Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, April 26, 2010

Manusia dan Hatinya



"Wa.. cuba rasa air ni." kakak ana menolak gelasnya ke arah ana mengharapkan ana merasa air yang dipesannya di R&R itu.

"Ha?" Ana terpinga-pinga. "Manis sangat ke?"

Kakak ana tersenyum, menggeleng. "Rasalah."

Tangan ana mencapai gelas berisi air itu, mendekatkannya sedikit dengan ana. Ana tercari-cari sesuatu.

"Mana strawnya?"

Air Tanpa Straw


Air itu umpama kita, dan straw pula umpama hati. Tanpa straw, ana sedikit ralat kerana sudah biasa minum air sejuk menggunakan straw, kecuali ketika berada di rumah.

Sebelum disuruh merasa air itu, ana tidak sedar akan ketiadaan strawnya.

Begitu jugalah kita dan jasad. Jika kita tidak kenal pada diri kita sendiri, masakan mungkin kita sedar akan ketiadaan hati. Manusia yang berjalan dan hidup tanpa hati tidak akan sedar pada kemaksiatan yang dilakukan.

Malah, tidak akan bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah, Tuhan semesta alam. Malah, tidak tahu apakah makna cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah. Manusia tanpa hati, tidak mahu mencari malah sering mementingkan diri.

Perjalanan Itu



Feri itu terumbang-ambing di lautan yang luas terbentang. Menunggu detik jam 9 pagi untuk bergerak ke destinasi.

Ana sedikit pening, mabuk laut. Tapi sungguh, melihat ciptaan-Nya yang sungguh indah dan patuh kepada-Nya membuatkan hati ana tunduk dan berazam percutian ini biarlah percutian seorang manusia bersama hatinya.

Enjin mula dihidupkan, feri mula bergerak.

"Kak Mas, jom naik atas." Hazim mengajak. Matanya penuh mengharap.

"Best ke kat atas?"

"Best, banyak angin." Hazim masih tidak putus asa mengajak.

Kaki ana menuruti langkahan Hazim, naik tangga untuk ke tingkat 2 feri yang bergerak ke Tanjung Pinang itu.

Subhanallah! Tiada kata yang lebih indah melainkan pujian kepada-Nya semata. Air laut yang tenang berkocak, biru warnanya membuatkan hati ana sebak. Angin yang bertiup menggetarkan hati

Kepala didongakkan ke atas, memandang indah langit yang berdiri tanpa tiang. Mata ana menangkap kelibat kapal terbang yang membelah awan. Subhanallah, subhanallah.

Banyak sungguh nikmatnya yang diberi percuma. Tiada bayaran.

Tanjung Pinang Menggamit Rasa


"Kak Mas, tengok tu.." Jari telunjuk Hazim menunjuk ke arah laut yang berbeza warnanya.

"Kenapa ada dua warna?" Ana bertanya. Jujur, tidak tahu.

Biru pekat dan biru cair

"Sebab yang warna biru pekat tu ada banyak karang." Hazim menjelaskan ilmu itu, satu ilmu yang diperoleh hasil keramahannya dengan insan sekeliling.

Hati ana mula bergetar, kagum dengan Allah yang mencipta semua itu. Laut yang berbeza warnanya, memudahkan kapal untuk bergerak. Yang biru pekat itu, banyak karang. Cetek. Kapal tidak boleh lalu.

Subhanallah... Nikmat Tuhan yang mana lagikah yang kita dustakan?

Ketika kami melawat istana peninggalan sultan di Pulau Penyengat, kekuasaan Allah terserlah lagi. Seorang sultan yang gemar mencipta gurindam nasihat, seorang sultan yang adil sudah tentu akan dikasihi oleh makhluk di dunia dan di langit sana.

Di bawah istana itu terdapat satu perigi yang sangat hampir dengan laut. Perigi yang dibuat menghadap kiblat oleh sultan itu tiada langsung rasa masin, airnya telah dikaji oleh pelbagai pakar namun tiada bakteria yang ditemui. Ia selamat diminum tanpa perlu dimasak. Malah, airnya tidak pernah kering walaupun musim kemarau tiba.

Perigi

Subhanallah! Allah telah menunjukkan pelbagai kekuasaannya yang mampu dilihat oleh mereka yang menyedari..

Oleh mereka yang memiliki hati...

Pasar


Ana melihat jubah itu, cantik warna nya. Lembut. Coraknya ringkas sahaja.

"Kak, nak tengok jubah tu." Pantas, mulut ana bergerak, mengeluarkan suara meminta agar jubah yang dipakaikan pada patung itu di bawa hampir ke arah ana.

Akak itu tersenyum, mengambil 'penyangkut' dan mengambil jubah yang tergantung itu.

"Mak.. Kenapa wawa beli jubah tu?" Hazim berbisik kepada umi tercinta, namun masih kedengaran suaranya.

"Kenapa?" Ibunda hairan.

"Kan menampakkan bentuk tubuh tu." Serius wajah Hazim menuturkan kata-kata itu.

Ana tergelak, memandangnya penuh kasih. "Hazim.. dia pin baju tu ke belakang la, sebab tula nampak 'bentuk tubuh' patung tu."

Hazim tersengih-sengih. Matanya memandang ke arah lain. Mungkin malu kerana ana terdengar bisikannya.

Semoga jadi insan soleh dan muslih ye Hazim

Namun, kata-kata itu sebenarnya meninggalkan kesan ke dalam hati ana. Zaman ini, ketika ini, tidak ramai insan yang sensitif pada isu pakaian. Asalkan panjang lengannya sudah dikira okey meski pun baju ketat dan sendat.

Bapa tidak kisah anaknya berpakaian begitu.
Wanita pula semakin ramai yang keliru tentang aurat.
Dunia semakin kacau bilau.

Ah! Rumitnya.

Manusia dan Allah


Antara aku dengan Allah adalah hal aku dengan Allah, kalian tiada hak menentukannya. Ujar mereka dengan penuh rasa pentingkan diri. Teguran demi teguran tegar diketepikan.

Allah memandang hati bukan fizikal, jangan menilai buku melalui kulitnya. Begitulah hujah yang diberi.

Apakah tandanya kita menyayangi seseorang andai kata-katanya tidak kita pedulikan?

Apakah tandanya kita menyayangi Allah andai syariat-Nya kita tinggalkan?

Syariat itu perlu dijaga. Allah tidak rugi andai kita mengengkarinya, bahkan perbuatan itu bakal membinasakan diri kita sendiri.

Manusia dan Air Tanpa Straw


"Akak, boleh minta straw?" Ana senyum, meminta sebatang straw dari kakak yang menjual air itu.

Straw dimasukkan ke dalam air dan ana menyedutnya.

Air itu sudah dilengkapi dengan straw.

Kita pula, adakah sudah dilengkapi dengan hati yang cintakan Allah dan Rasul-Nya?

Renung-renungkan, fikir-fikirkan...

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (Al-Imran : 144)


Wallahu'alam

Read More......

Sunday, April 18, 2010

Antara Manusia dan Haiwan


Semut hitam itu masih berusaha. Mengangkat bangkai temannya yang tersadai di sisi.

Jatuh.

Ia mencuba, mengangkat lagi. Jatuh lagi. Ia mundar-mandir, berpusing-pusing di sekeliling bangkai temannya. Sekali lagi, dengan kudrat yang ada, semut hitam itu mengangkat bangkai temannya, melangkah setapak demi setapak ke hadapan tanpa menghiraukan ana yang memerhati, tanpa gerun bahawa kemungkinan ana akan membunuhnya lalu menjadi bangkai sama seperti temannya.

Ana kagum pada ciptaan-Nya yang satu itu! Betapa semut hitam itu memiliki sifat penyayang yang tinggi!

Kita dan Semut

Lewat kebelakangan ini, ana gerun melihat dada-dada akhbar yang memaparkan berita-berita ngeri mengenai pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata umpama sampah oleh mereka yang tidak gentar pada balasan Allah.

Ana sedih melihat satu demi satu nyawa diragut oleh tangan-tangan mereka yang kasar. Setelah dikandung selama 9 bulan lamanya, dilahirkan dengan payah, tegar pula bayi itu ditinggalkan sendirian. Kesejukan, tidak berteman... Entah selamat entah tidak, atau mungkin mati digigit semut!

Sayu. Benar-benar sayu.



Kita ini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyyah. Ke zaman di mana wanita hanyalah dianggap sebagai pelacur. Zaman di mana bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana bimbang akan membawa malu kepada keluarga.

Kini.. bayi-bayi itu dibuang kerana malu kepada masyarakat.

Bayi itu.. Bayi yang tidak berdosa.
Bayi itu.. Adalah satu nyawa.
Bayi itu.. Bukannya sampah!
Bayi itu.. MERUPAKAN AMANAH ALLAH.

Jika semut itu sanggup mengangkat bangkai temannya dengan penuh susah payah, manusia pula sanggup meninggalkan satu nyawa sehingga tersadai menjadi mayat. Tertanam tanpa tahu asal-usulnya.

Kita ini.. Lebih hinakah daripada seekor binatang?

Allah telah berfirman ; sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . (At-Tiin : 4)

Allah menciptakan kita dengan sebaik-baiknya, malah dikurniakan akal dan hati agar mampu berfikir dan menimbang dengan sebaiknya. Tapi malangnya, manusia tidak tahu bersyukur, hati dan akal selalu sahaja dikotori sehingga tidak mampu lagi melihat yang mana hitam, yang mana putih.

Jagalah Hati

Jika ada satu garisan pada satu kertas yang putih, kita akan cepat melihat kotoran itu. Tetapi andai ada satu garisan pada kertas yang penuh dengan contengan, kita tidak akan mampu melihat garisan itu.

Hati kita umpama kertas itu, hati yang bersih akan cepat menangkap segala kemaksiatan yang berlaku pada diri. Lantas melakukan pelbagai usaha untuk kembali mensucikan hati.

Tetapi, hati yang kotor menganggap kemaksiatan itu bukanlah satu perkara yang serius, yang harus dipandang berat. Lantas, mereka bermaharajalela... Mengecap kebahagiaan dunia yang sementara cuma, tidak adil dalam membahagikan amal dunia dan akhirat. Dan mereka itulah dalam golongan orang-orang yang rugi.



Ingatlah, di dalam anggota badan manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah keseluruhan jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah keseluruhan jasadnya. Ketahuilah, bahawa ia adalah HATI (Riwayat Bukhari)


Kemaksiatan dan kemungkaran yang melanda melambangkan kerosakan hati.. Kerosakan hati pula merupakan faktor kepada keruntuhan moral.

Runtuhnya MORAL umat Islam


Masihkah kita ingat pada satu akhlak yang sangat baik? Yang membalas segalanya dengan kebaikan, hatta dirinya diperlakukan dengan zalim.

Dia.. Pernah dibaling batu.
Dia.. Pernah dibaling najis.
Dia.. Pernah ada cubaan untuk dibunuh.

Tetapi, Dia..

Tetap menadah tangan, berdoa kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa mereka yang menganiayanya. "Mereka tidak tahu,ya Allah." Itulah kata-kata yang sering dilontarkan. Ketika tidur, dia menangis memikirkan masalah ummah, ketika sedar dia ke sana-sini menghampiri ummah. Dia sanggup merasa segala kesakitan asalkan seluruh umat Islam merasakan kebahagiaan.

Dia banyak mengajar nilai-nilai murni, tetapi setelah Dia tiada... Banyak ajarannya yang telah kita tinggalkan.

Dia adalah Baginda Rasulullah s.a.w....

Baginda bersusah-payah mengajar kita cara yang terbaik dalam mengharungi arus duniawi, tapi kita engkar.. Kita lebih gemar mentadbir diri dan dunia dengan cara kita sendiri. Nah! Terimalah padahnya sekarang.

Baginda mengajar kita bagaimana untuk berpakaian ;


Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Rasulullah S.A.W dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: "Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini - sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Al-Hadith)


Sesuai dengan firman Allah ;

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (An-Nur :31)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Al-Ahzab : Ayat 59)


Sungguh, Allah menciptakan lelaki dan wanita dengan gelodak perasaan yang berbeza. Kaum wanita mungkin berasa tidak kisah berpakaian seksi, tetapi tanpa sedar, perlakuan itu bisa menaikkan nafsu syahwat lelaki.

Lumrahnya, lelaki mampu terangsang dengan hanya melihat, tetapi wanita akan terangsang dengan sentuhan.

Dua perkara yang berbeza yang mahu disamaratakan. Umpama minyak dan air. Masakan boleh!.

Wahai wanita, berpadalah...


"Ala, yang diorang pergi tengok kenapa?" Dia mencebik sambil membetulkan skirt pendeknya.

Tidak dapat tidak, andai seseorang wanita itu berpakaian seksi disertai pula dengan haruman yang berlebih-lebihan, seorang lelaki yang mahu melalui jalan yang sama pasti akan terlihat juga keseksian itu. Apatah lagi jika situasi itu berlaku di sebuah shopping complex. Ketika menaiki eskalator, si lelaki dikelilingi wanita-wanita seksi. Pandang depan salah, kiri salah, kanan salah, belakang pun salah.

Aduh! Kasihannya si Adam.

Bagi lelaki yang beriman, mungkin akan menundukkan pandangan, tetapi bagi mereka yang kurang imannya akan terus-terusan membiar nafsu merajai diri. Seterusnya, gadis yang lain yang tidak bersalah pula yang menjadi mangsa pemuasan nafsu si lelaki kerana terangsang dengan penampilan si wanita seksi. Tidak dapat dilepaskan kepada si pesalah, orang lain pula yang menjadi mangsa.

Syahdu.

Wahai wanita..Kembalikan sifat malumu, kembalikan akhlak indahmu... Agar dunia kembali tenang....

Resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

Renung-renungkan, fikir-fikirkan...



Wallahu'alam

Read More......

Monday, April 12, 2010

Tips : Hijrahkan Dirimu.



Duhai hati...
Mengapa nafsu masih dituruti,
Sedangkan kita punya Ilahi,
Yang setia menemani hari-hari....



"Ana rasa prestasi ana semakin menurun." Ana mengeluh. Mengharapkan empati seorang sahabat.

"Kenapa?" Dia melanjutkan pertanyaan.

"Ana rasa dosa ana dah menimbun. Hari-hari buat dosa, ana pun rasa hati ana semakin kering." Ana menarik nafas. Sedih pada kekontangan hati.

Benar, sudah lama ana tidak menangis kerana Allah. Ana benar-benar rindu hati yang basah lembut mengingati Allah. Hati yang tulus cintanya kepada Allah. Hati yang sering merindu, merintih pada Allah.

Kembali Muhasabah

"Kenapa jadi macam tu?" Sahabat ana menyoal lagi, sekaligus membuat ana merenung dalam-dalam ke dalam diri.

"Mungkin juga faktor pemakanan."

Sungguh, dahulu ketika keluar bersama sahabat-sahabat yang lain, ke pasar malam contohnya, seboleh-bolehnya kami tidak akan membeli makanan daripada penjual yang tidak menjaga tuntutan syariat seperti tidak memakai tudung atau mengubah fitrah. Isu pemakanan mungkin nampak kecil, tetapi dalam kita tidak sedar, sedikit demi sedikit ia akan merosakkan hati, menambah titik-titik hitam ke dalam hati sehingga hati menjadi hilang sensitiviti. Makanan yang berkat adalah faktor kepada hidup bersyariat.

Tetapi, sungguh Allah penentu segala. Berada di tempat baru, ana diuji dengan tempat makan di kawasan sekeliling yang rata-ratanya tidak begitu 'menjaga'. Hatta, di kafe kolej ana sendiri, rata-rata para pekerjanya tidak mengutamakan solat. Begitu juga dengan ibadah lain...

Ana tidak punya pilihan lain, benar ana lebih suka memilih untuk makan roti. Tetapi, sampai bila?

Sehingga..Akhirnya ana hilang sensitiviti dalam hati. Hilang sensitiviti terhadap maksiat yang berleluasa, liat untuk bangun qiamullail, kurang amalan sunat malah ana tidak lagi mudah menangis kepada Allah.

Alhamdulillah, Allah masih beri ana kesedaran untuk merenung ke dalam diri. Menilai kekerasan hati yang semakin menjadi-jadi. Tapi ana masih buntu.

Selangkah ke Hadapan


"Ana ada cadangan."Alhamdulillah, dikurniakan seorang teman seperti dia benar-benar menyenangkan.

"Apa dia?"

"Cuba tulis kat kertas, boikot syaitan, nafsu, israel. Kemudian, tampal kat lantai, tempat yang enti selalu lalu. Kalau rasa geram. Pijak-pijak lagi kertas tu."

Seolah-olah satu aliran elektrik mengalir ke dalam hati ana sebaik mendengar cadangan itu. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Itu satu cara yang baik untuk menyedarkan ana yang sering terlupa.

Masih ada banyak lagi perkara yang mampu membantu.

Ayuh Berhijrah!

Mari sahabat. Mari hijrahkan diri kita sebelum mata terpejam untuk selamanya.

1. Peringatan

Buat satu peringatan kepada diri. Yang pertama. Tulis BOIKOT SYAITAN, NAFSU, ISRAEL pada sekeping kertas (mengikut kreativiti). dan kemudian tampal ke atas lantai, tempat di mana kamu selalu lalu. Tapi, elakkan untuk tampal di kawasan yang meghadap kiblat.

Ana buat simple je..

Peringatan seupaya berhijrah juga perlu. Tuliskan sekali matlamat hidup kita.

Contoh. Sahabat boleh buat yang lebih baik, insyaAllah :)

Untuk lebih baik, rencanakan apa yang kamu mahu buat. Contoh ; 20 tahun- ambil degree
23 tahun- ambil master, 25 tahun-kahwin.
Buat juga matlamat untuk minggu. Contoh ; minggu ini-hafal surah ...., bangun qiamullail sekurang-kurangnya 4 kali.

Begitulah. Orang muslim matlamatnya perlu jelas. :)

2. Banyakkan amalan sunat

Rajinkan diri untuk melakukan amalan sunat. Kalau boleh, solat sunat rawatib serta solat dhuha jangan sesekali ditinggalkan. Benar, buat yang fardhu/wajib sahaja pun boleh. Tapi cuba kita bayangkan, kita pergi ke kedai dan makan nasi semata-mata tanpa lauk. Enak kah?
Tak sedap kan? Maka, 'persedapkanlah' ibadat kita. Ingat, ibadat itu, kita mahu persembahkan kepada Allah....

3. Amalkan zikir sentiasa

Duduk-duduk tak buat apa, cubalah berzikir di dalam hati. Itu lebih berfaedah daripada kita mengalunkan rentak lagu yang mampu merosakkan hati. Berzikir, berselawat, bertasbih..

Begitu juga dengan wanita yang diberi 'cuti' oleh Allah. Tidak boleh bersembahyang tidak bererti kamu tidak boleh melakukan apa-apa perkara yang mendatangkan kebaikan. Berzikirlah, jangan biar hati kosong terlalu lama. Semoga hati kita diberi cahaya oleh-Nya.

4. Lihat alam dengan mata hati

Hari-hari kita lihat pokok, lihat awan. Tapi jarang sekali kita melihatnya dengan mata hati. Selepas ini, cubalah, apabila melihat awan bergerak-gerak, bisikkan dalam hati "Subhanallah.. Indahnya ciptaan-Nya." atau jika melihat ada insan lain yang lebih susah daripada kita, berbisiklah "ya Allah, terima kasih di atas segala nikmat yang tidak sempat aku syukuri."

Cubalah.

5. Belajar memaafkan

Hati yang tenang adalah hati yang bersih dari sifat-sifat keji. Maka, maafkanlah kesalahan semua insan agar hati kita sentiasa tenang, tidak terfikir-fikir tentang kejahatan orang lain. Kalau boleh, sebelum tidur maafkan semua manusia. Ingat! Kita pun pernah buat salah.

Mendoakan perkara yang baik buat insan lain mampu menenangkan hati..insyaAllah.

Mari Bersama

Itulah tips-tips yang dapat ana kongsi bersama. Kalau sahabat-sahabat ada lagi tips yang boleh dikongsi, ana alu-alukan. :)

Semoga kita sentiasa bersama-sama mengalahkan nafsu, seterusnya bersama-sama menuju redha-Nya yang satu.. insyaAllah.

Ingat! Allah sentiasa sudi memberi keampunan kepada kita, hanya kita yang selalu ego. Allah tidak pernah lupa kepada kita, cuma kita yang selalu lupa kepada Dia. Allah tidak pernah menzalimi kita bahkan kita sendiri yang menzalimi diri kita.

Kesilapan yang lalu moga dijadikan iktibar. Masa depan yang masih panjang, moga diisi dengan redha Allah, sehingga nyawa bercerai dari jasad....

Wahai diri,
Bangkitlah kini,
Kerana diriku,
Mencari redha Ilahi...


Wallahu'alam.

Read More......

Saturday, April 10, 2010

Mencari Fikrah Kembali...


Ada orang kata aku gila. Ya, Mohamad Fa’id gila. Gila kerana memecah kontrak, meninggalkan biasiswa yang ribuan lagi insan lain meminta. Gila kerana meninggalkan rezeki yang ada di depan mata, kononnya aku menghancurkan masa depan aku sendiri.

Ada pula orang kata aku tidak tahu bersyukur. Tidak bersyukur dengan kurniaan Allah, tidak sedar bahawa tidak semua benda di dalam dunia ini yang kita mahu kita akan dapat.

Mungkin mereka terlupa untuk mendalami maksud namaku. Fa’id membawa maksud, tetap, berhasil, istimewa atau bersungguh-sungguh. Maka, mahu aku simpulkan di sini bahawa aku ini tetap pendirian serta bersungguh-sungguh dalam menegakkan agama yang istimewa untukku dan aku percaya bahawa segalanya akan berhasil.

Istimewa? Apa agama yang istimewa untukku?

Islam. Mudah bukan, ya Islam adalah agamaku. Terlalu istimewa.

“Fa’id, kamu dah fikir masak-masak?” Aku masih tidak lupa soalan yang sentiasa menerjah ke dalam gegendang telingaku. Mujur sahaja Allah mencipta gegendang telinga ini tidak mudah koyak dek suara-suara manusia lain. Jika tidak sudah tentu aku tidak punya gegendang telinga lagi lantaran terlalu banyak soalan yang sama menerjah telingaku.

Ah! Bosan.

Pada mulanya aku masih mampu tersenyum dan menjawab, “Ya, keputusan saya muktamad.” Tetapi apabila asyik diasak dengan persoalan yang sama, maka senyuman aku menjadi satu garisan lain yang penuh dengan kebencian.

“Kamu sudah istikharah?” Soalan lain menyusuli jawapan yang baru tadi aku berikan.

“Sudah.”

“Berapa kali sudah kamu istikharah? Kamu sudah solat taubat sebelum beristikharah?”

Aku menjadi semakin bosan. Suara-suara yang datang benar-benar membingitkan telingaku. Sesekali terasa mahu menjerit melepaskan segala kebencian dan kebosanan. Sesekali aku terasa ingin berlari jauh dari mereka. Mereka yang tidak pernah puas dengan jawapan yang aku berikan. Mereka yang tidak pernah mahu memahami hati sanubariku.

Ya, aku mahu lari. Mahu lari agar lebih dekat dengan Islam yang aku cintai.

Benar, fitrah manusia itu suci dan bersih. Begitu juga dengan hati aku. Hati kamu dan hati mereka. Cuma, apabila sudah selalu dikotori maka hati akan hilang sifat sensitif terhadap maksiat. Aku tidak mahu menjadi seperti itu. Cukuplah hati aku menangis dan memberontak sepanjang berada di tempat ini, ya, satu tempat yang pengajianku ditaja sepenuhnya.

Cukuplah, aku tidak mencari itu dalam kehidupanku. Aku cuma mahu mencari redha Ilahi, maka jangan halangi langkahan kakiku kerana aku mencari cinta-Nya kembali......

***

“Fa’id, kenapa kau menangis?” Fakhrudin, teman sejatiku bertanya.

Cuti semester yang panjang dan kebetulan pula sama cuti dengannya membenarkan aku bertemunya. Teman sefikrahku, teman sejatiku yang sentiasa memimpin aku mencari cahaya di dalam kawasan yang gelap gelita. Seorang teman yang sentiasa membantuku bangkit setelah aku jatuh terpelosok.

Namun, takdir penentu segala... Fakhrudin meneruskan pengajian di Jordan manakala aku terus di sini, di Tanah Airku...

“Eh, mana ada. Mata aku masuk habuk.” Aku cuba berdalih.

Fakhrudin tergelak kecil. Pantas, sikunya lembut mendarat di pinggangku.

“Dengan budak tadika bolehlah kau tipu... Aku dah kenal kau sejak hingus meleleh lagi tahu?”

Aku tergelak kecil. Ada ke hingus meleleh? Tak patut betul..

“Hati aku, sakit...” Aku mendengus perlahan, cuba menahan perit yang kian terasa.

“Kenapa?” Garis-garis halus di dahi Fakhrudin mula kelihatan, melambangkan mindanya sedang ligat berputar.

“Pasal tempat pengajian aku.” Aku berpaling, membelakangi dirinya. Panorama di atas bukit ini amat menyamankan. Tenang.

“Kenapa sahabat?” Lembut, Fakhrudin menyentuh bahuku.

Aku mengangkat kedua-dua tangan. Membetulkan sedikit tulang belikatku. Penat.

“Tempat aku, mungkin tak sebaik tempat kau.”

“Astarghfirullah sahabat. Allah sudah tetapkan yang terbaik, mungkin aku tak sekuat kau, sebab tulah Allah tak turunkan ujian tu kat aku. Kau kuat.”

“Kau tak faham...”

“Fa’id, kau lupa pada Rasulullah yang hidup di celah-celah masyarakat yang sedang dalam kegelapan?”

“Ya, aku tahu. Selalu juga aku pujuk hati dengan sirah Rasulullah, tapi aku tak tahan bila ditekan melakukan sesuatu yang aku tak mahu. Aku tak dapat mengelak daripada program-program yang tidak menepati syara’. Aku tersepit antara peraturan manusia dan Allah. Aku tersepit antara lulus peperiksaan manusia dan Allah. Aku perasan pada perubahan diri aku yang sudah kurang menjaga, malah aku perasan bahawa hati aku sudah mula hilang sensitiviti sedikit demi sedikit. Sahabat, hati aku..sakit...hati aku..tenat...” Air mata yang puas aku tahan gugur juga. Ah, lelaki tidak boleh selemah ini!

Pantas aku mengesat butir-butir jernih itu.

Fakhrudin diam.

“Kau tak cuba berbincang dengan pihak pengurusan?” Satu solusi darinya muncul.

Aku mengangguk lemah.

“Sudah.”

“Jadi?”

Aku mengangkat bahu. “Bukan semua manusia akan senang dengan teguran dan bukan semua manusia yang sedia pada perubahan. Aku tak tahu macam mana untuk bertahan lagi 4 tahun.Aku rindu pada aku yang dulu.”

Aku merebahkan badanku ke atas rumput, menghadap langit yang teguh berdiri. Awan-awan yang bergerak amat menyejukkan hati. Syukur, aku masih diberi peluang menikmati semua ini.

Fakhrudin duduk di sebelahku. Wajahnya serius seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Sahabat.” Tiba-tiba dia bersuara.

Aku mengangkat kening sebagai tanda ‘kenapa?’

“Kau tak mahu tukar Universiti?”

“Maksud kau?”

“Berhijrah kepada tempat yang lebih baik. Berhijrah kepada tempat yang memahami fikrah.”
Pantas aku bangun dari pembaringan, duduk di sebelah Fakhrudin. Aku menatap matanya yang bersinar.

“Kau.. tak rasa aku akan meninggalkan teman-teman dalam kegelapan?”

Fakhrudin menggeleng laju. “Tidak. Kau bukan meninggalkan mereka terus. Masih perlu follow-up, tapi dalam masa yang sama kau bawa diri kau jauh daripada perkara yang menggelapkan hati.”

“Em... Kau tak rasa aku pengecut, melarikan diri?”

“Sahabat! Kau lupa pada kisah Ashabul Kahfi yang bersembunyi demi menyelamatkan iman?”

“Jadi bagaimana dengan masa depan aku?”

“Fa’id.. Rezeki itu milik Allah, kalau kau ikhlas buat segalanya kerana Allah, Allah pasti tolong kau,asalkan kau ada usaha. Kau lupa?”

“Bagaimana persepsi orang pada aku?” Aku masih ragu-ragu.

Fakhrudin tersenyum. Segera tangannya dihulurkan.

“Aku kan ada”

Aku tersenyum sama. Entah kenapa hati aku benar-benar tenang. Sudah lama aku tidak merasa ketenangan yang seperti ini.

Tanganku dihulur, menyambut huluran tangan Fakhrudin.

“Terima kasih sahabat!”

***

Proses pemberhentian dari tempat pengajian yang seolah-olah sengaja dirumitkan benar-benar menekan emosiku. Aku cuba bersabar, malah bersabar dengan persepsi-persepsi bahawa aku ini menolak tuah. Biarlah, tidak akan ada satu manusia pun yang mampu memahami manusia lain melainkan dia sanggup untuk memberi kefahaman.

Aku tidak memaksa sesiapa pun untuk memahamiku. Malah, aku mempersilakan sesiapa sahaja yang mahu mencemuh, mencaci malah mengatakan apa sahaja yang mereka suka, asalkan Allah tahu niat sebenarku dan pergantungan sebenar aku hanyalah pada Allah, bukan pada figur yang sama seperti aku.

“Fa’id” Suara itu memanggil lagi.

Aku menoleh. Satu senyuman hambar aku pamerkan. Encik Hashim berwajah serius memandangku.

“Awak sudah benar-benar nekad?” Soalan yang sama dilontarkan.

Aku mengangguk.

“Ada apa-apa lagi? Maaf, saya ada hal yang perlu diuruskan.” Aku meminta diri. Tidak mahu memanjangkan perbualan, bimbang aku menjadi kurang ajar lantaran hati yang semakin panas membara.

Astarghfirullah. Aku beristighfar, dan segera langkahan kaki ku arah ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Air adalah terapi terbaik manusia, yang mampu menyejukkan hati.

‘Tiit..Tiit’

Poketku bergetar. Pantas aku menarik handphone Sony Ericsson W705ku.

1 message received
from
Encik Hashim

Aku menghela nafas. Masih berkira-kira untuk menekan butang ‘show’. Kaki aku bergerak pantas keluar dari bilik air.

Nafas ditarik panjang. Segera, ibu jariku menekan butang show dan terteralah mesej itu.


Fa’id, kamu tahu tak berapa ramai yang mohon untuk mendapatkan peluang yang kamu dapat? Mengapa kamu mahu mensia-siakannya? Ini adalah masa depan kamu. Masa depan kamu sudah terjamin apabila kamu menjejakkan kaki di sini.


Aku tergelak sinis. Lagi-lagi soal masa depan yang dibicarakan. Seolah-olah mereka adalah Tuhan yang mengetahui masa depanku. Pengajian dibiayai dengan jaminan pekerjaan bukanlah petanda bahawa masa depan seseorang itu sudah terjamin. Tapi, masa depan yang terjamin mengikut persepsi aku adalah masa depan yang sentiasa mendapat redha Ilahi, masa depan yang ditempuhi dengan hati yang tenang.

Pantas ibu jariku memainkan peranannya. Punat reply ditekan.

Maaf, keputusan saya muktamad. Soal masa depan biarlah Allah yang menentukan kerana saya sendiri tidak tahu masa depan saya. Semoga semuanya baik-baik sahaja. Terima kasih.


Entah dari mana aku mendapat kekuatan itu.

Satu nafas berat dilepaskan. Tanganku membetulkan tali leher yang dipakai dan segera kakiku melangkah menuju ke asrama.

‘Tiit..Tiit’

Telefon bimbitku berbunyi lagi. Aku memandang ke skrinnya.

1 message received
from
Encik Hashim

Pantas, jariku menekan butang show. Tiada lagi gentar.

Kalau macam tu saya adalah manusia gagal, kerana tidak mampu menahan awak dari pergi.

Aku tersengih. Segera mesej itu dipadam. Aku sendiri tidak pasti apakah maksud di sebalik manusia gagal. Adakah dia merasa gagal kerana gagal menghalang pelajar dari pergi sekaligus merosakkan reputasinya?

Entah.

Tanganku pantas pula menaip mesej.

Saya minta maaf. Encik tidak gagal, Cuma keputusan saya muktamad.

Sent!

Aku melangkah lagi, kali ini dengan hati yang lapang...

***

“Ehem.. Termenung jauh nampak?”

Fakhrudin tersengih sambil menghirup kopi yang dipesan sebentar tadi.

Aku tersenyum malu, “Yelah pak ustaz. Aku teringat kisah silam”

Fakhrudin, sahabat sejatiku sudah tersohor kini. Mencipta nama sebagai seorang pendakwah bebas, juga memiliki syarikat konsultansi sendiri yang selalu membuat kem-kem motivasi buat para remaja.

“Macam baru semalam aku tengok kau menangis, sekarang kau dah tubuhkan sekolah Islam, malah jadi pensyarah lagi.”

“Semua tu rezeki Allah...”

Aku menghirup air Teh di hadapanku. Ya, rezeki Allah tiada siapa yang dapat menjangka. Alhamdulillah, dalam pencarian fikrah kembali,urusan pemberhentianku dipermudahkan dan aku dapat menamatkan ijazah sarjana muda di tempat lain,malah terus menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

“Ha, kau bila nak ambil phD pula?” Selamba Fakhrudin bertanya.

“Kenapa?”

“Saja tanya.”

“Aku nak ambil sama-sama dengan kau.”

“Kenapa?”

“Saja”

Kami ketawa. Bersama.

Masih sama seperti dulu. Cuma dahulu kami menangis. Bersama.



Read More......

Wednesday, April 7, 2010

Muhasabah



Sahabat,
Lihatlah awan di sana,
Bergerak, berdiri,
Sentiasa patuh pada Ilahi..

Sahabat,
Perhatikanlah pusingan bumi,
Siang dan malam silih berganti,
Sentiasa patuh pada Ilahi..

Sahabat,
Cuba renungkan kembali,
Betapa indahnya pepohon melambai,
Angin bertiup menghembus pipi,
Sentiasa patuh pada Ilahi...

Sahabat,
Cuba pula kita renungkan ke dalam diri,
Betapa banyak dosa yang telah kita tempuhi,
Betapa banyak maksiat yang menjadi makanan hati,
Betapa kita engkar pada Ilahi!

Sahabat...
Allah sentiasa sayang pada kita,
Allah sentiasa sedia memaafkan kesalahan kita,
Tapi kita masih mahu meninggi diri,
Mendongak kan wajah,
Mendabik dada,
Terkadang terlupa pada saudara sendiri,
Terlupa pada saudara kita yang dalam kesusahan,
Malah mengaku, bahawa kitalah yang terhebat!

Tetapi kita lupa sahabat..
Kita ini terciptanya dari setitis air yang hina!
setitis air yang hina...

ya Allah..
HambaMu ini terlupa pada satu hakikat hakiki,
Bahawa hambaMu ini tercipta dari setitis air yang hina,
Lalu membesar menjadi hamba yang sombong kepadaMu!
Hamba yang engkar, malah tidak malu melanggar perintahMu!

Engkau telah menjaga aku ya Allah,
Sejak di dalam kandungan ibu,
Kau jagai aku dengan penuh berhikmah,
Dilindungi cecair yang bisa membuatku selesa di rahim ibu,
Memberiku makan dengan saluran khusus melalui ibuku,
Setelah aku melihat dunia..
Aku terus sahaja lupa pada semua itu...

ya Allah,
aku ini umpama pepasir di tepian pantai,
Pada mulanya putih dan bersih,
Tetapi terus sahaja kotor setelah dipijak-pijak,
Aku ini ya Allah,
Terlalu kotor dipijak nafsu dan dosa,
Terlalu kotor dipergunakan maksiat,
Maka masihkah lagi aku ini layak untuk berhadapan denganMu nanti?

Bantulah aku ya Allah,
Bantulah aku melawan nafsu,
Kerana aku ini lemah tanpaMu,
Aku ini hina tanpa pertolonganMu.

ya Allah....
Izinkan aku melihat wajahMu,
Izinkan aku bertemu Rasulullah kekasih yang amat Engkau cintai,
Izinkan aku ya Allah...
Meski tidak layak diri ini mengharap semua itu,
Aku masih mahu memohon ya Allah...
Aku terlalu merinduiMu,
Aku terlalu merindui kekasihMu,

ya Allah,
Pada saat ini, ketika ini..
Apakah Engkau sedang murka,
Dan Rasulullah sedang menangis,
Melihat aku di sini...?


Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu' (Al-Baqarah : 45)




Read More......

Sunday, April 4, 2010

Influenza A : Lawatan atau Pinggirkan?


Insan sakit menaruh harapan,
Namun apakah balasan yang diberi?

"Eh, dia masuk wadlah. Suspek INFLUENZA A! Kau tak nak pergi melawat ke?" Senget-senget mulut Minah menceritakan perihal Joyah yang ditahan di Wad kerana suspek virus berbahaya itu.

"Ish! Kau nak suruh aku pergi melawat pulak! Tak kuasa aku. Tunggulah dapat result dulu, positif ke negatif." Bedah membalas.

Senyap.

Salahkah Mereka Diberi Lawatan?


Mereka yang sakit selalunya berada dalam keadaan lemah dan putus asa. Seharusnya, kita yang diberi nikmat sihat oleh Allah terus-terusan memberi sokongan dan kata-kata semangat agar pesakit kembali meraih semangat. Tapi malangnya, minda masyarakat kini telah dikotori dengan penyakit pentingkan diri sendiri, juga hati mereka dipenuhi dengan penyakit wahn, iaitu cintakan dunia dan takut mati!

Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”

Sabda Baginda s.a.w.:

“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”

Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah s.a.w.:

“Kerana mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”

Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”

Melawat mereka yang sakit, tidak semestinya kita juga akan ditimpa sakit. Jika begitulah sifirnya, maka para doktor dan jururawat sudah pasti meletakkan jawatan. Gerun pada segala macam virus berbahaya.

Benar, ana akui Influenza A atau H1N1 mampu membawa maut. Tetapi, pernahkah kita terfikir, andai sudah suratan maut menjemput, kita pasti akan pergi meninggalkan dunia juga, jika tidak kerana virus itu, pasti kerana asbab yang lain.

Jika belum tiba ajalnya, dijangkiti virus itu sekalipun, insyaAllah kita akan kembali sembuh.

Baiklah, jika kamu takut benar dijangkiti virus itu, pakailah mask.

Masih takut juga?

Entahlah...

Cuba Berada di Tempat Mereka


Cuba bayangkan, suatu hari kita demam teruk dan terus ke hospital untuk membuat rawatan. Tanpa disangka-sangka, kita ditahan kerana dikhuatiri terkena jangkitan virus Influenza A.

Selama kita ditahan di wad, tiada siapa yang mahu datang melawat. Melainkan;

Doktor.
Jururawat.
Dan juga pesakit yang duduk di katil bersebelahan.

Apa perasaan kita pada ketika itu?

Gembirakah?

Jangan lupa, perjalanan hidup kita masih jauh beribu batu.

Hari ini mungkin kita sihat. Esok lusa siapa tahu?

Renung-renungkan.. Fikir-fikirkan...

Tidak lengkap iman kamu selagi mana kamu tidak mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri. (Al-Hadith)


Seraut wajah mengorak simpati,
Segaris senyuman menyenangkan hati..


Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .