Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, December 30, 2011

Mari Menyenangkan


Kadangkala kita menangis kesusahan,
Sedangkan ada insan lain yang lebih susah,
Namun di wajahnya masih terlukis senyuman...


"Dik,tolong ambilkan udang kering tu." Seorang makcik yang beratur di hadapan saya dan keluarga menunjuk ke arah peti sejuk di tepi kaunter pembayaran.

"Yang mana cik? yang ni?" Adik saya menunjukkan sebungkus udang kering yang hakikatnya tidak patut berada di situ.

"A ah yang tu. Makcik ingat tak jadi ambil tadi." Makcik itu membalas, seraya wajahnya sedang berkira-kira.

Suaminya yang berada atas kerusi roda ditolaknya perlahan. Si suami diam membatu, sakit mungkin. Namun makcik itu masih tabah menerima segalanya.

"Kalau kira yang ni jadi berapa?" Makcik itu bertanya pula pada kakak di kaunter, menunjuk kepada dua bungkus tauhu.

Kakak di kaunter laju memasukkan sejumlah lagi wang dalam perkiraan.

"Cukup tak?" Makcik itu meninjau-ninjau harga yang dipaparkan.

"Cukup kot..." Dia bicara lagi. Sendiri. Tangannya yang mula ditumbuhi kedutan mengeluarkan beberapa not rm5 dan rm1 yang diikat.

"Cukup tak dik? yang mee tu tak payah kira lah. tak jadi ambil."

"Er..tak cukup cik." Kakak di kaunter kelihatan serba salah.

"Lagi berapa sen tak cukup ya?" Makcik itu kelihatan resah.

Dan pada ketika itu,hati saya seolah-olah dihempas ke batu. Pecah berderai. Habis terbang semua nafsu untuk membeli. Syukur Allah menegur saya secara cash begitu.

Melihat makcik tersebut yang masih resah mencari lagi beberapa sen yang tidak cukup, saya berbisik kepada emak tercinta,

"Mak, apa kata mak bayarkan je mee makcik tu."

Emak yang berada di sebelah yang masih lagi memerhati makcik tersebut kelihatan tersentak. Emak ke hadapan sedikit,

"Dik,tak apalah dik, yang ni masuk dalam bil saya." Emak menunjuk ke arah mee yang diasingkan.

"Eh tak apa tak apa. tak apa, nanti saya boleh beli yang lain. saya meniaga depan ni je. tak apa." Makcik tersebut menolak.

"Eh tak apalah.." Emak masih kelihatan bersalah.

"Tak apa.. betul saya meniaga dekat sini je, nanti bila-bila boleh datang beli."Makcik tersebut masih menolak. Emak diam, tidak betah untuk memaksa.

"Lagi berapa sen dik tak cukup?"Makcik tersebut menyambung pertanyaan.

"Tak apalah cik..." Kakak di kaunter pembayaran bersuara.

"Terima kasih ya." Pantas makcik itu menolak kerusi roda suaminya dan berlalu. Si suami menunduk, entah apa yang difikirkan. Mungkin memikirkan nafkah yang telah pun beralih tangan.

Sungguh biar makcik itu susah,dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

Dan semoga Allah memelihara makcik tersebut selamanya.

Dalam Senang,Ada Yang Susah


Saya suka pada satu pepatah : Kita menangis kerana tak punya sepasang kasut baru, sedangkan ada manusia di luar sana yang tak punya kaki.

Manusia takkan pernah terlepas dari kesusahan, ujian, dugaan dan cubaan.

Jika ubat itu dirasa pahit...Begitulah juga dengan segala ujian yang mendatang, tapi ingatlah tak semua kepahitan itu teruk. Sepahit-pahit ubat itu membawa kepada kesembuhan. Sepahit-pahit ujian itu juga membawa kepada kesembuhan hati yang kian jauh dari Tuhan.

Kita Yang Mana

Ada manusia... Tatkala dia berada di atas, dia melihat manusia yang sedang berada di bawah dengan perasaan yang jengkel. Dia tenggelam dalam keseronokan dunia yang tak pernah berkesudahan. Dia senang tetapi hidupnya tidak menyenangkan orang lain.

Dia menekan mereka yang di bawah, tidak mengendahkan titis jernih air mata yang mengalir. setiap penganiayaan itu bakal dihitung kelak,itu semua tidak dihiraukannya...


Ada manusia,yang bila senang dia menyusahkan orang lain. Senang cerita, dia senang atas kesusahan orang lain. menindas, berlaku zalim dan sebagainya...semua itu ditolak ke tepi. Asal dia senang, hati gembira, harta melimpah.

Ada manusia, yang bila senang dia menyenangkan orang lain, dia bersedekah dan membuat orang yang susah tersenyum. Walau sesaat, walau sedetik, kerana sungguh senyuman itu mententeramkan jiwa.

"Dah takdir aku takleh tolong diorang"

Takdir itu,selagi ia belum berlaku tidak dipanggil takdir. Kita ada hak untuk memilih takdir kita.

Contohnya sama ada mahu berjaya atau tidak. mahu belajar atau tidak. Dan di penghujung usaha itu barulah dipanggil takdir.

Bukankah telah Allah ingatkan : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd:11)


Kamu ingin terus menjadi manusia yang menyenangkan atau menyusahkan orang lain?

Semuanya terletak pada diri sendiri.

Kerana hakikatnya, takdir itu hanya terjadi setelah kita yang memilih...

Belajar Lagi

"Ala nanti wak balik masjid wak nak pergi minum tak ada duit macam mana ni Adam" Abah saya bertanya, saja mengusik si kecil Adam yang asyik berlari sambil mulut tidak berhenti bercakap.

"aaaa... kejap eh kejap." Mulut ciliknya petah lagi berbicara. Kakinya lantas bergerak ke arah beg pakaiannya, tertonggeng-tonggek dia menyelongkar segala isi yang ada.. dan..

"Nah wak, ambik pergi minum." Tangan kecilnya menghulur not RM1 kepada abah saya.

Semua tertawa dengan keletahnya. Tapi ada pengajaran yang terselit ; meski kita susah, janganlah menyusahkan orang lain... Bila kita senang, jangan menyusahkan orang lain,senangkanlah mereka bersama.

Ingatlah duhai sahabat..

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya."

(Riwayat Muslim)


Jom pasang azam tahun baru! --> letakkan senyuman di wajah setiap insan.

Wallahu'alam.

Kesatlah air matamu,
Lihatlah mereka di sana,
Bukankah mereka jua turut diuji?

Read More......

Wednesday, December 28, 2011

Sebelum Air Mata Itu Gugur...

Sahabat...
Sebelum kamu menangis kerana seorang manusia,
Sebelum kamu bersedih kerana seorang insan,
Tahan air matamu dari gugur!

Marilah bersamaku,
Mari kita fikirkan sejenak...

Pada satu hakikat yang kita selalu terlupa,
Selain Allah,
Rasulullah adalah yang paling mencintai kita umatnya..

Tapi berbalaskah cinta baginda?
Adakah kita juga mencintai baginda,
Hingga tidak tegar kita menyakiti baginda..

Atau sewenangnya kita berbuat dosa,
Dan di sana...
Baginda sedang menangis hiba,
Bukan kerana baginda bersedih kita mengingkarinya,
Tetapi baginda menangis kerana memikirkan,
Apakah azab yang bakal kita terima..

Duhai sahabatku yang dicintai...
Sebelum gugur air matamu itu kerana dugaan yang sedikit cuma,
Terbayangkah kita pada cercaan,hinaan dan makian yang baginda terima,
Tidak menitis air mata baginda kerana ujian itu,
Tetapi baginda menangis kerana risaukan kita umatnya...

Duhai sahabatku yang dicintai...
Ingatkanku andai terleka,
Tolong,
Tolong kejutkanku yang kian alpa,
Katakan padaku..

Wahai sahabat!
Sudahkah engkau mencintai Allah dan RasulNya?

p/s: Sahabat, doakan saya..Moga-moga Allah terima saya yang hina,moga-moga Rasulullah kelak mampu berbangga dengan umatnya...


Read More......

Saturday, December 24, 2011

I Love You, Mom, Dad..


Raut wajah tua itu,
Mengingatkanku pada sesuatu,
Dulu wajah itu yang tersenyum senang menyambut kepulanganku,
Dulu tangan itu yang sentiasa tidak jemu menyokongku,

Tatkala mata ini menatap wajah tua ayah,
Melihat wajah tua ibu,
Hati seolah direnggut sembilu,
Wajah itu... Semakin dimamah usia,
Sedang aku masih di sini,
Entah jasa apa yang dilakukan untuk mententeramkan mereka,

Saat tangan ayah ku salam,
Saat tangan ibu ku kucup,
Mengalir air mata dalam hatiku,
Tangan itu sudah tidak lagi seperti dahulu,
Kedutan di kulit jelas kelihatan,
Kasarnya tangan itu menyedarkanku sesuatu,
Ah, betapa kerasnya mereka bekerja,
Untuk menjadikanku seperti aku sekarang...

Tahun semakin berlalu,
Masa tidak pernah akan terhenti,
Dan usia pasti akan terus berjalan...

Tuhan...
Pinjamkan mereka lebih lama lagi kepadaku,
Jangan Kau ambil mereka sebelum sempat aku menabur jasa,
Jangan Kau ambil mereka sebelum sempat aku memberi bakti,
Andai Kau mahu mengambil mereka,
Ambillah dalam keadaan iman mereka sejahtera,
Agar aku tahu mereka tenang di sana...

Tuhan...
Jadikan aku anak yang mengenang jasa,
Jangan Kau biarkan aku menyakiti mereka,
Cukuplah mereka teruji dengan kenakalanku semasa kecil dahulu..

Wahai sahabat rakan dan taulan,
Mari hargai ibu,
Mari hargai ayah,
Sungguh mereka pasti pernah melakukan kesalahan,
Mengguris hatimu,
Mengundang titis jernih matamu,

Tapi sahabat,
Lumrahnya manusia tidak sempurna,
Sayangi mereka atas kekurangannya,
Agar dikau mampu tenang sentiasa..

Bukankah suatu ketika dahulu,
Engkau bertatih dan terjatuh,
Engkau sakit dan demam,
Engkau menangis yang entah bila kan berhenti..

Dan ibumu tenang di sana,
Ayahmu pula masih tersenyum menerima kekurangan itu?

dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Israa :23)

Read More......

Friday, December 16, 2011

Jawapan Dari Tuhan?


"Mak, panas dalam badan makin menjadi-jadilah." Saya menelefon emak, saja ingin mengadu.

"Awak makan apa sampai makin panas?" Emak bertanya.

"Nak...Nak.." Suara si kecil Adam kedengaran di hujung talian, ingin berbicara sama.

Telefon bertukar tangan.

"Hello, kak wawa..." Suara halusnya kedengaran,mendengar suara si kecil yang tidak berdosa cukup untuk membuang segala resah di hati.

"Ya Adam.."

"Kak wawa, kak wawa kenapa?" Si comel berlagak dewasa, benar-benar menggeletek hati saya yang lara.

"Kak wawa tak sihat, Adam tak ada kat sini."

Adam diam sebentar.

"Kak wawa kat mana?"Petah pula dia bertanya.

Saya tersenyum. "Kak wawa kat jauh.."

"Kak wawa kat mana?" Soalan yang sama berulang.

"Kak wawa dekat dengan rumah wak wok."

"Kak wawa kat mana?" Soalan yang sama berulang lagi,seolah-olah saya tidak menjawab persoalannya.

"Kak wawa kat selangor."

"Kak wawa kat mana?" Adam masih tak faham. Saya menggaru kepala.

"Er, kak wawa kat sekolah."

"Oh, kak wawa sekolah eh."

"A ah."

"Adam baca buku je.." Dia bercerita lagi, membuat saya lupa segala kesakitan.

Jawapan Dari Tuhan?

Sedar tak sedar, kita ini tidak ada bezanya dengan si anak kecil yang berulang kali bertanya soalan yang sama kepada ibu.

Terkadang ada persoalan yang tidak terjawab, kita merajuk dan menangis, berfikir-fikir sehingga stres. Ah, apakah soalan yang diminta sukar sehingga ibu tidak mampu menjawab?

Sebenarnya bukan ibu tidak mampu menjawab, ibu sudah jawab cuma kita yang tak faham.

Kita tanya, "Ibu, itu kereta apa?"
Ibu jawab, "Itu kereta wira."
Kita menunjuk lagi pada kereta itu, "Ibu, itu kereta apa?"
Ibu masih beri jawapan yang sama.

Dan akhirnya kita tidak berpuas hati! Mana boleh! Kereta tu cantik. Dalam kepala kita, yang kita tahu kereta cantik-cantik namanya mestilah mercedez atau chevrolet. Ibu tipu. Ibu tak pandai jawab soalan.

Dan kita bawa hati yang lara..

Begitu juga kita dengan Tuhan, kita berdoa dan meminta-minta, banyak persoalan berlegar di ruangan kepala, dan bila kita rasa doa tak dimakbulkan, bila kita rasa Allah tak menjawab persoalan kita, hati mula gelisah..

Sedangkan, kita minta agar jadi kaya... Allah dah jawab, Allah beri kita kaya dengan ilmu, Allah beri kita kaya dengan nikmat. Kita tidak cacat, kita masih mampu lagi bernafas.

Kita minta agar jadi pandai... Allah dah jawab, meski kita selalu gagal dalam pelajaran, tapi kita ada kepakaran sendiri. Jangan ingat penoreh getah itu tak pandai. Bolehkah pensyarah menoreh pokok getah sehebat penoreh getah?

Allah dah jawab semuanya... malah hakikatnya Allah beri apa yang kita perlu, bukan sekadar apa yang kita minta.

Bukankah Allah yang paling memahami manusia?

Kadang-Kadang Kita Yang Kurang Ilmu


"Wawa beli air mata kucing mak, dah berhari-hari minum, tapi makin lama makin panas dalam badan ni sampai sakit tekak." Saya menyambung bicara bersama emak.

"Laaa... air mata kucing tu memang untuk panaskan badan, pergi minum buat apa?"

"Eh ye ke? ingatkan dia macam herba-herba je tu elokla tu."

"Dah jangan minum lagi. Minum air barli." Leteran emak berpanjangan, namun itu yang paling saya rindu.

Betul kan...ilmu tu penting agar arah jalan kita tak tersalah.

Macam manusia yang tak ada ilmu tentang Islam, kerap kali tersalah langkah dan akhirnya menuding jari marah pada Allah, sedangkan segala garis panduan telah Allah beritahu, hanya kita yang malas mengambil tahu.

Jom, baca surat cinta dari Allah! - Al-Quran.

Wallahu'alam

Read More......

Saturday, December 10, 2011

Duhai Anak!

Adam sayang Zikri kerana Allah, nanti kita besar jadi lelaki yang membela Agama dan menjaga wanita ya?

"Allahu Akbar, Allahu Akbar" Merdu suara si Ayah mengazankan bayi lelaki. Merdu juga suaranya mengiqamatkan bayi perempuan.

Ibu tersenyum senang. Di birai matanya ada titis jernih. Bukan kerana sakit melahirkan, tetapi bahagia yang menerpa relung hati. Ah anak ini.. Moga menjadi pembela Agama, moga kelak dikau membesar menjadi penegak kalimah Lailahailallah.

Ayah senyum gembira. Melihat wajah ibu yang keletihan tapi masih cuba tersenyum. Gelora hati ayah hanya Allah yang tahu. Ah anak ini... Moga kelak membesar menjadi orang yang dicinta Tuhan, hebat dalam Agama, mengalir zikir di bibirmu... Biar ayah dan ibu tidak mahir dalam Agama, tapi duhai anak... moga kelak engkau membimbing kami, bersama menuju syurgawi..

Dan anak itu pun membesar. Melihat dunia yang fana. Terpesona dengan keasyikan dunia yang sementara. Nasihat ibu ditolak ke tepi, peringatan ayah tidak diambil peduli.

Ah anak itu! Andai dia tahu betapa sukarnya ibu melahirkan, betapa payahnya ayah bekerja mencari sesuap rezeki.. Jika dia tahu bagaimana mata ibu lebam berjaga malam tatkala dirinya sakit dahulu. Betapa ayah gusar walau riak wajahnya tidak menunjukkan kegusaran...

Anak itu terus berjalan. Baginya,kawan adalah keluarga. Lelaki yang dikenali sekejap cuma disayangi sepenuh hati, melupakan ibu dan ayah yang menyayanginya bertahun lamanya. Memberi sebuah cinta tanpa syarat.

Dan...

"Allahu Akbar, Allahu Akbar" Kalimah yang sama terdengar beralun. Dari mulut seorang lelaki buat si kecil yang lahir dari rahim si anak yang sudah meningkat remaja.

Jika dahulu si ayah yang mengiqamahkannya, tapi kali ini kedengaran azan itu beralun merdu, tapi bukan dari mulut seorang lelaki bergelar ayah. Entah atas ehsan siapa bayi itu diazankan. Tiada wajah ayah yang gembira dalam gelora. Dan ibu si bayi hanya menangis, bukan menangis gembira malah kesedihan yang menerpa.

Untung kelahirannya di hospital, ada yang mahu mengazankan. Jika kelahirannya di semak samun, entah perkataan pertama apa yang menerjah gegendang telinga bayi kecil yang tidak berdosa.

Teman lelaki yang disayangi sepenuh hati menghilang entah ke mana. Si anak yang meningkat remaja mula merintih. Ini tuaian cinta kita, sekarang di mana cinta lelaki itu menghilang? Tangisnya sedih. Namun takdir ini dia yang memilih... Jangan sesekali menuding jari pada Tuhan, jangan sesekali menyalahkan Rasul yang mungkin sekarang sedang menangis.

Dari kejauhan... ibu dan ayah si anak itu berjalan longlai. Ibu dan ayah inilah yang diketepikan. Ibu dan ayah ini jualah yang hadir melawat kerana cintanya tanpa syarat!

Hati si ibu hancur berkecai.. Sehancur harapan yang ditanamnya dahulu.
Jiwa si ayah tercalar... Secalar impian yang diangankannya dahulu.

Ah anak... Sukarkah dikau mengerti?

Membesarlah..dan sebarkan cinta-Nya

"Anak akak tak sihat..kesian dia, tak boleh tidur malam." Suara wanita yang duduk semeja dengan saya di restoran itu seolah menggamit ingatan. Wajahnya lesu tapi masih tersenyum.

"Adik sihat ya, petang karang ibu nak masuk kerja semula." Ujarnya lagi sambil mengusap-usap kepala si kecil di sebelah. Anak itu diam, entah mengerti entah tidak. Tapi si ibu masih tabah.

Ah, hati saya hancur menyaksikannya. Moga dikau kelak membesar menjadi manusia hebat untuk Agama. Jangan terpengaruh dengan dunia yang sementara. Moga usapan lembut ibumu itu kekal di ingatan...hingga ke akhirnya.

Dan hati saya masih terus berdarah...

Duhai wanita. Duhai wanita. Duhai wanita... Mari jadi kuntuman mawar yang mekar mewangi, cantik dipandang sukar digapai.

Hanya kumbang yang benar-benar layak sahaja bisa menghampiri, menjadi penawar bagi duri yang memagari diri...

Wallahu'alam.


Read More......

Thursday, December 8, 2011

Demi Masa!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Anda pernah tidak rasa mengejar sesuatu yang sangat penting, sedang dalam kepala masih lagi terbayang-bayang pelbagai kerja yang harus dilakukan, dan akhirnya apabila anda ada waktu untuk sesuatu yang penting itu, waktu itu hanyalah pada lewat malam tatkala badan telah pun letih lantaran asyik bekerja.

jika pernah, mari kita memanjatkan kesyukuran kepada Yang Esa, kerana hakikatnya kita serupa! :)

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian
kawan-kawan yang disayangi
adik-adik

Ah saya kehilangan kata. Agak lama juga blog ini terbiar, kerana saya malas ada tanggungjawab lain yang perlu diurus.Maafkan saya. Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, jangan mengeluh jika badan anda lesu dan penat kerana banyak kerja, tetapi risaulah jika anda terlalu bersenang-lenang tiada kerja.

Kenapa?

Badan yang letih lesu itu petanda Allah sayang kalian, diberinya kerja yang banyak sehingga tiada waktu terluang untuk membuat kerja yang tidak berfaedah.

Ada orang kata, kita sudah tidak ada masa untuk buang masa.

Ada pula orang yang hebat English berkata ; time waits for no one.

Berbicara perihal masa tidak akan habis kerana masa hakikatnya adalah sebahagian dari diri kita.

ya, diri saya. anda. kamu. kita semua.

24 jam Allah beri..bagaimana kita menggunakannya terserah kepada kita. Jika buruk masa yang diisi, maka buruklah keputusannya. Ramai yang mengeluh, ah masa aku tidak cukup!

Sahabat semua... siapakah orang paling sibuk sekali dalam dunia namun masih lagi tenang dan macho?

Siapa? Obama? Bill Gates? Pengetua sekolah anda? Perdana Menteri?

Jika itu jawapan anda, marilah kita sama-sama buka buku sirah kembali kerana hakikatnya mungkin anda terlupa sesuatu yang amaaattt penting sekali.

Rasulullah lah orang yang paling sibuk. Baginda mengabdikan diri kepada Allah ketika hening pagi, dan sibuk berdakwah di siang hari. Baginda adalah ketua negara, ketua keluarga, pembimbing, serta sahabat kepada sahabat-sahabat yang lain.

Baginda ada 24 jam juga sama seperti kita, tapi baginda tetap tenang..malah tidak ada waktu untuk berfikir mengenai dirinya sendiri!

Hebat tak?

Ya.. benar sahabat, wanita yang paling cantik bukanlah wanita yang asyik dengan wangi-wangian, atau berpakaian mahal..tetapi wanita yang paling cantik adalah wanita yang memiliki hati yang hebat, tenang dalam kesukaran dan tersenyum dalam kepayahan.

Dan lelaki yang paling macho bukanlah lelaki yang mempunyai 6 packs, bukan jua yang menghembus asap rokok sehingga membuat orang sekeliling terbatuk-batuk. Bukan. Tetapi lelaki yang paling macho adalah lelaki yang menangis di sepertiga malam terakhirNya, dan bangkit keesokan hari seperti seekor singa melebarkan sayap dakwah.

Dan ingatlah!


Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr : 1-3)

Hargailah masa, tuntut ilmu sebaiknya. umat islam harus cemerlang, hari ini mesti lebih baik dari semalam :)

wallahu'alam

p/s: doakan saya sahabat, moga Allah redha kepada diri yang hina ini..

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .