Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, December 31, 2010

Bersabarlah Walau Kesabaran Itu Hampir Tiada


Sabarlah..Allah bersama,
Acapkali pabila dirundung masalah,
Ayat itu yang selalu menerjah gegendang telinga,
Terkadang ingin aku berlari jauh,
Jauh ke hujung dunia,
Namun pantas pula aku tersedar,
Bukankah dahulu aku jua yang menuturkan ayat itu?

Bersabarlah,
Pasti ada hikmahnya,
Tatkala awan mendung berarak,
Dan mentari tak kunjung tiba,
Lantas,
Awan pekat hitam itu memberat,
Mengeluarkan titis-titis hujan yang berderetan,
Kita menangis,
Terkadang tersungkur,
Namun percayalah di hujung sana ada bahagia yang sedang menanti,
Jika kita terus-terusan bersabar.

Ah,
Berkata memang mudah,
Berbuat bagaimana pula?
Seorang da'ie itu pasti akan diuji atas setiap patah kata yang dilafazkan,
Justeru aku terpana,
Satu persatu dugaan itu seolah-olah merenggut senyumku pergi,
Ku pendam perasaan ini,
Hati yang berdarah ku ubati kembali,
Ah, susahnya bersabar ini,
Tatkala senyumku tiada lagi seri,
Sewaktu senyumku bukan lagi seikhlas hati,
Aku terduduk dan menangis,
Allah..ke mana kau bawa hatiku pergi?

Lantas aku merenung jauh ke sudut hati,
Wahai hati, janganlah begini,
Dugaan itu kan Allah yang beri,
Jika mahu menangis, menangislah pada Ilahi,
Jika mahu bercerita, berceritalah pada Rabbi,
Allah itu..Benar-benar merindui suaramu diri,
Merintih..Merayu...
Oh hati!
Pulanglah jangan kau tinggalkan ku lagi.....

Wahai sahabat,
Wahai taulan,
Jangan disangka da'ie itu tiada dugaan,
Jangan disangka semua da'ie berjiwa kental,
Hanya satu yang membezakan,
Hati da'ie itu berhubung terus kepada Tuhan,
Maka sahabat,
Sama-samalah kita menguatkan,
Berganding bahu jadikan amalan,
Agar yang susah menjadi mudah,
Agar yang terhiris tidak lagi terguris,
Agar kesabaran itu tidak semakin menipis...

Mari bersama,
Kita bersabar,
Menelusuri jalan ini bukannya mudah,
Hati akan sakit,
Jiwa menjadi perit,
Hanya sabar pengubat jiwa,
Menemani hati yang kian alpa,
Bahawa Allah itu ada, tidak pernah lupa!
Bersabarlah,Walau Kesabaran Itu Hampir Tiada

Sahabat..Doakan ana...

Wallahu'alam

Read More......

Monday, December 27, 2010

Ana Sayang.......

Entah, hari ini ana tak mahu tulis panjang-panjang.

Ana cuma merindui seseorang. Teramat rindu.





Walaupun terkadang ana menyakiti mereka, tapi mereka tak pernah marah. Mereka tetap tersenyum menyembunyikan duka.

Walau terkadang mereka membiarkan ana menangis sendiri, namun di penghujungnya mereka jua yang membahagiakan ana kembali.

Allah... besarnya nikmat yang Engkau beri, jarang benar aku syukuri..

Allah..banyaknya nikmat yang kau hulur, jarang benar aku tersedar.

Ana tak mampu balas jasa kedua ibu bapa ana. Takkan mampu. Satu yang ana harapkan, jika adalah pahala dari penulisan ana ini... Moga pahala itu Allah salurkan kepada kedua ibu bapa ana...Moga pahala itu menjadi pembela mereka di akhirat sana.

Ameen ya rabb...

Ketahuilah mak..abah..wawa sayang kalian sangat-sangat kerana Allah.

Ana sayang mereka. Kalian pula bagaimana? :)

Read More......

Friday, December 24, 2010

Buat Adik-Adik Lepasan PMR


Adik-adikku...

Akak tahu, semalam adik-adik semua baru dapat keputusan PMR,ada yang gembira.

Tidak kurang ada yang berduka.

Tapi ketahuilah adik-adikku..

Bagi yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah akak ucapkan. Namun jangan dikau lupa untuk membelek kembali jauh ke sudut hati. Apakah nikmat yang Allah beri itu Allah beri dalam keadaan redha atau dalam keadaan murka?

Sudahkah dikau melakukan sujud syukur atas kurniaan Allah? Sudahkah dikau meminta ampun lantaran betapa dosamu banyak menggunung tapi Allah tidak pernah putus mahu memberikan nikmat.

Bagi adik-adik yang keputusannya kurang cemerlang, janganlah bersedih. Mungkin itu caranya Allah mentarbiyah hati. Allah tahu apa yang terbaik buatmu, sedang kita, manusia biasa yang tidak tahu apa maksud tersirat yang Allah beri... Jangan melihat semua peluang sudah tertutup. Hakikatnya apabila satu pintu tertutup, banyak lagi pintu yang boleh dibuka cuma kadangkala kita terlepas pandang kerana terlalu lama menghadap pintu yang tertutup itu. Berjalanlah dan teruslah melangkah dan yakinlah bahawa Allah tidak pernah membiarkan dirimu sendirian!

Lakukanlah sujud syukur, kerana pada ketika ini dikau masih mampu menyedut udara milik Allah... bersyukurlah kerana Allah ingin mentarbiyahmu dengan cara ini. Bukankah sahabat nabi menangis tatkala ujian tidak diturunkan ke atasnya kerana takut Allah telah melupakannya? Maka bersyukurlah kerana Allah masih mengingatimu. Jangan lupa juga untuk bertaubat kerana mungkin lantaran dosa yang dikau lakukan, Allah ingin menghapuskannya dengan cara ini.

Buat semua adik-adikku....

Ingatlah, hakikatnya yang menentukan kita lulus cemerlang atau tidak adalah lulus cemerlang pada piawaian Allah. Adakah kita mengambil buku amalan dengan tangan kanan atau kiri? Atau apakah kita dapat melihat wajah Allah? Atau mahukah Rasululullah mahu melihat kita?

Apakah akak bermaksud menyuruh adik-adik melupakan dunia? Tidak. Jika Allah mahu manusia melupakan dunia, maka Allah tidak akan menurunkan manusia ke bumi. Cuma kita ini orang Islam, kita harus sedar apa yang perlu dilakukan di dunia ini... Jangan terleka dengan dunia, jangan dipergunakan dunia tapi pergunakanlah dunia sebagai tapak semaian pahala kita yang akan dituai diakhirat sana.

Ketahuilah adik-adikku...

Jika dikau melihat dunia dari jendela akhirat, dikau pasti sedar bahawa tiada istilah main-main bagi orang mukmin kerana apabila mereka belajar, mereka belajar bersungguh-sungguh, apabila mereka bekerja, mereka bekerja bersungguh-sungguh dan apabila mereka bermain, mereka bermain bersungguh-sungguh.

Justeru, orang Islam yang dikau lihat sekarang ini banyak menjadi fitnah kepada Islam kerana matlamat yang tidak jelas. Pasakkan matlamatmu nan satu iaitu Allah. Jika dikau melihat segala yang dikau lakukan kerana Allah, pasti lapanglah hatimu..... Tuntutlah apa sahaja ilmu kerana Allah semata. Fahmilah, tiada satu ilmu pun di dunia ini yang bergelar ilmu keduniaan. Jika dikau memahami.. Matematik, sains, geografi, walau hakikatnya nampak seperti keduniaan, hakikatnya semua ilmu itu milik Allah, tiada yang berhak melainkan Allah.. Maka tuntutlah dengan rasa kasih dan cinta kerana itu adalah ilmu Allah yang boleh digunakan untuk Agama... Jadilah profesional dalam bidang dan cita-cita masing-masing, moga ia mampu menunjukkan Islam itu indah....

Bangkitlah adik-adikku... Islam sudah semakin tenat. Dikau pelapisnya. Bersungguhlah menjadi orang mukmin, agar nanti Islam kembali gemilang....

Teruskan langkahan kakimu, jangan pernah berhenti.

Allah...iringilah adik-adikku...

Salam sayang,

Kak Mastura.

Read More......

Friday, December 17, 2010

Senyumlah..Bahagia Di Hadapan


Kita ada banyak sebab untuk takbur, tapi Allah beri kita kekurangan agar kita sedar kita manusia tidak sempurna, yang sempurna...yang hebat hanyalah Allah.


Ana mulakan kalam dengan ayat daripada sahibah ana yang amat ana cintai dan kasihi.

Manusia.... punya banyak sebab untuk takbur. Lihat sahaja betapa banyak nikmat yang telah Allah beri dengan percuma, bertimbun-timbun sehingga kita tidak sedar, bahawa semua itu datangnya dari Allah.

Tapi...

Tapi Allah juga beri musibah, beri dugaan dan ujian, terkadang satu nikmatnya ditarik. Kita cepat pula melatah, mengutuk dan menyalahkan Allah, sedangkan Allah mahu kita sedar bahawa kita tidak sempurna, Allah mahu kita kembali mengingati diri yang kian alpa ditelan arus duniawi.

Tapi...Kita masih lagi tidak sedar bahawa Allah amat sayangkan kita.. Dengan penuh kasih sayang, Allah berfirman dalam sebuah hadith Qudsi ;

Jika hambaKu datang dalam keadaan berjalan padaKu, Aku akan datang dalam keadaan berlari kepadanya.


Allah... lekanya hambaMu ini....

Pandang Segalanya Daripada Allah

Ada seorang pelajar perempuan, yang seumur hidupnya, dalam peperiksaan besarnya tidak pernah walau sekali memperoleh kurang daripada B dalam senarai subjek yang diambil. Sejak sekolah rendah, dia selalu mendapat tempat pertama di dalam kelas.

Namun, ketentuan Allah penentu segalanya... ketika SPM, daripada 11 subjek, dia memperoleh 1C untuk subjek Kimia. Dia menangis sungguh-sungguh kerana tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini,Selama ini dia berada di atas, namun pada saat itu dia jatuh terhempas ke bumi. Betapa hancurnya hati melihat wajah ibu dan ayah yang seolah-olah dihancurkan hatinya....Dua hari dia tidak makan dan kemurungan sudah cukup menggambarkan hibanya hati...

Tapi dalam kesamaran jiwa itu,ada satu ayat menyedarkannya...

"Kenapa...Kenapa awak pandang 1 c tu sedangkan subjek di hadapannya berderet Allah beri yang terbaik."

Lantas dia tersedar, dalam kertas keputusannya sendiri, Allah telah tunjukkan, hanya 1 keburukan, yang lain semua adalah nikmat kasih sayang Allah.

Ketahuilah...pelajar itu adalah ana.

Ya, ana. Mastura binti Mohd Yusuf.

Ana juga pernah jatuh dan tersungkur, oleh sebab itu ana selalu mengingatkan jangan, jangan dan jangan bergantung harap kepada ana, kerana ana sama seperti kamu.. Satu insan yang sering alpa. Satu insan yang imannya punya turun dan naik, satu insan yang tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan.

Akhirnya, dengan keputusan itu, Allah letakkan ana di tempat yang terbaik, di satu tempat yang ana amat rasai ketenagan dan kedamaian hati.

Sungguh, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya..

Jika kita memandang segalanya daripada Allah, pasti akan tenanglah hati kerana tidak mungkin Allah saja-saja memberi kesusahan kepada kita. Tidak mungkin Allah sengaja menyakiti hati dan jiwa kita melainkan Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik.

Sama sahaja ketika kita berjalan di jalan tarbiyah ini.... Allah tidak menjanjikan sepanjang perjalanan kita dihiasi tawa riang, malah Allah beri duri dan debu untuk kita tempuhi dengan iman, namun di penghujung jalan, ada syurga yang menanti.

Benar, akar sabar itu amat pahit tapi buahnya amat manis :)

Jaga Tubuhmu...

Pernah suatu ketika, ana merasakan dunia seakan berputar. Entah kenapa, dengan izin Allah, kepala ana seolah-olah mahu pecah. Berdenyut-denyut. Ana menahan, ingin menyiapkan tugasan yang berbaki.

Namun akhirnya ana mengalah.... Tubuh terbaring lesu.. Dalam kesuraman cahaya, ada titis di penghujung mata ana. Entah kenapa, semester ini ana terlalu disibukkan dengan dunia.

Proposal.
Meetings.
Mid-term.
Assignment.
Liqa'.
Bermacam-macam persediaan.

Terkadang ana melihat jauh ke lubuk hati, bertanya ana sendiri...

"Allah sudah matikah hatiku ini sehingga sukar sekali untuk bangun di sepertiga malam terakhirMu...Jika sudah mati, berikan aku hati yang baru agar aku kekal berada di sampingMu"

Apabila ana kembali merenung ke dalam diri, ana menjadi semakin sedih. Selama ini, ana leka, ana tidak amanah pada tubuh pemberian Allah. Tidur selewat jam 2++ dan bangun selewat jam 6 cukup membuatkan tubuh ana sedikit lesu. Ditambah dengan tugasan yang menggunung sehingga ana melihat blog dengan pandangan hambar.

Bangun Qiamullail menjadi semakin payah, inilah padahnya apabila leka pada sebuah amanah.

Sahabat...Jagalah tubuhmu agar senang untuk dikau beribadat kepada Allah.

Teringat ana pada kisah Rabiatul Adawiyah, wanita suci terpuji... Dia selalu bangun untuk beribadat kepada Allah dan di pengakhiran ibadahnya, dia akan melakukan sujud syukur sambil berdoa, "Allah..Terima kasih kerana memberi peluang untuk aku beribadat."

Ya. Tanya kembali ke dalam diri, berapa banyak kali kita berterima kasih kepada Allah kerana memberi kita peluang untuk beribadat? Sekali Allah beri sakit, kita sudah tidak mampu lagi untuk beribadat dengan banyak...

Jagalah tubuhmu... Agar dikau senang dan selesa untuk beribadah.

Tersenyumlah... Di hadapan, Bahagia Menanti

Senyumlah.... Allah bukan memberi musibah untuk menyakitimu, tetapi Allah memberi musibah kerana Dia ingin memberikan ganjaran yang terbaik buatmu. Tidakkah dikau melihat pelangi yang cantik selepas hujan lebat itu berlalu?

Percayalah... Bahagia itu ada di situ, tetap di situ setelah musibah itu berlalu pergi. Jika kamu bersabar, jika kamu bersyukur maka termasuklah kamu ke dalam golongan orang-orang yang beruntung..

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Al-Imran :139)


Doakan ana ye sahabat....

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, December 9, 2010

Risau Tak Kahwin?


"Risaunya kalau tak dapat pasangan sampai tua."

"Nanti kalau sampai tua tak kahwin macam mana."

"Eh, peliknya dah umur 20 takde pakwe?"

Rintihan demi rintihan lahir dari mulut para gadis solehah yang sedang mencari satu cinta hakiki.

Ana tersenyum sendiri. Itu fitrah, perasaan ingin mencari pasangan itu fitrah, bukankah Allah sendiri sudah berfirman dalam Al-Quran ;

dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan (An-Naba' : 78)


Maka fitrahnya lelaki akan mencari perempuan, perempuan akan mencari lelaki, justeru itu, apabila datang persoalan-persoalan itu mengetuk gegendang telinga ana, ana pasti tersenyum.

Syukur.... Mereka masih berada dalam landasan fitrah!

Teringat pula pada satu kisah di mana 2 sahabat pada ketika itu (maaf ana lupa namanya) salah satunya berkata kepada sahabat tercinta "Anak aku telah jatuh cinta kepada seorang perempuan!"

Sahabatnya tidak marah, malah berkata "Alhamdulillaaahhhh!"

Terkejut benar si sahabat yang mempunyai anak itu. Lantas dia berkata, "Mengapa engkau berkata Alhamdulillah?"

Maka sahabatnya pun membalas, "Anakmu mempunyai fitrah yang betul. Nikahilah dia.."

Berusaha

"Jadi Mas, macam mana nak kahwin kalau kita tak berusaha?"

Baik, izinkan ana bertanya.. Adakah usaha kita itu adalah usaha keluar berdating selalu untuk suai kenal?

Adakah usaha kita itu usaha berpegang-pegangan supaya lebih dalam pengetahuan tentang pasangan?

Adakah usaha kita itu usaha bergayut berjam-jam agar dapat diketahui sikap pasangan?

Dan..adakah dengan semua usaha itu, kita yakin bahawa si dia itu adalah pasangan hidup kita yang telah ditentukan Allah??



Sahabat..

Usaha memang perlu. Tetapi usaha di sini bukanlah dengan memperlakukan perkara-perkara yang disebutkan di atas, usaha di sini bermaksud usaha memperbaiki diri agar bersedia menempuhi alam perkahwinan yang penuh pancaroba.

Usaha yang dimaksudkan di sini adalah dengan memperbaik diri menjadi soleh/ah agar mendapat pasangan yang sama fikrahnya ;

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (An-Nur :26)


Kasihanlah suamimu yang sebenar, andai dia mengahwinimu, membayar duit hantaran dan mas kahwin namun hanya mendapat kamu yang sudah 'sisa-sisa' orang, sudah dipegang-pegang. Ah, kasihannya...

Para lelaki/wanita yang sudah melihat seorang calon yang sesuai, selidiki latar belakangnya dahulu, risik-risiklah khabar dengan orang terdekat.. Kemudian khabarkan kepada orang tuamu, dan khitbahlah si dia itu agar tenang hatimu...

Tidak perlu terlalu gopoh dan teruja mengorat sana-sini, yakinlah pada Allah, pasti Dia akan memudahkan jalannya...

Risau




"ish, risaulah mas... tengok semua orang dah ada pasangan."

Ana teringat pada satu kata-kata. Hakikatnya, hidup kita umpama satu jambatan... Di sepanjang jambatan itu telah termaktub nasib dan jodoh kita. Andai lambat jodohnya, maka itu bermakna laluan jambatan itu panjang..Allah lebih tahu.

"Takutlah, jadi anak dara tua." Bibirnya menggulum, memperlihatkan isi hatinya yang gundah.

"Mana lagi bagus, kahwin dapat suami yang entah apa-apa, atau nanti Allah kahwinkan dengan bidadara syurga?"

Diam.

Benar... Setiap seorang dari kita telah Allah tentukan jodohnya, cuma akhirnya terpulang pada kita untuk mendapatkannya dengan cara yang keji atau tidak. Jika jodoh tidak ada di dunia, Allah telah menetapkan yang terbaik di akhirat sana! :)

Allah Menjaga

Allah itu ada... Sentiasa Dia di situ memerhatikan setiap gerak-geri hambaNya. Tanpa bosan Dia akan mendengar rintihan suara hatimu, tanpa jemu Dia ingin terus mendengar suaramu..

Allah Mendengar..Maka berdoalah agar Allah pertemukan dengan jodoh yang baik-baik.
Allah Mengetahui.. Maka berdoalah agar jodohmu itu dari golongan yang baik-baik agar dikau kelak mampu melahirkan penolong Imam Mahdi seramai mungkin.

Jadi Penolong Imam Mahdi ye :)


Sahabat, kita sudah tidak ada masa lagi untuk buang masa. Dunia sudah semakin tenat. Maka pandang segalanya untuk Allah, hatta ingin mencari pasangan, carilah pasangan yang Allah redha agamaNya. Jangan bertangguh khabarkan pada kedua orang tuamu.

Akhirnya... Jangan terlalu khuatir, yakinlah, Allah sedang menjaga dia, sebagaimana Allah sedang menjagamu baik-baik.. :)

Wallahu'alam.

Read More......

Monday, December 6, 2010

Contohi Pemuda Ansar Ini


Hari ni ana nak bercerita.

Cerita biasa yang punya kuasa luar biasa.

Tentang seorang lelaki ansar biasa yang punya keimanan yang luar biasa.

Tentang satu tubuh yang biasa yang diresapi kepatuhan yang luar biasa

Ansar

Baiklah, pertamanya. Apakah dia golongan ansar? golongan yang mengikut Rasululullah ke madinah atau yang menunggu di madinah?

Ya. ya. betul. Ansar adalah golongan yang menunggu di madinah, menyambut golongan muhajirin dengan penuh berlapang dada


Pada suatu hari, Rasululullah pun bercerita mengenai syurga dan neraka.

"Syurga itu cantik... Ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, neraka itu panas membara," Mungkin begitulah dialog Rasulullah.

Mereka yang mendengar merasa gembira saat Rasulullah bercerita mengenai syurga, apabila Rasulullah bercerita mengenai neraka, semua tunduk takut. Gerun.

Dari kejauhan, kelihatan seorang lelaki ansar yang berser-seri wajahnya, seolah-olah telah terlihat olehnya syurga yang sangat indah.

Lantas dia bangun dan berkata, "Wahai Rasululullah...Aku ingin sangat masuk syurga.. Ingin sangat."

Rasululullah tersenyum, terfikir oleh baginda untuk menguji lelaki ansar ini.

"Baiklah," Baginda berkata dan mengarahkan lelaki ansar tersebut untuk menghantar satu bungkusan ke satu tempat yang ditetapkan untuk menguji sifat amanah pemuda tersebut.

Lelaki ansar itu gembira. Disambut huluran bungkusan itu dengan girang sekali.

Lalu dia pun berjalan... Dan berjalan...

Berjalan sambil mentafsir..

Berjalan sambil menghayati keindahan alam ciptaan Allah. Dia melalui gunung yang meghijau, merasai angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.. Memerhatikan gelagat burung yang riang menari di atas sana..

Oh! Lelaki ansar itu melalui pula sungai yang cantik aliran airnya... Permai, tenang, damai...

Tiba-tiba..

"Astarghfirullah!" Lelaki ansar itu beristighfar. Ketika asyik memerhatikan aliran air sungai, dia terpandang satu susuk tubuh wanita yang sedang mandi, yang tidak berpakaian sempurna.

Sekali sahaja pandangannya, dialihkan ke tempat yang lain.

Lelaki ansar itu gumam. "Allah...Maafkan aku ya Allah.. Aku tak sengaja ya Allah. Aku terpandang ya Allah, jangan kau bakar mata aku ini ya Allah..." Dia menangis, terasa malu yang amat pada Allah dan Rasululullah.

Lalu.. dia pun berlari, sehinggalah tiba di satu bukit antara mekah dan madinah. Dia bersembunyi di situ dan memohon ampun.

Rindu

Lumrahnya, apabila seseorang yang baik itu sudah lama tidak kelihatan kita akan merasa rindu. Contohnya, Zinnirah selalu datang halaqah, baik pekertinya, hormat pada orang lain. Tiba-tiba, sebulan tidak kelihatan wajahnya, pasti kita merasa rindu.

"Eh, mana zinnirah ye." Hati pasti tertanya-tanya.

Begitulah juga yang berlaku kepada Rasululullah. Lama sudah dia tidak melihat lelaki ansar tersebut hingga terbit rasa rindu yang amat sangat dalam hati baginda. Lalu baginda pun bertanya kepada sahabat, "Wahai sahabat, adakah kamu nampak lelaki ansar yang pergi untuk menghantar barang tempoh hari? Mengapa dia masih tidak pulang-pulang lagi?"

Sahabat diam. Mereka juga tidak tahu ke mana perginya lelaki ansar tersebut.

Malaikat Jibril pun turun dan berkata "Wahai Rasulullah, lelaki ansar tersebut berada di satu pergunungan antara Mekah dan Madinah."

Mendengar perkhabaran tersebut, Rasululullah lantas menyuruh para sahabat mencari lelaki ansar tersebut.

Sahabat Mencari

Para sahabat pun berjalan... Dan berjalan... Sehinggalah tiba di pergunungan tersebut.

Mereka terlihat seorang pengembala kambing sedang mengembala kambing-kambingnya. Lantas, kaki mereka melangkah menghampiri si Pengembala Kambing.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

"Wahai saudara, pernah tidak kamu terlihat seorang lelaki yang tingginya sekian, warna kulitnya sekian, rambutnya sekian." Sahabat bertanya.

"Oh, adakah orang yang kamu maksudkan itu adalah seorang yang sedang melarikan dirinya dari azab api neraka?" Si Pengembala Kambing menjawab dengan yakin.

Sahabat terkejut. "Eh, mana ada... Kamu salah orang ni.. orang yang kami cari ni baik orangnya... kamu salah orang ni, takpelah takpelah, kami tanya orang lain."

Sahabat pun berpaling dan ingin melangkah pergi.

"Nanti!" Pengembala kambing itu memanggil. "Aku tinggal berhampiran dengan pergunungan itu dan setiap malam aku mendengar seorang pemuda berkata : ya Allah, maafkan aku ya Allah, aku tak sengaja ya Allah, aku TER, jangan kau seksa aku ya Allah. Maka dengan sebab itu aku berkata pemuda tersebut sedang melarikan dirinya dari azab api neraka." Pengembala menyambung kata.

Sahabat semakin terkejut dan terus pergi ke tempat persenbunyian pemuda ansar itu. Puas dipujuk agar pemuda ansar itu pulang namun dia tetap berkeras.

"Aku malu pada Rasululullah... Allah pasti dah beritahu baginda akan dosa aku." Pemuda Ansar menangis.

"Tidak.. Bahkan baginda yang mengarahkan agar engkau pulang." Sahabat berkata. Mendengar itu satu arahan Rasululullah, pemuda ansar itu pun bersetuju untuk pulang.

Bertemu Rasululullah

Sebaik pemuda ansar itu bertemu Rasulullah, dia pun berkata, "ya Rasulullah, aku berdosa ya Allah. Mata aku ini tertengok aurat wanita. Aku tak sengaja ya Rasulullah. Aku tak sengaja."

Rasululullah pun bersabda, Pandangan pertama adalah rezeki dan yang kedua adalah dosa.

Ukhti! nanti! maknanya bolehlah ye kalau tengok sekali tapi tak berkelip- kelip. tengok lama-lama.

Tak boleh ye kawan-kawan, lepas dah tertengok, terus beristighfar dan pandang tempat lain. Kalau tengok lama-lama pun berdosa juga.


Pemuda ansar masih tidak berpuas hati. "ya Rasulullah, apakah Allah mengampunkan aku ya Rasululullah, aku takut ya Rasululullah."

"Tak apa, tak apa, kamu balik rumah baca surah Al-Baqarah ayat 201. insyaAllah Allah meredhai."

Lelaki ansar terus sahaja mahu pulang dan membaca surah Al-Baqarah.

"Nanti." Rasululullah memangil. "Dengar dahulu aku baca... Rabbana atina fiddunya hasanah. Wa fil akhirati hasanah, waqina azabannar."

Habis sahaja ayat tersebut, pemuda ansar itu pun pengsan.

Setelah dia tersedar kembali, Rasululullah bertanya, "Kenapa kamu pengsan."

Pemuda ansar menjawab, "Tadi ya Rasululullah.. Tadi engkau menyebut waqina azabannar (peliharalah kami dari azab api neraka). Kau sebut neraka ya Rasululullah, aku takut ya Rasululullah..."

Tiba saatnya

Cukup 8 hari pemuda itu pulang ke rumahnya, dia ditimpa sakit dan menanti ajal.

Rasululullah yang mendengar khabar itu lantas segera ke rumah pemuda ansar tersebut.

Ketika Rasululullah tiba, pemuda itu sudah benar-benar nazak. Sebagai tanda kasih, Rasululullah ingin meletakkan kepala pemuda itu di atas ribaannya.

"Jangan! jangan ya Rasululullah, jangan kau riba kepalaku ini." Pemuda ansar menghalang.

Rasululullah menjadi hairan,"Mengapa saudaraku? Selalunya sahabat gemar aku meriba kepala mereka sewaktu mereka sakit."

"Aku ini kotor ya Rasulullah..sedang engkau mulia."

Rasulullah berasa sebak."Lantas, apakah permintaanmu yang terakhir?"

"Ya Rasulullah.... tolong minta pada Allah agar diampunkan segala dosa-dosaku, dosa aku terlihat aurat wanita itu, adakah sudah diampunkan?" Tersekat-sekat dia bersuara.

Rasululullah pun berdoa dan Allah mengkhabarkan bahawa dosa pemuda itu telah pun diampunkan.

Malaikat datang

Sewaktu keranda diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, Rasululullah yang juga turut mengangkatnya bersama-sama para sahabat kelihatan berjalan terjingkit-jingkit. Sahabat yang melihat pun berkata, "ya Rasulullah, apakah kakimu tercucuk kaca, atau terkena ranting kayu? Jika ada, biarlah aku mencabutnya."

Rasululullah menjawab,"Tidak...Aku berjalan terjingkit-jingkit kerana aku melihat apa yang kamu semua tidak dapat lihat. Sewaktu ini, ketika ini, aku melihat banyak malaikat turut mengangkat keranda pemuda ini, sehingga aku terpaksa berjalan terjingkit-jingkit. Kerana itu jugalah, kamu merasa ringan mengangkatnya."

Ayuh Contohinya

Subhanallah...Subhanallah...

Betapa Allah meredhai pemuda ansar itu, nasib kita bagaimana pula?

Contohilah pemuda ansar itu, pandang dosa dengan pandangan yang berat. Hatta dosa yang kecil sekali pun, jika dikumpul akan jadi banyak juga.

Jangan pandang dosa dengan sambil lewa kerana sekali kita berbuat dosa, satu calit hitam ada pada hati... Sehinggalah akhirnya hati mati dan kita tidak rasa bersalah lagi berbuat dosa.

Apakah kita ingin kembali dalam keadaan diredhai atau dimurkai?

Pilihan di tangan kita. Pilihlah sebelum terlambat.

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, December 5, 2010

Pernah tak...


Pernah tak....
Kita tahu kita buat dosa,
Kita sedar yang kita lakukan tu salah,
Terkadang kita menangis minta ampun,
Entah berapa kali,
Dan kita masih mengulangi..

Tapi....

Tapi...
Allah tak pernah bosan mendengar taubat kita,
Allah masih beri kita nikmat,
Hari-hari tanpa henti,
Allah masih beri kita peluang,
Allah kata ; kalau hambaKu berjalan menghampiriKu, Aku akan berlari kepadaNya,
Hebatnya Allah,
Baiknya Allah,
Pengampunnya Allah..

Tapi kita sedar tak...
Kita ini manusia ego!
Kita sombong!
Kita tak malu dengan Allah!
Saban waktu kita bergelumang dengan dosa dan noda,
Kita bergelak ketawa atas dosa yang kita lakukan,

Apabila ditegur,
Kita membantah keras,
Apa kita lupa,
Dunia ini milik Allah?

Apa kita lupa,
Suatu hari nanti segala amal kita akan ditayangkan?
Waktu itu...
Ketika itu...
Ketika satu-satu perbuatan kita ditayangkan di khalayak,
Di mana mahu diletakkan wajah itu?
Di mana, Di mana dia wajah yang bongkak itu?
Di mana dia hati yang tidak mahu tunduk kepada Ilahi?
Di mana??

Sahabat.....
Manusia semememangnya tidak akan pernah lepas dari dosa,
Tapi jangan pula kita lupa untuk bertaubat,
Allah sentiasa di situ..
Menanti kita saban waktu...
Tanpa bosan dan jemu...

Sahabat....
Pernah tak,
Kamu merasa amat kehilangan,
Tanpa kamu sedar,
Allah di situ,
Dekat dengan kamu....

Sahabat....
Mari sama-sama kita taubat,
Mari sama-sama kita kejar cinta Ilahi,
Dosa yang lalu tinggalkanlah,
Kenangan hitam itu lupakanlah,
Mari kita buka buku yang baru,
Satu buku yang bersih tanpa debu,
Mari kita bersama,
Bersama berpimpinan tangan menuju ke syurga.

"Mas, nanti ahli keluarga semua boleh masuk syurga sama-sama tak?" Sahibah bertanya.

"Boleh. Best kan kalau semua berkumpul semula dalam syurga." Hati ana bergetar. Allah, layakkah aku?

Sahabat,
Ayuh jangan dilengah lagi,
Bimbang waktu semakin menghampiri,
Sebelum tiba waktunya kita pergi,
Mari bersama kita menangisi,
Menyesali,
Segala debu yang mengotori diri......

Allah... himpunkan kami bersama di dalam syurgaMu yang indah... Kami tidak sabar melihat wajahMu.... T.T

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .