Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, June 29, 2011

Selamat Hari Lahir Fatimah



Sahabat yang berukhwah kerana Allah adalah lebih bernilai daripada timbunan permata, atau emas, atau apa sahaja perkara termahal yang berada di benak kita.

Kenapa?

Kerana sahabat yang ikhlas ukhwahnya hanya kerana Allah tidak mengharap balasan ketika memberi, dialah penutup keaiban kita, dialah pendamping terapat tika kita dilanda kesedihan, dialah penyokong terhebat saat kita jatuh tersungkur, dialah yang menghulur tangan waktu kita terkulai lemah.

Mencari sahabat sehebat itu... Umpama cuba bermimpi di siang hari, atau cuba memanjat pokok durian ^^. Boleh tetapi susah.

KurnianNya

Alhamdulillah, Allah menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang subhanallah hebatnya! Terkadang terasa benar diri ini kerdil saat berganding bersama mereka.

Masih ingat cerita tentang seorang adik di rumah saya?

Hari ulangtahun kelahirannya adalah pada 25 Jun yang lepas. Saya hanya menyedari tarikh itu ketika malam 23 Jun. Subhanallah! Betapa lemahnya saya, hingga terlupa pada satu tarikh itu, yang mungkin biasa bagi orang lain tapi amat bermakna bagi kami yang sayang pada adik ini kerana Allah.

Yelah, orang bila dah sayang, jangan kata tarikh lahir dia, mungkin juga tarikh lahir ahli keluarganya diingat sekali, ye tak? :)

Maka, dengan penuh kecelaruan, saya menghantar satu mesej pada seorang teman yang kebetulannya berniaga coklat buatan sendiri.

Alhamdulillah dia masih mahu menerima tempahan dan alhamdulillah juga keesokan harinya coklat yang ditempah telah pun siap.

Subhanallah, hebatnya Allah yang memudahkan segalanya.

Tepat Jam 12 malam

"Na, pergilah borak-borak dengan dia." Saya meminta teman sebilik melayan adik yang seorang itu agar dia leka dan tidak perasan kami yang sedang membuat persiapan.

Tepat jam 12 malam, pada 24/6/2011 kami menyerbu masuk ke biliknya dengan membawa hadiah, coklat dan berserta lagu aeman.



Ada genangan air mata di kelopak mata adik tersebut.

"Eh birthday kita bukan harinilahh.." Sempat lagi dia berbicara ingin mengenakan kami pula. Tapi maaf ya, taktik anda tidak menjadi :)

Terima kasih buat semua yang telah terlibat dalam menjayakan misi ini.

Oh, tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada Laili yang telah pun menyelamatkan keadaan dengan membeli sedikit makanan buat jamuan malam itu. Ikut perancangan asalnya, kami hanya mahu makan coklat.

Allah..sibuk benar hingga tidak sempat merancang dengan teliti, tapi benarlah jika semuanya diniatkan kerana Allah pasti Allah akan mudahkan jalan, bahkan membuka jalan keluar dari arah yang tidak disangka-sangka.

Dan sahabat.. Ayuh kita beriman serta menyerahkan sepenuhnya kehidupan kita ini kepada Allah, ingin benar saya berkumpul kembali dengan kalian di syurgaNya yang kekal abadi....

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertakwa." (Surah az-Zukhruf : 67)


wallahu'alam

Read More......

Wednesday, June 22, 2011

Putus


"Akak" Adik yang tinggal serumah dengan saya masuk ke bilik dengan berwajah serius.

Saya mengangkat kening. "Kenapa?" Pelik sungguh saya, jarang-jarang melihat dia berwajah serius.

"Macam mana nak cakap dengan orang yang dah putus?" Dia menyambung kata.

Saya menghela nafas. Menyingkap soal hati dan perasaan sememangnya tidak semudah ABC atau Alif Ba Ta yang kita pelajari dulu.

Nasihat

"Dia menangis ke?"

"Tak. Tapi dia sedihlah."

Saya diam, berfikir sejenak. "Duduklah dengan dia, borak-borak macam biasa."

"Borak-borak je? lagi?" Dia semakin berminat.

"Buat perkara yang dia biasa lakukan dengan pasangan dia"

"Ha? Eeeee." Wajah adik itu berubah, seperti kegelian. "Macam mana tu?"

"Contoh macam dia selalu mesej dengan pasangan dia, mesejla selalu dengan dia sekarang ni supaya dia tak sunyi."

Sungguh, hakikatnya merawat hati yang luka bukan semudah kita meletak iodin di permukaan kulit yang berdarah. Tidak juga semudah membalut bandage di kaki yang terseliuh.

Orang kata luka di tangan nampak, luka di hati siapa yang tahu...

Berbicara mengenai hati dan perasaan adalah sesuatu yang amat sukar. Apabila hati dah berkenan, segalanya menjadi indah. Kamu katalah buruk banyak mana pun, yang indah juga terlihat dek pandangan mata.

Maka, jika ada sahabat yang berdarah hatinya atau terlalu leka dengan dunia, hampiri dia, jangan biar dia kesunyian.

Ada orang kata, hakikatnya seseorang itu apabila telah terputus kasih, akan bersedih dan merindui, bukan rindukan pasangannya, tetapi rindukan rutin yang biasa dilakukannya.

Sebagai saudara seIslam, sahabat, teman yang berukhwah kerana Allah, bantulah sahabat anda untuk bangkit, bantulah dia mencari cahaya yang sebenar. Jangan biar dia terus terkapai-kapai mencari arah dan tutuplah keaiban sahabat anda, jika Allah tidak membuka aibnya pada khalayak, apa pula hak kita untuk membuka, atau mengkorek-korek keaibannya sehingga terselah semuanya?

Doakan dia. Itu yang terbaik.

Jadilah ibarat batu-bata yang saling menguatkan antara satu dengan yang lain :)

Pengajaran


Berbuih-buih mulut saya berceloteh.

Adik itu tersenyum sedikit. Saya mengangkat kening tanda 'kenapa'.

"Kak Mas, dia putus selipar." Katanya diiringi gelak ketawa.

Allah... Suka benar dia dapat mengenakan saya. Dialah tempat saya berlawan mulut, berceloteh itu ini. Dialah racun dialah penawar. :)

Jadi pengajarannya, jika dengar soalan, tanya betul-betul sehingga jelas ya :)

Dan ingatlah;

“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzhalimi atau mencelakakannya. Barangsiapa membantu keinginan sudaranya sesama Muslim dengan menghilangkan satu kesusahan darinya, nescaya Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa menutupi aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (HR Bukhari)


Wallahu'alam


Read More......

Monday, June 20, 2011

Ada Manusia....



Ada manusia...
Yang bangga dengan dunia,
Dikejari, diburu, disayangi..
Hingga dia terlupa,

Pada satu negeri yang kekal abadi,
Pada Allah yang selalu memerhati,
Pada syurga yang berseri-seri,
Juga pada neraka yang marak berapi......

Ada manusia...
Yang bangga dengan dosa,
Hingga dia melupakan pahala,
Tiada langsung gentar di hati,
Seolah-olah imannya telah berlalu pergi....

Ada manusia...
Memberi seribu alasan untuk berubah,
Berjalan lagi dengan penuh megah,
Seolah dia terlupa maut tidak pernah mengenal usia...
Siapa kamu,
Apa usiamu,
Apa darjatmu,
Berapa kekayaanmu,
Semua itu kan hilang jua,
Saat Izrael datang menjemput....

Ada manusia...
Seolah-olah tidak percaya pada Yang Esa,
Dibuatnya sesedap rasa,
Tanpa memikirkan dosa pahala,
Azab kubur?
Ah, persetankan itu semua...

Duhai saudara seakidahku..
Mari kita muhasabah diri,
Oksigen yang disedut semuanya milik siapa?
Tangan itu,
Kaki itu,
Mata itu,
Semuanya dari pinjaman siapa?

Saudaraku...
Akuilah hakikat yang tersurat,
Kita ini hanyalah seorang hamba,
Maka layakkah seorang hamba melawan perintah Tuannya?
Layakkah seorang hamba mengingkari kata-kata Tuannya yang memberi pinjam segala nikmat secara percuma?

Renungkanlah saudaraku,
Layakkah?

Sedang yang disuruh itu semuanya demi kebaikan kita,
Bukannya untuk menyusahkan,
Hanya minda yang telah dicorak dengan karat jahiliyah,
Yang memandang suruhan Allah itu rumit,

Sedang hakikatnya,
setiap bait kataNya,
Adalah untuk kebaikan diri kita jua...

Mari selami segalanya,
Jangan menafsir mengikut nafsu yang menggoda,
Ayuh teman,
Ayuh beriringan ke syurga!

salam sayang.

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, June 16, 2011

Hak Badan




"Tak sedap badanlah." Saya berbicara sendiri, merasa sendi-sendi yang kian sakit dan kepala yang seakan berputar semenjak 3 hari yang lalu.

Badan semakin panas.

"Allah..." Suatu ketika, selepas solat bersama sahibah, saya merasa terlalu letih. Tidak bermaya, sehingga hendak pegang quran pun tak mampu. Sekeliling seakan berputar laju.

Lantas, kepala saya rebahkan di riba sahibah.

"Bacakan yasin." Saya bersuara.

Sahibah menuruti. Setiap bait kata yang keluar dari mulutnya selepas itu menggamit sebak di dada.

Allah.. terasa seperti masa untuk bertemuNya semakin hampir, cuba bayangkan dengan kepala yang masih berpinar, terdengar pula sayup-sayup bacaan yasin.

Ah, andai malam itu saya pergi menghadap Ilahi, saya pasti pemergian itu begitu indah, di ribaan sahibah yang saya cinta!

Takdir Ilahi

Namun takdirNya adalah yang terbaik. Sehingga saat ini saya masih lagi bernafas, untuk menaip sepatah dua kata buat peringatan diri dan sahabat semua.

Meski belum sepenuhnya sihat, tapi marilah kita sama-sama bersyukur atas nikmatNya. Sakit atau sihat, gembira atau sedih, semuanya mengandungi hikmah... Jika kita benar-benar memahami.

Rasulullah s.a.w ada bersabda : Amat menakjubkan kehidupan orang-orang mukmin, seluruh urusannya membawa kebaikan. sekiranya dia mendapat kegembiraan, dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan. Sekiranya dia ditimpa kesusahan dari ujian dan bencana, dia bersabar maka dia mendapat kebaikan. Keadaan ini tidak ada di dalam kehidupan manusia lain kecuali orang-orang mukmin sahaja.


Hak Pada Badan

Bila sakit, saya merasa sedikit kesal.

Ibadah semakin berkurangan.

Orang sekeliling pula disusahkan oleh saya. Saya cuba berlagak biasa, tapi terkadang saya tewas dengan kesakitan yang datang. Allah, moga Allah ampunkan dosa-dosa saya yang mengundang risau di hati mereka yang saya cintai...

Sahabat, suka benar saya berkongsi kata-kata Saidina Ali ;

Sesungguhnya hati itu boleh bosan dan letih seperti badan. Oleh itu, carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati. Istirehatkanlah hatimu sekadarnya, sebab hati itu apabila telah bosan, boleh pula menjadi buta.


Abu Darda' pula ada berkata;

Sungguh hatiku akan ku isi dengan sesuatu yang ringan supaya lebih membantu menegakkan yang hak.


Jadi, apakah berhibur itu salah? pastinya tidak, asal sahaja kita tidak melebihi batasnya.

Janganlah sibuk benar berdakwah ke sana-sini hingga abaikan hak pada badan dan hati kerana akhirnya kita sendiri yang akan lemah.

Janganlah kita lupa bahawa badan kita sendiri ada haknya. Kalaulah kita sedar bahawa badan kita ini adalah amanah daripada Allah, pasti kita takkan melukainya.

Jangan lupa bersenam, mahu pergi berenang atau apa sahaja, asalkan menjaga syariat. Hiburkanlah hati, hiburkanlah badan, umpama meletak garam dalam masakan. Sedikit sahaja, jangan berlebihan....

Teruskan menjaga hak pada badan, kerana jika sekali badan sakit, maka ibadah juga akan terganggu, emosi menjadi tidak stabil maka mahukah kita tersungkur di medan ini? Jika sakit itu datang sendiri, tidak mengapa tapi jika kita yang mencari penyakit, maka tidak amanahlah kita pada badan yang Allah beri pinjam.

Sahabat, jika tubuh sakit... Bersyukurlah kerana Allah mahu hapuskan dosa-dosa kita, dan Allah juga mahu ingatkan;Badan kamu perlukan rehat!Benar. benar jika kamu katakan tanggungjawab itu sentiasa melebihi waktu yang ada, tapi jangan jadikan itu alasan untuk kamu tidak mengurus masa dengan teratur.

Ingat, jangan sampai hati bosan, jangan biar badan lesu. Semuanya amat berguna untuk Islam.

Allah, menulis semua ini hakikatnya memberi peringatan yang besar buat diri saya sendiri. Hajat doa dari semua..... Ampun maaf saya pinta jika ada apa-apa dari saya yang mengguris hati. Maafkan saya ya :)

Terima Kasih

"Mas, mas.." Pagi ini,sayup-sayup saya mendengar suara itu, mata saya buka perlahan-lahan dan kornea mata saya cepat pula menangkap seraut wajah sahibah saya - Kak Aina.

"Em?" Dalam mamai saya bersuara.

"Akak nak ambil pendrive." Katanya sambil tangan merasa dahi dan wajah saya. "Mas, panasnya badan. Hari ni pergi kelas tak?"

"Pergi.." Perlahan saya membalas.

"Puasa?"

"InsyaAllah puasa."

"Ya Allah budak ni........" Dan bebelan kasih sayang itu berterusan. Saya senyum dalam hati, bercampur sebak di dada.

Maafkan diri ini teman, yang banyak menyusahkan, dan terima kasih atas segalanya.... Kalian adalah anugerah yang tidak ternilai..

Wallahu'alam



Read More......

Sunday, June 12, 2011

Duhai Pemuda!


"Segar." Saat kaki melangkah merentasi kabus pagi bersama sahabat-sahabat yang ada tadi, kepala terasa segar.

Pagi-pagi begini, menghirup udara segarNya, entah kenapa hati saya jadi teringat pada sahabat-sahabat di luar sana.

Yang Islamnya masih kabur.
Yang hiburannya masih lagi berlebihan.
Yang zina menjadi budaya.

Gusar.

Masa Depan

Kisah XPDC malam tahun baru yang lalu menggamit ruangan mata. Entah apalah khabarnya mereka. Sihatkah imannya, sesihat tubuh kita semua yang elok berjalan ke sana ke mari?

Atau sakitkah iman mereka, mencari penawar yang tak kunjung tiba?

Membuka helaian akhbar pula seolah-olah mengambil belati tajam dan ditoreh hati ini halus-halus. Ah remaja... Mengapa kian alpa?

Jika kamu mahu melihat masa hadapan, lihatlah pemuda yang ada pada masa kini


Pesan Saidina Umar Al-Khatab menggamit gusar di hati. Jika mahu melihat pemuda zaman ini, pastinya hati menjadi gundah, jiwa menjadi tidak tenteram.

Apakah mungkin masa hadapan yang bakal ditempah semakin kelam, atau ada bahagia yang menggamit?

Saya tidak pasti.

Apa yang saya pasti, semakin ramai pemuda yang hilang rasa megah terhadap Islam, yang hanya tahu marah ketika Islam dikutuk tapi diri sendiri tidak mengamalkan Islam yang sebenar.

Di mana hilangnya pemuda seperti Saidina Ali dan juga Zubair, atau Abbdurrahman bin Auf, atau Sultan Muhammad Al-Fateh.

Mengapa pemuda yang mengerti Islam, semakin takut menyuarakan pandangan, hingga akhirnya kebatilan berdiri megah, menumpaskan kebenaran yang jatuh menyerah.

Buatmu Pemuda...

Imam As-Syahid Hasan Al-Banna ada berpesan ;
Ketika ada setiap kebangkitan ummat, pastilah pemuda menjadi tiangnya, di setiap sebalik pemikiran manusia, pastilah pemuda menjadi pengibarnya.


Begitu juga dengan ulamak terkenal, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, beliau menegaskan :

Pemuda itu ibarat matahari ketika jam 12 tengah hari. Panasnya begitu terik, cahayanya begitu terang.


Wahai pemuda.... Sedarkah perananmu kepada dunia? Tenaga yang kamu ada, mampu menggegarkan dunia. Tapi biarlah dengan gegaran iman yang mampu menegakkan kembali kalimah Lailahailallah di muka bumi ini.

Bukannya gegaran yang mampu mematahkan iman, atau mengundang bahagia para syaitan laknatullah!

Ingatlah duhai pemuda pada kisah Ashabul Kahfi yang lari menyelamatkan iman, lantas Allah tidurkan mereka dalam gua selama 309 tahun.

Ingatlah pada Nabi ibrahim yang menggegarkan kerajaan Namrud, yang memecahkan berhala-berhala yang ada pada ketika itu, yang berfikir mengenai Tuhannya yang sebenar ketika usianya masih lagi kecil.

Ingatlah pada pemuda Ashabul Ukhdud yang meletakkan Allah di tempat yang utama, yang tidak kisah biar nyawanya menjadi gadaian, asal sahaja Islam tersebar luas.

Kisah Pemuda Islam

Sahabat mahu tahu bagaimana Islam menjadi gemilang suatu ketika dahulu?

Kerana wujudnya pemuda-pemuda hebat yang meletakkan Allah di tempat utama.

Menyelusuri sirah... Moga ada yang mengambil iktibar.

Zubair

Zubair, ketika usianya memasuki 15 tahun, kalau sekarang, pelajar-pelajar di tingkatan 3 itulah yang sebaya dengannya. Beliau telah menjadi seorang pendakwah yang diutus oleh Rasulullah ke merata tempat. Beliau juga sering diajak berdiskusi bersama Rasulullah. Di sini terselit hikmah di mana Rasulullah tidak membezakan yang tua atau yang muda, bukan usia menjadi ukuran, tapi idea dan sejauh mana seseorang itu mampu memberi sumbangan untuk Islam adalah lebih utama.

Tolhah bin Ubaidillah

Ketika usianya 16 tahun, beliau sudah bergelar mujahid, pendakwah dan penyokong dana dalam kegiatan Rasulullah. Tolhah adalah seorang pemuda yang amat kaya raya. Jika sekarang, pemuda-pemuda zaman ini ada wang yang banyak pastinya mahu beli itu ini, atau mahu merasa hidup mewah..

Tapi tidak bagi Tolhah bin Ubaidillah. Hartanya digunakan untuk Islam, di fikirannya hanya memikirkan urusan dakwah.

Saad bin Abi Waqas

Ketika usianya 16 tahun,beliau telah menyertai peperangan Uhud dan syahid.

Sultan Muhammad Al-Fateh

Ketika usianya 23 tahun, beliau telah berjaya menawan Kota Konstantinopal yang cuba ditawan oleh beberapa orang khulafa' namun menemui kegagalan. Beliau tidak pernah meninggalkan Qiamullail setelah usianya menginjak puluh-an, Beliau adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

Ibnu Abbas

Beliau adalah anak saudara salah satu isteri Nabi iaitu Maimunah. Pada suatu hari, Ibnu Abbas teringin benar melihat peribadi Rasulullah. Maka, beliau tidak tidur malam menanti Rasulullah bangun di sepertiga malamNya, beliau tunggu sahaja di hadapan pintu sehingga akhirnya Rasulullah keluar dan Rasulullah amat terkejut melihat Ibnu Abbas sudah siap sediakan gayung untuk baginda berwudhu'.

Setiap gerak geri baginda diperhatikan Ibnu Abbas, dan semenjak itulah Rasulullah sering menyebut-nyebut nama Ibnu Abbas. Apabila baginda wafat, Ibnu Abbas berasa amat sedih sehingga beliau nangis berhari-hari lamanya, namun akhirnya beliau dapat menerima hakikat bahawa waktu Rasulullah sudah pun tiba.

Dengan penuh kecekalan, beliau terus menuntut ilmu daripda sahabat-sahabat Rasulullah, dan ada satu ketika, beliau mengetuk pintu salah seorang rumah sahabat, tetapi pintu tidak dibuka dan Ibnu Abbas lantas tidur di luar rumah sahabat tersebut. Keesokan paginya, sahabat terkejut melihat Ibnu Abbas dan berkata "Wahai ibnu Abbas, kenapa kamu tidur di luar? kamu kan anak saudara Rasulullah, kamu ketuk, gegarkan sahaja pintu ini pasti aku membukanya."

Di sini terlihat cantiknya peribadi Ibnu Abbas, jika tiada jawapan dari dalam rumah, dibiarkan sahaja, tidak diganggu, mungkin tuan rumah ada urusan lain.

Suatu hari, ada sahabat Rasulullah bertanya kepada Ibnu Abbas "Apa gerangan yang membuat kau begitu pandai, banyak hafal hadith dan dihormati oleh para sahabat?" Dan sahabat yang dikasihi semua, mari kita hayati apa yang dibalas oleh Ibnu Abbas ;

Saya punya lidah yang suka bertanya, dan punya akal yang suka berfikir.


Subhanallah sahabat!

Mari menjadi pemuda yang bertaqwa, dan gegarkan dunia dengan kalimah Allah!

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. (Al-'Araf : 26)


Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, June 8, 2011

Ayuh Proses Hati



Malam itu damai. Angin bertiup seperti biasa.

Saya bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.

"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Saya bersuara. Satu persatu wajah sahibah saya pandang.

"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."

Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.

"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat saya berhenti sebentar di situ.

"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"

Wajah semua sahibah saya tatap. "Agak-agak Saidina Umar nak apa?"

Semua diam, menanti bicara selanjutnya.

"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"

Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.

Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!

Proses Hati

Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.

Ibarat sebuah cermin.

Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit ke, letak T3 ke, :)

Tapi... Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.

Apabila hati kotor... dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.

Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.

Masyarakat yang kucar-kacir.
Pemimpin yang pecah amanah.
Pelajar yang memberontak sini-sana.
Kes bunuh diri.
Dan bermacam lagi...

Semua itu berpunca daripada satu perkara :HATI.

Kerana itu munculnya satu hadith ;

Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI.


Umpama raja dalam diri... Kawallah raja itu, agar setiap masa bersama Ilahi, moga nanti badan bergerak seperti seorang manusiawi.

Bersihkan Hati

Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.

Tsabit bin Qurah berkata : Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap.

Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali...

Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri,
Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!

Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.

Moga Allah meredhai.

Wallahu'alam :)

Read More......

Saturday, June 4, 2011

Musibah



"ASSALAMUALAIKUM! ASSALAMUALAIKUM!" Ketukan di pintu bertalu-talu. Jam pada ketika itu sudah pun menunjukkan jam 12 tengah malam.

Saya yang sedang berbaring mahu terlena ketika itu mamai-mamai bangun kembali. Terdengar suara lelaki ada bersama, segera saya dan sahibah bangun dan mencapai tudung.

"Cek cek." Seorang ahli RELA dan seorang kakak masuk ke dalam rumah saya. Saya dan sahibah terkejut.

"Kenapa kak?" Saya bertanya.

"Ada lelaki ceroboh masuk asrama." Dalam cemas,kakak tersebut menjawab.

Ya Allah! Gementar terus hati kami.

"Kunci semua pintu." Pesannya yang terakhir sebelum keluar.

Sekejap sahaja, pengumuman bertalu-talu mengarahkan siswi berdiri di luar bilik.

Allah.... Melihat dari jendela bilik sahibah, ramai yang sudah berkumpul. Tiba-tiba ada yang berlari ke sana-sini seolah-olah mengejar seseorang.

"Tu, tu dia!" Muslimin yang menjaga di luar dan menaiki motor menunjuk ke saru arah, ramai yang mengejar tetapi suspek masih juga belum dapat ditangkap, entah di mana silapnya.

Berkumpul

"Turun! semua turun ke ruang legar!" Satu lagi pengumuman kedengaran. Saya dan sahibah bergegas ke lif. Lif menjadi sesak, ruang legar menjadi tumpuan.

Beberapa taklimat ringkas diberikan.

Kami masih dalam kebingungan, waktu telah pun menganjak ke jam 1.00 pagi.

Ah, apa motif si lelaki tersebut, mahu bersuka-suka atau apa, kami tidak pasti, hanya satu yang pasti, lelaki-lelaki itu telah mencuri waktu emas kami.

Waktu yang tiada galang gantinya.

Rumah Menjadi Tumpuan

Mereka kata, kelihatan kelibat lelaki-lelaki tersebut di kawasan rumah saya, jadi rumah saya acapkali diketuk pintunya untuk dipastikan keselamatan kami.

Pukul 3 pagi barulah kami belum tidur, itu pun tidak berapa lena.

Allah.. tapi di sebalik musibah pasti ada yang Allah mahu tunjukkan.

Hikmah

Menelusuri hikmahnya, pada saat inilah dapat kami rasa, betapa pentingnya kehidupan berjiran, betapa pesanan Rasulullah -

Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku mengira bahawa beliau iaitu jiran tersebut yang akan mewarisinya (pusaka).


ada hikmahnya yang tersendiri. Jiran adalah saudara terdekat kita, kalau ada apa-apa yang berlaku pada kita, jiranlah yang akan kita hubungi.

Maka jangan disakiti hati jiran, berbuat baiklah kepada mereka dan sayangi mereka sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri.

Ukhwah yang erat dan jitu juga dapat dilihat. Ke mana-mana pada ketika ini haruslah berteman, untuk keselamatan bersama. Maka siapa yang berkata mampu hidup sendiri, hakikatnya anda tidak boleh.

Betapa hebatnya seseorang manusia itu..... Dia masih lagi memerlukan manusia yang lain untuk menampung separuh lagi kehidupannya. Benar, mengadu kepada Allah adalah yang terbaik, tapi itulah hikmahnya Allah ciptakan naluri dalam hati kita, untuk kita saling melengkapi sesama manusia.

Lihat Rasulullah S.A.W yang mulia, baginda juga memerlukan sahabat-sahabat terhebat dalam meneruskan misi dakwahnya.

"Takutlah.." Spontan saya bersuara.

"Takut manusia ke Allah?" Teman berbicara, menarik saya ke dunia.

Allah... Gemar sungguh kita takutkan makhluk lain seolah-olah kita hilang keyakinan kepada Allah. Mencipta yakin itulah yang susah, tapi sentiasalah berusaha untuk lebih takutkan Allah dari segala-galanya. Yakinlah, hanya dengan pertolonganNya kita terselamat daripada bencana. Ingat, jika Allah tidak mengizinkan sesuatu itu, maka ia tak akan berlaku.

Akhir kalam, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya... Terpulang pada kita untuk membuka mata atau terus memejamnya....

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (At-Talaq :2)


Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .