Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, November 30, 2011

Bilal Itu Masih Seorang Hamba.


Meniti hari-hari yang mendatang, dengan jiwa yang kosong... Bersama hati yang kontang.

Ah sahabat! Saban waktu kita terlupa bahawa kita ini hanyalah seorang hamba kepada pencipta. Seorang yang tidak punya apa, segalanya yang ada pada kita hanyalah pinjaman semata.

Mari kita tanya pada diri, yang mana satu milik kita sehingga kita mampu berasa bongkak dan angkuh, seolah-olah kita tidak perlukan Tuhan, pentadbir seluruh alam semesta...

Melihat kembali kepada perkataan hamba. Ah, hamba.

Ada seorang hamba yang dahulunya diseksa, dijemur di bawah terik mentari. Diletakkan batu besar di dadanya, namun mulutnya masih lagi menyebut, 'ahad, ahad'(Allah Yang Maha Satu! Allah Yang Maha Satu!)

Kamu pasti tersengih,sudah tahu siapakah hamba itu. Ya, Dialah Bilal bin Rabah... Seorang hamba yang tersohor, diseksa tuan yang tidak punya hati...

Wahai Bilal!

Kami malu denganmu, engkau diseksa dengan begitu teruk, tapi engkau masih utuh memilih Allah... Sedang kami, baru sahaja diuji sedikit olehNya sudah mula berputus asa, tidak percaya lagi kepada pencipta... Entah dimana letaknya iman yang saban waktu dahulu kami asyik bercerita.

Wahai Bilal!

Tatkala mulutmu tetap sahaja menyebut ahad! ahad! walau diseksa dengan satu seksaan yang tidak terjangkau dek akal, kami pula.. diuji dengan sedikit ujian sudah mula mengeluh itu ini... kami berkata : Wahai Tuhan! Mengapa aku yang diuji, Aku sudah tidak mampu lagi..

Sedang kami masih hidup lagi sehingga sekarang...bukti Allah tahu kemampuan sebenar diri kami...

Wahai Bilal!

Tatkala bibirmu basah menyebar dakwah kepada golongan hamba... Kami pula sibuk menjadi perosak dakwah, menjadi fitnah kepada Agama yang kononnya kami kata kami cinta. Yang kononnya kami kata kami sayang. Kami berpeleseran sana-sini. Kami menuding jari kepada teknologi. Ya, teknologi inilah yang membinasakan kami.

Kami berkata lagi.. Ah, orang-orang terdahulu tidak punya ujian segetir kami ini. Kami ditentang dari seluruh penjuru. Jangan sama kan kami dengan mereka!

Ya Bilal, kami terlupa di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat ke-286 ada menyebut : Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Bukti bebanan orang terdahulu lebih berat, dan kami masih terus membangga diri..kononnya kamilah sebenarnya Hero Umat!

Wahai Bilal!

Suatu ketika, Jibril datang bertemu Rasulullah dan bertanya ; apakah tadi tiada solat dijalankan kerana tidak terdengar suara azan di langit.

Kami tahu bilal, suaramu yang mengalunkan azan selalu sahaja didengari sehingga ke langit sana. Engkau ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa.

Dan kami... Kamu tahu bilal, kami ini walaupun azan telah berkumandang, kami masih lagi tidak bergerak menunaikan perintahNya yang satu itu. Kami leka. Seolah-olah televisyen, komputer dan pelbagai lagi teknologi canggih itulah Tuhan kami. Kami mengenepikan Rabb yang satu, dan Allah masih lagi memberi nikmatNya tanpa mengenal erti jemu.

Dan kami mendabik dada : Lihat, Allah sayang aku! Diberinya nikmat tanpa henti! Lihat! Doa aku dimakbulkan Tuhan!

Ah, bilal.. pasti engkau sedih kerana engkau sendiri tidak pernah berkata sebegitu walaupun Allah telah menunjukkan kehebatanNya kepadamu dengan sekelip mata.

Ya Bilal.. Aku pasti engkau masih ingat peristiwa di mana bila saat engkau mahu dibebaskan..tuanmu memberi biji kurma sebanyak 7 biji yang sudah dibakar dan menyuruhmu menanamnya beserta arahan : Esok mesti tumbuh!

Ah, ini tidak logik. Tidak masuk akal. Mana mungkin pokok boleh tumbuh dalam sekelip mata, apatah lagi biji kurma itu sudah dibakar... Dan akhirnya Rasulullah menolongmu menanamnya. Keesokan harinya, tumbuh pohon-pohon kurma yang rimbun, dan sekarang kurma-kurma itu dipanggil kurma Rasulullah.

Hebatnya Allah memeliharamu duhai bilal! Tapi tidak pernah sekali engkau membangga diri....

Wahai Bilal!

Meski engkau sudah dibebaskan setelah dibeli oleh Abu Bakar r.a, engkau masih lagi berjiwa hamba.

Ya, Bilal itu Masih Seorang hamba... hamba kepada pencipta.

Sedangkan kita, berlagak tuan kepada Tuhan!

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah kami dan jauhkanlah kami dari seksa api nerakamu!

wallahu'alam.

Read More......

Wednesday, November 23, 2011

Ramadhanku



nota diri : saya bagai terdengar suara berkata ; mastura..buat assignments. tp entah kenapa saya masih menaip cerpen ini T_T artikel adik-adikku : aurat pun belum lagi bersambung. Maafkan kekurangan saya ini..

***

“Woi! Tunggula..!” Terkedek-kedek Ibtisam, anak kecil berumur 8 tahun itu menuruni anak-anak tangga rumah kayunya untuk menuju ke bawah- tempat di mana teman-teman sepermainannya sedang asyik bermain bunga api.

Umar tersengih sumbing, “Kau ni ibtisam, cubalah sopan sikit. Aku tengok tak macam perempuan pun.”

“Apa kau kata?” Bulat mata ibtisam memandang Umar. Marah ditegur begitu biarpun Umar setahun tua darinya .

“Aku kata.. Kau ni tak macam perempuan.” Selamba Umar mengulangi tuturnya.

“Apa?”

“La… Sejak bila kau jadi pekak ni. Aku kata kau ni tak macam…..”

‘Pok!’

Tepat kasut berjenama bata ibtisam itu mengenai wajah Umar.

“Adoi!” Umar mengusap-usap wajahnya. Posisinya yang sedang berdiri diubah kepada mencangkung.

Ibtisam serba-salah.

“Er…. Sakit ke?”

Umar diam.

“Umar.. Kau sakit ke?”

“Tak”

“Oh, lega aku.” Lurus bendul jawapan ibtisam menaikkan kemarahan Umar.

‘Pok’

Sekelip mata kasut saiz berjenama bata itu tepat mengenai peha gadis cilik itu.

“Hoi! Sakitlah!” Ibtisam menggosok-gosok pehanya.

“Aku ingat tak sakit.” Sekejapan, Umar hilang dari pandangan mata.

***

“Amboi…. Termenung jauh nampak?” Puan Salmah mengusik anak gadisnya yang semakin menginjak dewasa.

Ibtisam tersenyum. Pandangannya masih ditumpukan ke kawasan lapang halaman rumahnya.

Umar- teman sepergaduhannya suatu ketika dahulu kini menjadi tunangannya. Jarak memisahkan mereka, Umar sekarang berada di tahun akhir di Universiti Jordan sedang ibtisam menuntut di Malaysia. Namun, ibtisam tidak peduli. Baginya, cukuplah pertemuan dan kemanisan percintaan selepas berkahwin nanti.

“Sekejap je masa berlalu kan umi…”

“Iya. Dulu ibtisam comot je.. Ganas pula tu. Sekarang dah lain dah anak umi seorang ni.” Puan Salmah tersenyum sendiri, mengenangkan kelincahan anak gadisnya suatu ketika dahulu.

Ibtisam diam.

“Umi….”

“Ya nak..”

Ibtisam mendengus. “Sekejap je Ramadhan dah nak tinggalkan kita… Entah dapat ke tidak ibtisam bertemu dengan Ramadhan akan datang.”

Puan Salmah menggeleng. “Ibtisam muda lagi nak.. Umi yang sepatutnya risau begitu.”

“Umi…”

“Ya nak…”

“Adakah mati kenal pada usia?”

Puan Salmah menggeleng. Dalam hatinya, dia bersyukur dikurniakan anak sebegini. Lantas dia bangkit dari duduknya, dan beralih posisi ke sebelah ibtisam. Rambut ibtisam dielus lembut.

Pantas, ibtisam merebahkan kepalanya ke ribaan umi tercinta.

“Sayang…”

“Ya umi..” ibtisam memejamkan matanya sedikit. Terkesan dengan kelembutan tangan Puan Salmah.

“Tak lama lagi, ibtisam jadi milik orang.”

Ibtisam tersentak. Baru dia tersedar, lebih kurang sebulan sahaja lagi pernikahannya dengan Umar akan berlangsung. Matanya kembali dicelikkan. Dia duduk menghadap Puan Salmah.

“Umi, ibtisam takut…”

“Jangan takut nak… Berkhidmatlah untuk suamimu sedayamu. Jangan sesekali sakiti hatinya. Jika ada perbalahan, bincanglah sebaik mungkin. Jangan mengeluh itu dan ini. Jangan meminta itu dan ini. Belajarlah untuk bersyukur..Sayangku, contohilah peribadi Siti Khadijah yang membenarkan Rasulullah tatkala semua orang mengingkarinya, yang rela berkorban segalanya untuk Islam. Contohilah Saidatina Aisyah, yang kemanjaannya dan keletahnya sentiasa menghiburkan baginda Rasulullah. Ibtisam, jadilah isteri cerdik yang solehah.” Tulus, Puan Salmah menyampaikan amanat.

Mata ibtisam berkaca. “Umi, Allah terlalu baik kerana membenarkan ibtisam lahir dari rahim umi.”

Puan Salmah memeluk anaknya penuh kasih.

***

‘Kring! Kring!’ Telefon rumah berbunyi nyaring.

“Ibtisam… angkat telefon tu.” Puan Salmah berteriak sambil tangan masih lagi mencantas rumput-rumput yang tumbuh meliar di pasu bunganya.

‘Kring!’

“Ya Allah mana budak ibtisam ni…” Puan Salmah merengus, tangan pantas mencapai tuala kecil yang disangkutkan pada kerusi berdekatan. Kotoran di lap, dan kakinya segera melangkah ke arah bunyi telefon yang semakin membingit.

“Hello Assalamualaikum…”

Puan Salmah khusyuk mendengar bicara seseorang di sebelah talian.

“Allah..Allah..” Perkataan Allah tidak henti-henti keluar dari bibirnya.

“Sabar ya. Ya, nanti saya beritahu ibtisam. Assalamualaikum”

Gagang diletakkan.

Hati Puan Salmah hancur. Dia membayangkan hati ibtisam pasti lebih hancur lagi. Berita yang didengarnya sebentar tadi...

Ah.

Puan Salmah meraup wajah. Punggungnya dilabuhkan sebentar di atas lantai, memikirkan cara yang terbaik agar hati si anak tetap terjaga baik.

“Umi..” Bahu Puan Salmah disentuh lembut. Puan Salmah tersentak. Birai matanya yang mula digenangi air dikesat.

“Umi okay ke?” Redup mata ibtisam yang masih bertelekung dan memegang selembar Al-Quran di tangannya memandang umi tercinta.

“Ibtisam...” Bergetar suara Puan Salmah menyebut nama puteri kesayangannya.

“Ya Umi.. Kenapa ni umi?” Ibtisam melabuhkan punggung di sebelah Puan Salmah.
Kepalanya dilentokkan ke bahu uminya. “Ibtisam ada buat salah ya umi?”

Puan Salmah menggeleng perlahan. “Ibtisam buat apa tadi?”

“Ibtisam solat dhuha umi kat bilik.”

Puan Salmah mengangguk.

“Ibtisam..”

“Ya Umi..”

“Kalau umi ada bagi ibtisam pinjam barang, kemudian umi minta kembali barang tu... Ibtisam bagi tak?”

“Mestilah. Kan barang umi... em, ibtisam pinjam apa ya umi? Oh, baju kurung umi ya! Subhanallah terlupa pula.” Ibtisam mengerut-ngerutkan keningnya sambil mulutnya tidak berhenti bercakap.

Hati Puan Salmah hancur lagi... Bagaimana mungkin dia menghentikan keceriaan di wajah puteri tercinta.

“Ibtisam tahu kan... Di dunia ni tak ada satu pun yang menjadi milik kita.. Semuanya Allah beri pinjam je.”

Ibtisam mendengar tekun.

“Sayang... Umar..”

“Umar?” Mata ibtisam bercahaya mendengar nama itu. Umar yang ditunggu sekian tahun bakal pulang ke Malaysia. Hari ini. Ya sepatutnya jejaka itu sudah berada di dalam kapal terbang ketika ini. “Umar dah sampai Malaysia ke umi?”

Puan Salmah menggeleng lagi. Wajahnya dipalingkan sedikit, tidak sanggup lagi melihat wajah ibtisam. “Umar kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Queen Alia. Dia... Dia maut di situ juga kerana kehilangan darah yang banyak.” Puan Salmah memandang raut bersih wajah ibtisam.

“Innalillah...” Ibtisam menjawab tenang. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu. Puan Salmah sedar, ibtisam menggenggam erat Al-Quran di tangannya, di bawa rapat ke dada. Diciumnya Al-Quran itu bertalu-talu.

Puan Salmah sedar, hati puterinya itu hancur berkecai. Puan Salmah tahu, ibtisam sedang berlagak tenang meski hakikatnya dia mahu menangis semahunya.

“Ibtisam... Kalau mahu menangis, mari menangis di bahu umi.”

Ibtisam menggeleng. “Tidak umi... Allah pinjamkan Umar di dunia ini sementara cuma, sekarang Allah mahu mengambilnya kembali.. Apakah layak ibtisam mengeluh?”

Ibtisam memandang ke bawah, menahan sekeping hati yang calar. Puan Salmah diam seribu bahasa.

“Umi.. Ibtisam minta izin masuk bilik dulu ya.”

Puan Salmah mengangguk.

***


dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Surah Al-Baqarah Ayat 216 itu direnungnya lama. Ibtisam masih berteleku di atas sejadah. Sebentar tadi setelah mendapat perkhabaran menyedihkan daripada umi tercinta, ibtisam segera menunaikan solat dua rakaat.

Dia ingin merawat hatinya yang calar,tapi entah kenapa makin berdarah.

Dia ingin menyeka air matanya daripada tumpah, tapi entah mengapa makin melimpah.

Ibtisam nanar. Dia tidak suka berperasaan begini.

Allah.. Bantulah hambaMu ini...

Ibtisam berbisik perlahan, air mata yang tumpah dikesatnya. Terkadang memori bersama Umar enak bermain-main di mindanya. Segera, ibtisam beristighfar.

Umar... tanggungjawabmu di dunia sudah tamat. Moga tenang di sana, bersama orang-orang yang soleh.

***
Masa berlalu pantas. Setahun sudah peristiwa pahit itu berlalu. Kini, Ramdhan datang lagi, melakar memorinya yang tersendiri...Namun hati ibtisam masih lagi tidak sembuh.

“Assalamualaikum warahmatullah...” Ibtisam memberi salam ke kanan, dan kemudian ke kiri.

Dia meraup wajahnya. Berdoa buat dirinya, keluarga, sahabat... dan juga.. Umar.

Segera telekungnya dibuka dan dilipat bersama sejadah. Almari pakaiannya dibuka. Ibtisam mengeluarkan sehelai jubah, disarungnya ke tubuh.

Tudung labuh berwarna hitam yang sedia tergosok diambil dan dipakai. Kunci kereta myvi kesayangannya yang terletak di atas meja dicapainya pantas. Kakinya diatur menuju ke luar.

Ibtisam mencari-cari kelibat uminya.

“Umi..” Pinggang Puan Salmah dipeluk dari belakang. Puan Salmah yang sedang menjalankan rutin harian bersama pokok-pokok di perkarangan rumah terkejut.

“Ish! Ibtisam.. boleh sakit jantung umi macam ni.”

“Biar sakit jantung, jangan sakit hati.” Ibtisam tersengih.

“Ada je nak menjawab yaa dia ni.” Puan salmah mencubit lembut pipi ibtisam.

“Umi, ibtisam nak keluar sekejap..”

“Pergi mana?”

“Ambil angin kat pantai jap.. boleh ya umi?”

Puan Salmah mengangguk. “Hati-hati, jaga diri.”

Ibtisam tersengih. Segera tangannya diangkat dan membuat tabik hormat. “Baik tuan!”
Puan Salmah tergelak kecil. Ibtisam mengambil tangan Puan Salmah dan dikucupnya perlahan.

“Pergi dulu Umi...”

***

“Ah!” Keluhan dari mulut mungil ibtisam keluar juga. Ingin sahaja dia menjerit sekuat hati,melepaskan segala tekanan yang bersarang di jiwa.

Ombak laut yang bergelora itu, begitu jualah gelora hatinya. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup tidak langsung menenangkan jiwanya.

Ibtisam duduk beralaskan pasir nan putih. Diraupnya wajah dengan tangan mulusnya. Matanya dipejamkan, menahan mutiara jernih itu daripada tumpah lagi.

Tidak…cukuplah dikau mengalir. Cukup!

Ibtisam nekad.

Dia tahu selama setahun ini dia berpura-pura gembira. Dia tahu betapa sukarnya merawat hati nan calar. Dia tahu betapa banyak kali dia cuba bersangka baik dengan apa yang berlaku.

Dan dia juga tahu… Dia sekadar seorang manusia biasa yang punya hati yang biasa. Sehebat mana pun manusia memandang dirinya, hanya Allah jualah yang mengetahui duduk sebenar dirinya.

Angin yang bertiup semakin garang membuatkan tudung labuhnya terangkat-angkat sedikit. Ibtisam menahan menggunakan tangan.

Setiap insan, pasti merasa.. saat perpisahan terakhir..

Lirik lagu kumpulan Rabbani itu berkumandang. Telefon bimbit Blackberry 9700 nya dikeluarkan dari beg kecil berwarna biru. Ibtisam tersenyum memandang nama si pemanggil ; umi.

Butang hijau ditekan.

“Assalamualaikum umi..ibtisam sihat lagi ni, nanti ibtisam balik ye” Belum sempat Puan Salmah mengeluarkan kata, ibtisam terlebih dahulu menyudahkan bicara.

“Waalaikumussalam… hish kamu ni ibtisam, tak sempat umi nak bercakap.”

Ibtisam tergelak kecil “Ala, ibtisam tahulah umi risau kan ibtisam…”

“Memanglah, tapi ada perkara yang lebih penting lagi.” Suara Puan Salmah tegas. Hati ibtisam kecut. Dia masih lagi trauma dengan berita yang Puan Salmah khabarkan setahun yang lalu.

Ah, Apakah lagi ya Allah..

“Em, ya umi… umi tak mahu tunggu ibtisam balik dahulu?”

Puan Salmah diam sejenak. “Tak apa, umi beritahu sekarang sahaja ya?”

“Baik umi, apa dia?”

“Ada orang datang merisik.”

“Alhamdulillah… baguslah tu umi, umi pun perlukan tempat bergantung. Abi dah lama tak ada.”

“Hish, apa pula umi. Kamulah”

“Ha? Ibtisam? Siapa yang datang umi?” Hampir bercantum kening ibtisam memikirkan gerangan empunya diri yang merisik dirinya.

“Ramadhan”

“Ramadhan?” Ibtisam tambah pening. Seakan pernah didengar nama itu... Adakah mungkin...
“Dia senior waktu kamu sekolah dulu.”

Ah! Ibtisam tersentak. Memori mengenai seorang jejaka soleh bernama Ramadhan semakin berlegar-legar di ruangan mindanya.

Dia ingat... Ramadhan itulah yang menjadi kegilaan para pelajar wanita. Ramadhan yang menjadi murid contoh. Disegani kerana ketokohannya,kepandaiannya serta sifat tawadhuk yang ada dalam dirinya.

Ramadhan itu... “Ramadhan ketua unit Badan Kerohanian dan Dakwah?” Spontan ayat itu meluncur laju dari mulutnya.

“A ah, dia baru habis belajar di Mesir.”

Mata ibtisam berkaca.

Allah..Sungguh engkau tidak pernah menzalimi hambaMu.

“Ibtisam” Suara Puan Salmah di hujung talian menariknya ke alam realiti.

“Ya Umi.”

“Ibtisam fikir-fikirkanlah ya sementara mencari ketenagan di luar tu. Minggu depan insyaAllah dia hantar rombongan meminang.”

Mata ibtisam yang berkaca mula mengalirkan titis-titis jernih, mengalir laju ke pipinya. Terasa sungguh Allah itu amat dekat dengannya.

“Baik umi.. Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam.”

Telefon bimbit dimasukkan kembali ke dalam beg. Air mata yang mengalir diseka. Dia segera bangun, mengibas-ngibas sedikit belakang bajunya yang dilekati pasir.

Kakinya bergerak laju ke surau berdekatan dan ingin segera melakukan sujud syukur. Tanda terima kasih kepada Allah yang sentiasa memahami dirinya dan mengatur yang terbaik buat dirinya.

Air mata yang bersisa dikesatnya lagi. Ibtisam tersedar, manusia sering mengeluh apabila apa yang dihajati tidak diperkenankan Allah, hakikatnya Allah sedang mengatur yang terbaik buat diri mereka.

Dan..Akhirnya air mata yang ditahan-tahan itu tumpah jua. Kali ini bukan kerana luka, malah bahagia...

Jika setahun yang lalu Ramadhannya mengundang luka,Ramadhan ini benar-benar bermakna, apatah lagi akan dilengkapi dengan seorang jejaka bernama Ramadhan yang soleh.

Ibtisam senyum.

Terima kasih ya Allah....

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Al-Baqarah : 186)


Read More......

Friday, November 18, 2011

Di Manakah Saudaraku?


Bumi yang kian lesu,
Apakah mungkin kan terus membisu..


“POM!” Husain tersentak. Pantas gelas di tangannya terhempas ke tanah akibat tindakan refleks.

Dahinya dibasahi peluh, segera kakinya melangkah mencari sekujur tubuh yang terbaring kaku di sebuah bilik.

“Ummi.. Ummi”

“Hu..Husain…”

Mata Husain digenangi air melihat si ibu yang buta matanya menjulurkan tangan ke hadapan, mencari-cari sesuatu, mungkin mencari kehadiran dirinya. Husain mendekatkan diri ke arah wanita tua itu. Tangan wanita itu dipegang dan diletakkan ke dadanya.

“Ummi, Husain ada ni ummi.”

“Husain” Bibir wanita itu bergetar.

“Ya ummi.”

“Mereka sudah melancarkan bom lagi ya?”

“Ya ummi. Tapi tak mengapa, sekejap sahaja tu ummi. Tidak seteruk selalu.” Husain menampar mulutnya dalam diam. Dia tahu dia melakukan dosa, ya dia menipu. Hakikatnya di luar sana anak-anak kecil berlarian, lelaki-lelaki dewasa sedang berusaha menyelamatkan keluarga, yang perempuan direntap tudungnya, dan kereta-kereta kebal pula berkeliaran di sana-sini sambil dibaling dengan batu oleh anak-anak kecil yang suci.

“Benarkah?”

Husain diam.

“Benarkah Husain?”

“Ummi.. ummi berehat ya, Husain buatkan ummi air.” Husain cuba mengalih topik, tidak tegar berbohong lagi.

Asiah mula baring, dahinya berkerut.

Husain mula mengangkat punggung mahu ke dapur semula.

“Husain” Asiah memegang tangan anaknya, tubuhnya tidak jadi berbaring, dia duduk semula.

“Ya ummi” Mata Husain terkebil-kebil.

“Husain bohong ya?”

Husain diam.

“Husain?”

Husain diam lagi.

“Husain anak ummi…”

“Y…ya…ya ummi.” Air mata Husain mula mengalir.

“Husain tipu ummi ya?” Asiah tersenyum.

“Ummi..Maafkan Husain” Remaja lelaki berusia 17 tahun itu memeluk Asiah erat. “Maafkan Husain ummi”

Asiah mengusap kepala anaknya perlahan. “Husain tak boleh tipu ummi, ummi tahu.”

Husain menangis lagi. Asiah menolak sedikit bahu Husain membuatkan tubuh Husain dan Asiah berhadapan. Asiah memegang erat bahu anaknya.

“Husain”

“Ya ummi.”

“Pergilah..”

Kening Husain hampir bercantum, “Ke mana ummi?”

“Sertai mereka di medan perang.”

Husain tersentak. Benarkah apa yang didengarinya? Bapanya, dan abang-abangnya seramai empat orang semuanya telah syahid.

“Sertai mereka.” Asiah bersuara lagi. Tegas.

“Tapi… siapa yang mahu jaga ummi?”

Asiah tersenyum, lama. “Allah.”

Husain diam, senyap-senyap hatinya melonjak girang. Dia mahu pergi berjihad, seperti ayahnya. Seperti abang-abangnya.

Tubuh Asiah dipeluk lama.

-x-

‘Klak Klak’

Husain membetulkan laras senapangnya. Sesekali senapangnya diacu kehadapan dan ke belakang. Kakinya ditendang-tendang ke kiri kanan, memperkasakan seni mempertahankan diri yang dipelajari.

“Hah!” Senapang diacu lagi ke hadapan.

“Husain!” ‘Amar melaung 10 meter di kejauhan.

Husain menoleh sekilas, bibirnya mengoyak senyum. “ ‘Amar!” Dia membalas. Jejaka berbadan tegap itu berlari-lari anak ke arah Husain.

“Tekun kau berlatih”

Husain mengelap peluh yang merembes di seluruh wajahnya, “Aku mahu menuntut bela.”

“Untuk abang dan ayah kau?”

Husain menggeleng. “Bukan. Untuk Islam.”

‘Amar kelihatan keliru. Berkerut-kerut dahinya cuba menterjemah maksud sebenar Husain. “Kadang-kadang hebat juga sastera kau ni.”

Tawa Husain meletus. Segera tangannya menolak sedikit bahu ‘Amar yang kelihatan keliru. “Kau lihat senjata kita, tak ada siapa yang mahu beri senjata yang hebat dan mewah, peluru pun harus dijimatkan. Makanan kita pun kurang. Hari-hari ada orang awam yang meninggal dunia. Bom di sana-sini, hospital kekurangan ubat...”

“Jadi?” ‘Amar memotong bicara.

“Hish kau ni! Aku tak habis cakap lagi. Hidup kita perih, pedih.. tapi negara-negara yang mengaku Islam, saudara-saudara kita yang mengaku beriman, membiarkan kita sendiri. Hari-hari berendam air mata. Hari-hari menghitung nyawa.”

“Habis, kau nak dakwa mereka semua tu?”

Husain tersengih, “Kalau ikutkan hak.. memang boleh kita dakwa. Tapi aku mahu menuntut bela untuk Islam. Aku tak mahu Islam dipijak-pijak lagi, dan kalau kita menang... Aku mahu saudara-saudara kita berlapang dada, sekurang-kurangnya mereka tak perlu menanggung beban kesusahan kita di sini.”

Mata ‘Amar berkaca. “Murninya niat kau. Kita dah susah begini, saudara kita yang lain bergembira, berpesta, bermaksiat sana-sini... dan kau masih mahu membela mereka?”
“Ummi aku pesan... Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.”

“Kau tahu, aku pelik pada sesuatu...” ‘Amar bersuara.

“Apa dia?”

“Aku dengar ada saudara kita sewenangnya berkata negara kita ini memang dah ditakdirkan akan berperang sampailah kiamat nanti, jadi tak usah dibantu dan ditolong kerana tak akan menang. Hilangkah rasa kasih dalam diri mereka.”

“Kau tahu... manusia akan susah memahami sesuatu selagi dia tidak berada dalam situasi itu. Kita sangka baiklah, mungkin mereka tak tahu di negara kita inilah Allah menguji mereka, sejauh mana mereka ingat pada saudara seakidah dengan mereka..dan adakah mereka mahu menjadi salah satu tangan yang menghulur, atau menjadi mata yang sekadar melihat... di sinilah lubuk pahala yang Allah ingin hadiahkan buat mereka, jika mereka sedar.”

Dan tangis ‘Amar pecah. Dia benar-benar belajar sesuatu dari remaja lelaki bernama Husain ini.

“Hei, menangis pula kau. Faham juga kau ya dengan sastera aku.” Husain menampar lembut pipi ‘Amar.

Dalam tangis, ‘Amar tergelak jua.

-x-

‘Pom! Pom! Pom!’

Bunyi bom yang bertalu-talu membuatkan Husain hilang arah mencari tempat bersembunyi. Kakinya melangkah ke arah batu-batu yang bertimbun. Bau hanyir darah menerawang di ruangan udara.

Husain mengesat darah yang mengalir di lengannya akibat terkena peluru sebentar tadi.

‘Pom!’

Bunyi menyeramkan itu meletus lagi. Jantung Husain seakan terhenti sebentar. Seakan tidak percaya apa yang baru sahaja terjadi di hadapan matanya. Husain terduduk. Menahan pedih di tangan...dan juga di hati.

Dia menggosok matanya, menepuk pipinya.

Tuhan... Katakan ini semua mimpi.

Husain mengetap bibir. Dia sedar dia berada di alam realiti. Sebentar tadi, yang dilihatnya tubuh Amar melayang dan tercampak itu adalah realiti. Dia tahu dia tidak bermimpi, hatinya berdarah.
“ ‘AMAR!!!” Husain berlari mendapatkan tubuh lesu ‘Amar yang kakinya sudah pun hilang sebelah, sebelah wajahnya dilumuri darah, tangannya bergerak-gerak sedikit sebagai respon dari panggilan Husain.

“ ‘Amar! Amar kuat. Kau kena kuat.” Husain memangku kepala ‘Amar yang berlumuran darah.

“Hu...Hu..Husain....”

“ Jangan banyak bercakap ‘Amar. Kau akan selamat. Akan selamat.” Air mata Husain mengalir deras. ‘Amar adalah teman paling rapat yang pernah dia ada. Bersama semenjak kecil hingga dewasa. ‘Amar itulah kekuatannya, menjadi penyebab dia menjadi kuat memegang selaras senapang.

“Husain... m..m..ma..masa...a..aku..d..dd..dah...s...ss..sampai.”

“Diam ‘Amar. Diam. Tolong! Tolong!” Husain tidak keruan. Dia menjerit sahaja berharap ada bantuan yang datang menolong.

“Hu..Husain... T..T..teruskan....P..P..erjuangan.... A...kk..aku..t..tt..tunggu... d..dd..dii...syurga.”Bibir ‘Amar terketar-ketar, seolah-olah mengucapkan syahadah. Matanya memandang tepat ke wajah Husain, seolah memberi Husain semangat yang baru.

Husain menggeleng. “ ‘Amar! ‘Amar! Jangan takutkan aku.”

Amar tersenyum buat kali terakhir sebelum matanya terpejam erat.

“ ‘AMAR!!!!”

-x-

‘POM!’

Husain tersentak. Bunyi itu menarik dirinya kembali ke alam realiti. Kenangan saat-saat terakhir bersama ‘Amar terus lenyap. Husain mengesat matanya yang berair. Laras senapang di sebelah tempat duduknya dicapai dan digenggam erat.

“Kurang ajar!”

Husain berlari menuju ke arah sekumpulan tentera musuh. Senapangnya ditembak tepat ke dada-dada mereka.

‘klik’

Pelurunya habis. Musuh masih berbaki 5 orang.

‘Ptuih!’ Husain meludah ke tepi. Kakinya masih deras melangkah.

“Kurang ajar!!!” Husain membuka seni mempertahankan diri. Hujung senapang yang tajam dibuat sebagai senjata. Habis semua perut musuh dirodoknya.

“Siapa lagi? Siapa lagi?!” Husain hilang kawalan.

“Husain!!!!” Teman sepasukannya menjerit melihat Husain yang seolah dirasuk sesuatu.

Husain tidak mendengar. “Siapa lagi?!! Siapa? Keluar kau pengecut!”

Bunyi das-das tembakan semakin hebat. Sebentar sahaja, kelihatan sebuah kereta kebal memasuki medan peperangan.

“Dasar pengecut” Husain meludah lagi.

Teman sepasukannya tiada pilihan lain melainkan berjaga-jaga di belakang Husain. Masing-masing mengacukan senapang ke arah kereta kebal.

Muncung kereta kebal yang mampu menembak musuh yang pada mulanya mendongak ke atas mula turun perlahan-lahan dan berhenti sebaik hujungnya tepat-tepat berada di wajah Husain yang sedang berdiri di atas timbunan batu.

“Keluar kau pengecut!!”

Teman sepasukannya mula risau. Tembakan demi tembakan mula dilepaskan ke arah kereta kebal.

‘Bam!’ Satu tembakan kuat kedengaran. Teman sepasukan Husain tergamam. Itu bukan bunyi tembakan mereka. Bukan. Itu adalah...

“Husain!” Mereka menjerit serentak. Tubuh Husain hampir hancur ditembak.

Kereta kebal berundur dan Husain, tidak lagi bergerak.

-x-

“Asiah... Asiah...” Ummu Sulaim yang mengambil alih tugas Husain menjaga Asiah menjenguk-jenguk ke dalam rumah.

“Ya..ya ummu. Aku di bilik.” Asiah bersuara.

Ummu Sulaim segera melangkah ke tempat Asiah berada.

“Asiah..” Ummu Sulaim memeluk erat tubuh sahabatnya itu.

“Mengapa Ummu, mengapa kau bersedih?” Asiah memujuk dengan senyuman.

“Asiah... Husain.. Husain telah syahid.”

Asiah kaku. Tangannya berhenti mengusap kepala Ummu Sulaim. Ummu Sulaim menjarakkan tubuh, dilihatnya Asiah sedang mengalirkan air mata.

“Jangan bersedih Asiah... Dia pasti sedang bergembira di syurga.”

“Tidak. Aku tidak bersedih, bahkan aku telah bersedia dengan kehilangannya pada permulaan saat aku menghantarnya pergi.”

“Jadi, tangis ini..adakah kerana gembira?”

“Tidak.”

Ummu Sulaim hairan. Jika tidak kerana gembira, maka Asiah bersedih kerana apa?

“Aku bersedih kerana aku tidak punya lagi anak untuk dihantar berjihad.” Asiah bersuara seolah memahami gelodak jiwa Ummu Sulaim.

Ummu Sulaim tersentak. Meremang bulu romanya mendengar bicara sahabat yang dikasihi.

“Ummu.”

“Ya.”

“Anak-anak aku sudah tiada lagi, tapi kita masih lagi tidak aman... Aku khuatir ummu, andai saudara-saudara kita kelak dipersoalkan oleh Allah kerana tidak membantu.”

Ummu Sulaim hilang bicara.

“Ummu.”

“Y..Ya Asiah.”

“Dimanakah saudaraku Ummu. Di manakah Saudara kita?”

“Mereka ada Asiah.”

“Lantas dimanakah mereka?”

Suasana hening.

“Ummu.”

“Ya.”

“Saudara kita... Mereka di mana Ummu?”

Ummu Sulaim mengesat titis jernih dari matanya. Dia sendiri tidak tahu jawapannya.

“Asiah, kau berehat ya, aku pasti satu hari nanti saudara kita akan sedar dan Islam kembali gemilang.”

Asiah tersenyum, seolah gembira dengan perkhabaran itu. “Apakah waktu itu aku masih hidup untuk menyaksikannya ummu?”

“InsyaAllah.”

Asiah baring, matanya mengantuk benar kerana semalaman hatinya kurang enak. “Ummu.”

“Ya.”

“Saudara kita...di mana?” soalan itu diulang lagi, sebelum matanya terlena.

Ummu Sulaim menarik selimut menutupi tubuh tua Asiah.

Oh Allah, di manakah saudaraku?


Hati kecil itu merintih jua....

Cahaya yang hilang itu,
Apakah mungkin kan kembali,
Atau terus malap ditelan bumi...


Read More......

Monday, November 14, 2011

Adik-Adikku : Aurat Bhg 1



"Kak wawa, kenapa kak wawa pakai sarung tangan(handsock)?"

"Kak wawa, kenapa kak wawa pakai tudung dalam rumah?"

Soalan demi soalan dari adik-adik saudara yang masih kecil tidak putus-putus menerjah ke gegendang telinga saya tempoh hari. Lucu pun ya tapi yang lebih menggusarkan adalah apabila saya mati akal bagaimana mahu menerangkan kepada jiwa-jiwa kecil itu.

Buatmu Adik-adikku..

Coretan ini ditujukan khas buat dirimu, moga pabila dirimu dewasa kelak, dikau mampu menjadi srikandi Islam yang berjiwa kebal. Maafkan kakakmu ini kerna tidak bisa menjawab dengan tepat saat soalan demi soalan dikau ajukan...

Belajar Dari Wanita Zaman Dahulu

Adik-adikku...

Dahulu wanita tidak menutup aurat, tidak pakai tudung seperti sekarang..Tapi sebaik sahaja turunnya ayat Al-Quran memerintahkan wanita agar memakai tudung, wanita-wanita di zaman Rasulullah tidak banyak bicara, dicapainya sebarang kain yang terlihat dek mata untuk menjalankan perintah Allah itu.

Hebatnya keimanan mereka... Tidak seperti manusia hari ini yang asyik mempersoalkan dan tidak percaya dengan hikmah di sebalik sesuatu perintah.

Ingatkah lagi duhai adikku, saat diriku sedang menyarungkan handsock ketika mahu pergi ke rumah saudara, wajah sucimu memandang hairan, lantas lidah memulakan bicara;

"Kak wawa, tak panas ke pakai macam ni?"

Dan saat itu, kakak terdiam sebentar berfikir jawapan apakah yang paling sesuai diberikan buatmu.

Beberapa minit selepas itu, entah mengapa lidah ini pantas sahaja menjawab "Kalau kena bakar kat neraka nanti, lagiii panas."

Dan dikau mendiamkan diri, entah faham entah tidak... Namun akak harap, coretan ini mampu menjelaskan kekaburanmu suatu hari nanti...

Ramai Golongan Wanita Di Neraka

Adik-adik pernah dengar tak kisah kekasih Allah- Nabi Muhammad s.a.w? Bagaimana cintanya baginda pada kita umatnya sehingga pada saat-saat terakhir kehidupannya masih lagi baginda menyebut ummati..ummatii..

Ingat tak... cerita Rasulullah naik ke langit bertemu Allah s.w.t? Mesti selalu dengar kan kat sekolah :)

Suatu ketika, Saidina Ali r.a bersama isterinya Saidatina Fatimah datang melawat Rasulullah s.a.w.

Namun, pada ketika itu Rasulullah s.a.w dilihat sedang menangis. Mereka berasa hairan lalu bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa dikau menangis?"

Dalam keadaan masih bersedih dan menangis, Rasulullah menjawab "Pada ketika aku diisrak ke langit, aku melihat orang sedang mengalami pelbagai penyeksaan,apabila teringatkan mereka,aku menangis"

Tahu tak adik-adik, Rasulullah lihat golongan wanita ramaiiii sangat di neraka. Salah satunya adalah wanita yang digantung rambutnya dan otak kepalanya menggelegak disebabkan tidak menutup rambut di kalangan lelaki bukan muhrim.

Oh, pasti dikau keliru... Dan kakak ingat lagi dikau bertanya, "Kat rumah ni kan saudara-mara je, kenapa kena pakai tudung?"

"Pakcik yang bukan adik-beradik dengan mak atau abah kak wawa, sepupu-sepupu tu semua bukan muhrim." Kak wawa menjawab waktu itu, ingat lagikah dikau?

Dikau kelihatan keliru. Mari kita hayati ayat cinta dariNya :

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur : 31)


..Maaf terpaksa bersambung atas beberapa halangan.. Sementara menunggu sambungannya, tadabbur ayat di atas dan fahaminya dahulu ya :)

wallahu'alam

Read More......

Friday, November 11, 2011

Doakan semangat itu pulang.


Assalamualaikum.

Malam ini saya rasa hiba, entah mengapa. Justeru tangan dilarikan lagi di atas papan kekunci, berfikir mungkin ini caranya meluahkan isi hati.

Perenggan seterusnya kelak adalah perihal diri semata. Maafkan saya. Andai merasa bosan, silakan tamatkan pembacaan di mana-mana, sungguh saya tidak memaksa.

Malam ini dingin, hujan baru sahaja berhenti sebentar tadi. Lebat. seolah-olah ia mengerti akan keadaan hati saya.

Semester baru sudah pun bermula, tapi entah kenapa dalam diri saya yang hina ini, semangat baru masih lagi tidak kunjung tiba. Puas saya menggeledah hati mencari secebis kekuatan, secubit rasa senang mungkin? Tapi...saya tidak ketemui apa. Hampa. Memikirkan segala mehnah dan cabaran yang bakal dihadapi, saya jadi melihat ke belakang..ke semester yang lalu. Hebatnya dugaan dan ujian hanya Allah yang tahu.. Hingga terkadang saya menangis sendirian, dalam kelam suasana bilik, melihat wajah-wajah suci teman sebilik yang enak dibuai mimpi.

Ah, wajah suci itulah hakikatnya yang menguatkan serba sedikit hati yang lara... Dan esoknya saya bangkit dengan senyuman terukir, meski dalam hati hanya Allah yang tahu hebatnya saya menangis. Melihat tawa riang di wajah teman, atau melihat air mata syahdu yang mengalir di pipi mereka... Membuatkan niat saya meluahkan rasa jadi terhenti. Mana mungkin saya menghentikan senyuman yang terguris atau mana mungkin saya rela menambah beban di hati teman yang terguris.

Dan saya simpan kesakitan itu sehingga hati menjadi sangat rapuh dan trauma. Dan mungkin inilah keputusan akhirnya... Semangat saya hilang, bersama semester lalu yang telah berlalu.

Menjadi ikhlas tidak semudah mulut berkata, ikhlaslah.. Dan sungguh Allah menguji keikhlasan saya, bagaimana saya menghadapi segalanya..Apakah mungkin saya cukup ikhlas? Jika ikhlas mengapa saya terduduk dan menangis, mengapa hati saya jadi begitu lemah..Bagai hilang semua kekuatan... Bagai hilang semua keikhlasan... Ke mana mereka pergi? Apakah lenyap dibawa sang bayu pagi?

Saya jadi rawan. Belajar sambil menangis. Ya itu saya. Saya tidak punya apa lagi selain Allah. Heh, mungkin kamu tergelak. Insan faqir dan hina seperti saya..Layakkah berkata begitu? Entah. Saya sendiri tidak tahu, tapi saya tahu... Allah sentiasa ada, dalam setiap deru nafas saya, dan moga-moga Allah mengiringi setiap langkahan kaki saya.

Sepanjang waktu hari-hari terakhir saya berada di rumah...Saya memandang puas-puas wajah emak. Wajah yang akan saya tinggalkan selama beberapa bulan. Wajah itulah yang memberi ketenangan, dan saya merasa ketenangan seolah-olah diambil pergi tatkala saya memasukkan pakaian ke dalam beg. Allah...

Hakikatnya satu susuk tubuh itulah yang mengajar saya erti cinta tanpa syarat. Memberi tanpa mengharapkan balasan. Tetap senyum dan bersabar dengan karenah anak-anak. Tidak merungut walau sesaat. Melihat lagi wajah emak... Hati saya bergelodak. Menaip ini pun hakikatnya mata saya digenangi air. Ah, apakah mungkin Allah mengirimkan bidadari ini ke dunia buat insan hina seperti saya?

Emak... Biar dirinya susah, tetap dipendam ke dalam hati. Biar dia tidak suka, asal melihat anak-anak gembira, dia rela... Dialah pendengar setia kami. Sanggup berjaga hingga ke pagi mendengar luahan anak-anak meski badan sendiri lesu bekerja sepanjang hari. Dan... saat emak masih berkeras membantu saya mengangkat barang-barang ke asrama meski kakinya bengkak akibat terjatuh... Saya menangis lagi.

Ah emak.. bagaimana bisa ku miliki hati sepertimu?

Saya menggeledah lagi hati, berbicara sendiri. Allah...bagaimana mahu ikhlas? Memikirkan satu tanggungjawab yang bakal dipikul kelak, yang mana saya harus memimpin sedangkan diri sendiri tidak terpimpin... fikiran saya berkecamuk. Berdoa agar Allah bukakan jalan.

Hari ini, seseorang bercerita pada saya... Akan satu kisah di mana seorang lelaki yang meninggal dunia, jenazahnya disolatkan oleh begitu ramai manusia... ramai, sangat ramai. Saya jadi terfikir lagi... waktu saya meninggal kelak, akan adakah orang yang hadir mahu mensolatkan saya yang tiada apa-apa sumbangan pun untuk Islam.

Dan hati saya jadi cergas, mungkin amanah yang diberi pada saya itulah yang akan membuatkan ramai yang hadir mengucapkan selamat tinggal selamanya buat saya kelak... Dan moga-moga hati saya terus ikhlas selamanya.

Ah, dan semangat saya..mungkinkah hilang bersama doa-doa kalian?

Teman... doakan saya agar semangat itu pulang, hanya itu yang saya harapkan.

Salam sayang kerana Allah.

Read More......

Thursday, November 10, 2011

Temanku...



Temanku,
Aku tidak meminta agar kau berwajah rupawan,
Kerna ku tahu,
Itu tidak akan kekal.

Temanku,
Tidak jua ku pinta agar kau menjadi hartawan,
Cukuplah sekadar,
Dikau merasa cukup dengan apa yang ada.

Temanku,
Tidak aku pinta agar kau menjadi cendekiawan,
Cukuplah sekadar dikau berusaha,
Menjadi seorang ilmuwan.

Temanku,
Tidak ku pinta wajahmu terukir senyum sentiasa,
Kerna ku tahu,
Terkadang hatimu pasti terguris luka,
Hanya yang ku mahu,
Agar dikau berkongsi kedukaan itu bersama.

Temanku,
Ketahuilah akan satu hakikat,
Aku juga tidak sempurna,
Langkahku pincang di mana-mana,
Terkadang aku jatuh dan tersungkur,
Terkadang mengalir laju titis jernih dari mataku.

Lantas aku terpandang kamu,
Dan aku menjadi kuat.

Terusku tersedar,
Mungkin dikaulah yang dikirim Tuhan buatku.

Maka aku tidak meminta dikau menjadi rupawan, hartawan meskipun cendekiawan,
Namun harus dikau ingat,
Tidak salah menjadi itu semua,
Asal sahaja niatmu tiada yang lain hanya kerana Tuhan.

Dan dikau bertanya,
Apa yang ku mahu?

Ketahuilah teman...
Aku hanya mahu,
Agar kau dan aku,
Berusaha menjadi Muslim yang hebat,
Beriringan berjalan...
Hingga ke syurgaNya yang kekal abadi.

Salam sayang kerana Allah...

Wassalam.

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .