Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, August 26, 2009

Berhikmah vs Berkeras


"Tak nak puasa!" Seorang kanak-kanak dalam lingkungan 4-5 tahun menjerit di hadapan ana tatkala kami sedang beratur di kaunter bayaran.

"Hish.. mesti kena puasa." Ibunya membantah.

Ana tersenyum kecil melihat gelagat kanak-kanak comel itu. Sekejap-sekejap duduk di lantai, sekejap-sekejap mundar-mandir. Lumrah kanak-kanak....

Sejenak, ana kembali teringat peristiwa dahulu. Ana mula belajar untuk berpuasa seawal usia 5 tahun. Di ajar untuk tidak makan sehinnga Zohor sehinggalah menahan diri sehingga terbenamnya matahari.

Jangan Mendesak

Ana bukannya anti ajaran puasa kepada kanak-kanak. Ajaran itu bagus. Cuma, janganlah sehingga kanak-kanak itu merintih-rintih, sudah lemah tidak bermaya, merayu agar meminta sesuap nasi, dan si ibu tegar berkata "Tidak!" Lebih tegar melihat anak meninggal dunia daripada menjamah sesuap nasi pada bulan Ramadhan. Ini salah. Islam itu tidak pernah memberatkan umatnya. Hatta, ketika sedang bermusafir dibenarkan untuk berbuka dan ketika darurat dibenarkan memakan haiwan yang haram untuk memelihara nyawa.

Didiklah secara berperingkat. Mana-mana manusia pun pasti akan terkejut andai sesuatu itu dilakukan secara drastik. Kita lihat pada cara didikan anak untuk menunaikan solat.

Sabda Rasulullah :"Perintahkanlah anak-anak itu untuk bersembahyang setelah mencapai usia tujuh tahun dan apabila telah berusia sepuluh tahun, maka pukullah dia jika meninggalkan sembahyang" -Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Suruh anak sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah ia jika tidak mahu bersolat ketika usia 10 tahun.Proses ajaran dan suruhan berlangsung selama 3 tahun, bukannya 3 bulan, 3 minggu, 3 hari. Ia berlaku secara perlahan-lahan, beransur-ansur, tidak drastik dan boleh diterima dengan baik oleh si anak kecil.

Praktikkan ia ke dalam ibadah puasa, didik anak berpuasa secara berperingkat-peringkat dan berhikmah. Jangan terus menyuruh dia menahan diri dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Anak itu akan memberontak dan timbul pula perasaan benci pada ibadah itu.

Membantu Bukan Membantut


"Mastura betul ke tak nak makan ni? Sedap tau... Tengoklah karipap ni, sedapnya.." Guru tadika ana tidak henti-henti 'menggoda' ana yang duduk jauh dari teman-teman yang sedang enak bersarapan pagi ketika bulan Ramadhan.

Ana bersekolah di tadika Islam. Setiap hari ana diajar apa itu Islam dan cara-cara mengamalkannya. Justeru, pada ketika itu, menggunakan akal kanak-kanak berusia 5 tahun, ana jadi bingung. Bolehkah? Bolehkah makan? Tangan diusap-usap pada perut yang semakin rancak berbunyi. Ana toleh sekilas.

"Marilah..ada air sirap ni.." Guru tadika ana masih tidak berputus asa. Ana menelan liur. Pesan umi masih terngiang-ngiang di telinga. Hari ni kena puasa, tak boleh makan kat sekolah. Ya, masih jelas di ingatan pada pagi itu ana bangun sahur. Tapi....

"Marilah cepat Mastura..." Mata ana terkedip-kedip memandang teman-teman yang sedang asyik menikmati makanan. Ana tersengih, pesan umi sudah lenyap dari pendengaran. Lantas, ana bangun dan makan bersama-sama mereka. Selesai makan, ana rasa sungguh bersalah dan mata ana digenangi air tatkala memberitahu,

"Mak, wawa makan tadi kat sekolah."

Hasrat untuk berpuasa hari itu hancur. Mujur umi tidak marah,namun ana tidak tahu sama ada umi kecewa atau pun tidak.

Sedih ana mengenangkan peristiwa itu. Seorang guru, apatah lagi mengajar di sebuah tadika Islam, seharusnya membantu bukan membantutkan usaha pelajar untuk berpuasa. Sokonglah, dan galakkan para pelajar agar lebih ramai dapat berpuasa di usia muda.

Begitu juga dengan ibu bapa, teruskan menyokong. Beri kata-kata semangat dan boleh juga melakukan konsep 'punish and reward'. Ana dididik begitu. Andai 'terbuka' pada hari itu, harus makan di lantai, tidak boleh makan bersama-sama orang berpuasa. Andai dapat berpuasa akan diberi pujian dan usapan lembut di kepala. Cukup, itu sudah cukup.

Halusi Jiwa Dengan Ajaran Islam

Saidina Ali berpesan supaya mendidik anak mengikut tahap kecerdikannya. Pesannya: pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya pada tujuh tahun selepas itu.

Bermakna, ketika anak berusia 1-7 tahun, harus dilimpahi dengan kasih sayang, 8-14 tahun harus bertegas dan 14-21 harus dijadikan seperti kawan.

Jika kanak-kanak berusia 5 tahun disuruh berpuasa, maka limpahkan kasih sayang, jangan terlalu bertegas agar nanti die berasa senang dan tidak terpaksa untuk berpuasa. Kanak-kanak yang diterapkan dengan nilai-nilai Islam semenjak kecil pasti berasa senang tika beribadah.

Ana teringat pada satu kisah benar. Ketika bulan Ramadhan, seorang kanak-kanak dalam lingkungan 4-5 tahun curi-curi minum di dapur ketika ibunya tiada. Namun malangnya, perbuatannya dilihat oleh pembantu rumah dan diberitahu pula kepada ibunya. Ibu tadi tersenyum, tidak terus memarahi kanak-kanak kecil itu. Selepas berbuka, ibu tadi bersuara dengan lembut ;

"Muhammad (bukan nama sebenar), Allah nampak tak apa yang kita buat?"

Kanak-kanak tadi terus menangis.

"Umi... Muhammad minum tadi, Muhammad tak puasa." Si ibu terus mendakap si anak ke dalam pelukan..

Indah.... Hidup ini sangat indah jika Islam itu diamalkan... Sesungguhnya, berhikmah itu lebih baik daripada berkasar...

Selamat beramal!

Wallahu'alam..

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .