Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, October 26, 2012

[Kisah Benar] Aku Bukan Malaikat

[kisah benar seorang hamba Allah yang telah saya olah semula, setelah mendapat keizinan darinya... moga diambil iktibar]

Assalamualaikum.

Sungguh klise pembuka bicara kita. Umat Islam gemar memberi salam, kononnya mendoakan sejahtera ke atas kamu, sebaliknya merekalah yang telah merobek-robek kesejahteraan hidupku, dan membuat aku jatuh terpelusuk jauh ke pusat bumi.

Aku.... aku adalah manusia biasa. Tiada apa-apa. Tapi, semua orang memandangku sebagai sempurna. Ada rupa, ada harta, ada kepandaian, malah dicintai Tuhan. Itu kata mereka. Itu tanggapan mereka pada aku... Sedangkan aku tahu, di sisi Tuhan aku adalah manusia yang paling hina...

Kalaulah mereka tahu segala keaibanku yang Allah tutupkan, pasti mereka menjauhiku, memandang jelek kepadaku, malah tidak mahu lagi berkawan denganku.

Oleh sebab itu, aku diamkan. Aku jadi seorang yang murung. Aku tidak ada siapa yang boleh aku bicarakan permasalahan hidupku. Semua memandangku sempurna. Tiada lagi pandangan insani. Aku jadi takut. Aku takut andai mereka nampak kecacatan diriku. Bukan aku takut mereka akan menghinaku, tapi aku bimbang nama Islam ditarik sama.

Maka berjalanlah aku dalam daerah sepi. Terkadang aku termenung sendiri. Puas aku mengoyak senyum di hadapan mereka. Puas aku berpura-pura bahagia, sedangkan jauh di sudut hatiku hanya Allah yang tahu... mereka lupa, tiada manusia yang tak punya masalah. Tiada manusia yang tak punya dosa.

Mujur imanku masih utuh, di tikar sejadahlah air mataku meluncur laju. Tuhan... apakah ini ujianMu padaku? Tuhan... di manakah tempat untuk aku meluah segala selainMu? Aku jadi buntu.

Aku jadi bosan melihat mereka... Berpesan-pesan dengan kebaikan, menghantar mesej panjang berjela sedang aku amat bosan dengan 'bahasa-bahasa klasik' yang mereka kirimkan. Tidakkah mereka tahu, untuk berdakwah perlu 'masuk' ke dalam tingkahlaku orang yang hendak didakwah, selagi mana kita tidak melanggar syariat.

Aku kembali termenung....

Aku jadi rindu pada sahabat-sahabat yang jauh... Mereka kelihatan biasa-biasa, tapi mereka selalu memahamiku, mendengar setiap permasalahanku tanpa menghukum aku. Mereka tidak memandang aku dengan pandangan yang pelik... Allah, sungguh aku rindu pada mereka. Mereka tidak meletakkan hukum yang berat-berat ke atas aku, malah mereka selalu menyenangkan dan memberi khabar gembira...

Aku jadi keliru, bukankah Islam itu seharunya memberi khabar gembira kepada manusia? Justeru kenapa aku selalu merasakan derita dengan hukuman-hukuman berat mereka?

Tetapi aku masih di sini. Tetap di sini. Dikelilingi manusia-manusia malaikat, sedang aku hanya ingin terbang di dunia sebagai manusia biasa. Yang akhirnya menjadikan manusia lain luar biasa, lebih baik dari aku yang biasa. Aku bukan malaikat yang tak punya dosa, aku masih ada sekeping hati yang mereka terlupa....

Sehingga, aku jadi pemarah. Aku jadi pentingkan diri sendiri. Aku jadi anti-sosial. Mereka yang mendidikku begitu. Mereka menekanku, menekan jiwaku hingga ia jadi memberontak. Malah aku tidak hirau lagi apa tanggapan mereka padaku.

Aku harap, iman aku akan tetap utuh sehingga ke akhirnya. Jika tidak, akan aku dakwa mereka semua, kerana mengheret aku ke lembah kehinaan dalam diam...

Aku,
Manusia biasa.

~Moga diambil Iktibar sahabat... :')

Read More......

Monday, October 22, 2012

Tokoh Wanita : Ummu Imarah

Dikau mengingatkanku perihal Ummu 'Imarah

"Kami redha sekiranya anak kami keluar pada waktu pagi dalam keadaan hidup dan pulang pada waktu petang dalam bentuk jenazah."

"Apabila anak kami keluar pada waktu pagi, kami tak berharap dia akan pulang pada waktu petang." Luahan-luahan hati ibu-ibu yang duduk dalam keadaan peperangan sedang seisi dunia masih duduk di hadapan televisyen dan di panggung-panggung wayang, gelak berdekah-dekah dengan aksi lucu di skrin hadapan mereka.

Nun jauh di sana...

Si ibu yang malang khususnya di Syria dan Palestin sedang membalut luka di tubuh anak mereka, atau sudah tidak kuasa lagi menangis menghadapi kehilangan sang anak. Seorang demi seorang.


"Ada anak kecil di sini! Ada anak kecil di sini!" Seorang lelaki menjerit meminta belas, namun senapang yang tidak bermata tidak pernah kenal erti belas. Lantas peluru menembusi dada si anak kecil, dan kemudiannya sebutir lagi menembusi dada si ayah.

Tinggallah si ibu bersendirian dalam ketakutan. Langit yang diterangi cahaya matahari seolah-olah langsung tidak memberinya harapan. Tulang belakang keluarga telah pun pergi, permata hati pula menuruti.

Lantas para wanita ini bangkit. Mengikat kepala dengan kain bertulis kalimah jihad. Memegang senjata, menghunus pedang tanpa menghiraukan statusnya sendiri. Yang penting, maruah harus dijaga!

Mereka berperang tanpa gerun, mengingatkan saya tentang seorang tokoh wanita. Namanya...

Ummu 'Imarah

Ummu 'Imarah atau nama sebenarnya Nusaibah binti Ka'ab adalah pejuang wanita yang pertama. Beliau aktif mengikuti peperangan yang diikuti Nabi.

"Dahaga...Dahaga... Air.. Air.." Pada saat tentera Muslimin dahaga di medan peperangan Uhud, dan Nusaibah mendengar, "Sebentar!Sebentar!" Cepat-cepat beliau mengambil air dan menghulurkan kepada mereka yang dahaga.

"Sakit.. sakit..."Tentera yang lain pula mengerang kesakitan.

"Sebentar! Sebentar!" Bergegas pula beliau merawat tentera yang cedera.

Suatu saat, dirinya diuji. Yang cedera bukanlah tentera yang tidak dikenali. Tetapi anaknya sendiri. Nusaibah tidak kuasa menangisi sebuah ujian Ilahi. Lantas dia bangkit berdiri, membalut luka yang wujud pada anak yang dikasihi. Katanya, "Bangun, wahai anakku!"

Mendengar semangat yang keluar dari mulut ibu tercinta, si anak bangkit berdiri dan terus sahaja mara melawan musuh yang dilaknat Ilahi.

Terharu perasaan Baginda Rasul Yang Mulia, lalu baginda berkata, "Wahai Ummu 'Imarah... siapakah yang mampu berbuat seperti mana yang engkau lakukan?"

Tidak lama kemudian...

Tibalah waktunya, ketika Allah menguji dan dicampakkanNya rasa takut dan gerun di dalam hati para tentera Muslim, tiada lagi keyakinan mereka terhadap Ilahi. Mereka pun lari meninggalkan medan peperangan, yang tinggal hanya sekitar 100 orang....

Dan, Nusaibah salah seorangnya!

Beliau memakai baju perang dan menghunuskan pedang. Berlawan tanpa lelah. Bertempur tanpa gerun. Pantang mengalah sebelum kalah! Biar nyawanya terancam, asalkan Rasul berada dalam keadaan aman.

Kehebatan beliau berperang sehingga membuatkan Rasulullah bersabda : Aku tidak menoleh ke kiri dan kanan kecuali melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku.

Ummu 'Imarah, Ummu 'Imarah...
Malunya kami..
Bukannya disuruh mengangkat senjata di medan perang,
Disuruh mengangkat selimut tatkala subuh,
Pun masih berat dirasa....

Wallahu'alam.

Read More......

Monday, October 15, 2012

Maafkan akak, dik...


"bayangkan kematian yang menjelma.. Kita dikubur berseorangan.." suara ketua fasilitator kuat kedengaran, diikuti muzik yang menggerunkan.

"arghh arghh sakit.. Panas! Tolong! Tolong!" suara menyeramkan itu kedengaran lagi, membingitkan suasana malam yang suram. Adik-adik peserta program yang memejamkan mata mula menangis teresak-esak.

Saya dan sahibah yang lain memerhatikan mereka dari belakang.


Cerita 1 : tangisan seorang adik

Tiba-tiba, salah seorang peserta wanita duduk mencangkung, kedua tangannya yang mulus dilekatkan ke telinga rapat-rapat. Melihatnya, kami jadi gusar. Lantas, kami mendekatinya.

"dik, dik.." saya mengusap bahunya perlahan.

Dia menggeleng sambil tangannya masih utuh melekat di telinga. Lantas, kami membawanya jauh sedikit dari kelompok rakan-rakannya.

"dik?" saya cuba menarik perhatiannya lagi. "dik, sudah dik.."

Perlahan, dia melepaskan tangan yang menutup kedua-dua telinganya. Matanya basah kemerahan. Dia masih tersedu sedan menahan tangis yang kian lebat. Melihatnya, dada saya memanas, lantas mata turut digenangi air.

"kak, saya takut kak. Saya takut" dalam esak dia bersuara.

Saya memeluknya erat. "baca ayat kursi dik"

Sejurus selepas saya mengatakan ayat itu, tangisnya pecah. Esakannya semakin kuat. "s..ssaa..saya tak tahu kak!"

Mendengarkan itu, hati saya bertambah hiba. Pelukan dikuatkan, lantas saya berselawat dan meniup sedikit ke telinganya. Tangisnya beransur reda. Tapi gelodak di hati saya masih lagi belum reda,sereda tangisannya. Ada rasa yang berbaur, ada hiba yang bertamu.

Maafkan akak dik....

Cerita 2 : Pengalaman Ikhlas seorang adik

Seorang remaja lelaki tampil ke hadapan ketika sesi perkongsian pengalaman.

"dulu saya anak yang nakal. Saya selalu lawan cakap mak. Apa yang mak suruh itulah yang saya tak buat. Sedangkan saya lah yang mak harapkan selepas kematian ayah." katanya terhenti, memberi ruang tangisan untuk mengalir pergi.

"saya dapat tawaran ke luar negara, mak suruh pergi tapi saya melawan, saya taknak pergi. Mak sedih sangat. Mak jatuh sakit." saya kira, dia tak berkuasa lagi menahan tangis. Air matanya jatuh berjujuran. Tangannya diangkat sedikit mengesat titis air jernih yang bersisa.

Dia menyerahkan microphone kepada fasilitator yang berhampiran dengannya. Dia terduduk. Tidak lagi mampu berkata apa-apa. Walau sepatah. Yang kami dengar pada ketika itu hanyalah suara tangisannya. Badannya bergetar menahan hiba.

"kawan-kawan dia tolong ke depan." fasilatator lelaki memberi arahan. Dua orang remaja lelaki kemudiannya tampil ke hadapan dan memeluk rakan mereka yang sedang dilanda tangis hebat.

Melihat itu, mata kami bergenang. Ah, jiwa remaja sememangnya suka memberontak jika ditekan.

Maafkan akak, dik....

Cerita 3 : patahnya hati seorang adik

"ahh kau ni memang jantan tak guna! B**i" berkali-kali jeritan itu saya dan sahibah dengar. Suaranya seakan-akan berhampiran dengan rumah kami. Justeru kami memberanikan diri menyiasat di tangga berhampiran rumah kami.

Seorang adik perempuan duduk di sudut tangga, sambil suaranya tidak lagi berhenti menjerit. Mungkin tidak perasan dengan kedatangan kami.

"Assalamualaikum." kami memulaan perbualan. Dia menoleh, bereaksi terkejut dengan kehadiran kami.

"waalaikumussalam." wajahnya kembali dipalingkan ke arah lain.

"adik okay?" kami duduk bersebelahan dengannya. "kenapa ni?" kami mengurut-urut bahunya, mengusap-usap belakangnya sambil dia terus menangis.

"dik.. Kalau nak cerita apa-apa, cerita je, jangan malu." kata saya cuba menenangkan suasana.

Tiba-tiba dia bersuara," kak, saya sayang dia. Saya sayang dia sangat-sangat. Tapi kenapa dia buat saya macam ni kak. Kenapa?" sungguh kami tak faham apa yang cuba disampaikan kerana kami tidak mengenali remaja tersebut malah tidak tahu apakah punca tangisannya.

Setelah lama berbicara, baru lah kami tahu masalah yang dihadapi adalah masalah teman lelaki. Entah kenapa dia meluahkan segalanya kepada kami, mungkin kerana dadanya yang sudah sesak dengan pelbagai masalah. "kak, kenapa kak...."

Melihatnya masih menangis, sembunyi-sembunyi saya mengesat air mata yang mula timbul.

Maafkan akak, dik....

Remaja

Remaja sering dilabelkan sebagai bermasalah. Sebenarnya mereka bukan bermasalah. Hormon-hormon mereka yang bergerak aktif dan berlakunya perubahan hormon membuatkan rasa ingin mencuba menjadi tinggi, dan rasa ingin memberontak juga tinggi.

Kita sering melabel mereka bermasalah, sebenarnya yang bermasalah adalah kita. Kita yang tidak memahami. Kita yang suka menghukum. Kita yang tidak suka mendengar. Seolah-olah kita tidak pernah melalui frasa remaja.

Kita rasa kita sudah jadi cukup baik di mata Tuhan, justeru kita menghina mereka. "ish apalah perangai macam tu" , "ish apalah jadi bohsia." dan macam-macam lagi kata hinaan dilemparkan menjadikan mereka stres dan menjauhi kita. Kita menghukum mereka seolah-olah kita terlupa bahawa dahulu kita juga berada di jurang kejahilan, Allah Yang Maha Baik lah yang menyelamatkan kita dari jurang itu dan meletakkan kita di lembah kebaikan.

Tapi kita lupa...kita lupa semua itu.....

Maafkan akak, dik...

Adikku..
Pada saat mereka mengkejimu dan diriku tidak mampu berbuat apa,
Maafkanlah...
Pada saat mereka melemparkan hinaan dan diriku hanya bisa melihat,
Maafkanlah...
Pada saat engkau menangis terluka dek pandangan sinis mereka dan diriku kaku di sini,
Maafkanlah...
Pada saat engkau marah dan berlalu pergi jauh dari kebaikan dan diriku hanya mampu berdoa,
Maafkanlah...

Adikku,
Tidak ku sanggup melihat engkau terus begitu,
Namun keterbatasan waktu,
Bercampur kekurangan diri yang kaku,
Tidak dapat aku melayan karenahmu selalu,
Memberi perhatian cinta padamu saban waktu,
Atau mendengar celoteh manjamu seperti selalu...

Adikku,
Tetaplah berdiri teguh di jalan ini,
Jalan yang mengajakmu menuju ke syurga hakiki,
Tapi jika kerana 'mereka' langkahmu jadi sepi,
Hatimu jadi berapi,
Dan engkau tekad berlalu pergi,
Tanpa menoleh lagi...

Hanya satu pintaku..
Maafkan akak, dik.....


Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. (Al-Imran : 159)

wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .