Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, November 15, 2009

Janji Itu Pasti..


Detik perpisahan itu pasti berlaku,
Satu perpisahan bererti selamanya,
Tidak mungkin kan kembali ke dunia,
Umpama daun yang gugur menyembah bumi...


"Haikal dah tak ada" Sebaris ayat yang keluarnya dari mulut mulus itu cukup membuatkan hati ana tersentap. Ana memeluk akak angkat ana seerat mungkin, seolah-olah mengalirkan secebis kekuatan ke dalam dirinya. Namun, tidak dapat tidak, aliran air matanya seolah-olah menjana satu aliran ke dalam diri ana. Mata ana turut digenangi air.

Haikal... kanak-kanak itu baru sahaja berusia sebulan ketika dia dipanggil Ilahi. Umur yang jauh lebih muda daripada ana, namun satu yang pasti dirinya lebih mulia daripada diri ini yang penuh digenangi dosa.

Ana merenung sayu pada sekujur tubuh kaku di atas meja. Bagaikan baru semalam ana memeluk ciumnya, bagaikan baru semalam melihat dia tersenyum dan kini dia telah pergi... untuk selamanya...

Allah...

Haikal pergi dengan begitu senang sekali. Tanpa tanda-tanda yang membuatkan insan lain berjaga-jaga. Selepas mandi pada pagi semalam, Haikal sempat mencelikkan mata, melihat ibunya buat kali terakhir, sebelum mata itu ditutup untuk selama-lamanya...

Hal ini membuatkan ana terfikir. Entah bila masa ana akan tiba. Entah hari ini, esok, atau lusa? Siapa yang tahu? Adakah ketika saat sakaratulmaut itu tiba, ana mampu untuk 'pergi' dengan senang atau terseksa dengan teruk? Itu tidak termasuk lagi dengan penantian di kubur. Saat ana disoal, mampukah ana menjawab dengan baik atau mungkinkah pukulan bertalu-talu yang di terima?

Saat itu... Pada ketika itu.. Ana pasti berseorangan, tiada ibu, tiada ayah, tiada teman-teman rapat. Yang ada hanyalah amalan-amalan sebagai peneman. Justeru, ana terfikir... Cukupkah amalan ana untuk bekalan di sana kelak?

Entahlah... Memikirkan semua itu, cukup membuatkan hati bergetar, namun getaran itu, adakah melahirkan amal-amal baik yang banyak? Atau ia tinggal sebagai getaran?

Ana ingin pergi sebagai hambaNya yang solehah, yang kelak dapat melihat wajah Allah, juga dapat bertemu Rasulullah. Namun, layakkah ana?

Entahlah... Ana tidak tahu siapa ana di hadapanNya, lantaran banyaknya dosa yang dilakukan, lantaran taubat yang sering dimungkiri, siapa ana di sisiNya?

Setiap insan pasti merasa detik itu,
Walau ke mana kaki melangkah,
Walau jauh diri dibawa,
Ketahuilah bahawa janji Allah itu pasti...

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .