Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, September 1, 2016

Merdeka!


Merdeka.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Asiah,
Yang merdeka jiwanya,
Tetap tersenyum walau diseksa,
Tetap teguh walau derita, 
Kerana terpampang di hadapan matanya,
Rumah di syurga sana.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Bilal bin Rabah,
Yang merdeka sanubarinya,
Tetap bahagia meratib 'Ahad! Ahad!',
Walau hampir hilang nyawanya,
Disiat petaka.

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Rabiatul Adawiyah, 
Yang merdeka ruhnya dari diulit dunia,
Walau diculik menjadi hamba, 
Tetap dia tersenyum bahagia,
Katanya --
"ya Rabb, andai ini mahumu, maka aku redha!"

Mungkin maksud merdeka kita tidak seperti Salman Al-Farisi,
Yang merdeka hatinya walau ditusuk duri,
Saat gadis pilihannya memilih sahabatnya sendiri,
Biarpun sedih menyelubungi diri,
Tetap salman berlapang hati--
"Segala mahar dan persiapan yang aku telah sediakan aku hadiahkan sahaja kepada sahabatku ini, malah aku akan menjadi saksi perkahwinan kalian."

Mungkin kita tidak sehebat mereka,
Yang maksud merdekanya sungguh meruntun jiwa,
Namun tidak pula kita lari dari bersifat hamba, 
Lalu berlarilah perbaiki diri nan lara,
Hingga satu ketika, 
Kita mampu tersenyum megah,
Dengan maksud merdeka--

Yang sebenar-benarnya.

Salam merdeka. Salam cinta kerana Yang Esa :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .