Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, October 31, 2011

Biar Buta Mata, Jangan Buta Hati.

"Sahabat semua, kalau hati kita celik mesti kita bahagia kan.."

"Aaaaa..." Adam berjalan, tersengih sambil menutup matanya. Tangan dijulurkan ke hadapan,persis seorang buta.

Saya hanya melihat keletahnya, entah apa idea baru lagi yang ingin dibuatnya.

"Eh, terlanggar pulak." Ujarnya beserta tawa kecil dan mendarat di tubuh abah saya.

Oh, itu rupanya! Saya tergelak.

Biar Buta Mata, Jangan Buta Hati

Orang kata, kalau mahu menilai, nilailah menggunakan mata hati, bukan mata kasar sahaja, dan biasa tak kita dengar...Pandangan Allah itu jatuh pada sekeping hati, bukannya pada cantiknya wajah atau hebatnya pakaian.

Hati... Pentingkah sekeping daging itu?

"Ish ish saudari..apa yang hebatnya daging tu? Bukannya ada apa-apa pun, Alah, hati je."

Siapa kata tidak penting? Dengan hati kita mampu menyayangi.. Dengan hati, kita wujud sifat ehsan.. dengan hati kita tahu menilai sesuatu... Dengan hati juga, Allah beri satu firasat pada sesiapa yang Dia kehendaki.

Hebatnya hati, hinggakan Baginda Rasulullah S.A.W bersabda :

" Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging,apabila ia baik,baiklah seluruhhnya, dan apabila ia rosak ,rosaklah sekeliannya.KETAHUILAH ! Itulah dikatakan Hati." ( Hadith Riwayat Bukhari Dan Muslim)


"Sedarlah, kau tak elok buat kerja macam ni, duit yang kau dapat tu tak berkat."

"Apa aku kisah. Asalkan aku kaya raya, hidup senang-lenang."

Hati yang dibutakan tidak akan mampu lagi melihat kebenaran. Hadirkanlah cahaya sehebat lampu spotlight sekali pun, andai tidak mahu dicelikkan hati yang ada, kegelapan juga yang datang menyapa....

Mata Hati


Pandangan mata selalu MENIPU,
Pandangan akal selalu TERSALAH,
Pandangan nafsu selalu MELULU,
Pandangan hati itu yang HAKIKI...

Ha, cuba teka lagu siapa ni?:)

Belum habis lagi..ada sambungan lagu itu...

...Jika Hati itu bersih.

"Ish saudari ni, peliklah..hati bersihlah kotorlah, macam mana nak tahu?"

Sabar, sabar, mari teruskan membaca dengan hati yang celik.

Sewaktu saya kecil dahulu, emak selalu berpesan, "Wawa, kalau buat satu kesalahan, akan ada satu titik hitam dalam hati, kalau buat lagi, akan tambah lagi hitam..Sampailah akhirnya, hati itu hitam keseluruhannya. Bila hati dah jadi hitam semuanya, kita takkan dapat bezakan yang mana betul yang mana salah."

Sahabat, hati kita fitrahnya suci dan bersih. Perkara fitrah ni hakikatnya tidak boleh dilawan, saya bagi contoh mudah, fitrahnya kita akan ada sifat kasih kepada seseorang. Itu fitrah,dan fitrah hati pula suci dan bersih...

Apa jadi bila kita ada rasa sayang sangat kat seseorang, ibu kita contohnya.. tapi kita lawan, lawan perasaan tu... Hati mesti rasa sakit melawan fitrah kasih sayang itu kan? Jadi, fitrah hati yang suci bersih..jika dilawan, hati akan menjadi tidak enak juga.

Ha, pernah tak...terkadang bila nak buat sesuatu, kita teragak-agak, eh ok tak ni, ok tak ni.. atau bila dah buat tu rasa tak tenang je... mari periksa semula, mana tau kot-kot kita dah melawan fitrah :)

Tak percaya? Anda budak sains? Mahukan eksperimen?

Boleh,boleh..Islam itu kan merangkumi semua.

Sekarang ikut step ini :

1) Ambil dua helai kertas, satu kertas putih dan satu kertas yang telah diconteng.

2) Calitkan sedikit contengan pada kedua-dua kertas.

3) Lihat, kertas mana yang kita boleh lihat jelas contengannya, dan kertas mana yang kita pun dah tak tahu mana satu contengan baru.

Ha...bagaimana? hipotesis diterima atau ditolak? :)

Begitulah sahabat...jika hati dah terlalu kotor, ia akan jadi buta. Bila dah buta, buat salah baru pun dah tak nampak lagi....

"Ish, saudari ni menakutkan saya lah..jadi macam mana nak bersihkan hati?"

Ha. sabar sabar. mari tarik nafas, duduk dan beriman.. Saya belum habis cerita lagi ni :)

Bila mak saya kata begitu pada saya waktu kecil, saya pun bertanya, "Habis, macam mana nak putihkan balik hati?"

Dan mak jawab "Dengan istighfar, dan lakukan kebaikan."

Ha..istighfar. istighfar. ia ibarat pemadam kepada pensil kesalahan kita...Maka lazimkanlah istighfar, moga bersih hati yang telah dikotori...

Moga Hatimu Terus Hidup


"Aduh aduh, sakitnya kaki ni." Abah saya bersuara, sengaja menarik perhatian Adam.

Adam berdiri dan memerhatikan, sebentar kemudian, dia memijak-mijak kaki abah saya. "Sakit lagi ke?"Pertanyaannya diajukan.

"A ah..sakit"

Adam beralih ketepi, tangannya pula memicit-micit kaki abah saya. "Sakit lagi ke?"

Saya yang melihat tersenyum. Moga hatimu terus hidup sayang, dan kemudian bukan sahaja dapat merawat sakit kaki manusia, malah dapat juga mengesan hati yang sakit, dan iman yang lesu...

Wallahu'alam.

Read More......

Friday, October 28, 2011

Hujan.

Sumber : Google.

Hujan itu turun lebat,
Bumi dibasahi sebasahnya,
Membasahkan tanah gersang,
Meredupkan sinaran terik mentari.

Ada manusia yang berlari-lari menyembunyikan diri,
Bimbang air hujan terkena membasahi diri,
Si anak kecil digendong oleh si ibu yang penyayang.

Ah,
Hujan itu benar-benar mengingatkanku,
Pada hebatnya kehidupan berTuhan,
Pencipta alam yang luas terbentang,
Bahkan hujan itu menewaskan mentari yang terik memancar.

Hujan itu penenang.
Hujan itu penyejuk jiwa.

Tapi masih ada manusia yang merungut,
Hujan ini benar-benar menyusahkan!
Habis baju di ampaianku basah!
Habis kotor kereta baruku!
Habis lecak jalan di sana sini!

Oh manusia benar-benar terlupa pada satu hakikat bersyukur,
Tika mentari terik memancar,
Mulut pantas berkata indahnya jika hujan datang membasahi,
Dan saat Allah memberi hujan,
Mulut lancar pula merungut itu dan ini..

Duhai manusia,
Sedarlah kita,
Allah itu sudah banyak bersabar dengan kita hambaNya,
Dan kita seringkali terlupa pada hakikat itu,
Ke sana-sini berhibur tanpa henti,
Dan kembali menghadap Ilahi,
Pada saat musibah melanda diri.

Jangan risau,
Jangan bimbang,
Allah itu amat besar rahmatNya,
Asal dikau benar-benar bertaubat,
Dia tidak memandang masa silammu,
Bahkan selalu terbuka menanti kehadiranmu...

Tapi duhai sahabat sekalian yang ada,
Manusia selalu berfikir pada rahmat Allah yang luas,
Ingatlah,
AzabNya juga amat keras,
Jika kita terus menjadi abdi pada kehidupan.

Tanya pada diri,
Siapa hakikatnya kita ini,
Hamba Tuhan atau hamba kepada kehidupan.

Hujan itu masih turun,
Semakin lebat,
Seolah terpancar kesedihan alam,
Melihat manusia yang kian alpa...

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, October 23, 2011

Cahaya Yang Tidak Terpadam


Dia berjalan dalam kegelapan, mencari sinar yang menyembunyikan diri.

Melihat manusia yang kian rakus, dia semakin takut untuk menghampiri. Ah,alam yang damai... Mengapa begitu menyenangkan hati? Sedikit air yang berkocak, pada sungai yang tenang alirannya mengusik hati kecilnya.

Tenang. Dia merasakan itu. Cemburunya pada alam melebihi kecintaan manusia kepada dunia.

Dunia...yang satu saat nanti pastikan lebur, menjadi debu.

Dan gadis itu masih tersenyum..... Mencari-cari cahaya berseorangan.

Mencari kedamaian apakah yang alam ini hadiahkan, dari manakah ketenangan ini hadir. Hatinya koyak melihat manusia, manusia yang seolah-olah tiada hala tuju kehidupan. Manusia yang lupa bahawa kehidupan ini Bertuhan.

Dan.... gadis itu terduduk, bersama sekeping hati yang hancur.

Segaris cahaya telah hadir dalam hatinya namun dia masih ragu-ragu. Mencari kekuatan yang seolah-olah rapuh, susah baginya membayangkan,bagaikan menjadi cendekiawan di kalangan jahiliyyah. Bagaikan menjadi cahaya di sekeliling kegelapan. Bagaikan menjadi musuh dalam keluarga sendiri.

Ah, kakinya menyepak air yang tenang, sekawan ikan berlari-lari bertebaran. Dia mengguris senyum, indahnya menjadi ikan.. Tidak perlu memikirkan rawannya dunia, tidak perlu memikirkan sesaknya hati.

Ah!

Wajahnya diraup, kekuatan...kemana kau menghilang?

Segaris cahaya di dalam hatinya memujuk agar segera bertenang. Dia mengehela nafas. Ragu-ragu. Benarkah, benarkah perasaan ini? Apa mungkin dia tidak salah? Atau mungkinkah kelak dia akan menangis lagi. Sendiri.

Rumitnya permasalahan, tapi dia tahu inilah yang mengajarnya pada sebuah kehidupan.

Ah alam.... berikanku ketenangan, tunjukkanku jawapan. Hati kecilnya berbisik sayu, air jernih mula bertakung di kolam matanya, air mata..pergilah,pergilah bersama bebanan yang ada. Pergilah,pergilah...

Awan di atas berwajah hitam, menandakan hujan mungkin akan turun bila-bila masa sahaja. Si gadis melihat ke atas, senyumnya terkoyak lagi. Oh awan, bagaikan kau mengerti gundahnya hati.

Tap, setitik air dari awan itu jatuh mengenai pipinya. Dia mengesat dan tersenyum lagi. Tidak ada beza air hujan itu dan air matanya. Hujan yang semakin lebat turun memaksa si gadis berlari-lari anak, berlindung di sebalik pokok yang rendang.

Angin bertiup. Sejuk. Dingin. Sedingin hatinya.

Ah alam, temani aku, ah alam.. tenangkan aku. Si gadis menangis lagi.

Cahaya...hadirlah dikau menemani kegelapanku. Esakannya berterusan,tapi anehnya esakan itu membangkitkan kekuatan. Dia bangkit, nekad. Biarlah apa pun yang berlaku dia sudah pasti. Cahaya itu harus digenggam kemas, tidak boleh dilepaskan lagi. Biar, biar apa sahaja yang berlaku, dia pasti dia tidak akan berseorangan.

Dan dia berjalan, dengan sebuah kepastian. Walau dia akan keseorangan, dia pasti Tuhan pencipta alam ini tidak akan membiarkannya sendirian.

***

"Alhamdulillah cahaya itu hadir, dan alhamdulillah saya bertemu Islam dahulu sebelum bertemu dengan orang Islam."

"Alhamdulillah... saya dah nak masuk Islam, Islam banyak penyelesaian kepada permasalahan saya."

Satu persatu ayat-ayat dari saudara-saudara baru kita menerjah masuk ke gegendang telinga saya. Ada yang dibuang keluarga, tidak kurang juga yang merangkak bersendirian, demi sebuah cahaya yang pasti tidak akan padam. Namun mereka masih kuat,meski orang Islam sendiri tidak mahu menolong,kerana keyakinan mereka pada Allah teguh, bukan serapuh sebiji pinggan, dihempas pecah berderai.

"Orang Islam tidak menghargai Islam kerana dari kecil dah dapat nikmat tersebut, sedang kami harus bertatih mencari."

Saya tersentak. Malu.

Dan mereka ini masih bergerak, dengan sebuah kepastian yang jitu...Membangkitkan satu rasa dalam diri. Segan. Indahnya punya hati seperti mereka.

Dan mereka ini terkadang berjalan berseorangan...tiada siapa yang mahu membantu, sudah dibuang keluarga, umat islam yang rata-rata tidak faham islam pula tidak mengendahkan mereka.

Terguris. Terhiris. Hati mereka...hanya Allah yang tahu. Kelak suatu ketika, pasti semua ini akan dibicarakan... pada satu mahkamah yang hanya punya kepastian.

Ayuh sahabat, mari kita bantu saudara-saudara baru kita. Berikan mereka kekuatan kerana mereka seolah-olah bayi kecil lagi, cuma bezanya hati mereka sangat ampuh.

Mari...mari menjadikan Islam kehidupan dan hiduplah dalam Islam yang sebenar.

Selamat kembali kepada fitrah duhai saudara baru kami. Moga terus hidup dalam sebuah cahaya yang tidak akan terpadam :')

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, October 18, 2011

Belajarlah Menghargai

Walau berlainan rupa, berlainan pangkat, saiz atau budaya..tapi kita semua punya hati yang satu, yang mungkin rapuh dan mudah terluka...jadi belajarlah menghargai :)

Kereta yang saya naiki bersama emak saya meluncur deras membelah lebuhraya.

Sampai satu ketika, entah mengapa emak saya tercampak ke luar kereta.

Pendarahan yang banyak telah meragut nyawa insan yang amat saya sayang dan kasih.

Saya perasan, ada titis jernih yang mengalir di pipi. Puas sudah ditahan, namun ia mengalir jua.

"EMAK!!" Esakan itu bagai tiada maknanya.

Saya tersedar dari mimpi, namun titis jernih itu benar-benar hadir, lantas saya duduk dan mengesat air mata yang jatuh.

Itu mimpi saya beberapa tahun yang lalu, ketika saya di awal frasa memasuki usia remaja, ketika hati dan jiwa gemar benar memberontak dan melawan kata ibu ayah tercinta.

Kini saya bagaikan teringat kembali mimpi tersebut setelah melihat orang-orang di sekeliling saya, seolah-olah mimpi itu ada mesej yang ingin disampaikan.

Artikel kali ini, saya hanya menarikan jejari di atas papan kekunci, apa yang ditaip semuanya adalah ilham secara spontan, saya tidak mahu berbicara mengajak anda semua agar mengikuti apa yang akan saya katakan, saya cuma mahu mengajak anda semua berfikir bersama-sama saya.

Belajarlah Menghargai

"Saya rindu ketika dia ada bersama dahulu, dia memberi pesan, dia mengingatkan, dia bersabar dengan saya...."

"Saya rindu dia, selama ini saya tidak perasan akan kebaikannya."

"Saya rindu dia, saya rindu dia bertanya itu ini..sekarang dia tiada."

"Saya rindu dia...masakannya memang tiada tandingan."

Ramai daripada kalangan kita yang lupa, lupa untuk menghargai insan lain. Lupa bahawa insan lain juga punya sekeping hati yang juga mampu terhiris dan terguris, lupa bahawa insan lain jua punya perasaan yang boleh terluka..

Ramai di antara kita, yang mungkin hanya mementingkan hati sendiri, dan akhirnya... dipengakhiran cerita kehidupan kita terduduk dan menangis.

"Kalaulah...."

Mulalah episod kita berkalau-kalau dan membuka pintu bagi syaitan untuk meracun akal dan fikiran kita agar tidak redha kepada takdir yang kita sendiri pilih.

Betapa manusia kini amat sukar untuk menghargai insan lain sehinggakan timbul pula pepatah :

Jika anda mengharapkan ucapan terima kasih dari insan lain,maka anda mampu menjadi sakit jiwa.


"Alah saudari... buat apa-apa biarlah ikhlas."

Benar, ikhlas itu penting. Saya tidak berbicara perihal ikhlas, saya berbicara perihal menghargai. Tahukah anda, ikhlas itu memerlukan mujahadah yang tinggi, dan sehebat mana pun seseorang itu..Dia masih lagi seorang insan yang lemah.

Apa salahnya kita bantu mereka menjadi ikhlas...dengan hanya mengucapkan terima kasih, tidak susah kan? :)

Bahasa Badan

"Saudari, saya dah cakap terima kasih. Saya hargai dia. Amat hargai, tetapi kenapa dia masih tidak berpuas hati?"

Bahasa tidak terbahagi kepada satu sahaja, malah ada dua kategori bahasa iaitu verbal language (percakapan kita) dan juga body language (bahasa badan/perlakuan kita)

Saya tekankan di sini bahasa badan AMAT penting apabila kita ingin berbicara.

"Oh terima kasih," Kata kita sambil membuat muka kelat.

"Oh terima kasih," Kita berkata sambil tersenyum.

Dua situasi ini pastinya membuat si penerima mesej mempunyai perasaan yang berbeza.

Kita ini..dalam mengahrgai tidak boleh hanya memikirkan apa yang kita rasa sahaja. terkadang kita rasa kita sudah menghargai sepenuh hati tanpa kita sedar orang lain tidak merasai perkara yang sama.

Kita harus sedar, dalam dunia ini.. tidak semua orang akan merasa sama dengan apa yang kita rasa. Betul, kita tidak akan mampu menjaga hati semua orang, tapi sekurang-kurangnya janganlah pula kita menyakiti hati ramai orang, lebih-lebih lagi mereka yang sentiasa berada di sisi kita dalam susah dan senang.

Dalam menghargai, perhatikan juga perasaan orang lain.

Ada suami yang gemar bekerja sehingga tiada masa untuk isteri dan anak-anak kerana dia merasa itulah caranya dia menghargai keluarga dengan memberi wang ringgit.

Ada isteri yang memendam segala kesusahan sendiri dalam konteks menghargai suaminya.

Ada anak yang mengirim wang yang banyak kepada ibu bapa di kampung dalam cara menghargai.

Ada teman yang membiarkan teman yang lain menangis sendiri kerana ingin temannya menjadi kuat sendiri.

Mereka rasa mereka sudah menghargai, cukup menghargai..sedangkan ;

isteri dan anak-anak saban hari berendam air mata kerana kekurangan kasih seorang suami dan ayah..mereka tidak mahu wang ringgit, yang mereka mahu hanyalah kehadiran satu jasad bergelar suami dan ayah dalam mengharungi kehidupan.

Ibu bapa di kampung menangis dalam hati kerana mereka mahukan anak mereka pulang melawat mereka di kampung.

Hati si suami berdarah kerana si isteri yang menyimpan rahsia daripadanya, sedangkan dia mahu bersama-sama dalam susah dan senang.

Teman yang menangis rasa terhiris.. Dia perlukan seseorang untuk bercerita.

Ya sahabat, kita mungkin tidak perasan..dalam kita menghargai kita hakikatnya telah menyakiti. Perhatikanlah bahasa badan kita dan juga bahasa badan mereka.

Dan ingatlah selalu, bukan semua orang berfikir sama dengan apa yang kita fikirkan.. Bertolak ansurlah dan belajarlah menghargai!

Tersedar

"Wa, kenapa?" Emak yang masuk ke bilik terkejut melihat saya yang sedang menangis.

"Emak..." Saya berlari dan memeluk emak sambil tangan emak lembut mengusap kepala saya. Anaknya yang degil, yang tidak tahu menghargai.

Dan saat itu saya berazam... saya harus belajar menghargai, agar tidak menyesal di kemudian hari! Apabila segalanya telah terlambat, menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana semalam itu hanyalah sebuah sejarah..

Mari sahabat, mahukan kalian bersama saya?

Wallahu'alam.

Read More......

Friday, October 14, 2011

Jom Sangka Baik

Babai kak wawa... Aisyah dan Adam nak jalankan tugas sebagai pengembara di dunia. Doakan ya...


"Jom pergi Giant, beli ikan puyu,nanti boleh bagi ikan makan." Saya mengeluarkan kata sebaik sahaja melihat Aisyah dan Adam sudah semakin tidak boleh duduk diam di rumah. Apalagi setelah melihat akuarium kosong tanpa ikan yang telah pun mati.

"Yeay!" Mereka bersorak girang.

Saya tersenyum.

Seronok

"Lari! lari."

"Aaaaa"

Adam dan Aisyah berteriak girang. Tentulah terasa lebih bebas dengan kawasan Giant yang lapang, seronok berlari ke sana-sini. Sesekali mereka berhenti,menoleh ke belakang melihat kelibat saya yang kepenatan mengejar.

"Kak wawa, pergi mana?" Dalam kelelahan,mereka bertanyakan arah. Saya tersengih dan menunjuk ke hadapan.

"Terus lepastu belok kiri."

Akhirnya sampai. Dua ekor ikan puyu dibeli. Berebut-rebut Aisyah dan Adam mahu membawanya.

"Yang pertama Aisyah punya, yang kedua Adam punya." Aisyah berkata, membahagi-bahagikan ikan dengan 'sama adil'.

Tiba-tiba Adam berteriak "Kak wawaaa... Aisyah kata dua-dua Adam punya."

Meletus tawa saya.

Tapi ingatkah kita,kejadian seperti ini sering berlaku kepada kita?

Salah Tafsir

Kes 1

Rahimah masuk ke bilik dalam keadaan yang amat penat. Perbincangan dan aktiviti persatuan sebentar tadi benar-benar meletihkan.

"Rahimah, mana eh buku economy yang kita pinjam kat library haritu?" Teman sebiliknya bertanya.

"Hm,ada atas tu." Rahimah menjawab sambil jari ditunjukkan ke atas meja,kedengaran seperti hendak tak hendak sahaja jawab.

Teman sebiliknya rasa terpukul, "Eh dia marah kat aku ke, aku tanya elok-elok je tadi." Hati kecilnya berbicara, terguris hati.

Kes 2

Hujan lebat di luar.

"Hana, macam mana nak buat soalan ni eh?" Suraya bertanya

"oh yang ni X ni ko bior je dia kat sini."

"Biol? Dia kata aku biol ke?" bisik hati kecil Suraya.

"Oh takpelah hana, nanti aku cuba." Balas Suraya. Kecil hati.

Kes 3

Lily menekan satu-satu papan kekuncinya, hasrat hati ingin membalas status teman di laman sesawang facebook.

Status temannya berbunyi : Tadi terjatuh lubang dan kena marah.

Lily membalas : tak apalah terjatuh, boleh belajar dari kesilapan :)

Temannya membaca bersama hati yang calar.

"Lily ni perli ke? tak tau ke aku tengah sedih ni!" Bisiknya berkecil hati.

Jagalah Hati

Tahu tidak mengapa Islam menyuruh umatnya agar bersangka baik?

Kerana bersangka baik adalah satu-satunya cara untuk membuatkan hati tenang dan tenteram, mengelakkan permusuhan dan juga merapatkan tali silaturrahim.

Apabila kita gemar bersangka buruk,hati akan sentiasa tercalar, jiwa akan bergelora serta minda berkecamuk, selepas itu mulalah kita menuding jari ke sini sana...hingga akhirnya jari itu ditudingkan kepada Allah.

Bersangka baik, bermula dari hati yang jernih. Elakkanlah rasa iri dan cemburu agar kita mampu bersangka baik atas setiap apa pun yang berlaku.

Hati kita,hak kita. Jangan biarkan hak itu meranapkan segala yang baik. Kita boleh hilang kawan,hilang saudara lantaran tidak bersangka baik.... Dan akhirnya menyesal yang tak sudah setelah segalanya sudah menjadi bubur.

Mari sahabat,mari rakan dan taulan, marilah bersangka baik.

kawan cakap sambil lewa? oh mungkin dia penat.
ibu marah-marah hari ini? oh mungkin dia taknak kita lalai.
tadi pensyarah bagi markah sikit je? oh mungkin usaha kita belum cukup lagi.

Ha...kan tenang hati.

Ingatlah, setiap ujian serta dugaan adalah merupakan hadiah dari Allah tanda Dia masih mengingati kita... Dan setiap ujian itu Allah hanya minta kita redha,sabar dan usaha memperbaiki diri agar kelak di pengakhiran nanti... Allah siap sedia memberikan syurga buat kita, dengan rahmatNya.

Yok! sangka baik yok!

Teringat saya pada satu peristiwa :

A : kenapa duduk berdua-duaan ni?

B : eh, kami dah kahwin. Nak tengok surat nikah?

A : oh ye ke? (berlalu pergi)

Ha.... bukan tak boleh ya kita menegur kesalahan ummah, tapi mulakan dengan sangka baik, dan bagi ada bukti yang kukuh dahulu sebelum terus pergi serbu...kelak, diri sendiri yang malu akibat dari hati yang tidak bersangka baik.

Sekali lagi... Yok! sangka baik yok! :) Ingat..dalam apa jua keadaan sekali pun,mulakan dengan bersangka baik.


Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".(An-Nur : 12)


wallahu'alam

Read More......

Monday, October 10, 2011

Bumi itu kian merekah



Bumi ini kian merekah,
Ditempuh dosa-dosa manusia,
Seolah dosa itu menjadi budaya,
Dan budaya itu meresap jauh di seluruh hati..

Bumi itu kian merekah,
Dia menangis lagi,
Seolah ingin sahaja ia menjerit,
Hai manusia! Hai umat Islam!
Lupakah dahulu Islam gemilang di atasku,
Aku berbangga dipijak kaki-kaki pejuang,
Aku berbangga menyaksikan ummah yang beriman,
Lupakah dikau,
Di atasku ini dahulu,
Para Nabi dan Rasul bertebaran menyebar dakwah,
Diikuti para sahabat dan cendekiawan Islam..

Hai manusia!
Jika dahulu aku bahagia,
Kini aku derita,
Badanku ini dipijak oleh penista Agama,
Batinku terseksa melihat ummah yang lupa diri,
Kamu manusia bertebaran di atasku,
Tapi bukan lagi untuk menyebarkan dakwah,
Malah untuk berpesta semata.

Hai manusia!
Lupakah dikau,
Di atas badanku ini dahulu,
Ada sebuah gunung,
Yang bergegar kerana bimbang tidak masuk ke syurga,
Apakah dikau begitu yakin,
Matimu nanti dihadapkan dengan syurga nan indah,
Atau kelak aku akan menghimpitmu rapat di kuburan sana?

Bumi itu kian merekah,
Menyaksikan manusia bermaharajalela,
Teknologi,inovasi,
Ah,bukan itu yang didamba,
Yang didamba cuma keimanan yang teguh,
Selepas itu,
Kemodenan,ketamadunan kan pasti mengiringi,

Bumi itu kian merekah,
Menyaksikan tawa-tawa manusia pendosa,
Terkadang ia bergegar memberi peringatan,
Namun jarang sekali manusia beringat,
Malah semakin galak pergi meninggalkan Ilahi...

Seolahku terdengar,
Bumi itu menyeru lagi,
Hai manusia,
Ingatlah iblis pernah bersumpah :

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (Al-A'raf : 16-17)


Apakah bumi itu mampu bertahan lagi?
Atau rekahan itu kan menjadi parah,
Dan bumi itu menangis lagi,
Bersama air mata darah....

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, October 4, 2011

Bertenanglah :)


"Aaaaaa...." Kanak-kanak kecil di sebelah cafe di kolej saya berlari ke arah kami yang sedang berjalan, sambil tangannya memegang seketul batu.

Kami berlari sedikit dan kemudiannya tersenyum, memerhatikan si adik yang lucu menukar batu di tangannya dengan batu yang lebih besar lagi.

Mungkin terpengaruh dengan televisyen. Ah anak-anak kecil... apa lah yang mereka tahu, mungkin dia sedang mencari teman bermain.

Rasulullah dibaling batu

Namun apa yang berlaku, setiap apa jua yang terjadi pada diri kita..hari ini, semalam atau masa akan datang pasti terselit hikmah yang tersembunyi.

Saat saya masih terbayang-bayang akan wajah si kecil itu memegang batu, wajah comelnya,kelucuannya, ugutannya membaling batu kepada kami... saya teringat pada satu peristiwa :

"Baling! baling!" Banyakkk sekali batu dibaling ke arah satu batang tubuh yang tabah. Berpusu-pusu. Beramai-ramai. Sehingga keluar darah dari kaki lelaki hebat itu.

"ya Allah, sesungguhnya mereka tidak tahu, ampunilah mereka." Lelaki itu berkata seraya mengesat darah yang mengalir, kerana setitik darahnya yang menitik ke bumi pasti hancur binasalah tempat tersebut.

Biar...biarlah dia disakiti, jangan sesekali insan yang lain sakit sama.
Biar...biarlah dia dilukai, jangan sesekali insan yang lain terluka jua.

Darah yang mengalir, batu-batu yang dibaling... ah, batu-batu itu bukan dibaling oleh anak kecil yang comel seperti di cafe kolej saya. Tetapi orang-orang dewasalah yang membalingnya. Ya. orang dewasa yang berakal.

Jika kita, pasti sudah berang, marah..Ingin sahaja dibalas kembali, caci-maki keluar laju dari mulut, ambil gambar dan upload di facebook.. itu kita. tetapi lelaki suci ini hanya berkata :

"Ya Allah...sesungguhnya mereka tidak tahu...Ampunilah mereka."

Siapa lelaki hebat ini?

Dialah... Rasulullah s.a.w.

Cintakah Pada Baginda?

Kita kata..kita cinta pada baginda... Tetapi baginda selalu bersabar dengan ujian, kita pula selalu naik angin bila ujian datang menimpa.

Kita kata..kita cinta pada baginda... Tetapi baginda selalu menangis memikirkan ummah, kita pula selalu tidak kisah pada maksiat yang berleluasa.

Kita kata...kita cinta pada baginda... Tetapi baginda selalu memaafkan, kita pula selalu menyimpan dendam kesumat.

Di manakah bukti cinta itu?

Seharian kita berjalan... Sedar dan akur dengan tanggungjawab sebagai khalifah. Tapi kita mendabik dada, menghukum insan sana sini. itu salah,ini salah..sehingga mereka yang bersalah itu pun menjauhkan diri dari kita,dan dengan angkuhnya kita berkata :

"Beginilah masyarakat zaman sekarang.... tak apa, dulu Rasulullah pun dicaci dihina. tak apa, Rasulullah kata Islam datang dalam keadaan yang asing dan akan kembali asing di akhir zaman."

Buat para pendakwah yang sewenangnya berkata sedemikian tanpa melihat pada perlakuan sendiri, saya hanya mampu tersenyum. sinis.

Jika Mahu Jadikan Baginda Sebagai Contoh Jadikan Sepenuhnya.

"Kurang ajar!" Jerit seorang yang berakal tatkala dia dibaling batu.

"Kau ni kenapa, dah tak ingat mati ke ha tak pakai tudung. yang ni kenapa pakai tudung tak tutup dada, kau ingat lelaki suka sangat ke tengok macamni?" jerit seorang muslimah kepada seorang wanita yang terkebil-kebil matanya.

Kata-kata tidak langsung dijaga, pincang di sana sini,perlakuan tidak langsung mampu dijadikan tauladan dan apabila ditentang,akhirnya para pendakwah ini berkata "tak apa...Rasulullah pun begini juga dahulu,dicaci dihina"

Ah,saya tidak nampak di mana rasionalnya perkataan itu.

Benar Rasulullah dicaci dihina tapi perlakuan dan percakapan baginda tidak langsung menghiris hati mereka yang menghina.

Benar Rasulullah dicaci dihina tapi baginda tidak membalas perlakuan mereka.

Terkadang,kita berniat kononnya mahu mempertahankan diri dengan 'membalas' segala perlakuan mereka yang mungkin kekurangan pengetahuan...hingga akhirnya hati kita menjadi gelap dan terjebak sama.

Mungkin kita dahulu seorang yang sabar... akhirnya menjadi seorang pemarah.
Mungkin kita dahulu seorang yang tenang...akhirnya menjadi seorang yang berang.

Duhai para pendakwah di luar sana...mari kita sama-sama muhasabah. Hakikatnya,berdakwah bukan dengan kata-kata semata...penampilan,percakapan dan perlakuan kita semuanya diperhatikan.

Maka jagalah... terkadang dengan perlakuan itu meraka yang melihat terasa muhasabah. jadilah seorang yang apabila dilihat oleh orang lain, orang-orang itu terus mengingati Allah.

Jom kita contohi Rasulullah sepenuhnya :)

Mari Bertenang
"Jangan dimarahi suara tangisan anak-anak di dalam masjid ini..Mungkin kelak merekalah pejuang Agama." Begitulah lebih kurang peringatan imam di Masjid kolej saya ketika slot tazkirah.

Saya jadi teringat kepada kanak-kanak yang hendak membaling batu itu. Tersenyum hati saya kegirangan mengenang kanak-kanak aktif itu,moga dia membesar menjadi seorang yang berilmu untuk Islam.

Teringin saya melihat seorang yang menghampiri kanak-kanak itu, mengusap kepalanya dan berkata lembut, "Adik, jangan main baling batu ya... jom kita main sama-sama."

Jangan mudah marah... mari kita bertenang.

Jika melihat sesuatu yang pincang..teruslah berdoa "Ya Allah,terima kasih kerana memberiku hidayah, kekalkanlah hidayah di dalam hatiku dan berilah hidayah kepada mereka."

ingatlah sahabat... jaga perkataanmu, kerana kelak mungkin perkataan itu berbalik semula kepada diri kita.

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.(Al-Imran : 159)


Bersabarlah...bukankah Allah juga banyak bersabar dengan kita? :)

Wallahu'alam

Read More......

Saturday, October 1, 2011

Dengarilah sayang.


sahabatku,jangan bersedih...Antara kita kan ada Allah :)

"Fuh." satu nafas lega dihembus. Segalanya sudah siap berkemas, kaki pun sudah dijejakkan di rumah sendiri.

Laptop
dihidupkan, terus sahaja tangan saya membuka laman sesawang facebook dan terteralah mesej :

Salam umi, mas and zahra.. nnt tlg ajr ***** jd bdk baik balik eh? rindu zmn asasi


Saya tersenyum, tidak terus membalas. Diri dibersihkan, moga apa yang bakal ditaip ini memberi sedikit makna buat dia, yang bergelar sahabat.

Dengarilah Sayang

Buatmu sahabatku yang tercinta, catatan ini,coretan ini buat dirimu...tanda cinta kerana Allah yang tidak terhingga.

Membaca mesejmu itu hakikatnya mengundang rasa terharu dan gembira, semuanya bercampur baur melahirkan sebuah senyuman berserta sebak di hati.... Zaman Asasi, seolah-olah masih terbayang tangan kita berjabat dan pipi bersentuhan selepas solat berjemaah.

Seolah-olah terbayang-bayang dirimu yang indah bertelekung, membaca Al-Quran berserta maknanya.

Seolah-olah terbayang-bayang bibirmu itu menutur bicara mengingatkanku kepada Pencipta.

Masih lagi terbayang di minda...kita bersama berjalan mentadabur alam, dan dikau memanggil "Sahabat! tengok tu,cantikkan ciptaan Allah." Sambil tanganmu menunjuk ke arah langit yang memerah,petanda hari beransur senja...

Semua kenangan indah itu masih terpahat di hati...

Mesejmu.... Menandakan sesuatu ; hati yang hidup! ya sahabat, hati yang hidup adalah hati yang lunak dengan kebaikan, mudah tersentuh mendengar perkara-perkara baik...lebih tersentuh lagi mendengar bicara dari Allah melalui kitab suci Al-Quran.

Jangan bimbang sayang,

Iman itu memang ada pasang surutnya...kita bukan Nabi yang imannya sentiasa mencanak naik, kita hanyalah insan biasa... Tetapi dirimu bisa menjadi luar biasa dengan mencuba meningkatkan iman dari sehari ke sehari.

Bukanlah namanya seorang manusia jika dia tidak pernah melakukan kesilapan. Hakikatnya tidak salah untuk kita berbuat silap, asal sahaja kita mengenal pasti kesilapan yang pernah dilakukan agar kita tidak mengulanginya lagi.

Jangan bimbang sayang,

Jika mereka mencemuhmu.... mari kita mengingat pada satu susuk tubuh yang dahulunya sangat keras dan penuh kejahilan, anak perempuannya dibunuh..tetapi akhirnya beliau dijanjikan dengan syurga Allah.

Ya sahabat... Dialah Saidina Umar Al-Khatab.

Tutup buku yang lama, buang segala kekeruhan, padamkan segala sejarah hitam itu. Ayuh kita melangkah beriringan bersama.

Hakikatnya sahabatku, diri ini bukanlah yang terbaik untuk memimpin setiap langkahmu, jangan dikau berjalan dibelakangku kerana diriku tidak mampu mengetuai perjalanan ini, jangan dikau berjalan dihadapanku kerana mungkin diriku tidak betah untuk mengejarmu,tapi ayuh berjalanlah disebelahku...agar kita mampu bersama-sama berganding bahu mengharungi segala mehnah dan cabaran dunia!

Mari,pertama sekali yang perlu dilakukan adalah membuang segala kejahilan yang beraja di hati. hati umpama cawan, yang jika diisi dengan air kopi... isilah sebanyak mana pun air yang jernih kedalam cawan, air yang tertinggal masih lagi berwarna keruh... jadi, air kopi yang berada di dalam cawan harus dibuang dahulu sebelum diisi dengan air yang jernih...

air kopi adalah ibarat kejahilan dan kemaksiatan, ayuh buangkan ia, dan kita isi dengan kebaikan....

Seterusnya sahabatku, marilah kita bersama menukar citarasa hiburan. Tidak salah untuk berhibur andai menepatasi batasan syara'... hakikatnya hati kita yang fitrahnya suci dan bersih akan lebih terhibur jika kita mendengar zikrullah, bacaan ayat suci Al-Quran dan juga nasyid-nasyid yang mendidik jiwa. jom! :)

Dan untuk akhir kalam sahabatku sayang....

coretan ini tidak dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Tidak juga diisi dengan hadith-hadith daripada Nabi yang Mulia.

Ia hanya lah contengan biasa dari insan biasa bergelar sahabat...yang lahirnya dari hati buat menjejaki hatimu jua yang suci bersih.

Akhirnya... doakanlah jua diri ini agar memiliki hati seperti hatimu... yang sentiasa lunak dengan kebaikan, yang sentiasa tersedar dengan kelalaian. Doakanlah sayang, agar hati-hati kita dapat bersama, bersatu, dan berkasihan di syurgaNya yang kekal abadi...yang mengalir air di bawahnya...

Doakanlah sayang...Agar kita dapat bersama menikmati nikmat terindah- melihat wajah Pencipta yang kita rindui dan cintai.

Marilah sahabat kita menjadikan Al-Quran itu sebagai sahabat kita jua. Baca,fahami dan amalkan.....

Buat sekian kalinya,inginku ucapkan.... Diriku mencintaimu kerana Allah semata, dan ingin bersahabat bukan sekadar di dunia...tetapi jua di akhirat sana.

Salam kasih dan rindu kerana Allah.
-Mastura binti Mohd Yusuf.

Wassalam.

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .