Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, September 25, 2015

Hati cantik



Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang memiliki hati yang cantik. Tiada kesan calar, tiada kesan retak, malah tiada lubang-lubang di sana sini. 

Hatinya -- licin dan berkilau. Dicemburui pula oleh ramai manusiawi. 

Suatu hari, keluarlah pemuda ini mengelilingi kampung. Dia memegang hatinya yang cantik itu dan mengangkatnya tinggi --

"Wahai orang kampung!" Teriaknya kuat. "Lihatlah hatiku ini. Berkilau cantik tiada calar. Siapakah yang memiliki hati yang lebih cantik dari ini?" Katanya lagi, bongkak.

Tiba-tiba, keluar seorang pemuda yang kurus, wajahnya letih namun dia tersenyum sambil berkata, "hati aku, lebih cantik daripada kamu"

Pemuda berhati cantik terkejut, "benarkah? Maka tunjukkan padaku!"

Pemuda berwajah letih pun mengeluarkan hatinya, "ini." Katanya. Hatinya penuh kesan calar, ada kesan retak malah berlubang di sini sana.

"Begini kau kata cantik?" 

"Ya. Hati aku cantik kerana ia telah melalui apa yang perlu ia lalui. Di setiap kesan calar, kesan retak dan lubang ini ada ceritanya yang tersendiri. Calar ini bermaksud aku kuat keluar dari zon selesa aku sendiri, retak ini bermaksud aku tabah lalui segala derita. Semua ini adalah sebuah cerita tentang kehidupan, sebuah fitrah tentang manusia, yang menjadikan aku siapa aku sekarang, yang aku kira kau tak pernah rasa. Lalu di manakah cantiknya sebuah hati yang tak pernah merasa fitrahnya sendiri?" 

Pemuda berhati cantik itu terjelepuk. Tak pernah dia terfikir akan sebuah hakikat itu, akan setiap hikmah di sebalik kejadian. Selama ini dia hanya mengeraskan hati, bimbang hatinya yang berkilau dihinggapi calar, tanpa dia sedar dia telah membuat hatinya mati.

Lalu perlahan-lahan, tangannya merobek sedikit hatinya, mengambil secebis cuma, dan diberikan kepada si pemuda yang menegurnya,

"Kau telah mengajar aku sesuatu. Nah. Ambil lah cebisan hati ini. Tampalkan lopongan di hati kau. Hati aku, biarkan ia begini, ada kesan lopong sebagai tanda ia telah melalui kehidupan, sebuah fitrah yang dahulunya sering diabaikan"

Lalu pemuda berhati cantik itu tersenyum, mengangkat jua hatinya yang kini telah lopong. Tapi kali ini dia lebih bahagia --

Kerana dia sedar bahawa kesakitan itu bukanlah kesedihan semata, tapi ia tanda sebuah kehidupan yang dilalui sama. 

Jauh sudah kau berjalan duhai hati. Apa khabar dirimu hari ini? Berbahagialah dengan lopongan dan segala calar yang ada, itu tanda kau masih dicintai Yang Esa.

Courage is not the absence of fear. But the triumph over it. The brave man is not he who does not feel afraid, but he who conquers that fear - nelson mandela

And what if one day,
You try to kill yourself,
Just to find out that you are already dead,
Your heart is dead,
Your soul is dead.

Salam cinta.

:)

Read More......

Saturday, September 19, 2015

Kerana Allah


~Mungkin ikhlas itu ibarat mutiara,
Perlu kau selam jauh di lautan sana,
Baru kau jumpa ia yang berharga~

Suatu ketika dahulu ketika peristiwa hijrah.. Nabi yang amat kita cintai ada bersabda yang diriwayatkan oleh Imam bukhari dan Muslim.. Kata Nabi —

Sesungguhnya, setiap amalan bergantung kepada niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan mendapatkan Allah dan Rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diraihnya atau wanita yang ingin dinikahinya…..

Ops. Kita berhenti sekejap. 

Kalau ikut logik akal kita sebagai manusia, apabila ayat pertama dah dikatakan jika hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka ia mendapatkan Allah dan Rasul, justeru jika hijrahnya kerana dunia atau wanita pastilah dia akan mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, kan?

Namun sungguh Rasulullah itu diutus sebagai pembawa rahmat, yang tak ingin sekali pun memutuskan harapan buat orang-orang yang tersalah. Baginda tidak ingin menghempas jatuh mereka yang mempunyai niat selain Allah dan Rasul-Nya di dalam hati. Malah baginda membentangkan kalimatnya seluas timur dan barat. Sabda baginda —

Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diraihnya, atau wanita yang ingin dinikahinya.. MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA APA YANG DIA NIATKAN UNTUK BERHIJRAH. 

Alangkah sejuknya peringatan ini. Alangkah indahnya kesempatan untuk memperbaiki diri, memperbetulkan apa yang tersalah. Jika pada mulanya berniat kerana dunia semata, masih sempat tukar semuanya kerana Rabb pemilik alam semesta…maka hijrahnya tetap adalah kepada apa yang dia niatkan untuk berhijrah.

Begitu pula, tatkala seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah —

“Ya Rasulullah” Katanya. “Ada tiga orang yang berperang bersamamu, namun ketiga-tiganya punya niat yang berbeza. Yang pertama berperang kerana kehidupannya yang sempit lalu berharap mendapatkan harta rampasan perang. Yang kedua berperang kerana ingin membela kaumnya yang teraniaya. Yang ketiga berperang kerana ingin diakui sebagai lelaki yang berani. Manakah di antara ketiganya di sebut sebagai mati di jalan Allah?”

Jika dilihat tidak ada satu pun yang berniat berperang kerana Allah, lalu bukankah boleh sahaja Rasulullah menjawab; “Ketiga-tiganya tidak mendapat pahala!” 

Namun sekali lagi Baginda menyatakan kalimat yang menyejukkan, seperti layaknya sifat orang soleh itu — kata-katanya selalu sahaja diibaratkan seperti air dingin yang membasahi tekak nan kontang. Baginda dengan penuh lembut menjawab, 

“Siapa pun yang berperang agar kalimat Allah menjadi tinggi, maka dia mati di jalan Allah.”

Betapa mulianya sifat Sang Nabi, mengingatkan kita pada Penciptanya yang jauh lebih mulia, firman Allah dalam surah Ibrahim ayat ketujuh —

Dan ingatlah tatkala Rabb kalian memaklumkan, “Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambahkan nikmat kepada kalian. Dan jika kalian mengingkari, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.

Sekali lagi, ia adalah sebuah kalimat yang terbuka. Allah kata jika kalian bersyukur, Aku tambah nikmat, tapi Allah tak kata jika kalian engkar, Aku akan seksa kalian. Allah sekadar mengingatkan, azab-Ku sangat pedih. Ia sebuah peringatan sebagai tanda kasih-Nya Dia kepada kita. Kita masih boleh bertaubat. masih boleh kembali bersyukur. masih boleh pulang ke pangkal jalan.

Ah. Maka tak perlu kau gusar jika kau pernah tersalah niat. Masih sempat diperbetulkan. Dulu masa saya belajar, roomate akan selalu ingatkan setiap kali saya nak pergi kelas, “Mas, hari ni dah perbaharui niat? Niat belajar kerana Allah je tau.” 

:) Sebab kita manusia. Banyak dosa. Kita bukan maksum, hari-hari kita pasti ada tersalah langkah, tersalah niat. Maka hari-harilah kita perlu perbaharui niat. Baru lebih terasa segarnya hidup bertuhan!

Dan kita — yang konon-konon baik ni, jangan gemar menghukum. Apa pun niat orang untuk berubah, kita jangan marah. Sekurang-kurangnya dia mahu berubah. Bimbinglah agar niatnya kembali berpasak hanya untuk Allah dan Rasul-Nya.

Dan kau yang ingin berhijrah — apa pun manusia kata untuk menarik kau jatuh, apa pun manusia ingin ajak kau gaduh dengan dalil-dalil keras mereka walhal kau juga ada dalil kau sendiri yang kukuh dan kau percaya, maka teruskan berjalan, senyum dan kata :

Mujurlah, sungguh mujurlah Allahku tak pernah memaksa!

~Dan mungkin ikhlas itu ibarat emas,
Berharga setelah melalui panas,
Dibakar sehingga kerak dakinya terlepas,
Hingga kilaunya bertukar jelas,
Walau mulanya ia terseksa lemas~

Salam cinta, kerana Allah :)

Read More......

Saturday, September 12, 2015

Dont ignore


So abah warded tempoh hari. 

Bila dah siap uruskan abah -- kaki saya mula melangkah mengelilingi hospital. Saja, mencari-cari hikmah yang tersembunyi. 

Sedang melangkah, tiba-tiba lebih kurang 1 meter di hadapan saya, berdiri seorang pakcik yang kurus kering, bajunya lusuh dan tidak terurus. Dia berjalan menghampiri dua orang medical assistants (MA) yang kelihatannya sedang melangkah laju menuju ke wad. 

"Adik.." Panggilnya, "pakcik lapar..."

Kedua-dua MA tersebut memberhentikan langkah.

"Pakcik lapar..."

Salah seorang dari mereka memandang wajah pakcik tersebut dengan begitu sayu, manakala yang seorang lagi mula berpaling "cepatlah." Ujarnya memanggil rakannya yang sedang mendengar cerita pakcik itu.

"Takpe kau pergi dulu" 

Pakcik tersebut mula bercerita. Dan MA itu mendengar dengan penuh minat. Tangannya menyeluk kocek seluarnya, dikeluarkan sedikit wang lalu digenggam erat tangan pakcik itu--

"Pakcik pergi makan ye.." Katanya lembut. Lalu kakinya mula melangkah laju, menyambung tugas yang tergendala.

Tak tahu kenapa -- hati saya benar-benar tersentuh. 

Hidup ini benar-benar adalah sebuah pilihan --

Kita mahu jadi yang sudi mendengar atau tak peduli, ia adalah pilihan.

Kita mahu jadi tangan yang di atas atau tidak, ia adalah pilihan.

Kita mahu jadi yang menunggu atau yang pergi meninggalkan, ia adalah pilihan.

Kita nak jadi baik atau jahat, ia juga adalah pilihan. 

Memang. Kita tak ada pilihan mahu lahir dalam keluarga yang baik-baik atau tidak. Tapi untuk kita menjadi baik -- ia adalah pilihan kita sendiri. 

Buatlah pilihan dengan baik. Selepas itu yakinlah dengan Allah Yang Maha Baik. Bak seorang bayi yang tak pernah membantah walau apa pun si ibu ingin lakukan padanya -- begitulah selayaknya seorang hamba kepada TuhanNya. 

Bukankah Allah lebih sayang kepada kita melebihi sayangnya seorang ibu kepada anaknya? Lalu apalah yang kau gusarkan.

Di mana pun kau berada, apa pun situasi yang kau sedang lalui, yakinlah -- Allah yang bawa kau ke situ. Allah pasti bantu. 

Maka, buatlah pilihan yang terbaik. Pilihan yang nantinya kau boleh cerita depan Allah dengan bangga. Yang buat Rasulullah tersenyum bahagia. Pejam mata dan kata -- ya Allah, apa ya pilihan yang Kau suka?

Ishhh jomlahh pilih masuk syurga :)

Salam cinta. 



Read More......

Sangka Baik Pada Allah



"Mas..." Matanya merah. Suaranya bergetar. Dia memandang bawah. Jarinya yang runcing mula mengesat titis jernih air yang mula mengalir dari birai matanya.

"Kenapa?" Saya mengusap bahunya perlahan. Sekejap sekejap bahu itu terjungkit jungkit menahan rasa. 

"Kenapa manusia tak pandai nak hargai, tak pandai nak nampak apa yang aku dah lakukan untuk dia, suka-suka datang, suka-suka pergi." Dia menyambung kata. 

"Buat sesuatu tu untuk manusia sedar ke sebab Allah suka kita buat baik?" 

"Memanglah kerana Allah. Tapi still, manusia. Ada hati, ada perasaan. Habis bila perlu datang cari aku, bila tak perlu buang je sepah-sepah, aku ni bukannya haiwan. Aku manusia" suaranya sedikit meninggi, beremosi.

Saya senyum memandang wajahnya. Wajah yang penuh rasa cinta -- kini dihiasi kecewa. Bak katanya--manusia. Ada turun naiknya. Ada kuat lemahnya, dan pasti ada saat goyahnya. Bak kata Saidina Ali ; hati itu boleh merasa letih dan penat sama seperti badan. Carilah segi-segi kebijaksanaan untuk kesejahteraan hati. 

Tangannya saya gapai perlahan, menutup satu persatu jarinya sehingga membentuk sebuah penumbuk. 

"Masa aku kecik-kecik, aku nakal. Pantang nampak apa benda semua aku nak kutip masuk dalam mulut. Satu hari tu, aku nampak ubat nyamuk petak-petak tu, aku pun rasa eh macam best je.. Aku ambik, genggam. Mak aku nampak, mak aku mula panik, mak aku minta baik-baik, tapi makin mak aku mintak, makin aku acah-acah nak masukkan ubat nyamuk dalam mulut. Kelakar tengok mak aku histeria" saya menarik nafas. Tangannya saya genggam semakin erat.

"Sampailah mak aku geram.. Mak aku tangkap aku, dan bukak satu persatu jari aku.. Macam ni" tangannya yang membentuk penumbuk itu saya buka satu persatu jarinya.. Hingga menampakkan telapak tangan. "Masa tu aku geramlah. Main rampas-rampas pulak. Aku meraung, melalak, menangis sampailah mak aku letakkan gula-gula favourite aku kat tangan, baru aku stop nangis. Malah jadi lagi happy pulak"

"Apa yang kau cuba sampaikan?" Balasnya pendek.

Saya menarik nafas dalam, "kadang-kadang dalam hidup ni, Allah tunjukkan kasih sayangNya bukan dengan cara bagi kita sesuatu. Tapi dengan cara ambil sesuatu dari kita. Sebab yang kita genggam tu racun. Allah ambil sebab benda tu bahaya dari kita. Tapi kita kejar balik, kita minum racun tu. salah siapa?" 

"Tapi kau yang kata kat aku dulu, jangan tangisi sesuatu yang kau tak pernah berusaha untuk dapatkannya."

Saya tergelak kecil, "kau ingat lagi eh? Sebenarnya ada bezanya kau dah usaha dan kau dah perlu redha. Kan aku pun pernah cakap, hidup ni terlalu singkat untuk kau ubah sesuatu yang kau tak boleh ubah. Macam kau sibuk nak pakai baju kau masa kecik padahal dah tak muat. Tak payah cuba-cuba lagi, bungkus bagi kat kebajikan. Macam tu juga kau kadang-kadang perlu berhenti paksa diri kau untuk percaya manusia ni akan berubah. Berubah jadi lebih penyayang, lebih menghargai. Kau ada pilihan, terima mereka seadanya atau say goodbye. Sebab hidup terlalu singkat untuk kau paksa-paksa semua tu"

Dia merenung jauh. "Entah apalah dia tengah buat sekarang."

"Dia tengah makan keropok lekor dengan teh o panas sambil goyang kaki tengok samarinda" 

"Mas!" 

"Yelah. Kau sibuk sedih, dia rileks je. Tak kisah kat kau pun. Tak rasa buang masa ke? Sudahlah. Macam mana Allah nak bagi sesuatu yang lebih baik kalau tangan tu kau taknak kosongkan. Sibuk genggam, taknak buka."

"Mas..." Dia lantas memeluk saya. Tangisnya semakin kuat. Saya mengusap-usap bahunya.

Menangislah kalau itu yang kau mahu. Menjeritlah kalau itu yang kau perlu. Membebel lah kalau itu membuka jalan buntu. Aku takkan pernah sekali menghalang fitrah manusiawimu. Aku takkan pernah sekali menghukummu.

Cuma -- bila dah puas buat tu semua. Kembali bentangkan sejadah, berdoa.

Bangkit, ya? 

**kak wawa buat come back dengan artikel panjang. Maaf. Alhamdulillah atas nikmat sakit. Ada masa terluang nak menulis. Hajat doa selalu :)



Read More......

Wednesday, September 9, 2015

Nota ini buat kamu



Nota ini buat kamu yang bernama diri --

Suatu hari kelak,
Andai kau rasa kau sendiri, 
Tolehlah ke belakang lagi,

Dan lihatlah --

Pada saat kau rasa kau jatuh dan tak mungkin akan bangun,
Siapa yang membantumu bangkit berdiri,
Berjalan dan berlari?

Pada saat kau rasa hati kau hancur tak mungkin dapat diperbaiki, 
Siapa yang membantumu mencantum segala cepisan yang ada,
Hingga yang hancur kembali elok semula?

Pada saat kau rasa kau tak mampu senyum lagi,
Siapa yang sentiasa memberi bahagia,
Hingga senyum pun kembali terukir di bibir? 

Pada saat kau rasa buntu,
Tiada jalan keluar,
Siapa yang menunjukmu jalan,
Meski awalnya kau rasa begitu mustahil? 

Dialah Allah -- cintamu yang paling sejati. Yang Paling Menyayangi. Yang Paling Mencintai. Yang Selalu Ada. Yang tak pernah menyakiti

Yang tak pernah tinggalkan kau walau sedetik. Tak pernah. Cuma kau sahaja yang berlari jauh hingga kau lupa pada adanya Dia.

Duhai diri, kembalilah mendongak ke langit, lihatlah awan yang memutih. 

Betapa hebatnya Allah dalam mentadbir. Tidakkah kau percaya pada perancanganNya buat dirimu? Bersabarlah. Kepahitan yang kau telan sekarang bakal membuat kau sedar akan nikmatnya di masa depan.

Aduhai -- siapalah yang paling hebat merancang melainkan Dia? 

Dan kerana cinta itu, adalah kita.

Allahku, uhibbuka.. 

"Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas". (Adh Dhuha: 5)


Salam Jumu'ah mubarakah!



Read More......

Tuesday, September 1, 2015

Fokus pada apa yang perlu


Hidup ini adalah sebuah perjalanan.

Dan dalam perjalanan kita -- 
Ada yang sudi untuk tinggal, sentiasa di sisi, dekat di hati..
Dan ada pula yang memilih untuk pergi menjauhkan diri, tak peduli. 

Fokuslah pada yang mahu tinggal, yang mahu dekat di sisi, yang sentiasa dekat di hati --

Usah kau hiraukan mereka yang mahu pergi, kerana bak sebuah perjalanan -- masa kita terlalu singkat untuk meratapi sebuah kepergian, tak lama lagi kita perlu pulang ke sisi Tuhan.

Fokuslah pada apa yang sepatutnya. Jangan hilang fokus hingga kita tak peduli pada hati yang mengasihi.

Kelak suatu hari jika mereka yang pergi itu ingin kembali -- andainya kau masih sudi, terimalah dengan besar hati.

Tapi, andai begitu bernanah hati kau sendiri hingga kau rasa kau bakal lebih menyakiti, tenang sahaja dan katakan pada mereka --

"Sudah jauh kau berkelana, kawan? Maaf aku sudah biasa begini, hidup tanpa kau di sisi. Dan sepertimana dahulu kau pergi, kali ini aku rasa aku pula perlu minta diri. Bukan tak sayang. Bukan tak kisah. Tapi satu. Aku cuma dah penat. Penat dengan orang yang tak pernah belajar menghargai." 

Tak apa, rawat hati kau dulu. Dan ingatlah akhirnya bahawa orang-orang yang bersabar, memaafkan dan melupakan hakikatnya begitu disayangi oleh Yang Esa. 

Maafkanlah -- walau hati kau tak boleh terima semula.

Lupakanlah -- hidup terlalu singkat untuk kau ingat kesakitan yang ada. Bagaimana bahagia bisa menjelma bila yang kau fikir cuma sebuah luka? 

Berjalanlah -- kerna berhenti itu bermakna kau mati. 

Sesungguhnya jalan ini bukan untuk orang yang manja.

Salam cinta. Jom sebarkan bahagia :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .