Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, January 8, 2011

Amanahkah Kita?


"Mastura, dah siap?" Soalan daripada pensyarah itu menggigit hati.

Ana menggeleng. Kepala masih tegak menghadap komputer di makmal, sementara fikiran mencongak-congak, cuba mengingati segala coding yang pernah dipelajari.

Allah... Ana buntu.

Semuanya seolah-olah hilang dari pandangan, lenyap terus entah ke mana...

Berserah

"Mastura, dah siap?" Soalan itu menerjah gegendang telinga ana lagi. Ana menjadi semakin sedih, dengan izin Allah, selalunya kelas programming, ana seakan mudah membina sesuatu program.

Dan dengan izin Allah, kali ini, kuiz kedua ana tidak ingat apa-apa. Ya, apa-apa! Malah ana tidak tahu bagaimana harus membina program yang diarah.

Air mata sudah bergenang, hati bergetar mengalun selawat, berdoa agar Allah permudahkan segalanya, tapi Allah menguji lagi.....

Pertahan Pendirian

Dalam dunia ni, benda yang paling berat, imam Ghazali kata adalah amanah. Kenapa? Sebab di dunia ni kita tak nampak balasan yang Allah beri bagi orang yang tak amanah. Contohnya di IPT, kita meniru, itu sudah melanggar amanah. Mahukah nanti kita beroleh sijil yang jauh daripada keberkatan Allah? Dengan sijil itu kita mahu bekerja, mahu beri makan kepada keluarga..Mahukah semua itu didapati daripada hasil yang tidak berkat?


Ana pernah berkata ayat di atas, dan sungguh Allah sedang menguji ana dengan ayat ana itu. Tatkala rata-rata pelajar sekeliling ana sedang khusyuk meniru, ana diasak satu perasaan sedih dan cemas. Sedih kerana sahabat tidak berpegang pada amanah dan cemas memikirkan kemungkinan ana beroleh kosong untuk kuiz kali ini.

Peluang untuk meniru benar-benar terbuka di depan mata.

Ana menahan nafsu yang bergelora.

"Hm, tak apalah... Berserah je." Ana memujuk hati yang dukacita. Tangan masih bergerak-gerak meneliti setiap coding yang telah ditaip.

Error.

Program tidak berfungsi. Ah... Dugaan apakah ini?

"Mas, yang tu salah." Seorang teman berbisik.

"Tolong, jangan ajar." Ana cuba melawan nafsu yang semakin membuak. Ini kuiz, dan pensyarah sudah mengingatkan bahawa tidak boleh meniru, malah diperkuatkan lagi dengan kisah perjumpaan nanti di hari akhirat.

Ana masih begitu...sehinggalah rata-rata pelajar sudah bangun meninggalkan makmal.

"Sir..saya tak boleh buat." Air mata sudah bergenang saat ana menuturkan ayat ini. Jatuh setitik membasahi pipi, cepat-cepat ana kesat. Tidak, ana harus kuat!

"Awak tak boleh buat?" Pensyarah berjalan ke arah ana. Dan tanpa disangka-sangka, dia mengajar ana satu-persatu sehinggalah program siap.

oh Allah.. Dalam kepahitan itu, rupanya Allah mahu beri keberkatan.

"Saya bagi markah 6/10, boleh?"

"Bagi jelah sir, berapa-berapa pun, saya redha.."

Ana menahan sebak. Benarlah, jika kita meninggalkan sesuatu yang haram kerana Allah, Allah akan memberinya semula dengan cara yang halal.

Dalam kepahitan itu... Rupanya ada nikmat dan keberkatan.

Skema

Ini bukan soal skema atau tidak.

Ini adalah soal amanah.

Seringkali amanah itu dianggap enteng. Amanah sering dipandang dengan sebelah mata, tanpa disedari... Jika kita melanggar amanah, segalanya akan menjadi kucar-kacir.

Dunia semakin hancur.
Negara tidak tenteram.
Ramai orang tertindas.
Yang miskin semakin miskin, yang kaya semakin kaya.

Teringat ana pada seorang pemuda yang berwibawa. Ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz, rata-rata rakyatnya hidup mewah, bahkan dikatakan jika serigala diletakkan dalam satu kawasan bersama kambing biri-biri pun tidak akan ada perbalahan.

Malah, wang zakat tidak tahu mahu diagihkan kepada siapa. Lalu Umar pun mengumpulkan rakyatnya..

"Siapa yang mahu menikah, tetapi tidak cukup wang, katakanlah..." Dan wang zakat yang ada, diberi kepada mereka.

Indah bukan hidup begitu?

Tapi apakah rahsianya?

Semua itu terletak pada satu perkara yang kita tidak sedari kepentingannya. -AMANAH.

Pengakhirannya.. Allah beri manusia hati untuk mentafsir, Allah beri manusia akal untuk berfikir. Maka berfikirlah sebagai seorang mukmin, nescaya akan tenteramlah segalanya.

Amanah, benar ia tampak ringan di dunia, namun kelak, amat berat di akhirat sana!

Wallahu'alam


No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .