Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, November 18, 2011

Di Manakah Saudaraku?


Bumi yang kian lesu,
Apakah mungkin kan terus membisu..


“POM!” Husain tersentak. Pantas gelas di tangannya terhempas ke tanah akibat tindakan refleks.

Dahinya dibasahi peluh, segera kakinya melangkah mencari sekujur tubuh yang terbaring kaku di sebuah bilik.

“Ummi.. Ummi”

“Hu..Husain…”

Mata Husain digenangi air melihat si ibu yang buta matanya menjulurkan tangan ke hadapan, mencari-cari sesuatu, mungkin mencari kehadiran dirinya. Husain mendekatkan diri ke arah wanita tua itu. Tangan wanita itu dipegang dan diletakkan ke dadanya.

“Ummi, Husain ada ni ummi.”

“Husain” Bibir wanita itu bergetar.

“Ya ummi.”

“Mereka sudah melancarkan bom lagi ya?”

“Ya ummi. Tapi tak mengapa, sekejap sahaja tu ummi. Tidak seteruk selalu.” Husain menampar mulutnya dalam diam. Dia tahu dia melakukan dosa, ya dia menipu. Hakikatnya di luar sana anak-anak kecil berlarian, lelaki-lelaki dewasa sedang berusaha menyelamatkan keluarga, yang perempuan direntap tudungnya, dan kereta-kereta kebal pula berkeliaran di sana-sini sambil dibaling dengan batu oleh anak-anak kecil yang suci.

“Benarkah?”

Husain diam.

“Benarkah Husain?”

“Ummi.. ummi berehat ya, Husain buatkan ummi air.” Husain cuba mengalih topik, tidak tegar berbohong lagi.

Asiah mula baring, dahinya berkerut.

Husain mula mengangkat punggung mahu ke dapur semula.

“Husain” Asiah memegang tangan anaknya, tubuhnya tidak jadi berbaring, dia duduk semula.

“Ya ummi” Mata Husain terkebil-kebil.

“Husain bohong ya?”

Husain diam.

“Husain?”

Husain diam lagi.

“Husain anak ummi…”

“Y…ya…ya ummi.” Air mata Husain mula mengalir.

“Husain tipu ummi ya?” Asiah tersenyum.

“Ummi..Maafkan Husain” Remaja lelaki berusia 17 tahun itu memeluk Asiah erat. “Maafkan Husain ummi”

Asiah mengusap kepala anaknya perlahan. “Husain tak boleh tipu ummi, ummi tahu.”

Husain menangis lagi. Asiah menolak sedikit bahu Husain membuatkan tubuh Husain dan Asiah berhadapan. Asiah memegang erat bahu anaknya.

“Husain”

“Ya ummi.”

“Pergilah..”

Kening Husain hampir bercantum, “Ke mana ummi?”

“Sertai mereka di medan perang.”

Husain tersentak. Benarkah apa yang didengarinya? Bapanya, dan abang-abangnya seramai empat orang semuanya telah syahid.

“Sertai mereka.” Asiah bersuara lagi. Tegas.

“Tapi… siapa yang mahu jaga ummi?”

Asiah tersenyum, lama. “Allah.”

Husain diam, senyap-senyap hatinya melonjak girang. Dia mahu pergi berjihad, seperti ayahnya. Seperti abang-abangnya.

Tubuh Asiah dipeluk lama.

-x-

‘Klak Klak’

Husain membetulkan laras senapangnya. Sesekali senapangnya diacu kehadapan dan ke belakang. Kakinya ditendang-tendang ke kiri kanan, memperkasakan seni mempertahankan diri yang dipelajari.

“Hah!” Senapang diacu lagi ke hadapan.

“Husain!” ‘Amar melaung 10 meter di kejauhan.

Husain menoleh sekilas, bibirnya mengoyak senyum. “ ‘Amar!” Dia membalas. Jejaka berbadan tegap itu berlari-lari anak ke arah Husain.

“Tekun kau berlatih”

Husain mengelap peluh yang merembes di seluruh wajahnya, “Aku mahu menuntut bela.”

“Untuk abang dan ayah kau?”

Husain menggeleng. “Bukan. Untuk Islam.”

‘Amar kelihatan keliru. Berkerut-kerut dahinya cuba menterjemah maksud sebenar Husain. “Kadang-kadang hebat juga sastera kau ni.”

Tawa Husain meletus. Segera tangannya menolak sedikit bahu ‘Amar yang kelihatan keliru. “Kau lihat senjata kita, tak ada siapa yang mahu beri senjata yang hebat dan mewah, peluru pun harus dijimatkan. Makanan kita pun kurang. Hari-hari ada orang awam yang meninggal dunia. Bom di sana-sini, hospital kekurangan ubat...”

“Jadi?” ‘Amar memotong bicara.

“Hish kau ni! Aku tak habis cakap lagi. Hidup kita perih, pedih.. tapi negara-negara yang mengaku Islam, saudara-saudara kita yang mengaku beriman, membiarkan kita sendiri. Hari-hari berendam air mata. Hari-hari menghitung nyawa.”

“Habis, kau nak dakwa mereka semua tu?”

Husain tersengih, “Kalau ikutkan hak.. memang boleh kita dakwa. Tapi aku mahu menuntut bela untuk Islam. Aku tak mahu Islam dipijak-pijak lagi, dan kalau kita menang... Aku mahu saudara-saudara kita berlapang dada, sekurang-kurangnya mereka tak perlu menanggung beban kesusahan kita di sini.”

Mata ‘Amar berkaca. “Murninya niat kau. Kita dah susah begini, saudara kita yang lain bergembira, berpesta, bermaksiat sana-sini... dan kau masih mahu membela mereka?”
“Ummi aku pesan... Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.”

“Kau tahu, aku pelik pada sesuatu...” ‘Amar bersuara.

“Apa dia?”

“Aku dengar ada saudara kita sewenangnya berkata negara kita ini memang dah ditakdirkan akan berperang sampailah kiamat nanti, jadi tak usah dibantu dan ditolong kerana tak akan menang. Hilangkah rasa kasih dalam diri mereka.”

“Kau tahu... manusia akan susah memahami sesuatu selagi dia tidak berada dalam situasi itu. Kita sangka baiklah, mungkin mereka tak tahu di negara kita inilah Allah menguji mereka, sejauh mana mereka ingat pada saudara seakidah dengan mereka..dan adakah mereka mahu menjadi salah satu tangan yang menghulur, atau menjadi mata yang sekadar melihat... di sinilah lubuk pahala yang Allah ingin hadiahkan buat mereka, jika mereka sedar.”

Dan tangis ‘Amar pecah. Dia benar-benar belajar sesuatu dari remaja lelaki bernama Husain ini.

“Hei, menangis pula kau. Faham juga kau ya dengan sastera aku.” Husain menampar lembut pipi ‘Amar.

Dalam tangis, ‘Amar tergelak jua.

-x-

‘Pom! Pom! Pom!’

Bunyi bom yang bertalu-talu membuatkan Husain hilang arah mencari tempat bersembunyi. Kakinya melangkah ke arah batu-batu yang bertimbun. Bau hanyir darah menerawang di ruangan udara.

Husain mengesat darah yang mengalir di lengannya akibat terkena peluru sebentar tadi.

‘Pom!’

Bunyi menyeramkan itu meletus lagi. Jantung Husain seakan terhenti sebentar. Seakan tidak percaya apa yang baru sahaja terjadi di hadapan matanya. Husain terduduk. Menahan pedih di tangan...dan juga di hati.

Dia menggosok matanya, menepuk pipinya.

Tuhan... Katakan ini semua mimpi.

Husain mengetap bibir. Dia sedar dia berada di alam realiti. Sebentar tadi, yang dilihatnya tubuh Amar melayang dan tercampak itu adalah realiti. Dia tahu dia tidak bermimpi, hatinya berdarah.
“ ‘AMAR!!!” Husain berlari mendapatkan tubuh lesu ‘Amar yang kakinya sudah pun hilang sebelah, sebelah wajahnya dilumuri darah, tangannya bergerak-gerak sedikit sebagai respon dari panggilan Husain.

“ ‘Amar! Amar kuat. Kau kena kuat.” Husain memangku kepala ‘Amar yang berlumuran darah.

“Hu...Hu..Husain....”

“ Jangan banyak bercakap ‘Amar. Kau akan selamat. Akan selamat.” Air mata Husain mengalir deras. ‘Amar adalah teman paling rapat yang pernah dia ada. Bersama semenjak kecil hingga dewasa. ‘Amar itulah kekuatannya, menjadi penyebab dia menjadi kuat memegang selaras senapang.

“Husain... m..m..ma..masa...a..aku..d..dd..dah...s...ss..sampai.”

“Diam ‘Amar. Diam. Tolong! Tolong!” Husain tidak keruan. Dia menjerit sahaja berharap ada bantuan yang datang menolong.

“Hu..Husain... T..T..teruskan....P..P..erjuangan.... A...kk..aku..t..tt..tunggu... d..dd..dii...syurga.”Bibir ‘Amar terketar-ketar, seolah-olah mengucapkan syahadah. Matanya memandang tepat ke wajah Husain, seolah memberi Husain semangat yang baru.

Husain menggeleng. “ ‘Amar! ‘Amar! Jangan takutkan aku.”

Amar tersenyum buat kali terakhir sebelum matanya terpejam erat.

“ ‘AMAR!!!!”

-x-

‘POM!’

Husain tersentak. Bunyi itu menarik dirinya kembali ke alam realiti. Kenangan saat-saat terakhir bersama ‘Amar terus lenyap. Husain mengesat matanya yang berair. Laras senapang di sebelah tempat duduknya dicapai dan digenggam erat.

“Kurang ajar!”

Husain berlari menuju ke arah sekumpulan tentera musuh. Senapangnya ditembak tepat ke dada-dada mereka.

‘klik’

Pelurunya habis. Musuh masih berbaki 5 orang.

‘Ptuih!’ Husain meludah ke tepi. Kakinya masih deras melangkah.

“Kurang ajar!!!” Husain membuka seni mempertahankan diri. Hujung senapang yang tajam dibuat sebagai senjata. Habis semua perut musuh dirodoknya.

“Siapa lagi? Siapa lagi?!” Husain hilang kawalan.

“Husain!!!!” Teman sepasukannya menjerit melihat Husain yang seolah dirasuk sesuatu.

Husain tidak mendengar. “Siapa lagi?!! Siapa? Keluar kau pengecut!”

Bunyi das-das tembakan semakin hebat. Sebentar sahaja, kelihatan sebuah kereta kebal memasuki medan peperangan.

“Dasar pengecut” Husain meludah lagi.

Teman sepasukannya tiada pilihan lain melainkan berjaga-jaga di belakang Husain. Masing-masing mengacukan senapang ke arah kereta kebal.

Muncung kereta kebal yang mampu menembak musuh yang pada mulanya mendongak ke atas mula turun perlahan-lahan dan berhenti sebaik hujungnya tepat-tepat berada di wajah Husain yang sedang berdiri di atas timbunan batu.

“Keluar kau pengecut!!”

Teman sepasukannya mula risau. Tembakan demi tembakan mula dilepaskan ke arah kereta kebal.

‘Bam!’ Satu tembakan kuat kedengaran. Teman sepasukan Husain tergamam. Itu bukan bunyi tembakan mereka. Bukan. Itu adalah...

“Husain!” Mereka menjerit serentak. Tubuh Husain hampir hancur ditembak.

Kereta kebal berundur dan Husain, tidak lagi bergerak.

-x-

“Asiah... Asiah...” Ummu Sulaim yang mengambil alih tugas Husain menjaga Asiah menjenguk-jenguk ke dalam rumah.

“Ya..ya ummu. Aku di bilik.” Asiah bersuara.

Ummu Sulaim segera melangkah ke tempat Asiah berada.

“Asiah..” Ummu Sulaim memeluk erat tubuh sahabatnya itu.

“Mengapa Ummu, mengapa kau bersedih?” Asiah memujuk dengan senyuman.

“Asiah... Husain.. Husain telah syahid.”

Asiah kaku. Tangannya berhenti mengusap kepala Ummu Sulaim. Ummu Sulaim menjarakkan tubuh, dilihatnya Asiah sedang mengalirkan air mata.

“Jangan bersedih Asiah... Dia pasti sedang bergembira di syurga.”

“Tidak. Aku tidak bersedih, bahkan aku telah bersedia dengan kehilangannya pada permulaan saat aku menghantarnya pergi.”

“Jadi, tangis ini..adakah kerana gembira?”

“Tidak.”

Ummu Sulaim hairan. Jika tidak kerana gembira, maka Asiah bersedih kerana apa?

“Aku bersedih kerana aku tidak punya lagi anak untuk dihantar berjihad.” Asiah bersuara seolah memahami gelodak jiwa Ummu Sulaim.

Ummu Sulaim tersentak. Meremang bulu romanya mendengar bicara sahabat yang dikasihi.

“Ummu.”

“Ya.”

“Anak-anak aku sudah tiada lagi, tapi kita masih lagi tidak aman... Aku khuatir ummu, andai saudara-saudara kita kelak dipersoalkan oleh Allah kerana tidak membantu.”

Ummu Sulaim hilang bicara.

“Ummu.”

“Y..Ya Asiah.”

“Dimanakah saudaraku Ummu. Di manakah Saudara kita?”

“Mereka ada Asiah.”

“Lantas dimanakah mereka?”

Suasana hening.

“Ummu.”

“Ya.”

“Saudara kita... Mereka di mana Ummu?”

Ummu Sulaim mengesat titis jernih dari matanya. Dia sendiri tidak tahu jawapannya.

“Asiah, kau berehat ya, aku pasti satu hari nanti saudara kita akan sedar dan Islam kembali gemilang.”

Asiah tersenyum, seolah gembira dengan perkhabaran itu. “Apakah waktu itu aku masih hidup untuk menyaksikannya ummu?”

“InsyaAllah.”

Asiah baring, matanya mengantuk benar kerana semalaman hatinya kurang enak. “Ummu.”

“Ya.”

“Saudara kita...di mana?” soalan itu diulang lagi, sebelum matanya terlena.

Ummu Sulaim menarik selimut menutupi tubuh tua Asiah.

Oh Allah, di manakah saudaraku?


Hati kecil itu merintih jua....

Cahaya yang hilang itu,
Apakah mungkin kan kembali,
Atau terus malap ditelan bumi...


5 comments:

Nik Faiz said...

Subhanallah... cerpen yang mantap..menusuk kalbu... teruskan perjuangan dalam dunia penulisan.. :)

Mastura Mohd Yusuf said...

Alhamdulillah...terima kasih Allah kerana membenarkan jari jari ini menaip.

Terima kasih kerana sudi membaca

M. Hakimi said...

Cerpen yang cukup abik untuk memberi gambaran suasna di sana

Ina Ania said...

uhuk uhuk *lap air mata* sedih cerpen akak ni .... ap2 pun terbaik ;)

Mastura Mohd Yusuf said...

alhamdulillah, moga mendapat manfaat :)

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .