Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, September 29, 2012

Sungguh Aku Rindu


Tuhan…
Aku rindu pada Makkahmu,
Yang menyimpan seribu sejarah,
Yang menyaksikan kelahiran Rasul Yang Mulia,
Yang menjadi saksi jerih payah dan penghinaan yang diterima baginda..

Tuhan…
Ku rindu haruman tanah di sana,
Yang menjadi tempat berpijaknya Rasul menyebarkan dakwah,
Menjadi tempat berjalannya para khulafa’ Ar-Rasyidin,
Menjadi saksi setianya Hajar berlari-lari antara safa dan marwa,
Untuk mencari air buat si kecil Ismail…


Tuhan…
Ku rindu pada damainya Kota Madinah,
Tempat bersemadinya Rasul yang ku cinta,
Tempat terabdinya sebuah cinta,
Menyelak lembaran sirah,
Bagaikan aku berada di sana,
Saat Rasul menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Si Humaira’,

Bagaikan aku melihat Umar yang tidak percaya,
Bagaikan aku terdengar dia berkata,
“Siapa yang mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat, akan ku penggal kepalanya!”
Lalu ditenangkan oleh sahabatnya Abu Bakar,
Dan Umar terduduk percaya,
Menelan kepahitan yang dirasa,
Dalam hati tidak sabar untuk bersatu kembali dengan Nabi,
Di syurga yang abadi…

Tuhan…
Aku hambaMu yang lemah,
Aku sering melupakanmu pada saat hati dilanda gembira,
Dan menyalahkanMu pada saat hati dirundung duka,
Layakkah aku ke sana lagi,
Untuk berpijak di tanah itu,
Melawat maqam insan yang paling ku cintai,
Dan seolah-olah menghidu haruman tubuh baginda,
Menerawang di sekitarnya….

Tuhan…
Apakah aku masih punya waktu,
Untuk bersujud di hadapan KaabahMu,
Yang menyimpan sejarah dengan tentera bergajah,
Apakah aku masih punya waktu,
Untuk menangis memohon ampunanmu,
Di tanah yang mulia itu?

Tuhan…
Beri aku waktu,
Walau hanya sedetik cuma,
Untuk aku kembali bersujud,
Di tanah mulia Madinah dan Makkah Al-Mukaramah….

:’(

Wallahu’alam

Read More......

Saturday, September 15, 2012

Maafkan Kami Rasulullah!

I LOVE YOU RASULULLAH!

Kasihannya dirimu ya Rasul,
Dari dulu sehingga sekarang,
Hinaan tidak pernah berhenti,
Dikau terus sahaja dicaci...

Namun dahulu,
Dalam menongkah arus ini,
Dikau tak pernah sendiri,
Yakinnya dikau akan Allah di sisi,
Dan juga para sahabat yang selalu membahagiakan diri....

Ya Rasulullah,
Kini engkau dihina lagi,
Dihina dengan seburuk-buruk penghinaan,
Difitnah dengan sedahsyat-dahsyat fitnah,
Apakah waktu ini,
Engkau sedang menangis di maqam sana?

Ya Rasulullah,
Kami kata kami cinta,
Namun adakah kami berdusta?

Kami kata kami cinta,
Tapi sunnahmu kami biarkan sahaja,
Ajaranmu kami lupakan,
Bahkan kami selalu sibuk,
Menghukum sesama manusia,
Seolah-olah kamilah Tuhan...

Ya Rasulullah,
Engkau selalu mendoakan kebaikan,
Meski kepada manusia yang melontarkan hinaan,
Engkau tersenyum,
Berbuat baik kepada wanita yang selalu menghinamu,
Menziarahi manusia yang selalu melontar batu ke arahmu...

Namun kini,
Engkau difitnah lagi,
Bukan dirimu sahaja,
Malah Khadijah dan Aishah yang mulia terlibat sama,
Bagaikan ku terlihat,
Titisan air mata Fatimah membersihkan najis yang dilontarkan ke arahmu,
Bergetar hatiku,
Mengenangkan Khadijah yang berkorban segalanya demi Islam tercinta,
Cemburu rasa jiwaku,
Mengenangkan Aishah yang menemanimu sehingga ke pengakhiran usia...

Ya Rasulullah,
Engkau selalu bermanis muka,
Engkau selalu menyebarkan bahagia,
Sedang kami selalu bertelagah sesama manusia,
Sibuk mempertahankan pendapat sendiri,
Menghodohkan syariat Islam yang hakikatnya Indah..

Kami marah Islam dihina!
Kami kecewa engkau difitnah!

Tapi,
kami bergerak lewa,
Dalam arus dunia,
Kami tersungkur hiba.

Tiada lagi Salahuddin al-Ayubi yang melawan musuh dengan berhemah,
Atau Umar al-Khatab yang mempamerkan lambang Islam yang amanah,
Yang tinggal hanya kehancuran,
Keleburan...

Ya Rasulullah,
Sungguh aku rindu!
Rindu pada kedamaian Islam,
Sungguh aku rindu!
Rindu pada tertegaknya yang haq di bumi ini...

Ya Rasulullah,
Apakah aku ini,
tergolong dalam golongan yang engkau rindui,
Atau aku ini,
Hanyalah perosak agama yang suci?

Ya Rasulullah,
Adakah pada ketika ini,
Engkau sedang menangis lagi,
Melihat umatmu ini?


Suatu ketika bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sahabat-sahabatnya yang mulia. Dibarisi sahabat paling setia Abu Bakar as-Siddiq. Terkeluar dari mulut baginda yang sangat mulia. “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku),” kata baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

“Apakah maksudmu berkata demikian, wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?”Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku.” Suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga saudaramu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian Baginda bersuara,
“Ikhwanku adalah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku dan mereka mencintai aku melebihi anak dan orang tua mereka. Mereka itu adalah saudara-saudaraku dan mereka bersama denganku. Beruntunglah mereka yang melihatku dan beriman kepadaku dan beruntung juga mereka yang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” (Hadis Muslim)


Wallahu'alam

Read More......

Friday, September 14, 2012

Cantikkan Tiang Kita


"Wa, semalam sebelum tidur solat Isyak tak?" saya masih ingat, itulah soalan yang selalu disoal oleh arwah ibu angkat saya kepada 'si kecil' Mastura. Ketika itu, saya kira umur saya baru menjengah 5-6 tahun.

Perlahan saya menggeleng.

Arwah ibu angkat saya mengeluh, "Macam mana kalau harini tak sempat bangun dah meninggal?"

Soalan itu, saya simpan rapat-rapat dalam hati sehingga sekarang.


Indahnya Solat

"Dahaganyaa... air mana air?"

waktu tekak kita kering, kita secara automatik tahu mana nak cari air pengubat dahaga. Baiknya Allah yang menciptakan manusia... Dia tahu apa yang manusia perlu.

Justeru, apabila iman kita kering, Allah hadirkan solat buat menyimbah iman yang kontang. Allah hadiahkan solat sebagai waktu istimewa untuk kita bercakap-cakap dengan Allah, untuk kita merintih dan mengadu segalanya, untuk kita melagukan syair rindu dan cinta padaNya.

Baiknya Allah yang benar-benar memahami manusia. Tapi... kita selalu MALAS nak solat. Kita selalu lengah-lengahkan solat. Malah, kita hafal hadith yang mengatakan segerakan perkahwinan bila tiba waktunya, tapi kita lupa ayat sebelumnya :


Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap(urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui yang sesuai untuknya (Riwayat At-Tirmizi)

haih, macam mana ni, kahwin nak, solat tak nak? -.-"

Tiang

Jom kita rilek-rilek baca cerita lucu pasal tiang.

Situasi 1 : Episod tiang rapuh

A : Bagus-bagus rumah ni cantik, semua lengkap.

*pegang tiang*

Prang!!!

A: Eh kenapa, kenapa kenapa rumah ni runtuh??

N : er, er, tiang dia rapuh tuan!

Monolog Dalaman : Kalau solat kita sekejap solat sekejap tak, rapuhlah tiang amal kita, kita sedekah, kita dah buat banyak amal kebajikan tapi yang utama sekali kita tak buat(solat) habis hancurlahh semuanya.

Situasi 2 : Episod tiang hilang

A : bagus bagus bagus pelan rumah ni, ada atap cantik, lantai mewah... tapi macam mana nak bina ni, tiangnya mana?

B : Tiang hilang tuan!

A : Aku nak kau hilang sekarang.

Monolog Dalaman : Kalau kita sisihkan amalan pertama(solat), amalan yang lain-lain umpama tiada gunanya...

Lucu kan orang cipta rumah tanpa tiang atau tiang rapuh. Tapi lagi lucu bila kitalah yang membina tiang tersebut!

Solatlah Sayang.

Bersolatlah, kerana solat itu menenangkan hatimu.
Bersolatlah, kerana solat itu penghubung dirimu dengan Tuhan.
Bersolatlah, kerana solat itu tiang Agamamu!

Solat itu mencegah kemungkaran. Jika kita solat tapi masih lagi melakukan kemungkaran, hayatilah semula solat kita...


..dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut : 45)

Terima kasih buat arwah mak angkatku.. buatmu mak... terima kasih kerana mengajukan soalan itu dahulu.

Mak,wawa tahu mak tak baca ni, tapi wawa harap mak tahu... sekarang bila dah masuk waktu solat dan wawa tak betul-betul lapar sangat, wa takut nak makan dulu sebelum solat sebab wawa takut mati waktu makan.

Bila tengah tengok tv masuk waktu solat, wawa takut tak pergi solat sebab wawa takut mati masa tengok tv.

Bila mata ngantuk, wawa takut nak tidur dulu baru solat, sebab wawa takut tidur tak bangun-bangun lagi. terima kasih mak... doakan wawa pergi menghadapNya dengan baik, seperti mak, di sisi suami yang setia mencinta dan anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan....

wawa rindu mak, sangat :') tenanglah mak di sana..... Al-Fatihah.


“Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran. JIka kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur meningati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.” -Imam Ghazali.

Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .