Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, October 7, 2013

Yang ku Tahu, Allah Bersamaku


Mengintai jendela Zulhijjah...

Bersangka baiklah dengan segala ujian Allah, ia pasti terselit hikmah yang tidak kita duga..

Dahulu... Hajar ditinggalkan di tanah yang gersang, tiada manusia, tiada bangunan, tiada air untuk si kecil yang menangis.. tatkala Nabi Ibrahim menyatakan tentang perutusan Allah itu, Hajar berkata "Adakah ini apa yang Allah suruh? Jika ya, maka tinggalkanlah kami di tanah gersang itu, Allah pasti tidak membiarkan kami sendiri!"

Lalu anaknya menangis dahaga, Hajar seolah-olah hilang arah.. Berlari-larilah ia ke safa dan marwah, Ismail menghentak-hentak kakinya lalu terpancutlah air keluar dari tanah nan gersang..

"Zam..zam.." Hajar mengumpul-ngumpul air, hatinya gembira, terubat juga dahaga si kecil tercinta...

Dengan berkat kesabaran Hajar, kini  ummah mampu menikmati air yang mempunyai molekul terhebat di dunia. Air yang tidak pernah surut meski beratus tahun lamanya diteguk sekian manusia..

Air zam-zam, suatu keajaiban Allah yang kita cinta...

Namun,

Ada sesuatu yang kita lupa...

Di sebalik hebatnya Ibu Nabi Ismail (Hajar), dia punya seorang madu yang tidak kurang hebatnya, (Sarah). Dek kerana terlalu tua dan masih tidak juga dikurniakan zuriat maka Sarah menyuruh suaminya, Nabi Ibrahim a.s mengahwini Hajar.

Aduhai... Hati isteri mana yang tidak sebak menyuruh suami tercinta menikah yang lain, namun mengenangkan zuriat penyambung salasilah Nabi, Sarah kuatkan hati.

Dipujuknya suami yang pada mulanya juga keberatan berkahwin yang lain.

Setelah Nabi Ibrahim mengahwini Hajar, Sarah pun mengandungkan seorang putera.. Ia diberi nama Ishak.

Dari rahim seorang wanita tua, lahir seorang lagi tokoh Agama... kemudian daripada Nabi Ishak lahir lagi para kekasih Allah, para Nabi yang soleh.

Siapa sangka, siapa duga... Allah mengubati hati Sarah dengan keturunan yang hebat.

Allah balut kesepian Hajar dengan tanda-tanda kehebatannya yang kekal sehingga kini..

Maka bersabarlah,

Andai ada ujian yang sakitnya tidak terperi,
Andai kita menangis sendiri,
Andai hati bernanah lagi,
Andai apa yang diimpi tidak mampu dikecapi,

Kerana,

Allah sedang merancang yang terbaik,
Sedang kita tidak tahu,
Apa mungkin apa yang kita mahu,
adalah apa yang kita PERLU.

I LOVE YOU ALLAH.

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, September 19, 2013

Percayalah..


Saat kau jatuh,
Saat kau hiba,
Saat kau menangis,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Tatkala doa kau ucapkan,
Tatkali hancur hati kau katakan,
Tatkala kau rasa dirimu bersendirian,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar,


Biarpun terkadang kau rasa Dia tidak sayang,
Biarpun kau rasa doa tidak dimakbulkan,
Biarpun kau rasa berat sungguh dugaan,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar..

Bukankah dahulu senyum kau ukirkan?
Bukankah dahulu kau punya nikmat yang membahagiakan?
Bukankah dahulu hati kau tenang membahagiakan?
Lalu alasan apa lagi untuk kau ucapkan,
Bahawa Allah tidak mendengar?

Kau kata doa kau tak dimakbulkan,
Kau kata Allah tinggalkan kau sendirian,
Kau kata hati kau hancur berkecai,
Lalu kau kata :
Ahhh! Allah tidak mendengar permintaanku!

Aduhai kawan,
percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Bukannya DIA tak mahu makbulkan permintaan,
Bukannya DIA tak tahu kau hiba sendirian,
Tapi,
DIA mahu beri apa yang kau perlu,
Bukannya sekadar yang kau mahu,
Kerana DIA tahu,
Apa yang terbaik untukmu..

Lalu untuk apa lagi kau menangis?
Mengapa kau berhenti berjalan?
Teruslah berlari meski kau rasa sendiri,
Teruslah berlari meski kau rasa penat dengan semua ini,
Kerana,
Allah tidak pernah berhenti mendengar...

Satu saat kelak,
Tatkala kau kembali bahagia,
Jangan pernah kau lupa,
Bahawa Allah sentiasa mendengar...

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.(Al-Mu'min : 60)

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, September 10, 2013

Sebagai Manusia...


Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa kita ini ditinggalkan,
Oleh rakan dan juga taulan,
Sedangkan,
Allah tidak pernah meninggalkan,
Sentiasa menanti penuh sabar,
Bilakah kita mahu menyerah...


Sebagai manusia...
Kita sering kecewa,
Pada dunia yang sering menipu,
Sedangkan,
Allah tidak pernah mengecewakan,
Malah sentiasa membahagiakan,
Pemilik hati orang beriman...

Sebagai manusia...
Kita sering menangis,
Pada sesuatu yang sungguh remeh,
Sedangkan,
Allah sentiasa menanti,
Bilakah kita mahu mengadu lagi,
Kerana DIA tidak sabar mahu memakbulkan,
Doa-doamu wahai insan...

Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa Allah tidak lagi sayang,
Mengapa Allah tidak perkenankan doa,
Sedangkan,
Kita lupa,
Setiap detik nafas siapa yang jaga?
Berapa banyak nikmat yang kita alpa?


Ah,
Kita memang manusia yang alpa,
Tapi kita sering sombong bongkak,
Pada Allah yang menanti di sana...

Wahai Allahku,
Ampunkan daku...

Read More......

Sunday, September 8, 2013

Terfitnah?



"ya Allah, peritnya hati ini." Pernah saya merintih sebegini dahulu. Merintih dan terus merintih. Hingga terasa lemah kaki yang berjalan, terasa longlai jiwa yang mengharap.

Dan kini, saya kerap mendengar luahan sahabat, "Mas, saya kena fitnah, begini begitu."

"Mas, apa yang mereka cerita semuanya bohong."

"Mas, doakan kita kuat."

Fitnah itu dugaan yang besar. Saya sendiri pernah difitnah. Tatkala mata-mata memandang jelek, tatkala masyarakat menganggap kita umpama sampah yang bertebaran, tatkala hati-hati mereka membenci.... Ah, siapa yang tidak lelah?

Kekuatan Sejarah

Buatmu yang sedang lelah, mari.. di sini ada suatu cerita gembira.

Fitnah itu adalah ujian buat para Nabi dan Ulama, senang cerita..Allah menimpakan ujian tersebut pada mereka yang DIA cinta. Saya suka pada satu cerita Rasulullah s.a.w :

Di hujung sebuah pasar ada seorang wanita buta yang tidak henti-henti mulutnya mengatakan yang buruk-buruk pada Nabi yang kita cinta, of courselah cerita-ceritanya tu semuanya dusta. Nabi kan maksum, tiada dosa.

Maka Nabi S.A.W mengunjungi wanita tersebut, membawa makanan, dan tanpa sepatah kata menyuap wanita itu makan sehingga habis. Nabi melakukannya setiap hari, tanpa jemu, tanpa letih...Meski pun telinganya sendiri menangkap kata-kata pedih wanita tersebut.

Suatu hari, Nabi pun wafat. Sahabat bertanya kepada isteri Nabi adakah amalan Nabi yang selalu Nabi lakukan? Maka dikhabarkan kepada sahabat bahawa Nabi selalu menyuap wanita buta di tepi pasar itu makan.

Sahabat pun melakukan perkara yang sama, tetapi wanita itu bertanya, "Kamu siapa?"

"Aku adalah orang yang selalu memberimu makan." Balas sahabat.

"Kamu bohong!"Marah si wanita,"Orang yang selalu datang memberiku makan bersikap lembut denganku, makananku selalu dikunyahkan dahulu maka senang aku menelannya."

Mendengarkan itu, sahabat pun menangis, "Ya, orang itu telah pun wafat. Orang itu ialah orang yang selalu kamu caci. Dialah baginda Rasulullah.."

Mendengarkan itu, wanita tersebut pun terkejut dan menyesal. Lalu, syahadah pun diucapkan.

Nak dengar cerita lagi?

Kita kenal Imam Syafie yang sangat soleh dan tinggi tingkat ilmunya....

Beliau juga pernah difitnah menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiyah. Lalu beliau ditangkap, diikat kaki dan tangannya malah dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Jauh tahu?

Tetapi Imam Syafie bersabar, dan dengan izin Allah Imam Syafie terlepas daripada hukuman, malah orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.

Bersabarlah, Allah itu Adil

Kita percaya Allah itu adilkan?

tapi kita tertanya-tanya kenapa sampai sekarang kita masih difitnah?

Mari, pertama sekali kita muhasabah diri. Bagaimana akhlak kita terhadap fitnah? adakah kita mengeluh tak tentu hala, adakah kita maki-maki orang yang memfitnah? atau adakah kita bersabar dan merintih kepada Allah?

Jangan tunjukkan level kita sama dengan orang yang memfitnah. Jangan. Kerana itu akan membuat orang yang memfitnah itu gembira.

"Heh..tengok, aku dah kata akhlak dia tu buruk."

Cubalah untuk tersenyum, ya ia pasti mengambil masa untuk hatimu sembuh, tetapi tersenyumlah... kerana senyuman itu amat ditakuti oleh para pemfitnah.

yang kedua, bersabarlah... suatu saat pasti Allah akan tunjukkan kebenarannya. Sama ada cepat atau lambat, Allah pasti tunjukkan.

Yakin, percaya.

Hei...kita ada Allah kan? Siapa yang ada Allah,tak perlukan apa-apa lagi dalam dunia ni. :)

Rileks, nanti Allah pasti membelamu! ;)

Dan Allah pun berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (Al-Baqarah :153)

Wallahu'alam

Read More......

Monday, August 19, 2013

Tuhanku..


Tuhanku,
Apakah layak aku meminta lagi,
Sedang aku sentiasa mengeluh sendiri,
Alpa dengan indahnya duniawi,
Hingga aku terlupa pada banyaknya nikmat yang kau beri...

Tuhanku,
Apakah layak aku mengeluh duka,
Apabila di sini aku masih mampu menaiki kereta,
Sedang aku tahu jauh di sudut dunia,
Ada saudaraku yang lelah menderita...

Tuhanku,
sedikit sahaja ujian kau beri,
Supaya aku tidak lupa diri,
Namun hatiku memberontak lagi,
Konon akulah manusia yang paling suci..

Oh Tuhan!
Apakah aku layak bergelar khalifah,
Sedang aku gagal menempuh mehnah,
Tersungkur,
Terjatuh,
Dan aku tidak mahu bangun semula..

Oh Tuhanku,
Terimalah maafku,
Sambutlah tanganku,
Tunaikan pintaku,
Untuk bertemuMu dalam keadaan damainya qalbu....

i love you, Allah..


Read More......

Sunday, July 14, 2013

Bersyukur Dengan Ujian.


Assalamualaikum.

Pernah tak kita dilanda ujian hingga kita rasa nak lari jauh-jauh sampai ke hujung dunia?

Atau pernah tak kita rasa nak terjun bangunan jelah, atau pun bila kita tengok kematian kita rasa untungnya orang tu dah tak perlu fikir ujian kat dunia. ujian akhirat tak fikir pula

Selalu tak kita dengar orang kata, "Sabarlah.." Dan kita pula rasa nak gaduh je dengan insan tersebut. Alaaa kamu tak kena, boleh lah cakap sabar. Cuba kena, tengok sabar ke tak?

Selalunya, bila ujian datang, akan ada sahabat yang baik menasihati, "Sahabat Nabi dulu, rindu kat ujian. kalau takde ujian dia rasa Allah tak sayang dah."

Maka ada pula suara membalas, "Tu sahabat bolehlah!"

Aduhai, habis tu kalau kita tak nak tiru sahabat Nabi, kita nak tiru siapa? Adakah kita nak tiru Britney Spears atau pun kita nak tiru Lee Min Ho?

Astarghfirullahalazim.. mastura lagha semua ni, lagha!

Hehe.

Maaflah saya dah lama tak update blog. Sebenarnya itu satu ujian juga buat saya. Betapalah nak melawan nafsu malas menaip bila kerja dah berlambak.

Apa-apa pun, tak ada istilah tiada masa bagi kita. yang ada hanyalah tak pandai menguruskan masa. terasa

Lumrah

waktu sekolah dulu.. banyakk sangat ujian yang cikgu bagi kan? ujian bulananlah, ujian pertengahan tahun lah. ish serabutlah, kenapa nak ada banyak-banyak ujian ni?

Lepas habis ujian, dapat pulak nombor dalam kelas. Bila nombor corot, kena marah dengan mak. Kadang-kadang rasa malu pula nak datang sekolah jumpa cikgu.

Tapi dengan ujian tu, cikgu tahu prestasi kita tahap mana dan ujian tu merupakan latih tubi untuk kita menghadapi periksa yang lebih besar..macam UPSR,PMR dan SPM.

Ha! Macam tu jugalah dengan kehidupan.

Cuma ujian tu Allah yang bagi supaya Allah boleh naikkan ranking kita di hadapan Allah. Kalau dulu ranking ke seratus puluh juta ribu, lepas ujian datang, kita sabar dan berjaya melepasinya, mungkin naik ranking kita ke top 10. siapa tahu?

Tapi...kalau kita tak sabar, asyik caci maki situ sini, asyik salahkan orang tu orang ni. Hm, dapat nombor corotlah kita di hadapan Allah. bila dapat nombor corot, sampai satu saat kita nak jumpa Allah, tak ke rasa malu? pandang kiri, member baik duduk sebelah meja waktu sekolah dulu dapat top 20 di hadapan Allah, pandang kanan, jiran sebelah anak Pak Abu dapat top 10 di hadapan Allah. Kita? aish, malulah nak cakap nombor berapa.

Sebab Allah tu Maha Baik, Allah bagi ujian untuk kita mantapkan diri dalam menghadapi ujian-ujian akan datang yang lebih hebat lagi.

Kadang-kadang kita fail juga kan dengan ujian Allah? Alah..macam ujian kat sekolah dulu kita dapat markah rendah. Kalau kita stop, kita taknak belajar lagi..sampai bila-bila lah kita tak berjaya.

dengan ujian Allah ni, kalau kita fail, kita cuba lagi lagi lagi dan lagi. Hei, takkanlah kita tak pernah putus asa buat dosa, tapi cepat sangat putus asa nak masuk syurga?

Kalam Indah

Dan janganlah bimbang saudaraku, kerana Allah telah memujuk kita menghadapi ujianNya dengan kalamNya yang indah :

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(As-Syarh : 5-6)

Jadi, jangan sedih lagi. Marilah tersenyum dan ucaplah Alhamdulillah! :)

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, June 19, 2013

Jaga Hak Allah


Assalamualaikum.

Lama sudah tak update blog.

Alhamdulillah, saya sudah tamat pengajian, sekarang berada di alam pekerjaan... Juga sedang membuat banyak urusan untuk menyambung pengajian. Hakikatnya, hidup ini kita takkan pernah berhenti belajar. Bila dah masuk ke liang lahad pun, kita masih lagi diajar untuk menjawab soalan malaikat.


Saya ingin berkongsi satu kisah benar, mengenai diri saya sendiri. kisah ini bukanlah untuk dibangga-banggakan. Bukan untuk digembar-gemburkan, moga-moga ia menjadi sebuah pelajaran, buatmu insan yang bernama teman.

Dahulu... ketika saya mahu masuk ke Kolej Islam, ramai yang menentang. Katanya, di situ tiada masa hadapan. Di situ tempat orang yang melupakan dunia. Jumud, konservatif dan sebagainya. Namun saya nekad, berbekalkan istikharah dan bergantung harap padaNya, saya meneruskan langkah.

Setahun demi setahun, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian.

Dahulu...Tatkala saya mahu memakai tudung labuh, ada yang kata saya ekstremis Agama! ada yang kata, kalau pakai tudung labuh kelak susah mendapat kerja, bahkan ada yang kata saya mungkin terpengaruh dalam ajaran sesat. Aduhai... Menitis air mata, hati siapa yang tidak terguris, dicaci dicemuh dihina.

Dalam tangis itu, saya melangkah. setapak demi setapak. dari merangkak saya mula berjalan kemudian berlari.

Alhamdulillah, sekarang saya sudah bekerjaya sebagai seorang pensyarah. Jadi juga guru tuisyen separuh masa buat kanak-kanak yang comel. Saya tidak merasa bagaimana keadaan menganggur.

Saya bertudung labuh, dari sebuah kolej Islam... saya sudah mampu buktikan, jika manusia itu menjaga hak-hak Allah, Allah pasti akan menjaga haknya.

Rezeki itu.... bukannya di tangan manusia. Ia milik Allah, semuanya milik Allah. Siapa kita untuk mengatakan orang ini tiada masa depan, orang itu kelam masa depannya?

Jaga hak Allah semenjak kita di bangku pengajian. Jaga keberkatan sebuah sijil itu. Jangan meniru dan jangan meniru. Tiada gunanya mendapat markah tinggi di mata manusia, sedangkan di mata Allah kitalah makhluk terhina.

Dari sebuah sijil itulah kita akan mendapatkan pekerjaan... dari pekerjaan itu kita akan menanggung keluarga, tapi berkatkah rezeki kita, andai di peringkat mendapatkan sijil itu pun kita tidak mencari keredhaan Allah?

sahabat,

Apa yang kita mahukan bukanlah sekadar sebuah ijazah. kalau yang kita mahukan sekadar sebuah ijazah, lebih baik kita beli sahaja ijazah itu. kita mahukan ilmu di sebalik ijazah, dan ilmu itu pula kita mahu ia menjadi sebuah keberkatan.

Percayalah, saya sudah melaluinya!

Hajat doa :)

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, May 15, 2013

Duhai Hati



Tuhan...
Izinkanku bermadah sayu,
Nukilan dari hati yang merindu...

Tuhan...
Dosaku menggunung tinggi,
Sedang taubatku sering kumungkiri,
Aku mendambakan syurgaMu,
Tetapi jalanku umpama menempah neraka yang menunggu...

Ah,
Apa mungkin aku bertemu kekasihMu,
Rasulullah yang amat ku rindu,
Sedang aku tahu,
Bibirku mengucap rindu,
Sedang hatiku sering melupakanmu...

Tuhan,
Apakah Engkau sedang marah melihatku terkulai layu,
Kalah dalam pertarungan dunia yang menipu..
Apakah Rasulullah menangis melihatku lesu,
Tewas dengan nafsu yang bisu...

Aku menangis mengenangkan dosa,
Kemudian aku tertawa seolah tiada apa,
Lalu ku pandang jauh ke sudut hati,
Duhai hati,
Lupakah Engkau pada Ilahi?

Duhai hati..
Lupakah Engkau pada siapa yang mencipta diri?
Lupakah Engkau pada janjiNya yang pasti?
Duhai hati,
Mengapa Engkau bongkak lagi?
Lupakah Engkau kata rindumu pada Ilahi?

Tuhan...
Andai satu saat aku bertemuMu?
Layakkah aku melihat wajahMu nan indah?


“Aku adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala Dia mengingatiKu. Sekiranya dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu. Sekiranya dia mengingatiKu di khalayak ramai, maka Aku akan mengingatinya di depan khalayak ramai yang lebih mulia(para malaikat dan nabi-nabi). Jika hambaKu mendekatiKu sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika hambaKu mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika hambaKu mendekatiKu dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekatiNya dalam keadaan berlari(cepat).” (Hadith Qudsi)

Read More......

Sunday, April 28, 2013

Antara Dua Golongan



Saya sudah 23 tahun.

Saya rasa semua tahu.Kalau tak tahu, harus buat-buat tahu.

Maka, banyak juga hari-hari yang telah dilalui, meskipun tidak sebanyak anda. Allah menemukan saya dengan pelbagai ragam manusia. Terkadang buat saya tersengih sendiri.

Yang paling menarik adalah apabila saya dipertemukan dengan dua golongan.

Golongan pertama, ada sebilangan manusia yang gemar mengongkong wanita dengan sedahsyat-dahsyatnya, hinggakan naluri wanita yang mahu difahami memberontak dan akhirnya membentuk golongan yang lain, yang mungkin dikenali ramai dengan golongan liberalis.

Golongan pertama dan golongan kedua pun bertelagah.

"Wanita tak boleh pakai warna selain warna hitam! tak boleh! tabarruj! menaikkan nafsu lelaki!"

"Ahhh kenapa pulak tak boleh! mana dalil-dalilnya Islam mengharamkan warna? MANA? kalau orang cina masuk Islam dan fitrahnya sukakan warna merah, berdosa kah dia nak pakai baju merah yang menutup aurat dan patuh syariat?"

"Kamu jangan banyak tanya! Kamu jangan lawan perinath Allah! jatuh kafir! berdosa!"

Dan golongan yang selalu ditekan-tekan itu akhirnya menjauhkan diri...

Mencari identiti sendiri, tanpa bimbingan lagi kerana bosan digelar itu-ini.

Akhirnya keluar pula persoalan-persoalan yang semakin pelik seperti kenapa wanita tidak boleh berpoligami.

Siapa yang salah?


Antara dua golongan ini... Manusia seolah-olah tidak sedar, antara yang terlalu berat dan terlalu mengambil mudah, ada 'ruang' ditengahnya,atau digelar pertengahan.

Tidak terlalu berat, dan tidak terlalu mengambil mudah.

Golongan pertengahan inilah yang selalu mendengar, dan biasanya dekat di hati masyarakat.

Jangan cepat menghukum, jangan cepat mengharamkan sesuatu, kaji dulu dalil-dalil, buat perbandingan antara semua dalil, lihat pandangan ulama silam dan moden... dan jadilah seorang pendakwah yang memenangi hati masyarakat.

Saya memilih menjadi golongan pertengahan. Anda bagaimana? :)

Read More......

Wednesday, April 17, 2013

Jalan Yang Indah



"AHHHHHHH!! Dunia memang tak adil! Kenapa mesti aku yang susah! kenapa orang lain hidup senang lenang?" Jerit sang jejaka melepaskan amarahnya.

Habis semua jari dituding ke sana-sini, hingga akhirnya jari itu ditudingkan kepada Allah yang menciptanya.






Berlainan Jalan

Hidup ini memang begitu. Bagi orang muslim seperti saya dan anda, kita punya satu destinasi yang sama. Cuma jalannya berlainan.

Ada orang yang melalui jalan 'highway' straight sahaja tanpa ada lekuk-lekuk jalan, tapi perlu melalui tol yang pelbagai.

Ada pula orang yang melalui jalan-jalan liku, berlopak-lopak, jauh dan panjang... tapi tidak ada tol yang menanti.

Nampak?

Setiap jalan yang dilalui, ada 'cabaran' nya yang tersendiri. Cuma, hanya kerana kita tidak melalui jalan yang sama, maka kita tak nampak apa cabaran yang dilalui oleh orang lain..

"Amboi... bestnya kau eh, jalan tak ada tol, aku ni macam-macam kena bayar... duit pun dah tinggal sikit." Bisik hati orang yang melalui 'jalan highway'

"Amboi.. seronoknya kau eh, jalan straight, besar, takde lopak..kejap je dah sampai." Bisik hati orang yang melalui 'jalan berlopak' pula.

Ironinya, kita sering dengki pada kelebihan manusia lain, kita mahu jadi seperti mereka. kita tak hargai apa yang kita punya.. kita berusaha dan berusaha untuk jadi 'best' seperti orang lain, seperti yang terlihat oleh mata kasar kita, seorang manusia biasa.

Namun, tanpa kita ketahui... mereka yang kita cemburui mungkin mahu menjadi kita!

Berbaik Sangka

Sungguh indah kalam Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 286(maksudnya)




Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

"ha? ape? betul ke Allah tak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya? Den raso eh den dah tak sanggup nak raso semua ni."

Itu kite yang rasa. Kalau saya tanya, adakah anda benar-benar mengenali diri anda?

Siapa yang berani, dengan yakin jawab ya!

Sedangkan... hati kita sendiri senang sungguh berbolak-balik.

Allah yang mencipta kita, tahu apa yang kita boleh hadapi... dan eh, Allah nak bagi kita pahala lah kalau kita buat baik atas ujian yang Allah bagi tu!

syok tak? ;)

Bersangka baiklah dengan Allah. Allah sayang kat kita...

Pandang ke Bawah

Kadang-kadang, bila kita terlalu memandang kepada langit yang tinggi, yang tak tercapai dek tangan.. kita terlupa pada rumput yang kita selalu pijak-pijak, yang mampu dicapai dek tangan...

Bila kita rasa kita susah, jangan memandang kepada mereka yang berada di atas. Pandanglah mereka yang berada di bawah.

Hei..kita cukup sifat, ada orang yang dilahirkan cacat.
Hei..kita punya keluarga di sisi, ada orang seluruh ahli keluarganya telah kembali menghadap Ilahi.

Berat dugaan yang kita hadapi? Bilal bin Rabah dijemur bawah terik mentari, tapi mulutnya tidak pernah sekali mencaci-maki.

Tak sanggup lagi dengan dugaan? Sahabat Nabi menangis bila tak ditimpa dugaan.

Ayuh, kata pada diri sendiri....

Wahai diri, katamu mahu masuk ke syurga, tapi mengapa tidak mampu membayar maharnya?

Jangan jangan jangan dan jangan berhenti BERDOA. Kerana Allah tidak pernah berhenti mendengar.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Al-Mu'min : 60)

Dan siapakah yang paling menepati janji selain Allah?

Tatkala doamu seolah-olah masih belum diperkenankan, bersabarlah dan terus bersabar, satu saat nanti segalanya pasti berubah :)

Wallahu'alam..


Read More......

Friday, March 29, 2013

Iman ; Pasang Surut.

kenangan.

Assalamualaikum.

Semalam saya ke Sepang GoldCoast. Laut sedang pasang. Kagum, kerana sebelum ini saya pergi ke sana, laut sedang surut, hingga saya boleh berjalan sampai hampir separuh kawasan laut.

Ah, dari situ kita mampu belajar sesuatu.


Laut itu ada pasang, ada surutnya.

Pandai dia pasang, pandai juga dia surut. Tapi laut tak pernah bosan untuk mengulang-ulang resmi alam itu.

Hakikatnya, ia sama seperti iman manusia. Ada pasang, ada surut.

Bila iman sedang pasang, mencanak-canak naik... kita rasa seronokk sangat buat amal ibadah. Seronok sangat solat awal waktu, seronok sangat bantu kawan, eh pokoknya semua seronok hingga kita mungkin jelek melihat kejahatan. Kita jelek melihat dosa. kita tak mahu menceburkan diri kita pada sesuatu yang hina.

Namun, seperti lumrahnya langit yang terkadang ditimpa hujan,

Kadang-kadang iman kita pun turut tiba pada saat surutnya. Waktu iman merudum jatuh, kita rasa sakit yang amat. Hakikatnya bukan kita yang sakit, tapi jiwa kita...hati kita yang fitrahnya suci bersih meronta-ronta "tolong! tolong berikan aku makanan, tolong! tolong! iman dalam keadaan derita."

Lantas kita muram. Buntu, tak tahu nak buat apa. Solat awal waktu? ah, boring lebih baik tengok movie dulu. Nak bantu kawan? persetankan! diri aku sendiri masih tak terbantu. Pokoknya, kita bosan dengan kebaikan. Kejahatan dan dosa yang kita pandang jelek dahulu sudah jadi 'geng' kita. Janji kita tak mahu menceburkan diri pada sesuatu yang hina, kita lupa.

Lalu kita bertanya,

"Masih layakkah kita menghuni syurga Ilahi, yang mengalir sungai dibawahnya? Adakah Rasulullah sedang menangis melihat aku saat ini?"

Kita putus asa. Alang-alang melakukan dosa, biar sampai ke neraka!

Tiada Yang Sempurna

Kalaulah diibaratkan manusia itu umpama satu bulatan, maka tak ada satu bulatan pun yang sempurna bulatnya. Pasti ada terherot atau terlubang di sana sini.

Islam itu bersifat sederhana. Allah Yang Maha Baik tahu manusia itu tidaklah sebaik malaikat yang tidak pernah melakukan dosa, tidak pula sejahat iblis yang dijanjikan neraka. Manusia itu berada di tengah-tengah, terkadang ia berlaku jahat, tapi Allah sentiasa memberi peluang untuk bertaubat direct kepadaNya.

Kerana Allah tahu...

Terkadang manusia ditipu dengan nafsu.
Terkadang manusia terpedaya dengan hasutan syaitan.

Dan kita juga semua tahu..

Syaitan tidak pernah berputus asa dalam menghumban kita ke dalam neraka. Common lah, mana seronok kena bakar sorang-sorang ye dak?

Maka... bila kita tahu syaitan itu tidak pernah berputus asa menyuruh kita melakukan dosa, mengapa kita berputus asa dalam melakukan taubat kepadaNya.

Bila iman jatuh, tingkatkan semula.

Jangan takut pada kesalahan.. Dari kesalahan itu ada satu pengajaran yang berguna buat mereka yang menghayatinya.

Jom, kita jangan kawan dengan syaitan ;) Ingat, saat kejatuhan iman itu adalah biasa, yang jadi tak biasa adalah apabila kita tak mahu menaikkannya semula.

Hei, manusia, mengapa sombong dengan Allah yang beri offer bertaubat sebelum terlambat? Kelak saat berada di alam barzakh, manusia jugalah yang minta dihidupkan semula agar dapat membuat amal kebajikan.

Ah manusia, daripada hidup sampai mati... tidak pernah bersyukur ya? :')


Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai(Surah Al-Baqarah : 25)

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, March 10, 2013

Celaru(?)





Assalamualaikum.

Hm, kepala dah mula sakit-sakit.

Badan dah mula panas-panas.

Jiwa dah mula kacau.

Hati dah mula berdebar.

Tidur tak lena, makan tak lalu. Perut masuk angin. padan muka

"Eh mastura nak kahwin ke, tak jumput pongg."

Eh bukan bukan.

Tu petanda exam dah dekat. Maaf lama tak update blog, tiba-tiba kata dah nak exam pula. Ish ish.

Saya sebenarnya amat 'kebulur' kan doa kalian, moga saya dapat 4.0 semester akhir ni, dan dapat present tesis dengan baik, dan kemudian dapat kerja yang baik juga. mudah-mudahan.

Kalian saudara saya yang saya sayang kerana Allah, sudi tak doakan saya :)

p/s : saya terpaksa tinggalkan blog sementara, doakan saya ye,...

Read More......

Saturday, February 23, 2013

Tiket ke Syurga

opps nak ke syurga bukan dengan motor.. :)

"Adam, cepat solat, kalau solat dapat masuk syurga." kata ibu kepada Adam.

"Mak.." Tiba-tiba Adam bersuara, "Kat syurga ada legoland tak?"

:')

Manisnya Iman

"Aku pelikla macam mana orang boleh solat lama-lama, bangun tengah malam lagi solat, eh tak penat ke?"

"Itulah manusia yang rasa manisnya iman."

"Ha, manisnya iman? macam mana tu?"

Senyum.

Manisnya iman, ia sangat subjektif, takkan mampu diterangkan dengan kata-kata. Manisnya iman hanya akan dapat dirasa dengan hati, bukan dengan lidah.

Sama seperti manisnya madu.

"Madu rasa apa?"

"Manis."

"Manis tu macam mana?"

"Ala, macam gula tu."

"Eh jap jap gula tu rasa macam mana?"

"Macam madu."

"Madu rasa apa?

"Manis."

!@#$#^#$^#^#

Oh memang sukar mahu diterangkan. Jadi marilah rasa sendiri. Macam mana nak rasa? Selalulah pujuk hati menyayangi Ilahi. Lebihkan Allah dalam segala hal, kalau ada masalah pun mengadulah pada Allah dahulu sebelum mengadu kepada manusia lain.

Berkumpul dengan orang soleh, lazimkan istighfar dan membaca Al-Quran, kalau terasa syaitonnirrojim banyak sangat dan malas nak baca banyak-banyak Quran, cukuplah mulakan 1 hari 1 muka surat, dan upgrade lagi upgrade lagi.

Ingat, istiqamah tu bukan bermakna sekadar buat sikit je lepastu malas nak majukan diri, tapi kekalkan yang sedikit itu dan berusaha untuk tambah lagi amal dari sehari ke sehari...

Dan akhirnya..... Rasailah manisnya iman, lebih manis dari senyuman.

Menempah Tiket Ke Syurga

"Macam mana nak tempah tiket tu? boleh booking online ke?"

Ehem.

Salah, tak ada sistem online kat sini, tapi bukan susah nak tempah tiket ke syurga,tak perlu beratur panjang-penjang, tak perlu berpeluh-peluh menunggu giliran, eh seperti iklan pula.

patuhi sahajalah arahan Allah, jauhi larangannya..

"Ala, kenapa pulak macam tu. Susahlah.."

Ya, mujahadah melawan nafsu tu ada susah sikit, tapi kita usahalah untuk lawan dan Allah memandang kepada usaha kita.

"Kalau Allah baik, kenapa Allah tak buat syurga je tanpa neraka?"

Okay, cuba bayangkan ibu anda suruh anda kemas rumah,balik awal dan jangan nakal-nakal.. Tiba-tiba anda sepahkan rumah, balik lewat dan buat masalah kat sekolah.. Adakah ibu anda akan kata,

"Ala omey omey anak ibu nakal-nakal lawan cakap ibu, meh ibu belanja makan."

atau ibu anda akan denda atau rotan anda?

Begitulah... Allah Yang Maha Mengetahui tahu bahawa bukan semua hambaNya akan amanah memegang tugas sebagai seorang khalifah. Pasti akan ada yang culas. Ada perogol, peragut, perompak dan sebagainya..

Maka adilkah jika mereka tak diberi hukuman yang setimpal di dunia(terlepas dari hukuman), dan kemudian di syurga anda yang baik masuk sama-sama dengan 'si dia' yang banyak buat kejahatan di dunia. Mungkin dia yang meragut beg tangan anda atau merompak rumah anda.

saat itu, pasti anda akan tertanya... Adilkah Allah?

:) Lihat, Allah Maha Adil kan?

Jadi, jomlah jadi soleh/ah dan tempah tiket ke syurga ramai-ramai jom. Nanti boleh borak lama-lama, tak ngantuk punya ;)

Nak apa, minta je

Suatu hari saya bertanya Adam, "Adam, kat syurga ada legoland ke?"

Adam sengih."Taklah kak wawa... nanti adam kata LEGO! lego pun datang kat Adam."

Oh so sweet.

Nanti kat syurga nak apee cakap je, hatta arak pun menjadi halal di syurga. Tengok, kita sabar kejap je kat dunia ni untuk bahagia yang kekal abadi...selamanya.

Mau ka? ;)


Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (An-Nisa' : 122)

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, February 21, 2013

Mendidik Sabar, Memupuk Redha.




"Eh, kenapa ni..." Handphone yang berada di tangan saya pada ketika itu tiba-tiba hang.

Ah, sudah...

Beberapa minit kemudian, ia terpadam. Bateri habis.

"Em, sebab bateri kot. Takpelah nanti sampai bilik charge." Ayat yang lebih kepada memujuk hati sendiri itu saya cakap berulang kali.


Tetap Begitu

Saya charge handphone dan punat on saya tekan. Alhamdulillah, boleh on.

Tapi..... sampai saja pada homepage, terus hang kembali. Saya cabut bateri. Pasang, on.

Masih hang.

Saya cucuk cable ke laptop dan cuba buang aplikasi yang mungkin merosakkan handphone kesayangan saya.

Masih hang.

Berjam-jam saya menunggu dan hingga kini, handphone saya masih dalam keadaan 'sakit'.

Bibir mudah menutur sabar...

"Mas, dah okay ke handphone?" Kakak sebilik saya, kak Faiqah bertanya. "Kalau tak okay, pakailah handphone akak dulu.."

Saya senyum, "Kejap, nak cuba lagi."

Masih berharap... Dan apabila keputusannya masih sama, FAILED! Saya perasan ada butir jernih yang bertakung di kelopak mata. Saya kesat sedikit, tapi kakak sebilik saya lebih pantas melihat.

"Kau okay ke mas?" Kak Jamilah pula bersuara, "Akak tak bolehlah tengok kau nangis macam ni, nanti akak nak nangis jugakk.."

Saya cuba mengukir senyum.

"Takpe mas, nak nangis tu nangis je. kitorang tak nampak. Kau luahkan je." Kak Faiqah pula bersuara.

Dan tangis saya pecah jua. Mungkin nampak masalah biasa, handphone rosak. Tapi nilai di sebalik handphone itu mungkin hanya saya dapat merasa....

Handphone itu hadiah daripada abah saya kerana keputusan baik yang Allah kurniakan buat saya. Mengenangkan jerih perih abah menghadiahkan gadget itu, saya jadi pilu.

Ah. Memang mudah menutur sabar, tapi hakikatnya hati yang terluka siapa yang tahu?

Saya menangis lagi.

Kak Jamilah menyelak-nyelak sebuah buku. "Mas, baca ni. Muka Surat ni je."

Saya menuruti.

Mendidik Sabar, Memupuk Redha

Membaca bait-bait yang tertera pada buku tersebut, saya tersentak. Umpama satu curahan dingin air memasuki relung hati... Ia kembali damai.

Ceritanya lebih kurang begini,

Ada seorang ulama' yang pintar berjalan-jalan dan terjumpa seorang fakir yang sedang bersedih, lalu beliau bertanya, "Wahai saudara, mengapa kau bersedih?"

"Aku mahukan sepuluh ribu."

Ulama itu tersenyum dan berkata, "Mahukah kamu kalau diberi sepuluh ribu tetapi hilang penglihatan?"

"Tidak!" Jawab si fakir.

"Mahukah kamu kalau diberi sepuluh ribu tapi hilang pendengaran?" Tanya Ulama' itu lagi.

"Tidak!"

"Lihat.. kamu telah diberi dengan sesuatu yang lebih baik daripada sepuluh ribu, tapi kamu masih tidak bersyukur?"Soalan terakhir itu menyusuk kalbu si fakir..

Dan juga saya :')

Benar, macam-macam dah Allah beri, tapi Allah tarik satu nikmat saya dah menangis sedih...Lemahnya saya.
Benar, macam-macam Allah beri tanpa saya meminta, tapi Allah 'nak balik' satu nikmat saya terduduk lese...Lemahnya saya.

Mungkin juga Allah nak uji saya, selama ni saya kata sabarlah, sabarlah, sabarlah! Allah nak tengok pula, saya sabar ke tidak, ke saya ni pandai cakap je buatnya tidak :')

Maka... mendidik sabar, memupuk redha bukannya sesuatu yang mudah..tapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil.

Mendidikk sabar, memupuk redha...bukannya sesuatu yang enteng, tapi ia adalah benteng diri daripada pujukan syaitan.

Mendidikk sabar, memupuk redha...selalunya menggamit resah, tapi di pengakhiran segala..ia adalah sesuatu yang indah.

Dan ingatkan pada diri :

“Apa yang di sisi kamu itu akan hilang dan apa yang di sisi Allah itu yang kekal. Dan akan Kami berikan kepada orang-orang yang sabar itu pembalasan, menurut yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya“ -“ Surah An-Nahl :96

Heii Allah tengah cakap dengan kita tu. A ah, dengan saya, awak..semua.. Allah kata, kalau sabar Allah akan beri pembalasan yang baik..

Senyum. :)

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, February 10, 2013

Bersaabrlah sayang...



"isk..isk... Hak saya diambil, hati saya tidak tenang, sudah puas saya bersabar."

Tangisan itu membuatkan saya termenung jauh. Benar-benar jauh. Antara kesabaran yang diajar Nabi dengan hak yang diambil dari empunya diri.. Benar, bukan sesuatu yang mudah untuk kita menimbangkan keduanya secara sama rata. Jika diletakkan ke atas sebuah dacing, pasti salah satunya memberat ke bawah.

Yang berat itu sabar atau bangkit mempertahankan hak diri?

Entah, benar-benar sukar memberi ketenangan pada hati, apatah lagi yang merampas itu merupakan saudara sendiri..



Saya sendiri buntu, apabila diasakkan dengan persoalan begini, hati saya juga menangis seperti kamu yang tersenyum lesu...

Cuma.. Persoalan hati, ah siapa yang tahu?

Maka sajak ini saya khususkan buat kamu yang sedang menangis, dan juga buat kamu yang sedang menahan sabar pada ketidakadilan dunia yang kamu rasa...

bersabarlah sayang...

Dunia ini memang begini,
Tiada yang abadi,
Bahkan yang hidup juga pasti akan pergi,
Pergi menghadap Tuhan yang sering menanti...

Dunia ini memang begini,
Kadangkala pahit datang menjengah,
Manusia menangis terasa kalah,
Tatkala manis datang menyapa,
Manusia kembali tersenyum alpa,

Dan engkau bertanya lagi, "bilakah kemanisan itu kan menjelma pada hati ini yang sentiasa derita?"

Tersenyumlah sayang,
Engkau tidak pernah derita bersendirian,
Jika dunia yang kau kejarkan,
Sahabat dan sahabiah dahulu tidak pernah merasa nikmatnya dunia,
Kerana sering mengecapi kemanisan iman buat bekalan di akhirat sana,

"bagaimana dengan hak diri yang sering dirampas pergi, oleh mereka yang bergelar saudara sendiri?" kali ini esakanmu menjelma,

Dan membuatku buntu,
Ya, pasti mudah buatku berbicara sabar,
Sedang engkau yang menghadapi segala,
Yang lumat itu hatimu,
Yang calar itu hatimu,
Yang menitik itu air matamu.

Dan engkau menangis lagi,
Tiada daya. Tiada apa yang kau mampu lakukan.
Antara sengketa dan sabar, engkau lebih memilih untuk sabar,
Atas nama saudara,
Engkau rela derita...

Mulianya dirimu sayang,
Engkau tidak dapat hak di dunia,
Tapi engkau mendapat kemuliaan di sisiNya,

Engkau merasa derita di dunia,
Bersabarlah untuk mendapat kemanisan di akhirat sana...

Maka kali ini sekali lagi ku katakan..

Bersabarlah sayang...
Untuk satu detik di mana tiada lagi derita,
Yang ada cuma bahagia,
Pada saat engkau mampu berjumpa dengan para Nabi,
Mendengarkan kisah pengalaman mereka,
Malah berjumpa dengan para sahabat, tabii, tabiin,
Juga salahuddin al-ayubi yang engkau selalu minati,
Duduk bersama mereka dan dengarkan kisah menarik yang selalu diimpi...

Bersabarlah sayang,
Derita itu sementara cuma,
Di sebalik senyuman lesu itu,
Ku tahu segumpal derita di hatimu..
Tersenyumlah sayang...
Sehingga tiba satu detik yang abadi,
Di syurga yang selalu diimpi insani...


Wallahu'alam

Read More......

Saturday, January 26, 2013

Lahirnya Insan Mulia



"Anak-anak semua... mai duk kat umi, umi nak cerita ni pasal Rasulullah.. ha, Rasulullah, manusia paling agung sekali dalam dunia ni.."

Ehem, terasa bagai ibu mithali pula menaip seperti perenggan di atas ;))

Maaflah terlewat, dah belated birthday dah pun... tapi, sebab kita semua sayang cinta rindu terlebih-lebih kat baginda Rasul, jomlah sambut sebulan birthday baginda..

Tapi sahabat, jangan lupa..12 Rabi'ul Awal juga merupakan tarikh Rasulullah meninggalkan kita semua...

Ya. Rasulullah. Insan yang amat mencintai kita itu...

Ayuh telusuri Sirah....


Sebelum Kelahiran

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, negara yang bertamadun adalah negara Rom dan Parsi. Tetapi, Rasulullah dilahirkan di Semenangjung Arab, satu tempat yang jauhhhhhhhh dari tamadun. Bangsa Arab pada ketika itu adalah bangsa yang teruk, malah tidak berpelajaran.

Tapi, Allah pilih Nabi untuk lahir dalam bangsa itu.

"Eh, kenape eh? kenapee kenapee Allah buat macamtu?"

Ha! Setiap apa yang Allah rancang, pasti itulah yang terbaik. Rasulullah dilahirkan dalam bangsa Arab adalah kerana, orang tak bolehlah kata...

"Ooo... Nabi ni 'dapat' kenabian sebab lahir dari golongan cerdik pandai la ni..."

No no no. tak boleh. Allah pilih Nabi bukan kerana bangsa, bukan kerana warna kulit atau sebagainya, Allah pilih untuk memuliakan Nabi dengan Agama, dengan Islam, dengan Iman...

Tapi, jangan pula ada yang kata : Ha, tak pandai belajar, tak tau baca tu sunnah letteww!!

eh awak tu bukan Nabi, ada perkara yang dikhaskan hanya untuk Nabi sahaja. Tapi ingat, Nabi itu seorang yang cerdik, rajin, bersifat terbuka dan sentiasa bersemangat....

Jadi belajar bersungguh-sungguh sampai boleh menyumbang untuk Islam okei :)

Kelahiran

Maka.. bermulalah kisah...

Nabi lahir di rumah Abu Talib, disambut oleh bidan bernama Ummu syifa' iaitu ibu kepada Abdurrahman bin Auf.

Tetapi.... *krik, krik* efek seram

Sebelum kelahiran Nabi... Aminah telah bermimpi, ada suatu suara berkata : Wahai Aminah! engkau sekarang sedang mengandungkan tuan umat ini, maka apabila engkau bersalin, berdoalah : Aku melindunginya dengan Tuhan yang maha esa yang menjadi tempat tumpuan segala makhluk daripada kejahatan tiap-tiap pendengki. Dan namakanlah dengan nama Muhammad.

Maka... apabila Aminah bersalin, terpancarlah cahaya menerangi seluruh alam dan Nabi keluar dalam keadaan yang sedang bersujud. Abdul Mutalib pun datang memeluk cucunya sambil bertanya kepada Aminah,

"Aminah, kau nak letak nama apa budak ni?"

"Semalam saya mimpi suruh letak nama Muhammad."

Terkezut Abdul Mutalib, kerana kebiasaan pada zaman itu memberi nama anak dengan nama yang pelik-pelik seperti batu dan keldai betina, nama Muhammad bagaikan skema pula pada pandangan si datuk, tapi dia turuti jua.

Abdul Mutalib ni..ada ramaaaiiii anak. Bila ada ramaaiiii anak, adelah ramaiii cucu ye dak? Tapiiii... mengapa pula banyak i ni Abdul Mutalib tak pernah bawa cucu dia yang lain tawaf dalam kaabah, malah beliau siap buat lagu untuk Nabi.

Nak tau apa lagu yang Abdul Mutalib nyanyi waktu peluk Nabi tu? Ha dengar lagu di bawah :



Yathrib Kecoh

Lebih kurang 500km dari Mekah iaitu di sebuah negeri bernama Yathrib atau dikenali sebagai Madinah sekarang, malam itu orang-orang yahudi tidak lena tidur, seorang demi seorang keluar dari rumah...

Ada seorang yahudi berlari-lari menuju naik ke atas sebuah bukit dan menjerit,"Wahai orang-orang yahudi!! Berkumpul! Berkumpul!" Orang Yahudi pun datang dan bertanya, "Eh, kenape kenape, ape cite ni?"

Orang yang menjerit tadi menunjuk ke langit,"kau tengok tu kat langit! Pada malam ini telah lahirnya bintang Muhammad s.a.w"

Fuh! diorang tahu mana satu bintang Nabi Muhammad, cuba cubaaa kita tengok langit sekarang, kita tahu ke bintang Nabi Muhammad mana? saya pun tak tau. Nampak tak, betapa kita ni kurang ilmu malah malas mengkaji.

Maka, disebabkan Nabi-Nabi terdahulu adalah berbangsa Yahudi, orang Yahudi ni confirm habis yang Nabi yang lahir tu dari kaum mereka, maka mereka pun pergi cek semua orang yang bersalin pada malam itu, tapi tidak ada yang melahirkan anak lelaki.....

Dan semenjak itulah, orang yahudi menyimpan dendam kepada Nabi...

Kesimpulan(?)

lepastu bermulalah kisah Nabi, ibunya meninggal dan dibela datuknya kemudian pakciknya, dan bermulalah perjalanan hidupnya, mengenali khadijah dan menjadi Rasul..

Sehinggalah baginda wafat....

Rasanya semua orang tahu kot cerita tu, ke nak dengar juga 'umi' ni bercerita, kalau nak, komen dengan kata-kata, saya nak umi mas bercerita! hehe, gurau je..

Semoga sentiasa subur cinta kita kepada Nabi, dan buktikanlah dengan mengikuti sunnah perlakuan Nabi, bukan sekadar mengikuti zahir baginda...

Sollu, sollu 'ala Nabi :)

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, January 15, 2013

Ada Apa Dengan JB?


Assalamualaikum.

fuh fuh, tiup habuk kat blog. eh sarang labah-labah pun ada, blog siapalah ni -.-" Maaf sangat dah lama tak update blog, saya sekarang di semester akhir pengajian, jadi agak sibuk sikit. Masa dah tak berapa sibuk, broadband pula habis quota. nak buka satu page boleh pergi tandas dulu, buat air, sidai kain, patah balik ke bilik... eh belum buka lagi?

jadi harap boleh terima alasan saya ni T_T

Hari ni saya nak cerita benda biasa-biasa je, yang selalu saya kena, yang selalu orang tanya "JB? Bandar sosial tu? awak duduk kat sana?"

Hm...

Ada apa ye dengan JB?

JB? KB?

"Assalamualaikum, nama saya mastura binti mohd yusuf dari JB."Bosan, cliche, tapi itulah ayat yang saya perlu ulang setiap kali bermulanya kelas baru dan pensyarah baru.

dan jawapan yang selalu saya terima :

"Ooo..KB."

"Ooo..KB area mana?"

-.-"

"JB, saya dari JB, Johor Bahru." Dan kebanyakkannya akan tercengang-cengang. Mulanya saya pelik, hinggalah akhirnya kawan saya beritahu, "Mas, masa mula-mula nampak mas kita tak percaya mas orang JB, sebab JB kan bandar, macam susah nak jumpa orang pakai tudung labuh."

Bingo. satu jawapan merungkai persoalan. Thank you Allah.

Ada Apa dengan JB?

Dari kecil saya membesar di JB, betapa buruk pun orang kata JB tu, satu fakta yang tak dapat diubah ialah saya lahir di sini, membesar di sini, sakit di sini, jatuh bangun semua di sini.

Pendek kata, dalam besarnya JB ini, ia terselit kisah suka duka seorang insan kerdil ini, terselit kisah pedoman yang membangkitkan semangat untuk terus hidup dan berjalan.

Ya, kerana saya lahir di sini, saya belajar pelbagai perkara...

Memang benar, sukar nak lihat orang yang benar-benar menutup aurat di sini, maka saya belajar menundukkan pandangan, dan saya belajar bagaimana untuk tidak menghukum.

Saya mengenali ramai manusia yang kelihatannya 'biasa-biasa' tapi benarlah setiap manusia mempunyai satu fitrah yang sukakan kepada kebaikan, maka saya dapat belajar sesuatu...sejahat mana pun manusia, pasti akan ada satu sifat baik dalam dirinya, cuma kita yang tinggal memilih, mahu melihat kebaikannya atau terus mengecam kejahatannya.

Dan saya berjalan lagi....

Pusat hiburan di sana-sini, saya jadi penasaran, hingga saya sudah biasa tidak keluar dari rumah melainkan atas urusan penting.

Saya jadi berfikir... bagaimana hiburan di dalam Islam? Bagaimana untuk ubah semua ni? Tanpa ilmu, ungkapan yang dituturkan kita samalah seperti mengetuk tin kosong, tak ada siapa nak dengar, bunyinya bingit dan tiada isi di dalam tin.

dan kerana itu, saya terus berjalan dan berjalan untuk mengutip ilmu Allah, saya ingin membangunkan Islam di negeri saya sendiri...

Hakikatnya,antara sedar dan tidak, di bandar ini banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan.....

Bersyukur

"Ala boringnya dok kat sini, kenapalah mak bapak aku tak pindah tempat lain." Acapkali saya mendengar rintihan demi rintihan yang lahir dari mulut manusia.

Saya tersenyum. manusia.. begitulah perilakunya. jarang bersyukur dan gemar merintih. Kita sering terlupa, di mana pun kita diletakkan, itulah pilihan Allah buat kita...

Belajarlah melihat titik putih dalam kawasan hitam yang gelap gelita. Belajarlah melihat titik putih walau dalam hati hitam musuhmu...

Kerana, andai kita bisa melihat titik putih itu, kita akan tahu, tak semua orang jahat itu jahat. tak semua yang kita rasa buruk itu, buruk.

Bukankah saya dah cerita tentang bekas seorang bonzer kelab malam yang menjaga kami dengan penuh berwibawa semasa ekspedisi dakwah malam tahun baru tempoh hari?

Nah, mari kita baca apa kata Allah pula :


....boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah : 216)

Wallahu'alam :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .