Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, August 31, 2009

Ana Sayang Allah... Tapi..?



Ana...ana sayang Dia. Terlalu sayang, tapi.. tapi ana selalu gusar, terbuktikah perkataan melalui perbuatan? Kenapa. Ya kenapa ana selalu terasa jauh biarpun Allah itu sentiasa dekat??

Ana.. ana kata ana sayang pada Allah, tapi apa buktinya? Maksiat selalu terpampang di hadapan mata, dan ana hanya mampu memandang hambar. Terkadang diri dan hati lupa,lalai dan leka daripada mengingatiNya. Itukah tanda kasih,sayang dan cinta ana padaNya?

Maksiat. Ya maksiat, dan dosa hari-hari dilakukan antara sedar atau pun tidak. Terkadang terkocoh-kacah dalam sembahyang, terkadang hati ini merasa lebih takut kepada manusia daripada Allah sehingga terpaksa tunduk kepada segala peraturan yang mampu memudaratkan.

Hati, ya hati ini terkadang tewas dengan bisikan syaitan. Terkadang merungut dengan dugaan tanda kasihNya, terkadang melukakan hati insan lain.

Terkadang mata pula terlupa untuk ditundukkan dan terbentanglah maksiat di hadapan mata, sangat sakit untuk dilihat sehingga otak terasa berdenyut... Tapi.... tapi apa yang ana lakukan?

Telinga. Terkadang telinga mendengar umpatan, terkadang telinga mendengar cacian dan makian, terhidanglah segala kemaksiatan, masuk terus tanpa tapisan. Oh Allah! inikah lambang cintaku padaMu?

Mulut. Mulut terkadang merungut, terkadang marah, terkadang membuat insan sekeliling berkecil hati. Masih adakah tempat ana di sisiNya?

Hari-hari maksiat ditatap sehingga bagaikan tiada perasaan ana melihat segala kemaksiatan itu. Mungkin telah terbiasa hingga hilang sensitiviti pada hati. Ana kembali terjelepok, menangis, mengapa ana tidak merasa apa-apa? Masihkah ada tempat bagi ana di sisiNya? Atau.. atau tatkala menghadapNya nanti Allah tidak mahu langsung menatap muka ana?

Ya Allah... siapa aku pada pandanganMu?

Allah... ana sangat takut melihat pencapaian diri. Tatkala lelaki perempuan bersentuhan tanpa merasa apa-apa, tatkala lelaki perempuan berbicara tanpa rasa bersalah, tatkala mengumpat berleluasa, tatkala penzinaan dilakukan secara terang-terangan, tatkala anak menderhaka pada kedua ibu bapa, dan tatkala bercambahnya lagi bermacam jenis kemaksiatan, ana masih di sini.. Duduk membatu, mementingkan diri..

Allah, inikah tanda cintaku padaMu?

Antum, ya antum bagaimana?

Obat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Alloh Taala mencukupi
Moga-moga Alloh Taala mencukupi -Opick



Read More......

Sunday, August 30, 2009

Ana Nak Jadi Apa?

Kadang-kadang, bila tengok mereka ni... Nak jadi mereka, suci tanpa dosa. Best, hidup tanpa masalah.... Kalau ditakdirkan untuk menghadapNya pun, tak ada masalah. Confirm masuk syurga. Indah kan? Hari-hari berlari, bermain, senyum, ketawa.

Tak macam ana.. ana banyak dosa, kalau ditakdirkan meninggal esok, ana tak tahu Allah redha atau tidak ana sebagai hambaNya. Siapalah ana pada pandanganNya... Entah dimasukkan ke dalam syurga atau neraka ana pun tak tahu. Yerlah.. ana banyak buat salah...



Bila ana tengok mereka pula... Ana teringin nak jadi macam mereka..

Yelah, meraka kan orang dewasa, dah lama dah hidup di dunia...Tentulah dah banyak amal ibadat. Tak macam ana... Ana baru je setahun jagung.. Baru sikit je beramal. Itu pun, entah diterima ke tidak... Kalau ana dijemputNya kembali esok, macam mana?






Hm, bila ana tengok orang-orang macam dia ni, ana cemburu pula... Yelah, diorang buat kemaksiatan dan dosa atas sebab jahil, tidak tahu. Tapi ana? Ana selalu buat dosa dan kemaksiatan yang ana tahu.. Hinanya ana di hadapan Allah...

Orang macam dia ni, kalau masuk Islam, jadilah macam bayi yang baru lahir, suci... bersih tanpa dosa. Tapi ana ni hidup bergelumang dosa. Kadang-kadang minta ampun pada Allah, tapi lepas tu buat balik. Minta ampun dan buat lagi... Cemburunya ana pada dia....







Tapi.... Bila ana tengok mereka ni, ana nak sangat-sangat jadi macam mereka. Terpelihara, harapan ummah. Runtuh mereka, runtuhlah ummah. Hebat mereka, hebatlah ummah...

Ana tenung diri ana. Lama. Jauhnya ana ni nak dibandingkan dengan mereka... Terkadang lalai, terkadang leka... Masihkah ada tempat untuk ana di sisiNya?






Lepas tu, ana nampak pokok... Teringin pula nak jadi macam pokok. Sentiasa berzikir, tak buat dosa. Meskipun selalu disakiti tapi di akhirat nanti, tiada hisab untuknya. Di saat manusia merintih "Alangkah baiknya jika dahulu aku dijadikan tanah", Pokok ni berbahagia je... Nasib ana, ya nasib ana nanti bagaimana? Ana banyak dosa....








Tapi.... Tapi bila tengok ni, ana nak jadi seorang khalifah. Seorang khalifah yang baik dan mengajak kepada kebaikan.

Bukankah sebaik-baik ciptaan itu adalah manusia? Ana, ya ana dan antum semua adalah manusia. Kita manusia.. Bermakna kita adalah khalifah,kan?

Tapi.... Ana kembali merenung ke dalam diri, banyaknya dosa ana, ana nak jadi khalifah, nak berada bersama Rasulullah di syurga, jadi.. jadi ana kena jalankan tanggungjawab kan?







Tapi... Walau ana ingin jadi apa sekalipun, ana tetap ana. Seorang manusia yang banyak dosa, tapi sentiasa percaya bahawa Allah itu Maha Pengampun.

Bukankah Rasulullah ada bersabda bahawa tidak ada satu manusia pun yang lebih sabar daripada Allah?

Jadi.. ana kena sentiasa yakin, dalam perjalanan menjadi seorang khalifah, Allah sentiasa ada bersama untuk memujuk tatkala lemah, menemani tatkala keseorangan dan memaafkan tatkala tersalah langkah....

Antum bagaimana pula?










Read More......

Thursday, August 27, 2009

Dia... Insan Istimewa.....



"Kak Mas!" Terdengar sayup-sayup suara adik ana, Hazim tatkala ghairah memanggil ana yang sedang berehat.

"Ya, kenapa?"

"Ni ha.. tengoklah" Serentak, tangannya menghulurkan envelope berwarna kuning cair. Ana menelan liur. Envelope itu seakan-akan pernah dilihat...

"Apa ni?" Terus, ana bertanya.

"Kan Kak Mas bagi Hazim dulu, waktu hari jadi Hazim."

Ana diam. Kad itu diberi ketika umurnya 12 tahun- 2 tahun yg lalu dan kad itu masih elok disimpannya. Tiada cacat-cela. Serentak satu perasaan aneh meresap ke dalam hati. Sedih? Terharu? Entahlah...

Hazim bukanlah sesempurna insan lain... Dia manusia istimewa. Sekurang-kurangnya, ana pasti dia amat istimewa pada pandangan Allah. Jika tidak, masakan ujian yang getir diturunkan kepadanya, yang mungkin tidak mampu ana menanggungnya.

Atas izinNya, Hazim amat sukar menumpukan perhatian pada pelajaran, amat gemar berimaginasi dan berkelakuan keanak-anakan. Atas sebab-sebab ini, pelajarannya amat berbeza dengan adik-beradik ana, satu ujian buat umi dan abi.

Perlakuannya amat membimbangkan, pelbagai cara dan usaha telah dilakukan, namun Allah masih belum beri keizinan untuk Hazim pulih seperti insan yang lain. Hazim amat gemar bercerita dengan ana. Terkadang hati ana sedih apabila mulut mungil itu menceritakan bagaimana dia didera secara mental oleh guru dan rakan.

Dia Dibuli

Ketika dia bersekolah rendah, suatu hari dia pulang dalam keadaan bajunya berdarah. Belakang badannya berlubang sedikit.

"Kenapa ni Hazim?" Ana bertanya gusar.

"Kawan Hazim, cucuk dengan pensil"

"Kenapa tak beritahu cikgu?"

"Tak apalah..." Dan air mata ana terus menitik, satu persatu... Adikku, sabarnya hatimu!

Terkadang Hazim menjadi tumpuan guru melepaskan kemarahan kerana markah peperiksaannya amat jarang sekali mencapai tahap lulus. Hazim hidup dalam kelompok insan-insan yang tidak memahami masalahnya. Terkadang dia dicela, dikutuk, namun hanya sesekali air matanya tumpah ke bumi.

Dan ana yang mengalirkan air mata melihat semua itu...

Biarlah... Biar semua orang meminggirkannya. Dia tetap istimewa di mata kami. Di mata umi ana. Hazim amat ringan tulang. Jarang sekali dia berkata tidak andai bantuan yang diharapkan. Dia akan membasuh pinggan, mengangkat kain, jua menghidang makanan tatkala kami adik-beradik tiada di rumah demi mencari setitis ilmu.

Namun, hidupnya sering dalam tekanan. Dikelilingi insan-insan yang berlainan latar belakang dan pengalaman amat menggusarkan hati ana. Hidup dalam tekanan terkadang membuatkan jiwanya memberontak. Kelakuannya menggusarkan.

"Nak jadi apa nanti? Tukang sapu sampah?" Satu suara menjerkah Hazim pada satu hari yang hening. Ana memandang tajam dan Hazim terus-terusan berdiam diri. Entah redha atau lali dengan kutukan ana tidak tahu. Tapi hati kecil ana menangis sendiri.. Tabahnya hatimu dik!

Hazim Dan Dakwah

"Hazim.. Dah solat belum?" Ana bersuara tatkala dia sedang asyik bermain dengan sepupu kami.

"Belum"

"Ha, bila nak solatnya?"

Segera, dia bergerak ke bilik air. Mengajak sekali sepupunya itu.

"Hazim, cepatlah solat. Kita nak solat pulak" Sepupu ana bersuara.

"Kita jemaah lah" Hazim membentangkan sejadah. Sepupu ana menarik sejadahnya kembali.

"Alah, sorang-soranglah"

"Jemaah dapat banyak pahala tau" Hazim kembali membentangkan sejadah, mengikut posisi imam dan makmum dan akhirnya mereka solat berjemaah. Ana tersenyum.

Ingatannya utuh pada insan tersayang

Hazim tidak pernah lupa pada sambutan hari ibu, jua hari bapa. Dia akan sedaya upaya menyediakan walau sekeping kad sebagai ingatan. Kad hasil buatannya sendiri, meski tidak secantik mana namun amat bermakna. Tahun ini, ketika hari jadi akak ana, Hazim mencipta satu origami sebagai hadiah ;



"Owh, hari jadi kak yah, Hazim bagi hadiah eh.. Hari jadi wawa, tak de pun bagi hadiah" Ana sengaja mengusiknya pada satu hari.

"Ala.. ni ha, kak mas Hazim bagi buku dengan kertas-kertas sekali" Ujarnya sambil mengeluarkan buku origami beserta kertas-kertas origaminya.

"Tak mau lah.." Ana pura-pura merajuk. Buku itu diletakkan di atas meja ruang tamu dan... Astarghfirullah, ana terlupa langsung padanya.

Hazim Kecewa

"Kak Mas...." Hazim membuka pintu bilik ana.

"Ya" Mata ana tidak lepas daripada memandang skrin laptop, sibuk mencari bahan untuk kerja kursus yang perlu dihantar.

"Ni.. Hazim dah bagi, ambiklah..." Lirih suara itu diiringi huluran tangan beserta buku origami.

"Aaa.. letak atas ni" Ana bersuara endah tak endah. Fikiran masih tertumpu pada bahan-bahan kerja kursus. Hazim meletakkan buku tersebut di atas meja dan berlalu pergi.

Ana terkedu. Seolah-olah baru tersedar dari khayalan. Allah... Tegarnya ana bersikap sebegitu kepada seorang insan bergelar adik. Hinanya ana ya Allah... Ana kembali mencari kelibatnya.

"Nak cium sikit!" Ana mengusik. Mujur, respon yang diberi positif petanda dia tidak menyimpan kecewa di hati. Adikku... Pemaafnya dirimu!

Adikku Sayang, Adikku Gemilang

Adikku... kau insan istimewa, diberi ujian kafarah dosa. Meski insan sekeliling memandang hina, namun yakinlah kau amat istimewa pada pandanganNya.

Hidup di dunia hanyalah sementara, jangan digundahkan cubaan yang sekelumit cuma, jangan berputus asa pada pertolonganNya, kerana nanti, kau dijanjikan pahala. Mungkin di sana nanti kau kan diganjari syurga, diangkat martabatmu lebih tinggi dari mereka yang memandangmu hina.

Adikku, usiamu barulah sedikit cuma. Perjalanan hidupmu masih jauh berliku, mungkin kini kau hanya mampu berdiri kaku tapi di pengakhirannya kau mampu berdiri megah di situ. Tiada siapa tahu, tiada siapa sangka. Jadi, jangan menangis, jangan lemah dengan ujianNya. Teruskan langkahanmu, kerana di sini ada hati yang menunggu, hati yang menyayangimu setulusnya. Biarkan insan lain mengeji, datanglah padaku, diriku sentiasa menunggu.....

Adikku sayang, moga nanti kau mampu bertindak seperti khalifah. Menegakkan Islam tanpa sedikit gentar. Membela nasib Islam yang makin tersungkur. Bersabarlah adikku, kerana sabar itu buahnya manis!

Berjuanglah menempah susah agar bergelar insan soleh dan muslih. Terima kasih kerana mengajar diri ini erti sabar, tabah dan maaf... Moga rahmatNya sentiasa bersama... Tinta ini kutulis kerana terlalu menyayangimu.....

Terlalu sayang kerana Allah...

P/S : Teman-teman, doakan bersama agar adik ana menjadi insan soleh(baik) dan muslih (mengajak kepada kebaikan).... amin! Jangan dipinggirkan atau dihina insan seistimewa adik ana...

Read More......

Wednesday, August 26, 2009

Berhikmah vs Berkeras


"Tak nak puasa!" Seorang kanak-kanak dalam lingkungan 4-5 tahun menjerit di hadapan ana tatkala kami sedang beratur di kaunter bayaran.

"Hish.. mesti kena puasa." Ibunya membantah.

Ana tersenyum kecil melihat gelagat kanak-kanak comel itu. Sekejap-sekejap duduk di lantai, sekejap-sekejap mundar-mandir. Lumrah kanak-kanak....

Sejenak, ana kembali teringat peristiwa dahulu. Ana mula belajar untuk berpuasa seawal usia 5 tahun. Di ajar untuk tidak makan sehinnga Zohor sehinggalah menahan diri sehingga terbenamnya matahari.

Jangan Mendesak

Ana bukannya anti ajaran puasa kepada kanak-kanak. Ajaran itu bagus. Cuma, janganlah sehingga kanak-kanak itu merintih-rintih, sudah lemah tidak bermaya, merayu agar meminta sesuap nasi, dan si ibu tegar berkata "Tidak!" Lebih tegar melihat anak meninggal dunia daripada menjamah sesuap nasi pada bulan Ramadhan. Ini salah. Islam itu tidak pernah memberatkan umatnya. Hatta, ketika sedang bermusafir dibenarkan untuk berbuka dan ketika darurat dibenarkan memakan haiwan yang haram untuk memelihara nyawa.

Didiklah secara berperingkat. Mana-mana manusia pun pasti akan terkejut andai sesuatu itu dilakukan secara drastik. Kita lihat pada cara didikan anak untuk menunaikan solat.

Sabda Rasulullah :"Perintahkanlah anak-anak itu untuk bersembahyang setelah mencapai usia tujuh tahun dan apabila telah berusia sepuluh tahun, maka pukullah dia jika meninggalkan sembahyang" -Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Suruh anak sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah ia jika tidak mahu bersolat ketika usia 10 tahun.Proses ajaran dan suruhan berlangsung selama 3 tahun, bukannya 3 bulan, 3 minggu, 3 hari. Ia berlaku secara perlahan-lahan, beransur-ansur, tidak drastik dan boleh diterima dengan baik oleh si anak kecil.

Praktikkan ia ke dalam ibadah puasa, didik anak berpuasa secara berperingkat-peringkat dan berhikmah. Jangan terus menyuruh dia menahan diri dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Anak itu akan memberontak dan timbul pula perasaan benci pada ibadah itu.

Membantu Bukan Membantut


"Mastura betul ke tak nak makan ni? Sedap tau... Tengoklah karipap ni, sedapnya.." Guru tadika ana tidak henti-henti 'menggoda' ana yang duduk jauh dari teman-teman yang sedang enak bersarapan pagi ketika bulan Ramadhan.

Ana bersekolah di tadika Islam. Setiap hari ana diajar apa itu Islam dan cara-cara mengamalkannya. Justeru, pada ketika itu, menggunakan akal kanak-kanak berusia 5 tahun, ana jadi bingung. Bolehkah? Bolehkah makan? Tangan diusap-usap pada perut yang semakin rancak berbunyi. Ana toleh sekilas.

"Marilah..ada air sirap ni.." Guru tadika ana masih tidak berputus asa. Ana menelan liur. Pesan umi masih terngiang-ngiang di telinga. Hari ni kena puasa, tak boleh makan kat sekolah. Ya, masih jelas di ingatan pada pagi itu ana bangun sahur. Tapi....

"Marilah cepat Mastura..." Mata ana terkedip-kedip memandang teman-teman yang sedang asyik menikmati makanan. Ana tersengih, pesan umi sudah lenyap dari pendengaran. Lantas, ana bangun dan makan bersama-sama mereka. Selesai makan, ana rasa sungguh bersalah dan mata ana digenangi air tatkala memberitahu,

"Mak, wawa makan tadi kat sekolah."

Hasrat untuk berpuasa hari itu hancur. Mujur umi tidak marah,namun ana tidak tahu sama ada umi kecewa atau pun tidak.

Sedih ana mengenangkan peristiwa itu. Seorang guru, apatah lagi mengajar di sebuah tadika Islam, seharusnya membantu bukan membantutkan usaha pelajar untuk berpuasa. Sokonglah, dan galakkan para pelajar agar lebih ramai dapat berpuasa di usia muda.

Begitu juga dengan ibu bapa, teruskan menyokong. Beri kata-kata semangat dan boleh juga melakukan konsep 'punish and reward'. Ana dididik begitu. Andai 'terbuka' pada hari itu, harus makan di lantai, tidak boleh makan bersama-sama orang berpuasa. Andai dapat berpuasa akan diberi pujian dan usapan lembut di kepala. Cukup, itu sudah cukup.

Halusi Jiwa Dengan Ajaran Islam

Saidina Ali berpesan supaya mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya: pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.

Bermakna, ketika anak berusia 1-7 tahun, harus dilimpahi dengan kasih sayang, 8-14 tahun harus bertegas dan 14-21 harus dijadikan seperti kawan.

Jika kanak-kanak berusia 5 tahun disuruh berpuasa, maka limpahkan kasih sayang, jangan terlalu bertegas agar nanti die berasa senang dan tidak terpaksa untuk berpuasa. Kanak-kanak yang diterapkan dengan nilai-nilai Islam semenjak kecil pasti berasa senang tika beribadah.

Ana teringat pada satu kisah benar. Ketika bulan Ramadhan, seorang kanak-kanak dalam lingkungan 4-5 tahun curi-curi minum di dapur ketika ibunya tiada. Namun malangnya, perbuatannya dilihat oleh pembantu rumah dan diberitahu pula kepada ibunya. Ibu tadi tersenyum, tidak terus memarahi kanak-kanak kecil itu. Selepas berbuka, ibu tadi bersuara dengan lembut ;

"Muhammad (bukan nama sebenar), Allah nampak tak apa yang kita buat?"

Kanak-kanak tadi terus menangis.

"Umi... Muhammad minum tadi, Muhammad tak puasa." Si ibu terus mendakap si anak ke dalam pelukan..

Indah.... Hidup ini sangat indah jika Islam itu diamalkan... Sesungguhnya, berhikmah itu lebih baik daripada berkasar...

Selamat beramal!

Wallahu'alam..

Read More......

Monday, August 24, 2009

Adakah Kita Manusia Gagal?



"Mak..wa nak balik, susah kat sini" Ana menangis di pondok telefon ketika menelefon umi ana.

"Sabarlah, jangan cepat putus asa. Awak boleh buat" Umi membalas lembut dan ana masih jua menangis teresak-esak.

Ya, pembelajaran yang amat cepat di MRSM pada ketika itu benar-benar membuatkan diri ana menjadi letih dan penat. Terasa ingin berhenti melangkah dan kembali ke sekolah lama. Apatah lagi, ketika masih bergelar 'junior' mental puas didera oleh sesetengah 'senior'. Lumrah hidup di asrama...

Ana dahulu merupakan salah seorang ahli Persatuan Usahawan Muda (PUM). Bergelar ahli PUM bukanlah sesuatu yang mudah lantaran perniagaan harus berjalan setiap minggu, tidak termasuk hari-hari istimewa, terpaksa melakukan sesuatu yang baru untuk proses dedikasi atau sebagainya. Kadangkala, cuti semester jua terpaksa dikorbankan.

Ana masih ingat... Suatu hari, peperiksaan matematik tambahan bakal berlangsung dan ana tidak punya kesempatan untuk membuat apa-apa ulangkaji. Natijahnya,ana gagal buat pertama kalinya dalam subjek matematik tambahan. Bayangkan.. daripada gred A pada peperiksaan yang lalu, terus menjunam ke F. Ditambah lagi dengan denda terpaksa berdiri sepanjang kelas matematik tambahan dan denda itu berlangsung selama seminggu. Malu,memang teramat malu.

Ana juga pernah didenda enjut ketampi entah sebanyak berapa kali lantaran tersalah grammar bahasa inggeris (satu salah,sekali enjut ketampi). Ana bergelar mentor bagi subjek itu tetapi terpaksa pula menjalani denda itu. Malu, memang malu...

Ana juga pernah menangis kerana tidak faham konsep altitude dan latitude. Pernah juga kelam-kabut lantaran assignment yang berbakul-bakul bagaikan tidak punya kesudahan untuk disiapkan.

Semangat ana pernah jatuh kerana sahabat baik ana, duduk pula bersebelahan di dalam kelas, terpaksa pergi daripada MRSM pada ketika itu lantaran sebab-sebab yang tertentu.

"Mastura, kenapa sedih je ni. Kawan sebelah dah tak ada, tak ceria lagi dah" Tegur guru Bahasa Malaysia ana pada ketika itu kerana pelik ana yang biasanya riuh di dalam kelas itu menjadi senyap secara tiba-tiba. Diam seribu bahasa. Mata ana terus-terusan digenangi air mata. Dugaan itu mungkin terlalu perit untuk ditelan.. Keputusan peperiksaan ana juga agak jatuh sedikit.

TAPI! akhirnya ana sedar, tiada orang yang dilahirkan untuk gagal. Semua orang adalah juara. Sekurang-kurangnya juara untuk diri sendiri. Semua orang diberikan masa selama 24 jam, tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Andai orang lain boleh berjaya, mengapa tidak ana, mengapa tidak anda?

"Alah enti.. diorang tu memang lahir-lahir dah genius"

"Alah, mak ayah dia tu memang pandai, jadi genetik pandai lah"

"Susahlah subjek-subjek ni..."

Itu semua adalah alasan-alasan untuk menutup kesilapan sendiri. Hakikatnya, penjadualan itu amat penting. Sesibuk mana pun kita, kita harus menjadualkan diri kita sendiri agar hidup menjadi lebih teratur, lebih kemas, lebih licin... Memang banyak perkara susah tapi tiada perkara yang mustahil. Bukankah kebatilan yang terancang mampu menewaskan kebenaran yang tidak terancang? Buatlah jadual, atur hari anda, sekurang-kurangnya atur di dalam minda. Pukul berapa hendak buat assignment, pukul berapa hendak menulis, berdakwah dan sebagainya... 24 jam masa diberi, cukup andai diguna dengan bijaksana.

"Enti, ana dah usaha tapi ana gagal juga"

Lihat balik ke dalam diri, setelah berusaha, adakah kita bertawakal? Usaha+tawakal = Success! Itulah equation dalam menuntut ilmu. Berusaha dan bertawakal, qiamullail, solat dhuha, dan solat hajat jangan dilupa. Kenali diri kamu sendiri, jangan meniru gaya belajar orang lain. Namun, andai kedua-duanya telah dilakukan, dan masih jua gagal. Allah mengetahui yang terbaik untukmu. Mungkin kamu akan riak dan tidak dapat menjaga hati andai kejayaan yang dikecapi. Namun jangan terus-terusan bersedih. Bukankah hakikat menuntut ilmu kerana Allah itu adalah ibadah? Ingat, Allah tidak memandang hasil tetapi memandang usaha. Mari lihat tips menghafal.

Tawakal tanpa usaha juga tiada gunanya. Ada manusia yang sangat ralit dengan persatuan dan dakwah sehingga mengabaikan pelajaran. Itu tidak bagus. Tidak baik. Bahkan, Islam tidak mengajar kita mengabaikan pelajaran, hakiaktnya ilmu itu pelita hidup.

"Alah enti, bukankah Allah akan menolong orang yang menolong agamaNya?"

Benar, tepat sekali. tapi andai kamu tidak menolong diri kamu sendiri, apakah kamu berharap Allah akan menolong kamu? Ingat, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri. Jangan takut untuk berdakwah, cuma seimbangkanlah... Mungkin Allah akan menolong kamu dengan cara kamu baca sekali sudah faham, apa yang kamu spot keluar peperiksaan. Begitulah, jangan langsung mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang digalas sebagai pelajar dan khalifah. Jangan. Yang paling penting, jangan peduli dengan segala kutukan yang mampu melunturkan semangat. Pekakkan telinga, kukuhkan hati. Allah bersamamu!

Alhamdulillah, setelah berusaha dan menongkah arus serta badai, melangkah duri-duri kepedihan yang menusuk, Setelah lama 'berkampung' di bilik guru untuk belajar topik-topik yang masih tidak difahami, ana dan rakan-rakan sekelas berjaya memperoleh sijil graduasi. Alhamdulillah, berkat usaha dan tawakal...







Sebelum masuk ke dewan














Sahabat seperjuangan













Di dalam dewan






Sesuatu yg diimpikan tak selalu menjadi kenyataan. Tetapi apa yg tak diduga seringkali berlaku dgn tiba-tiba. Biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tapi usah kita ketawa memanjang kerana kemenangan yang belum pasti untuk selamanya. Tiada abid yg ma’sum tanpa dosa…apalagi bila berjiwa muda. Namun, kegagalan bukanlah mengajar erti kekalahan. Tetapi mengingatkan tentang kemenangan yg masih tertunda.


wallahu'alam...

Read More......

Saturday, August 22, 2009

Apa Pergantunganmu?


Ana tersenyum. Sahibah nan satu ini tidak pernah berputus asa menyokong ana agar blog ini tidak tinggal bersawang. Bukan sengaja tidak mengemaskini blog, tetapi ada tuntutan lain yang perlu dipenuhi. Atas kelemahan ini, ana pohon beribu kemaafan...

Hari yang baik. 1 Ramadhan,dan alhamdulillah ana dibenarkan keluar wad semalam,sekaligus doa ana untuk menyambut awal Ramadhan di rumah dimakbulkan Allah,alhamdulillah. Peristiwa-peristiwa kemasukan ana ke dalam wad membuatkan fikiran ana melayang memikirkan sesuatu. Saidina Umar. Ya, mengapa dia?

Ketika Rasulullah s.a.w wafat, Saidina Umar Al-Khatab amat sukar untuk mempercayainya. Bahkan, Saidina Umar telah mengugut akan memenggal kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasululullah s.a.w telah wafat sehinggalah dia ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq melalui ayat suci Al-Quran ;



Kecintaan Umar terhadap Rasulullah amat utuh. Namun ini tidak bermakna dia mengenepikan Allah kerana jiwanya terus sahaja lembut setelah mendengar kalam Allah yang dibaca oleh Abu Bakar. Cuma, sebagai manusia biasa, dia terlupa sebentar. Meletakkan pergantungan dan semangat kepada seorang manusia, pasti kecewa yang menanti. Kerana, andai manusia itu futhur pasti kita akan menjadi hilang semangat. Sebaliknya, andai pergantungan dan semangat diletakkan kepada Allah S.W.T pasti kita akan sentiasa kuat dan gagah untuk terus mara di medan dakwah ini..

Ana juga pernah terlupa. Pernah juga meletakkan pergantungan kepada manusia. Sejujurnya, ana hanyalah insan lemah yang tidak berdaya, diuji pula dengan sakit dan dimasukkan ke wad sebanyak dua kali benar-benar menguji ketahanan hati. Ketika pertama kali kaki ana jejak ke dalam wad, ana masih mampu untuk bertenang. Tambahan pula, ramai sahabat datang melawat dan layanan di situ amat baik sekali. Ana masih mampu tersenyum biarpun fizikal tidak sihat.

Namun, atas izinNya, ana masuk pula wad yang bertempat di salah satu hospital di Johor Bahru. Sedikit jangkitan kuman di paru-paru membuatkan nafas ana tersekat sekali-sekala di samping senak dada. Tambahan pula, cucukan jarum di tangan yang tersalah pada kali pertama dan dicucuk pula untuk kali kedua amat menyakitkan. Benar-benar sakit sehingga ana pernah terbaring dan merintih kesakitan. Menangis di dalam hati. Ana cuba untuk tabah. Mencuba untuk sabar dan syukur, namun ana tewas. Tewas dengan kehendak nafsu. Berkali-kali ana menangis sehingga bengkak-bengkak mata ana, mengharapkan seseorang di sisi. Menangisi diri yang semakin kurang pengisian rohani,bahkan mungkin jua merindui teman-teman yang telah terpisah sebentar dari diri ini.











Akibat daripada meletakkan pergantungan dan semangat kepada manusia biasa seperti ana, Ana menjadi lemah, ana sedih, ana tiada semangat, jiwa ana memberontak kerana ketika itu tiada siapa di sisi. Mujur Allah masih mahu memelihara ana, masih ada sahabat seperti saidina Abu Bakar yang mampu mengingatkan.


'Sabar Kak Mas,Allah uji tanda Allah sayang,hanya orang-orang yang terpilih sahaja diuji olehNya dan Kak Mas adalah orang yang terpilih itu.'


Ana kembali tenang... surah Al-Baqarah ayat 286 ana fikir sedalam-dalamnya. Allah menguji mengikut kemampuan. Kemudian ana teringat pula pada surah Al-Ankabut : 2


Mujur, Allah masih mahu ana sedar kesilapan ana. Selama ini mungkin ana merasakan bahawa ana benar-benar sudah beriman,lantas diberiNya ujian yang sedikit cuma. Ana sudah melatah. Oh Allah, nipisnya keimananku padamu... Bahkan mungkin lebih nipis daripada kulit bawang.

Ana kembali bermuhasabah. Menilai kembali kesilapan diri. Menilai buruk baiknya ujian yang datang melanda. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bibir ana pantas terbuka, menasihati sahabat handai yang sedang dibelenggu masalah suatu ketika dahulu, dan kini ana kembali menuturkannya cuma ia berbeza dari dahulu kerana ana berkata untuk diri ana. Ya, diri sendiri.

Ana kembali menggenggam kekuatan, meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah, jua ana berhubung dengan teman-teman dan mereka semuanya mentarbiyah ana dengan janji-janji dan kebesaran Allah. Alhamdulillah. Ana kembali tersenyum, meninggalkan segala kepahitan jauh di sana.... Menewaskan nafsu yang menipu...

Dan kini, biarpun belum 100% pulih, ana mampu tersenyum lega kerana pada saat ini, ketika ini, ana berada di dalam bilik ana sendiri. Bersahur bersama keluarga pada 1 Ramadhan, berjalan kaki bersama-sama ke surau dan merasa nikmatnya dahi menyentuh lantai tatkala solat tarawih.. Allah.. nikmat Allah yang mana lagi yang ana dustakan?

Serahkan seluruh hidupmu hanya pada Allah, pasti Allah aturkan yang terbaik.

'Bila kekuatan yang dipohon, Allah beri rintangan untuk dihadapai. Bila kebijaksanaan yang dipohon, Allah beri masalah untuk diselesaikan. Bila kasih Allah yang dipohon, Allah beri dugaan untuk dihadapi, dan setiap yang dipohon pasti diuji, supaya lebih dekat denganNya.. Ingatlah,hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang (al-Ra'd :28)'


Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, August 19, 2009

Redhamu...


"Bila dah kahwin, apa yang awak amat harapkan?" Bicara seorang teman.

Ana termenenung jauh...

"Redha seorang suami" Titik. Ya,itu yang amat ana harapkan tatkala bergelar bidadari buat seorang lelaki yang soleh. Namun,seringkali hati ini bagai disiat-siat mengenangkan betapa banyak kelemahan diri sehingga terfikir mampukah diri ini menjadi seorang isteri yang solehah,menjadi penyejuk mata dan penenang hati?

Meski perjalanan menuju itu masih jauh... Namun, ana harap agar cita-cita nan satu itu bisa digapai...

Al-Kisah yang menyentuh hati ana;

Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah.
Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah
dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan,
kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang
beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah,
ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya,
seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik
kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun,
sehinggalah si isteri meninggal dunia.
Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna,
disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli keluarga,
saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami
untuk mengucapkan ta'ziah.
Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang
boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan
kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang
paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata,
si suami telah berkata:
"Semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan
ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya:
"Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya,
sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan
gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam
pertamaku bersama isteriku itu."

*****


Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah
sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku,
menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya
dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna.
Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik
yang dilakukannya kepada diriku.
Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi
(salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha
kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad,
aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata:

"Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhailah ia."
Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku..

*****


Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku,
di saat ini amat berbahagia dan bergembira,
tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa
hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan
ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu,
maka janganlah kamu melakukannya.
Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku,
kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha
kepadanya..
Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhaan-Nya. "

Read More......

Monday, August 17, 2009

Marhaban Ya Ramadhan...


Sudah masuk 6 hari ana diberikan nikmat sakit oleh Allah. Ana bersyukur, namun di sebalik kesyukuran itu terselit satu perasaan yang sukar untuk ditafsir.

Sakitnya diri ini telah mengundang pelbagai perasaan di dalam hati individu-individu yang sentiasa dekat di hati ini...

Gelisahnya hati ayahbonda jua kerisauan dan tangis sahabat handai cukup membuat jiwa ana tidak menentu... Dhoifnya diri yang telah menyusahkan pelbagai pihak.. Moga Allah ampuni ana yang lemah...

Masa seakan pantas berlari dan Ramadhan semakin dekat menjengah dan ana semakin ligat berfikir..

Sempatkah ana bertemu Ramadhan kali ini? Atau mungkinkah esok Allah akan menjemput ana pulang ke asalnya?

Ana benar-benar rindu pada bulan penuh keberkatan ini.. Menantikan detik bersahur yang dijanjikan ganjaran yang banyak jua saat dahi sujud ketika tarawih.. Allah.. indahnya nikmat itu andai ana diberi peluang untuk mengecapinya...

Saudaraku sekalian,

Sudahkah kita menyapu, membersih,memasang langsir bukan di rumah, tetapi di hati kita untuk menyambut Ramadhan yang bakal menjengah? Sudahkah kita menyesali dosa-dosa yang lalu lantas memberi hati satu impak yang baru-bersinar dan berkilau demi memuliakan Ramadhan...

Atau mungkinkah kita bersedih lantaran tidak dapat lagi makan dan minum pada siang hari di bulan yang penuh keberkatan ini??

Cuba kita renungkan kembali... Suatu ketika dahulu, umat Islam amat gembira menanti Ramadhan dan bersedih hati ketika syawal hampir menjelma tetapi kini? Ramadhan belum pun tiba tapi lampu raya, kuih raya sudah pun berderet tersusun di pasar raya..

Oh!

Semoga Ramadhan kali ini dapat kita meriahkan dengan amal ibadat. Semoga dapat 'cover' kelalaian yang lepas...

Wallahu'alam...

Read More......

Sunday, August 16, 2009

Terima Kasih Allah...


"Wa... Pegilah check. Mak risau lah"

"Tak ada apa-apa mak. Batuk selsema sikit je" Ana bersuara untuk menyedapkan hati umi tercinta.

Demam 4 hari yang tidak surut. Lenguh2 badan. Cukup membuatkan hati seorang ibu menjadi tidak tentu arah dan ana terus-terusan mengambil sikap sambil lewa.

Demam yang makin teruk membuatkan ana nekad untuk melangkah menuju ke klinik berdekatan. Namun jawapannya hanyalah demam biasa. Dan ana pasrah..

Ahad-16/8/09 ana selamat diwadkan atas sebab positif denggi. Sakit hanya Allah yang tahu. Namun, di sebalik derita, ana mampu untuk tersenyum gembira...

Oh Allah.. rupanya Engkau masih sayang padaku..

Rasa gembira hanya Allah yang tahu.... Allah, terima kasih kerana masih ingat pada hambaMu ini....

Ana redha... pasti ada hikmah disebaliknya...

p/s : sahabat,jaga kesihatan. Jgn bermain dgn nyamuk :)

Read More......

Saturday, August 15, 2009

Cinta Apa?


“Nanti saya nak kahwin dengan orang yang betul-betul sayang kat saya.” Seorang teman bersuara ketika kami sedang leka menghadap makanan.

Ana tersenyum.

“Saya nak kahwin dengan orang yang betul-betul cintakan Allah.” Spontan ana menjawab.

Ya, ana tidak mengharapkan suami ana menumpahkan seluruh cintanya kepada ana. Bahkan mungkin ana akan menangis air mata darah andai cinta suami ana hanya untuk ana. Itu namanya cinta buta. Bagaimana mungkin seorang manusia langsung tidak merasa terhina mencintai manusia lain tanpa mengutamakan cinta kepada si Pemberi Cinta?

Seorang yang mencintai Allah pasti tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga tetapi seorang yang mencintai manusia sangat senang sekali untuk melupakan Allah.

Berbicara tentang cinta, sangat subjektif untuk dinilai....

Ya, manusia galak berbicara tentang cinta, cinta kan si fulan, cintakan si fulanah, cintakan reputasi, cintakan harta, cintakan dunia.... Tapi seringkali manusia terlupa untuk memikirkan dua cinta ini ; Cintakan Allah dan RasulNya.....

“Eh, kenapa kau tak baca doa?” Berkerut-kerut dahi Azmi melihat Malik yang tergesa-gesa melipat sejadah.

“Ish, aku nak cepat ni, lepas ni ada program!” Azmi menjawab.

“Kau baca fatihah tak solat tadi?”

“Bacalah! Surah je tak baca. Tak sempat.”

Allah....

Tidak dapat tidak, sebagai manusia biasa kadangkala kita lebih mengutamakan dunia yang tidak lebih berharga dari selembar sayap nyamuk ini... Kadangkala kita lebih takut kepada makhluk berbanding kepada pencipta makhluk itu sendiri sehingga begitu tegar melawan syariat demi menegakkan kebatilan.

Seorang kekasih pasti tidak akan sanggup untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak digemari oleh insan yang dicintainya. Begitu jugalah seorang manusia yang amat mencintai Allah, pasti akan melakukan suruhanNya dan sekaligus meninggalkan laranganNya. Maka tidak hairanlah Rasululullah dahulu sembahyang sehingga bengkak kakinya dan apabila Aisyah bertanya ;

“Ya Rasulullah! Mengapakah kamu begini sedangkan kamu sudah dijanjikan syurga?”

Dan Rasulullah menjawab “Salahkah andai aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur??”

Ya, seorang hamba yang bersyukur. Adakah seorang manusia yang tidak setulus hati mencintai Allah mampu menjadi seorang hamba yang bersyukur? Mungkinkah?? Kemungkinan besar seorang hamba yang tidak bersyukur akan merasa bangga dengan nikmat yang diperoleh seolah-olah segalanya diperoleh atas usahanya sendiri. Lupa terus pada Allah yang memberi rezeki. Ketika susah, barulah merangkak menagih cinta Allah....

Seorang manusia yang mencintai manusia lain tanpa mengutamakan Allah dan Rasulullah seringkali kecundang dalam pesona cinta ciptaan sendiri, tenggelam dalam lautan nafsu yang bergelora, dan kemungkinan akan gagal di penghujungnya lantaran mengundang murka Allah...

Ingatlah! Rasa cinta itu adalah pemberian Allah, sekelip mata sahaja Dia mampu untuk mengambil kembali rasa itu, hilang, luput terus dari hatimu. Kosong. Cintailah manusia seadanya, dan moga cinta itu semata-mata kerana Allah...

Ana sudah penat...Ana sudah tidak larat, tidak sanggup lagi melihat fenomena ‘obses terhadap manusia’ sehingga mampu meninggalkan syariat, bagai seorang yang hilang pedoman. Terhuyung-hayang umpama ayam yang baru sahaja disembelih. Menggeletik dan akhirnya rebah ke bumi.....

Ayuh! Marilah bersama mencari cinta Allah, andai cintaNya bisa kalian gapai, maka cinta orang yang mencintaiNya akan kalian peroleh.....

~mencari redhaMu Allah...~

wallahu'alam

Read More......

Friday, August 14, 2009

Lidah Itu Pedang...


Rasulullah s.a.w bersabda : "Setiap pagi anak Adam terbangun, seluruh anggotanya memperingatkan lidah. Anggota tersebut berkata : Takutlah kepada Allah demi kami, sesungguhnya kami banyak bergantung kepada kamu. Jika kamu lurus, kami pun lurus, jika engkau bengkok, bengkoklah kami" (Hadith Riwayat Al-Tirmidzi)

Ana mulakan kalam dengan sepotong hadith yang banyak memberi kesan di dalam hati ana. Ayuh kita renungkan bersama.Setiap hari adakah lidah kita ini lurus?

"Enti, apa maksud lurus tu? lidah ana takde bengkok-bengkok pun?"

Begini, luruskanlah lidah bermaksud menjaga perkataan. Berfikir sebelum bercakap. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut pulut habis! Er.. Beginilah, mari kita ingat kembali berapa banyak kalikah lidah ini pernah mengguris hati insan lain, berapa banyak kalikah lidah ini pernah berbohong malah mungkin memfitnah, menyebarkan khabar angin,mengumpat dan sebagainya....

Lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Bahkan mungkin hanya kerana lidah, tali persaudaraan boleh terputus. Hebatnya lidah yang menegakkan kebenaran dan memijak kebatilan, tapi berapa peratuskah lidah kita digunakan untuk kebaikan itu??

Cuba lihat pada diri kita, Allah kurniakan 2 telinga dan satu mulut sebagai tanda agar kita lebih banyak mendengar daripada berkata. Agar kita berfikir sebelum bercakap. Betul kan?

"Ah... b***h lah kau... s**l betul!"

Pening ana mendengar carutan-carutan itu. Bukankah lebih baik beristighfar, bertahmid kerana setiap aturanNya ada hikmah yang terselit. Bukankah Allah hadirkan pelangi setelah hadirnya hujan? Bukankah Allah masih memberi peluang kepada kita untuk mencicip nikmat dunia yang sementara ini?

Mengapa kita masih menodai nikmat lidah pinjamanNya?? Mengapa masih mahu menyakiti hati insan lain tanpa mengingati balasanNya?

-Wallahu'alam-


Read More......

Monday, August 10, 2009

Ana Sudah Berpunya?


“Nama saya Mastura binti Mohd Yusuf. Asal Johor Bahru. Umur 19 tahun” Ana memperkenalkan diri seringkas mungkin dalam sesi ta’aruf di kelas.

“Status?” Ana tatap satu-satu wajah teman yang galak bertanya mengenai status diri yang hina ini. Sudah berpunyakah? Ana tersenyum. Satu nafas yang panjang diambil.

“Ehem.” Suara dibetulkan.

“Saya sudah berpunya.”

Diam.

“Saya kepunyaan Allah, insyaAllah”

Ya, ana adalah kepunyaan Allah sepenuhnya, dan dikongsi sedikit dengan ibu bapa serta ahli keluarga yang lain. Oleh sebab itu ana merasa masih terlalu hina untuk menagih cinta manusia sedangkan cinta daripada pencipta tidak lagi diperoleh sepenuhnya.

Siapa ana untuk meminggirkan pemberi rasa cinta itu?

Siapa ana untuk menyerahkan diri kepada seseorang yang tidak berhak?

Siapa ana untuk mengundang rasa murka Allah?

Rasa cinta itu terlalu suci untuk dikotorkan dan rasa cinta itu hanya akan ana berikan kepada yang berhak, iaitu suami ana sendiri, insyaAllah. Buat masa sekarang, biarlah rasa cinta itu diberikan kepada Allah, Rasululullah,kedua ibu-bapa ana, serta ahli keluarga yang lain. Kepada yang selain itu, biarlah rasa yang paling maksimum di dalam hati ana adalah rasa sayang yang terlalu luas...

“Cinta ada 3 jenis cinta, cinta daripada syaitan, cinta daripada jin, dan cinta daripada Allah. Cinta daripada syaitan-kamu keluar berdua, pegang tangan dan akhirnya si perempuan mengandung dan kamu berkahwin dengannya. Cinta daripada jin pula- kamu menyukai perempuan itu, perempuan itu tidak menyukai kamu, kamu bomohkan dia dan akhirnya berkahwin. Tapi, cinta daripada Allah-kamu suka kepada seorang perempuan, beritahu ibu bapa, masuk meminang dan berkahwin”

Ana tertarik dengan dialog ini. Salah satu babak yang diselitkan dalam filem syurga cinta. Keadaan amat menekan di sini, berdua-duaan, bergelak-ketawa dalam keadaan yang meragukan antara lelaki dan perempuan sudah langsung tidak dititik-beratkan lagi. Bahkan tidak langsung berasa malu untuk makan bersuap antara lelaki dan perempuan meskipun belum berkahwin!

Allah... apakah yang tinggal untuk kenangan selepas kahwin nanti setelah apa yang perlu dikecapi setelah berkahwin sudah diperoleh sebelum berkahwin....

Sedih hati ana melihat budaya tidak sihat ini semakin menjadi-jadi. Bertambah sedih lagi apabila ana hanya mampu memandang hambar, menegur dengan hati dan itulah selemah-lemah iman....

Ana seolah-olah dapat melihat syaitan sedang berpesta-ria, mentertawakan kita, berguling-guling ketawa sehingga meleleh air mata. Kita sudah terperangkap. Ya, kita bakal menjadi teman syaitan di api neraka. Sanggupkah?

“Alah enti.. ana tak buat pun, nak takut apa?”

Benar! Rutin harian antum hanyalah keluar membuat urusan dan seterusnya balik ke bilik. Dalam perjalanan antum melihat budaya yang tidak sihat berlaku. Antum tundukkan pandangan, dalam hati berkata ‘biarlah, buat apa sibuk hal orang.’ Ya, antum amat rajin beribadat, solat fardhu selalu di awal waktu bahkan disulami dengan amalan-amalan sunat. Nampaknya, antum benar-benar yakin dengan diri sendiri. Mungkin antum lupa pada surah Al-A’raf ayat 164 ;

وَإِذَ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْماً اللّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَاباً شَدِيداً قَالُواْ مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

164. dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

Lihat, Allah tidak akan memberi azab kepada orang yang membuat kemungkaran semata-mata bahkan kepada seluruh kaum yang ada di situ. Bukankah kita ini seorang khalifah yang seharusnya mentadbir bumi dan berani untuk menegur?

Oh Allah... moga kau ampuni kami yang lemah...

Moga kita sama-sama terhindar daripada menjadi bahan bakar api neraka....

Nauzubillah...

Jika api di dunia ini pun kita sudah tidak tahan dengan panasnya, mengapa masih mahu bertangguh dengan api neraka??

Wallahu’alam....

Read More......

Friday, August 7, 2009

Buatmu Sahibahku...


“Mas, Ayuni rindu Mas!” Suara sahibah yang jauh di corong telefon menyentap tangkai jantung ana. Satu perasaan yang aneh meresap ke dalam hati. Rindu. Ya, ana terlalu rindu pada sekalian sahibah yang telah banyak membantu menjahit kembali sejadah iman ana yang kian terkoyak.

“Mas... Ayuni sorang-sorang kat sini, takde sape nak ingatkan, takde sape nak kejut bangun qiam.”

“Ayuni tak pernah keseorangan, Ayuni sentiasa ada Allah bersama.” Ana cuba bersuara dengan baik, biarpun hati ana bergelora. Ana perlu kuat. Sahibah nan satu ini memerlukan kekuatan, bukan kelemahan.

“Tapi, Ayuni rindu Mas...” Sebak hati ana mendengar suara itu.

“Ayuni ni janganlah menangis, Ayuni ingat, sentiasa bawa Allah bersama!” Ana cuba berlawak, cuba menghiburkan hati sahibah serta hati ana sendiri.

Dalam tidak sedar, ana jua menangis dalam diam.

Sahibahku..... untuk pengetahuanmu, ana jua keseorangan di sini, keseorangan dalam menongkah arus, keseorangan dalam menegakkan syariat, keseorangan dalam melangkah peraturan-peraturan mengikat yang membunuh syariat. Ana keseorangan sahibahku...... Tiada siapa lagi yang mahu mengingatkan ana untuk membaca doa keluar rumah, ingat tak dahulu kita selalu berdiri di hadapan pintu bersama, menadah tangan dan berdoa “Bismillahi tawakkal tu ‘Alallah la haula wala quwataila billah hil aliyul ‘azim”. Seterusnya menyarung kasut dan beriringan menuju ke kelas. Ingat tidak sahibahku? Masih ingatkah ketika peperiksaan menjelang, Ayong akan membuat sarapan dan Umi akan mengingatkan ‘dah baca doa keluar rumah?’ dan Zahra sentiasa menjadi penguat semangat manakala Laili sentiasa menghiburkan hati. Ingat tidak kita ibarat satu keluarga? Kenangan itu terlalu manis untuk dilupakan..

Sahibahku pembela Agama..

Ana jua mencari sesuatu. Ana mencari kekuatan, tetapi setiap kali kekuatan itu mahu digapai, ia hilang entah ke mana. Ana jatuh dan tersungkur, mencuba untuk bangun kembali tapi gagal. Ana toleh ke belakang, mencari sesiapa yang boleh menolong ana untuk bangun kembali tapi hambar. Ana gagal menemui sesiapa, hanya bayangan-bayangan kalian sahaja yang kelihatan tersenyum dari jauh, seolah-olah berkata “Mastura kuat! Mastura kena bangun... Enti jangan biar syaitan menang!” Terkadang tangan ini cuba jua menggapai bayangan-bayangan kalian, tetapi semakin ana mendekati semakin bayangan itu hilang.. Tapi, berbekalkan semangat itulah ana terus jua merangkak menongkah badai yang semakin deras,dan ana terus-terusan mengukir senyuman dalam kepahitan. Menggapai apa-apa sahaja yang mampu menongkat diri ini...

Sahibahku sayang,

Sungguh, Allah tidak akan membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya. Benar, seringkali ana hampir tertewas, ana seringkali dimomokkan dengan kata-kata “Tak boleh lah tak berkawan dengan lelaki, nak jadi cikgu kenalah pandai bersosial” Dan ana kembali menangis di dalam hati, merintih, minta difahami.... Tidak, ana tidak perlukan teman lelaki yang rapat, ana tidak perlu bersosial dengan lelaki kerana ana sudah memiliki sahibah-sahibah yang hebat seperti kalian. Apa guna berteman rapat dengan muslimin andai itu mampu merosakkan hati dan menjauhkan ana daripada Allah. Tetapi tidak pula ana menolak terus untuk berhubung dengan muslimin atas urusan-urusan penting.

Sahibahku harapan ummah,

Ana tidak tahu mengapa sebak benar hati ana ketika ini, ingin sungguh diri ini berlari ke arah kalian, memeluk dan mendengar kata-kata hikmah dari bibir kalian sekaligus menghantar satu rasa kekuatan di dalam diri. Ana jua insan biasa, seringkali melakukan kesilapan dan ana memerlukan seseorang untuk mengingatkan, jua menegur segala kesilapan ana. Setiap hari ana bangun dan kembali tidur pada malam harinya. Menghadap 4 dinding yang tidak bergerak di dalam bilik. Hari-hari yang dilalui seolah-olah kosong. Tidak bermakna. Ana cuba bergelak ketawa tapi ia benar-benar hambar. Ana mencari diri ana. Ke mana ia menghilang sahibahku?? Adakah separuh daripada diri ini masih bersamamu? Bagaimana ana mahu ia kembali? Atau mungkin lebih elok biar sahaja ia bersama kalian, membiarkan separuh lagi yang bersama ana meniti hari-hari sepi tanpa kalian di sisi....

Sahibahku bakal bidadari syurga, insyaAllah,

Kenangan-kenangan bersama kalian sentiasa sahaja bermain di birai mata ini, sekaligus membuatkan mata ana sarat dengan air, menunggu saat untuk ia tumpah ke bumi... Tapi ana tahan, bukankah kalian berpesan agar ana perlu kuat!

Mengapa rindu benar ana pada kalian.... Bilakah rasa ini akan surut? Sahibahku sayang, moga kalian terus berusaha dan cekal dalam menegakkan kalimah lailahailallahmuhammadurrasulullah di muka bumi ini. Moga kalian terus gagah berda di jalan dakwah ini. Doakan ana jua begitu. Moga kita dapat berjuang bersama meskipun kini kita sudah jauh terpisah. Berjuang itu memang pahit, kerana syurga itu manis!!! Ingatlah sahibahku, daulah Islam pasti akan gemilang, dan ketika tiba saat itu nanti, Allah tahu kita pernah membanting tenaga dan menyeka air mata bersama...

Sahibahku, kuatlah!!!

Ana rindu dan sayang kalian kerana Allah.....

~Berjuang menempah susah, menanggung derita menongkah fitnah......~

Read More......

Saturday, August 1, 2009

Ana Rindukan.........


Ana rindukan sesuatu. Terlalu rindu, sehingga terkadang mengalir air mata ana menahan sakit rindu itu. Ana tidak boleh mengelak daripada rasa itu, puas dipujuk hati agar redha namun rasa itu tetap bermukim, bagai tidak mahu keluar lagi dari hati kecil ana.

Ya, ana amat merindui ukhwah fillah. Berukhwah kerana Allah, hanya keranaNya dan bukan kerana lain.

Indah. Amat indah.

Andai berjuang pasti tidak keseorangan, andai terjatuh pasti ada yang membantu, andai seorang tersungkur, seribu membahu gagah, andai tersalah ada yang menegur, andai menangis ada yang memujuk, andai terlalu gembira ada yang mengingatkan.
Ya Allah... Aku amat merinduinya...

“Ukhti” Ana memanggil seorang sahibah di surau. Telus pandangannya seolah-olah menembusi diri ana. Ana menelan liur.

“Er, er.. ukhti... dah makan? Ada kelaskah lepas ni?” Ana tidak tahu bagaimana untuk memulakan dalam proses peneguran kerana Allah.

“Ada, pukul 2.45” Ana diam, sesekali tangan ini mengusik pipinya yang halus. Comel.

“Er, enti, tudung enti jarang.”

Dia memandang ana. “Lagi?”

“Er.. tak ada dah” Ana mencubit pipinya lembut. Sebenarnya cuba untuk membuang perasaan gelisah di dalam hati. Bimbang andai dia terasa. Ana berjalan meninggalkannya untuk mengambil Al-Quran.

“Terima kasih” Ana menerima satu pelukan bersama satu ungkapan keramat. Ana terpana. Senyuman diberi.

Subhanallah. Dalam keperitan arus dunia, Allah masih mahu menemukan ana dengan seseorang yang rela berukhwah fillah. Seseorang yang rela ditegur kerana Allah, seorang yang mampu untuk takmil wa istikmal (lengkap melengkapi). Agungnya Allah.... Maha Suci Allah...

Air mata ana menitis, mengenangkan sekeping hati yang mungkin telah ternoda oleh dosa, yang mungkin pernah terasa ketika ditegur, yang pernah merungut bila masalah menimpa, yang pernah bersangka buruk terhadap orang. Kerana itu, ana memerlukan seseorang untuk melengkapi ana, menegur andai tersalah, membetulkan andai terkeliru.

Sahibahku... Terima kasih.....

~Janganlah mencari teman yang sempurna, tetapi carilah teman yang bisa membuatmu rasa sempurna bila dekat dengannya~

Wallahu’alam

Read More......

Imarahkan Rumah Allah


Kosong. Tempat itu kosong. Payah untuk melihat makhluk bergerak-gerak yang bergelar insan. Bahkan mungkin objek yang tidak bernyawa lebih banyak daripada yang bernyawa.

Pedih. Hati ana merintih... Bagaikan terkenang satu peristiwa...

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Saat azan dilaungkan, mereka yang berkopiah berjalan dengan pantas, yang berkemeja baru pulang dari kelas terus berjalan tanpa menoleh, di satu sudut, kelihatan seorang muslim berserban berlari kerana takut bergelar makmum masbuk. Bahkan, yang berkerusi roda pun cuba bergerak selaju mungkin.Semuanya menuju ke satu destinasi. Masjid.

Saat kaki ini melangkah memasuki kawasan muslimah,mata membutang, terasa luruh segala keegoan, melihat beberapa saf telah terisi dengan mereka yang bertelekung, menanti imam mengangkat takbir, sambil mulut tidak berhenti berzikir.

“Allah.. ana lambatkah?”

Seringkali diri ini merasa ketinggalan, jauh terkebelakang daripada mereka yang solehah dan muslihah. Seringkali jua hati ini menangis, mengakui kebesaranNya dalam memberi hidayah kepada siapa yang berhak... Melihat senyuman-senyuman yang terukir pada wajah-wajah bakal bidadari syurga membuatkan ana merasa segala masalah hilang entah ke mana... Kuliah-kuliah dan pengisian di antara waktu solat pula menyedarkan ana yang leka, menguatkan ana yang lemah, semuanya dengan izin Allah.

Subhanallah...

Takut? Alhamdulillah, muslimah berasa selamat untuk berjalan dari asrama ke masjid, walaupun laluan bagi muslimah untuk ke masjid agak jauh,namun andai terserempak dengan muslimin sekalipun, mereka akan menundukkan pandangan, berjalan pantas meninggalkan muslimah di belakang, agar muslimah berasa selesa untuk berjalan, mana tahu kain terselak atau aksi menggoda atau apa sekalipun. Seperti kisah Nabi Musa yang menyuruh Puteri Nabi Syuaib berjalan di belakang lantaran ingin menjaga mata dan hati. Selamat. Sangat selamat.

Namun kini, Allah telah mengaturkan yang terbaik buat diri yang dhoif ini.

Duhai sahabat, ana terpanggil untuk menyeru, agar penuhkanlah rumah Allah. Di situ ada keberkatan. Di situ ada kedamaian. Carilah.....

Ana tidak tekankan kepada muslimah. Selayaknya, muslimah itu tempatnya di rumah. Tapi kepada para syabab harapan agama, mengapa? Mengapa masih leka dengan dunia? Apa yang dikejarkan?

Tidak ingatkah bahawa suatu ketika dahulu Rasulullah telah mengarahkan agar kayu api dikumpulkan. Para sahabat hairan lantas bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang engkau mahu lakukan dengan kayu api itu?” Dan apa rasulullah jawab?

“AKU MAHU MEMBAKAR RUMAH ORANG YANG MENDENGAR AZAN DILAUNGKAN TETAPI TIDAK KE MASJID!”

Tetapi perkara itu tidak terjadi lantaran adanya wanita dan kanak-kanak.

Allah..

Begitu sekali Rasulullah menekankan solat di masjid, dan kamu, ya kamu, mengapa masih sanggup menyakiti baginda? Tidak terfikirkah, di padang mahsyar nanti, saat tiada satu perlindungan pun melainkan Allah, kepada siapa kamu mahu meminta syafaat? Siapa? Kamu mampukah berhadapan dengan saat yang getir itu seorang diri tanpa syafaat daripada Rasulullah??

“Ummati... ummati” Itu yang Rasulullah sebutkan sebelum wafat. Sehingga ke akhir hayat baginda, baginda masih risau akan nasib kita umatnya, baginda sangat sayangkan kita. Terlalu sayang. Dan kita, ya kita, kita begitu tegar menyakiti baginda. Kita begitu berani melawan suruhan baginda. Kita sangka kita hebat, kita megah dengan segala kemewahan dunia, tapi kita lupa bahawa satu hari nanti kita akan hancur jua..

Ya Rasulullah... Adakah engkau sedang menangis melihat kami begini?

“Jika kamu ingin melihat masa hadapan, lihatlah para pemuda masa kini” Itu pesan ulama terkemuka.

Dan ana melihat pemuda kini. Serta-merta hati kecil ana merasa takut. Sangat takut. Di sana ana melihat mat rempit, penagih dadah, semuanya beragama Islam. Terdapat bin dan binti pada namanya. Mereka yang belajar agama semakin dipinggirkan. Begitu payah menjadi insan yang asing di tengah-tengah masyarakat yang semakin lupa bahawa mereka mempunyai tuan, iaitu Allah S.W.T.

Oh Allah.... Selamatkanlah kami!

Wahai sahabat sefikrah, wahai saudara seIslamku, ayuh! Hijrahkan dirimu. Utamakan pandangan Allah, bawalah hatimu pulang kepada fikrahnya yang bersih. Imarahkanlah rumah Allah. Di situ punca kekuatan, di situ sumber penyelesaian. Di situ ada segalanya yang kamu mahu, di situ akan ditemui ketenangan. Ikhlaskan hati, imarahkan ia.

Moga Allah merahmati....

Wallahu’alam =)

Read More......

Apakah Nasibmu Nanti?


“Aduh! Panasnya” Berkerut-kerut dahi ana menahan terik mentari yang mencucuk-cucuk segala urat saraf. Berjalan sekejap sahaja sudah mampu mengeluarkan peluh yang banyak. Ana berjalan pantas mencari tempat berlindung. Tidak tahan lagi. Sejenak, Ana terfikir...

Ini baru di dunia... Di akhirat nanti bagaimana? Tatkala dijanjikan matahari hanyalah sejengkal cuma dari kepala. Pada ketika itu, tiada perlindungan selain daripada Allah. Tiada bangunan, tiada pokok-pokok yang mampu memberi kita ruang untuk berteduh, yang ada hanyalah sekumpulan besar umat manusia dengan pelbagai gaya menanti perhitungan berlaku...

Ada yang ditenggelami peluhnya sendiri...

Ada yang tenang..

Ada yang merintih-rintih..

Dan kita pada ketika itu bagaimana keadaannya? Pernahkah kita terfikir?
Boleh jadi ketika di dunia, kitalah manusia yang hebat, yang digeruni ramai, yang menjadi tumpuan semua orang, tetapi ketika di akhirat, kita langsung tidak dihiraukan, bahkan mungkin dipinggirkan terus oleh Allah! Nauzubillah...

Boleh jadi juga ketika di dunia kita langsung tidak dikenali, tidak langsung menjadi tumpuan apatah lagi menjadi manusia hebat pada pandangan orang lain. Tetapi ketika di sana, kita mampu tersenyum, berjabat tangan dengan Rasulullah, bahkan dapat juga melihat wajah Allah s.w.t.... Subhanallah!

“Muda hanya sekali, jadi kita enjoy!!”

Benar, jiwa muda kalian akan memberontak ingin mencuba sesuatu yang baharu. Dunia yang sementara dipandang dengan berselera, maksiat-maksiat yang dihias cantik oleh para syaitan laknatullah menjadi santapan pagi dan petang...

Ya memang benar, muda hanyalah sekali tetapi kita harus ingat bahawa mati juga hanyalah sekali. Tidak dapat diulang. Bahkan mungkin ketika muda itulah ajal menjemput, siapa sangka?

“Ala... Dah tua nanti aku taubatlah.....”

Pastikah? Pastikah nanti kita akan meniti usia tua? Dan pastikah bahawa ketika tua itu kita sudah benar-benar tidak bernafsu dengan kemaksiatan? Ingatlah, nafsu tidak akan pernah puas. Sifat nafsu itu sentiasa lapar, semakin diberi semakin lapar... Lihat sahaja mereka yang ketagih minum arak, sudah menjadi rutin dan tidak boleh berhenti. Itu semua nafsu.. Kita punya akal, maka gunakan ia untuk menentang nafsu yang jahat!

Ingatlah sahabatku sekalian, kita ini hanyalah hamba..... hamba Allah Yang Esa. Islam itu teramat indah. Sangat indah. Tetapi sayang, semakin hari semakin dicemari oleh kita sendiri sehingga ia kelihatan buruk, busuk, hina......

Mari kita tinggalkan memori luka itu, tinggalkan kenangan silam yang hitam. Mari mulakan hidup baru, Marilah hidup bersama Ilahi....

~ Carilah hatimu ketika kamu bersendirian dengan Allah, jika tidak jumpa, maka carilah ia ketika kamu mengenangkan dosa, jika tidak jumpa juga maka carilah ia ketika kamu berfikir perihal mati, jika masih tidak jumpa, maka pintalah kepada Allah agar memberikanmu hati yang baru.... ~

Jika kamu tidak mampu menangis kerana takutkan Allah, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu... Jangan biar hati mati!

Wallahu’alam :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .