Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, April 29, 2011

Kita Bukan Penghukum!


Petang-petang begini, terasa nyaman pula..

Waktu entri ini ditaip, petir dan guruh sedang saling berlawanan di luar sana, sekejap nanti, akan ada titik-titik hujan yang membasahi bumi yang kian gersang..

Alangkah indahnya jika hati yg kering dan kontang tanpa keimanan dapat sekali kembali basah dan lunak seperti tanah yang ditimpa hujan itu...

Kebelakangan ini...

Saya melihat ramai benar teman-teman yang marah-marah dan merasa benci terhadap beberapa individu/kumpulan di facebook yang mencaci dan mencela Islam.

"a!@$!%%@... kau ni mmg !@#!#!$!$..... tak guna! @$%@%@" Banyak pula kena sensor ye kat sini sebab kebanyakannya mencarut-carut di ruangan komen.

Sahabat, suka benar saya melihat masih ada sensitiviti dalam hati kalian mengenai Islam, nyata kalian sayangkannya... Tapi, timbul rasa sayu dan pilu apabila hilang sensitiviti mengenai adab dalam diri masing-masing. Nyatalah kali ini syaitan menang lagi.

Sedarkah kita?

Timbulnya kumpulan-kumpulan atau individu-individu yang menyerang Islam itu pada zahirnya memang mahu mencela kesucian Islam, tapi apa yang tidak terlihat adalah mereka mahu umat Islam mengeluarkan kata-kata yang tidak enak, malah mencela dan memaki serta marah-marah yang sememangnya tidak ada dalam ajaran Islam.

Ya sahabat. Tidak salah untuk kita membenci sesuatu kemungkaran itu, tapi cukuplah sekadar membenci kemungkaran. Berhenti di situ, jangan di sambung lagi dengan membenci si pelaku kemungkaran itu!

Teringat saya pada satu kisah yang saya dengar satu ketika dahulu.... Lebih kurang begini ceritanya..

Orang Alim dan Orang Nasrani

"Hei! engkau ni nanti akan masuk neraka!" Ujar orang alim kepada seorang nasrani yang telah menimbulkan kemarahannya.

Si Nasrani tadi diam, tapi dalam hati penuh rasa berang, "Kalau begitu, dengan ini saya mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya."

Si Nasrani berlalu pergi, kini dia sudah pun menjadi seorang Muslim....

Dalam masa yang sama, orang alim tersebut berjalan dan melalui sebuah rumah. Dilihatnya di rumah tersebut ada seorang perempuan cantik. Jatuh terus hatinya pada kelembutan wajah si gadis, lalu orang alim tersebut bertemu dengan bapa si gadis itu.

"Aku ini orang nasrani. Jika kamu mahu mengahwini anakku, kamu harus memasuki agamaku dan menjaga kandang khinzirku."
Begitu syarat yang diberikan.

Atas sebab jiwa dan hati orang alim tadi telah terlalu suka kepada si gadis, maka senanglah pula syaitan mengaburi keimanannya. Si alim bersetuju dan bekerjalah dia menjaga khinzir.

Satu hari yang damai, sedang asyik dia menjaga khinzir-khinzir milik bapa mertuanya, lalu lah seorang pemuda di hadapan kandang tersebut.

"Apa yang kau buat di sini?" Pemuda tersebut bertanya.

Orang alim itu terkejut melihat pemuda muslim yang berada di hadapannya. Nyata itu pemuda nasrani yang dikutuknya dahulu!

"Aku bekerja menjaga kandang khinzir kerana ingin berkahwin dengan seorang gadis." Sayu dia menuturkan.

"Dahulu kau kata aku akan masuk ke neraka Allah, tapi sekarang aku adalah orang Islam dan aku berpeluang memasuki syurgaNya. Sedang kau?"

Si pemuda berlalu pergi... Meninggalkan orang alim yang pada satu ketika dahulu gah berdiri!

Siapa Kita?

"Siapa kita ni sebenarnya hanya boleh dinilai nanti bila tiba saat kematian." Pernah emak saya berpesan.

"Kenapa?" Saya bertanya.

"Orang jahat tak semestinya akan jahat juga bila tiba waktu ajal dia, orang baik, tak semestinya akn jadi baik juga bila tiba waktu ajalnya." Emak menerangkan, ringkas tapi mudah difahami.

Benar sahabat.... Kita ini tidak tahu nasib kita nanti di penghujung nyawa bagaimana?

jika kita rasa kita sudah cukup baik, akan baikkah kita hingga ke akhirnya?

Jangan suka mengutuk orang itu dan ini, sekurang-sekurangnya anggaplah mereka melakukan kemungkaran atas sebab kejahilan, sedang kita terus-terusan melakukan dosa walaupun kita tahu.....

Jangan nanti Allah menguji dengan mengembalikan segala kutukan yang pernah kita lontarkan kepada diri kita. Telah banyak Allah tunjukkan, masihkah kita tidak mahu menilai?

Jadi sahabat.... Andai bertemu dengan kemungkaran dan terasa ingin mengutuk...

BERHENTI!

dan bersyukurlah kita terlindung dari kemungkaran itu, berdoalah agar kita akan terus dilindungi dan doakanlah agar Allah beri hidayah kepada si pelaku kemungkaran tersebut.

Ingat, kita ini bukanlah pemberi hukum.

Kita hanya pemberi pesan :)

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Al-Imran : 159)


Berkatalah dengan penuh hikmah dan kelembutan... Siapa manusia yang suka dikasari kan?

Hujan

Saya ingin sekali meneliti rintik-rintik hujan, tapi mendengarkan guruh dan kilat saling bergaduhan, saya pendam niat itu.

Ah, indahnya andai nanti manusia yang bergaduh-gaduh seperti guruh dan kilat itu juga mampu berhenti seperti guruh dan kilat yang lenyap sebaik hujan berhenti....

Moga ia penjadi pedoman:


Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, April 27, 2011

Indahnya Wanita Solehah


Ya Allah...

Seringkali aku bermimpi,
Bertemu denganMu dengan girang di hati,
Mengabdi diri,
Sehingga bersemadi...

Tapi Ya Allah...

Aku termangu sendiri...

Aku tidak semulia Khadijah,
Isteri Nabi yang pertama,
Tetap percaya biar sekeliling menghina,
Tetap bersama biar semua menyisih,
Bersama Nabi hingga ke akhir hayatnya,
Kesayangan Rasulullah sentiasa,
Hingga selamanya terabdi di minda...

Aku tidak secerdik Aisyah,
Mencipta senyum di wajah Nabi sentiasa,
Bersama di sisi susah dan senang,
Hingga akhirnya Nabi menutup mata,
Di ribaan Aisyah tercinta...

Aku tidak sesuci Rabiatul Adawiyah,
Yang seumur hayatnya hanya mentarbiyyah,
Biarpun keluarganya hidup susah,
Atau dirinya sendiri ditimpa musibah,
Ditolak ketepi semua yang fana,
Hingga diri unggul di hadapan pencipta....

Aku tidak setabah Maryam ibu Isa,
Yang tetap berjalan biarpun ditohmah,
Yang tetap bersabar biarpun dicerca,
Yang tersenyum biarpun diluka,
Yang tidak putus pengharapan hanya kepada Yang Esa,

Aku tidak sekuat Sumayyah,
Yang masih beriman biarpun diseksa,
Melihat suami dan anak-anak terlibat sama,
Hingga akhirnya mati di tangan tuan yang berdosa,
Namun harum pusaranya selamanya...

Meneliti sirah,
Menggamit sedih,
Betapa diriku masih lagi jauh tersisih,
Untuk bergelar mutiara mukminah solehah...

Aku tidak tahu,
Apa mungkin saat tibanya waktu,
Mata tertutup dipanggil menghadap Yang Satu,
Allah redha menerimaku,
Atau aku dihalau ketika itu.....

Aku tidak tahu apa mungkin Rasulullah mahu menoleh,
Melihat aku yang terkadang terlupa berselawat merintih,
Seorang aku yang sering mengenepikan sunnah,
Sering pula melukakan hati baginda,
Mungkinkah baginda menunggu kehadiranku,
Atau mengalir airmatanya mengenang segala.....

Allah...

Aku sering terfikir,
Siapa aku dihadapanMu?
Teringin aku setanding wanita mukminah yang solehah,
Namun mungkinkah,
Aku ini hanya seperti sebutir pasir di pantai sana......

Untuk sahabatku semuanya... Hayatilah..


Wallahu'alam.

Read More......

Tuesday, April 26, 2011

Menjadi Yang Terbaik Untuk Waris Terbaik



"Hm..." Hari-hari yang berlalu seolah-olah semakin suntuk. Masa seakan berlalu pantas, teringat sahibah berpesan,

"Seorang mukmin yang meletakkan hidupnya dalam Islam pasti merasa 24 Jam itu tidak cukup, tapi mampu dimanfaatkan sepenuhnya."

Merenung jauh ke lubuk hati.. Allah...

Masih jauh diri ini dari menggapai tahap mukminah solehah.

Megisi masa-masa yang terluang, saya berlegar-legar di ruangan internet dan terjumpa dengan satu kisah yang indah. Sungguh indah hingga menerbitkan satu rasa dalam hati. Teringin saya berkongsi kisah ini dengan sahabat:

Sumber: Dari internet dan masih samar-samar. Moga ada pengajaran yang dapat diambil :)

Mungkin ada yang dah baca, namun moga ia menjadi peringatan lagi.. :)

Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa
isteri ke 'Mahkota Medical Centre', dia mengadu
kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya
lenguh-lenguh. Saya tanya dia"mengandung kot?" Dia
kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya
bawak dia jumpa doktor dan ternyata.... isteri saya
mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka
bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa
depan akan pastinya berubah lagi.

Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini
senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning
sickness yang teruk sekali bagi isteri
saya.Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa.
Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak.
Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur,
kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja
solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur
kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya.
Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu,
sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya
sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang
dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran
sehingga isteri saya terlelap.Memang kebiasaan
sebelum mengandung pun saya akan membaca
Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur
sehinggalah dia terlelap.

Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya
sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam
kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu
sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan
janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya
ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula
dengan
kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab
'Kasyaful Mahjub'. Mungkin ada pembaca yang berkata
saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin
survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak
berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan
anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada
kemudian hari adalah diluar bidang kuasa
saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.

Saya bercerita kepadanya tentang Allah,
zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali
bercerita kepada diri saya. Adayang menghantar
email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar
tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya
untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya
yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak
kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah
waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua
pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub
conscius mind) adalah paling optimum ketika
ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan
kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke
ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah
ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah al
fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam
hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah
di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah
dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai
mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda
beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati
isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan
berselawat, banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa
sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir
anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat
anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang
menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya
bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan
anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An
Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa
Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik
Hanafi
sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam
Abu Hanifah "Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia
dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu
aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang
belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin
disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah)
ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga
sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak
dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik
akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih
segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri
kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita
sendiri.

Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang
membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa
berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah
sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya
nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh
Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah
para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu
kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara
saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa
pula kata mereka nanti.

Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun yenyak
dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin
disisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman
rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi
saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak
yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang
dan
bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri
saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami
akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa
depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.

Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim
piatu yang ditinggalkan ditengah padangrumput,sehingga
sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini
saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud
salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam
hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan
saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya
biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak
akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu
dibohongi yang teddy bear adalah'mama'nya seperti
saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia
tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu
banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud
menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki
jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya
kuncikan pintu dan ke kamar tidur.Isteri saya
telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah 'bintang timur'
dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam
hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan
cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan
muncul 'bintang timur kecil' dalam hidup saya

Selamat beramal!

Wallahu'alam :)

Read More......

Sunday, April 24, 2011

Al-Fatihah

"Hello wa, katne?" Suara sahibah di corong telefon bimbit membuatkan tangan saya meletakkan kembali garfu ke pinggan.

"Kat Ayer Hitam. Kenapa?"

"Buat apa kat sana?"

"Saja, cari air putih takde, pergi air hitam." Saya cuba berjenaka.

Dia tergelak kecil, tapi bagai ada lagi mesej yang belum disampaikan. "Tau tak Yus dah meninggal?"

Hampir tersedak saya mendengar perkhabaran itu. "Yus mana?" Saya masih tidak mahu mengiyakan kata hati bahawa yang meninggal tersebut adalah classmate saya waktu di MRSM dahulu.

"Yus Akmal, classmate kita lah."

Allah...... Benarkah? Saya amat berharap ini hanyalah mimpi.

"Sakit apa?" Dalam kepayahan saya bertanya.

"Lelah."

Allah..

Nyata ini bukan mimpi tapi adalah satu kebenaran yang pahit untuk ditelan...

Dia teman sekelas saya semenjak tingkatan 4 hinggalah tingkatan 5. Sehingga sekarang, bagaikan terbayang-bayang kepetahannya di dalam kelas.

Kelincahannya. Kelucuannya.

Ah, tapi nyata sebanyak mana pun kami menyayanginya, Allah lebih kasih kepada dia.

Sedih rasa di hati kerana tak dapat untuk berjumpa dengannya, walau untuk kali terakhir. Rumahnya terletak di Kelantan dan makan masa untuk saya sampai ke sana. Hanya doa sebagai pengiring....

Al-Fatihah buat almarhumah Yus Akmal, moga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.

Dalam kesamaran waktu, saya bertanya kepada diri sendiri...

Sempatkah saya bertemu Ramadhan kali ini?

Dari Ibnu Umar R.A.

Nabi S.A.W. pernah di tanya, siapakah orang yang paling bijak wahai Nabi? Lalu Nabi S.A.W. menjawab, orang yang paling bijak adalah yang paling banyak mengingati mati dan bersedia menghadapinya. (HR Ibnu Majjah.)


Sahabatku yang masih bernafas hingga kini, ayuh sama-sama memuhasabah diri...


Wallahu'alam

Read More......

Friday, April 22, 2011

Dalam Pahit Ada Manis



"Bosannya.. nak buat apa ni." Saya menggumam sendirian.

Teringat pula adik yang akan menumpang di asrama pada hari Sabtu, sebab tak mahu ikut kami pulang ke kampung atas alasan ada lagi kerja kayu yang belum selesai. T_T. Mengenangkan yang saya akan bersendirian tanpa adik di kampung nanti, sangat memilukan. -.-"

"Mak, buat muffin jom."

"Buat apa?"

Untuk Semua Adik-Adikku

"Bagi kat budak-budak asrama." Saya bersuara sambil tersengih, ingin memancing simpati emak.

"Ok. tapi barang-barang kena beli nanti."

Malam tu, kami ke Giant, mencari cup untuk buat cupcake

"Wa...ni ha ni!" Abah memangil seraya menunjukkan sesuatu di tangan. Saya bergegas ke arahnya, menyangkakan cup untuk muffin telah dijumpai. Tapi ditangannya bukanlah cup muffin yang dicari, tapi hanyalah sebaris cup-cup kertas untuk jamuan.

"Bukan ni lah abah.." Perlahan kata itu dituturkan. Hampa.

Esoknya, kami terpaksa ke kedai lain pula.

Membuat cupcake dengan tulisan-tulisan di atasnya sungguh bukanlah mudah, sekurang-kurangnya bukanlah mudah untuk saya. Macam hidup dalam dunia.... Semuanya pada permulaan adalah sukar.

Bayi yang baru lahir tidak terus pandai berlari.

Dia perlu belajar dengan penuh kepayahan, meniarap, merangkak..

Berjalan dan terjatuh, dan bangun kembali...

Sehingga akhirnya dia mampu menapak teguh dan berlari...

Tapi jangan sesekali kita khuatir, tatkala jatuh...ingatlah ayatNya yang menenangkan..

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Al-Insyirah : 5)


Untuk adik-adikku yang di asrama sana, Moga menjadi insan yang soleh!


MTA- Maahad Tahfiz Al-Akhyar.

Makanlah muffin ini dengan penuh rasa cinta, walaupun hodoh sikit sebab kekandamu ini membuatnya atas dasar cinta terhadap kesucian dan kekudusan wajah comelmu... :)

Dari Pahit, Datangnya Manis

"Susahnya..." Pertama kali mempelajari subjek programming, itulah yang terfikir oleh saya.

Pening, banyak kena hafal.

Jika saya terus-terusan berfikiran yang susah itu, maka saya pasti ia akan menjadi susah selamanya.

Mempelajarinya betul-betul payah, tapi setelah difahami konsepnya ia menjadi mudah, manisnya nikmat dapat buat satu-satu program itu, sangat manis... Tak terkata.

Tapi, tanpa kepahitan (susah) waktu mula-mula belajar, masakan mungkin saya akan dapat mengecapi kemanisannya.

Kita lihat orang yang senang sahaja dapat itu dan ini, dia mesti kurang menghargai harta bendanya, berbanding dengan mereka yang perlu bersusah-payah untuk mendapatkan sesuatu.

Hal yang sama, betapa mereka yang tidak dilahirkan dalam Islam dan bersusah - payah mencari Islam sangat menghargai Agama ini apabila mereka memeluknya.

Tapi, mereka yang dilahirkan dalam Islam dan senang-senang mendapat nikmat itu, tidak langsung menghargai ajaran-ajaran yang Islam ajar.

Allah telah menunjukkan banyak bukti di hadapan kita sahabat, tinggal kita mahu melihatnya dengan mata kasar, atau mata hati...

Setiap kesukaran yang dilalui bukanlah hakikatnya untuk menyusahkan diri kita, melainkan untuk kita merasa NIKMAT KEMANISAN itu sendiri.

Dan Ingatlah ;

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Al-Insyirah : 6)


p/s : 1- Syafakillah buat sahibah saya, NURLAILI BT MUSTAFA yang mengalami keretakan tulang. Ingat, tanpa yang pahit itu, tak adalah kita rasa nikmat tangan yang sihat :)

2- Saya rasa, saya dah dapat menjiwai jiwa kanak-kanak, lihatlah lukisan atas muffin, xubah seperti lukisan kanak-kanak di tadika. Tahniah buat saya, -.-"

3-Sepatutnya post ini dipublishkan semalam -22/4/2011, tapi atas beberapa halangan, ia hanya dapat disiarkan hari ni. Maaf ya ^^

Walahu'alam

Read More......

Thursday, April 21, 2011

Pekakkanlah Diri!


"Hei kawan-kawan, mari kemari, aku ada perkara yang mahu disampaikan!" Teriak Sang Kancil.

Si arnab berlari pantas, sang kura-kura berjalan lenggang.

Si cicak jauh terkebelakang, dan haiwan yang lain semua bersorak riang!

"Perkara apa?!" Serentak mereka berteriak.

"Di hujung sana... Ada satu tiang yang tinggi, siapa yang dapat memanjat sehingga ke penghujungnya, sungguh dia yang terhebat!"

"Apa kata kita buat satu acara larian, sehingga sampai ke tiang itu, dan perlu menaiki tiang hingga sampai ke hujungnya!" Si kancil mendabik dada.

Suasana menjadi hingar. Masing-masing berteriak itu dan ini.

Tidak ada walau seekor pun yang mahu dilihat lemah, walau mereka tahu tiang itu amatlah tinggi dan licin, hari pula baru sahaja lepas hujan.

Naik ke atas? ah, itu mustahil!

Persetujuan diambil. Mereka semua setuju beradu tenaga. Tempat permulaan acara itu ditetapkan.

Si kera menjadi pengadil, arnab, kura-kura, cicak, kancil, monyet dan katak mengambil bahagian.

"1,2,3!!" Wisel ditiup, mereka berlari pantas.

Penonton bersorak girang.

"Arnab cepat!!"

"Kura-kura, boleh!!"

"Cicak, pantas!"

"Si cerdik kancil, gunalah helah!!"

"Monyet, lari laju lagi!"

"Katak, lompat tinggi-tinggi!"

Para penyokong bersorak riang.

Para peserta menjadi semakin semangat, mereka berlari kencang. Sampai ke tiang, masing-masing cuba menaiki. Licin, sesekali mereka terjatuh dan naik kembali.

Masa berlari pantas.

Para penyokong menjadi bosan.

"BOOOOO... Sudala! Kalau tak boleh tu dahlah!" Mereka bertukar arah.

Arnab sudah letih, terjelepuk ke bawah.

"BOOO.. Penatlah, ntah bila ntah nak sampai ke atas!"

"Tak mungkinlah dapat naik sampai atas!"

"Mengalah jelah woi!"

Satu persatu gugur, kura-kura, kancil,monyet dan katak semuanya mengalah.

Hanya cicak yang masih tegar memanjat.

Para penonton semakin berkurangan, sedikit demi sedikit sudah pulang ke rumah. Matahari pun semakin galak menyembunyikan diri.

Seminit... Dua minit... tiga minit...

Akhirnya Si Cicak sampai ke puncak!

Hadirin yang ada tergamam. Para wartawan menggerumuni Si Cicak.

"Apa rahsia anda?"

"Bagaimana dapat naik sampai ke puncak?"

"Tak penatkah?"

Bertalu-talu soalan diaju. Si Cicak hanya berdiam diri. Para wartawan menjadi pelik.

Soalan yang sama ditanya, namun responnya tiada.

Akhirnya barulah hadirin semua tahu, bahawa SI CICAK ITU PEKAK!

Pekakkan Diri

Kata-kata yang indah, mampu membuat jiwa letih kembali bertenaga, menjana semangat ke dalam diri, menjadikan jiwa kental, kaki teguh, dan minda terurus.

Tapi...

Kata-kata yang tidak bermotivasi, memang akan membuat manusia lemah, sehingga ada yang terjatuh dan tidak tahu bagaimana mahu bangkit kembali...

Jadi sahabat, kadangkala kita perlu pekakkan diri! Biarkan mereka berkata, asal sahaja kita sampai ke puncak sana. Nanti, mereka yang terdiam sendiri...

Ambillah pengjaran daripada si cicak itu...

Ingat sahabat!

Rest if you must, BUT don't you quit!

Jom tengok video ni, moga semangat yang turun naik kembali :)




Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita (At-Taubah : 40)


Wallahu'alam

Read More......

Sejuta Kemaafan....

Sahabat...

Saya mohon berbanyak-banyak kemaafan kerana agak jarang update blog kebelakangan ni, saya belajar untuk membuat catatan pendek sekarang ni kerana Allah izin saya terpaksa ke sana-sini setiap hari untuk menguruskan hal yang masih berbaki...

Mohon sahabat semua mendoakan kelancaran segala urusan, doa insan sesoleh/ah sahabat semua insyaAllah dimakbulkan Allah.

Maaf sekali lagi... Jika saya telah menetapkan bahawa blog adalah salah satu medan dakwah, seharusnya ia menjadi satu komitmen buat saya, tapi saya mengabaikannya, Allah...

Moga-moga Allah ampuni dosa-dosa saya...

Jom kita isi hati dengan ceramah istimewa, penampilan habib Ali...



Moga sama-sama mendapat manfaat :)

Read More......

Tuesday, April 19, 2011

Rumput Atau Pohon Yang Tinggi?


"Keldai itu... Mengibas... Perigi..." Suara ustaz di IKIM.fm itu tenggelam timbul, kalah dek kekuatan deruman enjin kereta.

"Ni ha..cerita pagi tadi." Emak membalas.

"Pasal apa?" Semangat ingin tahu tiba-tiba meluap-luap. Yalah, apa pula kaitan keldai dan perigi kan?

"Takde.. keldai ni...." Emak mula bercerita.

Semangat Sang Keldai

"Keldai ni jatuh dalam perigi buta, tuan dia tak tahu, tuan dia pun baling tanah, baling sampah semua, tapi keldai tu kibas-kibas badan dia bila dibaling tanah, lepas tu pijak atas tanah yang dah meninggi tu, lama-lama keldai tu pun dapat keluarlah." Emak menyambung kata.

Wah,menarik tu!

Seakan memahami, tangan emak pantas menguatkan volume radio.

"Kita di dunia ni, selalu akan ditimpa musibah, macam si keldai yang dibaling tanah. Tapi, ambillah musibah itu sebagai satu semangat untuk kita terus bergerak. Contohi si keldai tadi, walaupun dibaling tanah, dia tidak mengalah, tapi terus mencari jalan." Suara ustaz kembali kedengaran.

Sahabat, tahu tak kenapa Allah beri kita musibah dan dugaan?

Saya teringat pada satu sesi ceramah,seorang usahawan pernah berkata, "Donald Trumph cakap, dia tak mahu ambil orang yang TAK PERNAH GAGAL untuk bekerja dengan dia."

Hadirin semua senyap.

"Sebab, orang yang tak pernah gagal selalu akan SOMBONG dan BONGKAK dengan diri dia." Dia menyambung.

Sahabat...Lihatlah indahnya aturan Allah. Dia tahu manusia mudah lupa, mudah rasa bangga dengan diri sendiri, lalu ditimpakan musibah agar kita sedar, kita ini hanyalah hamba... Kita ini masih mengharap pada Dia, kalau lah tak ada Allah, siapalah kita di dunia dan akhirat kelak...

Sejarah telah tercipta sahabat...Lihat sahaja Firaun yang dilimpahi kekayaan dan tidak diserang penyakit, tiada musibah yang menimpa dirinya sehingga dia menjadi bongkak dan mengaku menjadi Tuhan.

Ketahuilah sahabat... Andai Allah menimpakan musibah, bererti Dia masih sayang dan berharap kita dekat denganNya... Mari kita menjadi seperti sahabat Rasulullah yang menangis tika tiada musibah datang menjengah, bimbang jika Allah telah melupakannya...

Allah...

Ingatlah Allah telah mengingatkan :

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) (At-Talaq : 2)


Mahu Jadi Rumput Atau Pepohonan Tinggi?

"Kalau takut ditolak angin, jangan menjadi pohon yang tinggi, jadilah rumput-rumput yang letaknya di bawah sahaja." Suara ustaz di ikim.fm itu

Lumrah alam, pasti akan ada turun naiknya....

Pabila naik, jangan pula lupa diri.. Ingat pada angin kencang yang selalu menyapa, Ingat pada petir yang bila-bila masa akan datang menjengah, Ingat pada Allah... yang suka memberi ujian...

Pabila berada di bawah, jangan pula merasa rendah diri, pokok yang renek tidak mustahil kan meninggi!

Sahabat, mari mengambil pengajaran daripada video di bawah... Never say never! Untuk u-turn ke jalan yang benar, masih lagi belum terlambat :)

If I fail, I will try again, and again and again....



serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq : 3)

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, April 17, 2011

Highlight : Istimewa buat sepupu tersayang


"Mak, jadi tak pergi KL sabtu ni?" Saya bertanya dengan penuh harapan

"Tak tau lagi. Hazim tuisyen." Emak membalas sambil tangan masih lagi menggoreng ikan.

"Ala... Jomla pergi mak..." Saya membalas seakan merayu.

Pergi ke Kuala Lumpur pada 16 April adalah satu agenda penting, sekurang-kurangnya penting buat saya.

Sayonara T_T

Jadual penerbangannya sepatutnya pada bulan lepas, tapi disebabkan tsunami besar melanda Jepun, penerbangannya ditunda ke hari Sabtu yang lepas.

Oh ya, Siapa?

Sepupu saya.

Sepupu saya majoritinya adalah perempuan dan jarak umur antara kami tidaklah jauh, jadi semenjak kecil kami bermain bersama, bunga api.. mercun, bercerita itu ini..

Bergaduh dengan anak jiran di kampung.

Naik basikal keliling kampung.

Buat-buat sibuk berdiskusi lepas habis kenduri dan semua orang sibuk membasuh pinggan -.-"

Sama-sama menyental lumpur selepas banjir.

Masuk dalam kolah bilik air embah(nenek) dan buat-buat macam bath tub dan lepas tu air dalam kolah kotor semua buat tak tahu.

Dan banyaaaaakkkkk lagi, kenangan membesar bersama yang tak dapat saya coretkan di sini. Saya dan semua sepupu sudah ibarat adik-beradik. Rapat.

Dan dia adalah yang terapat dengan saya. Apatah lagi, semasa tingkatan 4, kami dapat tawaran ke MRSM bersama. Cuma dia di Langkawi, saya di Muar.

Allah izin... no matrik kami sama! 06209. Saya masih ingat waktu dedication day antara MRSM, saya dapat satu kad bertulis, dari 06209 (Langkawi) kepada 06209. (Muar) :) Comel kan. Oh dan dialah juga yang menelefon saya waktu saya beria-ia mahu keluar dari MRSM.

Ah, pantasnya masa berlalu......

Sekarang masing-masing sudah membesar, terkadang terfikir alangkah indahnya sejarah dahulu.. Tatkala berlari dan jatuh terluka, mata menangis tapi masih boleh ketawa selepas beberapa minit. Luka di lutut nampak kelihatan dan senang dirawat, berbanding apabila telah dewasa, terjadi pula luka di hati yang tak nampak dek mata dan sukar untuk dirawat :')

"Bye iman. Kat sana jangan main bunga api." Saya bersenda tatkala tangan berjabat. Buat kali terakhir.

"Mana nak dapat bunga api kat sanaaa."

Allah.... Raya tahun ni, nampaknya tak cukup lah korum ye :( Takpelah, asalkan cita-cita iman tercapai.

Buat sepupuku yang disayangi kerana Allah... Selamat berjuang!

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (Al-Imran : 147)




Harap-harap semuanya sudah beres sekarang :)

Anak Saudara

Oh oh, dan kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk melawat anak saudara saya yang baru lahir! :D nota: anak kepada sepupu saya yang lain (kak mim).

Zikri nama ahli keluarga baru kami... Moga hatimu sentiasa berzikir mengingatiNya :)

Ada tokoh ibu mithali tak? :D

Flight iman malam, dan dalam jam 12 lebih baru kami sampai ke rumah Zikri. Badan sudah letih dan sekejap sahaja masa diperlukan untuk melelapkan mata.

Masih Ada Hal Berbaki

Alhamdulillah... Allah masih beri hidup hingga hari ini, dapat lagi melihat panorama alam, dapat lagi menulis sepatah dua kata untuk peringatan diri dan perkongsian untuk sahabat semua....

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (Az-Zukhruf : 67)


Sahabat semua.... Moga nanti kita bertemu lagi, di syurgaNya yang kekal abadi :')

Masih ada perkara yang belum selesai, esok insyaAllah tubuh akan digerakkan semula. Hal apa ya?

Maaf saya tak boleh berkongsi sekarang, nanti bila semuanya sudah selesai insyaAllah saya akan berkongsi dengan sahabat semua. Doakan agar Allah memudahkan segala urusan ya :)

Doakan saya serta ahli keluarga saya dalam jagaan Allah sentiasa, dan moga doa itu diaminkan malaikat untuk sahabat juga :)

Wallahu'alam

Read More......

Friday, April 15, 2011

Menulis Dengan Hati


Sekadar coretan kecil, untuk perkongsian yang besar...:)

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...

Siapalah saya tanpa Allah, tiadalah blog ini tanpa izinnya, dan tiadalah blog ini tanpa sahabat-sahabat sehebat kalian!

Menulis Dengan Hati

Ada orang yang menulis kerana inginkan populariti, ada pula orang yang menulis untuk meluahkan isi hati.. dan saya? Saya menulis sekadar untuk memberi pesan buat diri dan berkongsi dengan sahabat semua yang amat saya sayangi kerana Allah.

Sungguh saya amat berterima kasih buat sahabat-sahabat yang tidak putus-putus memberi tangan tatkala saya jatuh dan terus berkata, "Mastura, bangun, berdiri dan berlarilah... Jalan dakwah ini bukan untuk orang yang manja!" :')

Terima kasih sahabat, benar sungguh berukhwah kerana Allah adalah nikmat kedua terbesar selepas nikmat Islam dan iman.

Saya tidak akan mampu menulis jika kata-kata itu bukannya lahir dari hati, sahibah saya pesan, "Kalau kata-kata itu lahirnya dari hati,maka ia akan menyentuh hati orang lain jua." Jadi, andai adalah artikel yang saya tulis yang tidak dapat menyentuh hati kudus sahabat, maafkan saya kerana mungkin artikel itu bukannya lahir dari hati......

Dugaan

Allah... Berbicara mengenai dugaan, siapalah manusia yang tidak pernah ditimpa dengan dugaan?

Saya juga tidak terkecuali. Saya pernah terjatuh dengan teruk sekali, hati saya juga pernah terluka dan berdarah, pernah saya berasa seperti tidak mampu bangun lagi, sehingga setiap hari menangis dan menangis... Sampai saya terasa sakit sungguh duri-duri di medan dakwah ini, sampai satu tahap saya seolah-olah ingin mengalah!

Saya juga pernah terlalu disibukkan dengan itu dan ini, belum habis satu hal datang lagi satu hal yang lain sehingga saya menjadi amat kusut, maaf buat teman-teman serumah dan sebilik andai pernah saya bermasam muka...

Saya juga pernah berkejar ke sana-sini, sibuk dengan urusan dunia,ditimpakan dengan tohmahan dan fitnah sehingga di penghujungnya... Ada lagi air mata yang mengalir. Lemahnya saya sehingga air mata yang dijanjikan hanya akan tumpah tatkala berteleku di tikar sejadah, tumpah jua dek tak tertahan dengan ujian dunia..

Tidak, bukan saya menceritakan semua ini untuk mengatakan saya ini kuat atau apa, saya cuma ingin berkongsi rasa dengan sahabat sekalian, saya ingin sahabat semua tahu bahawa saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari mengharungi dugaanNya..

Apalah gunanya saya menjadi hebat di mata manusia, andai di hadapan Allah saya bukannya sesiapa...

Apalah gunanya saya ini dipuji khalayak, jika nanti Allah mencela saya.

Sahabat, mahukah kalian berpimpinan tangan bersama saya, menarik saya andai saya ingin jatuh, dan mengajar saya berlari kencang di medan ini?

Buat Ibu Bapa

Saya ini... Insan berdosa.

Setiap hari saya pasti akan melakukan dosa sama ada sedar atau pun tidak, dan saya tidak mampu membayangkan andainya dengan dosa itu ibu dan bapa saya dicampakkan ke dalam neraka.

Sungguh saya tidak sanggup membayangkan!

Bagaimana dan apa-apa pun usaha yang kita lakukan, takkan pernah setanding dengan jasa yang ibu bapa kita curahkan. Justeru itu, andai adalah pahala yang ingin Allah beri melalui penulisan saya ini, biarlah pahala itu dihadiahkan untuk kedua ibu bapa saya.

Jika Allah izin...Saya ingin bersama mereka di syurgaNya yang kekal abadi.

Di manakah keseronokannya andai berada di syurga seorang diri? Manusia tidak Allah ciptakan untuk mementingkan diri sendiri, bahkan kita diajar untuk mencapai tahap persaudaraan yang tertinggi iaitu ithar-melebihkan/mendahulukan sahabat dalam segala hal.

Buat Kita Semua

Akhirnya... untuk kita semua...

Saya menulis hakikatnya adalah untuk mengingatkan diri sendiri dan memberi pesan untuk sahabat.

Dunia dipenuhi dengan pancaroba, untuk menghadapinya seorang diri, sungguh kita takkan mampu. Jadi, sebab itulah saya menulis di samping menjenguk blog-blog sahabat yang lain, sekadar bacaan ringan untuk minda dan hati yang keletihan.

Ala, macam manusia yang makan banyak-banyak vitamin-spirulinalah,jamulah, dan macam-macam lagi kan?

Jadi penulisan saya dan penulisan kalian adalah vitamin booster untuk iman saya!

Walaupun sekadar comment "Teruskan!"

Saya amat menghargainya sahabat...... :)

Oh ya, untuk pembaca senyap saya, terima kasih juga kerana sudi membaca tulisan saya yang tidak seberapa ni.. Entah bila kalian nak munculkan diri ya, teringin saya berkenalan :) Tak mengapalah, moga ada manfaatnya yang dapat kita kongsi bersama....

Andainya satu hari Allah ambil nyawa saya, saya harap sahabat semua tak lupa doakan saya ya... Moga nanti di akhirat sana, kita mampu berhalaqah dan berusrah bersama :)

Saya sayang kalian kerana Allah!

Dan video ini... Mari kita nikmati bersama.



Wallahu'alam.

Read More......

Wednesday, April 13, 2011

Berenang Di Lautan Dunia



"Tak awa, adam nak ebok.(Kak wawa, adam nak cebok)" Adam berkata semasa saya sedang asyik melayan karenahnya yang mencuit hati.

"Adam nak mandi?" Saya mencium pipinya yang mulus.

"Nanak, Adam nak ebok je.(Tak nak, Adam nak cebok je)"

Saya tergelak kecil. Adam memang takutkan air sejak kecil!

"Sekejap eh." Saya meletakkan kanak-kanak berusia 3 tahun itu di hadapan pintu bilik air sementara saya ke bilik mencari tuala.

Waktu saya berpatah balik ke bilik air, Adam tiada di hadapan pintu- tempat di mana saya meletakkannya sekejap tadi!

Allah..

"Adam." Saya memanggil.

"Tak awa!" Terdengar suara Adam, munculnya dari dalam bilik air yang gelap gelita itu! Pintu bilik air saya kuak sedikit agar bukaannya lebih besar.

"Adam? Buat apa tu?" Tanya saya sewaktu terlihat kelibat Adam.

"Tak awa...ukak ampu (Kak wawa buka lampu.)" Katanya sambil tangan sudah pun memegang kepala paip!

Subhanallah, dalam kelucuan itu, jari saya memetik suis lampu.

Kak wawa, mana boleh tidur waktu swimming!

"Adam, meh buka seluar dulu."

Adam menuruti.

"Eh, tak awa, tu ape unye (eh, kak wawa, tu siapa punya?)" Adam terjerit kecil sambil jarinya ditujukan ke arah surfing board adik saya.

"Tu abang hazim punya."

"Tak awa, anti adam da ecar, tak awa elikan adam eh. (Kak wawa, nanti adam dah besar, kak wawa belikan adam eh)" Ujarnya dengan raut wajah yang comel sekali.

"Ok.. Nanti adam dah besar, kak wawa belikan. Tapi adam kena tidur dulu lah." Saya memancingnya untuk tidur selepas pampersnya ditukar untuk mengurangkan aktiviti malamnya - Mengemas rumah!

Kanak-kanak pintar itu mengerutkan keningnya. "Tak awa, ane ole idur imming, anti emas (Kak wawa, mana boleh tidur swimming, nanti lemas.)"

Saya tergelak. Nyata dia salah faham. "Lepas ni adam kena tidur tau." Saya menerangkan lagi sekali.

"Tau tak awa tau, tak ole idur imming, anti lemas tau. (Tau kak wawa tau, tak bole tidur swimming, nanti lemas tau.)" Ujarnya lagi sambil jari telunjuk dan ibunya digunakan untuk memicit hidung tanda tidak boleh bernafas.

Saya tergelak lagi, membiarkan saja mulut comelnya itu bercerita itu dan ini.

Adam-adam..... Moga menjadi khalifah yang berguna kelak!

Satu Pengajaran



"Tau tak awa tau, tak ole idur imming, anti lemas tau. (Tau kak wawa tau, tak bole tidur swimming, nanti lemas tau.)"

Kata-kata Adam terngiang-ngiang di telinga saya.

Hakikatnya, dunia ini ibarat satu lautan pancaroba, dan kita manusia sedang berenang-renang di atasnya.

Jika kita tertidur, maka hanyutlah kita dalam arus yang mencabar, atau mungkin lebih buruk lagi, kita mampu lemas tanpa sedar!

Dalam pada kita sedang 'swimming' meredah arus dunia, terkadang kita disapa dengan badai bergelora, atau ada ikan jerung yang menghalang ketenangan.

Yang lemah pasti kan tewas dan terus-terusan membiar diri hanyut dibawa arus.

Yang kuat, akan terus-terusan berenang, dia belum kalah selagi belum tiba penghujungnya!

Hakikatnya, badai yang bergelora atau ikan jerung yang besar membina stamina badan, otot-otot akan menjadi lebih kuat dan mantap agar kita mampu berenang dengan lebih hebat dan jika ada lagi rintangan di hadapan kelak, kita mampu mengekalkan stamina malah mungkin mencipta stamina baru yang lebih hebat!

Bagi yang lemah..... Mungkin hanya akan berpaut pada kayu-kayu yang terapung atau bergantung sepenuhnya pada pelampung, jika arus ke kiri, ke kirilah ia.. jika ke kanan, ke kananlah ia... Jika jerung ingin datang membaham, mungkin saja dia terus-terusan berserah dan mengatakan itu semua takdir, sedang ia terlupa Allah telah berpesan :

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd : 11)


Untuk menjadi kuat atau lemah, itu terpulang kepada kita.

Pilihan di tangan anda!

Pentingnya Sahabat

"Kuat! Kuat! Berenang cepat, jangan mengalah!"

"Tak boleh.. Aku dah tak larat dah ni."

"Kau kuat,kau kuat, ingat Allah!"

Mengikut kajian, kata-kata yang baik dan indah mampu merangsang perubahan positif pada diri. Ada yang telah membuat kajian, dua bekas diisi dengan beras(atau elemen lain,maaf saya lupa) dan dilabel bekas A dan B.

Bekas A sentiasa dihambur dengan kata-kata kesat, manakala bekas B sentiasa diberi kata-kata yang indah.

Beberapa minggu berlalu... Beras di bekas A berubah warna menjadi kehitaman tetapi beras di bekas B masih lagi elok. Begitu juga dengan manusia, majorit badan manusia adalah air dan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang manusia dengari.

Lihat sahaja orang yang suka mendengar lagu-lagu yang keras dan tidak bermoral, wajahnya menjadi bengis bukan? Mengikut kajian, itu disebabkan molekul air di badannya yang berubah seiring dengan kegemarannya.

Lihat pula seorang yang gemar mendengar dan membaca bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, wajahnya kelihatan tenang dan sejuk mata memandang, pastinya ada kaitan dengan molekul air di dalam badannya!

Allah Maha Besar...

Dia tahu bahawa manusia tidak akan mampu untuk hidup berseorangan di dunia ini, lalu diciptakanNya pelbagai jenis manusia, tinggal kita untuk memilih yang mana sesuai dijadikan kawan, yang mana sesuai dijadikan sahabat.

Jika betul sahabat yang dipilih, maka dialah orangnya yang akan terus berkata "Teruskan! Jangan berhenti! go on!" Tatkala kita semakin lemah dalam mengharungi arus dunia yang semakin deras.

Jika salah sahabat yang dipilih... Maka terkapai-kapailah kita di saat ombak besar datang menjengah.

Lihatlah sahabat dengan mata hati.... Jagalah hatinya kerana dia juga seorang manusia biasa, sehebat mana pun dia, hatinya masih lagi hati seorang manusia biasa sama seperti kita. Jangan dipersia sahabat yang sejati, kerana kelak kita yang rugi!

Ingatlah pesan Saidina Ali :

Selemah-lemah manusia adalah orang yang tak boleh mencari sahabat, dan orang yang lebih lemah daripada itu adalah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari


Sekali hati manusia yang terluka, pasti luka itu akan meninggalkan parut selamanya.

Ingat sahabat... Allah memberi Rasulullah sahabat-sahabat terhebat untuk menguatkan semangat baginda meski pun baginda adalah kekasih Allah, itu fitrahnya... manusia memerlukan manusia juga sebagai pendamping kedua setelah Allah.

Jangan sesekali merasa diri hebat, kerana di penghujung usia nanti kita masih lagi memerlukan manusia lain untuk menguruskan jenazah kita!

Selamat berenang di lautan dunia bersama sahabat-sahabat terhebat!

Wallahu'alam

Read More......

Ingatlah Insan!



Aku merenung jauh ke ufuk sana,
Awan yang bergerak itu seolah berkata,
Hai manusia, lupakah dikau pada pencipta?

Dan lautan yang bergelora itu,
Seolah memberi pesan,
Hai manusia, di mana janjimu satu ketika dahulu?

Kadangkala....
Manusia berjalan dengan angkuh,
Mengarah itu dan ini,
Berbangga dengan nikmat konon hasil titik peluh sendiri,

Kadangkala....
Manusia berkata itu dan ini,
Mendabik dada sepenuh hati,
Sehingga terlupa..
Pada satu realiti.

Kita ini.....

Kita ini bukannya Tuhan,
Tapi adalah makhluk yang berlagak Tuhan.

Benarkan?

Terkadang mulut berat mengucap Alhamdulillah,
Terlupa nikmat yang dikecap adalah pemberian Allah.

Terkadang lidah berat mengatur 'Bismillah',
Seolah semua yang dilakukan bukanlah kerana Allah.

Terkadang hati terlupa beristighfar,
Seolah seharian ini kita tiada dosa.

Syaitan berdekah,
Manusia mengalah.
Syaitan berjaya,
Manusia terpinga.

Ingat sahabat,
Nabi sudah berpesan (mafhumnya) :

“Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya ke atas hati anak Adam, maka jika dia mengingati Allah, dia pun lari daripadanya. Jika dia lupakan Allah, syaitan akan mengunyah hatinya.” (Hadis riwayat Ibnu Abu Dunya)


Ingatlah Allah selalu,
Tidak semua hati orang Islam yang mencintai Allah,
Tetapi hati orang mukmin,
Sentiasa penuh rasa kasih dan rindu terhadapNya.

Allah tidak pernah menghalang kita membuat pilihan,
Namun perlu diingat!
DikurniakanNya akal untuk berfikir,
Dan hati untuk menterjemah,

Tinggal kita untuk memilih,
Sama ada syurga,
Atau neraka!

Dan awan itu...
Kembali memberi pesan,
Ingatlah manusia,
Saat tiba hari akhir aku pasti akan bertimpa-timpa ke arahmu,

Dan lautan itu,
Mengingatkanku lagi,
Ingatlah manusia,
Saat tiba hari akhir,
Aku akan bergulung-gulung mengejarmu...

Wahai insan,
Bukalah hati,
Dan teruslah melihat menggunakannya...

Wallahu'alam

Read More......

Monday, April 11, 2011

Islam Itu Tinggi


"Buat apa nak alim-alim sangat ni? Kita ni jadi biasa-biasa dah lah."

Ramai orang melontarkan ayat itu tatkala saya berbicara mengenai Agama, mengenai bagaimana menjadi hamba Allah yang sebenar.

Jadi biasa-biasa.

Saya tersenyum. Begini rupanya mentaliti muslimin muslimat zaman ini. Menjadi biasa-biasa, mungkinkah fenomena itu mampu merubah dunia yang gelap menjadi terang?

Atau menjadikan yang gelap itu semakin kelam?

Orang Islam Tidak Biasa-Biasa

Bayangkan jika satu hari pensyarah/guru memberi satu tawaran :

"Kamu semua nak markah periksa yang cemerlang atau yang biasa-biasa?"

Berapa ramai di antara kita yang akan dengan penuh yakin mengangkat tangan seraya berkata "Saya nak yang biasa-biasa aje! buat apa nak bagus-bagus sangat."

Bayangkan pula satu hari majikan tiba-tiba menjadi sangat baik hati dan memberi satu tawaran :

"Kamu semua nak gaji yang mantap atau gaji yang biasa-biasa?"

Dan berapa ramai di antara kita yang akan membalas "Ala, gaji yang biasa-biasa aje sudala..buat apa nak bagus-bagus sangat."

Saya yakin, mungkin peratusan yang berkata begitu ada, tapi mungkin 0.00000001%. Siapa yang mahu mendapat yang biasa-biasa jika ada tawaran yang luar biasa?

Lumrahnya, manusia akan tertawan dengan apa yang terlihat oleh pandangan mata. Yang ditawarkan oleh pensyarah dan majikan itu adalah dari hasil dunia yang pastinya terlihat oleh pandangan mata... wahhh..markah banyak..wang banyak.. seronok!

Tapi, ganjaran daripada Allah, pahala yang ditawarkanNya tidak langsung dipandang dengan penuh minat oleh sebahagian manusia.

Kerana apa?

Pastinya kerana pahala itu tak terlihat oleh pandangan mata!

Maka, itulah hikmahnya Allah merahsiakan perkara itu.. Dia mahu melihat siapa hambaNya yang benar-benar ikhlas menjadi hamba!

Cemerlangnya seseorang itu bukanlah dengan mendapat markah yang hebat dalam peperiksaan, atau mendapat pekerjaan yang menjadi idaman ramai, TAPI cemerlangnya seseorang itu adalah apabila mendapat markah LULUS CEMERLANG mengikut piawaian Allah.

Al-Haaqqah (19-24)

[19]Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!

[20]"Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!"

[21]Maka (dengan itu) tinggal lah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, -

[22]Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), -

[23]Buah-buahannya dekat untuk dipetik.

[24](Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"


Dan buat mereka yang GAGAL dalam piawaian Allah.. Telah pun Allah ingatkan :

Al-Haaqqah : 25-32

[25]Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, -

[26]"Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.

[27]"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); -

[28]"Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; -

[29]Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku".

[30](Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, -

[31]"Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; -

[32]"Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!


Untuk lebih lanjut dan jelas, boleh rujuk surah Al-Haqqah ya, surah yang ke-69 dalam Al-Quran.

Islam Itu Tinggi

"Wawa, kalau nak baling batu targetlah tempat yang tertinggi sekali, sekurang-kurangnya kalau tak sampai tempat tu pun, batu tu tak adalah jatuh bawah sangat." Pernah emak memberi pesan sewaktu saya di alam persekolahan dulu.

Matlamat kita harus tinggi. Target 100%, sekurang-kurangnya jika tak dapat 100% pun kita tidaklah jatuh teruk mencecah bawah 50%. Itulah kuasa minda yang mampu menggerakkan tubuh untuk merealisasikan perkara yang terfikir dek akal.

Begitu juga dengan Islam, Allah meletakkan Islam di tempat yang tertinggi sekali dan Islam tidak akan jatuh sehingga teruk ke bawah kerana di mana-mana ceruk dunia sekalipun, pasti akan ada hambaNya yang taat pada perintah Allah.

Allah tidak rugi sahabat. Sikit pun Allah tidak rugi jika kita tak mahu menuruti perintah Allah, kerana ada raamaaai lagi yang mahu mentaatiNya. Bahkan, kitalah yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi yang jauh dari rahmatNya.

Na'uzubillah.

Sahabat, Allah tidak pernah memaksa kita menuruti perintahNya, tapi Dia kurniakan kita akal untuk menilai baik dan buruknya sesuatu perkara. Akal yang dikuasai syaitan dan nafsu tidak akan mampu melihat hikmah di sebalik perintah Allah bahkan terus-terusan mencipta dalil untuk menghalalkan perbuatan haramnya.

Allah telah memberi pesan dalam Al-Quran yang suci, jika kita tidak mahu menuruti, maka kitalah yang rugi!

Saya ada terbaca di facebook mengenai satu peristiwa yang mengandungi hikmah :

A : Kenapa perempuan Islam kena pakai tudung dan menutup aurat?

B : Kau pernah tengok Ferrero Roche?

A: Pernah. Kenapa?

B : Kalau Ferro Roche tu masih bersampul dan ia jatuh ke tanah, kita masih ambil kan?

A : Ya.

B : Tapi kalau Ferrero Roche tu dah tak bersampul dan jatuh ke tanah, kau nak ambil ke tak?

A : Taknak, kotor.

B : Ha, sebab tu perempuan Islam kena pakai tudung dan menutup aurat.

:)

Jom Sahabat, kita amalkan melihat hikmah pada setiap perintah Allah, jangan hanya merungut itu dan ini, kerana sungguh Allah tahu apa yang kita tidak tahu!

Ingat! Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Jangan kita menjadi orang-orang yang merendahkan Islam. Be the best for ISLAM! :)



Wallahu'alam.

Read More......

Sunday, April 10, 2011

Iktibar Singapura



"Cepat-cepat bangun, meh tolong masak!" Saya menggesa sepupu-sepapat bangun di awal pagi untuk persediaan ke destinasi pilihan bersama - Universal Studio, Singapore.

"Nak masak apa?"

"Nasi goreng dengan sandwich je."

Persiapan bermula, daripada menyidai kain sehingga membotolkan air, semua disiapkan bersama, bak nyanyian adik saudara saya,- Adam.. HAPA YANG PENTING, TEJECAMEEE (apa yang penting kerjasama :) )

Perjalanan

Tepat jam 9 pagi, kami bertolak ke Singapura, perjalanan ke Universal Studio hanyalah sekitar 30-40 minit dari Imigresen Singapura.

Cuaca amat terik sekali, terasa kulit seperti terbakar dan disiat-siat. :D Namun, demi program rehlah-merapatkan-ukhwah itu, kami berenam bergerak juga.

"Wawa, tiket songs of the sea dah beli belum?" Emak mengingatkan.

Allah! Kami sudah benar-benar hampir dengan kaunter masuk universal studio, tapi terpaksa berpatah semula ke kaunter tiket berhampiran kawasan train.

"Aik akak, penat dah ke?" Saya menegur Kak Faiqa yang lebih banyak berdiam daripada berkata.

"Eh taklah muka teruja memang macam ni." Dia membalas, meledakkan ketawa kami semua.

Pakaian?

Saya terdetik mahu menyentuh isu ini. Pakaian saya bagaimana? Saya di situ bertudung labuh, mengenakan blouse sehingga ke paha dan berseluar track suit yang seakan-akan seluar slack.

Beginilah saya berpakaian, beg tu harus dibuka dan ditinggalkan ya di rak/locker waktu mahu bermain permainan. :)

Sementelah saya teringat satu peristiwa, dahulu saya pernah dilarang untuk bertudung labuh ketika bersukan, alasannya payah. Tapi hakikatnya tidak bahkan berpakaian sebegitu lebih menyelesakan, jika ditiup angin dada tidak terselak, jika mahu angkat tangan, tudung masih lagi menutupi dada, baju yang labuh pula mampu menutupi bahagian perut daripada terbuka jika kita menunduk, melompat atau mengangkat tangan.

Di sana, saya bukan sekadar harus berkejar ke sana-sini sehingga berpeluh-peluh badan, bahkan saya bermain pelbagai jenis permainan termasuk roller coaster yang terbesar di situ.

Ya, roller coaster.

Roller coaster yang saya dan sahabat naik, kedua-duanya! merah dan biru. Rasa bangga pada diri sendiri. Eh, astarghfirullahalazim..

Dan tudung labuh serta baju labuh itu tidak menjadi halangan. Sungguh, saya masih lagi sihat sehingga sekarang, tidak ada pula baju atau tudung saya terkoyak kerana tersangkut di mana-mana,

Atau saya terjatuh kerana tudung mengganggu (?)

Tidak ada.

Sungguh, Allah lah jurutera manusia, yang mengetahui apa yang terbaik buat manusia, tapi manusia yang masih berdegil dan mencipta peraturan mengikut akal masing-masing, tanpa menyelidiki hikmah di sebalik apa yang Allah suruh.

"Alah, itu lain, bersukan ni lain."

Oh, baik saya mahu bercerita mengenai satu kisah benar....

Dahulu, ada satu pertandingan bola jaring antara IPTS, dan kolej saya menyertainya. Subhanallah, apa yang Allah mahu tunjuk pada ketika itu, hanya pasukan bola jaring dari kolej saya yang bertudung serta berbaju labuh, kolej-kolej yang lain ada yang tidak bertudung dan mengenakan pakaian seksi. Maka, benarlah apa yang Rasulullah bersabda satu ketika dahulu;

Islam itu datang dalam keadaan yang ganjil, dan akan kembali menjadi ganjil di akhir zaman, namun beruntunglah orang-orang yang ganjil.


Pasukan kolej saya dipandang dengan pandangan yang pelik beserta beberapa sesi jelingan oleh pasukan lain. Mereka bersabar, dan akhirnya Alhamdulillah, kolej saya berjaya memenangi pertandingan tersebut, mengalahkan si pemakai-pemakai pakaian yang kononnya mampu melincahkan si pemakainya.

Begitu juga hal yang dilalui oleh Saudara Hilal Asyraf yang dicatatkan dalam novelnya- VT. Betapa sekolahnya MATRI mahu bermain volleyball dengan berseluar panjang, mereka dipandang pelik namun menjuarai pertandingan tersebut.

Subhanallah.

Maka para Muslimah...Masih mahukah tidak menutup aurat dalam bersukan.

Dan para Muslimin, apakah seluar pendek itu mampu menjamin kebaikan?

"Jangan tengok macam mana perempuan bersukan, TAPI TENGOKLAH BAGAIMANA MUSLIMAH BERSUKAN." Pernah satu waktu dahulu saya ditegur dengan perkataan ini, satu perkataan yang menyentap hati namun membuat saya berfikir.

Benar, sungguh benar...

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja. (Al-An'am : 59)




Malam

Malam itu kami ke Songs Of The Sea.



Subhanallah... Persembahan di situ benar-benar menarik. Drop my jaw bak kata sepupu saya.

Kisah bermula dengan bagaimana nyanyian seorang budak mampu menyelamatkan Tuan Puteri yang ditidurkan.

Nyanyiannya mampu menjadi penyembuh buat sang api yang kehilangan kuasa, si cahaya yang kehilangan cahayanya bahkan mampu menyembuhkan si laut yang jua kehilangan kuasa.

Puteri sudah bangun :)

Subhanallah, subhanallah, subhanallah, satu persembahan yang amat hebat.

Namun lebih hebat Allah yang menciptakan manusia hebat itu!




Kami pulang pada malam itu dengan 1001 kenangan indah, biar pun habis satu badan berbisa-bisa lantaran banyak sangat berjalan dan berdiri, tapi bisa-bisa badan itu sungguh tidak dapat menandingi kemanisan nikmat yang Allah beri. Inilah sebabnya mengapa saya suka bermusafir, melihat pemandangan beserta mengagumi pencipta Alam.

Ayuh! Kita bermusafir menanam cinta di bumi yang dipinjamkan Allah.

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, April 6, 2011

Mari ber e-dagang :)


"Risaunya, duit poket tak cukup ni."

"Macam mana ni... nak beli buku tak ada duit."

Kerap saya mendengar keluhan-keluhan begitu. Anak-anak sekarang, terkadang terlupa mengenang jerih payah ibu bapa mendapatkan satu not wang. Bahkan ada sehingga sanggup menderhaka kerana duit.

Ada yang mencuri.

Ada yang merompak.

Ada yang membunuh.

Mungkin ada yang pelik, kenapa blog saya semakin banyak iklan. :) Baiklah, saya sekarang sedang mempraktikkan apa yang saya belajar. Business Administration with E-Commerce.

Berbicara mengenai e-commerce atau e-dagang, semua mesti terbayangkan perniagaan melalui internet. Manusia semakin malas bukan? Semuanya mahu dihujung jari sahaja. Maka dengan niat untuk mengurangkan sedikit beban ibu bapa, saya mencuba apa yang saya pelajari di kelas. Sungguh, pendapatan sendiri amat manis dan bermakna.

Tidak salah mencari wang, asal sahaja ia halal.

Allah beri banyak pilihan buat manusia, tapi selalunya yang haram itulah yang dipilih, mungkinkah lebih menyeronokkan?

Baiklah, mari saya mahu berkongsi sedikit sebanyak mengenai e-commerce. E-commerce menjimatkan masa dan minyak (minyak dah mahal sekarang :D) pengguna, dan ia mudah!

"Tapi, saya tak ada modal nak buat perniagaan internet."

Jika kamu, ya kamu adalah seorang blogger dan mahukan pendapatan sampingan untuk menanggung sedikit sebanyak keperluan hidup, saya sarankan heartbeat.. Heartbeat lebih kurang macam nuffnang, tapi lebih mudah dan senang menjana pendapatan,insyaAllah dengan izinNya.

"Mastura, macam mana dengan nuffnang saya? nanti saya hilang keistimewaan"

Jangan risau sahabat! sesiapa yang ada nuffnang, anda takkan hilang apa-apa keistimewaan sekalipun kerana heartbeat bukanlah saingan dalam senarai nuffnang.

Mari, saya mahu berkongsi apa yang saya tahu dan insyaAllah moga Allah sama-sama memberi rezeki buat kita semua. Belajar cari wang sendiri, nanti kita akan tahu betapa ibu bapa kita memberi cinta tanpa syarat!

Cara mendaftar.

Mudah saje sahabat :)

1) klik banner ni untuk ke website heartbeat.



2) Klik pada logo heartbeat.my



3) Click pada create account.



4) Isilah borang tersebut dengan penuh kejujuran dan klik agree.



5) Tekan get code.



6) Paste sesuka hati di blog anda! :)


Mudah kan? Selamat mencuba, insyaAllah hasilnya memuaskan.


p/s : saya tak letak watermark di gambar supaya sahabat-sahabat lain boleh ambil gambar tu untuk sahabat pula bagitau sahabat-sahabat lain di blog.

Oh ya, mungkin saya akan menyepi selama beberapa hari kerana saya dan keluarga serta sahabat mahu pergi riadah yang merapatkan ukhwah. Doakan kami selamat pergi selamat pulang ya, moga doa insan sesoleh/ah kalian dimakbulkanNya. Doakan moga kelak saya pulang bersama pengalaman dan iktibar yang boleh dikongsi bersama :)

insyaAllah saya akan update status facebook.

Moga Allah kasih. :)


Read More......

Ayuh Memupuk Cinta


"Kita ni kalau cintakan seseorang, kita akan jadi bersungguh. Contoh dalam cerita hindustan, si hero bersungguh-sungguh nak menyelamatkan si heroin. Begitulah juga apabila seseorang bekerja dengan penuh cinta." Suara ustaz yang sedang bersiaran di radio IKIM.fm pagi tadi membuatkan saya terkenang kepada dua peristiwa.

Berkenaan cinta....

Cintakan apa?

Manusia? Salah.
Harta? Salah.
Dunia? -.-" ok, ada betul sikit.

Ceritanya bermula apabila power cermin mata saya telah pun disahkan menurun. Dengan penuh kegembiraan, saya pergi ke kedai cermin mata untuk menukar cermin mata baru.

Kes 1

"Saya nak full frame. Warna hitam, bingkai halus." Saya berkata sebaik sahaja mata tertancap pada susunan cermin-cermin mata di dalam bekas kaca itu. Kakak jurujual pun keluarkan satu-satu.

"Besarnya." Cermin mata yang diberi semuanya agak besar dan tidak sesuai dengan saya.

Kakak tersebut berjalan dan pergi ambil cermin mata lain.

"Tak ada yang kecik sikit ke kak?" Saya bertanya, masih tidak puas hati.

"Oklah tu, mana ada besar." Balasnya sambil menguap. "Dia ni memang susah sikit kan pilih-pilih." Lebih kurang begitu katanya kepada kedua ibu-bapa saya.

Saya naik bosan. "Takpelah bolehlah yang ni." Sambil tangan memilih salah satu cermin mata yang dikeluarkan.

Natijahnya apa? Cermin mata itu sungguh-amat-tidak sesuai dengan saya. Besar.

Mujur, adik saya juga baru sahaja rabun dan bingkai cermin mata saya itu sesuai dengan wajahnya. Kacak. -.-"

Jadi, emak yang kasihan pada saya membuat satu keputusan- Bingkai yang baru dibeli berikan sahaja pada adik dan saya beli bingkai baru,pastinya di kedai yang lain!

Kes 2

"Saya nak cermin mata full frame. Warna hitam. bingkai halus" Ayat yang sama saya lontarkan.

"Ok sekejap sekejap, awak duduk dulu, saya carikan." Dia mengeluarkan satu-satu cermin mata yang lebih kecil daripada bingkai cermin mata pertama saya.

"Em, yang ni warna hitam tak ada eh?" Saya bertanya sebaik sahaja mengenakan salah satu cermin mata yang dipilihkan untuk saya.

"Awak tak sesuai pakai bingkai warna hitam, kena yang macam ni" Dia memberi cadangan dan saya juga sebenarnya sukakan bingkai tersebut, simple, kemas dan sederhana saiznya.

"Oklah saya nak yang ni."

"Ok, sekejap, awak pergi jalan-jalan dulu, nanti datang semula dah siap."

"Eh? Siap harini juga?" Saya terkejut. Betul dia hanya perlu potong cermin yang sudah ada mengikut bingkai yang baru dibeli, bukan itu yang mengejutkan saya, tapi komitmen yang begitu bagus itu yang memeranjatkan.

"Takpelah,saya ambil esok." Saya membalas. Waktu sudah suntuk, selepas maghrib adik ada tuisyen pula.

"Okay." Balasnya sambil tersenyum.

Keesokannya saya pergi kembali ke kedai tersebut untuk mengambil cermin mata saya,dan alhamdulillah saya amat menyukainya. Cantik, kemas, simple dan... dan.. sangat memuaskan hati!

Apabila Ada Cinta

Pernah tak kamu melihat seorang ibu yang bersengkang mata di tepi katil wad hospital yang menempatkan anaknya?
Pernah tak kamu melihat seorang guru bersengkang mata mengajar anak murid sehingga lewat malam?
Pernah tak kamu melihat seorang pekerja yang bekerja bersungguh-sungguh seikhlasnya?
Pernah tak kamu melihat seorang ahli perniagaan memberi komitmen sepenuhnya terhadap pelanggan dan perniagaannya?

Apabila ada cinta... Semua perkara menjadi mudah. Yang busuk menjadi wangi, keletihan menjadi nikmat, buruk menjadi cantik, dan keikhlasan pun terserlah..

Ramai manusia yang bekerja tanpa cinta, menjadikan pekerjaan itu membosankan dan hasilnya menjadi tidak senonoh.

Begitu juga ramai manusia yang bergerak di dunia tanpa cinta menjadi seorang khalifah, menjadikan dunia porak peranda dan hidup menjadi bosan dengan semua suruhan Allah.

Saya tidak tahu mengapa hilang rasa cinta itu,adakah semua yang disuruh Allah itu bakal merosakkan diri manusia itu sendiri? Apakah seorang engineer manusia tidak memahami manusia yang diciptakannya?

Bagai seorang engineer kapal terbang tidak tahu apa-apa mengenai kapal terbang rekaannya. Logikkah?

Maka sahabat, putikkan semula cinta di dalam hati, apabila wujud cinta menjadi seorang khalifah, tidaklah lagi kita terus-terusan mencari kepuasan dunia yang nikmatnya pasti kan binasa...

Ingat, Rasulullah pernah bersabda : Dunia ini tidak lebih berharga dari selembar sayap nyamuk, jika tidak tentu Allah tidak akan membenarkan orang-orang kafir untuk meneguk walau setitik air pun di dunia ini.

Dunia ini..Syaitan yang mencantikkannya, nafsu yang memperindahkannya.

Dan manusia, masihkah mahu terpedaya?

Ayuh Memupuk Cinta

Hati yang gersang tanpa cinta bukanlah hati yang indah. Betapa cinta itu kadang-kadang menyakitkan, tapi itulah yang memperindah kehidupan.

Bagai seorang ibu yang sakit melahirkan bayi, tapi itulah akhirnya yang mententeramkan hati.

Betapa Allah pula mencintai hambaNya sehingga Dia mahu memaafkan kita, walau kita melakukan dosa sebanyak mana sekali pun, atau mengulang-ulang dosa yang sama.

Islam tidak pernah melarang cinta, bahkan cinta amat sinonim dengan Islam, Cinta yang suci bersih itulah yang digalakkan, bukannya cinta yang akhirnya memakan dan merosakkan diri sendiri.

Ayuh sahabat, mari kita memupuk cinta.

Cintakan Allah,
Cintakan Rasulullah,
Cintakan ibu bapa,
Cintakan saudara seislam,
Cinta pada alam,
Cinta pada pekerjaan,

Ayuh sahabat, mari kita memupuk cinta.... Agar segala hasil yang diusahakan menjadi semangat dan indah.

Cinta itu indah dan suci, hanya manusia yang memburukkan dan mengotorinya...

ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah… (Surah Al-Baqarah ayat : 165)




Wallahu'alam

Read More......

Monday, April 4, 2011

Daripada Merangkak, Hingga Berlari


Lembut suara itu menyapa,
Membelai tubuh,
Memupuk cinta.


"Comelnyaa." Saya mengusap-usap pipi anak makcik yang baru beberapa hari melihat dunia. Bayi kecil itu menguap kecil, mungkin tidurnya terganggu.

Pantas hidung saya mendarat ke pipinya. Subhanallah... terbit satu rasa dalam hati, hebatnya Allah yang mencipta, kulit halus itu..pipi lembut itu.. Ah, sempurnanya.

"Kecik je.." Saya bersuara lagi. Kecil sungguh bayi itu, dengan berat hanya 2.9 kg. Matanya yang asyik terpejam terkadang terkedip-kedip, mungkin mendengar bicara kami.

Daripada sebesar 2 jari.

"Kenapa baby selalu tidur eh?" Saya bertanya.

"Sebab nak membesar.." Emak menjawab ringkas. Tangannya mengusap lembut ubun-ubun bayi yang masih lembut itu.

"Oh, kalau wawa tidur je tu maknanya nak membesar la kan." Saya berjenaka, mencari alasan untuk tidur dengan jangka masa yang lebih lama :D

"A ah, nanti membesar..." Emak mengembungkan pipinya dan membengkokkan tangan di sisi, atau dengan erti kata lain, emak nak cakap - MELEBAR!

Saya tergelak kecil.

"Nilah orang kata... daripada tapak kaki sebesar 2 jari, sampai dah besar ibu bapa jaga elok-elok." Tiba-tiba emak bersuara. Saya mendengar.




"Tapi, dah besar lawan ibu bapa..taknak dengar cakap." Kata-kata emak terhenti di situ. Saya merenung jauh, mengingat kembali semua berita yang terpapar di dada akhbar. anak buang bapa, si tanggang moden.. dan.. Ah, entah apa lagi yang bakal berlaku pada masa depan.

"Anak demam ni..Macam mana.." Gusar hati si ibu itu apabila si kecil kesayangan demam. Dia terlalu gusar hingga dirinya sendiri jatuh sakit.

Kasihnya ibu pada si anak..

"Duit tak cukup? nanti abah bagi lagi.." Si bapa termenung, berfikir pekerjaan apalah lagi yang mampu dilakukan untuk menyekolahkan anak-anak. Mungkin dia tidak pandai membelai, mengungkap kasih dan sayang terhadap anak-anaknya tapi usahanya membanting tulang saban hari sudah cukup membuktikan kasih seorang bapa.

Bagaimana si anak tegar memarahi, memukul malah membunuh ibu bapa tatkala tibanya hari tua mereka..

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ” Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “ Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]


Daripada Merangkak, Hingga Berlari

Tahukah kamu wahai anak-anak sekalian...Saat dikau kecil, ibumu memandikanmu, membasuh kotoran-kotoran yang terlekat di badan, mencuci najis malah berjaga malam tatkala dikau menangis...

Tika dikau merangkak, tersengih memaparkan gusi tanpa gigi, terbit air mata di mata ibu bapamu, oh anak kami sudah mampu ketawa! anak kami sudah mampu merangkak!

Apatah lagi saat dikau berlari girang, meminta mainan itu dan ini.. terkadang terjatuh dan menangis, ibu bapamu datang dengan senyuman, "Tak apa, sikit je ni.." Katanya membuah tenang,dalam hati kedua ibu bapa bersyukur... anak mereka sudah sempurna!

Tapi.. Saat dikau mampu gagah berdiri, saat larianmu kencang sekali...

"Amin, kenapa muncung je ni?" Ibu menegur tatkala melihat si anak berduka cita.

tapi... gedegang!! balas si anak. Hempasan pintu itu menjadi jawapan kepada pertanyaan sang ibu yang tidak berdosa.

Ibumu masih lagi bersabar, membuka pintu dengan penuh berhati-hati, belakang si anak diusap.. "Kenapa, duhai anakku?"

Sebolehnya ibumu cuba menyembunyikan air mata itu, dia mesti kuat, supaya anaknya turut kuat!

Ingatkah ketika dikau merangkak, berjalan dan jatuh kembali.. Ibu tetap di situ dan berkata "Cuba lagi!".
Ingatkah ketika dikau menangis di tengah malam, ibumu bersabar dan turut berjaga meski esok tibanya hari bekerja..
Ingatkah ketika dikau melalak mahukan mainan, ayahmu membanting tulang mencari wang untuk itu..
Ingatkah ketika dikau jatuh sakit, ibu dan ayah tidak keruan.. Biar duit habis, asal tidak kehilanganmu!

Namun tatkala dirimu dewasa dan berjumpa kekasih hati.. Ibu bapa dibelakangi, kekasih hati dituruti..Lupakah dikau pada pengorbanan ibu bapa yang bertahun-tahun lamanya hingga dikau mematuhi kekasih yang belum tentu sesabar ibu bapamu...

Ketahulah anak-anak muda sekalian..

Daripada saat dikau lahir..

Mereka telah berazam, biar mereka derita asal sahaja dikau bahagia!

Sedarlah duhai anak-anak moden...

“ Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya … ” (Al-Ankabut : 8 )




Duhai bonda..
Duhai ayahanda...
Ampunkanlah dosa anakanda..
Yang tak terlihat dek mata...


Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .