Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, April 4, 2011

Daripada Merangkak, Hingga Berlari


Lembut suara itu menyapa,
Membelai tubuh,
Memupuk cinta.


"Comelnyaa." Saya mengusap-usap pipi anak makcik yang baru beberapa hari melihat dunia. Bayi kecil itu menguap kecil, mungkin tidurnya terganggu.

Pantas hidung saya mendarat ke pipinya. Subhanallah... terbit satu rasa dalam hati, hebatnya Allah yang mencipta, kulit halus itu..pipi lembut itu.. Ah, sempurnanya.

"Kecik je.." Saya bersuara lagi. Kecil sungguh bayi itu, dengan berat hanya 2.9 kg. Matanya yang asyik terpejam terkadang terkedip-kedip, mungkin mendengar bicara kami.

Daripada sebesar 2 jari.

"Kenapa baby selalu tidur eh?" Saya bertanya.

"Sebab nak membesar.." Emak menjawab ringkas. Tangannya mengusap lembut ubun-ubun bayi yang masih lembut itu.

"Oh, kalau wawa tidur je tu maknanya nak membesar la kan." Saya berjenaka, mencari alasan untuk tidur dengan jangka masa yang lebih lama :D

"A ah, nanti membesar..." Emak mengembungkan pipinya dan membengkokkan tangan di sisi, atau dengan erti kata lain, emak nak cakap - MELEBAR!

Saya tergelak kecil.

"Nilah orang kata... daripada tapak kaki sebesar 2 jari, sampai dah besar ibu bapa jaga elok-elok." Tiba-tiba emak bersuara. Saya mendengar.




"Tapi, dah besar lawan ibu bapa..taknak dengar cakap." Kata-kata emak terhenti di situ. Saya merenung jauh, mengingat kembali semua berita yang terpapar di dada akhbar. anak buang bapa, si tanggang moden.. dan.. Ah, entah apa lagi yang bakal berlaku pada masa depan.

"Anak demam ni..Macam mana.." Gusar hati si ibu itu apabila si kecil kesayangan demam. Dia terlalu gusar hingga dirinya sendiri jatuh sakit.

Kasihnya ibu pada si anak..

"Duit tak cukup? nanti abah bagi lagi.." Si bapa termenung, berfikir pekerjaan apalah lagi yang mampu dilakukan untuk menyekolahkan anak-anak. Mungkin dia tidak pandai membelai, mengungkap kasih dan sayang terhadap anak-anaknya tapi usahanya membanting tulang saban hari sudah cukup membuktikan kasih seorang bapa.

Bagaimana si anak tegar memarahi, memukul malah membunuh ibu bapa tatkala tibanya hari tua mereka..

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ” Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “ Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]


Daripada Merangkak, Hingga Berlari

Tahukah kamu wahai anak-anak sekalian...Saat dikau kecil, ibumu memandikanmu, membasuh kotoran-kotoran yang terlekat di badan, mencuci najis malah berjaga malam tatkala dikau menangis...

Tika dikau merangkak, tersengih memaparkan gusi tanpa gigi, terbit air mata di mata ibu bapamu, oh anak kami sudah mampu ketawa! anak kami sudah mampu merangkak!

Apatah lagi saat dikau berlari girang, meminta mainan itu dan ini.. terkadang terjatuh dan menangis, ibu bapamu datang dengan senyuman, "Tak apa, sikit je ni.." Katanya membuah tenang,dalam hati kedua ibu bapa bersyukur... anak mereka sudah sempurna!

Tapi.. Saat dikau mampu gagah berdiri, saat larianmu kencang sekali...

"Amin, kenapa muncung je ni?" Ibu menegur tatkala melihat si anak berduka cita.

tapi... gedegang!! balas si anak. Hempasan pintu itu menjadi jawapan kepada pertanyaan sang ibu yang tidak berdosa.

Ibumu masih lagi bersabar, membuka pintu dengan penuh berhati-hati, belakang si anak diusap.. "Kenapa, duhai anakku?"

Sebolehnya ibumu cuba menyembunyikan air mata itu, dia mesti kuat, supaya anaknya turut kuat!

Ingatkah ketika dikau merangkak, berjalan dan jatuh kembali.. Ibu tetap di situ dan berkata "Cuba lagi!".
Ingatkah ketika dikau menangis di tengah malam, ibumu bersabar dan turut berjaga meski esok tibanya hari bekerja..
Ingatkah ketika dikau melalak mahukan mainan, ayahmu membanting tulang mencari wang untuk itu..
Ingatkah ketika dikau jatuh sakit, ibu dan ayah tidak keruan.. Biar duit habis, asal tidak kehilanganmu!

Namun tatkala dirimu dewasa dan berjumpa kekasih hati.. Ibu bapa dibelakangi, kekasih hati dituruti..Lupakah dikau pada pengorbanan ibu bapa yang bertahun-tahun lamanya hingga dikau mematuhi kekasih yang belum tentu sesabar ibu bapamu...

Ketahulah anak-anak muda sekalian..

Daripada saat dikau lahir..

Mereka telah berazam, biar mereka derita asal sahaja dikau bahagia!

Sedarlah duhai anak-anak moden...

“ Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya … ” (Al-Ankabut : 8 )




Duhai bonda..
Duhai ayahanda...
Ampunkanlah dosa anakanda..
Yang tak terlihat dek mata...


Wallahu'alam

2 comments:

padlie said...

Besar pengorbanan ibubapa kita.. Tak pernah diorang minta kita balas.. Tapi ramai yg lupakan mereka bila dewasa..

Mastura MY said...

betul tu... mereka memberi cinta tanpa syarat, tapi jarang sekali anak-anak menyedari....

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .