Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, December 31, 2016

Selamat tahun baru :)

 


Kaki seorang ibu yang sedang sarat mengandung melangkah perlahan-lahan, sakit terasa mencucuk-cucuk, masanya untuk bersalin telah hampir tiba.


Dia keseorangan di padang pasir yang tiada siapa, deritanya semakin terasa pabila tekaknya terasa dahaga. Perutnya berkeroncong minta diisi apa yang ada.


Itulah dia Maryam -- Wanita suci terpilih.


Tatkala dalam keadaan begitu, tiada siapa di hadapannya, Maryam tiada tempat mahu diluah rasa, lalu dia merintih sayu, meminta belas dari Allah Yang Maha Tahu.


Turunlah sebuah firman dariNya yang penuh belas -- Goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu (Maryam:25)


Aduhai, tatkala kita yang tidak berbadan dua ini terasa lapar dan dahaga, di bawah terik mentari pula, pastilah terasa tidak terdaya -- apatah lagi Maryam, ketika itu dia dalam keadaan yang terlalu hampir dengan waktu melahirkan.


Tidakkah boleh Allah menurunkan sahaja buah kurma di hadapan Maryam tanpa perlu Maryam bergerak walau seinci pun? Tentu sahaja boleh! Tetapi Allah dengan penuh kasih sayangNya ingin kita belajar sesuatu --


Allah mahu kita sentiasa berusaha, meski sesukar mana yang kita rasa, usahalah semampunya, selebihnya biarlah Allah yang uruskan.


Jika difikir, apalah sangat kekuatan seorang manusia berbadan dua pada saat itu malah tidak mampu pun menggugurkan walau sebiji kurma, tetapi Allah menyuruh Maryam menggoyangkan sahaja pangkal pohon kurma sebagai tanda berusaha, dan selebihnya Allah yang bantu.


Berusaha. Tapi jangan meletakkan expectation yang terlalu tinggi.


Tak. Bukan bermaksud kita tak boleh punya harapan, tetapi kita harus pandai bezakan antara berharap dan mengharap. 


bezanya begini --


Kita berharap dapat pekerjaan yang baik, tapi janganlah mengharap pekerjaan yang baik itu sampai bos hari-hari sediakan kopi atas meja sambil urut-urut bahu kita dan berkata "penat harini?"


Kita berharap dirawat oleh doktor yang baik, tapi janganlah mengharap sampai doktor suap makan sambil cakap alololo omeynya awak ni, makan elok-elok ya jangan sampai tercekik.


Kita berharap dapat kawan yang baik, tapi janganlah sampai mengharap kita mesej kawan dia terus reply dalam masa 1 milisaat.


Berharap itu memberi kelapangan, mengharap mampu membinasakan. Hiduplah seadanya, sekadarnya tanpa mengharap sesuatu di luar jangkaan.


"Mastura, what do you expect for next year?"


"Hm, i don't have any expectation."


"Why is that so? Are you losing hope in everything?"


"No, it's just that i want to live in a happier way."


:) 


Teruskan berharap pada Allah -- seperti Maryam yang tetap berusaha menggoyangkan pangkal kurma meski dalam keadaan yang sarat menderita.


Kamu! bangunlah dan 'goyangkan' pangkal kurma, keluar dari sebuah kemanjaan yang bermaharajalela. Namun, jangan pula kamu mengharap 'kurma' yang jatuh itu terus tersedia di dalam pinggan dan telah terbuang bijinya. :)


Dont afraid to take a step. Dangers are real -- fears are not.


Berharap pada Allah.

Mengharaplah sekadarnya.


Selamat tahun baru.


Salam cinta :)


Read More......

Saturday, December 24, 2016

That Good Hearts

 



~If you ever get the chance to treat them,

The way they treated you,

No matter how painful it was,

I hope that you choose to walk away,

And do better..~


"Bang, tengoklah tu jiran kita tu bang, basuh baju tak pernah bersih, kotor. Memang pengotorlah dia tu." Laju mulut sang isteri mengomel melihat baju-baju basuhan jiran yang masih kotor.


Si suami cuma mendiamkan diri, menyelak helaian-helaian surat khabar, tidak mempedulikan celoteh isterinya.


Keesokan harinya, dialog yang sama berulang, "Bang, tengoklah tu ya Allah pengotornya jiran kita ni basuh baju cubalah bersih sikit. Baik tak payah basuh kalau kotor macamtu."


Si suami masih lagi mendiamkan diri, tangannya menekan-nekan remote control televisyen, melihat-lihat siaran yang menarik.


Peristiwa itu berulang-ulang lagi pada setiap hari, hinggalah si suami bersuara, "Cuba awak tengok tingkap kita tu, dah berhabuk." Segera dia bangkit, mengambil kain basah dan mengelap tingkap yang tersergam indah hinggalah menjadi bersih. Licin.


"Ha tengok, kotor lagi tak jemuran jiran kita?" Ujarnya lagi.


Si isteri terdiam, rupanya selama ini yang kotor bukanlah baju jirannya, tetapi tingkap rumahnya.


Begitulah pula situasi hati setiap manusia. Apabila hati kita kotor, tidaklah mampu ia melihat kebaikan manusia lainnya. Yang terlihat cumalah kejahatan walau bertimbun kebaikan lain yang ada, tetaplah setitik kejahatan sang manusia lain disebut-sebut.


Dia ni jahat.

Dia ni perangai entah apa-apa.

Dia ni selalu buat aku stres.

Dia ni itu, dia ni ini.


Renunglah jauh-jauh di sudut hati, tidak mungkin semua manusia di sekeliling kita adalah manusia yang jahat. Jika ya, maka muhasabahlah diri, adakah hakikatnya yang jahat itu adalah seketul hati di jasad sendiri? Mungkinkah yang jahat itu adalah diri kita sendiri, lalu tanyalah benar-benar di jiwa itu -- apakah selama ini kita yang selalu terlupa bersyukur dengan setiap apa adanya?


Remember, someone can be sobbing in front of you with a broken heart but yet they will still crack a joke. 


Kita lihat orang lain tersenyum tak bermakna dia benar-benar bahagia.

Kita lihat orang lain ketawa tak bermakna dia tak ada masalah. 


Hakikatnya semua manusia sedang melalui dugaan sendiri, cuma mungkin mereka itu dengan hati yang jernih tidak mahu memaparkan semuanya --


tentang jiwa yang lesu.

tentang fikiran yang bercelaru.

tentang hati yang bengkak membiru.


Lalu dengan senyuman mereka itu kita tertipu. Kita keliru. Kita cemburu. Dan kita juga seringkali cenderung menghancurkan lagi hati yang telah retak seribu. Kita tak tahu, di sebalik dinding yang tersergam indah, mereka perlahan-lahan mengesat titis jernih di mata -- tak mahu kita tahu hakikat yang sebenarnya.


Maka berlaku baiklah dengan semua manusia -- kita tak tahu apa yang mereka lalu.

Ciptalah berpuluh-puluh alasan untuk mereka -- kita bukannya Tuhan yang layak menghukum sesama kita. 


Because --


here's the thing about people with good hearts. They give you excuses when you don't explain yourself. They accept apologies you don't give. they see the best in you when you don't need them to. At your worst, they lift you up, even it means putting their priorities aside.


The word "busy" does not exist in their dictionary. they make time, even when you don't. And you wonder why they are the most sensitive people, you wonder why they are the most caring people. you wonder why they are willing to give so much of themselves with no expectation in return. you wonder why their existence is not so essential to your well-being.


it is because they don't make you work hard for the attention they give you. they accept the love they think they've earned and you accept the love you think you are entitled to. 


let me tell you something. fear the day when a good heart gives up on you. our skies don't become grey out of no where. our sunshine does not allow the darkness to take over for no reason. A heart does not turn cold unless it's been treated with coldness for a while --- Quoted.


Appreciate others, before it's too late. :) 


Dan walau seteruk mana manusia melontar kau jatuh.

Harapnya kau terus berdiri, tanpa peduli.

Tidakkah cukup bagimu Allah yang amat memahami?


~It is okay to be scared,

That is the sign that you are going to do,

Something that is really really brave~


Salam sayang:)

Read More......

Monday, December 12, 2016

Bicara hati

 


"One two three, left. One two no." Bersungguh-sungguh seorang pakcik menerangkan jalan tatkala melihat kami seolah-olah hilang arah tujuan ketika di Turki.


Itu bukan kali pertama perkara begitu berlaku. Rata-rata penduduk Turki tidak fasih berbahasa Inggeris. 


Ketika di muzium tentera, pakcik penjaga muzium juga bersungguh-sungguh bercerita mengenai Kamal Ataturk. "Ataturk ataturk." Ujarnya sambil menunjuk-nunjuk gambar Kamal Ataturk di sebalik cermin. 


Seorang abang di Cappadocia pula, bersungguh-sungguh bercerita mengenai sejarah di sana tatkala membawa kami bersiar-siar dan melihat matahari tenggelam.


Semuanya dengan bahasa ayam-itik. Anehnya, perbualan itu difahami secara dua hala. Bagaimana mungkin? 


Saya kembali berfikir dan tersenyum sendiri. Mungkin ada dua cara berbicara. Pertama dengan hati, kedua sekadar dengan lidah sendiri. 


Bicara dari hati, pastilah menyentuh hati, menusuk ke sanubari-- lalu meski kurang difahami, kita akhirnya mengerti setiap butir bicara mereka di sisi. 


Mereka yang sekadar berbicara dengan lidah cuma, selalu terjadi kepincangan. Salah faham. Serta bergaduhan. 


Ops sekejap. Tatkala satu pihak berbicara dengan hati, andainya satu pihak lagi tidak membuka hati -- samalah seperti kita membina tembok abadi. Makna dari bicara itu hancur tanpa sempat difahami. 


"Try to make a sentence with this." Seorang guru menunjukkan ke papan putih yang tertera huruf  'I'


"I is..." belum pun sempat si anak murid menghabiskan kata si guru telah memotong,


"How many times should I tell you, after I should be followed by am. Not is!" 


Si murid menundukkan wajah, "I is..."


"I am!" Bentak gurunya.


"But teacher, i wanna make a sentence -- I is the letter after H."


Dengarlah untuk memahami. Bukannya dengar untuk memuaskan hati sendiri. 


Bicara hati ke hati dengan bahasa cinta pastilah membuah aman yang sentosa.


Lalu mari kita renung-renung sebentar -- selama ini betapa banyak kalikah Allah telah berbicara dengan penuh cinta kepada kita? 


Allah beri kita musibah supaya kita menjadi lebih kuat.

Allah jauhkan kita dari perkara yang kita suka kerna hakikatnya ia membawa bahaya. 

Allah beri ujian agar kita lebih dekat pada Dia.


Betapa cintanya Allah dalam berbicara -- cuma kita yang tak sudi-sudi mendengarnya dengan penuh cinta. 


Kita membentak. Kita memberontak. Kerna kita cuma lihat apa yang kita suka. Segala bicara dari Tuhan kita hancurkan dengan sebuah tembok tinggi bernama keegoan.


Sampai bila? Tanyalah diri kita sampai bila kita mahu begitu? Sampai bila kita mahu hidup jauh dari memahami segala bicara dari Yang Esa? Sampai bila? Tanyalah hati di dalam dada.


Tatkala Imam Hassan Al-Basri ditanya -- apakah masuk syurga atau solat dua rakaat lebih menjadi kecintaannya? Beliau menjawab ;


"Solat dua rakaat."


Lalu beliau ditanya, "mengapa?"


Jawab Imam Hasan Al-basri "kerana masuk syurga adalah kecintaanku sedangkan solat dua rakaat adalah kecintaan Tuhanku. Hamba yang beradab pastilah memilih kecintaan Allah melebihi kecintaannya sendiri."


Benarkah kita cinta kepada Yang Esa? Lalu mengapa setiap bicara dari Dia tidak sudi pula kita mendengar dengan bahagia? 


Jom, hari ini kita ubah semua -- 


Allahku, today i wake up, i am healthy, i can breathe. Alhamdulillah!


:)


Salam Maulidurrasul :)

Read More......

Sunday, November 27, 2016

Satu sebab untuk berubah

 


...Dia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu seorang yang dapat melihat?"…..

"Hi, my name is mastura and i'd like to present about my project paper titled factors of resistance to change among employees in…"

Kebelakangan ini saya sedikit sibuk dengan persediaan pembentangan kertas kerja. Faktor-faktor penghalang perubahan dalam diri. 

Ada yang setuju dengan pengaruh rakan sebaya menjadi faktornya.
Ada yang setuju persekitaran menjadi faktornya.
Malah ada juga yang bersetuju bahawa pengalaman silam merupakan faktor terpenting. 

Senyap-senyap saya kembali berfikir -- Manusia begitu terkenal dengan sikap yang suka beralasan. 

"Kenapa tak nak baca Quran?"
"Buat apa, mak ayah aku pun tak pernah baca Quran tapi okay je hidup diorang."

Kita cenderung memberi seribu. Tidak. Sejuta alasan dalam membuat kebaikan. Malah kita sering berkira-kira dan bermalas-malasan dalam melakukan sebarang amal.

Penatlah.
Nantilah.

Sedangkan kita tak tahu, dalam kita bernanti-nanti mungkin sahaja nyawa dicabut pergi. 

Lalu bertemulah kita dengan sang Pencipta -- Dalam keadaan yang tidak bersedia, dalam jiwa yang bernanti-nanti, dalam dosa dan noda lalu kita merayu-rayu, "Ya Rabb, kembalikanlah aku ke dunia, sesungguhnya sekarang aku dah yakin!"

Masakan mungkin. Saat itu segalanya telah terlambat. 

Lalu hari ini -- marilah kita sama-sama bertanya pada diri : Kita mampu beri SEJUTA alasan untuk tidak membuat kebaikan, tidakkah kita mampu untuk beri SATU sahaja sebab untuk berubah ke arah yang lebih baik?

ya cuma SATU -- Kerana Allah suka pada kebaikan.

Kerana Rabbku. Kerana Dia. Cuma Dia.

:)

...Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".
(Taha : 125-126)

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, November 13, 2016

Mehmet al fateh

  


Muhammad Al-Fateh : satu nama yang kian dilupakan.


"Tuanku, adalah lebih baik kita berundur. Kita tidak mungkin dapat memasuki kawasan tanduk emas itu." Penasihat Al-Fateh berkata dalam keadaan gusar. Sudah beberapa hari serangan dilakukan ke atas empayar Byzantine, namun kota konstantinopel masih lagi kelihatan jauh daripada roboh. Temboknya masih utuh.


Al-Fateh merenung jauh, tidak mungkin dia berundur. Strategi telah disusun, meriam telah diangkut jauh. Rumeli Hisari sudah siap terbina. Malah, barisan tentera pun sudah bersedia. 


Cuma... Yang menjadi masalah adalah kawasan tanduk emas, atau golden horn. Sepanjang kawasan itu dipasangkan rantai besi, memisahkannya dengan selat Bosphorus.


Itu masalah utamanya. Kapal-kapal perang tidak langsung dapat melalui kawasan itu malah kemungkinan kapal itu pula yang hancur dirobek rantai besi itu! Ah, bagaimana mungkin tembok konstantinopel dirobohkan andai kapal perang tidak dapat memasuki kawasan golden horn.


Al-fateh menarik nafas, "kita harus memastikan kapal-kapal perang kita berjaya memasuki kawasan tanduk emas."


"Tapi bagaimana? Kapal-kapal kita tidak mampu melepasi rantaian itu." 


Lalu, ilham dari Tuhan Yang Maha Baik pun sampai. Kata Muhammad Al-Fateh, "kita masuk ke tanduk emas melalui jalan darat!"


Ini idea gila! Sesiapa pun yang mendengarnya pada ketika itu pasti terlopong mulutnya. Kawasan darat yang dimaksudkan Al-Fateh bukanlah sekadar kawasan rata -- ia adalah kawasan berbukit bukau dan untuk menarik kapal-kapal perang yang besar saiznya benar-benar sebuah idea di luar kewarasan akal. 


Namun, begitu indahnya pabila hati seorang hamba begitu tertaut kepada Pencipta. Bagi Sultan Muhammad Al-Fateh yang tidak pernah lupa untuk bangun berqiamulail -- itu adalah usahanya demi meraih redha Pencipta.


Lalu pada malam yang damai itu, 70 buah kapal perang pun ditarik melalui jalan darat yang berbukit bukau, hingga tepat memasuki Golden Horn. Mereka melaungkan takbir. 


Bergegak gempitalah Byzantine pada subuh yang hening. "Allahu Akbar!" Jerit askar Al-Fateh. 


Penguasa Konstantinopel terkejut besar! Ditinjau kawasan rantaian besi yang utuh itu -- tidak langsung terusik! Mindanya tertanya-tanya, bagaimanakah 70 buah kapal merentasinya? Dia lupa adanya Allah yang tak pernah leka--


Hingga akhirnya Kota Konstantinopel ditawan Al-Fateh. 


Ya. Kota itu ditawan oleh seorang pemuda berusia 21 tahun. Pemuda hebat ini bukan sahaja mahir dalam bidang Agama, malah hebat dalam bidang sains, kejuruteraan, falsafah, matematik dan juga menguasai 6 bahasa.


Dari Al-Fateh kita belajar -- agar berusaha selayaknya seorang hamba, memantapkan diri dengan ilmu-ilmu yang sohih, menghormati ahli ilmu serta meletakkan redha Allah di tempat yang utama.


Saya sering membanding-bandingkan diri sendiri dengan insan hebat ini. Tatkala usianya 21 tahun, dia sudah menggegarkan dunia, sedang saya pada usia itu masih lagi mengetuk pintu bilik pensyarah minta diperdengar hafazan Al-Quran. Masih lagi mengeluh kesah memikirkan dissertation. Masih lagi tidak bermanfaat kepada yang lainnya.


Namun, bersamalah kita belajar dari Al-Fateh, yang tak pernah terfikir memberhentikan langkah walau seditik. Bergerak laju menandingi seteru, mara memperjuang kebenaran selalu, hingga akhirnya kemenangan menyeru! Kerana hakikatnya, Allah tak pernah keliru dalam mengasihi hambaNya yang berhati jitu. 


Muhammad Al-Fateh. 

Itulah si anak muda, beraksi menggegar dunia.

Itulah sebaik raja, itulah sebaik tentera.


Gambar : rantai yang digunakan untuk menghalang kapal memasuki kawasan golden horn. Besar dan berat!


Read More......

Jauh sudah kau terbang

 

"Mas, aku nak bagitau kau sesuatu."


"Apa dia?"


"Aku.."


"Apa?"


"Aku suka kaum sejenis."


Saya cuba membayangkan, bagaimana kalau suatu hari nanti saya ditanya persoalan begitu. Tatkala sebuah rahsia besar diberitahu. Suka kaum sejenis. Berzina. Minum arak. Atau apa sekali pun--


Mampukah saya berlapang dada? Tersenyum dan menerima? Atau kelak nantinya saya cuma sekadar menghukum, dikeluarkan segala dalil-dalil Al-Quran, menerakakan mereka semua. Walhal yang salah cumalah tindakan mereka, Allah tak pernah menghukum sebuah perasaan. 


Entah. Saya merenung jauh. Berkira-kira langkah terbaik, apatah lagi untuk membimbing mereka yang begitu dekat di hati. 


Bila seseorang memberitahu tentang rahsia besar itu, simpanlah baik-baik. Jangan pula disebarkan aib. Jangan hilangkan sebuah percaya -- kerna nanti mereka terluka dan terus menjauhi syurga. 


I was once hated those with tudung labuh. Sebab semuanya kawan dengan geng sendiri. Suka menerakakan manusia lain, hentam orang guna dalil Agama. Ya, tidak semua tapi tatkala itu yang Allah izinkan untuk bertemu cuma mereka yang sebegitu. 


Mujurlah pada ketika itu ada sang murabbi yang menggenggam erat tangan saya, mengatakan bahawa Allah itu Maha Baik, mengajak saya melihat syurga melebihi neraka. Mujurlah.


Lalu renungan panjang saya bertukar kepada sebuah helaan nafas. Andainya ketika ini saya dihadapkan dengan permasalahan begitu-- saya perlu bantu. Seperti sang murabbi tadi. Katanya penuh cinta, penuh sayang. Hikmahnya dia berkata baik membawa saya mengenal Allah Yang Maha Baik.


Namun, yang lebih merobek hati bukanlah tatkala kita diaju soalan dengan luahan sebegitu. Tapi bila hakikatnya kita tahu-- sahabat yang kita sayangi sudah jauh dari Ilahi. Yang kita mampu laku cuma buat-buat tak peduli. Bimbang hubungan merekah tuli. 


Walaupun jauh di sudut hati, seolah dirobek dihenyak pergi, tetap kita cuba ukirkan senyuman di wajah ini.


Dan yang lebih menyedihkan-- kita cuma hanya mampu berdoa, agar suatu hari kelak dia kembali padaNya...


Kawan,

Sudah jauh kau terbang,

Tidakkah kau terasa ingin pulang..?


Salam sayang,

Mastura MY

Read More......

Thursday, September 1, 2016

Merdeka!


Merdeka.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Asiah,
Yang merdeka jiwanya,
Tetap tersenyum walau diseksa,
Tetap teguh walau derita, 
Kerana terpampang di hadapan matanya,
Rumah di syurga sana.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Bilal bin Rabah,
Yang merdeka sanubarinya,
Tetap bahagia meratib 'Ahad! Ahad!',
Walau hampir hilang nyawanya,
Disiat petaka.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Rabiatul Adawiyah, 
Yang merdeka ruhnya dari diulit dunia,
Walau diculik menjadi hamba, 
Tetap dia tersenyum bahagia,
Katanya --
"ya Rabb, andai ini mahumu, maka aku redha!"

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Salman Al-Farisi,
Yang merdeka hatinya walau ditusuk duri,
Saat gadis pilihannya memilih sahabatnya sendiri,
Biarpun sedih menyelubungi diri,
Tetap salman berlapang hati--
"Segala mahar dan persiapan yang aku telah sediakan aku hadiahkan sahaja kepada sahabatku ini, malah aku akan menjadi saksi perkahwinan kalian."

Mungkin kita tidak sehebat mereka,
Yang maksud merdekanya sungguh meruntun jiwa,
Namun tidak pula kita lari dari bersifat hamba, 
Lalu berlarilah perbaiki diri nan lara,
Hingga satu ketika, 
Kita mampu tersenyum megah,
Dengan maksud merdeka--

Yang sebenar-benarnya.

Salam merdeka. Salam cinta kerana Yang Esa :)

Read More......

Saturday, July 30, 2016

Belajar dari Umar


"Kau muda lagi, mana tahu apa-apa."

Saya selalu terpana tatkala mendengar ayat yang sama diulang-ulang oleh orang yang lebih berusia. Malah acapkali juga saya diterjah "Alah, dia ni muda lagi apa pun tak tau."

Sesekali, saya tersenyum cuma. Meski terkadang tergores jua rasa di jiwa. Meski tertanya-tanya pada tahap umur berapakah suara kita layak didengari, saya sekadar tersenyum. Mujurlah emak tidak pernah mengajar sifir begitu. Meraikan suara semua manusia tidak kira umur sudah seakan menjadi ajaran yang diterapkan ke dalam jiwa. Adab tatkala bersuara ditekankan jua. Saya juga pernah ditegur oleh adik saudara yang tatkala itu berusia 5 tahun cuma --

"Kak wawa, beg tu siapa punya?"

"Kak wawa tak tahulah."

"Kak wawa tak tahu? Tu Allah punyalah! Semua benda dalam dunia ni Allah punya." Sambungnya sambil menyanyi lagu mana milik kita. 

Saya tersengih tergaru-garu kepala, kalaulah saya tidak meraikan suaranya pastilah anak kecil itu sudah dilabel kurang ajar dan tidak menghormati orang tua meski kata-katanya terselit kebenaran. Sorotan kisah-kisah ini membuatkan saya teringat pada satu kisah manis Umar ibn Abd Aziz yang dicatatkan oleh Dr Aidh Al-Qarni dalam buku yang telah diterjemah -- Terampil berdialog ; Etika dan strateginya.

Suatu hari Umar mengumpulkan rakyatnya untuk didengar perbicaraan mereka. Lalu berdirilah seorang pemuda yang ingin bersuara. Umar segera berkata, "Duduklah wahai pemuda! Di sini masih ramai lagi orang yang lebih berumur dari mu."

Pemuda itu segera membalas, "Wahai Umar, andailah umur yang menjadi ukuran maka di sini lebih ramai orang yang layak menjadi khalifah selainmu."

Umar segera tersenyum. Umar tidak marah dan melatah. Kata pemuda itu ada benarnya. Tatkala itu usia Umar adalah 40 tahun cuma, sedangkan hadirin yang lain berusia 60 tahun, 90 tahun malah ada yang ratusan tahun. Namun, kerana kredibiliti, Umar lah yang lebih layak menjadi pemimpin.

Dari Umar kita belajar -- sesekali ego perlu diletakkan jauh di sudut sana. Kerana keegoan itu mampu menutup hati di dalam dada.

Dari Umar kita belajar -- Jangan sombong. Belajarlah tidak kira dengan siapa, meski anak kecil di tadika siaran, atau pengemis di pinggir jalan. 

Dari Umar kita belajar -- Memiliki hati yang tunduk pada Sang Rabbi, kerna ketakutannya tersasar dari landasan membuatkan hati selalu tunduk pada kebenaran.

Dan kita ; mahu memilih belajar daripada Umar atau terus membiarkan keegoaan merajai jiwa, benar-benar adalah sebuah pilihan -- Ya. sebuah pilihan yang akan dipersembahkan di hadapan Tuhan. 

Pilihlah sebaiknya. Saya memilih bersama yang ahli. Anda bagaimana? 

Salam sayang :) 


Read More......

Thursday, July 28, 2016

Allah tidak pernah bosan


"Mastura, saya dah bertaubat tapi lepastu buat dosa lagi. Allah terima ke taubat saya tu?"

Sejujurnya sebak hati saya tatkala mendapat pertanyaan-pertanyaan begini. Hati yang lunak penuh cinta terhadap Tuhannya pasti akan merasa sesuatu tatkala dosa-dosa mengaburi. Saya cemburu -- pada jernihnya hati yang bertanya itu.

Lantas saya teringat pada satu kisah. Hanzalah, pemuda yang soleh.

Suatu hari Hanzalah kata dia dah munafik, "hanzalah telah munafik! Hanzalah telah munafik!" 

Lau berjalanlah dia berjumpa Nabi, Nabi bertanya, "mengapa wahai hanzalah?"

Hanzalah membalas, "waktu aku bersama kau, aku rasa bagaikan syurga itu dekat. Tapi bila aku dah balik rumah jumpa keluarga, gelak-gelak, lupa kejap kat akhirat."

Nabi pun senyum, Nabi kata, "wahai Hanzalah, ada waktunya kau beribadah, ada waktunya kau dengan duniamu."

Maksudnya, iman manusia ni memang ada turun naik. Manusia bukannya malaikat.

Lalu adakah Allah bosan dengan taubat hambaNya? 

Allah Yang Maha Baik tentulah faham akan gelodak jiwa hamba faqir seperti kita, lalu dengan lembut Allah memujuk :

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.(Al-Baqarah :222) 

Ada banyakkk lagi kisah dari Nabi tentang Allah menyukai taubat seorang hamba. Allah tak pernah bosan menerima, cuma selama ni kita yang sombong terpedaya dengan dunia.

Mungkin syaitan telah berjaya menghasut kita melakukan dosa, maka jangan biarkan syaitan menang buat kali kedua -- dengan mempercayai bahawa Allah tidak mahu menerima taubat hambaNya. 

Hey, syaitan tidak pernah berhenti berusaha menarik kita ke neraka,
Lalu mengapa kita berputus asa untuk ke syurga? 

Jom, masuk syurga?

:)

Read More......

Menjadi yang ganjil?


"Eh, jom nanti kita picnic kat Brighton." Saya memberi cadangan meski sedar angin musim bunga masih terasa dinginnya. 

"Okay. Nak bawak apa nanti?"

"Nasi gorenglah. Tapi before pergi kite masak nasi lemak dulu then tapau nasi goreng." Saya membalas. Berkira-kira bahawa nasi goreng lebih mudah untuk dibungkus, dan nasi lemak terpaksa masak sebab ada orang mengidam 😑

Kami bertolak menaiki kereta api dari Portsmorth ke Brighton. Tepat tiba di stesyen kereta api Brighton, angin menderu-deru kerana bentuk muka buminya yang hampir dengan laut. 

Menggeletar. Berkira-kira mahu teruskan rancangan berkelah atau tidak tapi keegoan merajai diri. Kaki diteruskan melangkah sehingga tiba di persisiran pantai yang dipenuhi batu.

"Ha jomlah makan kat sini." 

Bekas berisi nasi goreng pun dibuka. Angin bertiup. Nasi terbang. Nice.

Dalam keadaan bersusah payah menyuap nasi ke mulut, seorang teman bersuara, "eh nah ni serunding daging."

Plastik serunding daging pun dibuka, serunding terbang masuk lubang hidung. Omg. 

Namun, dalam keadaan susah payah itu, tetap juga habis nasi goreng dan serunding daging dimakan. Sambil tersengih seorang teman bersuara, "mesti semua orang ingat kita orang gila kan, mana ada orang picnic time macam ni." 

"Mencuba jadi golongan ganjil di akhir zaman lah tu." Saya menyeringai. 

Di samping menghargai nikmat ukhwah yang tercipta meski setiap satunya berbeza karakter, saya justeru teringat pada sesuatu -- menjadi golongan ganjil di akhir zaman. Ghuraba', seperti yang Nabi sabdakan --

Saya menjadi semakin gusar apabila ramai yang menggunakan sabda Nabi ini dalam keadaan yang salah. Asal terlihat ganjil, asal dikecam kerana menyimpang dari kelompok yang ramai semuanya dipetik hadith Ghuraba' ini.

Walhal, ganjil yang dimaksudkan adalah tetap berada pada paksi yang benar, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Contohnya semua orang di sekeliling minum arak, tapi kita tidak. Atau semua orang di sekeliling mempergunakan nama Nabi, tapi kita tidak. Atau semua orang menipu sesuka hati, tapi kita tidak.

Lalu bagaimana tatkala seorang yang ahli menegur "kamu salah." Dengan bangganya mereka membalas, "tak pelah di akhir zaman ni biarlah saya menjadi golongan yang ganjil."

Seolah seorang anak murid yang selalu datang lambat ke sekolah lalu di marah guru disiplin, "kawan-kawan kamu boleh datang awal, kenapa kamu datang lambat? Kamu perlu didenda!"

Lalu anak murid itu membalas, "takpelah, tak semestinya ramai orang buat tu betul, Nabi kata di akhir zaman, Islam akan kembali asing dan beruntunglah orang-orang yang ganjil."

Sedangkan, yang benar itu jelas benar. Yang salah itu jelas salah.
Sedangkan, keganjilannya merupakan satu kerosakan, ibarat barah yang memakan diri. Ibarat serunding terbang yang masuk ke dalam lubang hidung. Menyakitkan.

Seorang mukmin itu pastilah berhati-hati dalam berkata, kerana dia sedar, setiap apa yang dibicara akan dipersoal di akhirat sana apatah lagi bila ia melibatkan nama Nabi.

Berendah hatilah terhadap ilmu. Belajarlah dari Imam Malik -- tatkala utusan dari jauh datang menemuinya dan mengajukan 40 soalan, cuma 8 sahaja dijawab, selebihnya Imam Malik menjawab "tidak tahu"

Lalu, utusan itu pun kecewa,"jauh sudah aku menempuh perjalanan semata-mata kerana ingin menemuimu Malik, untuk bertanya soalan bagi pihak kaumku. Apa yang akan aku beritahu kepada mereka?"

Imam Malik membalas, "katakan sahaja bahawa Malik tidak tahu." 

Begitulah akhlak orang berilmu, redha Allah lah yang lebih dirindu. Bukannya mengejar menjadi 'ganjil' dalam setiap sesuatu.

Sesungguhnya "aku tidak tahu" juga adalah sebahagian dari cabang-cabang ilmu.

Dan sesungguhnya -- ada sebuah garisan jelas yang memisahkan antara keganjilan dan kejahilan...

Duhai khalifah! Tetaplah berada pada paksi yang benar. Jika tersasar segeralah kembali, kerana kita tak pernah tahu bilakah ajal akan datang menemui diri. 

Sudah sediakah bersoal-jawab bersama Ilahi? 

Salam sayang :) 

Read More......

Friday, July 22, 2016

Lady montagu



[Edisi Minggu Vaksin]

Lady Mary Wortley Montagu.

Siapakah wanita ini? beliau adalah seorang wanita aristokrat barat yang pernah hidup pada zaman Turki Uthmaniyyah. Ya wanita inilah juga yang pernah menyaksikan kejadian ngeri wabak smallpox yang merebak dan memjerut banyak nyawa.

Dalam catatannya ke empayar Uthmaniyyah, wanita ini mencatatkan bahawa penduduk wilayah uthmaniyyah datang berbondong-bondong bagaikan pesta tatkala tiba musim luruh untuk mendapatkan rawatan "virus smallpox yang telah dilemahkan". Wanita ini juga berkesempatan mendapatkan rawatan itu buat kedua anaknya. Wanita inilah yang memperkenalkan kaedah rawatan ini jauh ke England dan namanya terpahat indah dalam lipatan sejarah sebagai wanita terawal memperkenalkan kaedah vaksinisasi di negara Barat.

Lalu, saya kira andainya Montagu datang pada zaman ini dimana membiaknya golongan antivaksin, adakah beliau akan ketawa berdekah-dekah sambil menghentakkan kepalanya ke dinding, atau berguling-guling sambil menghentakkan kaki di meja makan berkonsepkan Diraja England. Masakan tidak? Bangunan sudah mencapai tahap pencakar langit tetapi berfikiran seperti masyarakat di zaman batu.

Di zaman era pra vaksinisasi, pada tahun 1917 penyakit polio menyerang Amerika Syarikat membunuh sekurang-kurangnya 6000 orang dan melumpuhkan beribu-ribu yang lain, Presiden Amerika yang ke 32 turut tidak terkecuali. Bukan itu sahaja, masyarakat Eropah sebelumnya pada abad ke 18 telah mencatatkan kematian sekurang-kurangnya 400 000 setahun akibat daripada wabak smallpox.

Ya. Hanya untuk setahun, ia adalah satu jumlah yang sungguh gila! Namun, di sebalik krisis itu, Allah Yang Maha Baik yang penuh dengan sifat kasih sayang telah memberi ilham kepada Edward Jenner. Edward memperkenalkan kaedah vaksinisasi setelah cuba menggunakan kaedah di zaman turki uthmaniyyah dengan memasukkan sedikit virus smallpox yang menjangkiti seekor lembu ke dalam anak tuan rumahnya dan ia membuahkan hasil. Anak itu selamat dan terlindung dari sebarang jangkitan kerana badannya telah membentuk sistem pertahanan yang kuat hasil rangsangan daripada jangkitan penyakit yang lemah itu.

Dan hanya selepas itulah munculnya banyak saintis-saintis baru yang menerajui dunia vaksinisasi, seolah-olah memberi satu sinar baru kepada dunia. Syabas bete.

Namun, pergerakan antivaksin telah memuramkan segalanya. Kabut yang terang itu seolah-olah kembali bertukar gelap. Tatkala penyakit-penyakit berbahaya telah mampu dilenyapkan, konsentrasi mereka beralih kepada kesan-kesan sampingan vaksinisasi ini, kerisauan mereka bertukar kerana mereka tidak melihat betapa dahsyatnya wabak yang pernah terjadi suatu ketika dahulu.

Muncul pula Gordon Stewart dan Andrew Wakefield yang masing-masing mencatatkan perihal vaksiniasi dan autism. Ia melayang hebat di negara eropah dan mendarat kemas di negara Asia, khususnya Malaysia. 

Pergerakan ini bukanlah sesuatu yang baru, malah tatkala Edward Jenner memperkenalkan kaedah vaksinisasi, beliau telah ditentang dengan sebab keagamaan. Namun yang membezakan kita dan mereka adalah meraka tidak menjadi penunggang Agama. Mereka melakukan kajian yang terperinci sedangkan kita lebih mudah terhibur dengan idea-idea konspirasi. Andai ditanya sumber, maka Jerry D gray bolehlah dikatakan sebagai asas kepada dakyah anti vaksinisasi ini.

Tidak lupa apabila rockfeller dan angkatan zionisnya dikatakan telah membuat investment pada vaksinisasi untuk melemahkan umat Islam, maka mereka yang mendengar perkataan Agama dipetik terus terpesona. Walhal, di israel sendiri, jadual vaksinisasi mereka lengkap dan kemas. 

Journal wakefield ditarik, lesennya dilucutkan kerana menyalahi etika kajian. Namun pergerakan antivaksin tidak mahu mengalah, sehingga membuktikan bahawa penyakit measles kembali menular pada tahun 2008 di United Kingdom setelah 14 tahun penyakit berjangkit itu hilang.

Ah, terlalu banyak negara yang mendapat effect dari gerakan ini. Terlalu panjang untuk dicoretkan di sini. 

Cuma satu yang boleh saya katakan -- Selamat datang! Malaysia semakin hampir kepada sejarah penyakit menular seperti di negara-negara yang lain.

:)

Read More......

Wednesday, May 11, 2016

Vaksin : antara realiti dan fantasi


Selalu, kalau teman abah pergi check up saya suka jalan-jalan perhatikan sekeliling. Boring.

Satu hari tu, ada sorang kakak marah-marah pada sorang nurse.

"Saya taknak anak saya divaksinkan! Awak tahu ke kandungan vaksin tu apa?"

"Saya tak tahu puan"

"Ha! Awak pun tak tahu suka-suka je nak inject anak saya!"

Berkerut mata saya. Tak, bukan sebab akak tu marah kuat-kuat. Tapi saya pelik sejak bila nurse jadi pakar vaksin sampai tahu semua kandungan dalam vaksin tu? 

Pertanyaannya samalah macam kereta rosak tapi tanya kat seorang tukang paip. Kelakar kan? So saya bacalah sikit-sikit pasal vaksin, yang negatif dan positif, kenapa nak kena vaksin, tapi tak faham sebab banyak sangat terms susah untuk seorang layman seperti saya. 

Lalu saya rujuk doktor. Thanks doc busy pun layan saya. Doktor kata ada anak-anak yang MEMANG tak boleh divaksinkan atas faktor-faktor tertentu, jadi anak-anak yang divaksin mampu membantu anak-anak yang tidak boleh divaksinkan ini daripada dijangkiti penyakit merbahaya.

Mana tahu anak-anak itu berkongsi udara, tempat duduk atau permainan dengan anak yang dijangkiti penyakit merbahaya lalu dia juga dijangkiti sedangkan kesalahannya cumalah dirinya memang tidak boleh divaksin. 

Yelah, memang habbatussauda, madu, kurma, minyak zaitun tu bagus. Tapi Islam tak pernah mengabaikan ubat-ubatan lainnya. Saidina Ali juga kata didiklah anak mengikut zamannya. Kalau lah Islam abaikan semua kaedah moden, tidak perlulah ibnu sina bersusah payah menjadi tokoh perubatan Islam dan kaji macam-macam. Bukankah Al-Razi yang memberikan perbezaan antara penyakit cacar air dan campak, dan terdapat sesuatu agen yang menyebabkan jangkitan penyakit lalu menyatakan sesiapa yang pernah terkena penyakit cacar air tidak akan terkena lagi? Bukankah itu konsep vaksinisasi?

Ada orang kata Nabi dulu takde vaksin pun, lalu saya kata zaman Nabi dulu mungkin tak ada TB, H1N1 dan juga rubella? 

Soal halal haramnya, rujuklah apa kata jumhur ulama' berdasarkan dalil-dalil dan nas nas yang sohih. Bukan berdasarkan logik akal kita semata. Ada cabang-cabang yang kita tak tahu. Ada hukum maslahah mursalah yang mungkin kita tidak peka. Rujuklah pada yang ahli. 

Saya baca kebangkitan anti vaksin di luar negara, tiada yang mempergunakan sentimen Agama. Tetapi di Malaysia, ramai yang mempergunakan sentimen Agama. Walhal mereka tidak sedar pada satu peringatan dari Tuhan dalam surah An -Nahl ayat ke 43 --

Maka bertanyalah kepada orang yang  mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Kata-kata yang pakar ditolak, pakar-pakar google dan kursus pendek diterima pakai. Kemudian mempermainkan sentimen Agama tanpa rasa bersalah di jiwa.

Kata-kata DR Andrew Wakefield tentang keburukan vaksin digunapakai, walhal wakefield ditarik lesen kedoktorannya kerana terbukti dibayar untuk memberi kenyataan buruk tersebut. Lalu pendapat dan risalah ini yang disebar luas membuatkan saya bertambah kecewa.

"Habis, ada je anak orang lepas vaksin jadi autism."

Senyum. Kajian dibuat bertahun-tahun untuk mengeluarkan satu vaksin. Dalam kajian, setiap outcome perlu direkod walaupun signifikannya sangat rendah. Mungkin ada yang lepas vaksin kena autism, mungkin ada yang lepas vaksin tiba-tiba jadi penyokong Manchester United. Semuanya direkod. Tapi tahap relevannya terhadap kajian juga pastinya berbeza.

" saya tak vaksin tapi okay je sihat dan berjaya." 

Dalam sains, testimoni adalah perkara yang tidak diterima pakai. Saya juga boleh kata; "saya anak yang divaksin. Hidup sampai sekarang, bergelar pelajar terbaik kursus ijazah sarjana muda, sekarang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana." 

Adakah hipotesis anda tertolak? :) 

"Ini anak saya suka hati sayalah!"

Ya. Suka hati awak kalau anak itu dikurung dalam rumah bersendirian dan tidak bercampur gaul dengan manusia lainnya. Mungkin awak terlupa, dalam Islam kita ada hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia, dan hubungan dengan alam. Kalaulah disebabkan anak awak tidak divaksin lalu menjadi 'carrier' sesuatu wabak penyakit dan menyebarkannya kepada yang lain, tidakkah tercemar hubungan awak dengan manusia lainnya? Sanggupkah kelak dipersoalkan di akhirat sana?

Ingat. Tidak semua orang boleh divaksin. Dan tidak semua bayi sudah sempurna pusingan vaksinisasi mereka.

Kalau kereta rosak, kita tak google sendiri untuk betulkan. Lalu kenapa berkenaan kesihatan diri yang Allah amanahkan kita rela bertanya pada yang bukan ahli? 

"Kenapa mastura tiba-tiba cerita pasal vaksin ni?"

Hehe sebab saya tengok golongan anti vaksin sudah melampau tahapnya menyebarkan dakyah yang bukan-bukan. Kasihan doktor yang kepenatan. 

"Tak takut ke kena kecam?"

Kata ibnu taimiyyah -- if i remained silent, and you remained silent, then who will teach the ignorant?

Jom tunjukkan solidariti kita! Bersama saya, kita cakap --

Hai. Nama saya mastura. Dan saya #sokongvaksin.

Salam cinta :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .