Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, May 31, 2015

Allah Bersama Orang Yang Sabar


"Aku penat!" Teriaknya perlahan. 

Aku memandang wajahnya, terlihat beberapa titis air jernih mulai turun dari kelopak matanya yang lesu. Angin sepoi-sepoi bahasa mula menyengetkan lipatan tudungnya. Dia tak peduli. 

"Kenapa?" Aku bertanya, meski aku sudah tahu.

"Aku penat. Penat mahu jaga hati manusia. Sedangkan tak ada siapa yang jaga hati aku. Aku penat. Penat dinilai begitu begini. Aku penat. Penat mengajak manusia ke arah kebaikan tapi yang mereka mahu cuma kemusnahan. Aku penat. Penat dengan semuanya." Bergetar suaranya, sambil tangannya yang halus mengesat air jernih yang semakin galak turun. Hidungnya merah, namun dia tetap kelihatan ayu di pandangan mataku.

"Tapi.. Allah kan ada?" Spontan ayat itu meluncur laju dari mulutku tanpa sempat aku tahan.

"Kau terlalu cliche. Aku sudah terlalu bosan mendengar kata begitu." 

Aku terhenyak ke alam realiti. Sedar akan kesilapan diri, otakku ligat menyemak semula subjek psikologi yang pernah aku belajar di semester dua pengajian. Tatkala hati manusia sedang memberontak, tak ada gunanya dicurahkan nasihat beribu, pasti ditolak.

Lalu aku diam, merenungnya dalam-dalam. Aku kelu, aku kira dia seorang wanita hebat tanpa aku sedar hatinya menanggung sebuah seksaan berat.

"Kenapa kau diam? Kau pun setuju dengan aku? Penat dengan semua yang berlaku?" Dia memecah hening.

Aku tersenyum, memeluk bahunya erat. "A ah aku setuju. Dunia memang memenatkan. Cuma aku terfikir kalaulah dahulu Rasulullah mengeluh penat dan berhenti dari menyeru manusia ke arah kebaikan, di manalah kita sekarang ini? Kalaulah Imam Syafie mengeluh penat merantau mencari ilmu, apalah rujukan kita hari ini?" 

"Kau terlalu memandang mundur ke belakang. Kita hidup di zaman ini, cabarannya berbeza." Matanya merenung jauh ke hadapan.

"Lalu bagaimana jika tentera Al-Qassam di Palestin mengadu penat dan membiarkan sahaja Israel bermaharajalela? Bagaimana jika mujahidin Syria mengeluh penat dan membiarkan sahaja Basyar membunuh semua rakyat yang tak berdosa? Aku rasa mereka jauh lebih penat dari kita. Apalagi dengan dunia yang seolah diam membisu"

Kali ini dia diam, kataku tidak dibalas. Dia termenung, nafasnya dihela perlahan. Aku mengambil sekeping kertas dalam beg tanganku dan menulis ;

Sahabat, dunia ini memang lelah, kau beruntung kerana Allah mengingatkan yang kau sekarang berada di dunia, bukan di syurga. Tidakkah kau belajar dari alam? Kau suka melihat pelangi, tapi bagaimana mungkin kau mampu melihat pelangi yang bersinar cantik tanpa perlu kau menadah hujan sebelumnya? 

Sahabat, aku tinggalkan kau sendiri, aku kira kau perlukan waktu untuk diri, untuk berdua-duaan -- cukup antara kau dengan Tuhan. 

Lalu tangannya ku ambil, nota diberi, aku memeluknya perlahan sebelum kaki melangkah pergi.

Sahabat, aku harap kau thabat di jalan ini. Aku tak mungkin selalu di sisi, tapi aku tahu Allah tak pernah melepaskan kau pergi.....

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat; sesung-guhnya Allah adalah beserta  orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 153)


Salam cinta.

Mastura Mohd Yusuf,
Johor Bahru. 

Read More......

Saturday, May 30, 2015

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani



Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani. 

Aduhai, siapalah yang tidak mengenali nama tokoh besar ini? beliau adalah penulis kitab tersohor Fathul Bari, sebuah penjelasan berkaitan Sahih Al-Bukhari yang diakui oleh para ulama’ akan tiada tolok bandingnya sehingga ke hari ini.

Usianya yang semakin lanjut tidak pernah melunturkan keinginan rakyat Mesir pada ketika itu untuk mengekalkannya sebagai Mufti dan Qadhi. Maka, untuk kemudahan dan keselesaannya, Raja Mesir pada ketika itu menyediakan sebuah kenderaan mewah buatnya, meskipun beliau menolak.

Suatu ketika, kereta yang dinaiki oleh Imam Ibnu Hajar melalui sebuah pasar. Tiba-tiba kereta itu berhenti secara mendadak. Brek telah ditekan secara mengejut oleh pemandunya. Di hadapan kereta tersebut, kelihatan seorang yahudi mendepangkan tangannya, menghalang kereta yang dinaiki oleh Imam tersohor tersebut dari terus bergerak.

Imam Ibnu Hajar pun keluar dari keretanya, dengan berpakaian serba putih, kemas dan cantik, berbeza dengan si yahudi yang berpakaian compang-camping, buruk dan berbau hapak.

“Wahai tokoh Islam!” Ujar si yahudi lantang. “Benarkah Nabimu bersabda bahawa dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir?” Rupa-rupanya si yahudi itu menghafal Hadith baginda Rasul yang mulia.

Imam Ibnu Hajar mengangguk-angguk, dengan senyuman yang manis beliau membalas, “Benar. Begitulah sabda Rasulullah s.a.w”

“Heh. Jika begitu, akulah mukmin dan engkaulah kafir!” kata si yahudi lagi, megah.

“Mengapa kau katakan begitu wahai saudara?” Tanya ibnu hajar sambil melontarkan sebuah senyuman.

“Cuba kau lihat, aku ini hidup susah, miskin, bajuku bercompang-camping dan lusuh, aku sungguh merasa terpenjara akibat kemiskinan aku dan dengan demikian terbuktilah bahawa aku adalah mukmin, sedang kau hidup mewah, tampil megah, berkereta indah. Kehidupan kau begitu bahagia seolah-olah kau berada di syurga, maka dengan demikian terbuktilah bahawa engkau sebenarnya kafir.” Balas si yahudi yakin.

Imam Ibnu Hajar mendengar dengan baik sambil mengangguk-angguk sebelum berkata, “Mahukah engkau mendengarkan penjelasanku akan makna hadith tersebut?”

“Ya.”

Imam Ibnu Hajar menyambung kata, “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin kerana segala kemewahan yang dinikmati di dunia ini sungguh tidak ada apa-apa maknanya di sisi mereka berbanding dengan nikmat yang dijanjikan Allah di syurga sana. Maka dengan itu, dunia ini masih menahan langkah kami dengan jarak dan waktu, masih menguji keimanan kami dengan rasa takut, lapar, lelah, kekurangan, kehilangan, kesempitan dan kesedihan. Walau bagaimanapun, di syurga nanti tiada lagi segala derita. Hanya nikmat yang akan dikecapi tanpa putus dan bosan. Sungguh, meskipun kau melihat kami tampak megah dan mewah, jiwa kami sedang terpenjara kerana menanti sebuah nikmat yang lebih hebat.”

Imam Ibnu Hajar berhenti sebentar sebelum menyambung, “Adapun engkau, meski kau katakan hidupmu di dunia ini penuh kepayahan dan penderitaan, semua kepedihan dan kepayahan itu tidak ada tolok bandingnya dengan seksaan di neraka kelak. Pada saat kau di dunia kau masih boleh bernafas, makan bila lapar, memiliki anak dan isteri. Dunia yang kau rasakan seperti neraka ini hakikatnya adalah syurga buatmu. Kau masih boleh tersenyum, berjalan dan berlari. Betapa ‘syurga’nya itu berbanding sebuah seksaan abadi di neraka nanti. Api yang menghangus, air yang mendidih, dan makanan berupa darah dan nanah”

Yahudi itu terpana. Lantas dia menunduk, beberapa ketika kemudian dia mengangkat kepalanya dengan mata berkaca-kaca lalu mengucapkan “Asyhadu Allaa Ilaaha Ilallah, Wa asyhadu anna Muhammadur Rasulullah.”

Imam Ibnu Hajar lantas memeluknya tanpa mempedulikan bau hapak yang menyelubungi atau betapa kotornya baju si yahudi itu. Mereka berpelukan erat. Si yahudi itu di bawa ke rumah Imam Ibnu Hajar, dididik dan akhirnya menjadi salah seorang muridnya yang utama.

Dan sungguh, bagi setiap orang yang soleh itu, kata-katanya ibarat air dingin yang menyusupi tekak yang kontang. Ia tenang. Ia damai. Ia membahagiakan.

Adakah Islam melarang umatnya bercantik-cantik? Bahkan tidak. Malah Allah itu cantik dan suka pada kecantikan. Adakah Islam melarang umatnya menjadi kaya? Bahkan tidak. Saidina Uthman bin Affan adalah sahabat Nabi yang kaya, malah dengan kekayaannya mampu menyumbang kepada pembangunan Islam. Asal sahaja, hati kau meyakini bahawa ada nikmat yang lebih indah, di syurga nanti. Dengan syarat ; kau patuh pada pemilik syurga itu sendiri. 

Berhentilah menilai manusia. Kita tak tahu hati siapa yang lebih dekat dengan Dia-Pencipta seisi manusia.

Psst.. Jom miliki hati mukmin!  

Wallahu’alam :) 

Read More......

Monday, May 25, 2015

Appreciate



Do u know why the dead body 'received' more flowers compare to when they are alive? 

Because people seem to appreciate when they lose what they have. People seem to realize when everything go from have to had. 

Sabarlah dengan segala kesakitan yang kau mungkin rasa, mana ada manusia yang sempurna. Satu hari kau akan rindu. Rindu pada bebelannya. Rindu pada gurauannya. Rindu pada celotehnya. Rindu saat-saat dia menumpangkan bahu. Rindu memperlihatkan air mata syahdu. Ah rindulah senang cerita. Rindu itu kan hadir bila nanti dia pergi, pergi yang tak kembali, atau jiwanya pergi meski jasadnya berdiri.

Dan ironinya, ramai benar yang takut mengakhiri hidup bersendirian. Hakikatnya kawan, bersendirian bukanlah perkara paling menyakitkan. Yang paling menyakitkan ialah bila kau rasa sunyi meski dikelilingi ramai manusia.

Appreciate those people around you, before what you can do is just appreciating the memories you had.

Love u, bah.

Read More......

Belajar Dari Hajar



Buat kamu yang dilanda ujian..

Dengarilah, sayang..

Tatkala Hajar ditinggalkan di sebuah tanah gersang bersama anaknya Ismail, Ibrahim kelihatan tidak tegar.. Bagaimanakah tegar hati seorang suami meninggalkan kecintaannya di tanah gersang yang tiada manusia ditambah lagi dengan terik mentari yang tak tertahan dek tubuh badan.

Hajar tahu akan kegusaran suaminya lalu Hajar bertanya, “Wahai kekanda, adakah ini perintah dari Allah?”

“Ya.” Jawab Ibrahim.

“Jika begitu, janganlah kau gusar, Allah pasti tidak akan meninggalkan kami sendiri.”

Lalu Hajar diitnggalkan di tanah gersang kota Makkah. Di bawah teriknya mentari, Ismail yang masih bayi menangis sekuat hati. Hajar meletakkannya ke bumi, lalu dia mula berlari-lari dari Safa ke Marwa tanpa henti.

Sesekali matanya mengecil melihat kejauhan, mana tahu ada mata air yang tak kelihatan? Sesekali matanya mengerling pada anak yang ditinggalkan, masihkah dahaga si kecil yang kepenatan? Sesekali dia menjengah jauh ke ufuk sana, mana tahu ada yang sudi meringankan beban.

Hajar berlari dan berlari sehinggalah sempurna 7 kali, antara percaya dengan tidak, sayup-sayup kelihatan mata air berkilau berhampiran anaknya Ismail. Dengan langkah yang begitu longlai dia bersegera menuju ke arah anaknya, kedua-dua kakinya seolah-olah tidak sabar sehingga acapkali dia tersungkur rebah ke tanah. Namun jiwanya tiada lagi resah, di dadanya terbit debar tidak sabar-sabar memastikan akan kewujudan mata air yang bersinar.

Hajar tidak pernah mempersoalkan mengapa Allah tidak timbulkan mata air di sepanjang laluannya antara Safa dan Marwa, malah dia tidak pernah merasakan bahawa perbuatan itu hanya sia-sia. Begitu istimewa Hajar menunjukkan adab orang-orang yang beriman, yang manusia itu tugasnya cuma berusaha, selanjutnya terpulanglah kepada Yang Esa.

Hajar tidak pernah membentak suruhan Allah tatkala ditinggalkan di tanah gersang tanpa manusia, betapa Hajar mengajar sebuah erti percaya yang tidak berbelah bahaginya kepada Pemberi Bahagia. 

Dan akhirnya Hajar wanita budiman itu diberi pertolongan oleh Yang Maha Kuasa. Siapa sangka akan timbulnya mata air begitu hampir dengan anaknya Ismail, malah pasti tidak terfikir pun oleh Hajar bahawa mata air itu membawa beribu keberkatan sehingga kini.

Dan Allah ‘menilai’ kesusahan Hajar berlari antara Safa dan Marwa sehingga perbuatan itu diabdikan dalam umrah dan Haji, diberi nama Sa’i.

Begitulah Allah menghiburkan hati orang-orang yang beriman. Dalam setiap ujian terkandung seribu macam hikmah yang tak terjangkau dek akal manusia seperti kita. Dalam pada kereta rosak mungkin Allah mahu menyelamatkan kita dari kemalangan yang tak terduga. Dalam pada dilanda sakit, Allah mahu menghapuskan dosa yang berbukit-bukit.

Ah, begitu baiknya Allah, cuma kita yang sering bersangka yang tidak-tidak. Kawan, teruslah berpegang pada taliNya, teruslah yakin pada janjiNya ; Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Al-Baqarah : 286). Teruslah bergerak penuh cinta, dan teruslah bersangka baik pada Yang Maha Kuasa.

Satu hari kita pasti tersenyum dan jatuh cinta bila Allah lihatkan perancanganNya yang rapi buat kita!

kau rasa penat dengan dunia? rilekslah, kawan! ini dunia kot, bukan sorgaa. ;)

Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.(Hadith Qudsi)

wallahu’alam. @-;—  > ini bunga ros, jangan sedih lagi yaa :D

Read More......

Wednesday, May 20, 2015

Relax you are in a good hand!



Maaf, nota kali ini panjang. Maaf atas mesej-mesej yang tak terbalas. Saya baca tapi saya yang banyak kekurangan ni terlupa nak balas. Saya simpulkan semua di sini insyaAllah.

I was in such a mess when a lot of things came up in one time before. A ah saya masih ingat pada saat-saat abah masuk hospital, betapa tidak terurusnya hari yang berlalu. 

Bangun pagi kemas rumah. Masak. Seludup masuk wad sebab bukan waktu melawat (sori pak guard) hantar pakaian abah, hantar makanan kat mak yang jaga abah kat hospital, toleh-toleh jam tangan, pecut kereta pergi pejabat, balik kerja kembali ke hospital, borak dengan abah, ambil mak balik rumah dan hantar balik ke hospital. Begitulah rutin selama 4 hari berturut-turut. 

Pada ketika itu saya terduduk sendiri. Menangis. Longlai. Mencuba keras yakinkan hati bahawa Allah tahu apa yang terbaik. Dan rupanya, Allah ingin beri satu cerita yang benar-benar menyentuh hati. Entah kenapa satu hari tu, suasana seolah-olah kelam kabut, betapa doktor yang in charge jaga abah kalut ke sana-sini. Saya tidak mendapat penerangan yang pasti dan saya memang seorang yang berperangai pelik, selagi tak faham selagi tu tak puas hati, dulu pernah bersila depan bilik lecturer sebab tak faham satu soalan. -.-"

Lalu dalam suasana kelam kabut begitu, saya ternampak seorang HO. "Awak, awak" saya memanggil, tiada panggilan 'doktor'. Bila dah panggil baru tersedar dan rasa nak tampar diri sendiri sebab malu. Sudahlah berlainan jantina, tiada panggilan formal pula. Walaupun nampak sebaya, saya kira penghormatan itu bukanlah sesuatu yang harus diukur dengan umur. Dan dia menoleh, hairannya meski wajahnya kelihatan penat, dia tetap melemparkan senyum. 

"Ya?"

"Sorry, saya tak berapa faham, sakit ayah saya ni, macam mana ya? "

"Oh, hydrocephalus? Benda ni macam ni...." 

Panjang lebar dia menerangkan. Saya mengangguk-angguk. Selesai semuanya, saya terfikir semula, betapa indahnya akhlak begitu, memudahkan dan tidak menyusahkan, mendamaikan dan bukan mengusutkan, memikirkan kebahagiaan orang lain melebihi kepenatan diri sendiri. Malah saya tahu betapa doktor itu penat semalaman bekerja tanpa kenal erti lelah namun tetap ceria menjawab setiap yang ditanya. Maaf lupa tanya nama, moga Allah balas segalanya. 

Saya kembali muhasabah. Betapa mungkin banyaknya saya merungut-rungut selama ini, hingga saya lupa jauh di sudut dunia ada manusia yang jauh lebih menderita. Betapa kadangkala saya penat dan ada yang bertanya, saya tidak menjawab sesungguhnya. 

Dan betapa benar pesanan emak, kata emak setiap apa yang kita belajar, di bidang apa kita kerja, semuanya berkaitan Islam. Dan golongan profesional, doktor, guru, para pegawai yang lainnya berada di barisan hadapan 'peperangan'. Para ustaz, ustazah berada di barisan belakang. Tak. Bukan kalian tak penting. Tapi kami yang mula-mula sekali akan 'diserang' masyarakat, bila tak tahu kami akan ke belakang dan merujuk pada kalian.

Seperti kata Ustaz Salim A.Fillah. Setiap manusia adalah 'mufti' dalam pekerjaannya, bagi seorang doktor, dialah mufti yang menentukan sama ada pesakitnya boleh berbuka puasa, atau sudah gugur kewajiban solat. Bagi seorang pegawai bank, dialah mufti yang menentukan apakah transaksi itu berlandaskan riba' atau tidak. Dan banyak lagi contohnya, cuma yelah kita selalu tak sedar. 

Ujian itu, memang pahit kawan. Memang lelah. Memang susah. Saya tak pernah nafikan bila orang kata "beratnya ujian ni" sebab setiap manusia yang sedang berhadapan dengan ujian pasti terasa berat. Macam kita ambil exam, rasa berat, nervous tak tentu pasal semua. Tapi bila dah lepas semua rasa lega. And dont worry, you are in a good hand. Allah dah janji takkan bagi beban yang kita tak mampu tanggung. 

Cuma yelah, bila ditanya, "kuat tu apa? Kuat tu tak boleh nangis ke?" Saya selalu termenung panjang. Tak, kawan, kuat tu bukan maknanya kau tak boleh nangis. Menangislah semahunya. Menangis pada Allah. Mengadu. Kuat tu ialah bila kau tetap yakin dan berpegang pada tali Allah walaupun kau rasa goyah. Solat kau tetap tak tinggal walau kau rasa hambar. Senyum tetap kau lempar walau kau rasa lelah. 

Sabar. Sekejap je lagi Allah bagi jalan keluar. Betapa dari kita lahir sampai sekarang Allah dah keluarkan kita dari beribu macam ujian. Hey you are still there, standing. Sekarang pejamkan mata, tarik nafas dan cakap, Allahku, aku percaya Kau perancang yang terbaik. I trust You! 

Kalaulah kita tahu perancangan Allah untuk kita, pasti kita jatuh cinta berkali-kali. Allah tutup pintu yang kita mahu sebab Allah tahu ia bahaya untuk kita, bergeraklah dan yakinlah terus pada Dia. Jangan pautkan harapan pada dahan yang rapuh(manusia) bila kau ada dahan yang teguh(Allah). bila pautan kau pada manusia, sekali manusia itu jatuh, kau akan turut jatuh sama. Sekali manusia itu gugur, kau turut lebur.

Salam cinta kerana Allah. Maaf atas segala kekurangan yang ada.

Maaf. Maaf sesungguhnya.

Wassalam. :)

Read More......

Monday, May 18, 2015

Mereka layak bahagia



Mereka juga layak mendapat bahagia, 
Kerna mata mereka telah terlalu lama melihat derita,
Keluarga terseksa,
Makanan tiada,
Ah,
Anak kecil yang mahu bersekolah,
Terpaksa pula digelengkan kepala,
"Nak, siapalah yang sudi membela?"

Dan mungkin tatkala si anak bertanya, "ibu, bukankah semua Muslim bersaudara? Mengapa tiada siapa yang sudi membela?" 
"Ibu, di mana ayah? Masihkah ditahan penjahat durjana?"
Si ibu bersuara tiada,
Menggosok kepala,
Duhai anak, 
Ibu juga sengsara. 

Dan ironinya,
Tatkala ramainya umat menangis sendiri,
Kita masih mampu berbicara kepentingan diri. 
Seolah kita lupa,
Tatkala nanti di hadapan Pencipta,
Mereka akan bangkit berbicara,
"Ya Allah, dahulu tatkala kami derita, di manakah mereka?"

Kita. Ya kita. 
Sudahkah disediakan jawapan kepada Yang Esa? 

Ah Tuhan,
Andai kau ingin titipkan dihatiku bahagia,
Berilah sedikit kepada mereka.. 

Syria, Palestin, Rohingya, Mesir,
Maaf kerana kami lebih gemar bergembira,
Tak rela berkongsi derita. 
Takut-takut rezeki berkurang semua.

Dan di pengakhiran cerita,
Layakkah kita bergelar saudara...?

Read More......

Saturday, May 16, 2015

Apa itu takdir?



Bukan main rebel bulan ni taknak overtime. Siap nekad 1 jam pun taknak overtime. Konon-konon badan letih, nak rehat. 

Tapi yelah , kalau dah namanya takdir, kalau dah Allah kata tak, bukan tu yang terbaik untuk kau, berapa kuat kau cuba mengelak, takkan boleh melawan aturan Allah. 

Jadilah macam harini. Salah tengok jadual, datang awal. End up bos kata "its okay just OT" Dalam dengusan nafas yang pasrah, saya belajar seperkara ; 

Benar kata Al-Imam Al-Ghazali : kamu mungkin tak tahu di mana rezekimu, tetapi rezekimu tahu di mana kamu. 

Tak perlu susah hati. Tak perlu gusar. Kau usaha saja, yang lain biar Allah uruskan. Belajar dari sang cicak, makhluk yang paling tak berdaya, ia hanya mampu melekat di dinding, tidak mampu melompat apa lagi terbang. Tetapi makanannya berupa serangga yang terbang ke sana-sini.

Tidakkah sang cicak itu wajar berputus asa, mengeluh mengenang nasib diri? Tapi cicak kelihatannya lebih yakin pada Tuhannya, ia hanya berusaha menggerakkan tubuhnya mencari rezeki, dan lalat serta nyamuk pula 'menyerah diri' terbang dekat dengannya. 

Dengan arahan siapa? Tentulah Allah Yang Maha Menyinta! 

Jangan pula kita duduk sahaja, dengan penuh yakin berkata "alahhh kalau ada rezeki adalah tuu, kalau dah takdir tak dapat rezeki tak dapatlah tuu."

Kita seolah lupa, hakikatnya takdir itu kita yang pilih. Meski saya terdatang awal ke pejabat, saya tetap ada pilihan untuk tidak memulakan kerja awal, tidak dikira overtime dan boleh saja saya berehat-rehat sebelum tiba waktu kerja sebenar. Tapi saya tidak memilih takdir begitu. 

Apakah sebenarnya takdir? Pernah suatu ketika Saidina Umar mahu berpindah kerana kawasannya telah mula merebak penyakit taun. Lalu beliau ditanya, "mengapakah engkau mahu lari dari takdir Allah?"

Saidina Umar menjawab, "ya. Aku mahu lari dari takdir yang ini (terkena taun) kepada takdir yang lain(tidak terkena taun)"

Renung-renunglah kalam cintaNya ; Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri (surah Ar - Rad : 11)

Berjalanlah dengan jiwa hamba. Jiwa hamba yang tak pernah berhenti berusaha, dan keputusan akhirnya diserahkan kepada Pencipta yang penuh cinta. 

Dan kau tahu apa perkara paling indah? Ia adalah saat kau mampu pejamkan mata sambil berkata ;

Allahku, aku telah berusaha, sungguh aku tak faham perancanganMu kerana pengetahuan hamba amat terbatas. Namun aku tahu, Kau akan merancang sebaiknya! 

Allah tak pernah lambat, cuma Dia beri pada masa yang tepat. So hold your imaan. Dont give it to syaitan! Keep calm and be patient. 

Salam cinta kerana Allah.

Wallahu'alam :)

P/S : doakan dr mursi, rakyat mesir, rohingya, palestin, syria.. Moga Allah takdirkan yang terbaik untuk semua.

Dr mursi :'( 

#pray4egypt
#pray4rohingya
#pray4syria
#pray4palestine

Read More......

Friday, May 15, 2015

Salam isra' mikraj



Kita semua dah tahu tentang peristiwa isra' mikraj. Tentang bagaimana Rasulullah bermusafir menaiki buraq ke Al-Aqsa dan seterusnya bertemu Allah untuk menerima perintah solat. 

Yang kita kurang cakna ialah pengajaran di sebalik kisah itu. 

Isra' mikraj bukan sekadar sebuah perjalanan biasa. Ia mengandungi pengajaran yang penuh cinta. 

Ia menggambarkan betapa pentingnya perintah solat hingga Allah panggil Nabi bertemuNya sendiri bagi menerima perintah itu, sedangkan wahyu yang lainnya Allah wakilkan Jibril sebagai pengantara. Berapa ramai antara kita yang mengambil mudah tentang solat, menggadaikan akhirat dengan dunia yang tak punya apa?

Ia sebuah cerita tentang ketabahan, bagaimana tabahnya Sang Rasul menerima cercaan tatkala si jahat Abu Jahal mengejek-ejek cerita Nabi bermusafir malah sanggup mengumpulkan orang ramai untuk membuktikan bahawa Nabi sudah gila.

"Apa Muhammad? Kau bermusafir selama satu malam je dari majidil haram ke Al-Aqsa? Sah kau ni gila. Aku pergi one way je sebulan!" 

Betapa ia merupakan sebuah cerita tentang kepercayaan dan keimanan. 

Tatkala mendengar cerita Nabi, ada golongan yang murtad kerana tak percaya. Golongan kafir yang membenci bersorak gembira. Kata mereka, Rasul seorang gila. Yang beriman mulai goyah, benarkah Rasulullah tidak berdusta? 

Dan..

Ia cerita tentang sebuah persahabatan yang indah, tatkala Abu Jahal mengumpulkan seluruh manusia untuk mendengar cerita Nabi, dilihatnya Abu Bakar tidak hadir. Lalu dengan niat jahat Abu Jahal mencari Abu Bakar,

"Hei Abu Bakar! Tadi orang semua berkumpul kau tak datang ke?"

"Eh tak perasan pulak. Aku kat kebun tadi. Kenapa wahai Abu Jahal?"

"Kau tak dengar cerita Muhammad?" 

"Tak pulak. Kenapa?"

"Dia kata dia bermusafir dari mekah ke Al-Aqsa semalam, harini dah sampai Mekah semula. Haha kelakar kan?"

Abu Bakar mengerutkan mata "Benarkah Muhammad yang mengatakannya?"

"Benar. Tak masuk akal bukan?" 

"Jika Muhammad lah yang mengatakannya, maka aku percaya!" Balas Abu Bakar. Yakin. 

Persahabatan mereka disulami sebuah percaya yang indah. Ia mekar kerana Allah, mereka bermatlamatkan syurga, meski tak selalu mengucapkan cinta namun perbuatan mereka telah membuktikan segalanya.

Ah, 

Betapa banyak pengajaran yang dapat ditimba. Persoalannya bersediakah kita membuka hati, menerima segalanya? 

Salam isra' mikraj! 

Apakah manifestasi cinta kita terhadap Allah dan Rasul-Nya? 

:) 

Read More......

Sunday, May 10, 2015

Selamat hari ibu



Masa saya kecik, saya selalu tanya mak, "mak kenapa mak makan banyak vitamin?"

Mak akan jawab, "sebab mak tak boleh sakit. Mak nak jaga awak, jaga abah." 

Dan memang mak jarang sakit. Mak jarang demam. Walaupun mak demam, mak mesti buat-buat tak demam. Baju tetap bergosok, rumah tetap berkemas, saya dan adik-beradik tetap ke sekolah.
Mak wanita bekerjaya, dan saya tahu betapa emak penat di pejabat, tapi balik rumah mak tak pernah nampak lesu. Singsing lengan dan siapkan semua kerja. Saya juga tahu betapa emak sering kali terlelap ketika melakukan kerja-kerja yang ada.

Bila dah besar dan bekerja, saya jadi terfikir-fikir bagaimana seorang emak itu mendapat 'superpower' menguruskan anak-anak dan sebagainya, lalu saya bertanya lagi, "emak, macam mana mak kuat? Wawa balik kerja je mesti penat. Macam mana mak dulu tak penat?"

Dan emak akan selalu membalas dengan senyuman, "sebab emak ialah emak."

Emak tak pernah menunjukkan rasa risau, tak pernah menangis hingga saya fikir emak tak punya perasaan. Namun ketika saya berumur 6 tahun, saya dilanggar sebuah motor dan tertarik sepanjang jalan di hadapan mata emak, dalam sayup-sayup mata yang hampir tertutup saya mendengar emak menjerit,

"WAWA!!" Tika itu saya sedar rupanya selama ini segala ketakutan emak pendam sendiri. Segala resah emak telan, buat-buat tak peduli. Tapi hari itu emak tak dapat menahan diri, saya tak sedarkan diri dan emak sentiasa di sisi. Emak menangis. Emak gementar. Doa mak tak putus-putus hingga saya kembali sedar. Emak, maafkan wawa ya, selalu susahkan mak.

Tempoh hari, saya mendapat sengatan lebah. Lebam, demam dan sakit seluruh badan. Seharusnya saya memandu kereta pulang ke JB, tapi dengan keadaan yang tak mengizinkan, emak - seorang wanita berumur mengambil alih tugasan. Emak tak merungut malah membiarkan saya tidur berehatan. Emak, maafkan wawa ya, selalu susahkan mak. 

Entah. Saya kurang mengerti di mana kalian yang bergelar emak mendapat sebuah tenaga luar biasa. Saya juga kurang mengerti adakah kalian tidak diberikan perasaan penat?. Saya benar-benar tidak mengerti bagaimana seorang emak itu yang dahulunya cumalah anak kecil yang berlari-lari lalu membesar dan memperjudikan nasib pada lelaki yang tak dikenali mampu menjadi begitu kuat.

Namun saya begitu mengerti, pada setiap titik peluh yang mengalir, pada setiap air mata yang ditahan, pada setiap kelelahan yang tak terkeluarkan, pada setiap untaian doa yang dititipkan, Allah akan ganjari syurga. Syurga yang tiada istilah penat. Tiada rasa gelisah.

Selamat hari ibu buat seluruh ibu di dunia.

Emak, terima kasih kerana menjadi sebuah madrasah yang baik untuk kami adik-beradik. Moga Allah perlihatkan rumah emak di dalam syurga, hingga setiap kelelahan tidak lagi dirasakan.

Emak, can u be by my side.. Forever?

Sayang emak, sampai syurga :')

****

Nota kaki :

Ada perbezaan pendapat ulama' dalam perayaan hari ibu, ada yang meletakkan hukumnya sebagai haram dengan berdalilkan perayaan ini tiada dalam ajaran Islam dan mengikut budaya orang kafir, 

Namun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang bersifat pertengahan, tidak berat dan tidak ringan. Para ulama' yang mengharuskan sambutan ini termasuklah syeikh yusuf al-qaradhawi (ketua ulama' sedunia) Dr Muhammad Bakar Ismail (prof tafsir di universiti Al-Azhar), dan Dr Abdul Fattah (ulama' Al-Azhar) dengan rumusan dalil keharusan mereka adalah :

1) sambutan ini adalah semata-mata penghormatan TAMBAHAN. Penghormatan kepada ibu tidak berkurang pada hari-hari yang lainnya.

2) Perayaan ini bukan upacara keagamaan. 

Muliakanlah persamaan, raikanlah perbezaan. :)

"Pendapatku benar, tetapi mungkin juga salah. Pendapat orang lain salah, tetapi mungkin juga benar" - Al Imam As Syafie.

Wallahu'alam.

Read More......

Wednesday, May 6, 2015

Belajar dari semut



Yes life is not as easy as ABC,
You might feel that you have nothing,
But in fact,
When you have Allah,
You have EVERYTHING~

Suatu ketika Nabi Sulaiman a.s berjalan melihat kawasan pemerintahannya. Lalu baginda pun melalui sebuah penempatan semut.

Baginda begitu asyik melihat semut-semut yang rajin. Hinggalah mata baginda tertancap pada seekor semut yang gigih mengangkat seketul gandum.

"Wahai semut, berapa banyakkah bekalan yang kau perlukan untuk tempoh setahun?" Tanya baginda kepada semut tersebut.

Semut itu pun membuat perkiraan menggunakan formula-formula algebra, calculus dan sebagainya. Eh ok tipu. Semut itu pun membuat perkiraan terperinci, "hm, selalunya untuk tempoh setahun aku akan menghabiskan seketul gandum."

"Benarkah seketul gandum sudah mencukupi?" Tanya Nabi Sulaiman inginkan kepastian.

"Benar." Jawab sang semut.

Lalu baginda pun mengambil semut tersebut, meletakkannya di dalam sebuah balang, dibuat sedikit lubang dan diletakkannya seketul gandum sebagai bekalan untuk setahun.

Genap tempoh setahun, Nabi Sulaiman pun pergi melihat semut tersebut. Ia masih hidup, namun seketul gandum yang diletakkan masih ada lagi separuh.

Nabi Sulaiman berasa hairan lalu bertanya, "wahai semut, katamu seketul gandum kau habiskan dalam tempoh setahun, tapi mengapa masih berbaki separuh?"

Semut itu pun menjawab, "wahai Nabi Allah, ketika aku bebas di luar, aku akan berusaha mencari makanan dan Allah akan selalu menghadirkan rezeki, aku tidak berasa bimbang lalu menghabiskan seketul gandum dalam masa setahun kerana aku yakin Allah akan memberi lagi rezeki padaku, tapi bila kau mengurung aku di dalam balang, aku tidak mampu berusaha dan rezekiku bergantung padamu, aku berjimat-jimat dalam menghabiskan gandum ini, mana tahu kau lupa akan janjimu untuk melihatku dalam masa setahun, sekurang-kurangnya aku masih mempunyai bekalan untuk meneruskan kehidupan"

Betapa kuat keyakinan sang semut kepada Penciptanya, saya kira ramai yang sudah tahu akan cerita ini, namun tak ramai yang mengambil pengajaran di sebaliknya.

Ramai yang takut meninggalkan pekerjaan mungkar, kerana takut kehilangan sumber rezeki.
Ramai yang takut lepas habis belajar tak dapat kerja.
Ramai yang sanggup menggadai akhirat demi sebuah dunia yang tidak lebih berharga dari sekeping sayap nyamuk.

Berhentilah.
Tarik nafas.

Lepas ni kalau ada orang kata "eee kau nanti habis belajar nak jadi apa? Course kau ni dah lah tak best."

"Eee kau tahu tak sekarang ni inflasi. Kegawatan ekonomi. Susah dapat kerja, kau habis belajar nanti confirm menganggur"

"Eee kau pakai tudung labuh? Confirm susah dapat kerja"

"Kau nak berhenti kerja? Kau ingat senang dapat kerja? Teruskan jelah kena tipu audit pun takpe"

Pandang mata orang tu dalam-dalam, cakap kat dia "tugas aku hanyalah berusaha sebaik mungkin, yang lain aku serahkan kepada Yang Esa. DIA lagi tahu yang terbaik untuk aku. Dah tepi sikit aku nak pergi sembahyang ni nak mengadu kat Tuhan kau tak percaya Dia" 

Kemudian berlalulah pergi sambil popping collar. Ingat tau sambil popping collar. Heh. 

Dont lose hope,
When you are in need,
Have faith in Allah, 
Have faith in HIM,
I wont look back,
We'll stand together,
Trust in me and we'll fly,
Dont surrender~~~

Wallahu'alam. :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .