Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, January 31, 2010

Konvensyen Hasan al-Banna membuka minda



"Pergi konvensyen Hasan Al-Banna tak?" Seorang sahibah bertanya membuatkan ana terdiam. Antara pergi dengan tidak, ana tidak tahu mahu memilih yang mana.

Hajatnya ingin kembali ke rumah pada hujung minggu, rindu pada keluarga sudah tidak terbendung.

"Assalamualaikum, wawa... Kak yah tak dapat ambil lah, ada hal" Kelas ana yang berakhir pada jam 4.30 petang pada hari jumaat itu bercanggah dengan rancangan asal kakak ana. Akibatnya, ana mengambil keputusan untuk pergi ke konvensyen di uniten kampus Putrajaya.

Alhamdulillah, Allah masih mahu memilih ana untuk ke majlis ilmu...

Bahagia


a>


Bertolak pada pukul 7 pagi, beriringan bersama sahabat perjuangan, jumlahnya tidak ramai, hanya 14 orang tapi entah mengapa suasana itu benar-benar membahagiakan. Sejujurnya, sudah lama ana tidak sebahagia semalam...

"Laluan muslimat kat sana" Seorang urusetia menunjuk ke arah pintu di sebelah kanannya. Ana tersipu malu. Akibat terkocoh-kacah, kaki ini laju sahaja ingin melalui mana-mana pintu yang kelihatan. Rupanya, pintu yang dipilih adalah khas untuk muslimin.

Aduhai...

Apa-apa pun, sudah lama ana tidak merasai suasana ini. Bi'ah yang solehah, terjaga keseluruhannya... Kelihatan Islam yang menyuluruh, pada setiap perkara yang ingin dilakukan.

Alhamdulillah, Allah masih beri peluang untuk kami memperbaiki iman dan amal..

Konvensyen Membuka Minda



Ramai umat Islam kini yang hanya bergelar Islam pada nama. Mat rempit, penagih dadah, majoritinya adalah orang Islam. Bahkan, disko-disko dan dangdut dipenuhi dengan mereka yang pada namanya ada bin dan binti.

Islam semakin lemah.... seperti satu hadith di mana Rasulullah meriwayatkan umat Islam pada masa akan datang ramai tetapi ibarat buih di air banjir... Hanyut di bawa air, bahkan akan lenyap dalam sekelip mata.

Sehingga Allah menarik rasa takut di dalam hati musuh-musuh Islam terhadap orang Islam. Dan kini, Islam semakin pudar.... kerana penganutnya sendiri memperlekehkan Islam!

"Bolehkah orang kafir berlaku adil?" Ustaz dalam pembentangan kertas kerja ketiga bersuara.

"Benarkah jika dikatakan bahawa dia itu (orang kafir) lebih adil daripada orang Islam? Jawapannya tidak kerana syarat ADIL adalah ISLAM" Ustaz menyambung. Hadirin senyap, meneliti setiap intipati yang ingin disampaikan.

"Lihat sahaja apa yang berlaku di Iraq... Mereka menyedari kepimpinan Saddam Husain adalah yang terbaik setelah Saddam dibunuh. Benar... Saddam kejam, ulama' dibunuh. tetapi hidup di bawah pimpinan Amerika (kafir) adalah jauh lebih teruk..."

Ana tersentak, membenarkan setiap kata-kata ustaz berkaliber itu.

Islam kini semakin rapuh kerana orang Islam tidak percaya kepada Islam yang lain. Umat Islam tidak lagi seperti satu tubuh, tidak lagi saling menguatkan bahkan sering berkelahi dan menyalahi sesama sendiri.

Umat Islam sudah semakin jauh dari ajaran Islam... Kebenaran jatuh tersungkur dan kebatilan berdiri megah.. Berkali diingatkan namun kebatilan jua yang masih dibela. Kebenaran dipandang jelek.

Open up your mind
menjadi falsafah diri. Kononnya dunia sudah semakin maju, mengapa minda kita masih di takuk lama?

Duhai saudara-saudaraku... Sedarlah, Islam itu ada identitinya sendiri. Jika umat Islam mahu terus-terusan 'membuka minda' menghadam semua teori barat yang memperlekehkan Islam, maka identiti itu akan hilang, sedikit demi sedikit ditelan masa....

Mahukah kita...Sampai nanti satu saat, Islam terus lenyap?

Ayuh, sedarlah!!



Rasulullah SAW telah bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”

(HADITH RIWAYAT MUSLIM



Wallahu'alam

Read More......

Sunday, January 24, 2010

Ukhwah itu di mana?


“Enti.. ukhwah itu, di sekolah islam, kolej islam sajakah?”

Ana tersenyum sendirian, mengenangkan pertanyaan yang bermain di minda. Ukhwah itu apa? Wujudnya pula, di tempat-tempat yang punya nama Islam sajakah?

Jawapannya jelas : Tidak.

Masih tidak mahu percaya? Mari ana ceritakan satu kisah.

Ukhwah Itu Ukhwah Islamiyyah


Berusia 16 tahun ketika menjejakkan kaki di sebuah MRSM benar-benar mendebarkan. Apatah lagi, sejak darjah satu sehingga ke tingkatan 3 sudah terbiasa dengan suasana rumah. Benar, bukan sesuatu yang mudah.

Seminggu orientasi merupakan sesuatu yang membahagiakan. Masih belum terbeban dengan kerja, tapi setelah itu mula rasa homesick dan ingin segera pulang ke rumah. Bahkan pernah berjanji pada diri tidak akan sesekali pulang ke MRSM. Aduhai...

Begitulah ana dahulu. Cuti seminggu pada bulan 3 dimanfaatkan sepenuhnya di rumah dan kemudian pulang semula ke MRSM. Alhamdulillah, diletakkan di sebuah MRSM yang memiliki para pentadbir yang jelas tentang fikrah Islamnya benar-benar mententeramkan jiwa. Naik cuti sahaja ada satu kem dianjurkan untuk semua pelajar baru. Kem bina insan, kem yang membentuk ukhwah islamiyyah. Kem yang menjelaskan kami akan fikrah Islam yang sebenar..

Di kem itu, para fasilitator(senior) bijak memainkan peranan, menyentuh hati-hati kami agar lebih dekat dengan Islam. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pula, banyak mengingatkan kami tentang kebesaran Allah. Ana masih ingat pesan ustaz pada ketika itu : "Di kem ni kena sentiasa ada wudhu'. Mana tau ustaz tengah cakap-cakap ni tiba-tiba ustaz nak buat solat sunat."

Jadi kami sentiasa berwudhu'. Makan bersuap. Makan berkongsi talam. Tolong-menolong. Solat jemaah. Dan banyak lagi...

"Apa kena mengena dengan ukhwah pula enti?"

Ya, nampak seperti tiada kena-mengena dengan ukhwah. Namun hakikatnya ada. Kerana nilai Islam itulah ukhwah yang terbina sangat jitu sehingga kini. Bukankah Islam itu menyeluruh, ditetapkan garis-garis panduan dalam setiap perlakuan yang ingin dilakukan, cuma kadangkala manusia cuba menzalimi diri dengan meletakkan garis panduan mereka sendiri, berani benar melawan pencipta manusia.

Selesai kem, hati kami masih terus-terusan disentuh dengan nilai Islam. Alhamdulillah, memiliki pengetua yang Islamik serta para warden yang jelas tentang fikrah Islam amat menyenangkan.. Sehingga mula timbul gelaran 'MAKTAB RENDAH SAINS ISLAM MARA'.

MRSM bukanlah sebuah sekolah Islam. Bahkan, tiada subjek Islam yang dipelajari secara mendalam. Tiada thanawi mahupun bahasa arab tinggi. Ia sebuah sekolah aliran sains yang kononnya bersifat 'duniawi' tapi masih mampu membentuk sebuah fikrah Islamiyah.

Justeru, fahamkah kita bahawa ukhwah itu bukan hanya di sekolah-sekolah Islam tetapi ianya wujud pada diri insan-insan yang jelas tentang fikrah Islam itu sendiri.

Ukhwah Itu Indah Jika Wujudnya kerana Allah


Umat Islam itu umpama satu tubuh. Begitulah pesan Nabi Muhammad yang amat kita rindui. Ana dan antum adalah satu tubuh, jika antum sakit maka seharusnya ana merasakan kesakitan itu juga.

Begitulah juga berukhwah kerana Allah. Ketika di MRSM, bukan tidak pernah ana dan rakan berselisih pendapat, tetapi jalinan ukhwah kami masih tetap utuh. Jika tidak mampu menegur dengan kata-kata, kami tulis surat. Tapi alhamdulillah semuanya bisa diterima dengan hati terbuka.

Mengapa begitu? Kerana kami berukhwah kerana Allah,insyaAllah..

Sejujurnya, ana merindui detik-detik itu.. Bersama-sama di kala senang dan susah, ketika seorang sakit yang lain tidak lupa menziarahi. Berjalan beriringin ke surau dan kelas, ketika lemah ada yang menguatkan, ketika seorang jatuh, seribu membahu gagah.. sehingga ana hampir tidak percaya wujudnya rakan yang hanya bersama ketika ketawa.

Dan kini, walaupun kami 'bertaburan'. Ada yang di Mesir, UK, dan macam-macam negara lagi,ada yang ambil medic, ada yang ambil QS, ada yang ambil engineering, ada yang ambil linguistic... Jiwa kami tetap satu. Membulat disinari cinta Allah, insyaAllah

Hm.... Indah bukan, andai ukhwah itu ditemani Allah?

Sudah percaya, ukhwah itu tidak hanya di tempat-tempat islami?

Percayalah...kerana ukhwah itu hakikatnya wujud dalam jiwa mereka yang mahukan ISLAM. Maka, jelaskan niat kita..berukhwah kerana apa? carilah sahabat yang MAHUkan Islam, kerana ukhwah yang indah akan mengiringi anda!

"Habis enti, orang yang berkawan bukan kerana Allah, bukan ukhwah?"

Ukhwah...tetapi tidak semanis ukhwah Islamiyyah. Bahkan mungkin ukhwah itu hanya wujud ketika senang, justeru ana lebih gemar membicarakan bahawa itu bukan ukhwah namanya.


Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.
(Az-Zukhruf : 67)


Maka, kepada yang membaca ; salam ukhwah fillah dari ana.

ya Allah... tautkan hati-hati kami keranaMu semata.

Amin.

Wallahu'alam

Read More......

Saat Tiba Hari Itu..


Entah kenapa hari ini rajin benar ana melayari blog-blog insan lain...

Dan ana terjumpa satu artikel yang menyayat hati. Terfikir kembali, sudahkah ana mentaati perintah Allah dan Rasulullah? Lupakah ana pada janji ketika di luh mahfuz dahulu??

Pada hari kiamat nanti... syafaat siapakah yang mahu ana minta? Pastinya syafaat Rasululullah s.a.w... Tapi, mahukah baginda memandang wajah ana setelah ana menyakiti baginda?

Ayuh sahabat..mari berfikir sejenak..... "Ummati, ummati" itulah kata-kata terakhir baginda... Masihkah kita tegar menyakiti baginda?

RASULULLAH SAW MENANGIS KETIKA DI PADANG MAHSYAR


Dari Usman bin Affan bin Dhohak bin Muzahim daripada Abbas ra, bapa saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud:

“Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur (bumi) pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik.

Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata:

“Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul.”

Ibnu Abbas ra berkata: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad SAW.

Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.”

Jibril as akan menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?” Bumi akan berkata:

“Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu dimana kubur Muhammad SAW.”

Rasulullah SAW bersabda:

“Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka,empat malaikat berada di atas kubur.”

Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!” Maka, kubur terbelah dua.

Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda SAW telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW. Baginda SAW melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan.

Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi. Jibril as berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala di tempat yang luas.” Baginda SAW bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”

Jibril as menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala.” Baginda SAW bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!”

Jibril as berkata: “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?” Baginda SAW bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku. ” Jibril as berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?” Baginda SAW bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku.

Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?” Jibril as berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?” Baginda SAW bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.”

Jibril as berkata kepada baginda SAW: “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!” Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba meronta-ronta.

Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya? ”

Buraq berkata: “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangiku.

Sesungguhnya, Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan murka. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.” Baginda SAW bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”

Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata.

Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut -rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.

Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa
tingkat dengan bilangan roh makhluk.
Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.

Allah Taala berfirman: “Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka..Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita.”

Malaikat Israfil as menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam.” Allah Taala berfirman: “Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya! ”

Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka.

Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat. Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka.

Mereka seperti gelombang lautan. Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.” Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya:

“Di mana umatku?”

Jibril as berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.” Apabila nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!” Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis. Nabi Muhammad SAW berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.” Jibril as berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”

Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?” Jibril as berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.” Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata:

“Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!” Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya.

Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka.

Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis.

Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru: “Di mana Jibril?”

Jibril as berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.” Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Muhammad SAW?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”

Allah Taala berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.” Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala.”

Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.” Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala.

Allah Taala berfirman: “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!” Hamba-hamba Allah Taala terdiam.

Allah Taala berfirman: “Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”

Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.” Malik bertanya: “Apakah hari ini?”

Jibril menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.” Malik berkata: “Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?” Jibril menjawab: “Ya!” Malik bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?” Jibril berkata: “Di hadapan Allah Taala!” Malik bertanya lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?” Jibril berkata: “Aku tidak tahu!”

Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan.

Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang.

Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis). Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka.

Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.. Rasulullah SAW Membela Umatnya Di padang mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah nabi Ibrahim as.

Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini.”

Allah Taala berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya.”

Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”

Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: “Tuhanku. Penguasaku. Penciptaku! Isa roh Allah.. Aku tidak meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”

Suara jeritan dan tangisan semakin kuat.

Nabi Muhammad SAW menyeru: “Tuhanku. Penguasaku Penghuluku. !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!” Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?”

Neraka pula berseru: “Wahai Tuhanku. Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”

Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud di hadapan Tuhannya.

Allah Taala berfirman: “Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa mengadap Allah Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya:

“Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?” Matahari menjawab. “Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yang halus?”

Allah Taala berfirman: “Aku percaya!” Allah Taala telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah dihampirkan dengan kepala makhluk.”

Ibnu Abbas r.h. berkata: “Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit. Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat.

Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi, baginda SAW rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.

Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya.

Daripada Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu hari Nabi SAW menemui Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang menangis.”

Baginda SAW bersabda: “Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?” Fatimah menjawab: “Aku teringat akan firman Allah Taala.” “Dan, kami akan mehimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka.” Lalu Nabi SAW pun menangis.

Baginda SAW bersabda: “Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir di pipi.”

Fatimah r.h. berkata: “Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?”

Baginda SAW menjawab: “Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar Firman Allah Taala:” Bagi setiap orang dari mereka, di hari itu atau satu utusan yang melalaikan dia.”
( Abasa: 37)

Fatimah ra. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?” Baginda SAW menjawab: “Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.”

Fatimah r.h. bertanya lagi: “Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?”

Baginda SAW bersabda: “Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan! Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: “Aamiin.”

Ketika itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman: “Nescaya akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah.”

Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung mematuk kacang.

Apabila seruan dari tengah Arsy kedengaran, maka manusia yang menyembahNya datang beriring.

Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW!”

Allah Taala berfirman kepada mereka: “Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?”

Mereka berkata: “Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya..”

Mereka ditanya lagi: “Kami mengenali Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya.” Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat Muhammad SAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah mencela mereka.

Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat kepada Muhammad SAW!”

Manusia berpecah kepada tiga kumpulan:

1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.

2. Kumpulan pemuda.

3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar. Mimbar para Nabi didirikan di
atas kawasan lapang ketika kiamat.

Mereka semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW terletak
berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik, besar dan cantik.

Nabi adam as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi SAW.

Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka. Mereka menyeru: “Di mana Muhammad?” Mereka berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja.

Matahari di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahayanya juga telah membakar kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada Allah Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau neraka.”

Nabi Adam as berkata: “Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana lalai.

Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya. Apabila nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri.

Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: “Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka.” Nabi Nuh as berkata: “Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah kepadanya agar menolong kamu!”

Nabi Ibrahim as berkata: “Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Musa as! Mintalah pertolongan darinya!”

Nabi Musa as berkata: “Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa Isa as!”

Mereka pergi berjumpa nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: “Sesungguhnya Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam.” Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra’ sedang duduk.

Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: “Ini umat Nabi Muhammad SAW. Mereka telah sesat dari Nabi mereka.” Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad SAW Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi Muhammad SAW. “Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala.”

Nabi Muhammad SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!” Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul di sisinya.

Terdengar suara seruan: “Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!” Nabi Adam as berkata: “Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku.”

Nabi Adam as pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: “Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!” Nabi Adam as bertanya: “Berapa ramai untukku kirimkan?”

Allah Taala berfirman: “Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka.”

Allah Taala berfirman lagi: “Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri janji Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas.”

Nabi Adam as berkata: “Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!”

Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat, Allah Taala menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 500 tahun perjalanan.”

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari Allah Taala, maka dia akan
terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!”

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: “Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu.” Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW.

Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku di atas Sirat ini!”

Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar.

Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang.

Kumpulan ketiga melintasi seperti kuda yang baik.

Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas.

Kumpulan yang kelima berlari.

Kumpulan keenam berjalan.

Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.

Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali.

Kumpulan kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad SAW!” Nabi Muhammad SAW berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka”!

Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk menyeberang.

Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka
menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.

Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku mengharamkan syurga bagi diriku
sehingga aku melihat bapa dan ibuku.” Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: “Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”

Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka.”

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: “Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka.” Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil “Tempat Teropong.” Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat.

Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya. Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan tangisan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka. “Nabi SAW bersabda: “Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”

Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang.

Setiap kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka.

Marilah kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber : sini

Read More......

Sunday, January 17, 2010

Jangan Jadi Fitnah Kepada Islam


Ketawa tak bererti gembira,
Menangis tak bererti sedih,
Dalam hati siapa yang tahu?


"Alhamdulillah" Tiada kata yang lebih indah daripada itu untuk diucapkan sebagai tanda bersyukur yang amat sangat setelah kelas pendidikan jasmani berjaya diharungi biarpun hati tercalar. Iman memberontak.

Peristiwa yang berlalu mungkin terlalu perit untuk dikenang, apatah lagi terpaksa menerima hakikat bahawa aktiviti sebegitu terpaksa dilalui setiap minggu.

Hati tercalar, terluka. Entahkan sembuh, entahkan tidak. Terasa benar maruah seorang wanita seperti dipijak-pijak.

Keadaan Mempengaruhi


"Jadilah seperti ikan di laut masin, dikelilingi dengan air yang masin tetapi isinya tetap tawar"

Seringkali benar kata-kata itu menyerap masuk ke dalam gegendang telinga ana. Membiarkan otak memproses data, lantas ingin disalurkan ke dalam hati. Tetapi mengapa sukar benar kata-kata itu untuk dihadam di dalam hati?

Ana bukan ikan. Mungkin itulah yang cuba disampaikan. Benar, ana ingin mencontohi kisah seorang pemuda yang bergaul dengan beberapa insan jahil demi menarik mereka dekat kepada Allah. Ana bukan memilih kawan. Tetapi andai ana dipaksa melakukan perkara yang ana sendiri tahu bahawa ia tidak syara', hati mana yang bisa bertahan?

Sedikit sebanyak, antara sedar dengan tidak... suasana itu akan sedikit demi sedikit mempengaruhi kita, jika kita terus lemah... dan berserah tanpa usaha.

Manusia memang sukar terpengaruh dengan kebaikan, tetapi alangkah mudahnya terpengaruh dengan keburukan. Apatah lagi jika si 'pembuat besi' dijadikan sebagai sahabat, pastinya bau besi itu akan terpercik jua kepada kita.

Berkawanlah dengan semua, bersahabatlah dengan mereka yang menjadikan Allah perkara utama dalam segala hal yang ingin dilakukan. Bimbang nanti kamu yang tertarik, bukan menarik.

Belajar Kerana Apa?


Berbicara tentang suasana, hati ana kembali dirobek dengan mereka yang mungkin belajar atas sebab ijazah. Belajar atas sebab kerjaya. Senang cerita belajar kerana dunia. Mungkin kita lupa pada satu hadith di mana Rasulullah menyeru sahabat melakukan amalan soleh, kerana akan datang satu fitnah melanda umatnya di akhir zaman. Sahabat bertanya "fitnah apakah ya Rasulullah." Rasulullah menjawab;
"Fitnah di mana kamu melihat umatku pada ketika itu pagi islam..petang kafir" sahabat bertanya "Mengapa begitu ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab ;

"KERANA MEREKA MENJUAL AGAMA DENGAN NILAI DUNIA"


"Ala..ana bukan ambil kos agama"

Kursus apa pun yang sedang kita ambil bukanlah satu alasan untuk mengenepikan Allah. Setiap helai muka surat yang berisi ilmu itu adalah ilmu Allah. Mungkin kita tidak sedar, tapi itulah hakikat yang sebenarnya.

Hiba... hati bertambah hiba apabila melihat mereka yang berkelulusan agama berkelakuan seperti tidak belajar agama. Bukankah itu nanti akan mengundang fitnah?

"Alah... enti ni, biasalah zaman remaja ni lah nak enjoy"

Yakin benar kita bahawa kita akan menginjak ke usia tua. Lupa benar kita bahawa maut tidak mengenal usia sehingga solat pun sudah tidak dihiraukan untuk dilakukan di awal waktu.

Tinggal lah ISLAM yang kita sayangi sebagai agama teori semata. Yang tercatat dalam kitab-kitab tebal. Membaca tetapi tidak menghadam. Menghafal kerana peperiksaan. Maka jadilah kita fitnah itu -Menjual agama dengan nilai dunia.

Berdakwah?


"Enti ni tak tahu.. kami berperangai macam ni supaya senang mendekati mereka yang biasa-biasa tu"

Berperangai yang kurang elok, demi berdakwah? Hitam sungguh niat itu. Lupakah kita pada dakwah Rasulullah s.a.w? Adakah baginda berkelakuan seperti masyarakat Arab jahiliyyah demi menarik mereka kepada Islam?

Akhlak Rasulullah adalah akhlak Al-Quran. Baginda adalah ikutan kita. Bahkan dengan akhlak itulah ramai tertarik kepada Islam. Dakwah siapakah yang kita contohi?

Seorang saudara baru ada berkata "Mujur saya menemui ISLAM sebelum menemui ORANG ISLAM kerana jika saya menemui ORANG ISLAM dahulu, pasti saya tidak akan memeluk ISLAM"

Tidak malukah kalian? Tiadakah rasa bersalah di dalam hati? Tidak salah untuk bergaul dengan semua orang, tetapi kekalkanlah akhlak kita dengan akhlak Islam. Akhlak Rasulullah.

Islam adalah satu agama yang hebat, yang telah menggariskan segala panduan untuk kita menempuhi hidup. Tapi kita sewenang-wenangnya melawannya sehingga tanpa tidak sedar, kita telah menjadi fitnah buat Islam.

ya,fitnah.

"Tegnok tu... ustaz/ah tu, tapi perangai sama je macam kita. Relakslah, apa kita buat tak salah la ni"

"Tengok tu... selalu pergi masjid, tapi perangai......"

Mereka yang tidak faham, akan melihat semuanya dari apa yang mereka nampak.

Mungkin juga kerana kita, masyarakat semakin jauh dari Islam.

wana'uzibillah.

Ayuh sahabat... Mari kita berubah, qudwah kita adalah Nabi... Jangan jadikan Islam sebagai agama teori semata... Risau benar ana melihat Islam yang semakin malap lantaran umat Islam yang Islamnya atas dasar nama sahaja....



"Jika Islam diibaratkan sebuah rumah usang yang hampir roboh, akan ku merantau ke seluruh pelosok dunia bagi mencari JIWA2 MUDA. Aku bukan mahukan dari mereka, bilangan yang ramai, tetapi aku mahukan golongan yang benar2 ikhlas dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Jika aku menjumpai mereka, akan kuubah Islam itu dari rumah usang tadi kepada sebuah bangunan yang cantik dan tersergam indah." (As-Syahid Imam Hasan Al-Banna)


Ayuh pemuda..ikhlaskan jiwamu kerana Islam kini sudah ibarat rumah yang hampir roboh. Jangan belajar kerana ijazah. Belajarlah kerana Allah.. Walau apa pun jurusan yang sedang kamu lalui sekarang.

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).
Surah Al-Anfaal : 22


Wallahu'alam

Setiap titis peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
'kan menjadi saksi pengorbanan



Read More......

Monday, January 11, 2010

ya Allah... Dengarlah rintihan hatiku...


ya Allah ya Tuhanku....

Saat ini, pada ketika ini, aku duduk termangu... Merenung kembali diri yang mungkin telah semakin jauh dariMu. Aku merasa malu ya Allah, malu kerana jiwa ini bergetar, kaki ini goyah tatkala ujianMu datang menjengah sedangkan selama ini aku sibuk mengatakan bahawa "AKU CINTA KEPADAMU".

Tapi ya Allah... baru sedikit ingin Kau uji cinta ini, aku sudah terjelepok, menangis, merintih..Ingin mengalah. Diri terasa lemah, sedangkan Engkau sentiasa di sisi, bahkan Engkau lebih dekat dari pembuluh darahku....

ya Allah ya Tuhanku...

Aku ini seorang pemungkir janji! Seringkali aku ingin bertaubat dari dosa-dosa..Namun seringkali jua aku leka, lalai dan tunduk atas tuntutan nafsu. Air mata keinsafan yang dulunya menitis mengenangkan dosa, seakan-akan lenyap dari ingatan. ya Allah, masihkah layak aku ini berada di sisiMu??

Ya Rabbi...

Hamba jenis apakah aku ini? Terkadang diri melihat maksiat, tapi mulut terkunci, tangan terhenti, hanya hati yang menangis.... Melihat kekerdilan diri.. Melihat lemahnya iman...Merintih, menangis... Tiada siapa yang tahu melainkanMu..

Allah... Di luar sana sedang hujan, setitik demi setitik air itu jatuh ke bumi, menghempap tempat-tempat yang telah Engkau pilih, membasahkan baju-baju di ampaian, yang telah disidai rapi.

Ada ya Allah... Ada hati yang merungut, mengesali titis-titis hujan yang katanya membawa musibah, yang katanya membawa mudarat. Tapi sedarkah mereka, titis-titis hujan itulah yang menyejukkan bumi. Titis-titis hujan itulah yang selalu dipohon tatkala kemarau tiba.. dan akibat titis-titis hujan itulah, dengan izinMu, pelangi tiba......

Ya Muhaimin... Aku sedar, aku pasrah... kerana setiap ujian yang melanda, sudah Engkau ukur tahap kemampuanku... Sudah Engkau janjikan hikmah di sebalik kejadian, cuma kadangkala aku merungut tanpa menyedari air mata yang hadir adalah untuk membasahkan hatiku yang dilanda kemarau....

Dan kadangkala ya Allah... aku juga terlupa bahawa selepas hujan lebat ini, akan ada pelangi yang menanti.

Ya Allah.. Dengarlah rintihanku ini.... selitkan secebis ketabahan Siti Hajar, selitkan sedikit kesabaran Siti Fatimah... Selitkan jua redha Rabiatul Adawiyyah.. Cekalkan hatiku secekal Sumayyah, Sucikan diriku sesuci Maryam... Kerana ya Allah.. aku gentar andai cintaMu hilang,

Kerana aku...

Terlalu mencintaiMu.....

Read More......

Thursday, January 7, 2010

Akar Sabar Itu Pahit, Tapi Buahnya Manis


Perit sungguh ujian yang melanda,
Bertambah perit apabila dilanda gelora,
Diri menunduk menongkah badai,
Dan ku lihat sinar di sana...


Diri yang lemah ini juga hajat sangat doa darimu wahai mujahidah solehah. Walaupun kita jauh tapi Allah tautkan hati2 kita, agar menjadi qudwah pelebar agama yang diredhaiNya. Wahai sahabat, jika engkau memandang segalanya adalah drp Allah, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakitnya hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, yang menyusahkan kehidupanmu, pasti akan damailah hatimu... Kerana masakan Allah mentakdirkan segalanya terhadapmu utk sesuatu yang sia2? Bkn Allah tak tahu deritamu, tp mungkin itulah yang Dia mahu... Mungkin utk menguji sedalam mana cintamu terhadapNya.


Mesej itu ana tatap. Hiba. terharu.

Handphone berbunyi lagi.

Terima Kasih Duhai Sahibahku


1 MMS diterima dari sahibah yang lain.

Mesej dibuka. Terdengarlah suaranya sayup-sayup membacakan doa buat ana. Ada sendu di pengakhiran suara itu. Sedih ana sedihnya jua.

Seorang lagi sahibah menangis melihat gambar ana yang bengkak-bengkak mata akibat seharian menangis.

Ana menjadi penasaran. Terasa sungguh Allah masih mengingati ana dengan kurniaan para sahibah yang subhanallah! Hebat-hebat belaka. Malahan ana tidak sanggup berfikir akan kehilangan mereka. Tidak sanggup. Sedih mereka, sedih ana jua. Gembira mereka, gembira ana jua.

Di saat ujian yang besar menimpa diri ini, para sahibah tidak putus-putus menghantar mesej memberi kekuatan. Memberi mesej agar ana bertenang. Mereka tidak pernah berubah, menegur ana tatkala ana silap, menjadi tongkat bagi ana yang lemah dan menjadi cahaya tatkala ana berada di dalam kegelapan.

Para sahibahku... Ketahuilah ana amat menyayangi kalian. Teramat sayang kerana Allah. Benarlah, berukhwah kerana Allah itu terlalu indah. Sangat indah.

Terima kasih ya Allah..

Akar sabar itu pahit, tetapi buahnya manis


Ana sudah menjangka.. 5 tahun yang bakal dilalui bukanlah akan disirami mawar nan indah, juga bukan dihiasi haruman mewangi tetapi ana harus bersedia dengan duri-duri tajam di sepanjang jalan, juga bauan busuk yang menyelubungi udara.

Ana harus kuat.

"Saya tengok kamu ni ada potensi untuk menjadi pejuang muslimah yang berjaya. Cuba tengok ikan, dikelilingi laut masin, tapi isinya tetap tawar." Kata-kata semangat disuntik masuk secara tepat ke dalam hati ana oleh pensyarah di jabatan HEP.

"Tapi puan.. saya tak kuat" Ana mengeluh.

"Kuat tak kuat, kamu yang tentukan."

"Saya takut sangat hati saya mati. Saya tak mahu terbiasa dengan perkara yang melanggar syariat."

"Inilah saatnya, kamu mahu menguji keimanan kamu...."

Ana terdiam. Di sebalik kata-kata itu ada benarnya. Selama ini ana dikelilingi suasana Islami, yang mana semuanya terjaga. Dari A sampai Z. Dan kini semuanya terbalik secara keseluruhan..

Ana masih ada rasa sensitif terhadap semua itu, alhamdulillah.. Petanda iman masih ada.. Tapi...

"Saya takut kalau saya hilang sensitiviti." Ana bersuara lagi. Air mata sudah mula bergenang.

"Beginilah. Waktu PJ tu 2 jam, lagi 22 jam apa yang kamu lakukan untuk melawan 2 jam tu? Kamu dah berjaya melalui semester 1 dengan sebaiknya.."

Ana berfikir kembali. Zikir, doa, membaca Al-Quran, berkumpul dengan orang soleh... Sudah lengkapkah semua itu?

Perbincangan bersambung.. dan ana mula melihat satu-persatu perkara yang terbentang di hadapan mata. Perasaan ana lega sungguh. Mungkin saat itu kami berbicara sesungguhnya. Dari hati ke hati.

Sungguh, Allah tidak pernah melupakan hambaNya. Cuma kita harus bersabar kerana buahnya nanti manis :)

Jangan jadi seperti monyet


Ketika angin kencang, monyet akan berpegang erat pada dahan. Tetapi, ketika angin sepoi-sepoi bahasa, monyet akan terlupa sebentar pada pegangannya dan kemungkinan besar akan jatuh ke bumi.

Begitu juga kebanyakan kita. Ketika diuji, kita memegang erat pada prinsip yang telah kita cipta, tetapi andai semuanya kelihatan baik-baik sahaja kita mula lupa pada pendirian kita dan akhirnya semua itu akan terlepas dengan mudah. Tiada lagi prinsip. Tiada lagi pengangan. Na'uzubillah.

Pengalaman dan pengajaran yang telah ana laluilah yang telah menjadikan ana seperti ana sekarang. Yang mampu mencoret barang sepatah dua kata untuk muhasabah bersama. Benar, ana akui... Ujian itu terlalu perit untuk ditanggung. Tetapi kita harus ingat bahawa Allah menguji mengikut kemampuan hambaNya.

Terkadang ketika kita sedang diuji, kita akan merasa lemah jua tidak bermaya. Kita menangis dan merintih mengapa semua ini berlaku. Kita rasa tidak mampu. Tidak kuat. Tetapi hakikatnya, Allah telah mengukur tahap kemampuan kita, dan bersyukurlah kerana dugaan itu tiba. Itu tandanya Allah masih mengingati kita, Allah masih menyayangi kita dan Allah amat merindui rintahan kita.....

Allah juga mahu memupuk jiwa agar menjadi lebih kuat dan tabah. Kerana di hadapan sana.. Pelbagai lagi dugaan yang menanti.

Fahamilah Sahabatmu


Seorang sahabat itu haruslah memberi kekuatan kepada sahabatnya yang lain. Ketika dia sedih, dampingilah dia.. Dengarlah rintihan hatinya. Sokonglah dia dan berilah pendapat dengan sebaik mungkin. Dari hati ke hati.

Terkadang mereka yang diuji akan merasa penat untuk bercerita. Merasa penat untuk berkongsi. Malah merasa penat untuk mendengar segala nasihat yang mendatang. Tetapi bersabarlah kerana sahabatmu itu memerlukanmu...

Dengarlah dahulu segala rintihannya..... Sokonglah dia dahulu sebelum mengemukakan pendapatmu. Sama seperti bagaimana cara terbaik untuk menegur insan lain.

"Alhamdulillah.. cantik betul lah awak hari ni.. Kemasnya, subhanallah.. Tapi saya rasa natural beauty lagi cantik. Awk tanpa make up pun cantik tahu?" Suara Halimah menegur sahibahnya yang berhias secara keterlaluan.

"Sedihnya peristiwa tu... Kena buat tu, kena buat ni.. saya faham.. Hm, macam manalah kan nak lalui detik-detik tu. Tapi saya tahu awak kuat! Awak tak boleh mengalah tau.. Awak kena terus berjuang."

Terkadang percakapan kita yang sedikit, untuk memberi nasihat akan hanya memberi kesan luka di hati insan lain.

Benar, niat kita memang baik. Tapi manusia yang sedang dalam kemurungan akan mudah terguris dan tidak mudah menerima pendapat.

Maka berkatalah dengan sebaiknya dan fahamilah sahabat kita sedalamnya...

Wallahu'alam...

Setiap dugaan yang melanda,
Aku yakin bahawa Engkau bersamaku Allah,
Tunjuki aku cahaya itu,
Agar aku bisa menggapainya,
Mendakapnya penuh erat......

Read More......

Wednesday, January 6, 2010

Sukarkah Menjaga Syariat?


ya Allah...
HambaMu ini berjalan meniti titian pasir...
Meredah lautan kaca..
Menongkah badai bergelora..
Demi menjaga syariatMu..

Terkadang ya Allah,
Kaki tersadung batu,
Dihempap dedahan reput,
Lalu diri tersungkur,
Jatuh menyembah bumi,
Demi menjaga syariatMu...

Ya Allah...
Jangan sesekali kau selitkan rasa kecewa,
Jangan sesekali kau selitkan rasa hiba,
TAPI..
Selitkanlah ya Allah...
Selitkanlah rasa bangga dan cinta kepadaMu yang semakin mendalam.
Kerna aku tahu.. Inilah lambang cintaMu kepadaku.

Terkadang aku duduk sendirian,
Mengenangkan betapa diri ini hina,
Tercalar hatiku mengenangkan pengorbanan sumayyah,
Yang rela berjuang sehingga ke titisan darah terakhir..

Menangis hatiku terkenangkan bilal bin rabah,
yang dijemur diterik mentari dan dihempp dengan batu,
Namun lidah tetap utuh menyebut "Ahad! Ahad!"

Ya Allah....
Sukarnya menjaga syariatMu kini,
seolah-olah dunia sudah kembali ke zaman jahiliyyah dahulu,
Terbayang-bayang dibirai mata,
Bagaimana mudahnya Engkau membinasakan umat yang terdahulu.

Tapi mengapa ya Allah,
Mengapa kini orang yang menjaga syariatMu dipandang jelek dan hina,
Dimarah, ditengking, dimaki semata-mata agar dituruti peraturan manusia yang terbatas.
Mengapa ya Allah... Maksiat semakin berleluasa, syariat semakin tidak terjaga, Lupakah mereka pada seksa dan azabMu?
Lupakah mereka pada Mu, Tuhan sekalian alam?

Ya Allah...
Peritnya dugaan yang melanda,
Puas sudah ku pujuk hati,
Bersabarlah kerana sabar itu manis,

Allah..Allah..Allah..
Panjangkan kesabaranku,
Tebalkan keimananku,
Jagalah iman kami,
Peliharalah hati kami,
Janganlah Kau uji kami dengan dugaan yang kami tidak mampu menanggungnya...

I trust in Allah. Do you?

Read More......

Monday, January 4, 2010

Rasulullah qudwatuna


"Ala.. yang sekolah agama pun perangai macam budak-budak biasa je. kadang ada yang lagi teruk.. Sebab tu lah kita nak jadi macam biasa je." Lancar kata-kata itu dikeluarkan dari bibir seorang teman. Membuatkan ana tersentak seketika.

Terdiam. Hakikatnya, hati menangis.. Ingin dibidas kata-kata itu, tetapi realiti terlalu perit untuk dihadapi.

Umat Islam semakin goyah. Apakah puncanya?

Allah Dilupakan


Dunia ini sungguh-sungguh indah dan mempesona. Bisa membuat sesiapa sahaja tertarik, terjatuh dan terjerumus ke dalam lubang-lubang yang dipenuhi dengan kemaksiatan.

"Kenapa Allah suruh kita buat macam-macam.. Tu tak boleh, ni tak boleh. Kenapa?"

Kerana kita seorang KHALIFAH! Khalifah diberi akal untuk mentafsir, memerhati dan mencerna setiap apa yang berada di sekelilingnya. Yang baik dijadikan ikutan, yang buruk dijadikan sempadan.

Adakah kita sanggup membiarkan anak kita bermain di tengah-tengah jalan raya. Mengapa kita menegah, padahal anak itu seronok bermain di situ? Mengapa? Adakah kita jahat?

TIDAK!

Hakikatnya, kita mahu yang terbaik buat si anak itu. Begitu juga dengan Allah. Dia yang menciptakan kita. DIA adalah jurutera bagi manusia, maka DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Manusia tidak akan mampu melawan Allah. Tidak akan.

Justeru... Mengapa Islam hanya tinggal sebagai teori? Tanpa amalan. Tanpa perbuatan. Hanya dihafal di dalam otak, tidak langsung dicerna masuk ke dalam hati. Mungkinkah Islam akan terus tinggal di dalam kitab-kitab lama... Dan juga di dalam nama kita?

Sedih. Sangat sedih.

Dakwah Rasulullah


Rasulullah qudwatuna... Rasullullah adalah IKUTAN KITA.

Baginda telah menunjukkan tauladan yang baik. Akhlak baginda adalah akhlak Al-Quran. Mengapa kita senang-senang pula berperangai buruk mengalahkan orang Arab jahiliyyah?

Salah satu faktor penyebaran Islam adalah kerana AKHLAK Rasulullah. Baginda berakhlak mulia sehingga masyarakat tertarik dengan Islam.. Kelihatan Islam sangat indah dan tersusun... Kelihatan Islam adalah agama yang terbaik buat manusia.

Tetapi kini??????

Terlahirnya satu lagi phobia iaitu islamaphobia. Takutkan Islam. Islam seharusnya didekati. Disayangi. Bukannya ditakuti. Tapi mengapa semua ini terjadi?

Sedarlah


Dalam sedar tidak sedar, semua itu berpunca dari umat Islam itu sendiri. Islam tidak mengajar umatnya bersikap kurang ajar, mencuri, berhu-ha sana-sini, bahkan Islam mengajar umatnya untuk bersikap amanah, lemah-lembut, berbudi-bahasa. Islam adalah agama yang sangat terperinci dan menyeluruh. Setiap perkara yang ingin dilakukan ada garis-garis panduannya agar hidup manusia teratur..

Tapi kini ana melihat umat Islam tanpa Islam, sekaligus mendatangkan fitnah bagi Islam. Umat Islam sewenang-wenangnya 'mencabar' Allah dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh.

Allah datangkan gempa bumi.
Allah datangkan banjir.
Allah datangkan ribut taufan.
Allah datangkan tsunami.
Allah tunjukkan segala kekuasaanNya sebagai peringatan buat mereka yang terleka.

Tapi.. Dengan bangganya kita berkata ; "Ahh.. Hidup hanya sekali... Jadi kita enjoy!!"

Tidakkah kita lebih teruk dari masyarakat jahiliyyah yang terdahulu? Yang telah Allah binasakan semuanya? Adakah kita sememangnya menunggu saat untuk dibinasakan, baru akan tersedar?

Benar. Hidup hanya sekali dan MATI juga hanya sekali. Bukankah hakikatnya, HIDUP INI UNTUK MENCARI MATI YANG SEMPURNA?

Ana bimbang... khuatir sungguh melihat umat Islam yang semakin berpecah-belah.. Semakin jauh dari Allah sehingga telah hilang sensitiviti untuk merasa musibah yang menimpa.

Saudaraku... Sedarlah. Jangan jadikan Islam sebagai agama teori sahaja.. Praktikanlah, agar agama ini dapat terus menebarkan sayapnya.

Berakhlaklah seperti akhlak Rasulullah, seperti yang Islam ajar.

Wallahu'alam :)

Read More......

Saturday, January 2, 2010

AMANAH ; antara kita,DIA dan mereka


Azan maghrib berkumandang.

Seorang wanita berjubah coklat pekat, bertudung labuh berwarna krim masuk. Wudhuk diambil. dan solat ditunaikan penuh khusyuk.

Ana berteleku di atas sejadah sambil memerhatikan segala gerak-gerinya. Entah mengapa, mata ana bagaikan tidak mahu beralih daripada menatapnya.

Dia melakukan sujud terakhir. Lama. Mungkin sedang berdoa..

Entah mengapa, muncul air jernih di kelopak mata ana.

Amanah Terhadap Allah

Amanah nan satu itu, yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, hambaNya.. Adakah telah dilakukan dengan sebaiknya? Atau hanya dilakukan dengan sambil lewa?

Melihat muslimah solehah itu, ada satu rasa aneh menyelinap ke dalam hati. Terharu? Sayu? Entahlah... Tapi terkenang kembali solat-solat ana yang dahulu, yang ada kalanya dilakukan secara tergesa-gesa, ada kalanya fikiran menerawang entah ke mana..

Malu benar ana.... Ana malu untuk berkelakuan sumbang di hadapan manusia, tetapi ketika berhadapan dengan Allah ana mampu untuk bersambil lewa.. Hamba jenis apakah aku ini ya Allah......

Sedar tidak sedar, hakikatnya amanah nan satu itu... Yang merupakan soalan pertama yang akan ditanya nanti bukanlah sesuatu yang membebankan. Bahkan sesuatu yang menenangkan,jika dihayati sebaiknya..

Badan kita akan letih,lesu dan penat setelah seharian bekerja.. Justeru itu solat adalah penawarnya. Ketika sujud, darah mengalir ke otak, sekaligus memberi oksigen yang cukup dan akan membuat kita kembali segar.

Hati yang berzikir, mengalun nama Allah akan menimlbulkan satu rasa nan indah. Tenang. Damai. Bukankah Allah telah berfirman, bahawa hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?

Lupakah kita?

Lagi pula, solat akan membuat kita lebih berdisiplin, akan membuat kita menghargai waktu... Mengapa? Kerana solat telah ditetapkan waktunya... Walau apa pun perkara yang kita sedang lakukan, kita tetap wajib menunaikan solat.

Sebab itulah digesa untuk solat di awal waktu ; adakah kita akan suka pada seseorang yang melengah-lengahkan waktu?

Amanah Kepada Keluarga


"Tikar getah dah beli?" Umi bertanya, sebaik melihat bilik asrama ana yang masih tidak bertikar.

"Em, belum"

Umi dan abah puas mencari tikar getah. Bukan itu sahaja, malah rak kasut, kain pengelap kaki dan macam-macam lagi untuk keselesaan ana di asrama.

Ana cuma diam. Terharu dengan keprihatinan mereka.

"Lepas ni wawa tinggal belajar je." Umi bersuara, penuh mengharap.

Ana mula merasa sebak... Selama ini adakah amanah ana sebagai seorang anak telah tertunai?

Amanah untuk menjadi anak yang solehah..
Amanah untuk belajar bersungguh-sungguh..

Mungkinkah selama ini ana telah mengabaikan harapan ibu bapa ana? Mungkinkah jua kalian selama ini telah mengabaikan amanah ini?

Ponteng kelas.
Belajar sambil lewa.
Tak buat assignment.
Tidak belajar.

Dan pelbagai lagi masalah yang dianggap 'hebat' malah kita bangga bercerita ;

"Tadi... aku tak pegi kelas.. aku ponteng, lepak kat midvalley. Tengok wayang."

Allah...

Dan mungkinkah... Wang yang diberi oleh kedua ibu bapa digunakan dengan sebaiknya? Mereka telah bersusah-payah demi kita...

Adakah kita berfikir?

Jangan Jadi Munafik


Salah satu sifat orang munafik adalah.. Apabila diberi amanah dia mengkhianati.

Hakiaktnya, sebagai seorang khalifah dan hamba.. kita menggalas pelbagai amanah.

Amanah sebagai seorang hamba dengan mentaatiNya...
Amanah sebagai seorang khalifah, menjaga Islam... mentaati ibu bapa... berperlakuan baik...

Dan banyak lagi.

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tergolong dalam golongan munafik?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Mahu melihat kemurkaan Allah, mahu melihat tangisan Rasulullah?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tegar memberi kegagalan kepada kedua ibubapa yang menanti penuh pengharapan... Yang rela berkorban apa sahaja demi melihat kesenangan kamu? Demi melihat kamu berjaya?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Sudah terlalu lemah untuk merasainya?

Wallahu'alam :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .