Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, June 30, 2009

Hijrahkan Dirimu...


1 message received
From Jannah.

Ana mengambil handphone dan menekan butang read.


Sekuat mana pun godaan yang kita hadapi, sekukuh apa pun cabaran yang harus kita jalani, sebesar mana pun kegagalan yang kita rasai, sejenuh mana pun hari-hari yang kita lalui, jangan pernah berhenti berharap pada pertolongan ILAHI, jangan pernah berhenti berdoa kepada ALLAH kerana harapan adalah masa hadapan, kerana harapan adalah sumber kekuatan, kerana DOA adalah pintu kebaikan dan kerana DOA adalah senjata orang yang beriman :)


Ana tersenyum membaca mesej daripada adik fasi ana itu. Butang back ditekan dan ana meneruskan kerja. Bagaikan tiada apa-apa.


Tapi hari ini ana buka peti mesej dan baca mesej yang dihantar oleh adik fasi ana itu berkali kali. berulang-ulang. Asma' ul Husna ana dengar berkali-kali, Lafaz zikrullah juga diperdengarkan... Ana mencari sesuatu. Ana mencari kekuatan di sebalik dugaan yang datang menjengah... Ya kekuatan...

Entah mengapa, hari ini rajin benar tangan ini menekan-nekan mouse dan menjelajah internet. Profile friendster orang, blog-blog yang ada dan macam-m
acam lagi. Natijahnya, hati ana kini bagaikan disiat-siat, dirobek-robek, ditikam-tikam sehingga menjadi cebisan-cebisan kecil yang sukar untuk dicantumkan.

Mengapa?

Sedih tidak terkira apabila melihat komen-komen di profil friendster para muslimin dan muslimah yang tidak segan-silu memaparkan ayat-ayat romantis kepada pasangan masing-masing (belum berkahwin) yang pastinya menjadi satu fitnah untuk Islam..Tegarnya, tegarnya jari-jemari itu menaip bait-bait kata yang bakal membuat insan lain memandang serong kepada Islam yang suci...

Bertambah pilu lagi apabila membaca bait-bait yang terdapat dalam blog para mukminin dan mukminah yang tanpa segan silu membuka aib (Bercerita yang tidak sep
atutnya) ditambah dengan komen-komen dari jantina yang berlainan yang amat berlanggar dengan syara'. Memalukan.

Na'uzubillah... Moga ia tidak berlaku pada ana, dan pada sahabat sekalian juga moga perkara ini tidak berulang kepada sesiapa yang pernah melakukannya.

Oh! Di manakah sifat malu yang seharusnya ada dalam diri seorang muslimah?! Dimanakah sifat mujahid di dalam diri para muslimin?! Di manakah dia bakal penegak kalimah lailahailallah muhammadurrasulullah? Di mana!

Apa kata mereka yang masih belum mengenal Islam?

"Ah, enti apa nak dengar cakap orang... Sendiri tahu sudahlah"

Bukankah ana ini cerminanmu? Kadang-kadang ada perlunya kita mendengar cakap orang.. Kita marah kalau ada orang cakap "Orang tak pakai tudung pun perangai lagi baik." Kita geram bila ada orang cakap "Buat apa pakai tudung? Biarlah tak pakai janji hati baik."

Kita marah. Kita geram. Kita sakit hati. Tapi adakah kita sedar apa yang telah kita lak
ukan??

Oh Rasulullah... Adakah pada ketika ini engkau sedang menangis melihat kami begini?

Ketika saudara-saudara kita di Palestin menangis, meratap agar kita bangkit berdiri, kita terus-terusan lemah dengan kelemahan yang kita cipta sendiri... Benarlah sabda baginda bahawa suatu hari nanti umat Islam ini sperti buih di lautan......

Yang berkata ini pastinya bukan yang terbaik, yang berkata ini hanyalah hamba Allah yang hina, yang berkata ini juga sering melakukan kesilapan... Namun yang berkata ini cuba memperbaiki diri daripda sehari ke sehari, maka tegur-tegurlah yang berkata ini juga dan ana harap kita semua mampu berhijrah ke arah yang lebih baik, demi Allah dan Rasulullah......

SALAM HIJRAH... SALAM JUANG... SALAM MAHABBAH...


wallahu'alam

Read More......

Monday, June 29, 2009

Ucaplah Alhamdulillah



"Dah teruk dah dia, tak boleh bercakap... Kurus.."

Petah kakak ana bercerita sebaik sahaja balik daripada melawat sahabat karibnya. Allah.. Ana agak terkejut, apatah lagi kakak ana menambah bahawa sahibahnya itu sudah dua kali nazak tapi Allah masih panjangkan umurnya.

Ana terpana. Sedih. Kasihan. Bagaikan baru semalam melihat dia dalam keadaan ceria. Tersenyum. Ketawa. Dan kini dia menderita sakit yang tiada penawarnya. Ototnya tidak berfungsi dan sel-sel di otak semakin mati...

Allah.... Sekelip mata Allah mahu mengambil segala pinjamanNya. Ana terfikir, sudah bersediakah ana untuk menghadapNya? Tatkala insan-insan di sekeliling ana masih lagi terkapai-kapai minta ditolong tetapi ana pandang hambar. Tatkala bibir leka mengalun zikrullah dan hati leka dengan kemanisan dunia....

Bertambah sebak dalam hati tatkala melihat saudara seagama terlupa untuk mengucap sepotong ayat- Alhamdulillah tatkala mendapat nikmat yang menggunung.

"Alah, kenapa demam pulak ni, aku dah lah nak periksa" Rungut seorang pelajar tanpa disedari bahawa sakit yang menimpa merupakan kafarah dosa dan sakit itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang terlantar di hospital. Lupakah kita pada kisah Nabi Ayub a.s yang menderita sakit bertahun-tahun lamanya?

"Huh! Benci aku hidup macam ni" Rungut seorang insan yang ditimpa musibah tanpa disedari musibah yang menimpa adalah untuk memantapkan hati, agar lebih kuat menempuh hari mendatang... Lupakah kita pada nikmatNya yang banyak yang kita tidak sempat untuk bersyukur?

Yang penting sekali, bersyukurkah kita pada satu nikmat yang begitu besar sekali... Nikmat ISLAM! Kita dilahirkan sebagai seorang muslim sejati, bukan sebagai penganut agama lain yang terpaksa mencari sinar kebenaran itu bahkan mungkin diuji dengan pelbagai rintangan yang mampu menyesakkan jiwa...

Kita adalah Islam sejak lahir. Kebenaran itu terbentang di hadapan mata sejak azali lagi. Namun sedih ana melihat saudara-saudara seIslam ana mensia-siakan nikmat itu. Berpesta, berfoya-foya, bergaul bagaikan tidak mempunyai agama... Sedih.. Sedih sungguh... Apakah Rasulullah sedang menangis tika ini melihat umatnya begini?

Teringat ana pada kisah wanita ulung- Rabiatul Adawiyah.. Beginilah lebih kurang ceritanya.

Pada suatu hari Rabiatul Adawiyah berjalan-jalan dan terlihat seorang lelaki yang berbalut kepalanya. Rabiatul Adawiyah pun bertanya "Mengapa engkau membalut kepalamu?" Si lelaki tadi menjawab "Aku sakit". Rabiatul Adawiyah berasa sedih dan berkata "Adakah ketika engkau sihat engkau meletakkan sebarang tanda pada dirimu?" "Tidak" Jawab lelaki itu. "Jadi, adakah engkau ingin menunjukkan bahawa Allah itu kejam kerana memberi kesakitan kepadamu?"

Kita juga begitu bukan? Ketika kita senang, ketika kita sihat, kita bergembira...Kita sering bersuka-suka dan lupa pada Allah... Tetapi ketika kita sakit, kita susah.. Kita merintih, menangis-nangis, merayu minta ditolong....

Adakah kita ini manusia yang tidak tahu bersyukur???

Renung-renungkan... Fikir-fikirkanlah...

~Ucaplah Alhamdulillah, tanda syukur kepada Allah..~

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 57)

p/s : Doakan agar Allah mengembalikan kesihatan kepada Kak Nina Maleen agar dia mampu menjalani kehidupan seperti biasa, di sisi keluarga tersayang... amin..

Wallahu'alam

Read More......

Beristikharahlah...



"Ahh... Buat apa nak istikharah, aku dah yakin dah dengan keputusan aku ni. Aku tahulah"

Pernah sekali ana mendengar kata-kata itu terlafaz daripada mulut seseorang. Ana terkejut.

Bukankah kita ini manusia biasa yang tidak mengetahui masa depan dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, baik yang tersembunyi atau yang nyata...

Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui (Al-Baqarah : 115)

"Ah, aku dah istikharah tapi macam tak best je pilihan ni"

Ada dua kemungkinan di situ. Apakah anda telah beristikharah dengan seikhlasnya? Berapa kali anda beristikharah? seeloknya lakukanlah 7 malam berturut-turut. Keduanya, Allah tahu apa yang terbaik untukmu! Allah itu tidak memberi APA YANG KAMU MAHU tapi Dia beri APA YANG KAMU PERLU.

Seorang penyair sufi menghalusi mata hatinya ; Aku penuh kekuatan tapi Allah berikan aku kesulitan untuk jadikan aku gagah. Aku penuh cinta, Allah berikan aku mereka yang bermasalah untuk cari penawar duka, Aku penuh keteguhan hati, Allah beri bahaya untuk aku atasi. Justeru, Aku tak perolehi apa yang kuimpikan tapi aku mendapat segala apa yang kuinginkan....

Jadi mengapa masih ragu-ragu dengan rahmat Allah? Mengapa masih sombong dengan Allah? Mengapa?

Lupakah kita bahawa dahulunya kita ini tercipta daripada setitis air mani yang hina, yang jika terkena baju,kita basuh....

Lupakah kita bahawa kita ini dahulunya tercipta dari tanah, yang selalu dipijak-pijak, selalu dipandang hina...

Lupakah kita bahawa kita pernah berjanji bahawa hanya Allah Tuhan kita... Jadi mengapa masih sombong dengan Allah?

Dan Lupakah kita bahawa kita adalah juara semenjak di dalam perut lagi, daripada berjuta-juta sperma yang berlumba untuk mendapatkan satu ovum, kita telah menang! Jadi mengapa masih tidak boleh memerangi nafsu dan syaitan?

Lupakah kita..?

"Eh istikharah tu bukan untuk kahwin eh?"

Bukan bukan dan bukan.

Istikharah adalah untuk kita membuat pilihan yang terbaik, jalan yang ditunjukkan Allah untuk menolong kita yang lemah, jalan panduan Allah agar kita sentiasa menjadi hambaNya yang bertaqwa..

Biarlah Allah yang membuat pilihan untuk kita kerana Dialah yang menciptakan kita maka Dialah yang mengetahui segalanya tentang kita.

Bolehkah kita menghantar komputer yang rosak ke kedai membaiki kereta?

Apakah natijahnya nanti?

Begitulah diibaratkannya..... Maka beristikharahlah kerana Allah, beristikharah kerana mengharap bantuanNya, beristikharahlah untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa dan jangan sesekali kita menyalahkan Allah atas pilihan yang diberi. Yakinlah... Yakinlah itu yang terbaik biar pun hati memberontak kerana satu hari nanti pasti akan terlihat keindahan pilihan itu...

"Dulu suami saya ni tak ada dalam senarai calon pun! Bila saya buat istikharah nampak dia, Allah.. Senak dada... Tapi kalau saya dapat kembali kepada zaman remaja dulu, suami saya ni akan tersenarai dalam calon pertama pilihan saya!"

Begitulah kata-kata lecturer ana....

Selamat Membuat Pilihan Kerana Allah! Moga diberkatiNya...

Wallahu'alam

Read More......

Bawa Allah Bersamamu..

"Mak suka kalau awak dapat masuk maktab perguruan"

Pernah pada suatu ketika umi berkata begitu. Ana diam.

Dan kini doa umi telah pun termakbul, alhamdulillah ana berjaya mendapat tempat di salah satu institut perguruan dan umi kelihatan begitu gembira sekali...

Tapi, pernah tak antum rasa betapa peritnya perpisahan? Perit sungguh apabila terpaksa merasakan perpisahan dengan para sahibah yang tercinta. Ana dan sahibah menangis semahunya pada malam terakhir ana di kuis.

"Ukhwah itu indah andai segalanya kerana Allah"

Itulah pesan salah seorang sahibah ana. Benar, ana sungguh-sungguh dapat merasai keindahan itu. Apabila jatuh ada yang menyokong, menangis bersama, berpesan-pesan andai terleka, mengejutkan bangun qiamullail... Semua kenangan itu membuatkan ana terfikir, mampukah ana terus berdiri tanpa mereka di sisi? Mampukah ana bangun andai ana rebah lagi?

Bawa Allah bersamamu...

Teringat ana pada satu kalimah agung yang pernah terlafaz daripada bibir ana sendiri... Ana tidak tahu apakah ana mampu untuk menjadi seorang yang kuat di tempat yang baru, adakah iman ana akan kekal sihat di tempat yang baru atau adakah sejadah iman yang dahulunya terkoyak tetapi telah terjahit kembali akan terkoyak lagi?

Ana tidak tahu. Tetapi apa yang ana tahu ana ada Allah bersama, di mana jua, setiap masa. Bukankah dia sebaik-baik penolong dan sebaik-baik tempat pengaduan? Ana juga ada pesanan-pesanan daripada para sahibah di dalam hati. Doakan ana agar terus kuat. Moga ini pilihan Allah yang terbaik untuk ana...

Laili : Mas nanti jangan lupa update blog ye.sehari mesti ada satu post.

insyaAllah Laili, andai masa mengizinkan ana akan cuba update blog selalu...

"Dahlah Mas jangan nangis lagi, kitorang redha lepaskan Mas, Mas jangan berubah ye"


Doakan. Doakan. Doakan.....

Program bersama adik-adik fasi






Bersama para sahibah tercinta ;
makan malam terakhir dan jalan-jalan terakhir


Semoga kita bersama dalam redhaNya!

~Ukhwah itu indah andai segalanya kerana Allah~

Read More......

Wednesday, June 24, 2009

Bersemangatlah Demi Islam!



“Rasa dah tepu otak ni banyak sangat baca” Keluh ana ketika sedang ralit membelek nota tarikh tasyrii’ (sejarah perundangan islam).

Sahibah ana memandang tepat ke wajah ana. “Mas tau tak, Elbert Einstein tu baru guna separuh daripada otak dia, kita ni guna tak sampai 0.01% pun lagi.”

Ana terdiam memikirkan kebenaran kata-katanya.

Dengan izin Allah, peperiksaan kali ini memberikan impak yang sangat besar kepada ana dan rakan-rakan. Masa yang digunakan hanya seminggu untuk menyelesaikan kesemua subjek yang kami pelajari. Entah mengapa, cepat benar ana berasa tertekan.

Pernah satu hari ana duduk di hadapan nota-nota tetapi ana tiada mood langsung untuk membeleknya dan terus-terusan merenung sehingga masa pun berlalu dengan pantasnya. Ana bimbang. Ana gusar. Mengapa begini jadinya? Ketika peperiksaan tarikh tasyrii’ sedang berlangsung, ana benar-benar berasa ingin menjerit. Mujur hati cepat beristighfar. Itu semua mainan syaitan!

“Mas, bagilah semangat sikit… tengah down ni” Suara daripada seorang sahibah yang penuh mengharap pada suatu malam membuatkan ana berfikir sejenak.

“Hm… mesti rasa bosan kan belajar banyak-banyak ni. Tapi ingatlah, kita buat semua ni kerana Allah, kita belajar kerana Allah. Bukan sebab nak periksa. Kalau kita belajar sebab nak periksa, keluar je dewan periksa nanti kita terus lupa apa yang kita dah baca tu.”

Ana berhenti sejenak.

“Ilmu Allah tu luas, diumpamakan macam lautan dan apa yang kita tengah belajar sekarang cuma setitik je daripada lautan tu, tapi cepat betul kita rasa penat. Cuba kita tengok orang-orang yang tak dapat belajar macam kita ni, mesti diorang rasa nak sangat belajar. Macam kat Palestin tu, kalau diorang dapat peluang belajar macam kita mesti tak akan dilepaskan. Kalau kita malas-malas belajar mesti diorang sedih kan? Diorang tak dapat belajar… Kita ni dapat belajar tapi malas.

Diam. Dalam masa yang sama ana cuba merenung jauh ke dalam diri, merenung hati yang ternoda, merenung diri yang sering leka….

Entahlah, dengan izin Allah ana betul-betul hilang mood untuk belajar pada waktu tu sehingga ana terasa seperti hendak termuntah sewaktu sedang mengajar seorang rakan. Pening. Mengalir air mata ana sewaktu bermohon pada Ilahi agar jangan dilunturkan semangat ana. Ana masih punya tanggungjawab sebagai seorang anak dan hamba. Mana mungkin ana tegar melihat wajah suram terukir pada kedua ibu bapa yang telah bersusah-payah demi ana. Mana mungkin ana tegar untuk menjadi fitnah dalam Islam yang amat ana kasihi.

Ana pasti ada di kalangan kita yang pernah merasa bosan dengan suasana yang ada. Teringat ana pada kata-kata Ali ibn Abi Thalib, “Hati itu boleh merasa penat dan bosan sama seperti tubuh badan. Oleh itu carilah segi-segi kebijaksanaan untuk kepentingan hati.”

Jadi ana cuba merehatkan diri, bertenang seketika. Ana lihat sekeliling, sahibah-sahibah juga sedang ralit membelek nota. Pasti mereka penat. Ana cuba menghiburkan hati mereka, jua hati ana. Melihat mereka tersenyum cukup menghiburkan hati… Terasa ringan kepala yang tadinya berat.

Tapi…. Semakin tegang sesuatu suasana, semakin ramai pula muslimah yang ana lihat bergayut dengan muslimin. Kawan? Teman Istimewa? Entahlah… Cumanya, bagi diri ana yang dhoif ini bercakap melalui telefon dengan lelaki ajnabi dalam waktu yang lama merupakan sesuatu yang memalukan malah mungkin boleh merosakkan iman. Suara wanita itu mampu membuatkan kopiah di kepala lelaki itu gugur ke bumi! Seorang wanita yang menggoda lelaki akan mendapat dosa. Bukankah Allah telah berfirman ;

Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,(Al-Ahzab : 32)

Ana tidak tahu, mungkinkah dengan bergayut itu mampu mententeramkan jiwa atau dengan mendengar suara lelaki ajnabi itu mampu merungkai segala tekanan… Entahlah… Cumanya, pada diri ana yang dhoif, kerdil serta hina ini… Bercakap dengan umi abi dan bercakap dengan Allah mampu membuat fikiran yang tadinya kusut menjadi lega…

Entahlah….

“Esok periksa pagi & petang ke?” Soal ana kepada seorang sahibah.

“A ah. Mas periksa pagi je?”

“Ha ah”

“Bestnya…”

“Tak apalah, Allah dah mengaturkan yang terbaik untuk hambaNya”

Kepada sahibah-sahibah yang ana kasihi, moga kita sama-sama beroleh manfaat daripada aturan Allah yang amat cantik ni…

Wallahu’alam…

p/s: ana dan rakan-rakan masih berbaki 1 lagi subjek untuk esok hari (ada yang habis periksa hari jumaat) doakan yang terbaik untuk kami.. :)

Read More......

Thursday, June 18, 2009

Warkah Buat Adik-Adikku..



Bismillahirrahmanirrahim…

Astarghfirullahalazim…

Ana mulakan kalam dengan lafaz istighfar kerana mungkin apa yang bakal dilafazkan banyak khilafnya, lantaran diri ini hanyalah seorang hamba yang sering melakukan dosa, yang sering lalai dan alpa…

Adik-Adikku harapan Agama,

Diri ini terasa terlalu hina untuk mengungkapkan barang sepatah dua kata buat dirimu yang jauh lebih baik daripada diri ini, dirimu yang selayaknya kurang dosa daripada diri yang sedang berkata-kata ini.

Ingatlah, hidup di dunia ini tidak lebih daripada seorang musafir yang sedang berjalan menuju ke destinasi, persinggahan kita di dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah negeri yang kekal abadi, negeri di mana kita mendapat keputusan lulus cemerlang atau pun tidak mengikut piawaian Allah S.W.T, andai lulus, berbahagialaah kita atas janjiNya, jika tidak menderitalah kita kerana azabNya.

Adik-adikku pelapis Agama,

Persekolahan dan dugaan yang sedang dikau lalui atau baru sahaja ditinggalkan hanyalah sekelumit daripada dugaan berada di menara gading ini. Pada yang tinggal di asrama, mungkin suasana dan peraturan yang mengikat mampu mendisiplinkan dirimu dan jua mendekatkan dirimu kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim… Pada yang tinggal di rumah, ibu dan bapamu mungkin ada untuk meneliti.Namun adikku sayang fillah, ketahuilah, diri ini sungguh-sungguh terkejut dengan keadaan di university. Dikau akan bebas melakukan perkara yang disukai. Kawalan ada, tetapi terlalu longgar. Dikau akan berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, dugaan akan datang silih berganti dan pada yang lemah mungkin akan tersungkur menyembah bumi.

Ketahuilah adikku, diri ini bukanlah insan yang sempurna, tetapi diri ini selalu sahaja menangis mengenangkan sahabat-sahabat seperjuangan yang tersungkur di medan menara gading ini. Tidak kiralah ketika di asrama dahulu dia bergelar imam atau ahli surau, dugaan duniawi yang indah dan sungguh menggoda benar-benar merangsang nafsu dan akhirnya iman yang menderita dibiarkan terus menderita… Tersungkur bukan dalam mata pelajaran tetapi tersungkur dalam aspek aqidah Islamiyyah! Dan diri ini tidak mahu dikau tersungkur jua. Perit, benar-benar perit menyaksikan saudara seagama terus lalai dan leka sedang diri ini tidak mampu melakukan apa-apa. Lemahnya imanku.

Duhai adikku penegak Agama,

Bukan niatku untuk menakut-nakutkan dirimu, tetapi sekadar memberitahu persiapan yang perlu dikau sediakan agar sejadah imanmu tidak terus-terusan terkoyak. Agar dikau membentengi diri dengan iman dan keyakinan kepada Allah bagi menepis anasir-anasir jahat yang datang menyerang. Terkadang sedih diri ini melihat wajah-wajah suci yang belum mengerti akan dugaan sebenar. Ingatlah, nafsu itu sifatnya tidak pernah puas. Nafsu sentiasa lapar, semakin kita beri, ia semakin lapar. Maka jangan terlalu dituruti nafsu yang buruk itu…..

Tidak kira selepas ini dikau belajar di mana, di kolej Islam, university luar negara atau dalam negara, mahu pun university biasa, bawalah Allah bersama, letakkan Allah di tempat pertama dalam hatimu, pagarilah dirimu dengan iman yang utuh dan ingatlah kembali tugasmu sebagai khalifah. Jangan sesekali meninggalkan solat yang 5 itu, kerana ia merupakan tiang agama. Andai solat tidak dapat dikau jaga, maka robohlah agama yang ada dalam dirimu…. Berkawanlah dengan semua orang, namun pilihlah sahabat mengikut piawaian daripada Rasululullah S.A.W ;

1)Apabila kamu melihatnya, kamu teringatkan Allah.
2)Apabila mendengar kata-katanya, akan bertambah ilmumu
3)Apabila kamu melihat amalan-amalannya, kamu teringat akan negeri akhirat"

“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab” Begitulah pesanan sahabat nabi, Umar Al-Khatab, seorang yang selalu menyuruh sahabat-sahabatnya menghisab dirinya sebaik sahaja selesai solat. Contohilah sikap itu, jangan selalu berkecil hati dengan terguran yang membina, perbaikilah diri, perbaikilah hati, perbaikilah peribadi….

Duhai adikku bakal penghuni syurga,

Teringin sungguh diri ini memiliki sekeping hati seperti hatimu, yang sungguh lunak pada sebuah kebenaran. Teringin sungguh diri ini memiliki sepasang mata seperti matamu, yang sentiasa basah mengingatiNya, teringin sungguh diri ini memiliki lidah seperti lidahmu, yang tidak berhenti mengalunkan zikrullah….

Sabarlah dalam mengharungi dugaan. Perjuangan itu memang pahit, tetapi ingatlah bahawa syurga itu manis! Jadikan dirimu seperti ikan di laut masin, biarpun dikelilingi air yang masin, namun isinya tetap tawar...

Salam perjuangan, moga hati-hati kita bertaut kerana Allah….

Read More......

Manusia yang 'mudah'



Siaran terpaksa diaktifkan sebentar atas beberapa faktor :)

Mudah. Manusia itu memang seorang yang mudah. Mudah lupa, mudah terguris, malahan mudah untuk tidak bersyukur…. Tulisan ana dalam tips belajar mungkin menyemarakkan semangat untuk TIDAK SOMBONG DENGAN ALLAH. Alhamdulillah, moga berkekalan. Namun,apa yang merungsingkan ana tulisan itu hanya digunakan ketika perlu sahaja.

Apa maksud ana?

Terkadang apabila ana melihat mereka yang hanya mencari Allah tatkala susah, timbul satu perasaan yang merebak dalam hati ana. Kasihan.

Terkadang apabila ana melihat mereka yang memberontak menyalahi takdir, memarahi Allah, timbul satu perasaan yang merobek-robek jiwa ana. Kasihan.

Terkadang apabila ana melihat mereka yang mengambil keputusan singkat dengan meninggalkan ajaran yang diajar oleh Rasulullah atas perintah Allah Yang Esa kerana kecewa dengan apa yang terjadi, timbul satu perasaan yang amat nyilu di dalam hati ana. Kasihan.

Tapi begitulah lumrahnya hidup manusia di atas muka bumi ini, tidak pernah terlepas daripada beberapa sifat mudah itu. Mungkin ana, kamu, kita semuanya tergolong dalam golongan ‘mudah’ tadi.

Banyak…. Banyak benar simptom-simptom itu yang dapat dilihat pada hari ini. Khususnya buat para pelajar yang bakal menjalani peperiksaan-peperiksaan besar. UPSR,PMR,SPM,STPM,STAM. Bahkan mungkin jua kepada para pelajar university yang bakal menduduki peperiksaan. Lagi seminggu hendak periksa baru mahu melakukan solat hajat bahkan mungkin lagi sehari kaki bakal melangkah ke dalam dewan peperiksaan barulah berlumba-lumba untuk melakukan solat hajat, melakukan solat-solat sunat,berdoa, merintih…

Tidak… Ana tidak bermaksud tidak bagus melakukan solat hajat mahu pun amalan-amalan sunat yang lain, memang elok benarlah kita membersihkan hati,jiwa dan diri tetapi bukankah lebih baik andai segala amalan itu kita lakukan secara istiqamah. Lakukannya dengan benar-benar ikhlas, sebagai hamba yang bersyukur dengan ketentuanNya, sebagai hamba yang bersyukur atas nikmat Allah yang terlalu banyak. Lakukannya atas dasar seorang hamba. Itu sahaja.

Sedih benar ana melihat mereka yang bersungguh-sungguh melakukan amalan buat bekalan di akhirat atas urusan dunia,merebut segala amalan baik atas sesuatu sebab, periksa contohnya dan sebaik sahaja peperiksaan berakhir maka berakhirlah juga segala amalan-amalan itu.

Itukah tandanya seorang hamba yang bersyukur?

Itukah tandanya seorang hamba yang berikhtiar?

Itukah tandanya kita benar-benar berharap pada-Nya?

Tidakkah kita merasa malu kepada Rasulullah? Pada suatu ketika dahulu, Rasulullah melakukan solat sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Lantas, Aishah bertanya : “Ya Rasulullah, mengapa kamu melakukan solat sehingga bengkak-bengkak kakimu? Sedangkan engkau sudah dijanjikan syurga?”

Apa Rasulullah jawab?

“Wahai Aishah, salahkah aku untuk menjadi seorang hamba YANG BERSYUKUR?”

Subhanallah!

Malu… malu benar ana pada baginda… Antum semua malu tak? Kita hanya mencari-Nya ketika susah dan terkadang kita lupa bahawa kita ini adalah hamba, semua perkara yang kita lakukan adalah kerana-Nya semata, dan apabila kita diuji, cepat benar kita melenting, memarahi takdir, memusuhi diri sendiri bahkan ada yang mahu membunuh diri..kerana apa? Kerana kita terlupa bahawa kita adalah hamba! Hamba yang sememangnya layak diuji, hamba yang seharusnya yakin pada Allah 100%

Yang berkata ini bukanlah yang terbaik, yang berkata ini juga bukanlah seorang yang sempurna kerana yang berkata ini juga merupakan seorang hamba yang banyak khilafnya… Jadi hiduplah di alam realistik di mana tiada siapa yang sempurna. Ana, dia, kamu, kita… Semuanya ada kekurangan…

Ingat, beristiqamahlah dalam beramal, kerana Allah suka pada hamba-Nya yang istiqamah… Jangan lupa membaca bicara Allah untuk kita di dalam Kitab Suci Al-Quran.. Ingat, hidup di dunia hanyalah ibarat seorang musafir...

Selamat beramal dan beristiqamah!

Wallahu’alam :)

Read More......

Friday, June 12, 2009

Siaran Tergendala



Harap Maaf...

Lebih kurang seminggu lagi ana dan rakan-rakan akan menghadapi peperiksaan akhir semester (22 jun - 26 jun). Justeru itu, penulisan di blog haruslah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi penumpuan kepada subjek-subjek yang akan dipertarungkan di dewan periksa nanti!

Doakan agar ana dan rakan-rakan membawa segala kelengkapan yang cukup untuk bertarung nanti. insyaAllah...

Periksa kerana ALLAH! Moga kita tidak menjadi fitnah kepada Islam tercinta. Jangan lupa untuk memperbaiki diri, memperbaharui hati, membuang karat-karat jahiliah... Salam perpisahan buat sementara, insyaAllah...

Siaran tergendala sebentar... Jangan betulkan komputer anda...

Fi Amanillah... :)

Read More......

Wednesday, June 10, 2009

What You Give, You Get Back!


“Ahh.. Aku peduli apa, suka hati aku lah nak buat apa pun” Bentak seorang pemuda yang merasa puas mengherdik sahabatnya.

“Kau tak kesian ke kat dia? Malu lah dia kau bentak-bentak dia depan orang ramai” Temannya menasihati.

Begitulah kita, seringkali terlupa bahawa hidup di dunia ini ibarat roda, ketika kita berada di atas, jangan sesekali kita lupa pada mereka yang berada di bawah. Acapkali kita merasa kita ini berada di pihak yang betul dan acapkali juga kita mengecap seseorang itu sebagai jahat dan tidak berguna dengan hanya satu kesalahan yang dilakukan.

Beginilah.

Cuba ambil sehelai kertas A4 dan lukis satu bulatan di tengah-tengahnya. Hitamkan bulatan itu. Apa yang anda nampak? Pastinya bulat yang kotor dan tidak menyenangkan, sedangkan di bahagian tepinya warna putih yang banyak seolah-olah lenyap daripada pandangan kita yang terbatas.

Begitulah lumrah hidup manusia. Kita seringkali melihat keburukan seseorang dan melupakan segala amal kebajikan yang telah mereka lakukan.

“Ish, tak senonoh betul lah tidur lepas subuh.”

“Kata hebat agama tapi kenapa suka datang lambat ke kelas”

Bisikan-bisikan buruk sangka yang kebiasaannya lahir daripada para syaitan seringkali menghantui hidup manusia dan manusia yang lemah seringkali terpedaya. Mungkin sahabat yang tidur selepas subuh terlalu penat dan mereka yang datang lambat mempunyai masalah lain. Kita tidak perasan itu semua. Kenapa? Kerana kita seringkali merasa diri sendiri benar, kita merasa bahawa kita berada di pusat dunia dan semua orang di sekeliling kita harus akur kepada segala tindak-tanduk yang kita lakukan.

Mereka yang tidak menyayangi tidak akan disayangi. Begitulah pesanan Insan Agung, Rasulullah S.A.W, di sebalik pesanan yang satu, terselit seribu makna yang tersirat…

What you give, you get back! Jika kita tidak menyayangi maka kita tidak akan disayangi. Jika hari ini kita mengherdik orang lain mungkin esok kita akan diherdik, Jika hari ini kita berburuk sangka pada orang lain mungkin esok kita pula yang akan dipandang serong, jika hari ini kita mengata mungkin esok kita akan dikata.

Jadi apabila sesuatu kejadian yang buruk menimpa diri, seharusnya kita tidak terus menuding jari menyalahkan insan lain, menyalahkan Allah, menyalahkan takdir tetapi tudinglah jari ke arah satu makhluk yang begelar DIRI SENDIRI!

Jika kita terserempak dengan mereka yang sedang melakukan maksiat,atau pun memakai pakaian yang tidak bertepatan dengan syara’, berapa peratuskah antara kita yang akan mengatakan;

“Ish! Teruknya…”

Berbanding

“Astarghfirullahalazim… Kasihannya dia, ya Allah kau kurniakanlah hidayahMu kepadanya”

Seharusnya sebelum melakukan sesuatu kita perlu bijak menilai, meletakkan diri kita di tempat insan lain agar hati yang lunak itu bisa memahami bahawa tidak semua orang berada dalam kesenangan seperti yang sedang kita rasai. Tidak semua orang berperangai sama seperti kita dan tidak semua orang berfikir sama seperti kita.

Itulah tanda hebatnya Allah yang menciptakan manusia agar saling melengkapi, tetapi malangnya manusia yang memiliki akal seolah-olah tidak memahami bahkan memilih untuk mementingkan diri dan seterusnya merosakkan amal islami.

Jadi, sebagai seorang muslim yang sejati, ayuhlah kita bersama-sama menjahit kembali sejadah iman yang mungkin telah terkoyak, ayuh kita penuhkan hati dengan sifat berbaik sangka, bersihkah karat-karat jahiliah yang telah lama bersarang di dalam hati. Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan. Jika tidak di dunia, pastinya di akhirat nanti!

What You Give, You Get Back!

Wallahu’alam…

Read More......

Tuesday, June 9, 2009

Layakkah Kita Bergelar Saudara?



“Umi!!!!” Khalid menjerit nyaring.

Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi.. Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.

“Umi!!!” Khalid menjerit lagi.

Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di atas serpihan batu-bata,terpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ.. Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.

“Khalid.. Khalid anak umi…”

Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya. Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang..

“Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid macam abi...”

* * *

“Khalid... Mari cepat pergi masjid, sekejap lagi azan ni!”

Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar rumah. Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.

“Umi, Khalid pergi dulu..” ucapnya seraya melangkah pergi..

“Abi, kenapa kita kena solat kat masjid? Umi tak pergi masjid pun abi...” Khalid bertanya. Matanya yang bening memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi.

Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.

“Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat kat masjid. Umi tak apa solat kat rumah. Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul kat masjid, orang kafir pun akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu,kita kuat kan sayang?” Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.

“Tapi abi....”

“Kenapa Khalid?”

“Kenapa dulu masjid kosong je.. Sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?” Penuh ketulusan suara itu bertanya.

Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.

“Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi.. Tiba-tiba satu hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa bermaknanya kesenangan yang lalu kan?”

Angguk.

“Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat... Tapi manusia tak mahu bersyukur malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni,bila dah susah baru semua tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu sia-sia.”

“Abi, Khalid tak mahu lawan cakap Allah!” Khalid bersemangat.

“Ye sayang, Khalid kena jadi macam Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam mempertahankan Agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah” Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil. Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.

“Macam abang-abang?” Khalid bertanya lagi.

Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar mujahid fi sabilillah!

“Abi.....”

Khalid mula menyorok di belakang Salman Al-Farisi.

Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap,melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di sisi yang ketakutan.

Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa ini...


Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta...

* * *

Pom! Pom!

Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid.

Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta... Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada’ yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...

“Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”

Khalid meraung. Wajah insan yang amat disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.

“Abi... Kenapa tinggalkan Khalid...”

Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di situ...

* * *

“Umi...” Khalid bersuara dalam sendunya yang masih berbaki.

Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.

“Ya sayang..” Tangan yang mampu menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.

“Kenapa negara Islam yang lain tak bantu kita?”

Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan,melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.

“Mereka bantu sayang, mereka beri duit, makanan..”

“Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!”

Nur Laili tersentak sekali lagi.

“Umi...” Perlahan, Khalid memanggil.

“Ya sayang...”

“Adakah mereka mendoakan kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”

Nur Laili terdiam. Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya bergelora.

Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang?


“Umi...”

Khalid memanggil lagi.

“Ya...”

“Tidak malukah mereka apabila ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?”

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”

Diam.

“Umi..”

“Ya nak..”

“Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?” Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.

“Siapa?”

“Semua orang Islam. Orang Islam semua bersaudara, kan umi?”

Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu. Mata Nur Laili mula digenangi air...

“Umi tidak tahu sayang...”

Oh Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara?


“Umi...”

“Ya sayang...”

Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat dirinya..

“Umi... Abi pernah kata kalau perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita. Betulkah umi?”

“Ya sayang..”

“Jadi mengapa kita digelar pengganas umi?”

Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa? Itu semua dia tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas? Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini...

“Kenapa umi menangis?”

Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu..

“Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa memberi bantuan,kan umi?”

Angguk.

Pom!

Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur Laili.. Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis.. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.

“Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam Khalid...”

Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..

“Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid. Allahu akbar!!” Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran lagi,tepat menembusi kepala Khali.Khalid rebah di samping uminya...

“Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang nanti...”

Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya......

Read More......

Monday, June 8, 2009

Tips Belajar?



"Akak,macam mana akak bahagikan masa untuk belajar?" Seorang junior bertanya.

Aduh!

Soalan sebeginilah yang ana tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Bukan kerana sombong atau apa, tetapi bagi ana setiap orang memiliki gaya belajar masing-masing. Masakan boleh kita meniru cara belajar orang lain kerana ada orang yang bersifat audio, visual, dan sentuhan. Ada orang yang cergas pada waktu malam, ada orang yang cergas pada waktu siang.

Satu ketika dulu, ana juga sering terkeliru dengan sistem pembelajaran orang lain. Sejujurnya ana tidak mampu untuk berjaga pukul 3-4 pagi untuk membaca, bahkan ana tidak gemar pada jadual pembelajaran (jadual kelas sendiri pun ana tak salin. huhu), ana tidak suka membuat nota dan ana suka belajar ikut mood kerana pada masa itu ana akan benar-benar bersungguh untuk memahami sesuatu subjek itu.

Itulah ana... Andai soalan bagaimana ana bahagikan masa untuk belajar dikemukakan, jawapannya pasti mengecewakan..

"Jadi, macam mana akak score?"

"Macam mana enti belajar, ana tengok enti takdelah selalu baca buku, macam mana score?"

Macam mana ana score? Jujur, kadang-kadang ana sendiri tidak sangka dengan markah yang diterima, namun alhamdulillah.. Semuanya adalah aturanNya.. Suka ana untuk berkongsi satu tips penting untung sesiapa yang bertanya... Ana tidak akan sarankan agar bangun pukul 3-4 pagi untuk belajar, ana tidak akan sarankan ikut jadual belajar, ana tidak akan sarankan buat nota-nota pendek.. Tetapi satu saranan ana ;

JANGAN SOMBONG DENGAN ALLAH!

"Apa maksud enti ni?"

Hm, beginilah.... Kita semua sudah maklum bahawa nikmat, kesusahan itu semuanya datang daripada Allah... Maka berusahalah dan selepas itu berdoalah, dalam surah Al-Imran ayat 159 Allah telah berfirman;

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ
Apabila kamu telah berusaha, maka bertawakkal lah kepada Allah...

Kenapa?

إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

Jelas? Allah dah beri kita tips, cuma kita sahaja yang malas nak mempraktikkannya... Jadi ana sarankan beginilah.. Belajar lah ikut keselesaan, jangan sampai stress sebab bila stress syaitan suka mendekati.... Apabila dah belajar sebaik mungkin, (jangan sambil lewa ya) Maka bertawakkal lah...

Bangunlah pukul 3-4 pagi dan beribadat, bercakap, merayu kepadaNya... Berterima kasihlah kepadaNya yang masih tidak berhenti memberi nikmat yang banyak... Solat dhuha sebolehnya jangan ditinggalkan agar Allah permudahkan rezeki kita...

Buatlah perkara yang Allah suka, Jangan tinggalkan membaca Al-Quran kerana ketika kita membaca Al-Quran, Allah sedang bercakap dengan kita, di dalamnya terselit segala apa yang kita cari-cari selama ini.... Renungi juga tafsir Al-Quran itu...

Jangan lupa juga untuk menyuburkan sebanyak mungkin sunnah kekasih Allah... insyaAllah, Allah tidak akan mengecewakan kita.... Allah memang tidak pernah mengecewakan kita kerana setiap apa yang menimpa diri kita sebenarnya merupakan perkara yang terbaik, yang kita tidak tahu... Kerana kita hanya dapat melihat pada zahirnya tetapi Allah mengetahui segala isi batinnya..

Ingat, jangan pernah sombong dengan Allah dan ingatlah juga bahawa Allah menyukai orang yang bersungguh-sungguh, maka bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmuNya!! Jangan hanya berserah sahaja...

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللّهُ بِقَوْمٍ سُوءاً فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ
(Al-Ra'd : 11)
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Wallahu'alam :)

Read More......

Saturday, June 6, 2009

Terselit Hikmah Di Setiap Kejadian



“Isk.. Isk…”

Ana masih ingat pada waktu itu… Sebaik mata ana melihat keputusan SPM yang tertera pada slip, ana terus menangis dan berlari ke arah umi ana..

Ana menangis semahu-mahunya….

Menangis sehingga bengkak mata ana…

Ana memperoleh 7A 3B dan 1C untuk subjek kimia dan kerana C itulah ana merasakan bahawa keputusan itu rosak teruk. Seolah-olah dunia ini sudah hampir kiamat! Apatah lagi rakan-rakan ana kebanyakannya memperoleh 9A ke atas.

“Lah, oklah tu 7A”

“Yang awak pandang 1 C tu kenapa? Berderet A kat depan tu awak tak nampak…”

Kata-kata yang datang dan pergi seolah-olah tidak terkesan langsung oleh ana. Ana terus-terusan bersedih. Satu hari itu ana tidak makan,hanya menangis mengesali apa yang telah berlaku…

Dan di situlah silapnya!

Lumrah manusia, senang sungguh untuk lupa. Dan ketika itu ana terlupa bahawa ana ini adalah hambaNya, ana lupa bahawa ana belajar dan mengambil periksa semata-mata keranaNya, ana lupa untuk memandang segala nikmat yang telah diberi,tetapi lebih suka memandang satu keburukan yang menimpa dan ana lupa bahawa sebagai hamba ana sememengnya layak diuji!

“Yang awak pandang 1 C tu kenapa? Berderet A kat depan tu awak tak nampak…”

Ketika ana merenung kembali ke dalam diri, ana akui kebenaran kata-kata itu. Mari kita renung ke dalam diri sendiri.. Betapa banyak nikmat yang Allah telah beri secara percuma kepada kita, tetapi kerana hanya sedikit ujian yang menimpa diri kita, kita senang benar mencerca takdir, senang sekali kita mengatakan bahawa Allah tidak adil dan senang sungguh kita melatah melawan kehendak Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu…

Dalam sesuatu perkara itu ada hitam dan putihnya!

Jika kita cenderung memandang kepada yang hitam itu, maka hitamlah natijahnya… Namun andai putih yang dipandang, dalam apa jua keadaan maka akan putihlah natijahnya! Perkara yang telah berlalu merupakan sesuatu yang paling jauh sekali dari kita, sesuatu yang tidak mungkin akan kita kecapi lagi.. Oleh itu,pandanglah masa hadapan dan corakkan ia sebaik mungkin, jadikan masa lalu itu sebagai pengajaran dan petunjuk agar lakaran di kanvas masa depan kita menjadi lebih cantik dan sempurna…

Andai kita jatuh, kita berjaya, kita senang atau susah… Yakinlah bahawa Allah telah mengatur segalanya yang terbaik untuk diri kita…

“Sedihnya.. markah exam rendah!”

Ana akui, ana sendiri tidak dapat mengelak daripada kesedihan andai markah peperiksaan ana rendah. Tetapi, muhasabahlah kembali diri kita, mungkin masih ada kesilapan di mana-mana, mungkin sejadah keimanan kita sudah terkoyak di sana sini dan kita perlu berasa beruntung kerana Allah telah memilih kita untuk ditarbiyyah…!

Di Jalan Ini Ana Melangkah…

Rupanya ada hikmah mengapa ana dapat C untuk subjek Kimia. Ana jadi tidak ada mood untuk ke matrikulasi dan juga Asasi Sains Fizik University Malaya. Bahkan, ana mengambil keputusan untuk menjejakkan kaki ke sebuah kolej swasta- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Setelah beristikharah dan bermusyawarah, ana tekad untuk melangkah ke sini dan Alhamdulillah Allah telah melembutkan hati abi yang pada mulanya tidak setuju ana memilih kolej swasta.

Dan di sini… Segalanya bermula, iman ana cukup sihat di sini… Akidah ana benar-benar terjaga dan bi’ah solehahnya membuatkan ana berasa sedih untuk meninggalkan kolej ini… Sejadah iman ana yang mungkin telah banyak terkoyak,perlahan-lahan dijahit kembali…Suasana yang tidak mungkin ana dapat di luar sana….

Tenang… Damai…..

Dan di jalan inilah ana terus melangkah. Jalan Perjuangan. Jalan Tarbiyyah. Biar perit, biar onak duri terpaksa ditempuh, ana tidak lagi gentar kerana ana yakin Allah bersama.. Apatah lagi ana telah dikurniakan para sahibah yang begitu baik dan solehah, yang menjadi pendokong dan penyokong ana tatkala diri terasa lemah, tatkala diri jatuh terluka….

Dalam gembira terselit duka

“Allah, rindunya ana pada kalian….”

Alhamdulillah,dalam keadaan iman yang sihat di sini, terkadang ana teringat pada rakan-rakan lama ana.. Sihatkah iman kalian….?

Terasa begitu hina diri ini… Tatkala diri disibukkan dengan program-program Agama, tatkala hati disibukkan mencari makanannya yang terbaik… Ana terlupa… Ana terlupa bahawa di sana, ada sepasang mata yang memandang, ada sekeping hati yang merintih, ada iman yang menjerit memberontak…

Maafkanku sahabatku…………..

Berat mata ana digenangi air tatkala mendengar khabar tentang kalian…. Tersentak jiwa ana tatkala melihat gambar-gambar kalian… Pantas benar kalian berubah, diasak suasana mungkin…..

Oh Allah… Kejamnya diriku membiarkan mereka terus-terusan begitu…. Tapi mengapa ana terus-terusan lemah? Mengapa ana terus-terusan membiarkan kalian begitu?

Teman…. Ana sudah cuba menegur setakat mampu, ana sudah cuba menghubungi kalian sekerap mungkin… Namun, maafkanlah kerana diri ini terlalu perasan disibukkan dengan bermacam perkara sehingga terkadang ana terlupa untuk bertanya khabar…

Maafkanlah ana yang terkadang alpa untuk memikirkan masalah ummah, bahkan terus-terusan memikirkan masalah yang sezahrah cuma...

Moga kita bersama-sama ingat untuk ' membawa’ Allah bersama biar di mana sekali pun kita berada… kerana hanya Dia yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat...

Allah ma’ana… insyaAllah...

Selamat Berjuang- Brothers

Malam siang berlalu
Gerhana kesayuan
Tiada berkesudahan

Detik masa berlalu
Tiada berhenti
Oh syahdunya

Sejenak ku terkenang
Hakikat perjuangan
Penuh onak dan cabalan

Bersama teman - teman
Harungi kehidupan
Oh indahnya o ooo

Berat rasanya
Didalam jiwa
Untuk melangkah
meninggalkan semua

Kasih dan cinta
Yang terbina
Iakan selamanya
O ooo

Slamat berjuang sahabatku
Semoga Allah berkatimu
Kenangan indah bersamamu
Takkan kubiar dia berlalu
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah semua ikrar kita

Hati ini sayu mengenangkan
Sengsara di dalam perjuangan
Jiwa ku merana dan meronta mengharapkan
Kedamaian dan jua ketenangan wo uwo

Tetapi kuakur pada hakikat
Suka dan duka dalam perjuangan
Perlu ketabahan dan kekuatan
Keteguhan hati berlandaskan iman

Slamat berjuang sahabatku(sahabatku)
Semoga Allah berkatimu (berkatimu)
Kenangan indah bersamamu (bersamamu)
Takkan kubiar ia berlalu (ooooo)
Berjuanglah hingga ke akhirnya
Dan ingatlah (ingatlah) semua ikrar kita

Wallahu’alam.. :)

Read More......

Tuesday, June 2, 2009

Hindarkan Dirimu Dari Meniru...!!!


Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Yaasin: ayat 65)


Ana mulakan kalam dengan firmanNya dalam kitab suci Al-Quran, agar sama-sama kita renungi diri...

Meniru. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi para pelajar zaman moden ini, bahkan juga mungkin sudah terbiasa lantaran sudah terdidik sejak kecil lagi.

"Ala, biasalah tu meniru bukannya apa.."

Wahai Para Penuntut Ilmu sekalian,

Fikirkanlah... Amanah itu sememangnya kelihatan ringan di dunia namun begitu berat di akhirat kelak!

Lupakah kita pada sifat-sifat orang munafik ;

1) Apabila berkata ia berdusta
2) Apabila berjanji ia mungkiri
3) Apabila diberi amanah ia mengkhianati

Sukakah kita menjadi orang munafik? Bukankah kita yang mengatakan

"Aku rindu Rasulullah!"
"Aku cintakan Islam"
"Oh Allah, rindunya diriku padaMu"

Di manakah buktinya? Andai amanah sekecil 'JANGAN MENIRU' yang diberi oleh guru/pensyarah tidak mampu untuk kita turuti,apatah lagi amanah-amanah berat yang lain... Kitakah itu yang pada dahulunya berjanji untuk menjadi khalifah Allah yang mampu mentadbir bumi dan pada akhirnya tersungkur dek amanah yang kecil, tergoda dengan mainan syaitan!

Tidakkah kita sedar bahawa kita telah menyakiti Rasululullah?

"Enti tak faham.. Ana perlu dapat markah tinggi!"

Hendak dapat markah tinggi, maka berusahalah dan selepas itu bertawakallah. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk kita, mungkin kita mahu markah yang tinggi kerana merasakan itu yang terbaik, tapi Allah kata TIDAK, itu bukan yang terbaik untukmu.. Mungkin kamu akan riak jika mendapatkannya.

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung." (At-Taubah :129)

Sama juga seperti seorang anak kecil yang mahu bermain berlari-lari di tengah jalan raya, dia merasakan itu satu keseronokan, satu kemestian! Tetapi ayahnya melarang kerana dia tahu itu bukan yang terbaik untuk anaknya, dan si anak kecil ini pun terus-terusan menangis, memberontak bahkan mungkin berguling-guling di atas lantai, tapi ayahnya tetap berkata 'Tidak anakku, itu bukan yang terbaik untukmu..' Dan apabila sudah besar, dan mampu untuk berfikir, akan terbuktilah kebenaran kata-kata si ayah tadi..

Betul kan?

Sahabatku sekalian,

Ukurlah kembali niat kita, sejauh mana ikhlasnya kita untuk menuntut ilmu keranaNya semata? Sejauh mana pula niat kita menuntut ilmu demi mengejar segulung ijazah semata?

Andai niat kita tulus kerana Allah, pastinya kita mencari SEBUAH KEBERKATAN, bukannya sebuah penghargaan daripada masyarakat. Maka, andai mendapat markah yang tinggi lantaran meniru sekalipun, terfikirkah kita...

Apakah berkat ilmu itu? Bagaimana nanti di alam pekerjaan pula? Dan apakah yang akan berlaku di akhirat nanti,pada ketika mulut-mulut tidak mampu untuk bersuara....

Biar sedikit, asal berkatnya ada daripada banyak tapi tiada nilainya... Erti kejayaan bukan pada waktu kita menaiki pentas mengambil segulung ijazah atau penghargaan, tapi erti kejayaan sebenar adalah pada saat kita menerima keputusan LULUS CEMERLANG mengikut piawaian Allah di akhirat nanti...

Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah...

Wallahu'alam...

Read More......

Hisablah Dirimu Sebelum Kamu Dihisab


"Seronoknya jadi kucing" Ana bersuara ketika terlihat kucing dalam perjalanan ke kelas malam tadi.

"Awak tak tahu macam mana derita nya kucing tu" Sahibah ana membantah.

"Seronok apa jadi kucing, kat akhirat nanti tak dihisab!"

Diam.

Pernahkah kita terfikir, alangkah seronoknya menjadi haiwan, tanah, tumbuh-tumbuhan yang mungkin kita pijak-pijak, petik-petik tapi mereka itu tidak pernah berhenti berzikir dan bertasbih kepada Allah.

Tidakkah kita rasa terhina?

Allah mengurniakan manusia dengan akal agar membezakannya dengan haiwan, Allah telah mengangkat martabat manusia sehingga dilantik menjadi khalifah. Bukankah dahulu kita ini yang berjanji akan memikul amanah Allah, sedang gunung-ganang serta semua makhluk lain tidak tegar memikul amanah itu?
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh, (Al-Ahzaab : 72)

Tapi kita sendiri yang mengkhianatinya.

Apa yang Allah suruh itu yang kita tinggalkan, apa yang Allah larang itu yang kita lakukan. Kita sewenang-wenangnya, dengan penuh bangga mengagumi peraturan ciptaan manusia sedangkan kita lupa, manusia itu Allah yang ciptakan. Maka selayaknya Allah yang lebih mengetahui tentang ciptaannya.

Maka peraturan mana lagi yang kita engkari?

Sungguh hebat syaitan yang telah menghiasi segala laranganNya menjadi cantik sehingga kita terliur memandangnya, sehingga kita terlupa bahawa di akhirat nanti adalah jauh lebih baik bagi mereka yang beriman.

Maka suruhan mana lagi yang kita engkari?

Kita semua tahu Allah mengutuskan Para Rasul untuk membimbing manusia dan kita dengan penuh keyakinan menyatakan kerinduan dan kecintaan kepada Rasulullah. Tapi, sedarkah kita bahawa kita selalu menyakiti baginda? Berapa kalikah dalam sehari kita berselawat kepada Baginda? Berapa banyak sunnahnya yang kita suburkan? Berapa banyak ajarannya yang kita amalkan? Malah berapa banyak larangannya yang kita tinggalkan?

Lupakah kita pada pesan sahabat Nabi S.A.W? Saidina Umar r.a telah berkata 'hisablah dirimu sebelum kamu dihisab'

Maka berapa banyak kalikah kita menilai kembali diri kita? Sejauh mana kita mampu mendengar pendapat insan lain tentang diri kita? Sejauh mana kita mampu untuk merendahkan martabat diri kita demi menghormati insan lain?

Hakikat manusia itu menyukai keindahan.... Kritikan, komen itu merupakan satu perkara yang menyakikan bagi sesetengah orang. Maka siapa lagi yang mampu untuk menergur? Bukankah sahabat itu cerminan kita?

Mudahnya kita melenting apabila seseorang menasihati kita, mudahnya kita kecil hati apabila ditegur. Sedangkan tanpa kita sedari semua kata-kata itu merupakan satu hadiah daripada mereka untuk memperbetulkan kita yang mungkin jauh terpesong.

"Enti tahu apa? Mereka tu semua dengki pada saya"

Benarkah begitu? Pernahkah kita mendengar pepatah 'if someone hate u once, it is his fault but if someone hate u twice, IT IS YOUR FAULT'

Jadi, sama-samalah kita renung-renungkan, fikir-fikirkan.. Siapakah kita sebenarnya? Layakkah kita untuk menatap wajahNya?

Adakah haiwan itu lebih mulia daripada kita?...

Dia mengatakan: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini." (Al-Fajr : 24)

~Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab~

Wallahu'alam..

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .