Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, January 29, 2011

Mari Berdoa



"Ish, kenapa lampu ni." Sahibah yang sedang membuat kerja memandang ke atas. Lampu kalimantang seolah-olah kelam dan berkelip.

Saya yang sedang bersiap untuk bertemu abang juga terpana.

Semua pergerakan seolah-olah terhenti.

Pup! Elektrik terpadam. Lampu kecemasan menyala.

"Astarghfirullah!" Kami terkejut.

Kalut

"ya Allah..macam mana nak pergi kelas ni." Teman sebilik tersayang yang juga sedang bersiap untuk ke kelas meluahkan rasa.

"Macam mana nak turun ni" Saya menyambung. Rumah kami bukanlah terletak di tingkat 1 atau 2 tetapi di tingkat 11! Bagaimana? Bila turun,bagaimana mahu naik pula.

"Kat masjid ada lampu tak?"

"Tak tahulah.."

Telefon saya berdering. Tertera nama abang saya.

"Assalamualaikum abang adi, maybe lewat sikit kot. Ni blackout ni satu kolej."

"Oh, baru je ni blackout. Sampai kawasan perumahan luar."

Astarghfirullah! satu kawasan tiada elektrik. Kami menjadi kalut.

'Kring!!! Kring!!!' Bunyi loceng lif kedengaran. Lama. Kuat.

"Ya Allah!! Ada orang dalam lif."

Ya. Dan mereka terperangkap. Kami menjadi semakin panik. Dada berombak kencang seperti ingin pecah. Timbul kerisauan yang menggunung tinggi. Ramai pelajar yang menjerit. Tidak kurang ada yang menangis.

Loceng masih berbunyi. Panjang dan lama. Dan kemudian bunyi itu berhenti. Ah,sudah.. Bagaimana keadaan mereka yang terperangkap di dalam sana?

Kami bergerak menuju ke lif. Mengetuk-ngetuk sedikit pintu lif. "OK ke?" Kami bertanya. inginkan respon daripada mereka.

"Tolong!!" Ketukan dari dalam lif kedengaran. Tapi bukan di tingkat kami, entah mereka berada di tingkat berapa.

"Sabar! kami tolong!" Sahibah menelefon ustaz dan pihak bertanggungjawab datang tidak berapa lama kemudian.

Syukur semuanya selamat..

Gurauan Itu Bermakna

"Tadi suasana panik sangat..Ada orang jerit-jerit semua." Saya rancak bercerita kepada abang yang datang untuk membetulkan komputer riba.

"Menjerit-jerit?" Abang bertanya dan ketawa.

"Tak ada ke yang doa ke masa tu." Ketawanya masih berbaki.

Saya terdiam. Dalam gurauan itu ada kebenarannya.

Dalam suasana panik tadi, hanya segelintir sahaja pihak yang berdoa kepada Allah. Selebihnya lebih bergantung kepada manusia. Sedangkan, bila difikirkan semua yang berlaku adalah dengan izin dari Yang Maha Esa. Bagaimana jika Allah tidak izinkan agar elektrik dibetulkan? Bagaimana?

Manusia kian alpa... Bergantung sesama manusia tidak ke mana. Bukankah manusia itu kaum yang tidak sempurna? Maka gantunglah pengharapan itu kepada Yang Maha Sempurna!

Berdoalah...

Ingat tidak..Ketika lahir, kita tidak mampu berjalan, tidak mampu bercakap, tidak mampu ketawa.. Tapi kini, kita mampu melakukan segalanya.

Dengan izin siapa?

Bukankah segalanya dengan izin Allah? Hatta, kita mampu bernafas sehingga hari ini pun dengan izin Allah. Maka mengapa begitu sombong untuk mengangkat tangan dan berdoa, sedang Allah sendiri telah berfirman :


Dan Tuhanmu berfirman: "Berdo'alah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina". (Al-Mu'min : 60)


Janganlah kita menjadi hamba yang sombong kepada pencipta kita sendiri.

Siapa kita tanpa Allah?

Dia tidak memerlukan kita, bahkan kita yang amat memerlukanNya!

Wallahu'alam


Read More......

Thursday, January 20, 2011

Eksperimen Hati

Hati hitam dan putih, kamu yang mana? :)

"Ish, gelisahnya.."

"Aduhai..Kenapa hati tak tenteram ni"

Ramai orang yang mengadu hati tidak tenang, tetapi berapa ramai yang mengetahui punca sebenar hati yang tidak tenang?

"Ahhh!! Kenapa aku belajar, susah sangat nak menghafal?"

Mari kita mengimbas kembali ke beberapa puluh,ratus tahun yang dulu.. Imam Ghazali melihat Imam Syafie sebagai seorang insan yang amat cerdik sekali, lantas beliau berpesan, "Wahai Syafie, ilmu itu adalah cahaya dan maksiat adalah kegelapan.."

Ha! Apa maksudnya? Adakah hobi Imam Ghazali mengatakan sesuatu begitu, atau beliau saja-saja mahu melihat Imam Syafie takut atau tidak dengan sergahan beliau? tidak.tidak. Bukan itu. Baik sahabat, dari segi sainsnya, cahaya tidak akan mampu untuk menembusi satu objek legap, ditambah lagi dengan legam (hitam).

Betapa berkiasnya seorang ilmuwan seperti Imam Ghazali dalam menasihati. Ilmu itu adalah cahaya, dan maksiat itu adalah kegelapan, cahaya dan kegelapan tidak mungkin akan bersatu - seperti minyak dan air.

"Adoi, jadi macam mana ni? Hati dah gelisah ni, ilmu pun tak masuk.. Saya dah buat baik dah, dah pergi dengar tazkirah semua tapi kenapa hati tak tenteram?"

Baiklah, jom bersama saya membuat eksperimen! :)


Sebelum buat eksperimen, kena ada hipotesis dahulu kan? Baik baik. Hipotesisnya adalah : Apabila hati yang penuh maksiat, diberi kebaikan sekalipun masih lagi tidak tenteram.

Manusia itu dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, fitrahnya hati manusia itu jernih, putih dan suci. Sekarang, bayangkan bahawa gelas itu adalah hati, dan isi di dalamnya adalah kebaikan/kejahatan yang bersarang dalam relung hati.

Pada awal-awal, sewaktu kita baru sahaja lahir, Hati kita adalah begini :

Hati fitrahnya putih,bersih dan suci..

Selepas itu, kita semakin membesar, melihat dunia dengan mata nafsu, mencuba itu dan ini. Kita seringkali dinasihati, seringkali mendengar peringatan, "Pulanglah..Allah menantimu."

Tapi kita degil, "AH,muda hanya sekali!" Lalu kita berjalan dengan penuh bongkak, tanpa kita sedari kaki itu pun Allah yang beri. Kita melihat peraturan Allah sebagai sesuatu yang melecehkan tanpa kita sedari tiada satu degup pun jantung yang mampu berdengup tanpa izin Allah.

Lantas, hati yang dahulunya putih menjadi hitam :



Suatu hari, Allah Yang Maha Pengasih kasihan melihat kita, lantas dengan penuh rahmat, Dia datangkan hidayah dan peringatanNya - mungkin dalam bentuk kematian,kesakitan atau lintasan baik semulajadi di dalam hati. "Ish, kenapa hati tak tenteram ni... ya Allah, dah berapa lama aku bergelumang dengan dosa."

Hati kita bergetar. Ya, hati yang hitam itu bergetar dengan peringatan Allah. Hati yang hitam itu mahu pulang ke fitrahnya yang suci bersih, ya, hati itu mahu pulang ke bentuk asal, sama seperti kita yang sering mahu pulang ke pangkuan bonda. Kerana apa? Kerana itu fitrahnya. Manusia tidak akan mampu untuk melawan fitrah yang telah Allah tetapkan. Subhanallah... Hebatnya Allah yang mencipta.

Justeru itu, kita pun mula membuat kebaikan. Kita menolong rakan, mendengar tazkirah, tapi dalam masa yang sama, ada lagi kejahilan dahulu yang masih kita lakukan. Iyalah, bukan mudah membuang sesuatu tabiat yang sudah terbiasa kita lakukan.

Lalu, kita pun runsing,mengapa hati masih tidak tenteram?

Baik..Mari lihat gambar di bawah. Air yang jernih itu adalah kebaikan, sebanyak mana pun kita menuang air itu ke dalam gelas, gelas itu masih lagi mempunyai air yang keruh. Lihat :



"AHhh... Jadi bagaimana lagi?!"

Beginilah, jika kita minum kopi, gelas pun kotor. Adakah untuk minum air soya pula selepas itu, kita tuang saja air soya ke dalam bekas yang kotor tadi?

Tidak? Jadi apa yang kita lakukan?

Basuh? Ya. Betul.

Maka,hati yang hitam dengan kemaksiatan tadi, kita bersihkan dengan membuang segala kemaksiatan yang bersarang dalam hati.

Dahulu selalu tengking-tengking mak, buangkan maksiat itu.
Dahulu selalu marah-marah, buangkan maksiat itu.
Dahulu selalu bergaduh, buangkan maksiat itu.

Nah, buang semuanya :

Buang segala kemaksiatan dalam hati

Lalu, kita isi kembali dengan kebaikan dan ilmu-ilmu Allah, hati pun akan menjadi putih seperti sediakala, ilmu pun akan mudah meresap, hati pun akan menjadi damai,tenang dan tenteram.

Tadaa! Hati jadi sama seperti dahulu :)

Maka kita pun mampu berjalan dengan damai,melihat segalanya dari Allah dan menjalankan tugas khalifah yang sudah lama terkubur.

Jadi, adakah hipotesis diterima?

Sahabat cuba dulu, kemudian jawablah sendiri dengan mata hati :)

Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati. (Hadis riwayat Bukhari)


Wallahu'alam

Read More......

Saturday, January 15, 2011

Mari Bersyukur


"AAAA...Kick, kick." Salahudin dan Toriq berlari-lari, mengejar bola yang ada. Terkadang terjatuh, mereka bangun semula. Tersengih dan sambung berlari.

Oh. Terlupa pula, Salahudian dan Toriq adalah dua orang anak kecil daripada seorang sahibah yang berasal dari South Africa.. Comel dan pintar. Tidak dilupakan juga aktif sangat.

"Now you know why I am so tired." Mumtaz, umi mereka berjenaka. Saya dan kawan-kawan yang lain tergelak.

"So how did you do your assignment?" Saya bertanya, terkadang terbit rasa kagum pada diri wanita itu. Hendak menguruskan rumahtangga, bersama dua orang anak yang aktif bukanlah satu perkara mudah. Saya sendiri tidak tergambar bagaimana dia menguruskan hal pelajaran pula. Mumtaz dan suaminya adalah pelajar cemerlang di tempat saya belajar.

Tambahan lagi, disebabkan kepandaian mereka, mereka membuka kelas pula. Suami Mumtaz mengajar Bahasa Inggeris dan Mumtaz mengajar Bahasa Arab. Sekarang cuba bayangkan, bagaimana Mumtaz mengajar,menguruskan suami, rumahtangga, anak-anak dan menyiapkan assignment yang diberi.

Bagaimana?

"Alhamdulillah..Allah helps me." Mumtaz menjawab tenang, sekaligus merentap hati saya. Habis luluh semua keegoan yang merasa semua kerja itu terjadi lantaran diri sendiri,sedangkan Allah yang membantu dalam setiap pergerakan tubuh badan saya.

Pergantungan



"Ah!! Tension! Stres! Banyakkkk kerja!" Ramai pelajar yang merungut, sehingga stres memikirkan segala kerja. Terkadang sehingga tidak tidur malam.

"Rata-rata yang mendapat rawatan kaunseling adalah dari kalangan pelajar IPT." Bicara seorang kaunselor bertauliah.

Kenapa ya?

Baik, mari kita lihat situasi di sekeliling kita... Di institusi tempat kita belajar, berapa ramai yang benar-benar belajar, bukan hanya sekadar untuk mendapatkan sekeping sijil? Berapa ramai yang dirinya benar-benar diserahkan kepada Allah? Berapa ramai yang ke kelas hanya kerana Allah?

"Ish.. Rendahnya markah aku ni. Pensyarah ni memang kedekut bagi markah. Soalan pun susah." Seorang pelajar merungut sebaik sahaja melihat kertas peperiksaan yang tercatat markah yang rendah.

Lantas,jari menuding ke sana ke mari. Menyalahkan orang itu dan ini, sehingga lahir pula rasa sakit hati dan tidak bersyukur.

Sahabat, marilah jadi insan begini. Jika markah itu rendah, mari tudingkan jari pada diri sendiri. Kita yang tak belajar, kita yang tidak menyerahkan sepenuh penghargaan kepada Allah.

"Ish Mastura! Saya dah belajar betul-betul. Struggle habis, tak tidur malam dah niiii!"

Baik baik. Kamu dah belajar sungguh-sungguh. Tapi, cukup tak doa kamu kepada Allah? Solat fardhu terjagakah di awal waktu? Solat sunat Dhuha dan sunat-sunat lain, sudahkah dibuat dengan keikhlasan hati?

Ingatlah duhai sahabat...

Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemanapun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah : 115)


Kita tak pernah akan lepas daripada dugaan dan ujian, maka setelah berusaha, serahkan segalanya pada Allah, hakikatnya Dia yang memberi keputusan,baik atau tidak. Hanya pada Dia seharusnya manusia berserah diri, bukan kepada pensyarah, bukan kepada sahabat. Hanya Dia. Allah.

Semuanya Dari Allah

"Allah..." Tangan saya menggeletar sewaktu ingin memeriksa keputusan peperiksaan semester lepas.

Menggeletar kerana saya seolah-olah pasti bahawa keputusan saya tidak akan sebagus mana.

"Bismillah..." Sebelah mata ditutup, tidak sanggup melihat keputusan yang bakal terpampang di hadapan mata. Dalam beberapa saat sahaja, laman web portal pelajar mempamerkan keputusan.

Entah kenapa, mata saya terus mencari jumlah pointer.

"Alhamdulillah..." Air mata saya bergenang. Tangan saya masih menggeletar, menggeletar bukan lagi kerana takut tetapi kerana keputusan yang terpampang lebih daripada apa yang saya bayangkan.

Maka sahabat.. Adakah keputusan yang saya terima itu adalah hasil usaha saya sendiri?

Tidak. Mana mungkin saya mampu belajar jika Allah tidak mengizinkannya. Mana mungkin saya mampu menghafal jika Allah tidak membenarkannya. Mana mungkin saya bisa menyiapkan segala tugasan jika Allah tidak memudahkannya.

Justeru, jangan pernah walau sekali merasakan apa yang kita ada pada hari ini adalah hasil usaha kita sendiri. Sekali Allah tidak meredhainya,maka hancurlah semua...

Kita hanyalah memberi komitmen terhadap pelajaran. Siapkan tugasan di awal waktu, datang kelas, dan membuat ulangkaji..Namun di pengakhirannya Allah yang menentukan segalanya.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)


Mari Menjadi Insan Yang Bersyukur



"Salahudin!!" Toriq berteriak, memanggil abangnya.

Salahudin bersedia untuk menerima bola daripada Toriq. "Cepatlah.." Petah Salahudin bercakap Melayu.

"Cepat bagi kat kakak." Saya melayani karenah si comel berdua itu.

Dalam hati, saya mengagumi satu makhluk ciptaan Allah. Kak Mumtaz.. Betapa dia sentiasa bersyukur dan kerana kesyukurannya itu Allah beri kelapangan hati dan rezeki yang melimpah ruah.

"Your son is very cute" Saya berkata.

"MasyaAllah, Alhamdulillah."

"They are very clever."

"MasyaAllah, Alhamdulillah.." Ayat yang sama meniti dari bibir kak Mumtaz. Alhamdulillah, Alhamdulillah..Alhamdulillah.

Sahabat, mari jadi seorang yang bersyukur. Kelak, rezeki akan datang tanpa disangka-sangka..

Wallahu'alam.




Read More......

Mengapa Jiwa Lemah?

Assalamualaikum sahabat!

Moga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera. Lihatlah, betapa banyak nikmat yang Allah beri untuk kita hari ini. Kita masih dapat bernafas,menyedut oksigen dengan percuma.Kita mampu makan, kita mampu melihat malah kita mampu membaca artikel ini pada saat ini.

Terlalu banyak perkara yang jika kita benar-benar lihat dengan mata hati, kita akan merasa Allah itu amat baik, Allah tidak pernah walau sekali berniat untuk menzalimi kita,bahkan kita yang menzalimi diri sendiri dengan mengingkari peraturan yang Allah beri.

Sahabat..Tidakkah kita lihat Islam semakin ditindas? Tidakkah kita melihat, amat payah berjumpa dengan insan yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam? Tidakkah kita melihat, Islam dilihat sebagai jelek dan menyusahkan. Malah dianggap sebagai pengganas.

Mengapa? Adakah badan kita lemah?

Tidak. Tidak..bukan itu jawapannya sahabat. Jika badan kita lemah, maka tidak akan ada orang Islam yang berlegar-legar di kelab-kelab malam, tidak akan ada orang Islam yang berjudi di tengah pekat malam.

Tidak sahabat, badan orang Islam tidak lemah.. Tetapi jiwa mereka yang kian membisu, kian lemah diasak dunia. Mengapa sahabat? Mengapa? Tolonglah saya menjawab persoalan ini...

Hm, saya berjalan-jalan mencari blog-blog bermanfaat untuk pengisian hati,tiba-tiba Allah izin, terjumpa dengan satu blog, yang ada gambar comel-comel tentang hakikat orang Islam sekarang.

Mari kita lihat, dan jawablah..

Kenapa jiwa orang Islam semakin lemah,sehingga ditindas dengan teruk sekali??











Read More......

Thursday, January 13, 2011

Cinta Itu Baik dan Buruk.


"Mas, ada dengar orang nangis tak?" Sahibah bertanya sebaik sahaja kaki saya menjejak ke dalam rumah.

"Er, a ah lah. Macam ada."

"Cuba dengar betul-betul."

Suara esakan itu semakin kuat. Beserta dengan selingan suara bernada marah.

Oh, apakah yang berlaku?

Meninjau

"Jom,pergi tengok." Saya dan 3 lagi sahibah bergerak, mencari arah di mana punca suara itu.

Ah, semakin kuat menghala ke tangga.

Kami membuka pintu keselamatan itu berhati-hati, tanpa ada sebarang bunyi. Kemudian berpura-pura ingin melalui tangga untuk ke tingkat seterusnya.

Pelajar yang sedang menangis itu tidak menghiraukan kami.

"Er, Assalamualaikum dik, ni Parcel berapa ye?" Saya mencuba bertanya.

Pelajar perempuan itu berpaling, menampakkan matanya yang sembam. "7" Jawabnya.

Kami pun beredar. "Aduh, macam mana ni, takkan nak biar je.."

"Jomlah tanya." Sahibah memberi pandangan. Kami berpatah balik.

"Assalamualaikum." salam diberi.

"Waalaikumsalam."

"Adik..kenapa ni?" Soalan yang kami beri, dibalas dengan esak tangis yang semakin kuat. Kami memeluk erat dan menggosok-gosok belakang badan pelajar tersebut.

"Kenapa ni dik..."

Dia menggeleng.

"Takpe,takpe..sabar ye..." Esakannya yang semakin kuat menyayat hati kami. Oh, untuk apa air mata itu dik...

"Macam mana...." Dia mula membuka bicara. Kami masih lagi memeluk dan menggosok-gosok belakangnya, mudah-mudahan itu mampu memberi kekuatan buat dirinya.

Esakannya bersambung. Satu nafas ditarik. "Macam mana nak lupakan orang yang kita sayang, dia selalu sakitkan hati saya, saya dah taknak lagi..tapi macam mana....."

Esakannya kian kuat. Hati-hati kami seolah-olah bersatu dalam kesebakan.

ya Allah, apakah layak air matanya tumpah buat seorang lelaki yang tidak tahu menghargai, untuk seorang lelaki yang entah pada siapa hati diberi, seorang lelaki yang dirinya mungkin tidak diabdi kepada Ilahi.

Adikku....

Kami bertambah sebak melihat esak tangis pelajar tadi.. Kami mengajaknya ke rumah untuk menenangkan dirinya dan untuk menghindari syaitan dari datang merasuk.

Cinta

Cinta itu indah jika cinta itu kepada Ilahi.
Cinta itu musnah jika cinta itu mengabaikan diri.

Cinta itu mampu membuatkan insan lemah menjadi kuat, mampu juga menjadikan insan kuat menjadi lemah.

Apakakah Islam melarang cinta?

Tidak. Bahkan Islam adalah Agama yang penuh cinta.

Bukankah Islam mengajar kita agar mencintai Allah dan Rasulnya?
Juga mencintai sahabat yang ada,
Mencintai ibu bapa juga jiran tetangga.

Dan ketahuilah olehmu bahwa di kalanganmu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti kemauanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan, tetapi Allah menjadikan kamu 'cinta' kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus, (Al-Hujurat : 7)


Lalu di manakah sudut yang mengatakan Islam melarang cinta?

Tapi ingat!

Islam tidak menyuruh agar cinta itu memakan diri. Allah tahu, manusia ini, apabila bertemu cinta mampu melupakan segala-galanya. Lalu, Allah menyuruh agar cinta itu didorongkan kepada cinta yang hak.

Lihat sahaja, berapa ramai manusia yang mampu menjadi tidak waras kerana cinta.

Bunuh diri.
Simbah asid.
Bunuh orang.

Di manakah akal kurniaan Ilahi? Akal yang diselaputi cinta dusta telah memusnahkan segalanya. Yang baik terlihat buruk, yang buruk terlihat baik.

Tanya pada diri, layakkah diri untuk menerima cinta itu andai diri sendiri belum dicintai sepenuhnya?

Layakkah diri, untuk menerima cinta itu andai Allah tidak lagi dicintai sepenuh hati?

Wahai manusia! Di mana dia hati yang suci pemberiaan Ilahi? Di mana dia akal yang bernas pemberian Ilahi? Apakah segalanya sudah diselaputi cinta? Cinta apakah yang sedang mekar di situ?

Islam tidak pernah melarang cinta, jika cinta itu membawa kebaikan.
Cinta yang Islam larang adalah cinta yang membawa kerosakan.

Allah beri hati, maka menilailah.
Allah beri akal, maka berfikirlah.

Mari Bercinta

"Saya sayang kamu kerana Allah."

Pernah tidak kita mengucapkannya kepada sahabat kita? Saya akui, terkadang saya juga terlupa untuk mengucapkannya.

Tapi, saya rasa semuanya belum terlambat. Ayuh sahabat, bercintalah dengan sahabat-sahabat kamu. Mereka itu kan, pembantu kamu melebarkan dakwah.

Ayuh sahabat, bercintalah dengan pencipta kamu, Allah itu kan penguat kamu tatkala lemah.

Ayuh sahabat, bercintalah dengan kedua ibu bapa kamu, mereka itu kan yang paling mengenali kamu di dunia ini.

Ayuh sahabat, ayuh bercinta yang memberi kebaikan.

Mari kita tinggalkan kisah silam jauh di pelusuk dunia..

Lalu kita ambil buku baru dengan penuh cinta.

Cintakan Allah itu yang abadi...

Allah Tahu Yang Terbaik

"Sabarlah..Allah mahu beri yang terbaik." saya mengucapkan kalam itu, entah. Apakah ia mampu menenangkan adik tadi atau tidak. Hakikatnya saya sendiri buntu mahu berkata apa.

"Sabarlah..."

Ya. Bersabarlah, andai Allah turunkan ujian, andai sekarang Allah beri kamu sakit hati, atau Allah tidak beri apa yang kamu minta.

Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa (Al-Furqan : 74)


Hakikatnya, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tapi dia tahu, lalu disakitkannya kamu sekarang, agar nanti kamu tidak sakit lagi di masa depan.

Terus kuat ya sahabat!

Saya sayang kamu kerana Allah.. :)

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, January 12, 2011

Alhamdulillah..



Alhamdulillah... Tepat hari ini,sempena tahun baru, azam baru. Oh, azam beru tahun ni saya nak tulis menggunakan 'saya' lah. lebih rapat rasanya.

Ok, berbalik pada topik tadi, hari ini telah terhasillah (ke tercipta ye?) satu laman sesawang khas untuk blog ni.

Moga ia memudahkan perbincangan kita, kita santai-santai sahaja ok.

Yang saya tak tahu, harap adalah kawan-kawan yang memberitahu..insyaAllah. Moga semuanya mendapat redha Allah.

Jom jom jom, kita sama-sama meriahkan diskusi ilmiah di masturamohdyusuf.blogspot.com versi facebook. :)

oh oh ya. saya ada satu cerita yang berlegar dalam kepala, masih belum diterjemah dalam bentuk tulisan. harap kawan-kawan doakan saya ye..

Jumpa di sanaa :)

Read More......

Saturday, January 8, 2011

Amanahkah Kita?


"Mastura, dah siap?" Soalan daripada pensyarah itu menggigit hati.

Ana menggeleng. Kepala masih tegak menghadap komputer di makmal, sementara fikiran mencongak-congak, cuba mengingati segala coding yang pernah dipelajari.

Allah... Ana buntu.

Semuanya seolah-olah hilang dari pandangan, lenyap terus entah ke mana...

Berserah

"Mastura, dah siap?" Soalan itu menerjah gegendang telinga ana lagi. Ana menjadi semakin sedih, dengan izin Allah, selalunya kelas programming, ana seakan mudah membina sesuatu program.

Dan dengan izin Allah, kali ini, kuiz kedua ana tidak ingat apa-apa. Ya, apa-apa! Malah ana tidak tahu bagaimana harus membina program yang diarah.

Air mata sudah bergenang, hati bergetar mengalun selawat, berdoa agar Allah permudahkan segalanya, tapi Allah menguji lagi.....

Pertahan Pendirian

Dalam dunia ni, benda yang paling berat, imam Ghazali kata adalah amanah. Kenapa? Sebab di dunia ni kita tak nampak balasan yang Allah beri bagi orang yang tak amanah. Contohnya di IPT, kita meniru, itu sudah melanggar amanah. Mahukah nanti kita beroleh sijil yang jauh daripada keberkatan Allah? Dengan sijil itu kita mahu bekerja, mahu beri makan kepada keluarga..Mahukah semua itu didapati daripada hasil yang tidak berkat?


Ana pernah berkata ayat di atas, dan sungguh Allah sedang menguji ana dengan ayat ana itu. Tatkala rata-rata pelajar sekeliling ana sedang khusyuk meniru, ana diasak satu perasaan sedih dan cemas. Sedih kerana sahabat tidak berpegang pada amanah dan cemas memikirkan kemungkinan ana beroleh kosong untuk kuiz kali ini.

Peluang untuk meniru benar-benar terbuka di depan mata.

Ana menahan nafsu yang bergelora.

"Hm, tak apalah... Berserah je." Ana memujuk hati yang dukacita. Tangan masih bergerak-gerak meneliti setiap coding yang telah ditaip.

Error.

Program tidak berfungsi. Ah... Dugaan apakah ini?

"Mas, yang tu salah." Seorang teman berbisik.

"Tolong, jangan ajar." Ana cuba melawan nafsu yang semakin membuak. Ini kuiz, dan pensyarah sudah mengingatkan bahawa tidak boleh meniru, malah diperkuatkan lagi dengan kisah perjumpaan nanti di hari akhirat.

Ana masih begitu...sehinggalah rata-rata pelajar sudah bangun meninggalkan makmal.

"Sir..saya tak boleh buat." Air mata sudah bergenang saat ana menuturkan ayat ini. Jatuh setitik membasahi pipi, cepat-cepat ana kesat. Tidak, ana harus kuat!

"Awak tak boleh buat?" Pensyarah berjalan ke arah ana. Dan tanpa disangka-sangka, dia mengajar ana satu-persatu sehinggalah program siap.

oh Allah.. Dalam kepahitan itu, rupanya Allah mahu beri keberkatan.

"Saya bagi markah 6/10, boleh?"

"Bagi jelah sir, berapa-berapa pun, saya redha.."

Ana menahan sebak. Benarlah, jika kita meninggalkan sesuatu yang haram kerana Allah, Allah akan memberinya semula dengan cara yang halal.

Dalam kepahitan itu... Rupanya ada nikmat dan keberkatan.

Skema

Ini bukan soal skema atau tidak.

Ini adalah soal amanah.

Seringkali amanah itu dianggap enteng. Amanah sering dipandang dengan sebelah mata, tanpa disedari... Jika kita melanggar amanah, segalanya akan menjadi kucar-kacir.

Dunia semakin hancur.
Negara tidak tenteram.
Ramai orang tertindas.
Yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya.

Teringat ana pada seorang pemuda yang berwibawa. Ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz, rata-rata rakyatnya hidup mewah, bahkan dikatakan jika serigala diletakkan dalam satu kawasan bersama kambing biri-biri pun tidak akan ada perbalahan.

Malah, wang zakat tidak tahu mahu diagihkan kepada siapa. Lalu Umar pun mengumpulkan rakyatnya..

"Siapa yang mahu menikah, tetapi tidak cukup wang, katakanlah..." Dan wang zakat yang ada, diberi kepada mereka.

Indah bukan hidup begitu?

Tapi apakah rahsianya?

Semua itu terletak pada satu perkara yang kita tidak sedari kepentingannya. -AMANAH.

Pengakhirannya.. Allah beri manusia hati untuk mentafsir, Allah beri manusia akal untuk berfikir. Maka berfikirlah sebagai seorang mukmin, nescaya akan tenteramlah segalanya.

Amanah, benar ia tampak ringan di dunia, namun kelak, amat berat di akhirat sana!

Wallahu'alam


Read More......

Wednesday, January 5, 2011

Mohon Cadangan

Bagilah cadangan sambil tersenyum ye :)

Ana semakin disibukkan dengan dunia.

Terkadang blog terdampar sepi.

Sepi tiada bicara.

Ana terfikir sesuatu... Ana rasa nak buat satu akaun di facebook, khas untuk blog ini. Maknanya, bolehlah ana dan para pembaca berinteraksi dengan lebih kerap, dan boleh juga ana post status-status muhasabah yang pendek-pendek di facebook nanti.

Ada apa-apa cadangan?

Read More......

Sunday, January 2, 2011

XPDC Dakwah Malam Tahun Baru


"Siapa nak join XPDC dakwah, boleh bagi nama, no matrik dan no telefon."

Seronok sungguh ana dan sahibah mendengar perkhabaran tersebut. Tidak sabar rasanya mahu mengelilingi sekitar KLCC, melihat realiti masyarakat kini. Sungguh, selama ini ana hanya dihadapkan dengan program-program tarbiyah diri dan ana merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk ana 'terjun' ke dalam masyarakat.

Dalam Gembira, Debar Pasti Terasa

"Rasa nervous pula lah Mas" Sahibah bersuara, sambil tangan ligat memasukkan pakaian ke dalam beg.

"A ah.. berdebar-debarlah juga ni" Ana menyuarakan isi hati. Berhadapan dengan masyarakat luar sungguh bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi, ana yang masih kurang ilmu di dada ini mahu mendekati mereka dengan penuh kasih sayang.

Ah, bagaimana?

"insyaAllah kak..insyaAllah.."

Pengembaraan Bermula

Bertolak dari KTM bangi, dan tiba di Masjid As-Syakirin KLCC sekitar jam 7 mlm. Oh, bahagia rasanya apabila Masjid As-Syakirin turut meraikan sambutan tahun baru dengan cara yang bertepatan dengan syarak.

Seolah-olah masih terngiang-ngiang suara Ustaz Zulqarnain..

"Wanita tidak boleh disolekkan oleh lelaki,walaupun lelaki yang lembut."

Satu perkara yang seringkali dipandang enteng oleh para wanita.

"Ala, takpe ustaz..diorang tu lembut, tak boleh buat apa-apa.

Tapi harus diingat bahawa mereka itu tetap seorang lelaki dan batasan aurat antara wanita dengan lelaki bukan mahram tidak pernah berubah.

Selepas maghrib, skuad sukarelawan dipanggil untuk taklimat pertama. Taklimat yang ringkas, dan disambung ke taklimat kedua, sekitar jam 10.30 malam.

"Kalau nak tegur, jangan main terjah je, kalau kita terjah diorang, diorang akan terjah la kita balik. Siapa yang suak kena tegur kasar-kasar? Jumpa mereka, salam, senyum, kalau boleh peluk." Ketua program memulakan kalam.

"Kamu mungkin akan berhadapan dengan mad'u yang marah-marah, kamu juga mungkin berhadapan dengan mad'u yang kuat bau araknya..Tapi kamu hadapilah dengan kasih sayang."

Saat itu dada ana berombak kencang. Terasa seperti mahu pecah. Layakkah ana menggalas amanah ini? Bagaimana untuk ana berhadapan dengan mereka nanti?

Kumpulan-kumpulan dibahagikan, perbincangan strategi pun bermula.

'Pom!Pom!'

Kami baru sahaja bangun dari duduk dan berbincang, ledakan bunga api telah pun bermula. Deras. Bunyinya seperti bom di medan perang.

"Doa, doa." Ketua memberi arahan. Kami pun berdoa diiringi bunyi mercun yang kian membingit.

Operasi Bermula

Kelam malam kami redahi.

Terkadang hati berdarah melihat orang Islam yang kian lupa diri.

Ada yang memakai skarf yang dihiasi tanduk syaitan dengan bangganya.

Kami berjalan dan berjalan..

"WOOOO!!" Terdengar satu jeritan dari satu arah.

Kami menoleh, sekumpulan lelaki sedang berpesta.

"Nak pergi ke tak ni.." Seorang muslimin kumpulan ana bersuara.

"Pergilah.." Sahabatnya memberi galakan.

Kami pun bergerak dan ingin menuju mereka. "Muslimat, tunggu sini." Ketua kumpulan memberi arahan, mungkin bimbang dengan keselamatan muslimat jika berada di kawasan lelaki-lelaki tersebut.

Kami menunggu... Sehinggalah seorang muslimin keluar, "Dua orang muslimat boleh masuk, kat dalam tu ada seorang muslimat, pergi dekati dia."

Ana dan seorang sahibah tidak melepaskan peluang ini. Kami melangkah masuk.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam..."

"Nama apa ni?" Ana memulakan pertanyaan.

"a******"

"Owh..belajar kat mana?" Sahibah pula bertanya.

"Dekat...****" Dia menutup separuh wajahnya dengan pamplet yang kami beri.

"Aish, janganlah malu... kami saja-saja je ni jalan-jalan.. takde apelah! Ni ha ada gula-gula dengan air, ambillah.." Suasana mula dilenturkan. Selepas beberapa perbualan, kami meminta diri. Gadis tadi, baru berusia 19 tahun, dan berada dalam sekelompok lelaki yang membahayakan. Sejenak, hati ana seolah-olah berdarah.. Di mana ibu bapa gadis itu?

Apakah gadis itu seolah-olah tidak ada masa hadapan untuk dilihat?

Kaki melangkah lagi... Bersedia berhadapan dengan dugaan lain.

Kami Muka Je Jahat, Hati Baik!"

"Assalamualaikum..." Kami menyapa sekumpulan lelaki yang sedang melepak.

"Waalaikumsalam. " Mereka menyahut, sambil tangan meyambut pamplet yang kami beri.

"Oh akak..Macamni ke pakaian perempuan? Kena tutup kaki?" Seorang daripada mereka bertanya. Ana tersenyum.

"Umur berapa ni?"

"15 kak"

"Oh..macam mana PMR?"

"A hilang!"

"Takpe..takpe.. belajar lagi, SPM kena dapat semua A tau!"

"Akak!"

"Ya" kami menyahut.

"Ni saya ni, muka jahat kan kak?"

"Ish mana ada."

"Ya..tapi hati saya ni baik!"

Kami terpempam. Oh adik-adikku... Tidak kisahkah ibu bapamu padamu? Atau dikau sedang leka dihanyut arus duniawi...

Selepas beberapa ketika, kami meminta diri, meninggalkan mereka dalam jagaan Allah. Hati kian berdarah..Melihat saudara seagama yang kian jauh dari Allah.

Pulanglah..

"Mas, tengok tu." Sahibah ana menunjuk ke satu arah.

Seorang bapa, sedang memasukkan arak yang tidak habis dijual ke dalam kereta, bersamanya adalah 2 orang kanak-kanak yang berumur sekitar 10-12 tahun.

Bapa itu orang Islam. Anak-anak itu orang Islam.

Oh... gawatnya masyarakat!

Wahai da'ie..Di mana kamu sekarang? Apakah sedang enak dengan ibadatmu, sehingga dikau terlupa, di luar sana..ada banyak insan memerlukan.

Pengembaraan Tamat

Jam 2.30 pagi, kami pulang ke Masjid As-Syakirin, menunggu Qiamullail yang akan diadakan pada jam 3 pagi.

Meski mereka semua kami tinggalkan di luar sana, namun hati tetap teringat pada wajah-wajah mulus itu. Ah, apakah kita kan bertemu lagi di syurga nan abadi?

Atau apakah nanti mereka akan mendakwa kami yang tidak mahu memperingati,malah leka dengan diri sendiri?

Wahai saudaraku... wahai para da'ie!

Ingatlah, di luar sana masih ada tangan-tangan yang mengharap agar dikau menyambutnya dan membawa masuk ke bahtera penyelamat. Mereka adalah saudara kita. Maka pandanglah mereka dengan penuh kasih.

Sungguh, jika mahu dicatatkan semua peristiwa yang berlaku sepanjang xpdc, ana tidak tahu bila kan bertemu penghujungnya.

Bangkitlah da'ie!

Mereka menunggumu.

Wallahu'alam.




Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .