waalaikumussalam." wajahnya kembali dipalingkan ke arah lain.

"adik okay?" kami duduk bersebelahan dengannya. "kenapa ni?" kami mengurut-urut bahunya, mengusap-usap belakangnya sambil dia terus menangis.

"dik.. Kalau nak cerita apa-apa, cerita je, jangan malu." kata saya cuba menenangkan suasana.

Tiba-tiba dia bersuara," kak, saya sayang dia. Saya sayang dia sangat-sangat. Tapi kenapa dia buat saya macam ni kak. Kenapa?" sungguh kami tak faham apa yang cuba disampaikan kerana kami tidak mengenali remaja tersebut malah tidak tahu apakah punca tangisannya.

Setelah lama berbicara, baru lah kami tahu masalah yang dihadapi adalah masalah teman lelaki. Entah kenapa dia meluahkan segalanya kepada kami, mungkin kerana dadanya yang sudah sesak dengan pelbagai masalah. "kak, kenapa kak...."

Melihatnya masih menangis, sembunyi-sembunyi saya mengesat air mata yang mula timbul.

Maafkan akak, dik....

Remaja

Remaja sering dilabelkan sebagai bermasalah. Sebenarnya mereka bukan bermasalah. Hormon-hormon mereka yang bergerak aktif dan berlakunya perubahan hormon membuatkan rasa ingin mencuba menjadi tinggi, dan rasa ingin memberontak juga tinggi.

Kita sering melabel mereka bermasalah, sebenarnya yang bermasalah adalah kita. Kita yang tidak memahami. Kita yang suka menghukum. Kita yang tidak suka mendengar. Seolah-olah kita tidak pernah melalui frasa remaja.

Kita rasa kita sudah jadi cukup baik di mata Tuhan, justeru kita menghina mereka. "ish apalah perangai macam tu" , "ish apalah jadi bohsia." dan macam-macam lagi kata hinaan dilemparkan menjadikan mereka stres dan menjauhi kita. Kita menghukum mereka seolah-olah kita terlupa bahawa dahulu kita juga berada di jurang kejahilan, Allah Yang Maha Baik lah yang menyelamatkan kita dari jurang itu dan meletakkan kita di lembah kebaikan.

Tapi kita lupa...kita lupa semua itu.....

Maafkan akak, dik...

Adikku..
Pada saat mereka mengkejimu dan diriku tidak mampu berbuat apa,
Maafkanlah...
Pada saat mereka melemparkan hinaan dan diriku hanya bisa melihat,
Maafkanlah...
Pada saat engkau menangis terluka dek pandangan sinis mereka dan diriku kaku di sini,
Maafkanlah...
Pada saat engkau marah dan berlalu pergi jauh dari kebaikan dan diriku hanya mampu berdoa,
Maafkanlah...

Adikku,
Tidak ku sanggup melihat engkau terus begitu,
Namun keterbatasan waktu,
Bercampur kekurangan diri yang kaku,
Tidak dapat aku melayan karenahmu selalu,
Memberi perhatian cinta padamu saban waktu,
Atau mendengar celoteh manjamu seperti selalu...

Adikku,
Tetaplah berdiri teguh di jalan ini,
Jalan yang mengajakmu menuju ke syurga hakiki,
Tapi jika kerana 'mereka' langkahmu jadi sepi,
Hatimu jadi berapi,
Dan engkau tekad berlalu pergi,
Tanpa menoleh lagi...

Hanya satu pintaku..
Maafkan akak, dik.....


Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Al-Imran : 159)

wallahu'alam

Read More......

Saturday, September 29, 2012

Sungguh Aku Rindu


Tuhan…
Aku rindu pada Makkahmu,
Yang menyimpan seribu sejarah,
Yang menyaksikan kelahiran Rasul Yang Mulia,
Yang menjadi saksi jerih payah dan penghinaan yang diterima baginda..

Tuhan…
Ku rindu haruman tanah di sana,
Yang menjadi tempat berpijaknya Rasul menyebarkan dakwah,
Menjadi tempat berjalannya para khulafa’ Ar-Rasyidin,
Menjadi saksi setianya Hajar berlari-lari antara safa dan marwa,
Untuk mencari air buat si kecil Ismail…


Tuhan…
Ku rindu pada damainya Kota Madinah,
Tempat bersemadinya Rasul yang ku cinta,
Tempat terabdinya sebuah cinta,
Menyelak lembaran sirah,
Bagaikan aku berada di sana,
Saat Rasul menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Si Humaira’,

Bagaikan aku melihat Umar yang tidak percaya,
Bagaikan aku terdengar dia berkata,
“Siapa yang mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat, akan ku penggal kepalanya!”
Lalu ditenangkan oleh sahabatnya Abu Bakar,
Dan Umar terduduk percaya,
Menelan kepahitan yang dirasa,
Dalam hati tidak sabar untuk bersatu kembali dengan Nabi,
Di syurga yang abadi…

Tuhan…
Aku hambaMu yang lemah,
Aku sering melupakanmu pada saat hati dilanda gembira,
Dan menyalahkanMu pada saat hati dirundung duka,
Layakkah aku ke sana lagi,
Untuk berpijak di tanah itu,
Melawat maqam insan yang paling ku cintai,
Dan seolah-olah menghidu haruman tubuh baginda,
Menerawang di sekitarnya….

Tuhan…
Apakah aku masih punya waktu,
Untuk bersujud di hadapan KaabahMu,
Yang menyimpan sejarah dengan tentera bergajah,
Apakah aku masih punya waktu,
Untuk menangis memohon ampunanmu,
Di tanah yang mulia itu?

Tuhan…
Beri aku waktu,
Walau hanya sedetik cuma,
Untuk aku kembali bersujud,
Di tanah mulia Madinah dan Makkah Al-Mukaramah….

:’(

Wallahu’alam

Read More......

Saturday, September 15, 2012

Maafkan Kami Rasulullah!

I LOVE YOU RASULULLAH!

Kasihannya dirimu ya Rasul,
Dari dulu sehingga sekarang,
Hinaan tidak pernah berhenti,
Dikau terus sahaja dicaci...

Namun dahulu,
Dalam menongkah arus ini,
Dikau tak pernah sendiri,
Yakinnya dikau akan Allah di sisi,
Dan juga para sahabat yang selalu membahagiakan diri....

Ya Rasulullah,
Kini engkau dihina lagi,
Dihina dengan seburuk-buruk penghinaan,
Difitnah dengan sedahsyat-dahsyat fitnah,
Apakah waktu ini,
Engkau sedang menangis di maqam sana?

Ya Rasulullah,
Kami kata kami cinta,
Namun adakah kami berdusta?

Kami kata kami cinta,
Tapi sunnahmu kami biarkan sahaja,
Ajaranmu kami lupakan,
Bahkan kami selalu sibuk,
Menghukum sesama manusia,
Seolah-olah kamilah Tuhan...

Ya Rasulullah,
Engkau selalu mendoakan kebaikan,
Meski kepada manusia yang melontarkan hinaan,
Engkau tersenyum,
Berbuat baik kepada wanita yang selalu menghinamu,
Menziarahi manusia yang selalu melontar batu ke arahmu...

Namun kini,
Engkau difitnah lagi,
Bukan dirimu sahaja,
Malah Khadijah dan Aishah yang mulia terlibat sama,
Bagaikan ku terlihat,
Titisan air mata Fatimah membersihkan najis yang dilontarkan ke arahmu,
Bergetar hatiku,
Mengenangkan Khadijah yang berkorban segalanya demi Islam tercinta,
Cemburu rasa jiwaku,
Mengenangkan Aishah yang menemanimu sehingga ke pengakhiran usia...

Ya Rasulullah,
Engkau selalu bermanis muka,
Engkau selalu menyebarkan bahagia,
Sedang kami selalu bertelagah sesama manusia,
Sibuk mempertahankan pendapat sendiri,
Menghodohkan syariat Islam yang hakikatnya Indah..

Kami marah Islam dihina!
Kami kecewa engkau difitnah!

Tapi,
kami bergerak lewa,
Dalam arus dunia,
Kami tersungkur hiba.

Tiada lagi Salahuddin al-Ayubi yang melawan musuh dengan berhemah,
Atau Umar al-Khatab yang mempamerkan lambang Islam yang amanah,
Yang tinggal hanya kehancuran,
Keleburan...

Ya Rasulullah,
Sungguh aku rindu!
Rindu pada kedamaian Islam,
Sungguh aku rindu!
Rindu pada tertegaknya yang haq di bumi ini...

Ya Rasulullah,
Apakah aku ini,
tergolong dalam golongan yang engkau rindui,
Atau aku ini,
Hanyalah perosak agama yang suci?

Ya Rasulullah,
Adakah pada ketika ini,
Engkau sedang menangis lagi,
Melihat umatmu ini?


Suatu ketika bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sahabat-sahabatnya yang mulia. Dibarisi sahabat paling setia Abu Bakar as-Siddiq. Terkeluar dari mulut baginda yang sangat mulia. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku),” kata baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

“Apakah maksudmu berkata demikian, wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?”Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku.” Suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga saudaramu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian Baginda bersuara,
“Ikhwanku adalah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku dan mereka mencintai aku melebihi anak dan orang tua mereka. Mereka itu adalah saudara-saudaraku dan mereka bersama denganku. Beruntunglah mereka yang melihatku dan beriman kepadaku dan beruntung juga mereka yang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” (Hadis Muslim)


Wallahu'alam

Read More......

Friday, September 14, 2012

Cantikkan Tiang Kita


"Wa, semalam sebelum tidur solat Isyak tak?" saya masih ingat, itulah soalan yang selalu disoal oleh arwah ibu angkat saya kepada 'si kecil' Mastura. Ketika itu, saya kira umur saya baru menjengah 5-6 tahun.

Perlahan saya menggeleng.

Arwah ibu angkat saya mengeluh, "Macam mana kalau harini tak sempat bangun dah meninggal?"

Soalan itu, saya simpan rapat-rapat dalam hati sehingga sekarang.


Indahnya Solat

"Dahaganyaa... air mana air?"

waktu tekak kita kering, kita secara automatik tahu mana nak cari air pengubat dahaga. Baiknya Allah yang menciptakan manusia... Dia tahu apa yang manusia perlu.

Justeru, apabila iman kita kering, Allah hadirkan solat buat menyimbah iman yang kontang. Allah hadiahkan solat sebagai waktu istimewa untuk kita bercakap-cakap dengan Allah, untuk kita merintih dan mengadu segalanya, untuk kita melagukan syair rindu dan cinta padaNya.

Baiknya Allah yang benar-benar memahami manusia. Tapi... kita selalu MALAS nak solat. Kita selalu lengah-lengahkan solat. Malah, kita hafal hadith yang mengatakan segerakan perkahwinan bila tiba waktunya, tapi kita lupa ayat sebelumnya :


Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap(urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui yang sesuai untuknya (Riwayat At-Tirmizi)

haih, macam mana ni, kahwin nak, solat tak nak? -.-"

Tiang

Jom kita rilek-rilek baca cerita lucu pasal tiang.

Situasi 1 : Episod tiang rapuh

A : Bagus-bagus rumah ni cantik, semua lengkap.

*pegang tiang*

Prang!!!

A: Eh kenapa, kenapa kenapa rumah ni runtuh??

N : er, er, tiang dia rapuh tuan!

Monolog Dalaman : Kalau solat kita sekejap solat sekejap tak, rapuhlah tiang amal kita, kita sedekah, kita dah buat banyak amal kebajikan tapi yang utama sekali kita tak buat(solat) habis hancurlahh semuanya.

Situasi 2 : Episod tiang hilang

A : bagus bagus bagus pelan rumah ni, ada atap cantik, lantai mewah... tapi macam mana nak bina ni, tiangnya mana?

B : Tiang hilang tuan!

A : Aku nak kau hilang sekarang.

Monolog Dalaman : Kalau kita sisihkan amalan pertama(solat), amalan yang lain-lain umpama tiada gunanya...

Lucu kan orang cipta rumah tanpa tiang atau tiang rapuh. Tapi lagi lucu bila kitalah yang membina tiang tersebut!

Solatlah Sayang.

Bersolatlah, kerana solat itu menenangkan hatimu.
Bersolatlah, kerana solat itu penghubung dirimu dengan Tuhan.
Bersolatlah, kerana solat itu tiang Agamamu!

Solat itu mencegah kemungkaran. Jika kita solat tapi masih lagi melakukan kemungkaran, hayatilah semula solat kita...


..dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut : 45)

Terima kasih buat arwah mak angkatku.. buatmu mak... terima kasih kerana mengajukan soalan itu dahulu.

Mak,wawa tahu mak tak baca ni, tapi wawa harap mak tahu... sekarang bila dah masuk waktu solat dan wawa tak betul-betul lapar sangat, wa takut nak makan dulu sebelum solat sebab wawa takut mati waktu makan.

Bila tengah tengok tv masuk waktu solat, wawa takut tak pergi solat sebab wawa takut mati masa tengok tv.

Bila mata ngantuk, wawa takut nak tidur dulu baru solat, sebab wawa takut tidur tak bangun-bangun lagi. terima kasih mak... doakan wawa pergi menghadapNya dengan baik, seperti mak, di sisi suami yang setia mencinta dan anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan....

wawa rindu mak, sangat :') tenanglah mak di sana..... Al-Fatihah.


“Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. JIka kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.” -Imam Ghazali.

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, August 22, 2012

Istimewa raya ; Berbahagialah dengan takdirmu.

Ilmu Allah itu sangat luas, mungkin ada yang kita belum terokai... Maka bersangka baik dan berbahagialah selalu.

Assalamualaikum.

maaf lama blog tak berupdate. Jujurnya terasa diri begitu lemah, untuk membahagikan waktu pun saya tidak mampu. Malunya saya dengan kalian.

okay baiklah mari kita proceed dengan jawapan berkenaan takdir dalam post sebelum ini ya?


Teman-teman seperjuangan di sini asyik meneka siapa yang lebih dan paling bersalah. Ada yang kata Nabi Musa bersalah. Ada yang kata pemuda berkuda bersalah, ada yang kata yang paling tak bersalah adalah orang tua.

Apa-apa pun, Allah rewind balik kisah tersebut kepada beberapa tahun sebelumnya.

Si pemuda yang berkuda itu baru saja pulang dari merompak sebuah rumah, uncang emas itu adalah hasil rompakannya.

Budak kecil itu pula sedang berjalan-jalan di tepi sungai, tiba-tiba dia terlihat sesuatu "Eh, ini macam uncang emas keluarga aku ni." Lalu diambilnya pulang ke rumah.

Orang tua yang terlihat sebagai orang yang paling tak bersalah pula pada suatu masa dahulu adalah seorang ketua penyangak. Dialah yang membunuh kedua ibu-bapa pemuda berkuda tersebut.

Baiknya Allah

Allah selalu memberi sesuatu tanpa kita meminta, bahkan Dia selalu sahaja memberi yang terbaik. Meski suatu ketika dahulu kita menangis, terjatuh dan tidak tahu bagaimana harus bangun semula.

Tapi hakikatnya, hari ini kita mampu tersenyum, menjadi lebih kuat dan gagah dan mampu berlari kencang di medan ini. Kita pun terlupa bahawa suatu ketika dahulu kita pernah jatuh sehingga seolah-olah hilang arah.

Mengapa begitu?

Bukankah Allah telah berfirman ;


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (Al-Insyirah : 5-6)

Dan siapakah yang paling menepati janji selain daripada Allah?

Berbahagialah dengan takdirmu

Dulu, saya selalu tertanya-tanya, kenapa saya diletakkan di MRSM sedangkan subjek yang paling saya tak suka adalah sains.

Saya berusaha untuk keluar dari MRSM, yang saya rasa seolah-olah satu 'penjara' hebat buat seorang remaja seperti saya dahulu. Memberontak dengan peraturan yang mengawal. Saya rasa terseksa.

Tapi usaha-usaha untuk keluar dari MRSM Allah gagalkan sehinggalah saya berjaya bergraduasi(Alhamdulillah) dengan jayanya.

Kemudiannya saya kembali penasaran, Allah campakkan saya ke bumi KUIS. Bumi yang sungguh indah tarbiyyahnya sehingga hati saya sangat gembira, selepas itu dalam keadaan diri yang saya kira belum bersedia untuk 'terjun' dalam lapangan dunia realiti sebenar yang menyakitkan, Allah letakkan saya di salah satu Institut perguruan di Malaysia.

Saya kira, ramai yang sedia maklum, saya jadi stres. Saya disuruh itu dan ini bahkan waktu solat juga jarang dapat saya jaga di awal waktu. Saya dipaksa melakukan perkara yang tidak syar'ie, bahkan dituduh jumud kerana tidak mahu bersukan beraksi yang bukan-bukan di hadapan lelaki. Hari-hari saya dipenuhi air mata. Tapi syukur Allah kurniakan sahabat-sahabat yang baik sebagai penguat saya tatkala itu. Alhamdulillah. Baiknya Allah

Berat badan saya turun teruk. Reputasi pelajaran saya jatuh. Mata saya sembab. Saya sering dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah jatuh mendadak. Tubuh saya lemah, ketika itu saya tertanya-tanya lagi : Allah, kenapa Engkau letakkan aku di sini.

Saya berusaha untuk keluar. Bukan mudah kerana seluruh pengajian saya ditaja. Tapi kali ini Allah bantu, saya dibenarkan berhenti tanpa perlu membayar walau satu sen. Baiknya Allah yang selalu memahami.

Dan kini saya jadi akur pada aturanNya. Memang kita boleh berdoa, boleh berusaha untuk mendapat takdir yang lebih baik, tapi jika doa seolah-olah tidak dimakbulkan, teruslah percaya... Allah sedang merancang yang terbaik!

Di MRSM lah saya kenal erti sebuah kehidupan dan sebuah persahabatan. Di situlah sedikit demi sedikit nilai keIslaman disuntik ke dalam diri.

Di Institut Perguruan itulah saya kenal dunia realiti. Allah mahu sedarkan saya yang selalu leka dan mahu jadi baik sendiri, mungkin. Allah mahu sedarkan saya medan ini bukannya mudah. Saya perlu lebih persiapkan diri. Di situlah saya belajar untuk tidak selalu menjatuhkan hukum kerana saya amat memahami, dahulu mungkin saya juga seperti mereka.

Dan Allah campakkan saya kembali ke bumi KUIS, agar saya dapat lebih memantapkan diri, mencedok ilmu dari pada asatizah untuk diamalkan di masa hadapan, mudah-mudahan. Allah selalu membantu hingga terkadang saya jadi malu. Layakkah nikmatNya itu dicicip oleh seorang hamba yang hina ini?

Maka sahabat, berbahagialah dengan takdirmu. Yakinlah aturan-Nya itu selalu yang terbaik. Apabila kita sudah mampu menyerahkan seluruh kehidupan kepada Allah(setelah kita berusaha) maka di situlah kita temui ketenangan.

Salam rindu Ramadhan. Moga Allah kasih selalu.

wallahu'alam

Read More......

Saturday, August 11, 2012

Istimewa Ramadhan ; Ayuh Berdoa.



"Kenapa kena berdoa? Allah kan tahu apa yang kita nak, kenapa kena doa?"

"Kenapa kena doa kan orang lain, diri sendiri pun tak betul lagi."

Senyum.

Saya ada kenal seorang rakan yang dia sentiasa berdoa sehingga menangis-nangis, tapi bila ditanya apa yang didoakan sampai menangis tu, jawabnya :

"Saya doakan saudara di Palestin dan Syria."

"Saya doakan saudara yang berada dalam kesusahan."

"Saya doakan ibu bapa saya."

"Saya doakan adik beradik saya."

"Saya bimbang kalau ahli keluarga saya menjadi bahan pembakar api neraka."

Jawabnya tulus. Apabila ditanya, doa untuk kamu?

Dia hanya diam, menjungkit bahu. Katanya lagi, "Kalaulah dalam banyak-banyak doa saya Allah tak mahu makbulkan, cukuplah Allah makbulkan doa agar keluarga saya dijagaNya dengan sebaiknya."

Subhanallah. Dia selalu menyembunyikan kedukaan, melemparkan senyuman meski diri dalam kesedihan. Sungguh terasa kerdil diri saya ini.

Hidupnya seolah-oleh tenang. Perfect. Ya, saya tahu tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini, tapi saya kira dia benar-benar sempurna di mata saya walaupun hakikatnya saya tahu dia juga kadangkala menyembunyikan 'sesuatu' dari saya.

Nak tahu rahsia ketenangan hidup? Rajin-rajin mendoakan orang lain seperti rakan saya itu, bila nampak orang susah, terus doakan dalam hati, "Ya Allah rahmati dia." Sebab apa? sebab Rasulullah ada berpesan :


Ummu ad-Darda’ telah berkata dari Abu ad-Darda’: Sesungguhnya Nabi Shollallaahu ‘Alaihi wa Sallaam telah bersabda: “Doa seorang muslim kepada saudara (seislamnya) semasa ketiadaannya adalah mustajab. Terdapat malaikat yang mendampinginya. Setiap kali dia mendoakan saudaranya dengan kebaikan maka malaikat tersebut akan berkata: amin, dan bagi kamu sepertinya.“ (HR MUSLIM)

Haa.. sekarang cuba kita bayangkan, kita doa, ya Allah kau jagalah adikku, dan malaikat berkata "Amin, dan bagi kamu sepertinya."

Tadaa... ini dah kira macam air instant 3 in 1 ni. Kita doakan orang lain, dapat sekali kat kita. Berbaloi-baloi tak? ;)

Takdir

"Ahh saya dah doa banyak kali, tapi Allah tak makbulkan pun. Bukan ke dah takdir, buat apa nak doa-doa?"

Hai.

Kita mungkin dah biasa dengar firman Allah dalam surah Ar-Ra'd yang bermaksud Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.

Haaa, salah satunya dengan berdoa lah.

Eh, bagaimana pula?

Rasulullah S.A.W berpesan :

"Qadak itu tidak dapat ditolak melainkan dengan doa"(HR AHMAD, IBNU MAJAH)

Imam al-Ghazali pula menyebut dalam kitabnya Ihya' ulumuddin : "Bagaimana doa boleh mengubah qadak sedangkan qadak sudah ditetapkan dan tidak boleh ditolak lagi?Ketahuilah sesungguhnya antara qadak Allah itu sendiri ialah menolak bala dengan berdoa"

Secara ringkasnya, doa boleh 'divert' kan keburukan yang nak datang kepada kita tu. Bala nak datang, kita doa, ehhh dia pergi tempat lainlah. Alhamdulillah. Sweetnya Allah.

"Eh saudari, saya dah doa banyak kali tapi hidup saya ni bagai jatuh ditimpa tangga berserta eskalator."

Mudah.

Pertama, Allah ingin menguji tahap keimanan anda, dan selepas itu akan dibalas dengan nikmat keindahan.

Kedua..... ha yang ni mari kita uji minda.

Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah, "Ya Allah, takdir itu apa?". Lalu Allah menyuruh baginda pergi ke satu tempat di mana ada dua batu dan di tengah-tengah dua batu itu ada satu lubang.

Allah kata, "Lihat di tengah-tengah batu itu dan jangan berkata apa-apa."

Nabi Musa pun menurut. Dari celahan batu, Nabi Musa dapat melihat sebatang sungai yang tenang, tiba-tiba datang seorang pemuda menaiki kuda dan berhenti di tepi sungai tersebut. Pemuda itu membasuh muka, duduk dan mengeluarkan satu uncang emas lalu diletakkan di sebelahnya.

Tenang pemuda itu baring merehatkan tubuh.

Tiba-tiba.... pemuda itu dengan keadaan tergesa-gesa menaiki kuda dan tertinggal uncang emas tersebut!

Jeng jeng jeng.

Lalu datang seorang budak kecil yang terlihat uncang emas itu lalu diambilnya. Tidak lama kemudian, datang seorang tua yang buta membersihkan wajah di sungai tersebut. Pemuda yang menaiki kuda sebentar tadi pun muncul kembali. Katanya ;

"HEII orang tua. mana uncang emas aku?"

Orang tua itu menjawab, "Mana aku tahu. Aku ni kan buta. Uncang emas apa nii?"

Mereka pun bergaduh, pemuda itu naik berang dan membunuh orang tua tersebut.

Kisah tamat.

Nabi Musa bertanya kepada Allah, "Apakah maksud di sebalik apa yang dilihatnya sebentar tadi."

Ha... jom uji minda. Dalam cerita tadi siapa yang paling bersalah mengikut urutan 1 2 3 dan siapa yang paling tak bersalah?

Cerita dan jawapan akan disambung setelah jawapan diterima. HE HE. jom asah minda masa puasa ni.

nota kaki : nurlaili sila jangan jawab. :p


Wallahu'alam.

Read More......

Monday, July 30, 2012

Ramadhan ; Muhasabah Seorang Da'ie

Jom selamatkan Ummah! (Ihsan Facebook)

“Kak, dulu saya jahil tapi tak ada yang datang membimbing.”

“Kak, dulu saya berjalan dalam daerah sepi, tapi tak ada yang sudi memimpin.”

Muhasabah buatmu da’ie ;

Nota : kami dalam sajak ini adalah mereka di luar sana, yang masih hidup dalam kejahilan..

Mengapakah kami dibiarkan sepi,
Mengesat air mata sendiri,
Dalam lorong yang kelam,
Kami semakin jauh tenggelam...

Mengapakah kami dibiarkan sendiri,
Berlari dalam arus modenisasi,
Kalian memandang sahaja,
Dalam hati asyik mengata....

Mengapakah kami dibiarkan begini,
Kalian hebat melaungkan kalimah suci Islam,
Kalian selalu mengatakan contohi Rasulullah,
Sedang kalian terlupa,
Rasulullah ke sana-sini,
Mengajak manusia ke arah syurga,
Sedang kalian hanya memandang sahaja,
Dan kami terus-terusan terleka...

Kalian marah,
Kalian benci,
Bila kami tidak mengendahkan,
Bila kami menentang kalian,
Sedang kalian menegur kami dengan kasar,
Begitukah akhlak seorang pendakwah?
Dan izinkan kami bertanya,
Benarkah kalian mencontohi Rasulullah?

Mengapakah,
Mengapakah kami dibiarkan di sini,
Malam kami semakin kelam,
Siang kami hilang cahaya...

Kalian sibuk melaungkan,
Selamatkan Palestin!
Cintai Syria!
Kasihan saudara di Burma!
Sedang kalian lupa,
Kami di sini memandang sedih,
Apakah kalian terlupa kami di sini,
Yang hakikatnya sedang berperang dengan nafsu sendiri....

Mengapakah kami dibiarkan terasing,
Daripada kelompok ‘kebaikan’ kalian,
Mengapakah kami tidak didekati,
Dengan cara yang kami senangi.,
Mengapakah kalian berlalu pergi,
Tanpa kalian mengenali kami,
Mengapakah kalian tidak bersabar,
Dengan karenah kami yang jahil ini....

Mungkin kalian rasa kalian hebat,
Sedang bagi kami,
Kalian tidak ubah seorang yang mementingkan diri......

“Kak, kalaulah saya mati tanpa sempat saya bertaubat, pasti saya akan dakwa semua yang telah dapat hidayah, kerana tidak pernah mahu mendekati, bahkan asyik mengasingkan diri daripada kami....”

Dan hati ini menangis lagi.....


Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan. (An-Nahl :18- 19)


Wallahu'alam

Read More......

Sunday, July 22, 2012

Cinta Ramadhan


"Rasa macam dah lama tak update blog." Saya selalu berkira-kira di dalam hati, nak update, tapi sekarang kalau dapat tidur jam 1 pagi pun saya rasa dah cukup bersyukur. Ampun maaf dipinta menuju hening dosa. Ah, saya dah start merepek.

Siapa yang tak puasaa.... Angkat keyboard!!

ok bagus, ramai tak angkat keyboard sebab ramai guna laptop ya. ok ok, jom kita dengar tazkirah Ramadhan. ahem.

"Hello..." Saya tersenyum gembira. Meski saya tahu Adam di hujung talian tidak dapat pun melihat senyuman saya.

"Eloo." Suaranya kecil, suara baru bangun tidur.

"Adam puasa tak?"

"Tak."

"Laa kenapa?"

"Adam penat."

Itulah muqadimahnya, sebelum Adam meleret cerita jumpa ular, tupai makan karen dan macam-macam lagi. :')

Penat?

Pernah suatu ketika dahulu, di bulan Ramadhan, saya ke satu kompleks membeli-belah dan saya lihat ramai orang melayu(tak tahu Islam atau tidak) minum. selamba. Waktu tu, kompleks tu masih belum buka sepenuhnya. Al maklum, saya semangat nak tolong buka kedai -.-"

Saya terfikir... Apa relevannya mereka tak berpuasa.

Penat?

Jika yang berkata itu adalah kanak-kanak belum baligh saya masih boleh tersenyum dan berkata "ololo comelnye.."

tapi apabila yang memberi alasan penat itu adalah satu figur yang saya kira dah layak untuk jadi bapa orang, saya kira ayat yang sesuai diberi kepada mereka adalah : eh jom masuk van jenazah!

Sahabat.

Mungkin kita terlupa pada satu peristiwa hebat di bulan Ramadhan.

"Apa tuu apa tuu?"

Sabar sabar. orang puasa kena banyak sabar.

Perang Badar

Sewaktu peperangan badar, tentera Islam hanyalah sekitar 300 orang, tentera musyrikin pula adalah 3 kali ganda banyaknya.

Umat Islam terus Mara. Yang lebih menarik lagi, ketika itu adalah bulan Ramadhan. Ya, bulan di mana semuaa orang Muslim yang berperang sedang berpuasa Adakah pada ketika itu mereka berundur kerana gerun, kerana lapar, kerana penat? Adakah pada ketika itu mereka berkata, "Ya Rasulullah, kita cancel jelah perang ni. kitorang penatlah. tak makan, lagi pun bilangan kitorang sikit je, macam mustahil je nak menang."

No. Tidak Ada.

Mereka teruskan peperangan, dan keputusannya, tentera Islam beroleh kemenangan!

Eh, bagaimana pula tentera Islam boleh beroleh kemenangan?

Satu kuncinya : Yakin. Percaya. Mereka sangat yakin dan percaya dengan pertolongan dari Allah. Ya, tanpa pertolongan dariNya tidak mungkin semuanya berlaku.

Apakah kunci keyakinan itu?

Apa? Iman? Pandainyaaa.. sahur tadi mesti minum enfagrow.

Sahabat, kita ni waktu bulan puasa kena berperang, bawa kuda, angkat senjatakah? Kita lemah adalah kerana Iman kita tidak utuh.

Di mana Qiamulailnya, di mana tadarus Al-Qurannya, di mana solat di awal waktunya, semua itu, mari kita buat kira-kira semula.

Kenapa Puasa?

"Mak.. kenapa kita kena puasa?" Waktu kecil, saya memang gemar membebani emak saya dengan pelbagai soalan.

"Supaya kita boleh rasa macam mana orang susah tak makan." Emak jawab ringkas, sesuai dengan usia kecil saya. Saya ingat sampai sekarang.

Apatah lagi semenjak pulang dari bumi Palestin, di mana saya lihat sendiri kesusahan saudara-saudara di sana.

Ya sahabat, selama ini kita selalu bermewah-mewah. Makanan tak sedap kita tak mahu makan, ambil banyak-banyak makanan, tak habis buang. Kita selalu merungut macam-macam.

Di bulan Ramadhan inilah Allah mahu didik kita untuk bersabar, untuk mendidik hati merasa kesusahan kerana hakikatnya hati yang dapat merasakan kesusahan orang lain adalah hati yang gemar untuk dekat dengan Allah.

Sekurang-kurangnya sahabat, jika kita tidak tahu keagungan, kehebatan bulan Ramadhan di mana Allah sebenarnya nak beri kita pahala lebih, dengan malam lailatulqadarnya, dengan syaitan diikat supaya tidak diganggu dan macam-macam lagi... cukuplah sekadar kita sedar ; sebenarnya Allah sayang sangat pada kita, didiknya kita agar menjadi seorang hamba yang bersyukur.

Kerana, jika kita bersyukur, Allah akan tambah lagi rezeki kita.

Subhanallah! baiknya Allah!

Ingat sahabat, perjuangan itu tidak mudah, tapi jika kita yakin dengan pertolongan Allah, semuanya menjadi indah.

Ingat sahabat, jangan membazir. Berbukalah sekadarnya, kerana mungkin ada saudara kita yang hanya berbuka dengan air kosong.

Dan yang paling penting...

Ingat sahabat, Allah sentiasa sayang kita!

Selamat bergraduasi dari universiti Ramadhan dengan piawaian lulus cemerlang pada pandangan Allah.

Ayuh jadi hamba Rabbani, bukan sekadar hamba Ramadhani!

Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah : 183)

Wallahu'alam

p/s : saya mohon maaf andai ada apa-apa pada diri saya yang membuat sahabat semua berkecil hati. Maafkanlah hamba yang hina ini... :')

Read More......

Thursday, July 12, 2012

Kembara Palestin, -Akhir-



Subuh di Al-Aqsa, sayu.


Tiada lagi yang bertanya,
Tiada lagi yang peduli,
Malam dan siang serupa,
Tiada bulan tiada mentari……


“Wa, bangun.” Seperti biasa, setiap subuh emak menjadi jam loceng saya. Mengejut tanpa bosan.

Saya menggosok-gosok mata. Udara dingin dari luar memang menguji kekuatan untuk bangun. Lantas, apabila saya teringat bahawa hari ini adalah hari terakhir berada di Palestin, semangat terus datang kembali.

Dalam dingin waktu, wudhu diambil, bersedia untuk bergerak ke Al-Aqsa yang pastinya dirindui.

Subuh itu hanya saya dan emak bergerak menuju ke Al-Aqsa, Jemaah yang lain kepenatan lantaran semalamnya kami menziarahi banyak tempat.

Tiba di pintu masuk Al-Aqsa, hati bertambah sayu. Allah, masjid ini akan kutinggalkan, entah bila akan diziarahi lagi.

Allah, bumi ini bumi barakah, entah bila dapat dijejaki lagi. Mata saya digenangi air.

“Sayunya rasa nak tinggalkan.” Emak bersuara, seolah-olah mendengar suara hati saya.

“Emak, singgah dome of the rock kejap jom,” Saya mengajak, untuk ‘berjumpa’ dengan batu tergantung buat kali terakhirnya. Masuk ke situ, saya memegang batu itu. Lama.

Untunglah batu itu, sekurang-kurangnya dapat dia ‘berjumpa’ dengan Rasulullah. Kalaulah batu yang kita rasa seperti tidak ada perasaan pun nakkk sangat ikut Rasulullah, apatah lagi kita ini manusia yang diberi akal, diberi hati dan perasaan, seharusnya pasti lebih menyayangi dan merindui Rasulullah daripada batu tersebut.

Allah..beratnya hati nak tinggalkan, sehingga saya terfikir saya rela syahid di situ, sehingga saya terfikir tidak mahu pulang. Sungguh sungguh bertuah wahai saudara di Palestin, mereka tinggal di bumi barakah yang udaranya juga berlainan dengan udara di sini. Nyaman.

Bergerak menuju ke masjid Al-Aqsa lama, sekitar beberapa meter sahaja dari dome of the rock, ada beberapa kanak-kanak Palestin bertanya, “Pakistan? China?”

Saya memandang, tersenyum, “Malaysia.”

“Ohh malaysia, Ahlan wa sahlan!” Kata mereka girang. Suka benar mereka melihat orang luar datang ziarah. Agaknya hilang satu kesunyian, terpecah kesepian di hati mereka, terhakis rasa tidak dipedulikan.Mungkin.

Selesai menunaikan solat subuh, dalam perjalanan pulang ke hotel, saya lihat emak menarik nafas dalam-dalam.

“Kenapa?” Saya bertanya. Hairan.

“Sedut udara Al-Aqsa, entah bila dapat rasa lagi.”

Hati saya bertambah sayu. Allah bawaku lagi ke Al-Aqsa, sungguh aku rindu.....

Jam 8 pagi, kami bergerak menuju ke gereja di mana orang kristian percaya bahawa di situ tempat Nabi Isa disalib, tetapi sebagai orang Islam kita semua percaya bahawa yang disalib itu bukanlah Nabi Isa tetapi penggantinya sahaja.

Nabi Isa akan keluar di satu kawasan berhampiran Al-Aqsa, kemudian baginda menuju ke masjid Al-Aqsa. Pada ketika itu ada seorang hamba Allah sedang mahu menunaikan solat, nabi Isa menepuk bahunya dan hamba Allah itu memandang ke belakang, dia terkejut.

“Silakan.” Katanya memberi laluan kepada Nabi Isa untuk mengimamkan solat. Nabi Isa menolak, “Tidak, engkau adalah ummat Muhammad. Imamkan solatku.” Begitulah jawab baginda. Untungnya kita menjadi ummat seorang kekasih Allah, malah disegani oleh Nabi yang lain. cuma kita yang tidak tahu bersyukur..... jarang sekali menyebut Alhamdulillah, tetapi banyak kali mengagungkan manusia.

Mari Istighfar.

Bersebelahan dengan gereja ada satu masjid kecil yang dinamakan masjid Umar. Dahulu, ketika Umar tiba di baitulmaqdis, peribadi Umar begitu menarik hati sekalian ummat, termasuk orang-orang Kristian, sehingga orang Kristian memberi kunci gereja kepada Umar dan sehingga sekarang kunci gereja itu dipegang oleh orang Islam.


Masjid Umar
Bagaimana masjid boleh berada di sebelah gereja itu?

Begini, ketika Umar tiba di gereja, sudah tiba waktu solat. Paderi di situ mempelawa Umar untuk solat sahaja di gereja itu. Umar yang sentiasa berfikir di luar kotak menolak; “Tidak” katanya. “Biarkan sahaja aku solat di luar gereja.”

Umar khuatir kalau satu hari nanti umat Islam akan sewenang-wenangnya solat di gereja dengan alasan Umar pernah berbuat demikian. Jadi, tempat Umar solat itulah dibina sebuah masjid yang dinamakan masjid Umar.

Sungguh mulia peribadi dan pemikiran Umar Al-Khatab. Tegasnya kerana Islam semata. Beliau sedar bahawa perilaku, dan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang model Islam pasti menjadi ‘dalil’ buat mereka yang sedang mahu mengenal Islam.

Kami berjalan lagi, melawat masjid Buraq, di mana Nabi menambat buraqnya di situ. Buraq yang Nabi naiki adalah buraq yang terpilih dari beberapa buraq yang ada.


Di sinilah dipercayai Buraq ditambat.
Buraq itu sentiasa berdoa agar dia ditunggangi oleh seorang yang mulia, sehinggalah Jibril memanggilnya untuk turun ke bumi. Pada awalnya, ketika Rasulullah s.a.w mahu menaikinya, buraq terpilih itu lari, katanya : Aku hanya mahu ditunggangi oleh orang yang mulia.

Jibril membalas, “Adakah engkau tahu siapa ini?”

“Dialah orang yang paling mulia. Dialah Rasulullah s.a.w” Sambung Jibril. Buraq terus diam, merendahkan badannya sehingga mudah untuk Nabi menaikinya.

Aduhai.. Untungnya buraq, ditunggangi kekasih Allah... tapi kita lebih beruntung kerana Rasulullah tinggalkan sesuatu sebagai pedoman. Ya, peganglah Al-Quran dan As-Sunnah, itu tanda ingatan baginda kepada kita. Rasul sudah bersabda, barangsiapa yang berpegang kepada dua perkara itu nescaya tidak akan sesat selamanya....

Dan... ada satu tempat, pemandu pelancong kami bawa dalam kawasan Al-Aqsa, kami perlu menuruni tangga, berjalan sedikit... dan tiba di satu kawasan... semua tertanya-tanya, apakah?


Lorong menuju ke..........

Rupanya di situlah Rasulullah s.a.w menunaikan solat pertama selepas mendapat perintah solat daripada Allah.


Tempat Rasulullah Pertama Kali solat (Sebelah kiri, berhampiran lampu chandeliar)


Subhanallah. Saya sujud, lama. Di situ, di tempat sujud itulah Rasulullah pernah bersujud. Di situ, tapak kaki Rasulullah pernah berpijak. Allah, sayu. Sayu sungguh.

“Nanti kamu pulang ke negara kamu, sekurang-kurangnya kamu tidak menyesal. Kamu sudah solat di tempat pertama Rasulullah menunaikan solat.” Kata pemandu pelancong kami.

Sungguh, kami tidak menyesal. Yang ada hanya rindu.

“Wa, wa tahu tak dulu tentera Israel pernah bawa masuk kereta kebal machine gun semua dalam kawasan Aqsa ni, lepas tu diorang tembak random.” Abang saya bersuara ketika kami sedang bergerak keluar dari Al-Aqsa. Sibuk dia bercerita mengenai perbualannya dengan penjaga Al-Aqsa sebentar tadi.

“Lah ye ke?”

“Yeee. Lepastu tau tak diorang tak mampu buat apa-apa, mampu baling batu je.”

Saya diam. Ya mereka tiada senjata. Hatta penjaga masjid Aqsa atau di Malaysia mungkin lebih dikenali sebagai security guard juga tiada sebarang senjata walaupun hanya sekadar sebatang cota. Tiada. Kosong.

“Apa tu?” saya menunjuk pada satu bungkusan di tangan abang saya.

“Oh, ni?” tunjuknya. “Roti Pak guard tadi tu bagi. Dia bersungguh nak bagi, dia kata dia dah makan dah.”

Roti itu hanyalah satu roti kosong, diisi dengan daging yang dipotong amatttt nipis dan tanpa apa-apa rempah. Bila dimakan, tiada rasa apa. Ya itulah makanan seharian rakyat Palestin sedang anda sibuk tidak habis makan, sedang anda merungut makanan itu tak sedap, sedang anda sulit memilih makanan....

Mereka mengucap Alhamdulillah kerana dapat mengalas perut dengan roti yang tiada rasa.

“Remember us in your doa. Do encourage people to come and visit Al-Aqsa. Israel wants to take it!” itulah pesanan salah seorang daripada mereka.

Dan sungguh, moga saya telah menyampaikan pesanan mereka sebaiknya.


Selamat tinggal Palestin, moga kita bertemu lagi :')


Di manakah tanda setia saudara,
Dihimpit derita,
Tiada siapa sedia membela…..


Wallahu’alam

Read More......

Wednesday, June 27, 2012

Kembara Palestin -3-

Pintu masuk untuk ke lorong-lorong menuju ke masjid Al-Aqsa


Oh Palestin,
Dari jauh kau meratap,
Saudaraku, saudaraku,
Di manakah kalian?


“Wa, wa bangun.. dah nak subuh ni, kata nak solat kat Al-Aqsa?” Emak menggerak badan saya. Lembut.

Hendak menyesuaikan diri dengan waktu di sini memang agak payah pada mulanya. Subuh seawal jam 4 pagi, ah, berat mata nak terbuka. Tapi mengenangkan Al-Aqsa yang entah bila lagi dapat melawatnya, saya menggagahkan diri.

Subuh itu, hanya saya, emak dan adik sahaja berjalan menuju ke Al-Aqsa. Ahli rombongan lain rata-rata tidak sihat kerana masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Subuh itu sejuk. Sunyi.

Sepanjang jalan, tiada manusia yang kelihatan. Hati saya mula gusar. Mujur, tatkala sudah hendak masuk ke pintu sebelum meredah lorong-lorong dalam kawasan Aqsa itu, kami terserempak dengan rombongan dari Indonesia. Dengan merekalah kami berteman :’)

“Where are you from?” di hadapan pintu masuk masjid Al-Aqsa, kami ditahan oleh polis Israel.

“Malaysia.”

Kami dilepaskan.

Ya, bukan semua orang boleh memasuki masjid Al-Aqsa, apatah lagi jika rakyat Palestin. Ada ketikanya, hanya mereka berumur 45 tahun ke atas serta kanak-kanak yang tidak berdaya sahaja dibenarkan memasukinya. Rakyat Palestin harus mempunyai permit untuk ke mana-mana. Hatta untuk memasuki masjid sendiri!

Bergerak dalam satu ‘penjara besar’ bernama Negara Sendiri bukanlah sesuatu yang indah. Bahkan merupakan sesuatu yang amat merobek hati. Apatah lagi apabila mereka digelar pengganas dan pemberontak oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hanya kerana mereka ingin merdeka di negara sendiri.

Usai solat subuh, kami bergerak menuju ke hotel. Di hadapan kami tatkala itu ada 2 orang Arab yang sedang berjalan. Tiba-tiba dia diserbu oleh beberapa orang untuk mengambil gambar bersama.

Saya menjadi hairan. Siapa tu? Kenapa popular sangat?

Lama saya memerhati. Rupanya itulah Imam Nombor Satu Masjid Al-Aqsa. Subhanallah! Memang semenjak di Malaysia saya amat berharap untuk bertemu dengannya. Wajahnya indah berseri-seri, bibirnya menguntum senyum, tatkala orang menyerbu untuk mengambil gambar, dia tenang sahaja, tersenyum, dan berkata: Marilah.

Saya terpegun. Kaku. Terus tak dapat ambil gambarnya. Allah, balik ke hotel baru perasaan menyesal itu timbul. Namun Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Semenjak hari itu, setiap kali kaki digerakkan menuju ke Al-Aqsa saya sentiasa berdoa agar dipertemukan lagi dengannya, namun Allah lah yang merancang segalanya, saya tidak bertemu dengannya lagi. Moga-moga beliau berada dalam perlindungan Allah selamanya.

Pukul 8 pagi, kami bergerak menuju ke Hebron. Sepanjang perjalanan, kelihatan rumah-rumah Israel yang cantik-cantik. Besar dan Agam.

“Suatu ketika dahulu, rumah-rumah ini adalah milik rakyat Palestin” Pemandu pelancong kami bercerita. “Tapi, apabila Israel datang, mereka menghalau semua rakyat Palestin, merobohkan rumah mereka, membina penempatan baru dan memanggil semua Yahudi yang bertempiaran di 85 buah Negara untuk memenuhkan penempatan di Negara haram Israel.” Sambungnya.

Begitu hina rakyat Palestin diperlakukan. Rumah rakyat Palestin hanyalah rumah-rumah buruk yang kadangkala mungkin kita tak sangka itu sebenarnya adalah rumah, sedang mereka yang menjajah duduk senang lenang di rumah Agam hasil rampasan daripada insan yang tidak berdosa.

Tiba di Hebron lebih menyayat hati.

CCTV Israel di udara.. mereka lupa, CCTV Allah di mana-mana!

Hebron pada suatu ketika dahulu merupakan satu Bandar yang maju. Rakyatnya amat pandai berniaga. Namun, apabila Israel datang, mereka menutup semua kedai dan melarang rakyat berniaga hingga mereka jatuh miskin dan menjadi pengemis. Bandar Hebron menjadi sepi.

Di hebron ramai anak-anak kecil yang mengemis, dan mengekori pelancong untuk menjual souvenir yang ala kadar sahaja.

Kanak-kanak di Hebron.

Saya dieekori oleh seorang remaja. Pada awalnya saya takut untuk membeli kerana bimbang ‘diserbu’. Tapi remaja itu tidak putus asa. Saya amat bersimpati, tapi pada ketika itu semua berjalan laju dan kerana bimbang diserbu saya masih buat tidak tahu sehinggalah dengan tegas dia berkata, “Adakah anda tahu ada berapa ramai anak yatim di sini? Adakah anda tahu berapa ramai kanak-kanak yang kehilangan ibu, kehilangan ayah?”

Melihat mata tegasnya, benteng ‘buat tidak tahu’ saya runtuh. “Berapa?” Saya menunjuk pada satu gelang yang ditampal bendera Palestin di sekelilingnya. “Terpulang.” Katanya. Saya ambil satu, dan sehingga kini saya menyesal kerana ambil satu. Gelang itu tidak dijumpai lagi di mana-mana, dan mengenangkan anak itu, ah... Semoga hari ini dia masih hidup dan berada dalam perlindunganNya.

Di Hebron, kami melawat Masjid Ibrahim. Satu Masjid di mana telah dibahagi dua, Israel mengambil sebahagian masjid yang terdapat maqam Nabi Yaakub. Sehingga kini, umat Islam tidak dapat menziarahi maqam tersebut. Di masjid ini kami diperiksa dengan ketat sekali. Body scanner, periksa beg.. semuanya... umpama kami ke sana untuk bom masjid tersebut.


Pada mulanya melalui gerigi besi.

Selepas itu melalui body scanner dan pemeriksaan beg.

Israel menunjukkan taringnya lagi apabila masjid ini diharamkan untuk melaungkan azan pada hari sabtu kerana mereka membuat upacara di bahagian masjid yang mereka rampas itu.

“Allahu Akbar.” Beberapa orang yang sedang solat dhuha melakukan sujud.

Bang! Bang! Bunyi tembakan. Mereka rebah, darah terhambur keluar, membasahi ruang sembahyang di Masjid Ibrahim.

Di sinilah dahulu saudara-saudara kita ditembak.

Ya, pada tahun 1996 yang lalu peristiwa itu berlaku. Tatkala saudara-saudara kita sedang melaksanakan solat dhuha, Israel datang dan menembak tanpa sebab. Mereka berani mengotori ruangan suci masjid Ibrahim, dimana di situ terdapatnya maqam Nabi ibrahim, Nabi Ishak, serta Sarah isteri nabi ibrahim.

Ruang untuk ke maqam melalui bawah tanah telah pun ditutup.


Mereka sangka mereka menang, sedang mereka hakikatnya berada dalam tampuk kehinaan yang nyata.

Pulang dari Hebron, kami singgah di satu kedai kraftangan milik rakyat Palestin. Tiba-tiba seorang pakcik yang sangat tua datang menjual beberapa keychain dan sebagainya.

Saya betanya, “adakah anda rakyat Palestin?”

“Alhamdulillah.” Jawabnya.

Tidak lama kemudian dia berkata, "Du’a... Du’a... Du’a for Palestine.”

Pakcik inilah yang berkata : du'a for Palestine.

Hati saya berdarah. Seperti ditusuk-tusuk, melihat wajah sepi pakcik tersebut, mata saya mula digenangi air, dan suara seorang pakcik di lorong-lorong Aqsa pada waktu subuh yang lalu seolah-olah terdengar kembali :

“This is PALESTINE. No Israel. No! This is Palestine!”

Moga Allah mengampunkan saya yang selalu alpa...

To be continued....

Saudaraku, saudaraku,
Kami terpenjara di negara sendiri,
Apakah ada kami,
Dalam doamu?


wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .