Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, July 30, 2016

Belajar dari Umar


"Kau muda lagi, mana tahu apa-apa."

Saya selalu terpana tatkala mendengar ayat yang sama diulang-ulang oleh orang yang lebih berusia. Malah acapkali juga saya diterjah "Alah, dia ni muda lagi apa pun tak tau."

Sesekali, saya tersenyum cuma. Meski terkadang tergores jua rasa di jiwa. Meski tertanya-tanya pada tahap umur berapakah suara kita layak didengari, saya sekadar tersenyum. Mujurlah emak tidak pernah mengajar sifir begitu. Meraikan suara semua manusia tidak kira umur sudah seakan menjadi ajaran yang diterapkan ke dalam jiwa. Adab tatkala bersuara ditekankan jua. Saya juga pernah ditegur oleh adik saudara yang tatkala itu berusia 5 tahun cuma --

"Kak wawa, beg tu siapa punya?"

"Kak wawa tak tahulah."

"Kak wawa tak tahu? Tu Allah punyalah! Semua benda dalam dunia ni Allah punya." Sambungnya sambil menyanyi lagu mana milik kita. 

Saya tersengih tergaru-garu kepala, kalaulah saya tidak meraikan suaranya pastilah anak kecil itu sudah dilabel kurang ajar dan tidak menghormati orang tua meski kata-katanya terselit kebenaran. Sorotan kisah-kisah ini membuatkan saya teringat pada satu kisah manis Umar ibn Abd Aziz yang dicatatkan oleh Dr Aidh Al-Qarni dalam buku yang telah diterjemah -- Terampil berdialog ; Etika dan strateginya.

Suatu hari Umar mengumpulkan rakyatnya untuk didengar perbicaraan mereka. Lalu berdirilah seorang pemuda yang ingin bersuara. Umar segera berkata, "Duduklah wahai pemuda! Di sini masih ramai lagi orang yang lebih berumur dari mu."

Pemuda itu segera membalas, "Wahai Umar, andailah umur yang menjadi ukuran maka di sini lebih ramai orang yang layak menjadi khalifah selainmu."

Umar segera tersenyum. Umar tidak marah dan melatah. Kata pemuda itu ada benarnya. Tatkala itu usia Umar adalah 40 tahun cuma, sedangkan hadirin yang lain berusia 60 tahun, 90 tahun malah ada yang ratusan tahun. Namun, kerana kredibiliti, Umar lah yang lebih layak menjadi pemimpin.

Dari Umar kita belajar -- sesekali ego perlu diletakkan jauh di sudut sana. Kerana keegoan itu mampu menutup hati di dalam dada.

Dari Umar kita belajar -- Jangan sombong. Belajarlah tidak kira dengan siapa, meski anak kecil di tadika siaran, atau pengemis di pinggir jalan. 

Dari Umar kita belajar -- Memiliki hati yang tunduk pada Sang Rabbi, kerna ketakutannya tersasar dari landasan membuatkan hati selalu tunduk pada kebenaran.

Dan kita ; mahu memilih belajar daripada Umar atau terus membiarkan keegoaan merajai jiwa, benar-benar adalah sebuah pilihan -- Ya. sebuah pilihan yang akan dipersembahkan di hadapan Tuhan. 

Pilihlah sebaiknya. Saya memilih bersama yang ahli. Anda bagaimana? 

Salam sayang :) 


Read More......

Thursday, July 28, 2016

Allah tidak pernah bosan


"Mastura, saya dah bertaubat tapi lepastu buat dosa lagi. Allah terima ke taubat saya tu?"

Sejujurnya sebak hati saya tatkala mendapat pertanyaan-pertanyaan begini. Hati yang lunak penuh cinta terhadap Tuhannya pasti akan merasa sesuatu tatkala dosa-dosa mengaburi. Saya cemburu -- pada jernihnya hati yang bertanya itu.

Lantas saya teringat pada satu kisah. Hanzalah, pemuda yang soleh.

Suatu hari Hanzalah kata dia dah munafik, "hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!" 

Lau berjalanlah dia berjumpa Nabi, Nabi bertanya, "mengapa wahai hanzalah?"

Hanzalah membalas, "waktu aku bersama kau, aku rasa bagaikan syurga itu dekat. Tapi bila aku dah balik rumah jumpa keluarga, gelak-gelak, lupa kejap kat akhirat."

Nabi pun senyum, Nabi kata, "wahai Hanzalah, ada waktunya kau beribadah, ada waktunya kau dengan duniamu."

Maksudnya, iman manusia ni memang ada turun naik. Manusia bukannya malaikat.

Lalu adakah Allah bosan dengan taubat hambaNya? 

Allah Yang Maha Baik tentulah faham akan gelodak jiwa hamba faqir seperti kita, lalu dengan lembut Allah memujuk :

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.(Al-Baqarah :222) 

Ada banyakkk lagi kisah dari Nabi tentang Allah menyukai taubat seorang hamba. Allah tak pernah bosan menerima, cuma selama ni kita yang sombong terpedaya dengan dunia.

Mungkin syaitan telah berjaya menghasut kita melakukan dosa, maka jangan biarkan syaitan menang buat kali kedua -- dengan mempercayai bahawa Allah tidak mahu menerima taubat hambaNya. 

Hey, syaitan tidak pernah berhenti berusaha menarik kita ke neraka,
Lalu mengapa kita berputus asa untuk ke syurga? 

Jom, masuk syurga?

:)

Read More......

Menjadi yang ganjil?


"Eh, jom nanti kita picnic kat Brighton." Saya memberi cadangan meski sedar angin musim bunga masih terasa dinginnya. 

"Okay. Nak bawak apa nanti?"

"Nasi gorenglah. Tapi before pergi kite masak nasi lemak dulu then tapau nasi goreng." Saya membalas. Berkira-kira bahawa nasi goreng lebih mudah untuk dibungkus, dan nasi lemak terpaksa masak sebab ada orang mengidam 😑

Kami bertolak menaiki kereta api dari Portsmorth ke Brighton. Tepat tiba di stesyen kereta api Brighton, angin menderu-deru kerana bentuk muka buminya yang hampir dengan laut. 

Menggeletar. Berkira-kira mahu teruskan rancangan berkelah atau tidak tapi keegoan merajai diri. Kaki diteruskan melangkah sehingga tiba di persisiran pantai yang dipenuhi batu.

"Ha jomlah makan kat sini." 

Bekas berisi nasi goreng pun dibuka. Angin bertiup. Nasi terbang. Nice.

Dalam keadaan bersusah payah menyuap nasi ke mulut, seorang teman bersuara, "eh nah ni serunding daging."

Plastik serunding daging pun dibuka, serunding terbang masuk lubang hidung. Omg. 

Namun, dalam keadaan susah payah itu, tetap juga habis nasi goreng dan serunding daging dimakan. Sambil tersengih seorang teman bersuara, "mesti semua orang ingat kita orang gila kan, mana ada orang picnic time macam ni." 

"Mencuba jadi golongan ganjil di akhir zaman lah tu." Saya menyeringai. 

Di samping menghargai nikmat ukhwah yang tercipta meski setiap satunya berbeza karakter, saya justeru teringat pada sesuatu -- menjadi golongan ganjil di akhir zaman. Ghuraba', seperti yang Nabi sabdakan --

Saya menjadi semakin gusar apabila ramai yang menggunakan sabda Nabi ini dalam keadaan yang salah. Asal terlihat ganjil, asal dikecam kerana menyimpang dari kelompok yang ramai semuanya dipetik hadith Ghuraba' ini.

Walhal, ganjil yang dimaksudkan adalah tetap berada pada paksi yang benar, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Contohnya semua orang di sekeliling minum arak, tapi kita tidak. Atau semua orang di sekeliling mempergunakan nama Nabi, tapi kita tidak. Atau semua orang menipu sesuka hati, tapi kita tidak.

Lalu bagaimana tatkala seorang yang ahli menegur "kamu salah." Dengan bangganya mereka membalas, "tak pelah di akhir zaman ni biarlah saya menjadi golongan yang ganjil."

Seolah seorang anak murid yang selalu datang lambat ke sekolah lalu di marah guru disiplin, "kawan-kawan kamu boleh datang awal, kenapa kamu datang lambat? Kamu perlu didenda!"

Lalu anak murid itu membalas, "takpelah, tak semestinya ramai orang buat tu betul, Nabi kata di akhir zaman, Islam akan kembali asing dan beruntunglah orang-orang yang ganjil."

Sedangkan, yang benar itu jelas benar. Yang salah itu jelas salah.
Sedangkan, keganjilannya merupakan satu kerosakan, ibarat barah yang memakan diri. Ibarat serunding terbang yang masuk ke dalam lubang hidung. Menyakitkan.

Seorang mukmin itu pastilah berhati-hati dalam berkata, kerana dia sedar, setiap apa yang dibicara akan dipersoal di akhirat sana apatah lagi bila ia melibatkan nama Nabi.

Berendah hatilah terhadap ilmu. Belajarlah dari Imam Malik -- tatkala utusan dari jauh datang menemuinya dan mengajukan 40 soalan, cuma 8 sahaja dijawab, selebihnya Imam Malik menjawab "tidak tahu"

Lalu, utusan itu pun kecewa,"jauh sudah aku menempuh perjalanan semata-mata kerana ingin menemuimu Malik, untuk bertanya soalan bagi pihak kaumku. Apa yang akan aku beritahu kepada mereka?"

Imam Malik membalas, "katakan sahaja bahawa Malik tidak tahu." 

Begitulah akhlak orang berilmu, redha Allah lah yang lebih dirindu. Bukannya mengejar menjadi 'ganjil' dalam setiap sesuatu.

Sesungguhnya "aku tidak tahu" juga adalah sebahagian dari cabang-cabang ilmu.

Dan sesungguhnya -- ada sebuah garisan jelas yang memisahkan antara keganjilan dan kejahilan...

Duhai khalifah! Tetaplah berada pada paksi yang benar. Jika tersasar segeralah kembali, kerana kita tak pernah tahu bilakah ajal akan datang menemui diri. 

Sudah sediakah bersoal-jawab bersama Ilahi? 

Salam sayang :) 

Read More......

Friday, July 22, 2016

Lady montagu



[Edisi Minggu Vaksin]

Lady Mary Wortley Montagu.

Siapakah wanita ini? beliau adalah seorang wanita aristokrat barat yang pernah hidup pada zaman Turki Uthmaniyyah. Ya wanita inilah juga yang pernah menyaksikan kejadian ngeri wabak smallpox yang merebak dan memjerut banyak nyawa.

Dalam catatannya ke empayar Uthmaniyyah, wanita ini mencatatkan bahawa penduduk wilayah uthmaniyyah datang berbondong-bondong bagaikan pesta tatkala tiba musim luruh untuk mendapatkan rawatan "virus smallpox yang telah dilemahkan". Wanita ini juga berkesempatan mendapatkan rawatan itu buat kedua anaknya. Wanita inilah yang memperkenalkan kaedah rawatan ini jauh ke England dan namanya terpahat indah dalam lipatan sejarah sebagai wanita terawal memperkenalkan kaedah vaksinisasi di negara Barat.

Lalu, saya kira andainya Montagu datang pada zaman ini dimana membiaknya golongan antivaksin, adakah beliau akan ketawa berdekah-dekah sambil menghentakkan kepalanya ke dinding, atau berguling-guling sambil menghentakkan kaki di meja makan berkonsepkan Diraja England. Masakan tidak? Bangunan sudah mencapai tahap pencakar langit tetapi berfikiran seperti masyarakat di zaman batu.

Di zaman era pra vaksinisasi, pada tahun 1917 penyakit polio menyerang Amerika Syarikat membunuh sekurang-kurangnya 6000 orang dan melumpuhkan beribu-ribu yang lain, Presiden Amerika yang ke 32 turut tidak terkecuali. Bukan itu sahaja, masyarakat Eropah sebelumnya pada abad ke 18 telah mencatatkan kematian sekurang-kurangnya 400 000 setahun akibat daripada wabak smallpox.

Ya. Hanya untuk setahun, ia adalah satu jumlah yang sungguh gila! Namun, di sebalik krisis itu, Allah Yang Maha Baik yang penuh dengan sifat kasih sayang telah memberi ilham kepada Edward Jenner. Edward memperkenalkan kaedah vaksinisasi setelah cuba menggunakan kaedah di zaman turki uthmaniyyah dengan memasukkan sedikit virus smallpox yang menjangkiti seekor lembu ke dalam anak tuan rumahnya dan ia membuahkan hasil. Anak itu selamat dan terlindung dari sebarang jangkitan kerana badannya telah membentuk sistem pertahanan yang kuat hasil rangsangan daripada jangkitan penyakit yang lemah itu.

Dan hanya selepas itulah munculnya banyak saintis-saintis baru yang menerajui dunia vaksinisasi, seolah-olah memberi satu sinar baru kepada dunia. Syabas bete.

Namun, pergerakan antivaksin telah memuramkan segalanya. Kabut yang terang itu seolah-olah kembali bertukar gelap. Tatkala penyakit-penyakit berbahaya telah mampu dilenyapkan, konsentrasi mereka beralih kepada kesan-kesan sampingan vaksinisasi ini, kerisauan mereka bertukar kerana mereka tidak melihat betapa dahsyatnya wabak yang pernah terjadi suatu ketika dahulu.

Muncul pula Gordon Stewart dan Andrew Wakefield yang masing-masing mencatatkan perihal vaksiniasi dan autism. Ia melayang hebat di negara eropah dan mendarat kemas di negara Asia, khususnya Malaysia. 

Pergerakan ini bukanlah sesuatu yang baru, malah tatkala Edward Jenner memperkenalkan kaedah vaksinisasi, beliau telah ditentang dengan sebab keagamaan. Namun yang membezakan kita dan mereka adalah meraka tidak menjadi penunggang Agama. Mereka melakukan kajian yang terperinci sedangkan kita lebih mudah terhibur dengan idea-idea konspirasi. Andai ditanya sumber, maka Jerry D gray bolehlah dikatakan sebagai asas kepada dakyah anti vaksinisasi ini.

Tidak lupa apabila rockfeller dan angkatan zionisnya dikatakan telah membuat investment pada vaksinisasi untuk melemahkan umat Islam, maka mereka yang mendengar perkataan Agama dipetik terus terpesona. Walhal, di israel sendiri, jadual vaksinisasi mereka lengkap dan kemas. 

Journal wakefield ditarik, lesennya dilucutkan kerana menyalahi etika kajian. Namun pergerakan antivaksin tidak mahu mengalah, sehingga membuktikan bahawa penyakit measles kembali menular pada tahun 2008 di United Kingdom setelah 14 tahun penyakit berjangkit itu hilang.

Ah, terlalu banyak negara yang mendapat effect dari gerakan ini. Terlalu panjang untuk dicoretkan di sini. 

Cuma satu yang boleh saya katakan -- Selamat datang! Malaysia semakin hampir kepada sejarah penyakit menular seperti di negara-negara yang lain.

:)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .