Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, August 25, 2015

Lowest point


“Mastura, boleh tak cerita part lowest point dalam hidup tu?” 

Saya baca mesej itu sambil tersenyum. Ada permintaan-permintaan yang minta saya tulis kisah hidup saya yang at the lowest point — mungkin sebab dengar video yang bestfriend saya buat sempena birthday! (your fault, laili :p) Tapi saya rasa kisah hidup saya tak ada yang menarik. Lepas bincang-bincang dengan sahabat handai, mereka kata, 

“Mas, tulislah mana tahu itu bawa kebaikan pada orang lain.” 

Maka ya, saya tulis. Walaupun tak berapa menarik, dan maaf jika terlalu panjang.

***
Lowest point dalam hidup saya — saya kira adalah ketika abah masuk hospital untuk diambil air tulang belakangnya. Waktu itu, saya ingat lagi sayu suara emak memberitahu ;

“Doktor nak jumpa anak-anak minggu depan.”

Saya mohon cuti, annual leave, tapi kena reject. Demi Allah, hanya Tuhan yang tahu pada waktu itu betapa hancurnya hati. Ini soal orang yang saya cinta. Soal abah. Satu-satunya abah yang saya ada dan tidak mungkin ada gantinya. 

Saya cuma diam masa tahu cuti saya di reject. Diam seribu bahasa. Saya tidak suka bercakap ketika marah, pertama kerana saya akan menangis. Kedua, saya takut kata-kata saya mengguris hati sesiapa. Do not mix your bad mood with bad words, you might have the chance to fix your mood but you can never replace the words you said.

Sesekali kepala saya menerawang memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada, mata pun berair, saya letakkan pen di meja, lari ke bilik air, kesat mata dan kembali semula ke pejabat. Masa tu, semua hairan… seorang mastura yang selalu ceria tiba-tiba diam sahaja.

“Mas kenapa?” Tanya mereka pada teman rapat saya. Lalu mereka pun tahu keseluruhan cerita dan saya pula di marah, 

“Kenapa tak ambil emergency leave je? kenapa tak MC je?”

Saya geleng, “Kesian. Nanti workload banyak kat team mates.”

“Mas boleh tak sekali ni je jangan fikir pasal orang lain, fikir pasal diri sendiri. Sekali ni je.” 

Saya senyum. Mana mungkin saya buat begitu. Saya begitu faham erti lelah erti penat, mana mungkin saya biarkan orang lain rasa begitu. Tidak, tak mungkin. 

Dan tahu tak apa perkara yang paling menyakitkan? Ia bukanlah tatkala kita dimarahi, dibebeli atau disuruh itu ini. Ia adalah tatkala kita hanya didiamkan sahaja, tidak dimarahi, seolah berkata — lantak lah kau nak buat apa, aku sudah tak peduli. Jadi bersyukurlah jika kita masih dimarahi, dibebeli, itu tandanya orang masih peduli.

Maka oleh sebab saya hanya berdiam diri, ia mencetuskan sebuah ketegangan buat saya dan bos saya.

Dingin. Benar-benar dingin. Sampai suatu hari saya kembali rasional. That’s it. Saya tak boleh terus begini. Perkara yang tidak dibincangkan akan terus menjadi sebuah barah dalam hati. Jadi kami berbincang — berdua. Saya dan bos. Saya dengar semua explanation yang diberi, kenapa cuti di reject dan sebagainya.

Dan saya senyum, saya kata saya faham. Boleh tak minta half day leave, masuk kerja jam 4 petang. Persetujuan diberi. Akhir segalanya, saya minta maaf, saya kata setulusnya, “I’m sorry, I was wrong, i understand your situation.”

Dan tika itulah mungkin hatinya tersentuh, matanya berair, “I feel guilty because i cannot approve your leave.” Katanya tulus. 

Dan tiba saat berjumpa doktor, masa menunggu agak lama. Sudah hampir jam 4 baru lah procedure untuk cucuk tulang belakang dijalankan. Sekejap-sekejap saya kerling jam, saya harus ke pejabat. Telefon bimbit dikeluarkan, saya mesej bos, “Im sorry i might be late.” 

Jam sudah pukul 4, tapi procedure masih belum tamat. Saya tiada pilihan, minta izin pada emak untuk pergi. Kereta dipecut menuju ke pejabat. Sampai di pejabat, saya tersenyum ceritakan segalanya. Semua hairan. 

“Mas ni rileks je abah masuk hospital.”

Saya tambah tersenyum. Bukankah Allah sudah berjanji, ujian itu diturunkan mengikut batas kemampuan seorang hamba?

Tepat jam 6 petang, Allah izin kerja sudah siap sepenuhnya. Saya yang sepatutnya balik jam 8 sekali lagi bawa berbincang dengan bos. Minta izin balik awal. Dua jam berbaki akan saya ganti di kemudian hari. Bos setuju. Alhamdulillah, kereta sekali lagi dipecut menuju ke hospital.

Dan rutin hidup saya bertukar secara drastik. Pagi-pagi harus bangun dan masak, buatkan bekal untuk emak di hospital. Singgah hospital hantar bekal, pecut pergi pejabat, balik kerja pecut ke hospital ziarah abah dan ambil emak balik rumah, lepas isyak hantar emak ke hospital semula, kemas rumah dan masak untuk makan malam.

Begitulah… hingga suatu hari sudah tak tertanggung rasa hati lihat abah yang sakit, lepas hantar emak ke hospital semula, dalam perjalanan pulang tiba-tiba saya menangis dahsyat. That’s it. Saya kira keterbatasan seorang saya ketika itu sudah sampai limitnya. Saya seorang — diuji sebegitu. Dipendam segalanya, rapuh.

Mata saya jadi kabur. Pemanduan jadi bahaya. Saya berhentikan kereta di bahu jalan, kepala disandarkan pada stereng dan saya menangis semahunya. Dalam esak tangis itu saya berbisik perlahan, “Tuhan.. aku ingin benar tanya mengapa aku, mengapa begini, tapi aku tahu Kau merancang sebaiknya, maka aku mohon kau kuatkanlah aku.”

5 minit, 10 minit berlalu. Saya kesat air mata dan teruskan pemanduan pulang ke rumah.

Sampai rumah, saya terduduk lagi. Terasa begitu lemah kaki. Saya peluk lutut dan menangis. Saya tak mampu bangun, tak kuat. Lelah. Rumah terasa sunyi. Saya gagahkan juga kaki, perlahan menuju ke bilik air. Wudhu diambil dan saya solat dua rakaat. Lega. Tenang. Semua kisah tangisan itu tiada siapa yang tahu, kerana pagi-pagi saya akan kembali senyum, ceria seperti biasa. Tak sanggup membebankan manusia lain yang malah mungkin punya masalah yang lebih besar lagi.

Dan bayangkan ketika stres ketika jatuh begitu, tatkala soalan ditanya pada doktor “kenapa ayah saya begini, kenapa begitu?”

Dibalas bersama wajah kelat, “Awak tak faham ke saya cakap apa? saya cakap banyak-banyak tu awak tak faham? ni awak faham ke tak ni?”

Saya tarik nafas dalam. Mahu sahaja di balas, “doktor kalau saya cakap pasal islamic finance secara detail doktor faham tak eh?” I did not go to a medical school. Medik bukan bidang saya, tentulah saya tak faham. Tapi sekali lagi, saya cuma senyum. Bersangka baik mungkin dia terlalu penat.

Instead of saya marah, atau update status bukan-bukan, saya cari doktor lain, minta explain. Dalam setandan pisang tak semuanya buruk kan? Saya diberi penjelasan dengan baik, mantap. Walaupun wajahnya penat. Thank you doc, i dont remember your name but i do remember your face perfectly. Moga Allah balas dengan kebaikan.

Dan akhirnya abah dibenarkan keluar., segala kepahitan pun cuma tinggal kenangan. Saya yang dahulunya rasa sudah terlalu lelah, tak mampu bangun lagi, tetap masih utuh berdiri di sini. 

Mungkin dulu saya tertanya-tanya mengapa asal yang malang itu sahaja -- aku. Tapi mungkin kerana Allah tahu saya suka menulis dan mahu pengalaman ini dituliskan, untuk jadi pengajaran buat semua. 

Buat kamu yang dilanda ujian -- Percayalah, saya amat benar memahami ape yang kamu rasa sekarang. Dan percayalah Allah tak pernah pergi. Jangan putus asa. Teruskan berjalan. Sampai satu saat kau mampu berdiri tegak, toleh ke belakang dan cakap pada segala kenangan itu :

Dan dengarlah jeritku, jujur tak terfitnah, kau bagiku cuma suatu yang pernah. Eh ini lagu. Hehe. 

Rileks, senyum, stay strong because you have Allah by your side. Always. Remember, whatever happens, life goes on. Okay?

Ingat-- setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, dengan syarat kau sanggup berlapang dada dengar penjelasan, sanggup turunkan ego duduk berbincang. 

Dan --

Jadikan diri kita sampai satu tahap kita tak hingin apa-apa pun melainkan apa yang Allah rancangkan untuk kita. Berbahagialah dengan kesakitan yang kau rasa, kerana sungguh acapkali hakikatnya kesakitan itulah yang terbaik untuk kau. Kau tak tahu, sedang Allah Maha Tahu.

Im telling you to move on not because its not going to hurt, not because it is easy, but because to stop, is to die. 

Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (At-Talaq : 2)

~Takkan ku pamer reput di dada,
Takkan ku lemah,
Takkan ku goyah,
Takkan ku biar tubuh didarah~

P/S : ada sesiapa medical doctor atau medical student kat sini? Boleh tak saya minta nak susahkan sikit? Boleh PM saya? Saya ada sesuatu nak tanya. Thanks 😊


Read More......

Rindu.


"Kakakkk" anak kecil itu berlari pantas. Sesekali rambutnya terbang ditiup angin.

Saya membongkokkan badan, mendepangkan tangan. Sekejap sahaja, dia sudah berada dalam dakapan. 

"Kakak, best tak kerja?" Ceria dia bertanya.

Saya tersenyum. Masakan mahu diceritakan segala yang tersirat, "best."

"Tak sabar nak jadi besar. Heee" dia menyeringai.

"Kenapa?" 

"Boleh kerja, duit banyak beli menan" 

Saya tersenyum lagi. Comel. 

Kalaulah kau tahu dik... Lutut yang berdarah dan hilangnya pensel kesayangan adalah jauh lebih indah daripada rasa sakit pada hati yang berdarah dan kehilangan teman-teman rapat dan orang-orang kesayangan ; sama ada pergi atas kerelaan, atau perginya kerana dijemput Tuhan. 

Kedua-duanya benar-benar menyakitkan. 

"Kakk best kan jadi orang besar"

"Best." Senyum. Kepalanya saya usap perlahan.
 
Tabahlah dik, walau apa jua dugaan yang hadir, 

Selagi kau ada Tuhan dalam hati, jangan sekali kau  terfikir untuk berhenti. 

Dan pastinya ada orang-orang dalam hidup kita, yang apabila dia pergi -- dia bawa separuh jiwa kita bersama dan seberapa mungkin kita cuba meyakinkan diri bahawa kita boleh tegak berdiri, kita tetap acapkali jatuh tersungkur -- masakan tidak, hakikatnya kita sudah tempang sebelah kaki.

Tapi seberapa kali jua kau jatuh sendiri, jangan lupa untuk berdiri, hingga akhirnya kau mampu berlari -- walau dengan hanya sebelah kaki.

Hargai selagi ada waktu, sebelum yang mampu kau laku cuma duduk termangu.

Rindu. Al-Fatihah.

Read More......

Epal cantik



"Mak.. Hari ni cerita apa?"

Masa saya kecil, kalau emak ada masa, emak selalu bercerita. Kisah sang kancil dan buaya, kisah Nabi-Nabi, dan banyak lagi.

Tapi ada satu kisah ni, yang paling emak suka cerita. Diulang-ulang hingga saya hafal. Namun tak pula saya membantah, seolah-olah pada ketika itu saya juga suka mendengarnya. Ia kisah sebiji epal. Meh saya cerita macam emak -- 

Ada sebiji epal yang tumbuhnya ranum, cantik dipandang, isinya pasti lebih lazat. 

Namun dia tumbuh pada puncak sebuah pokok. Tinggi. Sukar benar digapai tangan. Kadang-kala ada sekumpulan budak-budak nakal yang membaling batu dan ranting kayu untuk menjatuhkan epal cantik itu, namun tetap gagal. 

Pada awalnya si epal cantik berasa megah. Masakan tidak, tumbuhnya di puncak tertinggi, diidami ramai manusiawi, cantik malah ranum lagi. Namun, apabila satu demi satu rakan-rakannya pada pokok itu telah pun dipetik, si epal cantik mula goyah. Dia mula ragu-ragu. Dia sudah tidak yakin diri.

Lama kelamaan, si epal cantik berasa sedih. Dia mula menggoyangkan badannya ke kiri ke kanan, cuba menjatuhkan dirinya ke bawah, sehingga suatu hari... 

"Plakk" emak membuat bunyi. 

Mengekek si kecil mastura ketawa, "plakkk" bunyi itu diikuti. 

Epal itu pun jatuh ke bumi. Bersorak lah kumpulan budak-budak nakal, epal itu diambil, dipijak, dikotori.. Seolah tiada harga,c sedangkan.. Jauh di sudut sana ada seorang pemuda yang asyik memerhati dan sedang berusaha mencari tangga untuk memanjat pokok epal tersebut dan memetik si epal cantik tadi. 

"Kenapa epal tu tak sabar mak?" Si kecil mastura pasti bertanya.

"Sebab dia sedih kena tinggal kawan-kawan"

"Ala mak ni kenapa suka cerita sedih?" 

Emak hanya akan tersenyum sambil mengusap kepala si kecil mastura, seolah berkata -- suatu hari nanti kau mesti faham, nak. 

"Wawa nanti dah besar jangan jadi macam epal tu tau. Mesti jadi baik. Jaga harga diri. Jaga maruah. Macam epal tu, orang hebat je dapat petik kan kalau dia tak jatuhkan diri dia sendiri?"

"Wawa mana tumbuh kat pokok" berkerut mata si kecil mastura, cuba memahami. 

Emak tergelak. Senyum. Diam. Dan cerita itu akan berulang lagi, hari demi hari, malam demi malam. 

Hinggalah kini, si kecil mastura itu sudah besar, hinggalah kini, baru aku faham erti di sebalik cerita itu. 

Hari ini -- mengenangkan cerita itu, mataku bergenang. Betapa mesej emak terlalu mendalam. Betapa hari ini telah terlalu banyak "epal cantik" yang aku temui, namun telah menjatuhkan diri dan dikotori. "Epal-epal cantik" yang telah jatuh itu acapkali pula menangis kerana disakiti -- seolah ia lupa akan sebuah harga diri.

Ah hawa, 
Mengapa kau selalu mencampakkan diri pada 'orang asing' yang sering sahaja menyakiti?
Seolah-olah ibu ayah tak pernah menjaga, menatang kau bagai minyak yang penuh.
Walhal dahulu -- hatta seekor nyamuk pun tak pernah dibiarkan hinggap di pipimu itu.
Ingat pesan emak,
Biarlah orang yang kau pilih itu nampak biasa -- asal sahaja dia tahu menjaga dirinya.
Biarlah tiada pekerjaan tetap -- asal sahaja dia tetap bekerja.
Biarlah berani beri kepastian -- bukan menggantung dengan penuh keraguan.

Entah hawa,
Aku bingung.
Mengapa hati itu kau benar dirobek segala,
Aku tidak tahu, 
Sudikah kau bisikkan padaku? 

:)

Thank you emak. I love u so much. Kalaulah ada pahala yang Allah mahu beri dari penulisan ini, moga sahaja ia disalurkan pada emak, pada abah. 
****

P/S : gambar takde kena mengena dengan cerita. Cuma nak bagitahu, lately ni sebab terlalu banyak perkara perlu diuruskan saya jadi agak sedikit down. Hampir sahaja give up. Or sebenarnya dah give up? Tapi Allah tu baik, pandai benar menghibur. Kalau rapat dgn saya mesti tau saya die hard fan hello kitty, tsk. Saya ada nak beli usb fan ni, tapi mahal so saya pendam saja hasrat itu. Harini masuk ofis ada hadiah atas meja, tak sempat buka, bawak balik rumah. Nasib baik tak buka kat ofis, kalau tak tercalar kemachoan. buka kat rumah terus rasa sebak dada nak nangis. KENAPA SEMUA ORANG SWEET SANGAT NI. KENAPA SEMUA ORANG BAIK SANGAT NI 😭😭😭 terima kasih. Thank you too to all the beautiful and handsome doctors and medical students yang PM saya haritu dan explain sepenuh hati. Allah, moga syurga milik kalian. Rasa tak layak diri ni dikelilingi orang orang baik seperti kalian.

Dan yang paling penting -- terima kasih Allahku sayang atas segala surprise yang tak pernah terduga.

Jom, yakin dengan Allah dalam segala hal. Dia paling sweet, paling mencinta :) jom tajdid niat. Bismillah...

Hashtag mudah tersentuh. 😭

Read More......

You are not broken


Saya pasti setiap orang ada cara untuk lepaskan stress masing-masing.

Kalau saya -- salah satu cara ialah saya akan 'berkampung' kat dapur. Kelentang kelentung aa dapur mak. Lagi stress, lagi lama duduk kat dapur. Siap marinate ayam, buat kek, masak spagheti, lasagna, kadang dari pagi sampai malam duduk dapur. Keluar kejap-kejap pergi sembahyang. Macamtulah -- saya akan duduk dapur sampai saya rasa saya boleh keluar dari dapur berwajah baru, berjiwa kental, dan lupakan semua benda yang menyakitkan.

Orang kat rumah dah faham, selalu diorang biarkan je. Last-last diorang juga yang makan. Malah kadang-kadang diorang suka pula saya stres.  -.-"

Dulu saya geram juga dengan diri sendiri. Yelah, dah stress tu penat kat otak, lepastu kenapa nak penatkan badan sendiri. Kenapa tak nangis lepastu tidur je. Kenapa kenapa. 

Lepastu saya fikir -- kadang tu Allah bagi ujian untuk kita buat kebaikan. Mungkinlah saya ni dah lama sangat tak masak sebab perasan sibuk, emak agaknya teringin nak makan saya masak tapi tak sampai hati nak cakap so Allah yang Maha Tahu pun cakap "kun fa yakun"

Masuklah saya ke dapur dengan asbab stres. Macam bila kita dah jauh sangat dengan Tuhan lepastu Allah bagi ujian, kita jatuh terjelepuk mula cari sejadah semula dan menangis berdoa "cukuplah Kau bagiku ya Allah" 

Semua yang berlaku sebenarnya adalah penyebab je untuk sesuatu yang lebih baik.

Everything happened for a reason. Cuma yelah, kadang-kadang manusia ni suka tengok secara sempit. Selalulah yakinkan diri setiap yang berlaku ada hikmahnya, setiap yang pergi akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik, setiap yang akan datang pasti jauh lebih bagus dari yang lalu. Kalau kita rasa yang datang tu lagi tak best dari yang lepas -- saat tu kita perlu renung balik jauh ke dalam hati, kita perlu belajar erti syukur dan bukannya membanding-bandingkan. Kita perlu percaya apa yang Allah bagi, itulah yang terbaik.  

Percaya je. Kalau tak faham, tutup mata, tarik nafas dan cakap ya Allah aku tak faham apa yang berlaku, Kau bantulah aku lalui semua perkara ni. 

Mana tahu -- dengan ujian yang kau lalu, kau mampu bantu manusia yang beribu. 

Sudahlah sayang -- kau tak pernah hancur, kau rasa je macam kau hancur, tapi tak. Kau masih di sini, kau gagah, kau cuma keliru mencari diri, kau cuma tak tahu mana mahu pergi. Kau cuma tak pasti destinasi.

Ah, kau cuma -- kau cuma terluka sikit je, dah ambil ubat letak kat hati, dengar baik-baik apa yang Allah janji ; setiap kesusahan disertai kemudahan. Aku tahu kau pasti sembuh, kerana aku percaya pada Dia, dan cintanya Dia pada kau.

Dan hakikatnya -- ubat stres terbaik adalah kau dekatkan diri dengan Tuhan. Tak kisah mula-mula kau nak buat apa pun nak jerit nak nangis ke apa asalkan masih dalam ligkungan baik, kau buatlah. Lepastu ambil wudhu, sembahyang, baca Quran.

Makin cepat kau kembali pada Tuhan -- makin cepat stres kau hilang. Bukankah ujian itu Dia yang beri? Dia jugalah yang boleh ambil kembali.

Gagal tak pernah buat langit jadi mendung -- tersenyumlah meski kau tersadung.

Senyumlah. 😊😊😊

Anyway, orang kat rumah dah tak boleh suka tengok kak wawa berkampung kat dapur sekarang, sebab kak wawa dah ada idea baru bila stress -- stresskan orang lain pula. *flipping tudung*

Dan barang siapa berpaling dari peringatanKu, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit... (Taha :124)

~broken clouds pour pain, 
Broken soil sets as field,
Broken seeds give bread,
If you think you are broken, 
Know that Allah has a plan for you~

Salam cinta.

Read More......

Wednesday, August 19, 2015

Dugaan? Bring it on!


Saya sangat suka naik roller coaster. Sangat-sangat suka. Suatu hari, kawan saya tanya,

"Mas, kenapa eh kau suka sangat naik roller coaster?"

Saya pun fikir-fikir kenapa, "em, sebab aku rasa dia macam kehidupan kita kot. Ada naik, ada turun, ada rasa nervous, ada rasa rileks, ada rasa bahagia..kadang-kadang laju, kadang-kadang tersangkut." 

"Wah mantap jawapan kau" ujarnya kagum. Walhal dia tak tahu saya pun baru dapat jawapan tu lepas dia tanya. Selama ni naik roller coaster sebab boleh lepaskan stress jerit tanpa orang tahu saya tengah stress je. Maaf, kau ditipu kawan. :p 

Dan walaupun saya amat suka naik roller coaster, saya dikelilingi rakan-rakan yang amat tak suka roller coaster. Tsk.

"Alaa jomlaa naik jomlaa" setiap kali ke taman tema, itulah yang akan berlaku. Pujukan beserta janji setia akan belanja makan, belikan panadol kalau pening serta bertanggungjawab atas segala perkara buruk yang mungkin berlaku. Kadang-kadang misi berjaya, kadang-kadang mereka buat tak tahu saja. Aku pasghoh. 

Mula-mula tu tension juga, tertanya-tanya kenapalah Allah tak bagi kawan yang sama je semua serba serbi, suka benda yang sama, habit yang sama. Ah senang cerita semua sama.

Ini tidak. Saya tak suka sejarah, kawan suka sejarah. Saya suka matematik, kawan tak suka matematik. Saya suka roller coaster, kawan suka lari-lari. Saya tak faham bahasa kias-kias, kawan suka berkias. Kalau tak sabar memang boleh jadi gaduh. Apa taknya, kalau lapar, kawan suka cakap,

"Aku rasa macam laparlah."

"Oh makanlah"

"Tapi macam tak bestlah makan sorang-sorang."

"Dah besar pun takut. Mana ada hantu, kau makan jelah."

Dah lama tu dia tak gerak juga "kau kata nak makan?" 

Lepastu baru dia cakap, "sebenarnya aku nak kau temankan aku makan. Tak syok makan sorang takde geng" 

LAH. CAKAP DARI TADI KAN SENANG. Dont make things complicated. Orang dah kata tak faham kias-kias buat jugak 😤

Tapi lama-lama tu -- saya terfikir. Ah, buat apa nak sibuk-sibuk ubah orang jadi macam kita, dah kalau semua benda nak sama lebih baiklah saya berkawan dengan diri saya sendiri je. Saya belajar menerima. Belajar buat satu buku kosong, kalau ada yang sama, ada. Kalau tak ada, tak apa. Saya kurangkan expectation. Begitu hati lebih bahagia. Lagipun -- berbeza-beza itulah yang indah. Kau tak lengkap, aku lengkapkan. Aku tak lengkap, kau lengkapkan. Cantik. Warna-warni. Kalau dunia ni semua satu warna je, mana datang serinya? 

Saidina Ali, Umar, Uthman, Abu Bakar -- masing masing ada karekter yang berbeza. Tapi ukhwah mereka tak pernah luntur. Malah bersahabat hingga ke syurgawi!

"Kau ni mas, nak kahwin nanti jangan cari lelaki gayat." Suatu hari teman itu memberi pendapat.

"Kenapa pulak?"

"Nanti kau merayu sampai air mata berdarah pun dia takkan teman kau naik roller coaster"

Saya ketawa, dan kelmarin saya send gambar ini pada dia beserta caption -- aku janji. Kalau ada orang yang sudi teman aku naik roller coaster ni, aku kahwin dengan dia. Betul, aku janji.

Seminit, dua minit, lima minit, handphone saya berbunyi. Mesej itu dibalas --

Bagus. Kau takkan kahwin sampai bila-bila. Tahniah kawan.

Ini biadap. Saya terus delete nombor dia. Block whatsapp. Off handphone dan putus kawan. Hehe tipu je, mana ada. Kan kita hidup untuk saling melengkapi.

Dan bukankah hidup ini bagaikan roller coaster, ada naik turunnya, ada tahap-tahap ekstrimnya... Dan sungguh, bila kau dah biasa naik dari satu tahap ke satu tahap -- hatta seekstrim mana pun roller coaster yang akan kau naiki nanti, kau takkan rasa gentar, malah kau boleh ketawa seronok, seronok juga gelakkan orang yang jerit jerit takut. Eh. 

Seolah-olah kau berkata pada kehidupan --

Apa? Dugaan? Come on, Bring it on! 💪

Salam cinta. :)



Read More......

Monday, August 10, 2015

Tak apa.



Tak apa, 
Anak kami dibakar hidup-hidup.
Hangus, derita.

Tak apa, 
Sudah kering air mata kami mengalir,
Sudah biasa dengan derita,
Sudah lali dengan hilangnya mereka,
Sudah.
Sudah bosan dengan dayusnya dunia.

Tak apa, 
Kapal kami karam di tengah lautan,
Tiada siapa peduli, 
Tiada siapa hairan,
Kerana semua sibuk mengata yang bukan-bukan,
Bangga saudara sendiri dicemuh hina hanya kerana sebuah kesilapan.

Tak apa,
Sungguh-sungguh kami katakan tak apa,
Kami sudah biasa,
Sejak dahulu kala,
Sejak kami menagih kami dibela,
Siapa yang endah?
Kau? Mereka? 
Semua memandang tidak kuasa.

Tak apa,
Kami takkan merayu lagi, 
Kami takkan minta kau pasakkan kaki,
Takkan minta kau renung-renung lagi,
Tak apa, jangan kau peduli.

Tak apa,
Buatlah apa yang kau suka, 
Bukankah dunia ini sementara,
Kelak di akhirat sana,
Kami harap kau sediakan jawapan semua,
Untuk dijawab di hadapan Yang Esa.

Tak apa sayang,
Jangan lagi kau menangis di pusara ibumu,
Jangan lagi kau bersedih atas hilangnya anakmu,
Jangan kau khuatir pada kematian suamimu, 
Berjalanlah dan teruskan hidup kamu, 
Dan lihatlah manusia --

Yang berbangga bersama sebuah hati palsu.

~syria, palestin.
I talked to Allah about u. A lot.

And then,
I cried. Maaf. Maaf. Maaf~

😢😢😢

Read More......

Saturday, August 8, 2015

Life's mission


Sebenarnya cerita dia mudah je -- 

Saya dah lama pasang niat nak pergi legoland. Tapi sebab tiket dia pada pendapat saya agaklah overprice so saya tangguhkan niat. Bulan demi bulan. Sampai saya rasa biar jelah niat tu tinggal niat. 

Tapi sungguh Allah itu Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Dialah juga yang merancang sebaiknya.

Tiba-tiba office nak buat event kat legoland. Tapi sayangnya, tarikh yang diberi pada mulanya tidak kena dengan jadual saya. Saya ada urusan yang lebih penting. Sekali lagi, saya mengeluh kecewa. Puas saya pujuk hati untuk redha. Tak apa, Allah tahu yang terbaik.

"Mas, if we change the date to 7 august, are you able to join?" Suatu hari, saya ditanya soalan begitu.

"Yup"

Dan begitulah kisahnya -- hingga akhirnya saya berjaya jejakkan kaki di sini. Namun ia tidak berakhir di situ. Semua orang siap bawa topi sebab semua sedia maklum, legoland sangat panas. 

Tapi hari ini, hujan turun dengan lebatnya. Sampai kami terpaksa berteduh di restoran dan makan dulu. Sekali lagi sedih bertamu. Cepat-cepat saya mengingatkan hati tentang surah Al Insyirah -- setiap kesusahan disertai kemudahan.

Tak berapa lama, hujan berhenti. Kami meneruskan ekspedisi. Alangkah benar janji Allah! Kerana lebatnya hujan sebentar tadi, lautan manusia sudah surut, hingga kami mampu main semua permainan berulang kali -- tak perlu tunggu lama.

Cuaca yang redup juga amat mendamaikan. Hampir menitik air mata -- terharu. Betullah, kalau kau ada Allah apalah lagi yang perlu kau bimbangkan? Sabarlah, sekejap lagi kau nampak hikmah.

Bertekadlah, berazamlah, dan serahkan segalanya pada yang Esa. Allah tak pernah suruh kau stres, bimbang, atau risau tak tentu pasal. Allah kata --

Faiza azamta fatawakkal 'alallah. Apabila kau sudah berazam(bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah (al-imran : 159) 

Life's mission - pergi legoland tanpa guna duit sendiri, checked!

Lepasni bila orang tanya "eh awak orang jb? Dah pergi legoland?" 

Takdelah tersenyum sambil geleng. Siap boleh jawab "sudahhhh" dan buat muka eh-kau-tak-pergi-lagi-ke? 

Gurau je. Alhamdulillah 'ala kulli nikmat. Dan nikmat yang mana lagilah yang ingin aku dustakan. 

Sekarang cuba teka -- siapa tadi yang dah tahu tak boleh kena hujan tapi degil main hujan macam budak kecik dan mula nak demam sekarang? 😳😳😳

Hajat doa ye 😊

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .