Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, November 28, 2009

Salam Kemaafan



Bila hatiku gelisah, tak tenang, tak tenteram..
Bila hatiku goyah, gelisah, merana..
Jauhkah aku dari Allah?
Hilangkah dalam hati, zikirku, imanku....

"Astarghfirullah.." Ana meraup muka. Lemah. Dada terasa sebak, titisan air jernih semakin enak bertakung di kelopak mata ana. Ana pasrah...

Entah kenapa, lewat kebelakangan ini diri terasa benar-benar lemah, hati terasa benar-benar sakit, iman pula terasa sungguh derita. Justeru, ana langsung menjadi tidak keruan. Umpama lalang, ditiup ke kanan, maka ke kananlah ana, ditiup ke kiri maka ke kirilah ana.

"Mas, nanti tulis entri jangan yang sedih-sedih tau, gembira sikit" Pesan sahibah ana tatkala detik-detik perpisahan di KUIS tempoh hari. Ana tersenyum.

Mencari sesuatu yang bahagia dan indah untuk dicoretkan lewat kebelakangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tatkala minda ligat berfikir, tangan menjadi kaku, kelu seolah-olah tiada butir bicara untuk ditaip. Entahlah...

Terkadang terfikir akan kemungkinan pembaca menjadi bosan dan muak dengan penulisan-penulisan ana yang rata-rata berbaur sedih,pilu, kecewa dan macam-macam lagi. Tapi itulah realiti kehidupan, ada pasang surutnya, ada turun naiknya dan mungkin kini ana sedang berada di bawah, mungkin juga kini iman ana berada di tahap terendah. Sakit, benar-benar sakit, namun apalah seorang hamba ini mampu lakukan melainkan berdoa agar pertolonganNya sampai...

Ana menulis untuk menyampaikan. Moga tiada niat lain yang terselit. Dalam ana leka menyampaikan, mungkin terkadang ana tidak sedar ada hati yang jemu, ada hati yang meluat. Untuk kelemahan ini, beribu kemaafan ana titipkan...

Mencari redha Allah


Dalam perjalanan mencari redha Ilahi, bukanlah semudah merentas lebuhraya besar dengan kelajuan 110 km/j tetapi perjalanan ini menuntut KETABAHAN, KESABARAN, KECEKALAN kerana jalan ini penuh debu dan duri yang mana menguji ketabahan, kesabaran dan kecekalan.

Allah menguji bukan bermakna DIA tidak sayang, tetapi diujinya kita petanda dia benar-benar sayang, petanda bahawa DIA masih ingat pada kita. DIA memberi kita peluang mengasah iman agar lebih cekal berbanding hari semalam, agar lebih kuat untuk menempuh masa hadapan. Indah bukan?

Cubitan sayang dari Allah menggerakkan kita agar bangkit,bangkit dan bangkit! Dunia ini penuh tipu dan daya, jangan sesekali terpedaya.

"Alah enti ni pandai cakap je"

Benar, ana juga manusia biasa, terkadang kaki tersadung pada batu, ana jatuh jua... Iman ana terlalu nipis bahkan mungkin lebih nipis dari kulit bawang. Ana bukannya malaikat yang tidak pernah membuat dosa. Sehebat mana pun ana dipandang,ana masih jua manusia biasa yang apabila terhiris pisau,keluar darah juga....

Jangan terlalu menyanjung manusia futhur ini, kerana sekali ana tersilap langkah, pasti kalian akan menjadi lemah bahkan mungkin terus hilang rasa hormat pada ana. Ingatkah kita, tiada manusia yang sempurna tetapi sekurang-kurangnya cubalah untuk menjadi yang terbaik.

Maaf dipinta


Sempena hari yang baik ini... Menitip sedikit ketabahan Siti Hajar, jua secebis rasa redha dan pasrah Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail... Ana memohon beribu kemaafan atas segala kesilapan.

Atas lisan yang tak terjaga, atas perbuatan yang tak diduga, atas hati yang berprasangka dan atas segala yang mengundang dosa...

Maafkanlah...

Andai Nabi Ibrahim mampu berkorban kerana Allah, andai Nabi Ismail redha atas perintahNya, mahukah kalian, ya kalian.. berkorban membanteras ego dan redha atas segalanya dan seterusnya menyambut salam maaf ini?

Moga kita bersama-sama mengecapi redhaNya...

uhibbukum fillah..

Wallahu'alam

Aku adalah aku sekarang
Biar terbuang tetap berjuang
Akan ku serahkan jiwa ini
Sepenuh hati dengan keikhlasan

Read More......

Wednesday, November 25, 2009

Mari Melawan Nafsu


Entah kenapa, amat tertarik pada lagu ini... Moga kita sama-sama dapat bermujahadah melawan nafsu yang menipu... Moga kita sama-sama ingat syurga itu dibalut oleh perkara yang nafsu tidak suka tetapi neraka dibalut oleh perkara yang nafsu suka.

Antara syurga dan neraka, yang mana satu pilihan kita?
Antara hina dan mulia di sisiNya, yang mana satu pilihan kita?

Pilihan di tangan anda.


Bantulah Aku Melawan Nafsu


Telah aku lawan nafsuku setiap waktu
Ku cuba berkali-kali, ku gagal lagi
Aku tak putus asa, ku lawan lagi
Namun aku tak mampu, ku kalah jua

Oh Tuhan, bantulah aku mudahkan aku
Melawan nafsu ini yang merosakkanku
Agar aku tak terhalang untuk menuju-Mu
Tolonglah aku Tuhan, Kasihanilah aku jangan Engkau biarkan aku

Tuhan, bantulah aku
Kasihani aku jangan biarkanku bantulah aku selalu
Aku tak putus asa
Oh ku tetap berjuang dengan mengharap bantuan dari-Mu

Kalaulah Engkau terus membiarkanku
Ku akan berterusan ke lembah dosa
Oh Tuhan, nafsu dan syaitan sering mengganggu aku
Setiap hari ia memusuhi ku ketika ku ingin mentaati-Mu

Jangan biarkan aku keseorangan
Menghadapi syaitan dan nafsuku
Aku ingin mentaati-Mu, ku ingin redha-Mu
Kalau Engkau biarkan aku
Ku akan kecewa nanti

Tuhan, ku akan mencuba lagi
Melawan nafsu dengan bantuan-Mu
Dan rahmat-Mu Tuhan

Di dalam sembahyang ini kuharapkan-Mu
Berikan padaku cinta dan takutkan-Mu
Sebagai pengawalku dari nafsuku
Bukankah itu janji-Mu kepada hamba-Mu

Oh Tuhan, bantulah aku menghayati sembahyangku
Agar ku dapat merasakan kebesaran-Mu
Hingga aku tak membesarkan selain-Mu
Dengan rasa itu kuharap
Moga ku kan dapat melawan syaitan dan tipuan nafsuku

Tuhan, dalam sembahyangku
Bersihkan jiwaku, lemahkan nafsuku, selamatkanlah diriku
Suburkan rasa kehambaan
Dan kekalkan rasa itu di dalam seluruh kehidupanku

Wallahu'alam

Read More......

Monday, November 23, 2009

Perjalanan Itu Membawa Bahagia


Dalam perjalanan yang panjang,
Bukan disinari dengan kelopak mawar nan indah,
Melainkan debu dan duri semata..


"Saya tidak mahu jadi manusia terbaik. Saya mahu jadi yang biasa-biasa. Natural, kerana saya tidak mahu dilabel sebagai ekstrimis!"

Sesetengah manusia yang dikurniakan Allah dengan akal takut untuk terjun ke medan dakwah, takut diulit dengan tarbiyyah kerana bimbang digelar ekstremis atau dipandang serong.

Pendakwah Bukan Ekstremis


Saya takut untuk turun ke bahagian bawah rumah saya, kerana di situ gelap dan saya sering membayangkan yang bukan-bukan. Pada suatu hari, kerana terpaksa, saya turun juga ke bahagian bawah rumah. Saya nyalakan lampu dan rupa-rupanya, bahagian bawah rumah itu bukanlah sesuatu yang menakutkan. Saya cuma perlu ade sedikit kekuatan untuk ke sana, dan setelah menyalakan lampu, tiada apa lagi yang menakutkan


Ana tertarik pada satu dialog dalam cerita 'home alone'. Perkara ini boleh juga dikaitkan dengan situasi umat Islam sekarang, yang takut untuk berdakwah, juga takut untuk menjadi yang terbaik hanya kerana beberapa faktor yang tidak munasabah.

"Tidak mahu digelar ekstremis."
"Takut mahu jadi baik, nanti kalau satu kesalahan yang dibuat, saya akan dipandang serong"
"Kita jadi biasa-biasa sudahlah"

Terjun ke medan dakwah bukanlah sesuatu yang menakutkan,apatah lagi menyusahkan. Kita tidak perlu takut akan digelar ekstremis, kerana hakikat sebenarnya, terjun ke medan dakwah dan tarbiyyah bukanlah untuk mencari gelaran itu.

Benar, setiap insan yang hampir kepada dakwah dan tarbiyyah mempunyai cara mereka tersendiri dalam berdakwah. ada yang terlalu tegas sehingga semua benda diharamkannya, tetapi sebagai seorang manusia yang sememangnya diberi akal dan perasaan, kita berhak memilih cara berdakwah yang paling baik dengan diri kita.

Bagi ana, permulaan dakwah adalah perkenalan. Kita perlu mengenali mad'u kita dengan sebaiknya, rapat dengannya agar senang untuk menegur. Kemudian, buka mindanya untuk mengenal Islam, pada peringkat ini jangan terlalu ghairah mengharamkan itu dan ini, sebaliknya tegur dalam bentuk positif.

Bukankah dialog ini lebih sedap didengar;
"Islam itu cantik, dan Allah suka pada kecantikan, kalau kita buang sampah kat dalam tong sampah, mesti Allah suka, kalau Allah suka, kita dapat pahala"

Berbanding;
"Saudari, kenapa buang sampah merata-rata. Nak dapat dosa? Nak masuk neraka?"

Selepas sudah mengenalkan mad'u dengan Islam, barulah kita tegur sedikit demi sedikit.

Dakwah dan Kesempurnaan

"Saya belum cukup sempurna untuk berdakwah"

Jika semua orang menunggu untuk menjadi sempurna untuk saling menegur, maka tiada siapa yang akan menegur di dunia ini!

Saudaraku yang dirahmati Allah,akuilah hakikat yang tersurat bahawa tiada manusia yang sempurna, sedangkan Rasulullah yang tiada dosa itu pun pernah melakukan kesilapan tetapi terus ditegur oleh Allah, inikan pula kita, manusia yang sememangnya bertimbun dengan dosa.

Kita tidak akan menjadi sempurna tetapi sekurang-kurangnya kita telah mencuba yang terbaik untuk menjadi yang terbaik di sisiNya.

Tegurlah dengan penuh kasih sayang ; Bukankah Rasulullah telah berpesan "Sampaikanlah pesananku walau 1 ayat"

Tidak mahukah kita menyahut seruan baginda? Menyampaikan apa yang kita tahu, membetulkan apa yang silap dan menegur apa yang salah? Tidak mahukah kita meneruskan perjuangan baginda menegakkan syiar Islam di muka bumi ini?

Renung-rennungkan, fikir-fikirkanlah.

Di hadapan, duri menanti...


Bergelar seorang pendakwah, kita harus menyiapkan mental dan fizikal sebaiknya. Kerana di jalan ini tidak dijanjikan kemanisan yang panjang bahkan mungkin pahit yang akan mengiringi setiap langkah.

Tapi jangan takut dan jangan khuatir! kerana, di akhirat nanti, insyaAllah manis akan menyelebungi.

Lihat sahaja sejarah silam, Nabi dan para sahabat tidak pernah hidup dalam kesenangan tetapi hati mereka sentiasa senang dan bahagia, bahkan mereka tidak sabar untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka tahu, di 'sana' nanti manis akan menjemput..

Maka para pendakwah yang dirahmati Allah sekalian... Bersabarlah pada cubitan sayang Allah yang sedikit itu. Bertahanlah dengan duri berbisa yang kian mencucuk. Berpegang teguhlah pada iman dan amalmu, Tutuplah matamu daripada terpengaruh dengan dunia yang fana' dan berdoalah pada Allah agar memegang hatimu....

Jangan menyesal di sana nanti, tatkala tiada perlindungan lain selain perlindungan Allah...Sabar itu memang pahit, tetapi buahnya manis. Semoga kita bertemu kelak, di dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.. :)

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf : 67)

Wallahu'alam..

Dalam pahit ada manisnya,
Biarlah tangisanmu kini,
Menjadi penawar duka di sana kelak..

Read More......

Wednesday, November 18, 2009

Nikmatnya Bercinta.


Indahnya cinta itu,
Jika cinta itu cintakan Allah...


Buku Travelog Dakwah Meniti Hari Esok karangan Muhd Kamil Ibrahim ana tutup. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, titis-titis air jernih yang kian bertakung di kelopak mata elok dikesat. Sungguh, cerita-cerita di dalamnya menyentuh hari ana,hati ana yang amat merindui suasana itu... suasana yang diselubungi dengan iman dan amal....

Ana rindu DIA

Alarm handphone ana berbunyi nyaring pada pukul 5.15 pagi, siap disertai dengan kata-kata 'SAYANG ALLAH!'Ana yang masih dalam keadaan separa sedar mentup jam dan kembali lena.. Allah.. Allah... ana merinduiNya...

Entah mengapa, lewat kebelakangan ini, susah benar untuk bangkit di penghujung malam untuk bertemu dengan kekasih nan satu itu. Entah, sedih, benar-benar sedih... Dahulu, ketika masih menuntut di KUIS, badan terasa ringan, ana bangun tanpa disuruh, terkadang bangun tanpa perlu untuk 'set' alarm. Ana buntu..

Adakah badan ana letih? Adakah hati ana sakit? atau adakah suasana mempengaruhi ana? Sudah beberapa kali kejadian itu berlaku.. Terkadang bunyi alarm sendiri pun ana tidak dengar. Mencari punca bagi kelemahan nan satu itu bukanlah satu perkara yang mudah.

"Tolong ye, kejut ana kalau enti bangun tahajud nanti" Pernah, ya pernah juga ana berpesan pada teman agar mengejutkan ana untuk sama-sama bertahajud, namun malangnya ana hanya terjaga ketika azan subuh berkumandang. Jiwa terasa lemah, badan terasa longlai.

Allah..

Keenakan bertahajud

Bangun pada penghujung malam dan bermunajat bukanlah sesuatu yang leceh dan menyusahkan, bahkan ia merupakan satu nikmat yang tidak terhingga. Nikmat bagi seorang hamba yang terasa hampir dengan pencipta...

Di penghujung malam itulah hati merintih, jiwa merayu, air mata menderu... dan rindu pun terurai. Diri terasa kerdil dan hina, satu perasaan yang cukup indah, yang membawa diri semakin hampir dengan pencipta. Pada ketika itu, mintalah.. mintalah apa sahaja kepada Allah, insyaAllah tidak akan dikecewakanNya.


Pada sepertiga malam,Allah turun turun ke langit dunia seraya berkata: “Adakah orang yang meminta ampun? Adakah orang yang bertaubat? Adakah orang yang meminta? Adakah orang yang berdo’a?” hingga terbit fajar. (HR. Muslim)


"Ala, enti ana takutlah, nanti ana mengantuk pula sebab tak cukup tidur"

Allah... Allah itu tidak zalim wahai saudara-saudaraku sekalian, masakan sesuatu yang baik itu akan merosakkan kehidupan anda.

Ana pernah mengalaminya ketika dahulu, alhamdulillah ana akan bangkit setiap malam untuk menunaikan tahajud dan kemudiannya, Atas keizinanNya, Allah beri secebis rasa gentar lantaran takut tidak lulus dalam peperiksaan. Tapi, ketika keputusan diambil, hati ana sebak.. sayu... kerana Allah telah membalas penat lelah ana dengan memberi pointer 3.85 pada semester itu.

Subhanallah! Allah itu baik bukan?

Tahajud pengubat hati nan lara

Jika hati kita sakit, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita letih, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita malas, maka tahajudlah pengubatnya.

Umpama set bijiran sihat, dalam tahajud mengandungi 'pelbagai vitamin' untuk menyihatkan hati. Jika hati sihat, maka badan pun sihat. Jika hati sakit, badan terasa lemah dan tidak berdaya.

Lantas, diri mudah menjadi berputus asa dan memandang segalanya pada sudut negatif. Nikmatnya bertahajud, sama seperti merasai nikmatnya kemanisan Iman. Jangan dilupa bahawa tahajud juga menjadi PENGUAT hati tatkala lemah. Menjadi PENGUAT diri tatkala lesu.

Jika tidak, masakan Nabi dan sahabat-sahabat dahulu mampu bertahan, biarpun dicemuh, biarpun dihina, biarpun dianggap asing. Mereka rajin bangkit di sepertiga malam, sebengis-bengis UMAR AL-KHATAB, dia menangis tatkala mengadu pada Allah di sepertiga malam.

Mereka lakukan tahajud. Tahajud menghampirkan diri kepada Allah.

Beruntunglah bagi sesiapa sahaja yang berjaya dalam pencarian cinta itu, mencari secebis cinta di penghujung malam, dan merugilah bagi sesiapa yang mengabaikan keistimewaan itu lantaran duniawi ini tiada selamanya....

Doakan ana agar berjaya mencicip kembali nikmat itu!

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya, di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus : 9)


Wallahu'alam.

Dunia terasa indah biarpun diri disisih,
Hati berasa senang biarpun diri dihina,
Kerana diri ada Allah,
Bukankah indah hidup bersama Ilahi?

Read More......

Sunday, November 15, 2009

Janji Itu Pasti..


Detik perpisahan itu pasti berlaku,
Satu perpisahan bererti selamanya,
Tidak mungkin kan kembali ke dunia,
Umpama daun yang gugur menyembah bumi...


"Haikal dah tak ada" Sebaris ayat yang keluarnya dari mulut mulus itu cukup membuatkan hati ana tersentap. Ana memeluk akak angkat ana seerat mungkin, seolah-olah mengalirkan secebis kekuatan ke dalam dirinya. Namun, tidak dapat tidak, aliran air matanya seolah-olah menjana satu aliran ke dalam diri ana. Mata ana turut digenangi air.

Haikal... kanak-kanak itu baru sahaja berusia sebulan ketika dia dipanggil Ilahi. Umur yang jauh lebih muda daripada ana, namun satu yang pasti dirinya lebih mulia daripada diri ini yang penuh digenangi dosa.

Ana merenung sayu pada sekujur tubuh kaku di atas meja. Bagaikan baru semalam ana memeluk ciumnya, bagaikan baru semalam melihat dia tersenyum dan kini dia telah pergi... untuk selamanya...

Allah...

Haikal pergi dengan begitu senang sekali. Tanpa tanda-tanda yang membuatkan insan lain berjaga-jaga. Selepas mandi pada pagi semalam, Haikal sempat mencelikkan mata, melihat ibunya buat kali terakhir, sebelum mata itu ditutup untuk selama-lamanya...

Hal ini membuatkan ana terfikir. Entah bila masa ana akan tiba. Entah hari ini, esok, atau lusa? Siapa yang tahu? Adakah ketika saat sakaratulmaut itu tiba, ana mampu untuk 'pergi' dengan senang atau terseksa dengan teruk? Itu tidak termasuk lagi dengan penantian di kubur. Saat ana disoal, mampukah ana menjawab dengan baik atau mungkinkah pukulan bertalu-talu yang di terima?

Saat itu... Pada ketika itu.. Ana pasti berseorangan, tiada ibu, tiada ayah, tiada teman-teman rapat. Yang ada hanyalah amalan-amalan sebagai peneman. Justeru, ana terfikir... Cukupkah amalan ana untuk bekalan di sana kelak?

Entahlah... Memikirkan semua itu, cukup membuatkan hati bergetar, namun getaran itu, adakah melahirkan amal-amal baik yang banyak? Atau ia tinggal sebagai getaran?

Ana ingin pergi sebagai hambaNya yang solehah, yang kelak dapat melihat wajah Allah, juga dapat bertemu Rasulullah. Namun, layakkah ana?

Entahlah... Ana tidak tahu siapa ana di hadapanNya, lantaran banyaknya dosa yang dilakukan, lantaran taubat yang sering dimungkiri, siapa ana di sisiNya?

Setiap insan pasti merasa detik itu,
Walau ke mana kaki melangkah,
Walau jauh diri dibawa,
Ketahuilah bahawa janji Allah itu pasti...

Read More......

Friday, November 13, 2009

Mencari redhaMu


Saat masa itu berlalu,
Berlalu pergi meninggalkanku..
Diriku terduduk di situ,
Duduk merenung diri.

Allah...Allah..

Dosaku mengunung tinggi,
Taubatku sering ku mungkiri,
Apakah masih ada,
Apakah masih ada secebis belas untukku?
Apakah masih ada,
Apakah masih ada secebis kasih untukku?

Ya Allah...
Siapa aku disisiMu?
Layakkah aku untuk menatap wajahMu?
Aku rindu! Aku cinta!
Dua ulas bibir menjadi saksi, pengucapan agung itu..
Aku rindu, aku cinta padaMu ya Allah,
Aku rindu, aku cinta padamu ya Rasulullah..

Tapi mengapa...
Mengapa ya Allah,
Mengapa diri ini seolah-olah enak melakukan dosa?
Mengapa hati ini tunduk pada tuntutan nafsu?
Di mana.. Di manakah bukti kata-kataku itu?

Mengalir air mataku saat mengenangkan pengorbanan Bilal bin Rabah,
Yang masih utuh menyebut 'ahad, ahad' biarpun diseksa,
Menitis air mataku saat terkenangkan pengorbanan Zinnirah,
Masih berpegang dengan keimanan biarpun dikorek biji matanya tanpa belas!
Begetar hatiku... Bergetar hatiku mengenangkan pengorbanan Rasulullah,
Di baling najis! Dihina! Dicemuh!
Demi melihat Islam gemilang...

Ya Rasulullah... Adakah engkau sedih melihatku begini?
Allah...Allah...Allah...
Hati kian sebak..
Fikiran kian bercelaru..
Mengenangkan dosa-dosa yang menggunung tinggi..
Namun ku pasti, aku yakin, aku tahu,
PengampunanNya lebih besar dari segala dosa yang telah tercipta...

Allah... sambutlah aku..
Rasulullah... terimalah aku...

Mencari redhaMu Allah..........

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .