Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, April 3, 2011

Indahkan Bahasa


"Mak, kenapa orang panggil bulan tu, bulan?" Adik bertanya ketika saya dan emak mahu menghantarnya ke pusat tuisyen.

"Kenapa orang panggil darah tu, darah?" Dia menyambung lagi.

Saya hanya berdiam diri. Pening kepala pada ketika itu memaksa saya untuk bersandar pada kusyen kereta sahaja.

"Siapa yang bagi ilham?" Emak bertanya kembali.

Indahnya Bahasa

"Bulan tu, bahasa cina panggil lain, bahasa india panggil lain.. Siapa yang bagi ilham?" Emak menyoal lagi.

"Lepas tu mak, macam mana Allah faham?"

"Allah kan Maha Mengetahui.. Allah faham semua bahasa, tapi bahasa yang paling indah adalah bahasa Arab, tu nanti kat syurga pun pakai bahasa Arab." Panjang lebar emak menerangkan.

"Habis mak,nanti dalam kubur malaikat soal marabbukaa, macam mana nak faham?"

"Ha... tulah mak tanya, siapa bagi ilham?"

Hazim diam berfikir.

Bahasa

Orang kata bahasa jiwa bangsa. Ada yang kata bahasa nadi kehidupan.

"!@$#@%@@^^@@^"

Tapi malangnya, entah apa yang merasuk jiwa anak muda sekarang ini sampai tiada lagi keindahan bahasa. Terkadang carutan itu melebihi mesej yang ingin disampaikan. Atas dasar apakah semua ini berlaku?

"Ak ala... kau janganla skema sangat.!#$#%@%@%"

Entah, terkadang saat jari-jemari rajin melayari blog dan vlog, hati dipamit rasa sedih. Orang Islam. Ya. Islam, mahu menjadi lebih Amerika dari Amerika sendiri.

"Hey you! !#$@%@@@" Teriaknya penuh bangga. Bagaikan merasa satu kemegahan tatkala mulut petah mencarut,apatah lagi carutan berbahasa Inggeris.

Mentaliti apakah ini?

Carutan itu tidak indah sahabat, bahkan ia seolah-olah satu garisan tajam yang mencalari seluruh keindahan yang ada.

Carutan itu tidak indah sahabat, bahkan ia adalah satu belati yang menarik calar pada seketul daging bergelar hati..

Yang tua semakin tidak dihormati, carutan menjadi siulan mulut saban waktu. Dunia, apakah ini pengakhirnya?

Ingat, setiap kata yang lahir dari mulut kita merupakan doa, maka indahkan bahasa agar doa kita menjadi indah juga...

Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.(Maryam : 97)


Dengan Bahasa...

Dengan bahasa manusia berbicara...
Dengan bahasa manusia berdoa...
Dengan bahasa manusia membela diri...
Dengan bahasa manusia mengadu itu ini...

Namun jangan dilupa,
Pada pemberi bahasa itu sendiri.

Allah yang mengilhamkannya..Maka peliharalah ia, jangan sesekali dikotori.

Benarlah, semakin banyak manusia bercakap, semakin ia menunjukkan kebodohannya. Tin yang kosong jika diketuk mengeluarkan bunyi yang bising,tapi isinya tiada.

Jadilah seperti ubi, diamnya berisi.. bunyinya bermakna...

Ketahuilah...Bahasa yang indah menunjukkan indahnya kehidupan beragama... :)

Allah Itu Indah

"Nanti kat syurga, semua orang dapat bercakap bahasa Arab, Allah yang ilhamkan." Emak berkata sambil mata masih fokus terhadap jalan di hadapan.

"Siapa yang cipta bahasa?" Sekali lagi Hazim bertanya.

"Siapa yang ilhamkan?" Soalan berbalas soalan. Jawapannya pasti sudah ada di dalam hati, cuma kita sendiri yang menyembunyikan realiti.

Dan jangan pula kita mencela bahasa lain. Kerana perbezaan bahasa itulah, kehidupan menjadi lebih indah dan berwarna-warni.. Manusia yang menyedari semuanya adalah daripada rahmat Allah akan berasa syukur dan malu untuk merosakkannya, tawadhuk bertambah, kenikmatan dihayati, bahasa dipelihara, dan Islam kembali berdiri.

Allah itu indah, dan Dia suka pada keindahan. :)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (Ar-Rum :22)


Wallahu'alam.

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .