Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, December 17, 2009

Suci Sekeping Hati


Oh dunia..
Betapa fananya dirimu,
Apakah harus ku tinggalkan?


“Akak!” Terkedek-kedek kanak-kanak berumur 8 tahun yang masih memakai baju seragam sekolah itu berlari mendapatkan kakaknya yang berdiri tegak di tengah bendang.

Maisarah memalingkan badannya ke arah suara itu, senyuman yang paling manis diberi. Sesekali baju cotton berbunga kecil yang lusuh berserta tudung kusam miliknya terbuai-buai ditiup angin.

“Ya dik.” Tangannya segera didepangkan untuk menyambut kedatangan Hazim. Sekelip mata sahaja Hazim sudah berada dalam dakapannya. Tangan lembut itu mengelus-elus rambut kanak-kanak suci itu, kemudian satu ciuman sayang mendarat di dahi kecil Hazim.

“Akak..”

“Hm?”

“Kenapa tak balik lagi? lama Hazim tunggu kat rumah” Bicara anak kecil itu menusuk hati Maisarah. Semenjak kedua ibu bapanya maut dalam kemalangan ngeri setahun yang lalu, dia lah yang menggantikan tempat mereka dan alam persekolahannya terpaksa ditinggalkan. Malapetaka yang menimpa dirinya seawal usia 16 tahun itu terlalu ngeri untuk dikenang. Satu-satunya motor kapcai buruk milik bapanya hancur dirempuh lori, dan......

“Akak, Hazim cakap sorang-sorang ke?” Muncung mulut itu menandakan rajuknya sudah bermula. Maisarah tergelak kecil. Segera jemarinya yang runcing menarik muncung comel itu.

“Taklah, akak minta maaf ye.. Leka sangat tadi akak tengok suasana di bendang ni. Subhanallah, cantik sungguh ciptaan Allah kan dik?”

Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut rambut Hazim, membuatkannya semakin selesa dalam dakapan Maisarah.

“Kak, Hazim laparlah...” Luah anak kecil itu, ada nada sedih di penghujung suaranya.

“Astarghfirullah, lupa pula akak... Jom kita balik. Nanti akak masakkan telur goreng ya?”

Anggukan Hazim jelas menunjukkan kemahuannya. Maisarah segera memimpin tangan adiknya untuk pulang ke rumah.

Dan.... kesedihan yang sebenar itu tidak wajar dirasai oleh kanak-kanak sekecil Hazim. Maisarah sedar akan hakikat itu.

***

Langit di luar kelihatan sedikit mendung, seolah-olah berat sungguh kandungan air dalam perut awan-awan yang berarak itu, entah bila air itu bakal dimuntahkan...

Tangan maisarah ligat melipat kain baju yang sudah diangkat.Hazim yang baru keluar dari bilik, siap dengan baju tidurnya menghampiri Maisarah.

“Akak”

Maisarah memandang.

“Hazim nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah.” Satu senyuman dilempar.

“Ustazah kat sekolah tadi cakap dunia ni hanya pinjaman je... Dunia bukan sesuatu yang patut kita kejar. Betul ke akak?”

“Betul”

“Jadi, betul lah kita tak perlu cari duit... Kita perlu hidup macam ni je kan akak?”
Maisarah tersentak. Hidup melarat di zaman ini bukanlah sesuatu yang baik untuk Islam, dia sedar akan hakikat itu. Cuma... Bagaimana harus dia menerangkan kepada seorang anak sekecil Hazim?

Maisarah menarik nafas panjang.

“Pada Hazim?” Soalan berbalas soalan.

Hazim menjungkitkan bahu. “Entah. Tapi Hazim sedih, tadi kan akak....”

Ayatnya terhenti. Matanya yang semenjak tadi memandang tepat ke dalam anak mata Maisarah dialihkan. Sesekali, tangan mulusnya mengesat sedikit titisan-titisan jernih yang mulai turun dari kelopak matanya yang bengkak.

Maisarah yang sedar akan perubahan mendadak itu menarik sedikit tangan Hazim dan membawanya dekat dengan dirinya. Kepala Hazim segera rebah di pangkuan Maisarah, seolah-olah ingin membawa sekali semua masalahnya rebah bersama.

“Kenapa dik?” Tangan lembut Maisarah tidak henti-henti megusap kepala anak kecil itu, betapa sukar untuk dirinya memaksa hati untuk terus tabah. Namun, untuk adik yang dikasihi.. Dia harus terus bijak berlakon. Ya, berlakon untuk kesenangan insan tersayang.

‘Duhai hati... Bersabarlah..’


“Ada kawan-kawan Hazim yang bukan Islam ejek-ejek Hazim. Dia cakap orang Islam memang hidup melarat, miskin, susah.. Kawan-kawan Hazim yang Islam pun selalu ejek-ejek Hazim” Semakin deras mutiara jernih itu turun membasahi pipi lembut Hazim.

“Hazim... Allah tidak pernah menyuruh agar kita meninggalkan dunia sepenuhnya. Hakikatnya, ilmu yang kita cari, yang Hazim belajar kat sekolah.. Itu semua adalah ilmu Allah. Apa-apa pun perkara baik yang kita lakukan kerana Allah merupakan salah satu daripada cabang ibadah. Hazim faham tak sayang?”

Angguk.

“Jadi akhirat kita tak payah kisah?”

Maisarah senyum dan segera menggeleng. “Tidak sayang... Allah tidak suruh kita melupakan dunia tapi dalam masa yang sama kita ada satu matlamat yang jitu, iaitu akhirat. Jadi, sebab tulah apa-apa pun yang kita lakukan, harus niat kerana Allah.Andai kemiskinan mampu menjadi fitnah untuk Islam, maka kita harus berusaha untuk mengatasi kemiskinan itu”

“Oh.. Hazim ingat ibadat tu yang sembahyang, doa, zikir je.”

Maisarah menggeleng lagi. Satu senyuman diberi.

“Akak....” Suara itu memanggil lagi.

“Ya dik..”

“Kenapa nasib kita begini?”

Maisarah terpana. Segera bibirnya bergerak, menyanyikan bait-bait lagu Suci Sekeping Hati buat Hazim.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah .. Bila disapa duri yang menanti ...Akan kaburkah mata yang meratap.. Pada debu yang pastikan hinggap”

Titis-titis air jernih yang semenjak tadi bertakung di kelopak matanya, gugur jua.. Diiringi hujan yang semakin lebat di luar...

***

‘Tok.. Tok..’

‘Pap’ Pen jenama Pierre Cardin di tangan jejaka itu jatuh merebah bumi.

Hazim terkejut dek ketukan di pintu. Jauh benar lamunannya, menjelajah ke seluruh pelusuk desa 20 tahun yang lalu. Terkenang susah dan senang bersama Maisarah-permata hatinya yang banyak memberinya semangat sehingga tertubuhnya syarikat yang menjual pelbagai produk barangan muslim miliknya sendiri!

‘Tok..Tok..’

“Allah, mengelamun lagi aku” Kepala digeleng-gelengkan. “Masuk”

Seorang wanita berjubah dan bertudung labuh masuk. Buku kecil di tanggannya diangkat. “Encik, pukul 10.30 encik ada meeting dengan ahli lembaga pengarah yang lain.”

Hazim memandang jam yang terletak di mejanya sekilas. 9.30.

“Terima kasih Adawiyah.”

Wanita mengandung itu tersenyum.Senyuman yang mampu menghilangkan segala duka. “Itu sahaja, ada apa-apa lagi encik?”

Hazim menggeleng. Adawiyah berpaling dan kakinya bergerak untuk melangkah pergi.

“Em.. Sayang..”

Hazim bangun dari kerusinya dan bergerak rapat ke arah Rabiatul Adawiyah yang berdiri tegak menghadapnya. Tangannya pantas mengusap-usap perut isterinya yang semakin membesar. Seorang isteri yang solehah, benar-benar menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Mencarinya pada zaman ini umpama mencari permata di sebalik ribuan kaca.

“Terima kasih ya Allah, atas kurniaan permata termahal ini”
Hazim berbicara di dalam hati.

“Baby abi sihat tak ni?” Telinganya diletakkan di perut isteri tercinta. Pantas pula tangan kudus milik Adawiyah mengusap-usap kepala suami tersayang.

“Tanya baby je?” Muncung-muncung mulut Adawiyah berpura-pura merajuk.

“Mak baby dah depan mata ni, alhamdulillah sihat je ayah baby tengok.”

Adawiyah tergelak.

“Sayang..”

“Ye abang..”

“Abang ingat minggu ni nak balik kampunglah, jenguk akak.” Hazim memandang tepat ke dalam anak mata Adawiyah.

Adawiyah tersenyum, satu senyuman nakal mula terukir di wajahnya. “Baiklah encik, saya akan batalkan semua program encik hujung minggu ni. Nanti saya catatkan dalam diari ya.”

Hazim mencuit hidung isteri tercinta. “Nakal...”

***

“Sodaqallahul azim...” Maisarah menutup dan mencium Al-Quran miliknya, yang juga merupakan pemberian daripada arwah ayah. Pesanan arwah bapanya sentiasa terpahat di hati, tidak pernah walau sedetik dia melupakannya.

‘Hiasi hatimu dengan Al-Quran!’


Maisarah bangun dan meletakkan Al-Quran di salah sebuah rak usang di salah satu sudut rumah kecil miliknya. Apakah layak tempat tinggalnya digelar rumah atau lebih layak di panggil pondok?

Entah, Maisarah tidak pasti. Apa yang pasti,tempat tinggalnya yang berasaskan kayu, berbentuk empat segi dan hanya mempunyai satu bilik itu hanya menanti saat untuk rebah ke bumi.

“Akak” Lembut suara Hazim memanggil sambil tangan kanannya menarik sejadah usang berwarna hijau miliknya. Sesekali tangan kecilnya menggosok-gosok mata menandakan masa untuk tidur semakin hampir.

“Ya sayang.. Hazim dah solat?”

Angguk.

“Hazim doa apa tadi?”

Hazim bergerak perlahan ke arah Maisarah dan meletakkan kepalanya di atas ribaan permata hatinya itu.

“Hazim doa.. ya Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu-bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil dahulu. Ampunkan juga dosa kakakku, saudara-maraku, jiran-jiranku, rakan-rakanku dan dosa seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ya Allah, kurniakanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat.”

Petah mulut kecil itu berbicara. Maisarah terpana. Tidak ramai manusia yang ingat untuk mendoakan sesama mereka, kebanyakannya hanya mendoakan diri sendiri. Terkadang, dia sendiri terlupa... Malunya dia pada kanak-kanak sekecil Hazim yang sudah mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Teramat malu.

“Akak?” Hazim mendongak sedikit.

“Ya”

“Hazim doa salah ya?” Timbul kegusaran di riak wajah comel itu.

Geleng. “Taklah sayang, pandai adik akak doa...”

“Habis, kenapa akak senyap je?”

“Akak tengah aminkan... Tapi kan Hazim, akak rasa Hazim kena tambah lagi satu doa”

“Apa dia kak?”

“Ya Allah... jadikanlah diriku meletakkan Engkau di tempat pertama dalam apa jua perkara yang aku ingin lakukan.”

Maisarah senyum. Hazim membalas.

“Akak...”

“Ya sayang..”

“Boleh tak nyanyi lagu?”

“Lagu apa?”

“Suci Sekeping Hati”

Maisarah mula menyanyi sementara Hazim terlena di pangkuannya..

***

Maisarah melontarkan pandangannya jauh-jauh ke luar tingkap, melihat bendang yang luas terbentang, langit yang berdiri tanpa tiang, juga burung-burung yang girang berterbangan. Sungguh banyak tanda kekuasaan Allah, jika manusia benar-benar merenungi..

Rumah kayu miliknya dahulu sudah pun berganti dengan rumah batu sederhana besar hasil titik peluh Hazim.

Hazim. Nama yang tidak pernah luput dalam hatinya. Rindu benar dia pada insan soleh itu.

Maisarah mendengus. “Maisarah.. sabarlah, kan Hazim dah bagitahu yang dia tak dapat balik minggu ni.. Sabarlah, dia bekerja kerana Allah”

Wanita solehah itu berkali-kali cuba menenangkan hati. Rindunya pada adik tercinta tidak dapat dibendung lagi.

“Sekeping hati dibawa berlari ..Jauh melalui jalanan sepi ..Jalan kebenaran indah terbentang ..Di depan matamu para pejuang”

Suara Hazim yang menyanyikan lagu suci sekeping hati bergema-gema di kotak fikirannya.

“Allah.. aku benar-benar merinduinya” Maisarah berbisik sendirian.

“Tapi jalan kebenaran ..Tak akan selamanya sunyi …Ada ujian yang datang melanda ..Ada perangkap menunggu mangsa”

Suara itu bergema lagi di kotak fikiran Maisarah. Kelopak matanya mula memberat menahan takungan air.

“Akan kuatkah kaki yang melangkah ..Bila disapa duri yang menanti …Akan kaburkah mata yang meratap…Pada debu yang pastikan hinggap”

Suara itu tidak dapat dihilangkan daripada terus menjengah.Maisarah menarik satu nafas yang panjang, “Allah, tabahkan hatiku.. redhakan ya Allah..”

“Mengharap senang dalam berjuang ..Bagai merindu rembulan di tengah siang …Jalannya tak seindah sentuhan mata …Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba”

Akhirnya, air mata wanita itu tumpah jua.. Setitik demi setitik gugur membasahi bumi.

“Ehem..ehem.. layan feeling nampak? Sampai adik tercinta datang pun tak perasan?”

Suara garau Hazim menjengah lagi dan kali ini Maisarah berpaling ke belakang.

Satu susuk tubuh lelaki soleh yang sering dirinduinya menerpa di birai mata. Di sebelahnya, Rabiatul Adawiyah manis berjubah ungu dan bertudung labuh warna ungu cair tersenyum senang.

“Kata tak balik minggu ni?” Akhirnya suara halus milik Maisarah keluar juga. Hazim tersenyum.

“Mana boleh kak, nanti ada orang merana kerinduan pula”

“Perasan” Maisarah menjuih.

“Betul ni kak? Hazim balik eh.. Balik ni..” Hazim berpura-pura merajuk.

“Adawiyah, tengok suami kamu ni, tak ubah-ubah.”

Adawiyah ketawa kecil “Tak apalah kak, mari saya teman akak.”

Hazim tersengih. Segera dia menerpa dan memeluk Maisarah. Maisarah menangis lagi...

“Itulah akak, Hazim ajak duduk sekali tak mahu..”

“Akak sayang rumah ni dik...”

“Tak sayang Hazim?”

“Tak apalah dik.. Akak tahu Allah sentiasa jaga Hazim, lagipun akak tak perlu risau.. Hazim kan selalu mengutamakan Allah dalam segala hal”

Maisarah tersenyum.

Rabiatul Adawiyah mengesat air matanya, terharu melihat senario yang berlaku di hadapan mata. Suci sungguh sekeping hati milik mereka.

“Akak, tengok tu.. ada orang pula yang feeling.” Serentak Maisarah dan Hazim memandang wajah bersih Rabiatul Adawiyah.

“Abang ni nakal laaaa...”

Ketawa bergema, menghiasi ruang yang menyimpan 1001 rahsia....

Ya Allah...
Letakkanlah dunia di tangan kami agar kami bisa menggunakannya,
Bukan di hati kami agar kami tidak terpedaya dengannya,
Dan sucikanlah hati kami, agar kami bisa merasa manisnya hidup bersamaMu...


1 comment:

Adik.. said...

Allah akhbar!

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .