Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, December 31, 2009

Didikan Allah


Allah...
Dosaku menggunung tinggi...


Berkali-kali ana mencuba untuk menaip. Taip dan padam kembali.

Cuba lagi.

Dan akhirnya ana mengalah, berlalu pergi dari laptop.. Membiarkan tulisan yang hanya separuh siap.

Hambar


Entah mengapa, lewat kebelakangan ini ana seolah-olah kering idea untuk menaip apa. Entahkan kecewa, entahkan bosan melihat segala kemaksiatan yang berlaku.

Ana tidak tahu.

Beberapa kali ana mencuba untuk memberi sedikit input dalam blog,dan dalam masa yang sama sebagai nota untuk diri sendiri tapi segalanya ana rasakan hambar.

Tawar. Tersekat-sekat.

Allah.. terbit juga rasa sedih melihat kekurangan diri.

Perjalanan ke negara orang


Alhamdulillah, Allah masih beri ana peluang untuk muhasabah diri. Semalam, ana pergi ke negara orang. Sebuah negara yang bukan bergelar negara Islam demi menimba sedikit pengalaman yang tidak mungkin ana peroleh di dalam bilik darjah.

Perjalanan pagi itu bersama kekanda,adinda dan sepupu-sepupu tersayang benar-benar membuka mata. Bukan mata kasar,tapi mata hati.

Perjalanan pagi itu, setelah melepasi kastam dimulakan dengan menaiki bas.

"Brother, please give her the seat. She is carrying a baby"
Konduktor bas bersuara sebaik sahaja seorang wanita yang mendukung bayi masuk ke dalam bas.

Ana terpana, teruja bercampur sedih. Sedih kerana perkara itu tidak berlaku di negara ana sendiri. Sebuah negara yang bergelar negara Islam.

Betapa ana melihat Islam di negara bukan Islam dan ana semakin kabur daripada melihat Islam di negara Islam sendiri.

Perjalanan diteruskan dengan seribu satu macam perasaan bermain di dalam hati.

Tiada yang sempurna


Jam yang menunjukkan hampir pukul 6 membuatkan kami sedikit resah. Solat harus ditunaikan walau apa pun yang berlaku. Namun, kami sukar mencari surau di tempat kami berada. Hakikatnya, tiada surau dibina di situ.

Kami pergi ke serata tempat. Masih berharap ada satu ruang solat untuk kami menunaikan kewajipan. Hampir setiap pekerja di situ telah kami tanya dengan soalan yang sama.

"Di manakah tempat untuk solat?"

Namun jawapannya masih hampa : TIADA. Malah, masjid berada jauh dari tempat kami berpijak.

Buntu. Benar-benar buntu.

Dalam hati tidak putus-putus berdoa, "Allah..aku ingin solat..aku ingin solat."

Alhamdulillah, Allah benar-benar Maha Mendengar. Setelah kami hampir berputus asa, insan terakhir yang kami tanya menunjukkan ke satu tempat yang kami boleh menunaikan solat.

Bukan sebuah surau, atau bilik.

Tetapi satu sudut yang agak tertutup.

Alhamdulillah.. Meski terpaksa menunaikan solat di atas batu, bercampur dengan orang yang lalu-lalang yang memandang pelik, masih ada satu rasa bahagia muncul di dalam hati..

Syukur, kami dapat menunaikan kewajipan. Satu rasa yang indah......

Allah telah melihatkan kebesaranNya. Dengan menunjukkan bahawa Dia akan sentiasa menolong hambaNya.......

Sesat


Sekali lagi ana diuji. Terpisah dengan kakak yang memegang passport di sebuah negara asing bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Pada ketika itu, ana, sepupu dan adinda ingin pergi ke masjid. Niat di hati ingin melakukan jama' taqdim agar senang untuk meneruskan perjalanan.

Ketika itu waktu maghrib.

Kami panik seketika, tapi tetap meneruskan perjalanan... Melintas jalan-jalan raya yang tidak pernah kami kenali sebelum ini.

Ana cuba untuk menghubungi kekanda, tetapi hampa. Fikiran semakin buntu.

Jalan ke masjid pula bukanlah diterangi cahaya semata. Tetapi dipenuhi juga dengan lelaki-lelaki yang sekadar melepak-lepak, membuatkan hati sedikit gentar.

"Allah ma'ana (Allah bersama-sama kami)"

Tidak putus-putus kata-kata itu keluar dari mulut ana dan sepupu, seolah-olah ingin memberi satu kekuatan di dalam diri, memberi kekentalan di dalam hati.

Sampai di masjid, kelihatan lengang sungguh. Terdapat juga insan-insan yang tidak menghormati masjid dengan berpakaian seksi.

Ana hanya mampu menggeleng, hati masih lagi bergelora. Handphone dikeluarkan, mengharap ada balasan dari kekanda. Tapi masih lagi hampa.

"Tak apalah, jom sembahyang dulu" Sepupu mengajak. Ana menurut.

Wudhuk diambil dengan penuh pengharapan, "Allah...salurkan ketenangan dalam hatiku..." Selesai berwudhuk, kaki melangkah ke dewan solat. Telekung dipakai.

Tiba-tiba...

Hati tergerak untuk melihat handphone,lantas tangan menyeluk poket, mengambil benda yang berbentuk empat segi itu.

Unlock button.

1 new message from kauthar.


Ana terpana. "Iman..ada mesej dari kauthar." Berita itu dikongsi bersama sepupu.

"Dia kata apa?"

"Dia kat info centre. Sesat tadi."

"Suruh dia tunggu kat situ.. Dalam setengah jam lagi kita sampai."

Ana tersenyum, dan kami memulakan solat.

Allah..... Sekali lagi, keagunganNya terserlah. Dia sentiasa bersama kita, hakikatnya Dia terlalu dekat dengan kita. Cuma kadangkala kita yang tidak yakin dengan hakikat itu sehingga kita lebih mengharap pada makhluk ciptaanNya berbanding dengan Allah sendiri.

Allah ma'ana.

Terima kasih ya Allah....

Jauh Perjalanan, Banyak Pengalaman


Banyak sungguh pengalaman yang diteroka. Semua itu membawa pengajaran di dalam diri.

"Hari ini kita banyak belajar kan?" Ana bersuara. Benar, hakikatnya, apa yang berlaku adalah salah satu cara Allah mengajar kita.

Setiap yang berlaku itu ada hikmahNya. Kami sedikit merungut ketika beratur panjang dan lama untuk masuk ke satu-satu tempat. Namun akhirnya kami mendapat priority untuk memilih tempat duduk.

Setiap kemaksiatan yang berlaku membuatkan ana berfikir kembali... Adakah salah mereka atau salah ana? Mereka tidak mendapat hidayahNya lagi, tetapi ana yang telah diberi kesedaran hanya mampu membisu. Jadi, mengapa ana harus bosan dan beralah dengan kemaksiatan yang berulang kali menjengah di birai mata?

Dimanakah tanggungjawab ana sebagai seorang khalifah? Ana seolah-olah patung bernyawa. Mampu melihat, tetapi tiada tindakan.

Entahlah... hakikatnya, ana harus malu pada mereka kerana mereka melakukan maksiat lantaran TIDAK TAHU, tetapi ana membuat dosa yang ana TAHU.

Ampuni kelalaianku Allah...

Terselit hikmah di setiap kejadian, dan semuanya terpulang kepada kita, untuk melihat pada sudut hitam atau putih.

Jika hitam yang dilihat... Maka tinggallah kita dengan seribu prasangka yang mengotori hati.

Jika putih yang dipandang... Maka terbukalah mata hati, dan rasa tenang serta bersangka baik dengan Allah itu muncul, sekaligus sedar bahawa Allah mahu MENDIDIK kita.

Allah ma'ana.


Wallahu'alam :)

Allah...
Walau taubat sering ku ingkar..
Tapi rahmatMu melangit luas...

Read More......

Thursday, December 24, 2009

Palestin Semakin Dilupakan


Peristiwa berdarah menyayat hati,
Semakin hari semakin dilupakan,
Apakah nanti...
Peristiwa itu terus lenyap dari ingatan?


"Kak Mas, nak biskut tak?" Hazim bertanya ketika ana sedang leka menonton televisyen. Biskut Munchys oat krunch hanya tinggal sepeket lagi.

"Em, nak." Ana menjawab ringkas, acuh tidak acuh.

"Nah"Hazim pantas membuka satu-satunya paket yang tinggal itu dan menghulurkan kepada ana.

"Ala.. wawa taknak makan sekarang, wawa nak makan esok." Ana membalas, berpura-pura merajuk

Keesokannya, pagi-pagi lagi ana terus melangkah ke dapur, menjengah ke dalam kotak makanan dan kelihatan kotak munchs oat krunch berserta tulisan di atasnya. Kotak diangkat dan ana mula membaca.



Jangan buang. Ada lagi 2 keping biskut untuk wawa




Ringkas tulisan itu, tapi cukup bermakna.

***

Palestin Menangis

Mengenangkan 2 keping biskut itu... tiba-tiba fikiran ini jauh melayang ke satu buah negara yang sedang diserang habis-habisan oleh kafir laknatullah. Negara yang dikelilingi dengan negara-negara Islam, namun tiada tindakan diambil petanda ukhuwah yang kian rapuh. Saat ana enak makan biskut munchys itu, mereka makan apa?

Adakah Palestin semakin dilupakan? Kita bergembira di sana-sini, melancong, membeli-belah, makan-makan dan sebagainya tanpa sedikit pun kita ingat kepada saudara kita di sana... Adakah kita lupa bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, tidak lengkap iman seseorang itu selagimana dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

"Ah.. kau boikot-boikot buat apa? Kang haus, kau minum juga coca-cola"

Astarghfirullah. Ana pernah diajukan ayat sebegitu. Selain beristighfar,apalagi insan hina ini mampu lakukan? Benar, ana ini lemah.. Tidak banyak yang ana mampu lakukan untuk Palestin tercinta, untuk saudara-saudaraku di sana yang sedang merintih.. Yang setiap detiknya menghitung saat-saat kematian akan tiba..

Benar, ana akui ana tidak mampu mengangkat senjata untuk bersama-sama mereka di sana. Ana juga tidak mampu berjihad di medan perang. Tapi, sekurang-kurangnya ana mahu bermujahadah. Bermujahadah melawan nafsu semaksimum mungkin dengan tidak membeli barang-barangan yang menyumbang kepada peluru-peluru yang bakal menembusi badan-badan longlai saudara ana di sana.

Meneguk coca-cola sungguh-sungguh seperti meneguk darah saudara ana. Ana tidak sanggup.

Dan sekurang-kurangnya... saat disoal satu hari nanti; apakah yang telah ana lakukan untuk saudara ana yang dalam kesakitan? insyaAllah ana mampu menjawabnya.

Palestin Kian Dilupakan




Ana masih ingat, saat gaza diserang secara besar-besaran... Surat khabar, dan segala jenis media giat memperlihatkan peristiwa tragis itu.. masyarakat keluar beramai-ramai dengan niat mahu keadilan ditegakkan...

Namun sayang seribu kali sayang... Semangat-semangat itu kian pudar, dari hari ke hari... dari detik ke detik... Sehingga Palestin semakin lenyap dari ingatan, seolah-olah negara itu sudah mencapai kemerdekaan, dan seolah-olah saudara-saudara kita sedang bergembira di sana, sebagaimana kita bergembira di sini.

Ana teringat satu kisah di mana ketika perang, ada 3 orang yang cedera parah. Pemuda pertama merintih.."Air..air..." petugas yang mendengar segera menyuakan air, tetapi sebaik sahaja mendengar pemuda kedua jua merintih kehausan, dia segera berkata "Berilah kepada pemuda itu" Petugas itu pun berlari ingin menyuakan air kepada pemuda kedua, tetapi baru sahaja air itu ingin dihirup, pemuda ketiga pula merintih kehausan.. Pemuda kedua pun berkata "Berilah air kepada pemuda itu"

Akhirnya, ketiga-tiga pemuda meninggal dunia. Dalam satu ikatan ukhuwaah yang tertinggi kerana Allah.

Tapi kita sekarang, tidak lagi umpama satu tubuh.. cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Kita lebih gemar hidup sendiri-sendiri, dan lebih menyayat hati.. Kita tegar melihat saudara-saudara kita dalam kesusahan.

"Oh, kasihan mereka" Itu sahaja, dan tiada tindakan susulan.

Kita sedang berhibur... Mereka sedang bersiap-sedia melawan musuh.
Kita enak makan yang sedap-sedap... Mereka makan tidak menentu.
Kita enak tidur di tilam yang empuk... Mereka tidur berbantalkan lengan.

TAPI!!

Mungkinkah, 'di sana' nanti.. segala keenakan itu akan tetap kekal di samping kita setelah kita mengabaikan mereka di sini...

Marilah kita bersama-sama kembali mengingati saudara-saudara kita yang sedang dalam kesusahan... Kenang mereka dalam doamu...

***

Dua keping biskut itu ana ambil, dan hulurkan kepada Hazim yang sedang asyik menghadap komputer.

'Ambillah dik... Mungkin dikau lebih memerlukan... Moga membesar menjadi anak yang soleh'

Oh saudaraku,
Maafkan kami yang terleka,
Maafkan kami yang alpa,
Moga kalian dirahmatiNya..



Read More......

Sunday, December 20, 2009

Siri Pengembaraan Bermula :)

Sesungguhnya Engkau tahu
bahwa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu


Alhamdulillah... ana baru sahaja pulang dari Melaka setelah 3 hari 'berkampung' di Melaka Bandaraya Bersejarah :)

Jumaat, Sabtu & Ahad.. (18 dis-20 dis 2009) itulah masanya kami saudara-mara sebelah umi berusaha untuk lebih mengenali dan merapatkan tali silaturrahim..


Siri Pengembaraan bermula!! :)


Hari Pertama


Tempat pertama yang kami pergi ialah R&R untuk berhenti makan-makan bagi sesiapa yang dapat bercuti daripada menjalani ibadah puasa pada hari itu atau pun yang tidak mahu berpuasa (hehe)



Selepas agak lama berborak-borak dan makan-makan di situ, kami pun segera bertolak ke destinasi pertama kami... Zoo Melaka yang berdekatan dengan plaza tol Melaka..


Burung penyambut tetamu.. Pandai berposing.. Bijak2



Salah satu spesies monyet yang jarang dijumpai.. Sekali imbas nampak macam kucing (er, ye ke?)



Aishah ; "Adam.. cepatlah jalan.." Adam ; "Tak nak-taknak.. nak tengok zirafah"


"Fuh.. Penat-penat.. Rehat sekejap"

Selepas berpenat-lelah, kami pun segera menuju ke tempat penginapan kami untuk check-in Hm... Hotel Mahkota menjadi pilihan kami buat kali ini..


Hotel Mahkota... di hadapan laut.. Sangat indah, subhanallah!




Bilik ana berhadapan dengan laut ini... Sangat tenang.. Solat pun menghadap laut.. Subhanallah.. Alhamdulillah... Allahu Akbar!

Malamnya pula, ada solat berjemaah maghrib dan isyak serta tahlil...

Aktiviti bagi kanak-kanak adalah...



Main dalam almari secara berjemaah.... :)




Sehinggalah penat dan tertidur! (Baca : Gambar ini sekadar posing semata-mata :D)

Hari Kedua


Pagi-pagi lagi kami telah keluar untuk meneruskan pengembaraan... Hujan rintik-rintik yang mulai turun sedikit membataskan langkah.. Namun, berbekalkan semangat yang kental (eceh) kami berjaya (alhamdulillah) menaiki bas bersama-sama untuk menaiki river cruise..


Dua anak dara sedang setia dan tabah menunggu giliran menaiki river cruise...


Adam terpegun melihat biawak-biawak sedang berkeliaran manakala kakaknya mengantuk dibuai angin sepoi-sepoi bahasa... (Aish!)

Kemudian hujan turun dengan lebatnya.... Kami pun kembali ke hotel dan berehat seketika sebelum meneruskan 'perjuangan' ke medan-medan membeli-belah. Terima Kasih Allah atas nikmatMu...


"Kenapa entah, semua orang penat berjalan.. saye tak penat pun..."

Balik sahaja ke hotel... Semua kanak-kanak berdesup ke bilik masing-masing untuk bersiap sedia ke....



Kolam Renang!!!



"Saya pun nak berenang juga"

Malamnya, kami makan bersama-sama di kedai milik Abang Jo & Kak Ina (Terima kasih ya).. Makanan yang sangat sedap tapi ana malu nak tambah.. Huhu... Malangnya, kerana leka sangat makan.. Terlupa nak ambil gambar T.T

Selepas itu, ada yang terus balik ke hotel dan ada pula yang pergi ke pasar malam. Melaka yang tidak pernah malam..... Kenderaan sentiasa sesak biarpun jam menunjukkan ke angka 12.

Hari Ketiga


Kami sarapan bersama-sama dan terus menuju ke masjid terapung..


Laluan ke dewan solat..


Umi ana berposing di terik mentari..


Lihat.. masjid ini terapung!! :)

Dan akhirnya, bersalam-salaman, sebelum pulang ke destinasi masing-masing..


Siri Pengembaraan Berakhir..

Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu


Read More......

Thursday, December 17, 2009

Suci Sekeping Hati


Oh dunia..
Betapa fananya dirimu,
Apakah harus ku tinggalkan?


“Akak!” Terkedek-kedek kanak-kanak berumur 8 tahun yang masih memakai baju seragam sekolah itu berlari mendapatkan kakaknya yang berdiri tegak di tengah bendang.

Maisarah memalingkan badannya ke arah suara itu, senyuman yang paling manis diberi. Sesekali baju cotton berbunga kecil yang lusuh berserta tudung kusam miliknya terbuai-buai ditiup angin.

“Ya dik.” Tangannya segera didepangkan untuk menyambut kedatangan Hazim. Sekelip mata sahaja Hazim sudah berada dalam dakapannya. Tangan lembut itu mengelus-elus rambut kanak-kanak suci itu, kemudian satu ciuman sayang mendarat di dahi kecil Hazim.

“Akak..”

“Hm?”

“Kenapa tak balik lagi? lama Hazim tunggu kat rumah” Bicara anak kecil itu menusuk hati Maisarah. Semenjak kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan ngeri setahun yang lalu, dia lah yang menggantikan tempat mereka dan alam persekolahannya terpaksa ditinggalkan. Malapetaka yang menimpa dirinya seawal usia 16 tahun itu terlalu ngeri untuk dikenang. Satu-satunya motor kapcai buruk milik bapanya hancur dirempuh lori, dan......

“Akak, Hazim cakap sorang-sorang ke?” Muncung mulut itu menandakan rajuknya sudah bermula. Maisarah tergelak kecil. Segera jemarinya yang runcing menarik muncung comel itu.

“Taklah, akak minta maaf ye.. Leka sangat tadi akak tengok suasana di bendang ni. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Allah kan dik?”

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut rambut Hazim, membuatkannya semakin selesa dalam dakapan Maisarah.

“Kak, Hazim laparlah...” Luah anak kecil itu, ada nada sedih di penghujung suaranya.

“Astarghfirullah, lupa pula akak... Jom kita balik. Nanti akak masakkan telur goreng ya?”

Anggukan Hazim jelas menunjukkan kemahuannya. Maisarah segera memimpin tangan adiknya untuk pulang ke rumah.

Dan.... kesedihan yang sebenar itu tidak wajar dirasai oleh kanak-kanak sekecil Hazim. Maisarah sedar akan hakikat itu.

***

Langit di luar kelihatan sedikit mendung, seolah-olah berat sungguh kandungan air dalam perut awan-awan yang berarak itu, entah bila air itu bakal dimuntahkan...

Tangan maisarah ligat melipat kain baju yang sudah diangkat.Hazim yang baru keluar dari bilik, siap dengan baju tidurnya menghampiri Maisarah.

“Akak”

Maisarah memandang.

“Hazim nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah.” Satu senyuman dilempar.

“Ustazah kat sekolah tadi cakap dunia ni hanya pinjaman je... Dunia bukan sesuatu yang patut kita kejar. Betul ke akak?”

“Betul”

“Jadi, betul lah kita tak perlu cari duit... Kita perlu hidup macam ni je kan akak?”
Maisarah tersentak. Hidup melarat di zaman ini bukanlah sesuatu yang baik untuk Islam, dia sedar akan hakikat itu. Cuma... Bagaimana harus dia menerangkan kepada seorang anak sekecil Hazim?

Maisarah menarik nafas panjang.

“Pada Hazim?” Soalan berbalas soalan.

Hazim menjungkitkan bahu. “Entah. Tapi Hazim sedih, tadi kan akak....”

Ayatnya terhenti. Matanya yang semenjak tadi memandang tepat ke dalam anak mata Maisarah dialihkan. Sesekali, tangan mulusnya mengesat sedikit titisan-titisan jernih yang mulai turun dari kelopak matanya yang bengkak.

Maisarah yang sedar akan perubahan mendadak itu menarik sedikit tangan Hazim dan membawanya dekat dengan dirinya. Kepala Hazim segera rebah di pangkuan Maisarah, seolah-olah ingin membawa sekali semua masalahnya rebah bersama.

“Kenapa dik?” Tangan lembut Maisarah tidak henti-henti megusap kepala anak kecil itu, betapa sukar untuk dirinya memaksa hati untuk terus tabah. Namun, untuk adik yang dikasihi.. Dia harus terus bijak berlakon. Ya, berlakon untuk kesenangan insan tersayang.

‘Duhai hati... Bersabarlah..’


“Ada kawan-kawan Hazim yang bukan Islam ejek-ejek Hazim. Dia cakap orang Islam memang hidup melarat, miskin, susah.. Kawan-kawan Hazim yang Islam pun selalu ejek-ejek Hazim” Semakin deras mutiara jernih itu turun membasahi pipi lembut Hazim.

“Hazim... Allah tidak pernah menyuruh agar kita meninggalkan dunia sepenuhnya. Hakikatnya, ilmu yang kita cari, yang Hazim belajar kat sekolah.. Itu semua adalah ilmu Allah. Apa-apa pun perkara baik yang kita lakukan kerana Allah merupakan salah satu daripada cabang ibadah. Hazim faham tak sayang?”

Angguk.

“Jadi akhirat kita tak payah kisah?”

Maisarah senyum dan segera menggeleng. “Tidak sayang... Allah tidak suruh kita melupakan dunia tapi dalam masa yang sama kita ada satu matlamat yang jitu, iaitu akhirat. Jadi, sebab tulah apa-apa pun yang kita lakukan, harus niat kerana Allah.Andai kemiskinan mampu menjadi fitnah untuk Islam, maka kita harus berusaha untuk mengatasi kemiskinan itu”

“Oh.. Hazim ingat ibadat tu yang sembahyang, doa, zikir je.”

Maisarah menggeleng lagi. Satu senyuman diberi.

“Akak....” Suara itu memanggil lagi.

“Ya dik..”

“Kenapa nasib kita begini?”

Maisarah terpana. Segera bibirnya bergerak, menyanyikan bait-bait lagu Suci Sekeping Hati buat Hazim.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah .. Bila disapa duri yang menanti ...Akan kaburkah mata yang meratap.. Pada debu yang pastikan hinggap”

Titis-titis air jernih yang semenjak tadi bertakung di kelopak matanya, gugur jua.. Diiringi hujan yang semakin lebat di luar...

***

‘Tok.. Tok..’

‘Pap’ Pen jenama Pierre Cardin di tangan jejaka itu jatuh merebah bumi.

Hazim terkejut dek ketukan di pintu. Jauh benar lamunannya, menjelajah ke seluruh pelusuk desa 20 tahun yang lalu. Terkenang susah dan senang bersama Maisarah-permata hatinya yang banyak memberinya semangat sehingga tertubuhnya syarikat yang menjual pelbagai produk barangan muslim miliknya sendiri!

‘Tok..Tok..’

“Allah, mengelamun lagi aku” Kepala digeleng-gelengkan. “Masuk”

Seorang wanita berjubah dan bertudung labuh masuk. Buku kecil di tanggannya diangkat. “Encik, pukul 10.30 encik ada meeting dengan ahli lembaga pengarah yang lain.”

Hazim memandang jam yang terletak di mejanya sekilas. 9.30.

“Terima kasih Adawiyah.”

Wanita mengandung itu tersenyum.Senyuman yang mampu menghilangkan segala duka. “Itu sahaja, ada apa-apa lagi encik?”

Hazim menggeleng. Adawiyah berpaling dan kakinya bergerak untuk melangkah pergi.

“Em.. Sayang..”

Hazim bangun dari kerusinya dan bergerak rapat ke arah Rabiatul Adawiyah yang berdiri tegak menghadapnya. Tangannya pantas mengusap-usap perut isterinya yang semakin membesar. Seorang isteri yang solehah, benar-benar menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Mencarinya pada zaman ini umpama mencari permata di sebalik ribuan kaca.

“Terima kasih ya Allah, atas kurniaan permata termahal ini”
Hazim berbicara di dalam hati.

“Baby abi sihat tak ni?” Telinganya diletakkan di perut isteri tercinta. Pantas pula tangan kudus milik Adawiyah mengusap-usap kepala suami tersayang.

“Tanya baby je?” Muncung-muncung mulut Adawiyah berpura-pura merajuk.

“Mak baby dah depan mata ni, alhamdulillah sihat je ayah baby tengok.”

Adawiyah tergelak.

“Sayang..”

“Ye abang..”

“Abang ingat minggu ni nak balik kampunglah, jenguk akak.” Hazim memandang tepat ke dalam anak mata Adawiyah.

Adawiyah tersenyum, satu senyuman nakal mula terukir di wajahnya. “Baiklah encik, saya akan batalkan semua program encik hujung minggu ni. Nanti saya catatkan dalam diari ya.”

Hazim mencuit hidung isteri tercinta. “Nakal...”

***

“Sodaqallahul azim...” Maisarah menutup dan mencium Al-Quran miliknya, yang juga merupakan pemberian daripada arwah ayah. Pesanan arwah bapanya sentiasa terpahat di hati, tidak pernah walau sedetik dia melupakannya.

‘Hiasi hatimu dengan Al-Quran!’


Maisarah bangun dan meletakkan Al-Quran di salah sebuah rak usang di salah satu sudut rumah kecil miliknya. Apakah layak tempat tinggalnya digelar rumah atau lebih layak di panggil pondok?

Entah, Maisarah tidak pasti. Apa yang pasti,tempat tinggalnya yang berasaskan kayu, berbentuk empat segi dan hanya mempunyai satu bilik itu hanya menanti saat untuk rebah ke bumi.

“Akak” Lembut suara Hazim memanggil sambil tangan kanannya menarik sejadah usang berwarna hijau miliknya. Sesekali tangan kecilnya menggosok-gosok mata menandakan masa untuk tidur semakin hampir.

“Ya sayang.. Hazim dah solat?”

Angguk.

“Hazim doa apa tadi?”

Hazim bergerak perlahan ke arah Maisarah dan meletakkan kepalanya di atas ribaan permata hatinya itu.

“Hazim doa.. ya Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu-bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil dahulu. Ampunkan juga dosa kakakku, saudara-maraku, jiran-jiranku, rakan-rakanku dan dosa seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ya Allah, kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat.”

Petah mulut kecil itu berbicara. Maisarah terpana. Tidak ramai manusia yang ingat untuk mendoakan sesama mereka, kebanyakannya hanya mendoakan diri sendiri. Terkadang, dia sendiri terlupa... Malunya dia pada kanak-kanak sekecil Hazim yang sudah mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Teramat malu.

“Akak?” Hazim mendongak sedikit.

“Ya”

“Hazim doa salah ya?” Timbul kegusaran di riak wajah comel itu.

Geleng. “Taklah sayang, pandai adik akak doa...”

“Habis, kenapa akak senyap je?”

“Akak tengah aminkan... Tapi kan Hazim, akak rasa Hazim kena tambah lagi satu doa”

“Apa dia kak?”

“Ya Allah... jadikanlah diriku meletakkan Engkau di tempat pertama dalam apa jua perkara yang aku ingin lakukan.”

Maisarah senyum. Hazim membalas.

“Akak...”

“Ya sayang..”

“Boleh tak nyanyi lagu?”

“Lagu apa?”

“Suci Sekeping Hati”

Maisarah mula menyanyi sementara Hazim terlena di pangkuannya..

***

Maisarah melontarkan pandangannya jauh-jauh ke luar tingkap, melihat bendang yang luas terbentang, langit yang berdiri tanpa tiang, juga burung-burung yang girang berterbangan. Sungguh banyak tanda kekuasaan Allah, jika manusia benar-benar merenungi..

Rumah kayu miliknya dahulu sudah pun berganti dengan rumah batu sederhana besar hasil titik peluh Hazim.

Hazim. Nama yang tidak pernah luput dalam hatinya. Rindu benar dia pada insan soleh itu.

Maisarah mendengus. “Maisarah.. sabarlah, kan Hazim dah bagitahu yang dia tak dapat balik minggu ni.. Sabarlah, dia bekerja kerana Allah”

Wanita solehah itu berkali-kali cuba menenangkan hati. Rindunya pada adik tercinta tidak dapat dibendung lagi.

“Sekeping hati dibawa berlari ..Jauh melalui jalanan sepi ..Jalan kebenaran indah terbentang ..Di depan matamu para pejuang”

Suara Hazim yang menyanyikan lagu suci sekeping hati bergema-gema di kotak fikirannya.

“Allah.. aku benar-benar merinduinya” Maisarah berbisik sendirian.

“Tapi jalan kebenaran ..Tak akan selamanya sunyi …Ada ujian yang datang melanda ..Ada perangkap menunggu mangsa”

Suara itu bergema lagi di kotak fikiran Maisarah. Kelopak matanya mula memberat menahan takungan air.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah ..Bila disapa duri yang menanti …Akan kaburkah mata yang meratap…Pada debu yang pastikan hinggap”

Suara itu tidak dapat dihilangkan daripada terus menjengah.Maisarah menarik satu nafas yang panjang, “Allah, tabahkan hatiku.. redhakan ya Allah..”

“Mengharap senang dalam berjuang ..Bagai merindu rembulan di tengah siang …Jalannya tak seindah sentuhan mata …Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba”

Akhirnya, air mata wanita itu tumpah jua.. Setitik demi setitik gugur membasahi bumi.

“Ehem..ehem.. layan feeling nampak? Sampai adik tercinta datang pun tak perasan?”

Suara garau Hazim menjengah lagi dan kali ini Maisarah berpaling ke belakang.

Satu susuk tubuh lelaki soleh yang sering dirinduinya menerpa di birai mata. Di sebelahnya, Rabiatul Adawiyah manis berjubah ungu dan bertudung labuh warna ungu cair tersenyum senang.

“Kata tak balik minggu ni?” Akhirnya suara halus milik Maisarah keluar juga. Hazim tersenyum.

“Mana boleh kak, nanti ada orang merana kerinduan pula”

“Perasan” Maisarah menjuih.

“Betul ni kak? Hazim balik eh.. Balik ni..” Hazim berpura-pura merajuk.

“Adawiyah, tengok suami kamu ni, tak ubah-ubah.”

Adawiyah ketawa kecil “Tak apalah kak, mari saya teman akak.”

Hazim tersengih. Segera dia menerpa dan memeluk Maisarah. Maisarah menangis lagi...

“Itulah akak, Hazim ajak duduk sekali tak mahu..”

“Akak sayang rumah ni dik...”

“Tak sayang Hazim?”

“Tak apalah dik.. Akak tahu Allah sentiasa jaga Hazim, lagipun akak tak perlu risau.. Hazim kan selalu mengutamakan Allah dalam segala hal”

Maisarah tersenyum.

Rabiatul Adawiyah mengesat air matanya, terharu melihat senario yang berlaku di hadapan mata. Suci sungguh sekeping hati milik mereka.

“Akak, tengok tu.. ada orang pula yang feeling.” Serentak Maisarah dan Hazim memandang wajah bersih Rabiatul Adawiyah.

“Abang ni nakal laaaa...”

Ketawa bergema, menghiasi ruang yang menyimpan 1001 rahsia....

Ya Allah...
Letakkanlah dunia di tangan kami agar kami bisa menggunakannya,
Bukan di hati kami agar kami tidak terpedaya dengannya,
Dan sucikanlah hati kami, agar kami bisa merasa manisnya hidup bersamaMu...


Read More......

Saturday, December 12, 2009

Islam Melarang Cinta?


Dunia yang penuh pancaroba..
Mampukah ditempuh dengan iman?
Atau mungkinkah akan terleka,
Dengan segala perhiasan yang sementara cuma...


Jemputan ke walimatul urus.

Kad kahwin berwarna kuning itu ana tatap, segaris senyuman terukir di bibir. Alhamdulillah, satu lagi masjid akan dibina dan menangislah para syaitan lantaran hubungan halal antara lelaki dan perempuan ini, insyaAllah.

Tetapi... saat mata ana dialihkan ke sudut kiri kad kahwin itu, senyuman yang terukir lenyap tiba-tiba, mata mencerun dan hati terbakar.

Apakah?

Kad Kahwin Yang Mengundang Duka


"Mak..." ana bersuara, memanggil umi tercinta yang sedang asyik dengan vacuumnya

"Hm?"

"Ni kad jemputan untuk hari ni ke?"

"A ah"

"Ni... Belum kahwin, macam mana boleh ambil gambar berdua rapat-rapat gini" Ana bertanya pelik. Pastinya kad kahwin itu diproses sekurang-kurangnya sebulan sebelum pernikahan berlangsung, tapi gambar lelaki dan perempuan yang agak mesra di hadapan kad kahwin itu mengundang hiba.

"Sebab tulah, ramai pengantin dah hilang serinya sekarang ini" Ayat umi tercinta amat mendalam, membuatkan ana berfikir sejenak...

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sekarang ini amat tidak terbendung, perkara yang sudah bisa dianggap biasa dan normal dalam masyarakat kini.

"Biasalah, pegang-pegang je"
"Biasalah, ambil gambar berdua"
"Bialah itu, biasalah ini"

Wanau'zubilah hi min zalik... moga kita semua dijauhkan daripada terjerumus ke lembah itu....

Entah kenapa tiba-tiba hati ini terasa sebak, memikirkan apa yang bakal berlaku pada hari depan, nasib generasi akan datang, mungkinkah akan sesuci debu?...

Fitnah


"Alah, enti ni emosional sangatlah... Biasalah tu bergambar berdua dengan lelaki.. Bukannya buat apa-apa pun"

Mungkin kita tidak sedar, ada perlakuan kita yang bakal mengundang fitnah. Sama juga halnya dengan bergambar berdua dengan lelaki yang bukan muhrim, apatah lagi dengan aksi-aksi yang mesra.

Bertambah rumit, andai gambar itu dipamerkan pula untuk tontonan khalayak.

Tahukah kita, andai kita mengajak orang lain melakukan kebaikan maka saham kebaikan orang itu akan kita peroleh juga.

Begitu juga halnya jika kita mengajak orang ke arah keburukan maka saham keburukan orang itu akan kita peroleh juga.

Maka.. apabila terlintas di hati seseorang "Alah, dia dua orang ni bergaul bebas je, tapi kahwin juga, alhamdulillahhhhh.... Tak salah la benda ni kot"

Maka, apabila orang mula mencontohi perbuatan buruk kita itu, kita akan mendapat sahamnya juga.

"Enti, salahkah andai saya ingin berdating, saya cuma ingin bertaa'ruf (berkenal-kenalan)"

Tidak, tidak salah untuk berta'ruf, tetapi berdating berduaan bakal mengundang pula makhluk ketiga iaitu syaitan laknatullah, mahukah anda bertaa'ruf sekali dengan makhluk itu?


“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka janganlah berkhalwat dengan seorang wanita tanpa bersamanya mahram kerana yang ketiga dari mereka adalah syaitan”(Riwayat Ahmad)



Islam Tidak Melarang Cinta


"Saudari, mana dalilnya bahawa Islam itu melarang cinta?"

Ana tidak pernah berkata bahawa Islam itu melarang cinta, bahkan Islam itu amat menghargai perasaan itu, justeru turun satu hadith ;

"Wajiblah cinta-Ku bagi mereka yang berkasih sayang kerana-Ku"
(Hadith Qudsi)


Subhanallah.. Betapa Allah sayangkan kita yang berkasih-sayang kerana Allah, sehingga Allah menjanjikan cinta-Nya sebagai balasan. Tetapi bagaimanakah yang dikatakan berkasih-sayang kerana-Nya?

Adakah dengan keluar berdating?
Bergayut berjam-jam?
Gadai harga diri?

Tidak. Untuk mendapat cinta-Nya, maka kita perlulah melakukan perkara yang Dia suka, sinonimnya, adakah kita akan menyayangi mereka yang engkar pada kita?

Ikutlah garisan yang betul, landasan yang benar. Berdating, berpegang tangan, bergayut berjam-jam itu semua tidak perlu. Jika cinta putus di tengah jalan, bagaimana pula?

Ketika dalam tempoh percintaan, andai kita leka dan sentiasa tewas dengan nafsu, adalah lebih baik ditinggalkan kerana untuk mendapat redha-Nya hati harus terus-terusan dekat dengan-Nya, mencintai-Nya lebih dari segala-galanya kerana Dialah yang mencurahkan perasaan kasih itu dalam hati kita, jadi layakkah kita untuk melupakan-Nya?

"Mana dalil-dalilnya ukhti?"

Rasulullah s.a.w pernah bersabda ; Jika dicucuk kepala seseorang kamu dengan besi lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.

Mahu lagi?

“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk terhadap kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”(Al-Ahzab : 32)


“Dan katakanlah kepada wanita-wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka”(An-Nur : 31)


Dan banyak lagi yang tidak mampu ana kupas satu-persatu.

Islam tidak melarang cinta, jika tidak tiadalah pernikahan.

Tahanlah sebentar cinta yang membuak-buak itu sehingga tiba saat diijab-kabulkan. Andai semua kemanisan sudah dicicip sebelum perkahwinan, apakah yang tinggal selepas pernikahan nanti?

Sabarlah... Kalau sudah jodoh,tidak ke mana.

Peringatan ini bukanlah untuk mencaci, apatah lagi mengkeji, cuma secebis peringatan dari insan hina ini untuk diri dan semua...

Jaga diri, hiasi peribadi.

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) (An-Nur : 26)


Andai cinta itu berasaskan taqwa,
Bertunjangkan syara,
Maka ya Allah,
Ku tuntut cinta-Mu itu...



Read More......

Tuesday, December 8, 2009

Jauhi Hasad Dengki



Dalam dunia penuh pancaroba,
Nikmat Allah tidak terkira,
Namun mengapa manusia masih bermusuhan?


"Alah, dia tu bukannya baik sangat"

"Macamlah bagus sangat"

Banyak ikan, banyak garam.
Banyak orang, banyak ragam.

Dunia dan Perhiasannya

Demi Allah, dunia ini penuh dengan perhiasan, ibarat syurga bagi mereka yang kufur tetapi dipandang sebagai penjara oleh mereka yang hatinya dihias dengan iman.

Dunia yang kelihatan cantik pada luaran, seringkali memberi satu impak ke dalam hati-hati manusia yang diberi nafsu oleh-Nya. Bagi yang bijak mengawalnya, insyaAllah nafsu berjaya ditundukkan tetapi bagi yang tidak berjaya, nafsu akan terus bergelora dan timbul pula satu perasaan hasad dan dengki, di mana pengakhirannya adalah kemusnahan.

"Hei dalam nasi ni ada cicak!!!" Jerit seorang pelanggan di sebuah restoran yang terkenal dengan kesedapan makanannya. Di raut wajahnya, terukit satu senyuman kepuasan lantaran ramai pengunjung di situ melihat dengan perasaan jelek.

Mungkin misinya telah berjaya untuk mengusir pengunjung di situ untuk berhijrah ke restoran sebelah.

Misi dunia berjaya.
Di akhirat bagaimana?

Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki melainkan kepada perkara yang dibolehkan sahaja. Apa maksudnya?

Begini, kita boleh berasa dengki kepada keadaan-keadaan seperti berikut ;

Dengki melihat orang lain lebih banyak ibadahnya daripada kita.
Dengki melihat orang lain sangat bertakwa.
Dengki melihat orang lain lebih rajin belajar.
Dengki melihat orang lain giat beramal.
Dengki melihat orang lain ralit diulit rasa cinta dan rindu kepada Allah dan Rasulullah.
Dengki melihat orang lain berjuang demi Islam.

Dan seterusnya perasaan hasad dengki itu mejana satu tenaga dalam diri untuk menjadi yang lebih baik... Bukan untuk menggagalkan orang lain itu..

Kikis Rasa Itu


"Dia tu dahlah cantik, pandai, ramai peminat. Tak adil betul" Rungut Joyah.

Tidak dapat tidak, sebagai manusia yang bernafsu, mungkin ada sekelumit rasa di dalam hati - cemburu dengan kelebihan orang lain.

Jika cemburu itu adalah titik noktahnya, maka tidak mengapa. Tetapi andai cemburu itu berleluasa menjadi iri hati dan dendam maka renunglah kembali, mengapa perlu berdendam pada nikmat Allah?

Sedarkah kita, perkara yang kita dengki, iri dan sebagainya itu adalah satu nikmat Allah.

Dengki pada kecantikan seseorang.
Dengki pada kepandaian seseorang.
Dengki pada keistimewaan seseorang.

Semuanya itu membawa maksud kita DENGKI PADA NIKMAT ALLAH. Bimbang pula andai perasaan itu berleluasa,mulut rajin pula mengumpat dan menyebar fitnah.

Dosa yang dahulu sudah banyak, mengapa mahu ditambah lagi?

Astarghfirullah, sesungguhnya nikmat Allah itu, yang diberikan kepada diri kita sendiri sudah tidak terhitung banyaknya, jika kita benar-benar mengetahui....

Kikislah rasa itu daripada berleluasa dalam hati, berikan satu rasa kemenangan buat diri yang berjaya menangkis bisikan syaitan!

Hasil Didikan


Mungkin juga lahirnya manusia-manusia yang berhasad dengki ini bermula daripada hasil didikan sejak kecil.

"Kau ni cubalah jadi baik sikit macam sepupu kau tuu" Bebel Mak Limah kepada anaknya.

"Kau ni dahlah hodoh, tak pandai pula tu.. Aku tak tahulah apa nak jadi dengan kau ni. Kau tengok anak jiran sebelah tu, elok je perangainya" Bebel Pak Mail kepada anak sulongnya.

Kritikan-kritikan yang tidak membina daripada ibu-bapa akan menjadikan anak-anak menjadi rendah diri, apatah lagi jika dibanding-bandingkan. Tanpa kita sedari, secara tidak langsung di hati anak-anak itu telah lahir satu perasaan iri hati.

"Tuhan ni tak adil, kenapa dia selalu lebih"
"Ah.. Dia ingat dia bagus sangatlah tu"

Justeru, orang dewasa amnya dan ibu-bapa khususnya perlu mengambil perhatian berkenaan hal ini. Jangan sesekali mengkritik anak-anak kecil/besar dengan kritikan-kritikan yang tidak membina dan jauhi perbandingan. Jangan dibanding-bandingkan seseorang manusia dengan manusia yang lainnya kerana sudah menjadi fitrah ciptaan Allah, tiada manusia yang sempurna dan setiap manusia itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri jika kita benar-benar menyelami...

Apa perasaannya bila anak-anak pula mula membandingkan;

"Kenapa abah ni tak baik macam ayah kawan amin eh?" Terpisat-pisat amin bertanya.
"Ah.. Kau ingat ayah dia tu baik sangat, kalau suka pergilah jadi anak dia" Tengking Encik Razak.

Jika tidak mahu dibandingkan, maka jangan membandingkan, kerana bagi ana.. Perbandingan itu akan mencetuskan satu rasa tidak enak di dalam hati

Bangunkan jiwa anak-anak dengan teguran lembut dan berhemah serta bersikap adillah dalam segala hal...
"Amin ni pandai.. Umi tahu, cuma kena usaha lebih sikit tau dalam peperiksaan akan datang"

"Pada walid, anak-anak walid semua cantik,hensem, pandai, baik"

Bermanis katalah...
Tapi jangan terlalu manis, bimbang sakit pula nanti. :)

Jauhhi perbandingan, jauhi hasad dengki...


Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah seseorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah adalah al-Tawwab (Maha Penerima taubat), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani). (Al-Hujurat :12)

Wallahu'alam.. :)

Buang yang keruh,
Ambillah yang jernih,
Kerana Rasulullah itu ikutan kita...

Read More......

Friday, December 4, 2009

Jangan Jadi Penghukum


"Nape eh, kalau budak-budak kena pukul sikit pun nangis?" Tulus sinar mata adik saudara ana memandang tepat ke dalam ana mata makcik ana.

"Mestilah, walaupun badan dia tak sakit, tapi hati dia sakit." Titik. Semua diam dan itulah jawapan yang paling tepat yang pernah menerjah ke gegendang telinga ana.

Luka ditangan, nampak dek mata... Luka di hati, siapa yang tahu?

Jangan Menjadi Penghukum


Manusia amnya dan kita khususnya sudah terbiasa dengan budaya menghukum. Salah sikit rotan, tak betul sikit cubit, bahkan mungkin disertai dengan kata-kata nista yang mampu menyiat-nyiat hati seseorang.

Jika parut cubitan itu mampu hilang satu hari nanti, apakah mungkin parut di hati akan terus lenyap?

"Aish, aku rotan bukannya menghukum, aku nak mengajar"

Benar, ana akui ada konsep 'rewards and punishment' dalam proses pengajaran. Tetapi punishment itu tidak bererti cubitan atau pukulan semata-mata. Apatah lagi pukulan-pukulan itu diberi kepada anak-anak yang masih baru belajar, masih setahun jagung, masih beru mengenal dunia.

Ana merasakan tidak wajar bagi seorang ibu memarahi anak berusia 5 tahun yang galak bermain.
Tidak wajar bagi seorang ayah merotan anak berusia 7 tahun yang leka menghiburkan dirinya sendiri.

Apakah salah jika teguran dengan penuh kasih sayang diberi?

"Sayang, mari masuk mandi.. dah lewat ni"

Bukankah dialog itu mampu merangsang jiwa anak-anak agar lebih berkasih-sayang. Anak-anak yang terdidik dengan tengkingan dan makian kelak akan membesar menjadi seorang yang bengis dan pemarah, dan ketika anak-anak itu berkelakuan tidak elok apabila besar, siapakah yang harus disalahkan?

Jagalah Ukhwah


Begitu juga dalam konsep ukhwah. Kadangkala, tanpa sedar, 'cubitan dan rotan' itu diberi dalam bentuk perkataan.

"Hoi, kau ni buta ke?"
"Kau dalam kelas tidur ke, benda ni pun tak faham"
"Kenapalah aku dapat kawan macam kau ni"

Mungkin pada diri kita, ayat-ayat sebegitu merupakan salah satu bentuk gurauan. Mungkin kita lupa bahawa setiap individu itu mempunyai personaliti yang berlainan, mempunyai hati dan tahap sensitiviti yang berlainan.

Mungkin gurauan kita itu, telah menyiat-nyiat hati seorang sahabat yang ikhlas bersahabat dengan kita. Siapa tahu, di sebalik senyuman rupanya terselit tangisan?

"Kau ni sensitif betullah, kan aku gurau je."

Dan lahir pula perkataan sebegitu dari mulut kita. Ya lah, pada kita kenapa sahabat kita perlu berkecil hati atas gurauan yang sedikit tu. Apa orang kata, gurauan merapatkan hubungan?

Sedarkah kita, gurauan itu mungkin menjarakkan hubungan antara kita dan sahabat dan selepas itu kita bersangka buruk pula bahawa sahabat kita yang salah sedangkan kita tidak ada melakukan apa-apa yang perlu dibesarkan,sekaligus membuatkan kita kerugian lantaran kehilangan permata yang begitu berharga.

Beringatlah sebelum terlambat.. Letaklah taqwa di dalam hati dan berkatalah yang baik kerana itu bukan sahaja mampu menjaga dirimu, tetapi juga menjaga insan di sekelilingmu...

Mana tahu esok tiba balasan untuk kita? Ingatlah pesanan baginda Rasulullah s.a.w ;


“Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik, atau (jika tidak), diamlah “. (HR. Bukhori dan Muslim)

Fikir-fikirkanlah..

wallahu'alam

Read More......

Tuesday, December 1, 2009

Ayuh Berhijrah


Anak kecil berlari riang,
Suci bersih umpama kain putih,
Namun satu keraguan menyelinap ke dalam hati,
Apakah nanti cantik coraknya, atau hodoh yang menanti?


"Lagu apa tu?" ana berbicara di dalam hati. Berkerut-kerut dahi ana tatkala mendengar sebaris lagu rancak yang didendangkan oleh anak kecil itu. Lagu yang ana sendiri tidak tahu tajuknya..

Maklum sahaja, zaman dah berubah dan mungkin ana masih di takuk lama..

Didiklah Mereka


Namun, bukan itu yang ana gusarkan. Apa yang mencubit-cubit hati ana adalah apakah nasib si anak kecil yang riang berlari itu...

lewat kebelakangan ini, ke mana sahaja ana pergi, jarang sekali untuk ana menemui seorang anak kecil yang diasuh dengan nilai Islam yang sebenar, diajar menutup aurat, diajar bercakap sopan... Selalunya anak kecil dipakaikan mini skirt, siap dengan make-up dan segalanya yang mungkin pada pandangan peribadai insan lain semua itu kelihatan comel.

Tidak bagi ana.

"Alah enti.. mereka belum baligh lagi, buat apa suruh pakai tudung semua"

Begini konsepnya, ana tidak suruh memaksa, cuma ajarlah anak kecil itu seeloknya seawal usia 3,4, dan 5 tahun. Bukankah melentur buluh biarlah dari rebungnya? Lihat sahaja bagaimana Rasulullah S.A.W menyuruh ibu-bapa mendidik anak-anak bersembahyang


Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Al-Hadith)


Proses mendidik bukan mengambil masa 1-2 minggu, bukan juga mengambil masa 2-3 bulan, tetapi proses ini mengambil masa bertahun-tahun. Sama seperti sembahyang, disuruh melakukannya ketika umur 7 tahun dan boleh dirotan setelah berumur 10 tahun. 3 tahun tempoh diberi untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu ajaran...

Islam bukan agama paksaan, tetapi jika tidak dididik sejak awal Islam akan menjadi sesuatu yang menggerunkan.

Anak Yang Telah Dewasa


Ana percaya, tidak ramai yang sejak kecilnya dididik dengan ajaran-ajaran Islam, tidak ramai antara kita yang lahir dalam keluarga yang mengamalkan Islam sepenuhnya, bahkan mungkin ada di antara kita yang mempunyai keluarga yang masih belum memeluk Islam.

"Aku jadi jahat macam ni sebab mak ayah aku dulu lah tak didik aku"

Duhai anak remaja yang dirahmati Allah sekalian. Jangan terus-terusan menuding jari ke arah ibu bapa kalian. Benar, mungkin mereka telah melakukan sedikit kesilapan lantaran mereka sendiri tidak memahami Islam yang sebenar. Justeru, apa gunanya Allah menciptakan kamu lengkap dengan akal yang sihat?

Berfikirlah, lihatlah langit yang berdiri tanpa tiang, lihatlah bumi yang cantik peredarannya, lihatlah alam yang luas terbentang. Semua itu.. Jika dilihat dengan mata hati akan menimbulkan satu perasaan TAKUT DAN SAYANG kepada Allah..

Carilah hidayah itu.. capailah, dakaplah, simpanlah ke dalam hatimu... Jangan dipersia-siakan segala bisikan baik yang menyelinap di dalam hati...

Allah Maha Pengampun


"Saya banyak dosa, mahukah Allah mengampunkan saya"

Duhai saudara-saudaraku sekalian.... sesungguhnya rahmat Allah itu lebih besar dari dosa yang telah kamu lakukan. Percayalah, yakinlah, sesungguhnya Allah amat menyukai mereka yang bertaubat, apatah lagi 'mereka' itu adalah dari golongan muda sepertimu...

Ayuh, mari kita bersama-sama melawan nafsu. LAWAN LAWAN LAWAN dan BANGKIT BANGKIT BANGKIT kerana di sana, Allah sedang menunggu dengan rahmatNya...

Ayuh, marilah berhijrah.....

Semoga bertemu lagi, sama-sama kita berdoa agar mendapat cintaNya yang Agung, CintaNya yang sejati...

Allah.. Allah... kami cintakanMu!!

Wallahu'alam

Air mata jatuh berderai,
Ku usap rata ke seluruh wajah,
Duhai Allah, kini ku datang,
Sambutlah dengan sepenuh kebahagiaan....


Read More......

Saturday, November 28, 2009

Salam Kemaafan



Bila hatiku gelisah, tak tenang, tak tenteram..
Bila hatiku goyah, gelisah, merana..
Jauhkah aku dari Allah?
Hilangkah dalam hati, zikirku, imanku....

"Astarghfirullah.." Ana meraup muka. Lemah. Dada terasa sebak, titisan air jernih semakin enak bertakung di kelopak mata ana. Ana pasrah...

Entah kenapa, lewat kebelakangan ini diri terasa benar-benar lemah, hati terasa benar-benar sakit, iman pula terasa sungguh derita. Justeru, ana langsung menjadi tidak keruan. Umpama lalang, ditiup ke kanan, maka ke kananlah ana, ditiup ke kiri maka ke kirilah ana.

"Mas, nanti tulis entri jangan yang sedih-sedih tau, gembira sikit" Pesan sahibah ana tatkala detik-detik perpisahan di KUIS tempoh hari. Ana tersenyum.

Mencari sesuatu yang bahagia dan indah untuk dicoretkan lewat kebelakangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tatkala minda ligat berfikir, tangan menjadi kaku, kelu seolah-olah tiada butir bicara untuk ditaip. Entahlah...

Terkadang terfikir akan kemungkinan pembaca menjadi bosan dan muak dengan penulisan-penulisan ana yang rata-rata berbaur sedih,pilu, kecewa dan macam-macam lagi. Tapi itulah realiti kehidupan, ada pasang surutnya, ada turun naiknya dan mungkin kini ana sedang berada di bawah, mungkin juga kini iman ana berada di tahap terendah. Sakit, benar-benar sakit, namun apalah seorang hamba ini mampu lakukan melainkan berdoa agar pertolonganNya sampai...

Ana menulis untuk menyampaikan. Moga tiada niat lain yang terselit. Dalam ana leka menyampaikan, mungkin terkadang ana tidak sedar ada hati yang jemu, ada hati yang meluat. Untuk kelemahan ini, beribu kemaafan ana titipkan...

Mencari redha Allah


Dalam perjalanan mencari redha Ilahi, bukanlah semudah merentas lebuhraya besar dengan kelajuan 110 km/j tetapi perjalanan ini menuntut KETABAHAN, KESABARAN, KECEKALAN kerana jalan ini penuh debu dan duri yang mana menguji ketabahan, kesabaran dan kecekalan.

Allah menguji bukan bermakna DIA tidak sayang, tetapi diujinya kita petanda dia benar-benar sayang, petanda bahawa DIA masih ingat pada kita. DIA memberi kita peluang mengasah iman agar lebih cekal berbanding hari semalam, agar lebih kuat untuk menempuh masa hadapan. Indah bukan?

Cubitan sayang dari Allah menggerakkan kita agar bangkit,bangkit dan bangkit! Dunia ini penuh tipu dan daya, jangan sesekali terpedaya.

"Alah enti ni pandai cakap je"

Benar, ana juga manusia biasa, terkadang kaki tersadung pada batu, ana jatuh jua... Iman ana terlalu nipis bahkan mungkin lebih nipis dari kulit bawang. Ana bukannya malaikat yang tidak pernah membuat dosa. Sehebat mana pun ana dipandang,ana masih jua manusia biasa yang apabila terhiris pisau,keluar darah juga....

Jangan terlalu menyanjung manusia futhur ini, kerana sekali ana tersilap langkah, pasti kalian akan menjadi lemah bahkan mungkin terus hilang rasa hormat pada ana. Ingatkah kita, tiada manusia yang sempurna tetapi sekurang-kurangnya cubalah untuk menjadi yang terbaik.

Maaf dipinta


Sempena hari yang baik ini... Menitip sedikit ketabahan Siti Hajar, jua secebis rasa redha dan pasrah Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail... Ana memohon beribu kemaafan atas segala kesilapan.

Atas lisan yang tak terjaga, atas perbuatan yang tak diduga, atas hati yang berprasangka dan atas segala yang mengundang dosa...

Maafkanlah...

Andai Nabi Ibrahim mampu berkorban kerana Allah, andai Nabi Ismail redha atas perintahNya, mahukah kalian, ya kalian.. berkorban membanteras ego dan redha atas segalanya dan seterusnya menyambut salam maaf ini?

Moga kita bersama-sama mengecapi redhaNya...

uhibbukum fillah..

Wallahu'alam

Aku adalah aku sekarang
Biar terbuang tetap berjuang
Akan ku serahkan jiwa ini
Sepenuh hati dengan keikhlasan

Read More......

Wednesday, November 25, 2009

Mari Melawan Nafsu


Entah kenapa, amat tertarik pada lagu ini... Moga kita sama-sama dapat bermujahadah melawan nafsu yang menipu... Moga kita sama-sama ingat syurga itu dibalut oleh perkara yang nafsu tidak suka tetapi neraka dibalut oleh perkara yang nafsu suka.

Antara syurga dan neraka, yang mana satu pilihan kita?
Antara hina dan mulia di sisiNya, yang mana satu pilihan kita?

Pilihan di tangan anda.


Bantulah Aku Melawan Nafsu


Telah aku lawan nafsuku setiap waktu
Ku cuba berkali-kali, ku gagal lagi
Aku tak putus asa, ku lawan lagi
Namun aku tak mampu, ku kalah jua

Oh Tuhan, bantulah aku mudahkan aku
Melawan nafsu ini yang merosakkanku
Agar aku tak terhalang untuk menuju-Mu
Tolonglah aku Tuhan, Kasihanilah aku jangan Engkau biarkan aku

Tuhan, bantulah aku
Kasihani aku jangan biarkanku bantulah aku selalu
Aku tak putus asa
Oh ku tetap berjuang dengan mengharap bantuan dari-Mu

Kalaulah Engkau terus membiarkanku
Ku akan berterusan ke lembah dosa
Oh Tuhan, nafsu dan syaitan sering mengganggu aku
Setiap hari ia memusuhi ku ketika ku ingin mentaati-Mu

Jangan biarkan aku keseorangan
Menghadapi syaitan dan nafsuku
Aku ingin mentaati-Mu, ku ingin redha-Mu
Kalau Engkau biarkan aku
Ku akan kecewa nanti

Tuhan, ku akan mencuba lagi
Melawan nafsu dengan bantuan-Mu
Dan rahmat-Mu Tuhan

Di dalam sembahyang ini kuharapkan-Mu
Berikan padaku cinta dan takutkan-Mu
Sebagai pengawalku dari nafsuku
Bukankah itu janji-Mu kepada hamba-Mu

Oh Tuhan, bantulah aku menghayati sembahyangku
Agar ku dapat merasakan kebesaran-Mu
Hingga aku tak membesarkan selain-Mu
Dengan rasa itu kuharap
Moga ku kan dapat melawan syaitan dan tipuan nafsuku

Tuhan, dalam sembahyangku
Bersihkan jiwaku, lemahkan nafsuku, selamatkanlah diriku
Suburkan rasa kehambaan
Dan kekalkan rasa itu di dalam seluruh kehidupanku

Wallahu'alam

Read More......

Monday, November 23, 2009

Perjalanan Itu Membawa Bahagia


Dalam perjalanan yang panjang,
Bukan disinari dengan kelopak mawar nan indah,
Melainkan debu dan duri semata..


"Saya tidak mahu jadi manusia terbaik. Saya mahu jadi yang biasa-biasa. Natural, kerana saya tidak mahu dilabel sebagai ekstrimis!"

Sesetengah manusia yang dikurniakan Allah dengan akal takut untuk terjun ke medan dakwah, takut diulit dengan tarbiyyah kerana bimbang digelar ekstremis atau dipandang serong.

Pendakwah Bukan Ekstremis


Saya takut untuk turun ke bahagian bawah rumah saya, kerana di situ gelap dan saya sering membayangkan yang bukan-bukan. Pada suatu hari, kerana terpaksa, saya turun juga ke bahagian bawah rumah. Saya nyalakan lampu dan rupa-rupanya, bahagian bawah rumah itu bukanlah sesuatu yang menakutkan. Saya cuma perlu ade sedikit kekuatan untuk ke sana, dan setelah menyalakan lampu, tiada apa lagi yang menakutkan


Ana tertarik pada satu dialog dalam cerita 'home alone'. Perkara ini boleh juga dikaitkan dengan situasi umat Islam sekarang, yang takut untuk berdakwah, juga takut untuk menjadi yang terbaik hanya kerana beberapa faktor yang tidak munasabah.

"Tidak mahu digelar ekstremis."
"Takut mahu jadi baik, nanti kalau satu kesalahan yang dibuat, saya akan dipandang serong"
"Kita jadi biasa-biasa sudahlah"

Terjun ke medan dakwah bukanlah sesuatu yang menakutkan,apatah lagi menyusahkan. Kita tidak perlu takut akan digelar ekstremis, kerana hakikat sebenarnya, terjun ke medan dakwah dan tarbiyyah bukanlah untuk mencari gelaran itu.

Benar, setiap insan yang hampir kepada dakwah dan tarbiyyah mempunyai cara mereka tersendiri dalam berdakwah. ada yang terlalu tegas sehingga semua benda diharamkannya, tetapi sebagai seorang manusia yang sememangnya diberi akal dan perasaan, kita berhak memilih cara berdakwah yang paling baik dengan diri kita.

Bagi ana, permulaan dakwah adalah perkenalan. Kita perlu mengenali mad'u kita dengan sebaiknya, rapat dengannya agar senang untuk menegur. Kemudian, buka mindanya untuk mengenal Islam, pada peringkat ini jangan terlalu ghairah mengharamkan itu dan ini, sebaliknya tegur dalam bentuk positif.

Bukankah dialog ini lebih sedap didengar;
"Islam itu cantik, dan Allah suka pada kecantikan, kalau kita buang sampah kat dalam tong sampah, mesti Allah suka, kalau Allah suka, kita dapat pahala"

Berbanding;
"Saudari, kenapa buang sampah merata-rata. Nak dapat dosa? Nak masuk neraka?"

Selepas sudah mengenalkan mad'u dengan Islam, barulah kita tegur sedikit demi sedikit.

Dakwah dan Kesempurnaan

"Saya belum cukup sempurna untuk berdakwah"

Jika semua orang menunggu untuk menjadi sempurna untuk saling menegur, maka tiada siapa yang akan menegur di dunia ini!

Saudaraku yang dirahmati Allah,akuilah hakikat yang tersurat bahawa tiada manusia yang sempurna, sedangkan Rasulullah yang tiada dosa itu pun pernah melakukan kesilapan tetapi terus ditegur oleh Allah, inikan pula kita, manusia yang sememangnya bertimbun dengan dosa.

Kita tidak akan menjadi sempurna tetapi sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik untuk menjadi yang terbaik di sisiNya.

Tegurlah dengan penuh kasih sayang ; Bukankah Rasulullah telah berpesan "Sampaikanlah pesananku walau 1 ayat"

Tidak mahukah kita menyahut seruan baginda? Menyampaikan apa yang kita tahu, membetulkan apa yang silap dan menegur apa yang salah? Tidak mahukah kita meneruskan perjuangan baginda menegakkan syiar Islam di muka bumi ini?

Renung-rennungkan, fikir-fikirkanlah.

Di hadapan, duri menanti...


Bergelar seorang pendakwah, kita harus menyiapkan mental dan fizikal sebaiknya. Kerana di jalan ini tidak dijanjikan kemanisan yang panjang bahkan mungkin pahit yang akan mengiringi setiap langkah.

Tapi jangan takut dan jangan khuatir! kerana, di akhirat nanti, insyaAllah manis akan menyelebungi.

Lihat sahaja sejarah silam, Nabi dan para sahabat tidak pernah hidup dalam kesenangan tetapi hati mereka sentiasa senang dan bahagia, bahkan mereka tidak sabar untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka tahu, di 'sana' nanti manis akan menjemput..

Maka para pendakwah yang dirahmati Allah sekalian... Bersabarlah pada cubitan sayang Allah yang sedikit itu. Bertahanlah dengan duri berbisa yang kian mencucuk. Berpegang teguhlah pada iman dan amalmu, Tutuplah matamu daripada terpengaruh dengan dunia yang fana' dan berdoalah pada Allah agar memegang hatimu....

Jangan menyesal di sana nanti, tatkala tiada perlindungan lain selain perlindungan Allah...Sabar itu memang pahit, tetapi buahnya manis. Semoga kita bertemu kelak, di dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.. :)

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf : 67)

Wallahu'alam..

Dalam pahit ada manisnya,
Biarlah tangisanmu kini,
Menjadi penawar duka di sana kelak..

Read More......

Wednesday, November 18, 2009

Nikmatnya Bercinta.


Indahnya cinta itu,
Jika cinta itu cintakan Allah...


Buku Travelog Dakwah Meniti Hari Esok karangan Muhd Kamil Ibrahim ana tutup. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, titis-titis air jernih yang kian bertakung di kelopak mata elok dikesat. Sungguh, cerita-cerita di dalamnya menyentuh hari ana,hati ana yang amat merindui suasana itu... suasana yang diselubungi dengan iman dan amal....

Ana rindu DIA

Alarm handphone ana berbunyi nyaring pada pukul 5.15 pagi, siap disertai dengan kata-kata 'SAYANG ALLAH!'Ana yang masih dalam keadaan separa sedar mentup jam dan kembali lena.. Allah.. Allah... ana merinduiNya...

Entah mengapa, lewat kebelakangan ini, susah benar untuk bangkit di penghujung malam untuk bertemu dengan kekasih nan satu itu. Entah, sedih, benar-benar sedih... Dahulu, ketika masih menuntut di KUIS, badan terasa ringan, ana bangun tanpa disuruh, terkadang bangun tanpa perlu untuk 'set' alarm. Ana buntu..

Adakah badan ana letih? Adakah hati ana sakit? atau adakah suasana mempengaruhi ana? Sudah beberapa kali kejadian itu berlaku.. Terkadang bunyi alarm sendiri pun ana tidak dengar. Mencari punca bagi kelemahan nan satu itu bukanlah satu perkara yang mudah.

"Tolong ye, kejut ana kalau enti bangun tahajud nanti" Pernah, ya pernah juga ana berpesan pada teman agar mengejutkan ana untuk sama-sama bertahajud, namun malangnya ana hanya terjaga ketika azan subuh berkumandang. Jiwa terasa lemah, badan terasa longlai.

Allah..

Keenakan bertahajud

Bangun pada penghujung malam dan bermunajat bukanlah sesuatu yang leceh dan menyusahkan, bahkan ia merupakan satu nikmat yang tidak terhingga. Nikmat bagi seorang hamba yang terasa hampir dengan pencipta...

Di penghujung malam itulah hati merintih, jiwa merayu, air mata menderu... dan rindu pun terurai. Diri terasa kerdil dan hina, satu perasaan yang cukup indah, yang membawa diri semakin hampir dengan pencipta. Pada ketika itu, mintalah.. mintalah apa sahaja kepada Allah, insyaAllah tidak akan dikecewakanNya.


Pada sepertiga malam,Allah turun turun ke langit dunia seraya berkata: “Adakah orang yang meminta ampun? Adakah orang yang bertaubat? Adakah orang yang meminta? Adakah orang yang berdo’a?” hingga terbit fajar. (HR. Muslim)


"Ala, enti ana takutlah, nanti ana mengantuk pula sebab tak cukup tidur"

Allah... Allah itu tidak zalim wahai saudara-saudaraku sekalian, masakan sesuatu yang baik itu akan merosakkan kehidupan anda.

Ana pernah mengalaminya ketika dahulu, alhamdulillah ana akan bangkit setiap malam untuk menunaikan tahajud dan kemudiannya, Atas keizinanNya, Allah beri secebis rasa gentar lantaran takut tidak lulus dalam peperiksaan. Tapi, ketika keputusan diambil, hati ana sebak.. sayu... kerana Allah telah membalas penat lelah ana dengan memberi pointer 3.85 pada semester itu.

Subhanallah! Allah itu baik bukan?

Tahajud pengubat hati nan lara

Jika hati kita sakit, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita letih, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita malas, maka tahajudlah pengubatnya.

Umpama set bijiran sihat, dalam tahajud mengandungi 'pelbagai vitamin' untuk menyihatkan hati. Jika hati sihat, maka badan pun sihat. Jika hati sakit, badan terasa lemah dan tidak berdaya.

Lantas, diri mudah menjadi berputus asa dan memandang segalanya pada sudut negatif. Nikmatnya bertahajud, sama seperti merasai nikmatnya kemanisan Iman. Jangan dilupa bahawa tahajud juga menjadi PENGUAT hati tatkala lemah. Menjadi PENGUAT diri tatkala lesu.

Jika tidak, masakan Nabi dan sahabat-sahabat dahulu mampu bertahan, biarpun dicemuh, biarpun dihina, biarpun dianggap asing. Mereka rajin bangkit di sepertiga malam, sebengis-bengis UMAR AL-KHATAB, dia menangis tatkala mengadu pada Allah di sepertiga malam.

Mereka lakukan tahajud. Tahajud menghampirkan diri kepada Allah.

Beruntunglah bagi sesiapa sahaja yang berjaya dalam pencarian cinta itu, mencari secebis cinta di penghujung malam, dan merugilah bagi sesiapa yang mengabaikan keistimewaan itu lantaran duniawi ini tiada selamanya....

Doakan ana agar berjaya mencicip kembali nikmat itu!

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya, di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus : 9)


Wallahu'alam.

Dunia terasa indah biarpun diri disisih,
Hati berasa senang biarpun diri dihina,
Kerana diri ada Allah,
Bukankah indah hidup bersama Ilahi?

Read More......

Sunday, November 15, 2009

Janji Itu Pasti..


Detik perpisahan itu pasti berlaku,
Satu perpisahan bererti selamanya,
Tidak mungkin kan kembali ke dunia,
Umpama daun yang gugur menyembah bumi...


"Haikal dah tak ada" Sebaris ayat yang keluarnya dari mulut mulus itu cukup membuatkan hati ana tersentap. Ana memeluk akak angkat ana seerat mungkin, seolah-olah mengalirkan secebis kekuatan ke dalam dirinya. Namun, tidak dapat tidak, aliran air matanya seolah-olah menjana satu aliran ke dalam diri ana. Mata ana turut digenangi air.

Haikal... kanak-kanak itu baru sahaja berusia sebulan ketika dia dipanggil Ilahi. Umur yang jauh lebih muda daripada ana, namun satu yang pasti dirinya lebih mulia daripada diri ini yang penuh digenangi dosa.

Ana merenung sayu pada sekujur tubuh kaku di atas meja. Bagaikan baru semalam ana memeluk ciumnya, bagaikan baru semalam melihat dia tersenyum dan kini dia telah pergi... untuk selamanya...

Allah...

Haikal pergi dengan begitu senang sekali. Tanpa tanda-tanda yang membuatkan insan lain berjaga-jaga. Selepas mandi pada pagi semalam, Haikal sempat mencelikkan mata, melihat ibunya buat kali terakhir, sebelum mata itu ditutup untuk selama-lamanya...

Hal ini membuatkan ana terfikir. Entah bila masa ana akan tiba. Entah hari ini, esok, atau lusa? Siapa yang tahu? Adakah ketika saat sakaratulmaut itu tiba, ana mampu untuk 'pergi' dengan senang atau terseksa dengan teruk? Itu tidak termasuk lagi dengan penantian di kubur. Saat ana disoal, mampukah ana menjawab dengan baik atau mungkinkah pukulan bertalu-talu yang di terima?

Saat itu... Pada ketika itu.. Ana pasti berseorangan, tiada ibu, tiada ayah, tiada teman-teman rapat. Yang ada hanyalah amalan-amalan sebagai peneman. Justeru, ana terfikir... Cukupkah amalan ana untuk bekalan di sana kelak?

Entahlah... Memikirkan semua itu, cukup membuatkan hati bergetar, namun getaran itu, adakah melahirkan amal-amal baik yang banyak? Atau ia tinggal sebagai getaran?

Ana ingin pergi sebagai hambaNya yang solehah, yang kelak dapat melihat wajah Allah, juga dapat bertemu Rasulullah. Namun, layakkah ana?

Entahlah... Ana tidak tahu siapa ana di hadapanNya, lantaran banyaknya dosa yang dilakukan, lantaran taubat yang sering dimungkiri, siapa ana di sisiNya?

Setiap insan pasti merasa detik itu,
Walau ke mana kaki melangkah,
Walau jauh diri dibawa,
Ketahuilah bahawa janji Allah itu pasti...

Read More......

Friday, November 13, 2009

Mencari redhaMu


Saat masa itu berlalu,
Berlalu pergi meninggalkanku..
Diriku terduduk di situ,
Duduk merenung diri.

Allah...Allah..

Dosaku mengunung tinggi,
Taubatku sering ku mungkiri,
Apakah masih ada,
Apakah masih ada secebis belas untukku?
Apakah masih ada,
Apakah masih ada secebis kasih untukku?

Ya Allah...
Siapa aku disisiMu?
Layakkah aku untuk menatap wajahMu?
Aku rindu! Aku cinta!
Dua ulas bibir menjadi saksi, pengucapan agung itu..
Aku rindu, aku cinta padaMu ya Allah,
Aku rindu, aku cinta padamu ya Rasulullah..

Tapi mengapa...
Mengapa ya Allah,
Mengapa diri ini seolah-olah enak melakukan dosa?
Mengapa hati ini tunduk pada tuntutan nafsu?
Di mana.. Di manakah bukti kata-kataku itu?

Mengalir air mataku saat mengenangkan pengorbanan Bilal bin Rabah,
Yang masih utuh menyebut 'ahad, ahad' biarpun diseksa,
Menitis air mataku saat terkenangkan pengorbanan Zinnirah,
Masih berpegang dengan keimanan biarpun dikorek biji matanya tanpa belas!
Begetar hatiku... Bergetar hatiku mengenangkan pengorbanan Rasulullah,
Di baling najis! Dihina! Dicemuh!
Demi melihat Islam gemilang...

Ya Rasulullah... Adakah engkau sedih melihatku begini?
Allah...Allah...Allah...
Hati kian sebak..
Fikiran kian bercelaru..
Mengenangkan dosa-dosa yang menggunung tinggi..
Namun ku pasti, aku yakin, aku tahu,
PengampunanNya lebih besar dari segala dosa yang telah tercipta...

Allah... sambutlah aku..
Rasulullah... terimalah aku...

Mencari redhaMu Allah..........

Read More......

Thursday, October 29, 2009

Masa dan Kita


Hujan yang turun membasahi bumi,
Apakah mungkin hatiku turut membasah,
Atau kering kontang mengharapkan setitis belas?


Sudah lama jari-jemari ini tidak ana larikan di atas papan kekunci laptop kesayangan ana. Sesekali terpandang, terlihat selapis kepingan habuk di atas laptop. Ana hanya memandang hambar, mungkin mencari alasan mengapa dibiarkan laptop ini ditinggalkan sepi. Entah, mungkin sibuk. Relevankah alasan itu buat seorang insan kerdil ini?

Masa terus berlalu, berlari pantas tanpa menunggu kita. Terkadang terfikir, antara berjuta makhluk ciptaanNya yang bergelar manusia ini, berapa peratuskah yang benar-benar menghargai masa?

Masa itu emas. Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, masa akan memotong kita. Kita sedar semua itu, kita lantang berkata, berhujah itu dan ini.

Persoalannya : Adakah kita menghargai masa?

Beri sedikit ruang untuk hati


Entah mengapa kini terkadang hati terasa penat, terkadang terasa letih, terasa sakit sehingga merasakan tidak ada lagi penawar untuk hati. Mungkin sekarang tidak ada lagi insan yang selalu menegur setiap tingkah ana sehingga ana berasa begitu hampir dengannya... Sehingga terasa malu untuk melakukan maksiat.

Entah mengapa, ana seolah-olah membiarkan diri terus-terusan sibuk dengan urusan dunia, otak ligat mencari alasan atas kesibukan ini dan akhirnya ana terjelepok, menangis, merintih, menyedari bahawa hati ini dahagakan sesuatu. Dahagakan kasih sayangNya.. Allah, aku rindu padaMu....

Tatkala bersendirian, ana terfikir, adakah ana menghargai masa yang diberi sekarang ini? Adakah masa yang diberi digunakan sebaiknya, untuk mencari redhaNya, untuk mencicip secebis kasihNya, dan untuk mencari bekalan di sana kelak?

Memikirkan semua itu, hati ana kembali berkocak.. Allah, siapa aku di sisiMu?....

Masa Yang Terbuang


Perkara yang paling jauh daripada kita adalah masa yang lalu, begitulah pesanan insan tersohor -imam Al Ghazali.

Masa yang banyak dibazirkan, apakah dapat diulang semula?

Entahlah, buntu ana memikirkan semua ini... Peperiksaan pun semakin hampir, moga semuanya baik-baik sahaja...

Moga setiap nikmat yang diberi secara percuma, moga udara yang diberi secara percuma, moga segala yang dipinjamkan secara percuma dapat digunakan sebaiknya, semuanya kerana Allah.




Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman,
Bersinar indah, harum tersebar,
Bagai wanginya pusara Masyitah.


wallahu'alam...

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .