Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, November 29, 2012

Luput.


“GAZA DISERANG!”

“TENTERA BASYAR MENYEMBELIH RAKYAT SYRIA”

Satu demi satu berita mengenai pertumpahan darah saudara sendiri dibaca. Tidak sedar, ada titis jernih di wajah mulus remaja berusia 15 tahun itu. Hujan lebat di luar, bersama dentuman guruh dan petir seolah-olah tidak didengarinya.


Gang!

Dentuman semakin kuat. Jabir tersentak. “Astarghfirullah…”

Kerusi ditarik sedikit, dan kakinya melangkah ke arah tingkap. Langsir biliknya melayang-layang mengikut arah angin yang kencang. Jabir menghulurkan tangan, menutup tingkap biliknya rapat-rapat. Serapat rindunya kepada saudara di sana…


***
“Jabir! Jabir!” Termengah-mengah Yusri berlari-lari anak mendapatkan Jabir yang telah jauh di hadapan.

Jabir menghentikan langkah, berpusing ke belakang. Melihat Yusri yang kelelahan, Jabir mengoyak senyum.

“Kau kenapa Yus? Rindu sangat ke kat aku?”

Yusri mencebik.

“Lepas sekolah kau nak pergi mana?” Soalan dibalas solan.

“Tak pergi mana-mana. Balik rumah terus. Kenapa?”

“Jom lepak mcD, lama dah tak pergi.”

Jabir menjegil mata. Teringat berita-berita sedih yang dibacanya semalam. “Aku tak mahu!”

“Eh, bukan kau suka ke makan mcD.?”

“Dulu..sekarang aku boikot.”

“Kah kah kah… boikot?” Kuat ketawa Yusri sehingga mata-mata yang lain memandang pelik.

Jabir panas hati. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa tidak dapat lagi menyejukkan hatinya.

“Apa yang kelakar?” Serius.

“Apa yang kau dapat kalau boikot? Kau ingat diorang boleh bankcrupt ke?” Soalan yusri seperti mencurah petrol ke dalam api yang marak.

Jabir mendengus.

“Kau kenal Nabi Ibrahim?”

Yusri mengangguk.

“Kau tahu dulu baginda nak kena bakar hidup-hidup?”

“Kau dah kenapa, mestilah aku tahu.. kan ustazah sofia baru je cerita tadi!” Yusri mula berang.

“Kau tahu masa api tu marak menyala, ada burung kecil ambil air guna paruh, letak kat api tu?”

Kali ini, Yusri diam. Perlahan dia menggeleng.

“Tulah kau, masa kelas kau tidur. Tak dengar ustazah cerita habis.”

Pelepak!

Tangkas tangan Yusri yang gebu menghinggap ke bahu Jabir. “Kau nak cerita, cerita jelah.”

“Okay okay sorry. Masa Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup, ada burung kecil yang isi air kat paruh dan berulang-alik siram air ke arah api tu, kau rasalah, bermanfaat ke burung tu buat macam tu? Air setitik setitik boleh ke padam kan api yang marak menyala.”

“Of course not.”

“Speaking pula kau. Habis kau rasa kenapa burung tu buat kerja tak bermanfaat macam tu?”

“Eh mana aku tahu. Kau tanyalah burung tu.”

Jabir menggeleng, “Burung tu kata, AKU LEBIH TAKUT KEPADA ALLAH, KERANA ALLAH AKAN MENYOAL AKU NANTI , apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak..”

Yusri tersentak.

Jabir senyum. “Jadi sekarang ni, bila kau tanya, kenapa aku nak boikot mcD, bukan bankcrupt pun diorang tu… aku nak cakap dengan kau, aku lebih takut kepada Allah, kerana Allah akan menyoal aku nanti.. apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tak akan tanya, sama ada aku berjaya menghentikan musuh-musuh Islam daripada menyerang saudara-saudara aku atau pun tidak.”

Yusri masih lagi membatu.

“Eh Yus, aku balik dulu lah.. nak hujan ni. Kau okay kan?”

Perlahan, Yusri mengangguk. Jabir meneruskan langkah pulang ke rumah, tanpa diketahui…. Air mata yusri jatuh setitik demi setitik.

Laksana gerimis yang baru menjengah.

***
“Umi…”

“Ya sayang.” Puan Aisyah yang sedang melipat kain menoleh sedikit kepada anak tunggal kesayangannya.

“Jabir nak ke Palestin, Jabir nak ke Syria.” Serius Jabir menutur kata.

Puan Aisyah tersenyum,sudah dijangka ayat itu keluar dari mulut Jabir “Kenapa sayang?”

“Jabir nak tolong saudara-saudara Jabir di sana.” Jabir menggenggam penumbuk.

“Jabir pasti itu yang terbaik buat Jabir?”

“Maksud Umi?” Berkerut dahi Jabir cuba memahami persoalan daripada umi tercinta.

“Jabir tahu pegang senjata? Jabir ada ilmu perang? Jabir rasa.. bila Jabir ke sana, Jabir akan memberi bantuan atau mereka yang harus membantu Jabir?”

Kali ini Jabir senyap. Lama. Pantas dia terduduk. “Betul Umi, Jabir tak ada semua ilmu tu.” Matanya berkaca lagi. Titis jernih yang bertakung menanti saat untuk tumpah.

Menyedari hal itu, Puan Aisyah segera bangkit dari tempatnya, dan bergerak ke arah Jabir. Rambut halus Jabir diusapnya lembut.. “Jabir, jabir rasa, dari Malaysia, tak boleh ke tolong saudara di sana?”

“Bagaimana Umi?” Jabir memandang wajah Puan Aisyah. Kosong.

“Jabir… Jabir tahu kenapa umi beri nama Jabir, Jabir?”

Jabir menggeleng. Baru dia sedar, selama ini tidak pernah dia bertanya perihal namanya kepada sesiapa pun.

“Umi ambil sempena nama Abu Musa Jabir Ibn Hayyan atau dikenali sebagai Jabir Ibn Hayyan. Beliau seorang pakar dalam bidang kimia. Banyak sangat sumbangannya dalam bidang Kimia sehingga diiktiraf oleh negara eropah.”

Ubun-ubun Jabir dikucup lembut.


“Sayang, dengan ilmu manusia mampu berubah dari hina kepada mulia. Dengan kemuliaan itu manusia mampu memuliakan Agama. Apabila Agama dimuliakan, orang akan hormat dan dengan kehormatan itulah Islam akan kembali gah di persada dunia…”

Jabir tersenyum sedikit, terhibur mendengar cerita tokoh kimia itu yang sedang dipinjam namanya kini.

“Jadi umi, Jabir kena belajar sungguh-sungguh dan martabatkan Islam di mata dunia?”

Puan Aisyah tersenyum senang dan mengangguk.

“Terima kasih umi…..” Jabir memeluk Puan Aisyah erat-erat. Terasa beruntung dilahirkan daripada rahim seorang wanita yang solehah.

***
G….A….Z….A

Jabir tersenyum. Terasa puas menconteng pasir dengan ranting pokok… Namun, sekejap sahaja, ombak datang dan merosakkan tulisan yang ada. Jabir mendengus.

S…Y…R…I…A

Ditulisnya perkataan lain pula.

Ombak masih berdegil. Kali ini tulisan itu hancur juga. Jabir membaling ranting kayu di tangannya. Dia duduk menghadap laut. Langit yang memerah petanda senja mula menjengah dan angin yang bertiup lembut mendamaikan hatinya.

Melihat tulisan-tulisan yang sudah luput itu, Jabir kembali berfikir..

Begitukah kelak akan lenyapnya nama-nama itu dari hati-hati manusia?

Jabir sengih. Entah. Manusia, memang sukar untuk dimengerti.....

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .