Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, April 13, 2011

Berenang Di Lautan Dunia



"Tak awa, adam nak ebok.(Kak wawa, adam nak cebok)" Adam berkata semasa saya sedang asyik melayan karenahnya yang mencuit hati.

"Adam nak mandi?" Saya mencium pipinya yang mulus.

"Nanak, Adam nak ebok je.(Tak nak, Adam nak cebok je)"

Saya tergelak kecil. Adam memang takutkan air sejak kecil!

"Sekejap eh." Saya meletakkan kanak-kanak berusia 3 tahun itu di hadapan pintu bilik air sementara saya ke bilik mencari tuala.

Waktu saya berpatah balik ke bilik air, Adam tiada di hadapan pintu- tempat di mana saya meletakkannya sekejap tadi!

Allah..

"Adam." Saya memanggil.

"Tak awa!" Terdengar suara Adam, munculnya dari dalam bilik air yang gelap gelita itu! Pintu bilik air saya kuak sedikit agar bukaannya lebih besar.

"Adam? Buat apa tu?" Tanya saya sewaktu terlihat kelibat Adam.

"Tak awa...ukak ampu (Kak wawa buka lampu.)" Katanya sambil tangan sudah pun memegang kepala paip!

Subhanallah, dalam kelucuan itu, jari saya memetik suis lampu.

Kak wawa, mana boleh tidur waktu swimming!

"Adam, meh buka seluar dulu."

Adam menuruti.

"Eh, tak awa, tu ape unye (eh, kak wawa, tu siapa punya?)" Adam terjerit kecil sambil jarinya ditujukan ke arah surfing board adik saya.

"Tu abang hazim punya."

"Tak awa, anti adam da ecar, tak awa elikan adam eh. (Kak wawa, nanti adam dah besar, kak wawa belikan adam eh)" Ujarnya dengan raut wajah yang comel sekali.

"Ok.. Nanti adam dah besar, kak wawa belikan. Tapi adam kena tidur dulu lah." Saya memancingnya untuk tidur selepas pampersnya ditukar untuk mengurangkan aktiviti malamnya - Mengemas rumah!

Kanak-kanak pintar itu mengerutkan keningnya. "Tak awa, ane ole idur imming, anti emas (Kak wawa, mana boleh tidur swimming, nanti lemas.)"

Saya tergelak. Nyata dia salah faham. "Lepas ni adam kena tidur tau." Saya menerangkan lagi sekali.

"Tau tak awa tau, tak ole idur imming, anti lemas tau. (Tau kak wawa tau, tak bole tidur swimming, nanti lemas tau.)" Ujarnya lagi sambil jari telunjuk dan ibunya digunakan untuk memicit hidung tanda tidak boleh bernafas.

Saya tergelak lagi, membiarkan saja mulut comelnya itu bercerita itu dan ini.

Adam-adam..... Moga menjadi khalifah yang berguna kelak!

Satu Pengajaran



"Tau tak awa tau, tak ole idur imming, anti lemas tau. (Tau kak wawa tau, tak bole tidur swimming, nanti lemas tau.)"

Kata-kata Adam terngiang-ngiang di telinga saya.

Hakikatnya, dunia ini ibarat satu lautan pancaroba, dan kita manusia sedang berenang-renang di atasnya.

Jika kita tertidur, maka hanyutlah kita dalam arus yang mencabar, atau mungkin lebih buruk lagi, kita mampu lemas tanpa sedar!

Dalam pada kita sedang 'swimming' meredah arus dunia, terkadang kita disapa dengan badai bergelora, atau ada ikan jerung yang menghalang ketenangan.

Yang lemah pasti kan tewas dan terus-terusan membiar diri hanyut dibawa arus.

Yang kuat, akan terus-terusan berenang, dia belum kalah selagi belum tiba penghujungnya!

Hakikatnya, badai yang bergelora atau ikan jerung yang besar membina stamina badan, otot-otot akan menjadi lebih kuat dan mantap agar kita mampu berenang dengan lebih hebat dan jika ada lagi rintangan di hadapan kelak, kita mampu mengekalkan stamina malah mungkin mencipta stamina baru yang lebih hebat!

Bagi yang lemah..... Mungkin hanya akan berpaut pada kayu-kayu yang terapung atau bergantung sepenuhnya pada pelampung, jika arus ke kiri, ke kirilah ia.. jika ke kanan, ke kananlah ia... Jika jerung ingin datang membaham, mungkin saja dia terus-terusan berserah dan mengatakan itu semua takdir, sedang ia terlupa Allah telah berpesan :

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd : 11)


Untuk menjadi kuat atau lemah, itu terpulang kepada kita.

Pilihan di tangan anda!

Pentingnya Sahabat

"Kuat! Kuat! Berenang cepat, jangan mengalah!"

"Tak boleh.. Aku dah tak larat dah ni."

"Kau kuat,kau kuat, ingat Allah!"

Mengikut kajian, kata-kata yang baik dan indah mampu merangsang perubahan positif pada diri. Ada yang telah membuat kajian, dua bekas diisi dengan beras(atau elemen lain,maaf saya lupa) dan dilabel bekas A dan B.

Bekas A sentiasa dihambur dengan kata-kata kesat, manakala bekas B sentiasa diberi kata-kata yang indah.

Beberapa minggu berlalu... Beras di bekas A berubah warna menjadi kehitaman tetapi beras di bekas B masih lagi elok. Begitu juga dengan manusia, majorit badan manusia adalah air dan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang manusia dengari.

Lihat sahaja orang yang suka mendengar lagu-lagu yang keras dan tidak bermoral, wajahnya menjadi bengis bukan? Mengikut kajian, itu disebabkan molekul air di badannya yang berubah seiring dengan kegemarannya.

Lihat pula seorang yang gemar mendengar dan membaca bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, wajahnya kelihatan tenang dan sejuk mata memandang, pastinya ada kaitan dengan molekul air di dalam badannya!

Allah Maha Besar...

Dia tahu bahawa manusia tidak akan mampu untuk hidup berseorangan di dunia ini, lalu diciptakanNya pelbagai jenis manusia, tinggal kita untuk memilih yang mana sesuai dijadikan kawan, yang mana sesuai dijadikan sahabat.

Jika betul sahabat yang dipilih, maka dialah orangnya yang akan terus berkata "Teruskan! Jangan berhenti! go on!" Tatkala kita semakin lemah dalam mengharungi arus dunia yang semakin deras.

Jika salah sahabat yang dipilih... Maka terkapai-kapailah kita di saat ombak besar datang menjengah.

Lihatlah sahabat dengan mata hati.... Jagalah hatinya kerana dia juga seorang manusia biasa, sehebat mana pun dia, hatinya masih lagi hati seorang manusia biasa sama seperti kita. Jangan dipersia sahabat yang sejati, kerana kelak kita yang rugi!

Ingatlah pesan Saidina Ali :

Selemah-lemah manusia adalah orang yang tak boleh mencari sahabat, dan orang yang lebih lemah daripada itu adalah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari


Sekali hati manusia yang terluka, pasti luka itu akan meninggalkan parut selamanya.

Ingat sahabat... Allah memberi Rasulullah sahabat-sahabat terhebat untuk menguatkan semangat baginda meski pun baginda adalah kekasih Allah, itu fitrahnya... manusia memerlukan manusia juga sebagai pendamping kedua setelah Allah.

Jangan sesekali merasa diri hebat, kerana di penghujung usia nanti kita masih lagi memerlukan manusia lain untuk menguruskan jenazah kita!

Selamat berenang di lautan dunia bersama sahabat-sahabat terhebat!

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .