Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, July 30, 2012

Ramadhan ; Muhasabah Seorang Da'ie

Jom selamatkan Ummah! (Ihsan Facebook)

“Kak, dulu saya jahil tapi tak ada yang datang membimbing.”

“Kak, dulu saya berjalan dalam daerah sepi, tapi tak ada yang sudi memimpin.”

Muhasabah buatmu da’ie ;

Nota : kami dalam sajak ini adalah mereka di luar sana, yang masih hidup dalam kejahilan..

Mengapakah kami dibiarkan sepi,
Mengesat air mata sendiri,
Dalam lorong yang kelam,
Kami semakin jauh tenggelam...

Mengapakah kami dibiarkan sendiri,
Berlari dalam arus modenisasi,
Kalian memandang sahaja,
Dalam hati asyik mengata....

Mengapakah kami dibiarkan begini,
Kalian hebat melaungkan kalimah suci Islam,
Kalian selalu mengatakan contohi Rasulullah,
Sedang kalian terlupa,
Rasulullah ke sana-sini,
Mengajak manusia ke arah syurga,
Sedang kalian hanya memandang sahaja,
Dan kami terus-terusan terleka...

Kalian marah,
Kalian benci,
Bila kami tidak mengendahkan,
Bila kami menentang kalian,
Sedang kalian menegur kami dengan kasar,
Begitukah akhlak seorang pendakwah?
Dan izinkan kami bertanya,
Benarkah kalian mencontohi Rasulullah?

Mengapakah,
Mengapakah kami dibiarkan di sini,
Malam kami semakin kelam,
Siang kami hilang cahaya...

Kalian sibuk melaungkan,
Selamatkan Palestin!
Cintai Syria!
Kasihan saudara di Burma!
Sedang kalian lupa,
Kami di sini memandang sedih,
Apakah kalian terlupa kami di sini,
Yang hakikatnya sedang berperang dengan nafsu sendiri....

Mengapakah kami dibiarkan terasing,
Daripada kelompok ‘kebaikan’ kalian,
Mengapakah kami tidak didekati,
Dengan cara yang kami senangi.,
Mengapakah kalian berlalu pergi,
Tanpa kalian mengenali kami,
Mengapakah kalian tidak bersabar,
Dengan karenah kami yang jahil ini....

Mungkin kalian rasa kalian hebat,
Sedang bagi kami,
Kalian tidak ubah seorang yang mementingkan diri......

“Kak, kalaulah saya mati tanpa sempat saya bertaubat, pasti saya akan dakwa semua yang telah dapat hidayah, kerana tidak pernah mahu mendekati, bahkan asyik mengasingkan diri daripada kami....”

Dan hati ini menangis lagi.....


Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan. (An-Nahl :18- 19)


Wallahu'alam

Read More......

Sunday, July 22, 2012

Cinta Ramadhan


"Rasa macam dah lama tak update blog." Saya selalu berkira-kira di dalam hati, nak update, tapi sekarang kalau dapat tidur jam 1 pagi pun saya rasa dah cukup bersyukur. Ampun maaf dipinta menuju hening dosa. Ah, saya dah start merepek.

Siapa yang tak puasaa.... Angkat keyboard!!

ok bagus, ramai tak angkat keyboard sebab ramai guna laptop ya. ok ok, jom kita dengar tazkirah Ramadhan. ahem.

"Hello..." Saya tersenyum gembira. Meski saya tahu Adam di hujung talian tidak dapat pun melihat senyuman saya.

"Eloo." Suaranya kecil, suara baru bangun tidur.

"Adam puasa tak?"

"Tak."

"Laa kenapa?"

"Adam penat."

Itulah muqadimahnya, sebelum Adam meleret cerita jumpa ular, tupai makan karen dan macam-macam lagi. :')

Penat?

Pernah suatu ketika dahulu, di bulan Ramadhan, saya ke satu kompleks membeli-belah dan saya lihat ramai orang melayu(tak tahu Islam atau tidak) minum. selamba. Waktu tu, kompleks tu masih belum buka sepenuhnya. Al maklum, saya semangat nak tolong buka kedai -.-"

Saya terfikir... Apa relevannya mereka tak berpuasa.

Penat?

Jika yang berkata itu adalah kanak-kanak belum baligh saya masih boleh tersenyum dan berkata "ololo comelnye.."

tapi apabila yang memberi alasan penat itu adalah satu figur yang saya kira dah layak untuk jadi bapa orang, saya kira ayat yang sesuai diberi kepada mereka adalah : eh jom masuk van jenazah!

Sahabat.

Mungkin kita terlupa pada satu peristiwa hebat di bulan Ramadhan.

"Apa tuu apa tuu?"

Sabar sabar. orang puasa kena banyak sabar.

Perang Badar

Sewaktu peperangan badar, tentera Islam hanyalah sekitar 300 orang, tentera musyrikin pula adalah 3 kali ganda banyaknya.

Umat Islam terus Mara. Yang lebih menarik lagi, ketika itu adalah bulan Ramadhan. Ya, bulan di mana semuaa orang Muslim yang berperang sedang berpuasa Adakah pada ketika itu mereka berundur kerana gerun, kerana lapar, kerana penat? Adakah pada ketika itu mereka berkata, "Ya Rasulullah, kita cancel jelah perang ni. kitorang penatlah. tak makan, lagi pun bilangan kitorang sikit je, macam mustahil je nak menang."

No. Tidak Ada.

Mereka teruskan peperangan, dan keputusannya, tentera Islam beroleh kemenangan!

Eh, bagaimana pula tentera Islam boleh beroleh kemenangan?

Satu kuncinya : Yakin. Percaya. Mereka sangat yakin dan percaya dengan pertolongan dari Allah. Ya, tanpa pertolongan dariNya tidak mungkin semuanya berlaku.

Apakah kunci keyakinan itu?

Apa? Iman? Pandainyaaa.. sahur tadi mesti minum enfagrow.

Sahabat, kita ni waktu bulan puasa kena berperang, bawa kuda, angkat senjatakah? Kita lemah adalah kerana Iman kita tidak utuh.

Di mana Qiamulailnya, di mana tadarus Al-Qurannya, di mana solat di awal waktunya, semua itu, mari kita buat kira-kira semula.

Kenapa Puasa?

"Mak.. kenapa kita kena puasa?" Waktu kecil, saya memang gemar membebani emak saya dengan pelbagai soalan.

"Supaya kita boleh rasa macam mana orang susah tak makan." Emak jawab ringkas, sesuai dengan usia kecil saya. Saya ingat sampai sekarang.

Apatah lagi semenjak pulang dari bumi Palestin, di mana saya lihat sendiri kesusahan saudara-saudara di sana.

Ya sahabat, selama ini kita selalu bermewah-mewah. Makanan tak sedap kita tak mahu makan, ambil banyak-banyak makanan, tak habis buang. Kita selalu merungut macam-macam.

Di bulan Ramadhan inilah Allah mahu didik kita untuk bersabar, untuk mendidik hati merasa kesusahan kerana hakikatnya hati yang dapat merasakan kesusahan orang lain adalah hati yang gemar untuk dekat dengan Allah.

Sekurang-kurangnya sahabat, jika kita tidak tahu keagungan, kehebatan bulan Ramadhan di mana Allah sebenarnya nak beri kita pahala lebih, dengan malam lailatulqadarnya, dengan syaitan diikat supaya tidak diganggu dan macam-macam lagi... cukuplah sekadar kita sedar ; sebenarnya Allah sayang sangat pada kita, didiknya kita agar menjadi seorang hamba yang bersyukur.

Kerana, jika kita bersyukur, Allah akan tambah lagi rezeki kita.

Subhanallah! baiknya Allah!

Ingat sahabat, perjuangan itu tidak mudah, tapi jika kita yakin dengan pertolongan Allah, semuanya menjadi indah.

Ingat sahabat, jangan membazir. Berbukalah sekadarnya, kerana mungkin ada saudara kita yang hanya berbuka dengan air kosong.

Dan yang paling penting...

Ingat sahabat, Allah sentiasa sayang kita!

Selamat bergraduasi dari universiti Ramadhan dengan piawaian lulus cemerlang pada pandangan Allah.

Ayuh jadi hamba Rabbani, bukan sekadar hamba Ramadhani!

Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah : 183)

Wallahu'alam

p/s : saya mohon maaf andai ada apa-apa pada diri saya yang membuat sahabat semua berkecil hati. Maafkanlah hamba yang hina ini... :')

Read More......

Thursday, July 12, 2012

Kembara Palestin, -Akhir-



Subuh di Al-Aqsa, sayu.


Tiada lagi yang bertanya,
Tiada lagi yang peduli,
Malam dan siang serupa,
Tiada bulan tiada mentari……


“Wa, bangun.” Seperti biasa, setiap subuh emak menjadi jam loceng saya. Mengejut tanpa bosan.

Saya menggosok-gosok mata. Udara dingin dari luar memang menguji kekuatan untuk bangun. Lantas, apabila saya teringat bahawa hari ini adalah hari terakhir berada di Palestin, semangat terus datang kembali.

Dalam dingin waktu, wudhu diambil, bersedia untuk bergerak ke Al-Aqsa yang pastinya dirindui.

Subuh itu hanya saya dan emak bergerak menuju ke Al-Aqsa, Jemaah yang lain kepenatan lantaran semalamnya kami menziarahi banyak tempat.

Tiba di pintu masuk Al-Aqsa, hati bertambah sayu. Allah, masjid ini akan kutinggalkan, entah bila akan diziarahi lagi.

Allah, bumi ini bumi barakah, entah bila dapat dijejaki lagi. Mata saya digenangi air.

“Sayunya rasa nak tinggalkan.” Emak bersuara, seolah-olah mendengar suara hati saya.

“Emak, singgah dome of the rock kejap jom,” Saya mengajak, untuk ‘berjumpa’ dengan batu tergantung buat kali terakhirnya. Masuk ke situ, saya memegang batu itu. Lama.

Untunglah batu itu, sekurang-kurangnya dapat dia ‘berjumpa’ dengan Rasulullah. Kalaulah batu yang kita rasa seperti tidak ada perasaan pun nakkk sangat ikut Rasulullah, apatah lagi kita ini manusia yang diberi akal, diberi hati dan perasaan, seharusnya pasti lebih menyayangi dan merindui Rasulullah daripada batu tersebut.

Allah..beratnya hati nak tinggalkan, sehingga saya terfikir saya rela syahid di situ, sehingga saya terfikir tidak mahu pulang. Sungguh sungguh bertuah wahai saudara di Palestin, mereka tinggal di bumi barakah yang udaranya juga berlainan dengan udara di sini. Nyaman.

Bergerak menuju ke masjid Al-Aqsa lama, sekitar beberapa meter sahaja dari dome of the rock, ada beberapa kanak-kanak Palestin bertanya, “Pakistan? China?”

Saya memandang, tersenyum, “Malaysia.”

“Ohh malaysia, Ahlan wa sahlan!” Kata mereka girang. Suka benar mereka melihat orang luar datang ziarah. Agaknya hilang satu kesunyian, terpecah kesepian di hati mereka, terhakis rasa tidak dipedulikan.Mungkin.

Selesai menunaikan solat subuh, dalam perjalanan pulang ke hotel, saya lihat emak menarik nafas dalam-dalam.

“Kenapa?” Saya bertanya. Hairan.

“Sedut udara Al-Aqsa, entah bila dapat rasa lagi.”

Hati saya bertambah sayu. Allah bawaku lagi ke Al-Aqsa, sungguh aku rindu.....

Jam 8 pagi, kami bergerak menuju ke gereja di mana orang kristian percaya bahawa di situ tempat Nabi Isa disalib, tetapi sebagai orang Islam kita semua percaya bahawa yang disalib itu bukanlah Nabi Isa tetapi penggantinya sahaja.

Nabi Isa akan keluar di satu kawasan berhampiran Al-Aqsa, kemudian baginda menuju ke masjid Al-Aqsa. Pada ketika itu ada seorang hamba Allah sedang mahu menunaikan solat, nabi Isa menepuk bahunya dan hamba Allah itu memandang ke belakang, dia terkejut.

“Silakan.” Katanya memberi laluan kepada Nabi Isa untuk mengimamkan solat. Nabi Isa menolak, “Tidak, engkau adalah ummat Muhammad. Imamkan solatku.” Begitulah jawab baginda. Untungnya kita menjadi ummat seorang kekasih Allah, malah disegani oleh Nabi yang lain. cuma kita yang tidak tahu bersyukur..... jarang sekali menyebut Alhamdulillah, tetapi banyak kali mengagungkan manusia.

Mari Istighfar.

Bersebelahan dengan gereja ada satu masjid kecil yang dinamakan masjid Umar. Dahulu, ketika Umar tiba di baitulmaqdis, peribadi Umar begitu menarik hati sekalian ummat, termasuk orang-orang Kristian, sehingga orang Kristian memberi kunci gereja kepada Umar dan sehingga sekarang kunci gereja itu dipegang oleh orang Islam.


Masjid Umar
Bagaimana masjid boleh berada di sebelah gereja itu?

Begini, ketika Umar tiba di gereja, sudah tiba waktu solat. Paderi di situ mempelawa Umar untuk solat sahaja di gereja itu. Umar yang sentiasa berfikir di luar kotak menolak; “Tidak” katanya. “Biarkan sahaja aku solat di luar gereja.”

Umar khuatir kalau satu hari nanti umat Islam akan sewenang-wenangnya solat di gereja dengan alasan Umar pernah berbuat demikian. Jadi, tempat Umar solat itulah dibina sebuah masjid yang dinamakan masjid Umar.

Sungguh mulia peribadi dan pemikiran Umar Al-Khatab. Tegasnya kerana Islam semata. Beliau sedar bahawa perilaku, dan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang model Islam pasti menjadi ‘dalil’ buat mereka yang sedang mahu mengenal Islam.

Kami berjalan lagi, melawat masjid Buraq, di mana Nabi menambat buraqnya di situ. Buraq yang Nabi naiki adalah buraq yang terpilih dari beberapa buraq yang ada.


Di sinilah dipercayai Buraq ditambat.
Buraq itu sentiasa berdoa agar dia ditunggangi oleh seorang yang mulia, sehinggalah Jibril memanggilnya untuk turun ke bumi. Pada awalnya, ketika Rasulullah s.a.w mahu menaikinya, buraq terpilih itu lari, katanya : Aku hanya mahu ditunggangi oleh orang yang mulia.

Jibril membalas, “Adakah engkau tahu siapa ini?”

“Dialah orang yang paling mulia. Dialah Rasulullah s.a.w” Sambung Jibril. Buraq terus diam, merendahkan badannya sehingga mudah untuk Nabi menaikinya.

Aduhai.. Untungnya buraq, ditunggangi kekasih Allah... tapi kita lebih beruntung kerana Rasulullah tinggalkan sesuatu sebagai pedoman. Ya, peganglah Al-Quran dan As-Sunnah, itu tanda ingatan baginda kepada kita. Rasul sudah bersabda, barangsiapa yang berpegang kepada dua perkara itu nescaya tidak akan sesat selamanya....

Dan... ada satu tempat, pemandu pelancong kami bawa dalam kawasan Al-Aqsa, kami perlu menuruni tangga, berjalan sedikit... dan tiba di satu kawasan... semua tertanya-tanya, apakah?


Lorong menuju ke..........

Rupanya di situlah Rasulullah s.a.w menunaikan solat pertama selepas mendapat perintah solat daripada Allah.


Tempat Rasulullah Pertama Kali solat (Sebelah kiri, berhampiran lampu chandeliar)


Subhanallah. Saya sujud, lama. Di situ, di tempat sujud itulah Rasulullah pernah bersujud. Di situ, tapak kaki Rasulullah pernah berpijak. Allah, sayu. Sayu sungguh.

“Nanti kamu pulang ke negara kamu, sekurang-kurangnya kamu tidak menyesal. Kamu sudah solat di tempat pertama Rasulullah menunaikan solat.” Kata pemandu pelancong kami.

Sungguh, kami tidak menyesal. Yang ada hanya rindu.

“Wa, wa tahu tak dulu tentera Israel pernah bawa masuk kereta kebal machine gun semua dalam kawasan Aqsa ni, lepas tu diorang tembak random.” Abang saya bersuara ketika kami sedang bergerak keluar dari Al-Aqsa. Sibuk dia bercerita mengenai perbualannya dengan penjaga Al-Aqsa sebentar tadi.

“Lah ye ke?”

“Yeee. Lepastu tau tak diorang tak mampu buat apa-apa, mampu baling batu je.”

Saya diam. Ya mereka tiada senjata. Hatta penjaga masjid Aqsa atau di Malaysia mungkin lebih dikenali sebagai security guard juga tiada sebarang senjata walaupun hanya sekadar sebatang cota. Tiada. Kosong.

“Apa tu?” saya menunjuk pada satu bungkusan di tangan abang saya.

“Oh, ni?” tunjuknya. “Roti Pak guard tadi tu bagi. Dia bersungguh nak bagi, dia kata dia dah makan dah.”

Roti itu hanyalah satu roti kosong, diisi dengan daging yang dipotong amatttt nipis dan tanpa apa-apa rempah. Bila dimakan, tiada rasa apa. Ya itulah makanan seharian rakyat Palestin sedang anda sibuk tidak habis makan, sedang anda merungut makanan itu tak sedap, sedang anda sulit memilih makanan....

Mereka mengucap Alhamdulillah kerana dapat mengalas perut dengan roti yang tiada rasa.

“Remember us in your doa. Do encourage people to come and visit Al-Aqsa. Israel wants to take it!” itulah pesanan salah seorang daripada mereka.

Dan sungguh, moga saya telah menyampaikan pesanan mereka sebaiknya.


Selamat tinggal Palestin, moga kita bertemu lagi :')


Di manakah tanda setia saudara,
Dihimpit derita,
Tiada siapa sedia membela…..


Wallahu’alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .